Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Saturday, November 29, 2008

Tak berapa sen pun bezanya... (salinan daripada blog Morhabshi)

Tak berapa sen pun...

Sementara menanti putera sulung Demang mengaji Al-Quran, sempatlah Demang singgah di warung berhampiran untuk sarapan. Dalam ramai-ramai pelanggan, ternampak juga seorang yang dikenali. Kami berteguran, sekadar berbahasa.

Sebenarnya lelaki tersebut adalah pemilik sebuah kedai runcit di kampung Demang. Jadi seringlah Demang ke situ membeli barang runcit. Dan, adakalanya Demang berbual pelbagai isu semasa dengan beliau. Adakalanya beliau pro, dan ada masanya beliau kontra, terutamanya dalam perkara politik. Namun sebagai peniaga, beliau tidaklah bersikap keras Cuma sekadar menyuarakan ketidakpuasan hati yang Demang lihat hanyalah ketidakfahaman beliau terhadap perkara yang tersirat.

Selain itu anak beliau juga belajar di sekolah Demang.

Ketika kedai runcit tersebut baru dibuka, isteri Demang berkata: “Wah, dah ada kedai runcit kat sini. Baguslah, ada orang kita yang boleh buka kedai di sini. Tak payahlah nak ke pekan.”

Ketika kedai tersebut baru dibuka, barangpun belum begitu banyak. Namun kedainya selesa. Putera kecil Demang merujuknya sebagai mini market. Harga barang di dalamnya?

Keseluruhannya hampir sama dengan mana-mana kedai runcit kepunyaan orang Melayu di Melaka ni. Ada juga harga barang yang terlebih sedikit berbanding kedai bukan Melayu dan juga hypermarket. Jika barang di kedai bukan Melayu berharga 50 sen, mungkin di kedai tersebut dijual pada harga 55 sen atau 60 sen. Tapi bukan pada semua barang. Malah ada juga barang tertentu yang harganya lebih rendah berbanding kedai bukan Melayu.

Alaa... tak berapa sen pun bezanya.

Memang hypermarket menawarkan harga yang lebih murah namun perlu diingat, bukan semua barang. Sebenarnya tak berapa sen pun bezanya, terutama barang keperluan.

Semua perniagaan meletakkan keuntungan sebagai syarat untuk berurusniaga. Hal ini tidak boleh dipersoalkan kerana itulah sebab utama kenapa perniagaan dilakukan. Justeru pelbagai kaedah dan strategi perniagaan dilancarkan bagi menarik minat pelanggan.

Salah satu daripadanya melalui kuantiti. Hypermarket mendapatkan bekalan secara borong dalam kuantiti yang besar dan berupaya pula menjualnya dalam kuantiti yang banyak. Hal ini berbeza dengan kedai runcit di kampung yang mempunyai pelanggan terhad.

Satu lagi taktik yang dilakukan oleh hypermarket ialah mengurangkan keuntungan pada sebilangan barang keperluan asas dan meninggikan harga pada harga barangan lain seperti pakaian, perkakas rumah, makanan segera dan sebagainya.

Sambil berjalan-jalan memilih barang keperluan yang murah-murah itu, mata pelanggan akan ‘tersangkut’ pada barangan lain yang tidak begitu diperlukan. Maka ‘terbeli’lah barang-barang tersebut. Apatah lagi apabila memikirkan perbelanjaan yang telah berjaya dijimatkan berbanding membeli di kedai runcit.

Akhirnya, daripada nak berjimat, terlajak lah pula perbelanjaan. Silap-silap, wang tunai pun tak perlu dikeluarkan kerana hypermarket menawarkan kemudahan menggunakan kad kredit.

Berbalik pada kisah di warung tadi, selesai sahaja sarapan Demangpun bergerak ke kaunter untuk membayar.

“Tak perlu,” kata pemilik warung. “Abang yang tadi tu dah bayarkan.” Sambungnya sambil tersenyum.

Demangpun berlalu dengan senyuman yang lebih lebar. Makan free!

Demikianlah kisahnya.

Anda boleh menemui kisah begini atau yang hampir sama dengan ini di mana-mana di sepanjang kehidupan kita. Hidup ini bukan hanya ditentukan oleh untung dan rugi semata-mata. Kadang-kadang kita rugi di sini, kita untung pula di tempat lain. Bukankah ini semua rezeki daripada Allah taala?

Berurusniaga sesama kita banyak faedah lain. Ia dapat meningkatkan dan menjana ekonomi ummah. Apabila kita berkenduri, saudara-saudara kita itu datang dan memberi sumbangan. Apabila kita terlantar di hospital, mereka datang menziarah. Apabila kita meninggal dunia, maka segala urusan kita berpulang kepada yang masih hidup. Adakah perkara yang lebih penting dari itu?

Mungkin saudara itu tidak menolong kita secara langsung namun siapa dapat nafikan bahawa dia mungkin akan berurusan dengan saudara kita yang lain? Seterusnya saudara kita itu datang menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada kita. Bukankah itu berkait sama?

Mungkin anda biasa dengan istilah ‘networking’. Nah! Ini juga salah satu daripadanya.

Wallahu’alam.

Kontrak sosial untuk kepentingan bukan-Melayu

Pada peringkat awal penubuhannya, BPN sering disalah tanggap sebagai gerakan bagi menyokong UMNO. Memangpun kebanyakan isu-isu yang dibincangkan mirip kepada UMNO dan ini mudah difahami kerana persamaan perjuangan kedua-dua gerakan atau kumpulan itu (yakni UMNO dan BPN). Namun apabila resolusi dikeluarkan Demang dapati ia banyak mengemukakan cadangan ke arah kedamaian dan keharmonian negara.

Memanglah terdapat beberapa usul yang kelihatan menyerang pihak tertentu namun serangan tersebut adalah bagi menyanggah perkara yang jelas tidak betul dan bertentangan dengan perlembagaan Malaysia. Contohnya, apabila seorang pemimpin MCA yang pernah membuat pengakuan terlibat dalam skandal seks mendakwa 'ketuanan Melayu' adalah konsep 'Melayu sebagai tuan dan kaum lain sebagai hamba' maka BPN bingkas menafikannya. Hal ini kerana jelas pemimpin MCA itu tidak faham (atau pura-pura tidak faham) dengan semangat perlembagaan yang diasaskan daripada kontrak sosial.

Malah BPN mengenalpasti antara punca utama kaum bukan Melayu mempersoalkan perkara ini kerana mereka amat kurang bergaul dengan bangsa Melayu. Puncanya, mereka sejak kecil sudah dihantar ke sekolah-sekolah jenis kebangsaan.

Kenapa mereka enggan ke sekolah kebangsaan? Hanya mereka yang tahu.

Sepekara lagi, kaum bukan Melayu sering mempertikaikan kontrak sosial padahal perjanjian yang tidak didokumenkan itu dibuat bagi mengiktiraf kewarganegaraan pihak pendatang yang berminat untuk terus tinggal di Tanah Melayu selepas Tanah Melayu memperolehi kemerdekaan.

Sebenarnya puak yang dibawa masuk oleh penjajah Inggeris itu mempunyai beberapa pilihan lain iaitu kembali ke tempat asal, menjadi warga Britain di UK atau berpindah ke negara Komanwel lain.

Maka kumpulan pendatang tersebut terbahagi kepada tiga kumpulan mengikut pilihan mereka sendiri. Bagi kumpulan yang ingin terus tinggal di Tanah Melayu maka mereka membuat pengakuan kepada orang Melayu melalui pemimpin orang Melayu bahawa mereka akan sentiasa sedar dan insaf bahawa orang Melayu adalah penduduk asal negara ini dan sejak sekian lama telah memiliki:

Pertama: Berketuakan Sultan (raja Melayu)
Kedua: Beragama Islam dan mengamalkan cara hidup Islam.
Ketiga: Berbahasa dan berbudaya Melayu
Keempat: Memegang 100% hak di Tanah Melayu tanpa perlu berkongsi dengan sesiapa.

Bagi perkara Keempat itu, atas dasar tolak ansur maka orang Melayu bersetuju membenarkan hak yang sebelumnya dimiliki 100% dikongsi bersama warga baru Tanah Melayu.

Apabila DEB dilancarkan, hak tersebut dibahagi dengan lebih jelas lagi iaitu Melayu tinggal 30%, bukan melayu 40% !!! dan asing 30%.

Apa lagi yang mereka mahu? Orang Melayu tidak pernah meminta apalagi merampas hak orang lain sebagaimana bangsa Indonesia yang merampas semua harta penjajah dan pendatang asing sebaik mereka mendapat kemerdekaan.

Demikianlah pandangan Demang.


Sekarang mari kita lihat dapatan daripada perbincangan ahli (BPN) Bloggers Pembela Negara) malam tadi.


Catatan Chemoq____________________________________

Alhamdulillah, dengan izin Allah swt, semakin ramai yang berani dan bersemangat menyertai Parlimen Blogger Pembela Negara yang kini samada yang lama dan baru berjumlah 55 laman blog keseluruhannya. Kesungguhan dan sokongan ini yang kami mahukan agar semua umat islam dan melayu dapat sama-sama berkumpul dan berbincang bersama mengutarakan pendapat dan berbicara mengenai hal ehwal semasa samada dari pihak kerajaan dan juga pembangkang. Dewan BPN juga telahpun diganggu oleh beberapa orang yang tidak bertanggungjawab membuat kacau dengan menyamar sebagai seorang bukan melayu, seorang gay dan seorang pejuang pro pakatan rakyat. Kira-kira 50% ahli BPN malam semalam, 29 November 2008 bersama berkumpul di dewan persidangan maya di laman pena picisan telah membincangkan isu tindakan Timbalan Presiden MCA, iaitu Chua Soi Lek yang membuat kenyataan berbaur perkauman apabila menafikan hak ketuanan melayu. Kepada rakan-rakan BPN, sila maklumkan che moq jika terdapat maklumat atau info yang tidak dinyatakan semasa perbincangan di sini.



Justeru, kami dengan sebulat suara berbincang mengusulkan :


Kenyataan Chua Soi Lek menentang ketuanan melayu adalah demi populariti dan juga cuba menjadi seorang lagi jaguh masyarakat cina. Kenyataan Chua juga seperti mempunyai agenda tersembunyi mengkaburkan isu skandal seksnya bagi mempromosikan dirinya kembali ke pintu kabinet sebagai menteri setelah menang mengejut di dalam pilihanraya parti lalu. Ianya bukanlah kenyataan yang bernas dan bijak kerana di dalam situasi keadaan politik yang tegang, tidak seharusnya Chua menambahkan lagi bahang suasana demi tujuan politik peribadi dan populariti. MCA seharusnya memberikan nasihat dan hukuman di atas kenyataan Chua yang berbaur perkauman.

Semua pemimpin dan menteri kabinet bukan melayu seharusnya tidak menentang keistimewaan dan ketuanan melayu di bumi Malaysia kerana sebagai 'role model' dan ikutan teladan kepada pengikut-pengikut, perlunya mereka memahami dan menuruti untuk mendukung perlembagaan Malaysia sepenuhnya demi menjamin kestabilan politik semasa.
Perlunya menteri-menteri, exco-exco, pemimpin-pemimpin dan juga pegawai tertinggi tidak kira samada dari parti-parti kerajaan (UMNO) mahupun parti-parti pembangkang (PKR&PAS) untuk bersatu teguh bersama dan sepakat dengan lebih berani bersuara mengenai campurtangan hal ehwal agama Islam dan juga campurtangan mengenai hak dan keistimewaan melayu. Tindakan YB Zulkifli Nordin (PKR-Kulim-Bandar Bharu) bersuara dan menegur semua jemaah YB kerajaan dan pembangkang di sidang Parlimen Malaysia suatu ketika dulu amat terpuji dan berani kerana katanya mengenai agama yang perlu diutamakan seterusnya barulah berfikir mengenai parti adalah tepat.

Oleh kerana islam dan melayu adalah kelompok agama dan bangsa utama dan terbesar di Malaysia, seharusnya kita bersatu dan bukan berpecah belah sehingga memberi kelebihan kepada bukan bumiputera mempertikaikan hak-hak kita. Kerjasama kepimpinan akar umbi, pemuda dan wanita bagi kesemua parti dari kerajaan dan pembangkang perlulah diwujudkan bagi menghasilkan satu ikatan teguh dan berani bertindak membela dan memperjuangkan hal ehwal agama islam dan hak ketuanan melayu yang semakin dinafikan bukan islam. Kerjasama ini walaupun agak sukar diadakan, cukuplah sekadar tidak rasmi bersuara searah kearah mempertahankan hak agama islam dan bumiputera.
Sepatutnya orang bukan melayu lah yang sepatutnya memperingati dan perlu jelas dengan kontrak sosial kerana ianya telah memberikan peluang kepada nenek moyang mereka untuk menjadi warga Malaysia suatu ketika dahulu yang datang merantau di bumi tanah melayu mencari rezeki. Orang Melayu tidak untung apa-apa dengan perjanjian itu kerana sebahagian hak-hak melayu sebagai penduduk asal tanah melayu telah pun dilepaskan demi kesejahteraan bersama.

Kerajaan perlu bertegas kembalikan semula fungsi sistem sekolah wawasan di tahap WAJIB yang mana sebelum ini sekolah wawasan dikatakan kurang mendapat galakan kaum bukan melayu. Ianya perlu selepas kita melihat kegagalan sistem yang ada untuk menyatukan semua bangsa. Apatah lagi selepas generasi baru sudah tidak memahami asal kontrak sosial dan juga kemerdekaan negara yang bertunjangkan ketuanan Melayu Islam sejak zaman berzaman.

Perlunya setiap ahli BPN untuk menyiarkan resolusi ini bagi memastikan maklumat ini tersebar dan tiada lagi unsur sabotaj di dalam kontrak sosial oleh bukan melayu yang mahu menjadi ultra dan jaguh menuntut hak yang menjadi perkara muktamat di Malaysia.

Ahli-ahli Blogger Pembela Negara akan menyiarkan resolusi ini di setiap laman blog masing-masing bagi menarik perhatian orang ramai dan pengunjung untuk turut serta memperjuangkan perkara yang telah diperbincangkan di konferensi sidang pada 28 November 2008.Kerjasama para ahli BPN amat diharapkan demi merealisasikan suara kita tersebar kepada rakyat.



Kami percaya apabila usaha ini dibuat secara kolektif dan bersepadu, pihak kerajaan akan terpanggil untuk melaksanakannya. Perbincangan selanjutnya akan dibincangkan dari semasa ke semasa untuk melahirkan satu suara yang relevan lagi bermanfaat bagi semua rakyat Malaysia.



Oleh itu, adalah diharap pihak-pihak yang terlibat segera mengambil tindakan sewajarnya. Semoga perjuangan kita dapat melahirkan suasana masyarakat majmuk yang lebih erat dan harmoni.



Sekian terima kasih dari saya.

Che Moq a.k.a http://che-moq.blogspot.com

Setiausaha I BPN

Tuesday, November 25, 2008

RESOLUSI BANTAHAN PENGGUGURAN TULISAN JAWI OLEH KERAJAAN PAKATAN RAKYAT DI PULAU PINANG

Alhamdulillah, dengan izin Allah swt, seramai lebih kurang 17 ahli Parlimen Blogger Pembela Negara samada yang lama dan baru dapat sama-sama berkumpul dan berbincang bersama untuk mengutarakan pendapat dan sokongan padu mengenai resolusi bantahan pengguguran tulisan jawi oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang.

Kami ahli BPN telah bersama berbincang dan mencadangkan beberapa persoalan dan masalah yang timbul di kala pengguguran tulisan jawi di papan tanda yang menjadi isu dan hal yang dibangkitkan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri-negeri kekuasaan mereka lebih-lebih lagi oleh pemimpin-pemimpin bukan melayu pakatan rakyat.

( Kepada rakan-rakan BPN, sila maklumkan che moq jika terdapat maklumat atau info yang tidak dinyatakan semasa perbincangan di sini. )


Justeru, kami dengan sebulat suara mengusulkan:

1. Penggunaan bahasa selain bahasa kebangsaan di papan tanda jalan tidak dapat diterima selain mendapat kelulusan dan penilaian pihak yang lebih arif dan patut bertanggungjawab untuk memartabatkan bahasa kebangsaan contohnya Dewan Bahasa dan Pustaka. Isu ini harus diteliti dan perhalusi kerana di kebanyakan negara utama industri pelancongan, negara maju dan kuasa besar dunia tidak juga mengaplikasikan papan tanda pelbagai bahasa kerana lebih menghormati bahasa kebangsaan.

2. Pengguguran tulisan jawi di papan tanda di kawasan Wilayah Persekutuan tidak harus berlaku kerana tulisan jawi juga adalah bahasa kebangsaan dan tiada unsur pencabulan Perlembagaan Persekutuan berlaku, malah disesetengah tempat seperti di Johor Bahru dan lain-lain bandar besar, ianya diterima masyarakat.

3. Setiap individu beragama Islam di negara ini seharusnya menguasai tulisan jawi, menekankan penguasaan tulisan jawi pada anak-anak mereka dan juga memartabatkan jawi sebagai tulisan yang melambangkan identiti melayu bagi memastikan tulisan jawi menjadi tulisan kedua umat Melayu-Islam dinegara ini dan dengan ini, sebarang usaha memartabatkan jawi tidak dipandang sinis oleh mana-mana pihak lebih-lebih lagi kepada bukan melayu kerana kita sendiri menghargai tulisan jawi sebagai tulisan budaya melayu zaman berzaman.

4. Dewan Bahasa dan Pustaka sepatutnya diberi kuasa sebagai badan rujukan untuk membuat penilaian atas spesifikasi papan tanda jalan yang hendak dibangunkan oleh PBT termasuklah menjadi pihak rujukan kerajaan tempatan dalam meluluskan lesen papan tanda premis-premis perniagaan untuk semakan penggunaan bahasa melayu yang betul dan sempurna.

5. Tindakan individu dan pemimpin Melayu dalam Pakatan Rakyat membiarkan isu-isu sensitif islam dan tulisan jawi yang digunakan untuk pengajian agama Islam-Melayu ratusan tahun dahulu ternoda dek kerana mengejar agenda peribadi adalah tindakan menghina dan meminggirkan tulisan dan agama rasmi Malaysia secara perlahan-lahan kerana mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang melayu islam

6. Semua orang Islam dan juga bukan islam dari semua parti politik tidak kira pengikut mahupun pemimpin diseru hendaklah didesak hentikan tindakan mempertikaikan isu-isu sensitiviti masyarakat yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial dan perlembagaan sebelum ia akan menjadi tragedi 13 Mei yang boleh mengancam keselamatan negara kita yang turut dihuni oleh pelbagai bangsa dan agama.

7. Suara bloggers perlu menjadi suara persepakatan dalam satu tujuan membetulkan kepincangan yang berlaku dalam politik yang didalangi oleh mereka yang berkepentingan peribadi dan politik tanpa mengira kesan yang akan timbul kepada perpaduan dan keamanan negara kita
Ahli-ahli Blogger Pembela Negara akan menyiarkan resolusi ini di setiap laman blog masing-masing bagi menarik perhatian orang ramai dan pengunjung untuk turut serta memperjuangkan perkara yang telah diperbincangkan di konferensi sidang maya pada 24 November 2008.Kerjasama para ahli BPN amat diharapkan demi merealisasikan suara kita tersebar kepada rakyat.

Kami percaya apabila usaha ini dibuat secara kolektif dan bersepadu, pihak kerajaan akan terpanggil untuk melaksanakannya. Perbincangan selanjutnya akan dibincangkan dari semasa ke semasa untuk melahirkan satu suara yang relevan lagi bermanfaat bagi semua rakyat Malaysia.


Oleh itu, adalah diharap pihak-pihak yang terlibat segera mengambil tindakan sewajarnya. Semoga perjuangan kita dapat melahirkan suasana masyarakat majmuk yang lebih erat dan harmoni.


Sekian terima kasih dari saya.


Che Moq a.k.a http://che-moq.blogspot.com
Setiausaha Parlimen Blogger Pembela Negara

Monday, November 24, 2008

Resolusi Bloggers Pembela Negara: Turunkan Harga Barang

Bloggers Pembela Negara kini setapak di depan. Merintis denai dan tidak gentar untuk berjuang. Kiri dan kanan hanyalah semak samun yang harus ditebas-tebang. Apa perlu dirisaukan? Perjalanan perlu diteruskan. Di hujung nanti ada padang yang wajib didatangi dan perhimpunan yang pasti dihadiri. Kita hanya menyambung tugas Rasulullah: menyampaikan.

Berikut adalah resolusi yang dikeluarkan hasil perbincangan para bloggers dalam forum maya Bloggers Pembela Negara (BPN).

Bloggers Pembela Negara yang bersidang secara maya pada 23 November 2008, jam 9.00pm-10.00pm atas tajuk “Bagaimanakah kita boleh membantu Sabah, khususnya dan semua negeri umumnya bagi merendahkan harga barangan?”

Kami telah mengenalpasti bahawa kegagalan menurunkan harga barangan walaupun kerajaan telah menetapkan harga siling dan menurunkan harga petrol adalah disebabkan sikap para peniaga, dan bukannya kerana masalah kos terutamanya kos pengangkutan, termasuk di Sabah.

Justeru, kami dengan sebulat suara mengusulkan:

1. Para petani dan pengusaha produk asas tani diberi insentif khas sebagaimana para pesawah dan nelayan. Insentif ini boleh diberikan berdasarkan produktiviti mereka. Contohnya, jika mereka mengeluarkan sayur kangkung bernilai RM10 maka kerajaan patut membayar insentif sekurang-kurangnya 50% iaitu berjumlah RM15 kepada petani tersebut. Oleh itu, mereka mendapat tambahan pendapatan yang meninggikan kuasa membeli mereka.

2. Kedegilan pihak pemborong di Sabah untuk menurunkan harga barangan keperluan dikenalpasti sebagai akibat kurangnya persaingan daripada pemborong lain. Selama ini para pemborong sedia ada telah memonopoli pasaran dan membina rangkaian tersendiri sehingga berupaya menentukan harga secara wewenang. Oleh itu kami mengesyorkan para pemborong daripada kaum lain termasuklah kaum India-Muslim untuk menyertai pasaran di Sabah.

3. Kerajaan perlu melantik syarikat GLC bagi mewujudkan rangkaian pengedaran bagi memberi saingan kepada pemborong sedia ada. Persaingan yang sihat akan memberi lebih pilihan kepada pengguna dan mampu mengawal kualiti serta harga pengguna.

4. Pihak kementerian iaitu KDNHEP perlu menguatkuasakan semua peraturan dan ketetapan yang telah diputuskan oleh kerajaan.

Kami akan menyiarkan resolusi ini di setiap blog kepunyaan Bloggers Pembela Negara (BPN) bagi menarik perhatian orang ramai untuk turut serta memperjuangkan perkara ini. Kami percaya apabila usaha ini dibuat secara kolektif dan bersepadu, pihak kerajaan akan terpanggil untuk melaksanakannya.

Oleh itu, adalah lebih baik pihak-pihak yang terlibat segera mengambil tindakan menurunkan harga barang agar perkara ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik.

Sekian terima kasih.

Saturday, November 22, 2008

Ratu lebah & Wasiat raja-raja melayu

Suatu masa dahulu Demang pernah teringin menternak lebah. Maka Demang pun membuat sedikit kajian tentang kehidupan lebah. Masa tu penggunaan internet belum dikenali lagi di negara kita. Jadi terpaksalah Demang mencari buku-buku.
Pada mulanya Demang hairan juga kenapa lebah-lebah itu tidak melarikan diri daripada tuan mereka. Padahal bukan dikuncipun ‘rumah’ mereka. Sepanjang masa lebah-lebah tersebut bebas keluar masuk bagi mencari manisan daripada kawasan berhampiran.
Rupa-rupanya untuk memelihara lebah kita tidak perlu mencari dan mengumpulkan sebanyak mungkin lebah dan mengurungnya. Kita juga tidak perlu mencari telur-telur lebah dan menetaskannya. Kita cuma perlu mendapatkan ratu lebah dan mengurungnya di suatu tempat dan tidak lama kemudian ribuan lebah akan mengabdikan diri padanya.
Lebah-lebah memang bersengat namun tidak sebisa tebuan tanah. Bagi menampung kelemahan ini maka mereka hidup bersatu-padu. Ratu lebah juga berasal daripada benih lebah biasa. Kemudian para lebah ‘otai’ mengasingkannya ke tempat khas dan diberi makan jeli raja (royal jelly) setiap hari. Hasilnya, lebah biasa tersebut bertukar menjadi ratu lebah.
Tugas utama ratu lebah ialah menghasilkan benih lebah: bertelur!
Ratu lebah berbentuk seperti lebah biasa tetapi saiznya besar sedikit. Oleh itu jika kita membelanya, ratu lebah tidak dapat melepaskan diri kerana lubang yang kita sediakan hanya muat untuk lebah biasa sahaja. Selagi ratu lebah terkurung di situ, para lebah akan setia mengabdi diri padanya.
Dalam komuniti lebah semuanya bekerja untuk satu tujuan: berbakti pada ratu. Namun, melangkaui daripada semua itu mereka sebenarnya memperkukuhkan komuniti mereka bagi kelangsungan hidup individu. Mereka tidak boleh hidup sendirian. Para lebah terbahagi kepada beberapa aras atau kategori seperti lebah pengawal dan lebah pekerja. Lebah-lebah pekerja mengangkut manisan daripada kawasan sekitar dan mengumpulnya di dalam tempat khas pada sarang. Itulah perbendaharaan negara mereka. Hasilnya mereka berbedak mengikut keperluan. Masing-masing dengan tugas mengikut kepandaian dan tanggung jawab yang telah ditentukan. Mereka juga bekerjasama membina dan menjaga sarang mereka daripada serangan musuh.
Lebah pekerja tidak boleh mengungkit betapa mereka bekerja lebih teruk dan sering ‘outstation’. Hasil yang dibawa pulang mesti dimasukkan ke dalam perbendaharaan sebelum diagihkan.
Demikianlah hebatnya perancangan Allah taala mengatur kehidupan. Kisah lebah ini Allah taala ceritakan di dalam Al-Quran untuk kita fikirkan dan jadikan pengajaran.
Itu kisah lebah.
Manusia adalah makhluk sosial yang hidup berkelompok. Begitu jugalah orang Melayu. Sebagaimana lazimnya kumpulan manusia lain maka dalam kelompok orang Melayu juga terdapat seorang ketua. Uniknya ketua, ke mana beliau pergi pasti akan dituruti para pengikutnya.

Apabila Parameswara berhijrah dari Palembang ke Temasik, kemudian ke Muar dan akhirnya sampai di Melaka; baginda tidak berseorangan. Begitu juga apabila Sultan Mahmud berundur ke Bentan kemudian ke Pahang, ke Kampar dan akhirnya bertapak di Johor para pengikutnya tetap setia. Di mana sahaja mereka berlabuh, di situlah kerajaan tertubuh. Sehinggakan Portugis dan Belanda gagal menguasai orang Melayu. Mereka sekadar berkubu di kota Melaka. Tidak berani keluar, sehingga suatu masa mereka hampir kebuluran.

Orang Melayu, selagi mereka bersatu mereka tidak akan melarat walau di mana mereka membangsat. Setiap penyatuan memerlukan ketua yang dilantik daripada kalangan manusia itu sendiri tetapi diberi keistimewaan tertentu agar tampak berbeza berbanding manusia biasa.

Raja adalah pusat penyatuan.

Siapa pula warganegara?

Warganegara ialah seseorang yang diterima menghuni Persekutuan Tanah Melayu mulai 31 Ogos 1957. Mereka bukan rakyat asal Tanah Melayu tetapi mendapat pengiktirafan melalui perlembagaan. Mereka diberi peluang untuk menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia) atau kembali ke negeri masing-masing.

Sebaliknya orang Melayu adalah rakyat kepada sultan dan tidak ada tempat lain lagi untuk pergi. Mahu tidak mahu, suka tidak suka maka inilah bumi orang Melayu.

Itulah sebabnya ada peribahasa “hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri...” Sebenarnya, tak kiralah, batu atau emas, inilah sahaja tanah air orang Melayu.
Berikut Demang salin semula wasiat yang Demang ‘pinjam’ dari blog sahabat Demang: http://paneh.blogspot.com (mula-mula pinjam, lepas tu buat macam harta sendiri).
Wasiat Raja-Raja Melayu pada 31 Ogos 1957

“Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan selamat sejahtera”.

“Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung, Persekutuan Tanah Melayu (sekarang adalah Malaysia)”.

“Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

“Bagi menjaga kamu dan melindungi anak-anak kamu, harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu untuk membenteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara”.

“Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini”.

“Kami tetapkan Islam ialah agama Persekutuan”.

“Kami tetapkan juga bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan

“Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Kepentingan Sah Kaum-Kaum Lain (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak)”.

Demikian wasiat yang Demang perolehi daripada blog sahabat Demang http://panehmiang.blogspot.com. Namun sejauh manakah wasiat tsbt KITA patuhi? Apabila Demang tulis ‘KITA’ bermakna termasuklah raja dan rakyat.

Sebenarnya kita masih boleh melakukan sesuatu demi perpaduan orang Melayu dan keharmonian semua kaum kerana Yang DiPertuan Agong adalah ketua negara.

Thursday, November 20, 2008

Terbalik kod (terup 400)

Sebenarnya kisah ‘Tegur-Menegur’ semalam ada sambungannya. Namun sekali lagi ‘gadget’ Demang buat hal. Dia dah tak mahu berkomunikasi dengan laptop Demang. Entah apa yang dirajukkan, Demang pun tak tau. Maka kali ini Demang bawa tajuk baru, tapi mungkin berguna apabila kita menyambung topik ‘Tegur-Menegur’ itu nanti.

Tajuk ini agak penting. Sila buat nota sikit sebab ia akan berkait dengan keluarga, masyarakat, dan negara. (Ewah, macam kuliah pulak).

Masa di kampung dulu, salah satu aktiviti masa lapang kami ialah berkumpul ramai-ramai dan bermain terup. Salah satu permainan terup yang paling popular ialah ‘terup 400’. Demang tak tahu nama lain bagi permainan ini. Kami bermain pada waktu malam kerana waktu pagi kebanyakan daripada kami menoreh getah dan waktu petang kami bersukan.

Jangan tak tahu; kampung Demang pernah jadi johan bola tampar negeri Pahang padahal permainan ini biasanya didominasi oleh bukan Melayu.

Untuk menyertai permainan ‘Terup 400’ kita tidak memerlukan wang walau sesenpun. Modal utama ialah kecekapan strategi, ketahanan mental dan sanggup mengawal emosi. Manakan tidak, pihak yang kalah akan diaibkan melalui ‘kutukan berbisa’ dan sindiran yang memerahkan telinga.

Sebagaimana permainan lain, faktor nasib baik pun penting jugak.

Permainan ini berlangsung secara berpasangan, iaitu biasanya dua lawan dua. Tidak semua 52 daun terup itu digunakan. Sebelum permainan, daun-daun terup dipilih dan yang tak digunakan akan diketepikan.

Daun terup yang paling bernilai ialah daun TIGA dan daripada empat keping daun 3 itu, 3 Spade lah yang paling hebat. Kalau daun 3 Spade ini ‘diturunkan’ maka muka pemain lawan akan berkerut sambil melepaskan keluhan berat.

Namun permainan tetap permainan. Kata orang, ‘the best win’. Maka strategipun bermula.

Permainan ini adalah secara berpasangan dan yang uniknya, walaupun berpasangan tetapi mereka tidak boleh berbincang secara lisan bagi mengatur strategi. Namun sebagai manusia yang berakal, para pemain akan berinteraksi melalui isyarat pula.

Sebagaimana permainan terup yang lain, setiap pemain akan mendapat bilangan kad yang sama banyak dan akan ‘menurunkan’ kad satu persatu, mengikut giliran. Peserta yang menurunkan kad ‘paling kuat’ akan berpeluang menjadi orang pertama menurunkan kad pada pusingan seterusnya sehinggalah kesemua kad di tangannya habis.

Namun, jika ada pemain yang yakin bahawa mereka mempunyai daun terup yang hebat-hebat dan pasti memenangi permainan itu maka mereka boleh mengumumkan kemenangan mereka lebih awal sambil menyebut perkataan ‘KOD’, dan permainan dihentikan serta merta dengan penuh debaran.

Maka semua pemain akan menurunkan kesemua daun dan diperiksa adakah ‘keyakinan’ pemain yang menyebut KOD tadi berasas. Jika betul, maka tersenyum lebarlah sipemain itu. Namun seringkali juga berlaku kesilapan teknik. Dalam kes begini biasanya pemain yang terlebih ‘confident’ tersebut akan menganalisis apakah kesilapan yang berlaku.

Malah jika kurang hemat, perbalahan dan salah menyalah pun berlaku.

Kesilapan KOD ini dipanggil ‘TERBALIK KOD’ yang sama maksud dengan ‘backfire’ atau istilah ‘boomerang’. Kesan ‘Terbalik Kod’ ini kadangkala membawa implikasi hingga ke pagi. Pihak yang kalah akan menjadi ‘hamba’ kepada pemenang.

Dalam percakapan harian orang Melayu, istilah ‘terbalik kod’ memang lumrah digunakan namun tak ramai yang tahu asal-usul istilah tersebut. Ada yang menafsirkannya sebagai ‘baju coat’ yang dipakai terbalik. Dalam masyarakat Melayu, itu tandanya nak kena loteri!

Sebenarnya, permainan ‘terup 400’ melibatkan latihan komunikasi yang penting. Dalam teori, komunikasi terbahagi kepada dua iaitu komunikasi verbal (lisan) dan komunikasi non verbal. Komunikasi non verbal melibatkan isyarat, gerak badan, mimik muka dan sebagainya.

Samada verbal atau non verbal, ia pasti akan melibatkan dua pihak iaitu ‘penghantar’ (sender) dan ‘penerima’ (receiver). Setiap idea yang berada dalam minda seseorang yang akan dihantar kepada orang lain akan ditukar kepada kod tertentu. Proses ini dipanggil ‘encode’ Si penerima akan menukar semula kod-kod ini agar difahami. Proses ini dipanggil ‘decode’. Antara keduanya itu sudah tentulah terdapat ‘medium’ atau perantaranya. Iaitu suara atau sebarang isyarat. (dalam bab ini, Demang dapat A- masa buat degree dulu. Kira ok lah tu).

Malangnya, dalam proses yang murni ini ada satu lagi aspek yang sering mengganggu komunikasi antara kita. Itulah yang kita panggil ‘PERSEPSI’. Persepsi inilah yang dipertengkarkan sampai tegang urat leher. Dijadikan alasan untuk bergaduh sampai lebam biji mata. Dan kadang-kadang boleh berakhir dengan pembunuhan dan peperangan.

Persepsi adalah dibentuk melalui pengalaman, latarbelakang, situasi setempat, jantina dan sebagainya. Bagi orang Melaka, ‘hawau’ dan ‘celake’ diterima sebagai sesuatu yang mesra, namun bergantung kepada siapa yang mengucapkannya dan kepada siapa diucapkan. Malah ‘kod-kod’ seperti binawe, menate, haram jadah, barua dan sebagainya ada masanya melambangkan kemesraan dalam masyarakat Melayu.

Jika dua sahabat lama bertemu, maka itulah ‘kod-kod’ yang mereka keluarkan. “Barua, hang. Haram jadah. Langsung tak dengaq habaq. Aku ingat dah mampuih.” Anehnya sipenerima akan tersenyum lebar. Itulah uniknya persahabatan yang mampu menafikan teori adab berkomunikasi.

Barangkali ‘terup 400’ dah hampir pupus di kampung kami. Sekarang sudah ada gadget komunikasi dan permainan yang serba canggih. Jika bermain ‘terup 400’ pun, mungkin ramai yang boleh menipu. Boleh guna SMS untuk berhubung dengan pasangan yang duduk berhadapan, atau boleh terus guna ‘video call’ untuk tunjukkan daun terup masing-masing melalui skrin sambil merancang strategi.

Barangkali kita jangan terlalu beremosi dengan memori silam. Kita boleh teruskan permainan terup 400 dengan strategi baru. Pasangan pemain boleh berbincang dan mengatur strategi secara verbal dan juga melalui ICT. Yang kalah tidak lagi dijadikan ‘hamba abdi’ atau digantung telinganya. Sebaliknya kita bantu mereka utk mencapai kejayaan bersama.

Tidak perlulah berkongsi sama rata. Tidak perlu dibahagi sama banyak harta yang ada. Yang penting masing-masing diberi peluang mengikut keperluan dan kemampuan. Jika tidak cukup, kita perbesarkan kek ekonomi agar pembahagian nanti jadi lebih besar. Jangan kita lupa, dalam setiap proses ada pahala dan dosa. Bukan semua perlu dinilai dengan wang semata-mata.

Apabila mempertahankan fahaman dan keyakinan, perlu kita sedar itu adalah persepsi kita sahaja. Manusia selalu tertipu dengan fatamorgana. Bebayang panas kita sangkakan lopak air. Jangan terlalu yakin, walaupun kita memang yakin; takut nanti TERBALIK KOD!!!

Wallahu'alam.

Tuesday, November 18, 2008

Tegur-menegur

Kereta Iswara dengan nombor pendaftaran MBA1?63 itu membelok dan masuk ke garaj. Rumahnya barangkali. Demang yang mengekor di belakangnya terpaksa berhenti sebentar akibat lorong yang sempit.

Sejak tadi lagi Demang tahu yang pemandunya seorang lelaki bersama dua orang kanak-kanak berada di dalamnya. Yang menarik perhatian Demang pada kereta sejenis dengan kereta yang dipandu Demang itu ialah nombor pendaftarannya.

"Apakah nombor yang tertanggal itu agaknya?" fikir Demang.

Demang tahu, untuk menggantikan plat nombor kereta tidak sampai pun RM20. Demang juga tahu, jika ditahan polis samannya boleh mencecah RM200. Maka Demang berbelah bagi samada hendak menegur lelaki itu atau membiarkan sahaja.

Jika ditegur, pastilah Demang mendapat ucapan terima kasih, dan sedikit pahala. Namun Demang terpaksa keluar dari kereta terlebih dulu dan mungkin menghalang kenderaan lain memandangkan lorong tersebut agak sempit.

Akhirnya Demang mengambil keputusan untuk berlalu begitu sahaja. Bagi memujuk hati, Demang andaikan yang lelaki itu akan sedar sendiri 'kecacatan' plat keretanya. Jika tidak, dia akan disaman dan duit tersebut akan dikumpul kerajaan. Sebahagian daripadanya akan menjadi sumber gaji kakitangan awam, termasuk Demang.

Cukupkah sekadar itu tindakan kita?

Menegur di dalam hati adalah selemah-lemah iman. (maksud hadis)

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)