Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Monday, March 30, 2009

Persepsi baru rakyat Malaysia




Sebelum bertolak ke Hulu Terengganu bagi menjayakan satu program motivasi baru-baru ini saya diberikan sebotol penjimat petrol oleh seorang rakan. Beliau meminta saya menguji samada produk tersebut berkesan atau tidak.

Maka saya pun menuangkan bahan tersebut ke dalam tangki di samping petrol. Memang berlaku penjimatan sekitar 20-30%. Maknanya, setiap RM100 yang saya belanjakan, saya jimat RM20-30.

Saya mula mencongak. Jika dulu saya guna RM100 untuk membeli petrol, kini saya cuma keluarkan RM80. Saya jimat RM20. Kemudian, RM20 tersebut saya gunakan untuk membeli sebotol penjimat petrol berharga RM15. Maknanya saya cuma jimat RM5.

Apabila saya kemukakan pada rakan-rakan, ada yang memandang remeh dengan tindakan saya itu. Kata mereka tak berbaloi dengan usaha tersebut cuma dapat jimat RM5. “Lagipun petrol dah turun harga.” kata mereka.

Itu adalah persepsi masing-masing.

Mudahnya mereka berfikir. Apabila harga petrol dunia mencanak naik, dengan mudah mereka salahkan kerajaan. Apabila diberikan alternatif, mereka menolak dengan pelbagai alasan.

Persepsi saya begini:

Pertama:
Penjimatan petrol sebanyak 20% tersebut membantu melambatkan penyusutan simpanan petroleum dunia.

Kedua:
Penggunaan produk penjimat petrol yang diperbuat daripada minyak sawit tersebut membantu industri minyak sawit negara. Kebetulan bapa saya adalah seorang peneroka Felda.

Ketiga:
Penggunaan penjimat petrol tersebut menyokong usaha kreatif dan inovatif saintis Melayu yang berjaya mencipta dan mengeluarkan produk tersebut.

Keempat:
Penjimat petrol tersebut bertindak menjaga enjen kereta saya dan menjadikannya lebih lancar dan meningkatkan jangka hayat.

Kelima:
Ia juga menyumbang ke arah alam sekitar yang lebih baik.

Keenam:
Duit RM5 itu saya boleh beli kerepek untuk dimakan sepanjang perjalanan. Dengan itu membantu perusahaan kerepek makcik-makcik di kampung. Kebetulan di kampung saya (Sabak Bernam) memang ramai pengeluar kerepek yang enak.

Ketujuh:
Peningkatan jualan kerepek memberi pendapatan tambahan pada penanam ubi kayu, pisang dan sebagainya di kampung-kampung termasuk ibu saya.

Demikianlah manafaat RM5 yang saya jimatkan melalui produk penjimat petrol tersebut.

Kerja tambahan yang perlu saya buat hanyalah menuang sedikit penjimat petrol tersebut ke dalam tangki setiap kali mengisi petrol. Susah sangat ke?

Dalam keadaan ekonomi dunia yang begitu gawat sekarang sebarang usaha walaupun kecil akan memberi impak pada ekonomi negara. Kita perlu faham di mana perlu berjimat dan di mana perlu berbelanja.

Dalam ekonomi Islam, wang perlu diaktifkan bukan disimpan di bawah bantal atau di bank dalam bentuk simpanan tetap. Pelaburan adalah sesuatu yang amat digalakkan.

Oh ya. Sebenarnya saya tidak perlu mengeluarkan duit poket untuk membeli penjimat petrol tersebut. Oleh kerana rakan saya itu juga pelanggan tetap minyak herba (serbaguna) Morhabshi yang keluarga saya keluarkan. Justeru saya dan rakan tersebut boleh melakukan sistem barter. Saya beri beliau 4 botol minyak Morhabshi dan saya dapat sebotol penjimat petrol.

Alhamdulillah. Demikianlah sumbangan kecil saya selaku rakyat Malaysia dan seorang muslim.

Di sebalik cerita Cheguman tadi, Demang pula ingin menyampuk. Tanggapan rakan-rakan Cheguman terhadap penjimat petrol tadi adalah satu persepsi. Demikianlah yang berlaku selama ini pada kerajaan BN dan parti UMNO. Rakyat dihijab untuk melihat keburukan kerajaan sehingga membuat kesimpulan mudah iaitu apa sahaja yang kerajaan buat, itu tidak betul; sebaliknya jika pembangkang yang berkata, itulah kebenaran. Padahal, jika kita mahu berfikir secara positif, kita akan mampu melihat kebaikannya.

Sebenarnya, syarikat pengeluar penjimat petrol tadi tidakpun memberitahu Cheguman hikmah pada ekonomi ummah berpunca daripada penggunaan produk tersebut. Namun dengan berfikir secara positif barulah kita dapat memahaminya. Sebenarnya Allah SWT yang memberi ilham pada kita. Jika kita ingin kebaikan, maka itulah yang diberikan. Sebaliknya jika kita gemar berfikir negatif dan menyalahkan orang lain, maka di situlah minda kita beroperasi. Kita akan terus menjadi manusia yang berfikiran negatif terhadap usaha orang lain.

Marilah kita melihat barisan baru Najib secara positif dan ketepikan semua persepsi buruk. Berdoalah pada Allah SWT agar negara kita terus aman. Masa depan di tangan kita, Insya-Allah. Janganlah terlalu bermimpi untuk memperolehi para pemimpin yang serba sempurna. Adakah kita sendiri sempurna? Adakah pemimpin yang belum mendapat kuasa itu sempurna? Adakah pemimpin yang dulunya pernah berkuasa (nombor 2 dalam kerajaan) itu sempurna?

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang mengubahnya."

Sunday, March 29, 2009

"Nizar calon terbaik" - DAP Perak

Oleh: Wan Nordin Wan Yaacob (http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=019994&Itemid=1
Tue | Mar 24, 09 | 1:46:20 pm MYT
KUALA LUMPUR, 24 Mac (Hrkh) - Pengerusi DAP Perak, Dato' Ngeh Ko Ham menyifatkan pencalonan Dato' Seri Ir Nizar Jamaludin sebagai calon PAS di Bukit Gantang adalah tepat dan terbaik.

Demang tidak mahu komen panjang-panjang. Berita di atas sudah cukup menjelaskan betapa bergunanya Nizar pada DAP. Maklumlah.. kesetiaan Nizar pada DAP amat hebat. Beliau sanggup melihat rakan-rakan PKR berbangsa Melayu dijerkah dan disergah oleh Ngeh ketika turut mencadangkan agar tanah untuk orang Melayu juga diberi kelulusan. Terkebil-kebil ADUN yang pernah menjadi posmen tersebut ditengking Ngeh. Barangkali Nizar juga membantah tindakan Ngeh itu walaupun kita tidak mendengarnya. Beliau membantah dalam hati.

Demang tidak tahu siapa yang akan menang dalam PRK yang diadakan serentak ini. Namun tinjauan Demang mendapati gelombang baru sedang berarak ke segenap bandar dan desa mengenai barisan baru kepimpinan UMNO bakal merubah landskap politik negara. Manakan tidak, DS NAjib memang sudah lama ditunggu-tunggu untuk menerajui negara. Tanyalah pada anggota tentera dan guru-guru yang pernah dinaungi oleh beliau. Malah suatu masa dulu jika sesebuah kementerian ingin dinaiktarafkan maka caranya ialah serahkan kementerian tersebut pada DS Najib. Perubahan drastik akan berlaku yang memberi kebajikan pada semua pihak.

Itulah sebabnya subuh Jumaat semalam Demang bangkit dengan ceria. Alhamdulillah, sinar kembali menyuluh Malaysia. Setelah beberapa tahun kepimpinan negara dipermainkan dengan hanya berbekalkan persepsi semata-mata, kini rakyat melihat satu harapan baru sedang menjelma.

Keadaannya begitu berbeza sekarang.

Saturday, March 28, 2009

Dunia ini kita kongsi bersama




Apakah yang kita mahukan sementara kita hidup di dunia ini? Demang percaya ramai tahukan jawapannya. Iaitu untuk beribadat kepada Allah SWT sebagaimana firman-Nya iaitu tidak Ia jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Nya.

Nampak macam mudah, dan sebenarnya ia tidaklah sukar andai manusia tidak bernafsu dan tidak berakal.

Bagaimana untuk beribadat?

Pertama, kita perlukan suasana yang aman dan tenang. Namun perlu diingat, bukan semua manusia gembira melihat kita beribadat kepada Allah.

Manusia yang ibadat dan anutannya berbeza daripada kita sebenarnya tidak pernah senang hati selagi kita tidak mengikut mereka. Ingatlah bahawa bilangan mereka lebih ramai berbanding kita. Pada mereka, kita lah penganut ajaran sesat yang perlu diperbetulkan. Sedarkah anda tentang itu? 'Sedar' dan 'tahu' mempunyai dua maksud yang berbeza.

Nota penting:
(Biasanya orang Islam tidak ada masalah dengan penganut Budha atau Hindu. Itu sebabnya tidak berlaku pergaduhan antara agama di Malaysia).

Justeru usaha mencari dan mengekalkan 'tempat beribadat' yang aman sejak dahulu kala menjadi satu tugas berat. Lihat sahaja peristiwa di Palestin. Penganut dua agama berebut tempat yang hanya ada satu.

Cabaran pertama kita untuk beribadat dengan tenang ialah nafsu kita sendiri. Salah satu daripadanya ialah nafsu seks. Maka Islam menetapkan caranya iaitu melayani nafsu melalui pernikahan. Kemudian di sebalik kenikmatan bersuami isteri itu Allah SWT menyertakan benih manusia baru.

Maka lahirlah anak-anak comel yang bakal membesar menjadi manusia, generasi demi generasi.

Sementara menanti anak-anak itu matang maka tanggungjawab kitalah mendidik dan mengawasi mereka. Maklumlah, anak manusia tidak serupa anak ayam atau anak ikan yang mampu hidup sendiri walaupun tidak dihantar kemana-mana sekolah.

Membesarkan anak-anak memerlukan kediaman dan lokasi yang sesuai. Membina generasi pula memerkukan sebuah negara yang aman dan harmoni. Mahukah kita sebuah rumah di dalam sebuah kampung atu bandar di sebuah negeri seperti Palestin atau Iraq?

Negara-negara tersebut asalnya aman damai. Malah di bumi Palestin terdapat Masjid Al Aqsa yang juga masjid suci ummat Islam. Namun negara tersebut kini menjadi pusat penyembelihan ummat Islam akibat sengketa sesama mereka.

Negara kita masih aman namun tidak selamanya boleh kekal begitu. Bibit-bibit perpecahan sudah kelihatan di sana-sini.

Demang tidak mahu menulis panjang sebab Demang hanya ingin menyeru satu perkara: Marilah kita bersama-sama membina negarabangsa dan negarakota milik kita ini.

Kepada pembaca bukan Islam, Demang percaya anda juga inginkan sebuah negara yang aman dan damai untuk melakukan ibadah mengikut cara masing-masing dengan tenang.

Dalam Al-Quran menyebut: "Lakum dinukum waliyadin" yang bermaksud bagimu agamamu dan bagiku agamaku".

Marilah kita bina negara ini bersama-sama dan agihkan kekayaan negara dengan adil.

Bagi ahli-ahli UMNO, ingatlah: Biduk lalu kiambang bertaut. Anda ada tanggung jawab lain yang lebih besar.

PS:
Malam ini ada kempen 'Earth Hour'. Jangan lupa untuk padamkan lampu di rumah anda selama sejam iaitu 8.30 - 9.30 malam. Mari kita membantu menyelamatkan bumi kita. Selagi ia belum khiamat, tanggung jawab kitalah untuk menjaganya.

Thursday, March 26, 2009

Apa matlamat anda?



Perhimpunan UMNO sedang berlangsung. Sedar atau tidak sekalian rakyat turut mengikutinya dengan cermat. Malah seluruh dunia sedang memerhatikan kita. Demang juga tidak ketinggalan. Namun, oleh kerana Demang adalah Demang, maka disamping kita membicarakannya, Demang ingin berkongsi sebuah cerita dongeng.

Kisah dikatakan berlaku di sebuah negeri di selatan benua cina, lama dahulu. Demangpun sudah lupa namanya. Sebagaimana negeri lain di mana-mana pelusuk dunia, maka negeri tersebut juga mempunyai ketua iaitu seorang raja. Namanya pun Demang sudah lupa.

Raja yang digelar Maharaja tersebut mempunyai seorang puteri yang cantik jelita. Maaf, Demang juga tidak ingat namanya.

Pada suatu hari Maharaja telah memanggil Kapitan Tua masuk mengadap. Oleh kerana bahasa yang digunakan ialah bahasa cina purba maka Demang terjemahkan secara bebas seperti berikut:

"Haiya... wa manyak lisau la apek." titah baginda dengan wajah yang gusar.

"Apa pasat? Lu moleh celita sama wa. Nanti wa kasi nasihat. Itu memang wa punya keleje." Ujar Kapitan Tua dengan rasa tanggungjawab.

"Itu, wa punya puteli sulah busat tapi talak kawin lagi oo." Maharaja mengeluh.

"Itu manyak sinang. Kita kasi kawin saja la. Tuanku manyak luit, bila-bila moleh bikin kenduri busat." jawab memanda dengan penuh wibawa.

"Haiya... kalau wa cakap lu bodo, lu malah. Itu wa tau la. Tapi, sapa kita mau kasi kawin sama wa punya puteli?" maharaja mencerlangkan mata sepetnya ke arah Kapitan Tua.

"Soli la tuanku. Nanti wa pikir aaa..." jawab Kapitan Tua terkulat-kulat.

"Ha... wa ada idea. Kita bikin satu pertandingan. Kita panggil semua pemuda dalam negeli kita masuk pertandingan. Sapa menang kita panggil dia kawin sama itu puteli." Kapitan Tua bersuara girang.

Setelah ber'cong-ceng-cong-ceng' kira-kira 45 minit maka kedua-duanya tersenyum lebar kerana menemui satu idea yang amat bernas.

Maka pihak mediapun dimaklumkan bagi menyebarkan pengumuman kepada seluruh rakyat negeri tersebut bahawa Maharaja akan mengadakan suatu pertandingan bagi memilih menantu.

Dipendekkan cerita, pada hari Pemilihan Agung tersebut berduyun-duyunlah rakyat jelata dan kerabat diraja serta orang bangsawan berhimpun di kawasan istana.

Entah bila dikerjakan, rupa-rupanya di hadapan istana tersebut sudah dibuat orang sebuah kolam berkeluasan mengikut piawaian olimpik.

Dipendekkan lagi cerita dengan membuang ucapan perasmian dan sebagainya maka Kapitan Tua pun tampil ke hadapan untuk membuat pengumuman pertandingan.

Berikut adalah terjemahannya:

"wa manyak suka hati lu olang suma mai sini ini hali. Wa kasi tau aa.. Balang siapa moleh telejun ini kolam dari tebing sini; belenang ka, selam ka, lu olang punya suka, dan naik ikut tebing sana, yang pertama dikila pemenang..." Kapitan Tua berhenti sejenak, terbatuk kecil dan meludahkan kahak berwarna hijau pekat ke lantai. Menyedari perbuatannya itu dijeling oleh Maharaja, Kapitan Tua segera memijak kahak itu dengan terompah sambil mengisarnya.

"Woiii, itu bolo punya olang... jangan telejun dulu ma... wa belum abis cakap lagi." Kapitan Tua tiba-tiba menjerit apabila dilihatnya beberapa orang pemuda dan bukan pemuda (laki orang) ingin terjun ke dalam kolam.

"Hanya anak teluna saja boleh masuk ini contess ma... Lagi satu, bukan lakyat jelate Mahalaja talak dibenarkan masuk aa... Lagi satu aa... Dalam ini kolam aa, wa sulah kasi taluk lua tiga ekor buaya. Sula lama talak makan olang punya buaya." tambah Kapitan Tua lagi.

"Ke galisan, selia, GO..!" Kapitan Tua melaung. Namun tidak seorangpun yang terjun ke dalam kolam. Beberapa minit berlalu begitu sahaja. orang ramai tertanya-tanya.

"Haiya... tak mau mula ka? Wa punya vokal talak kuat ka? OK, wa kila satu kali lagi." Kapitan mengambil corong suara dan mengira sekali lagi.

Namun sebagaimana tadi, tidak ada seorang pemuda pun yang berani terjun ke dalam kolam.

Maharaja mula resah dan kecewa memikirkan tidak ada pemuda di negerinya yang hebat dan berani. Kapitan Tua juga marah dan sedih dengan kebaculan pemuda harapan bangsa. Rakyat jelata turut gelisah dan kecewa mengenangkan betapa jika negara diserang adakah para pemuda mampu menjadi benteng negara.

Tiba-tiba kedengaran bunyi tercebur dan kelihatan seorang pemuda berenang dengan pantas di dalam kolam tersebut. Dalam masa yang singkat beliau berjaya memanjat tebing penamat dan segera di peluk oleh Kapitan Tua.

"Wah! lu memang hebat. Bravo. Sikalang lu sudah menang. Lu akan dapat hadiah iaitu mewalisi semua haleta Mahalaja. Suka?" tanya Kapitan Tua dengan bangga.

"Tak mau..." ujar sipemuda sambil menggeleng kepala. Tubuhnya menggigil, kesejukan agaknya.

"Tak mau? Ok wa tau. Lu mau jadi maharaja? Takpa. Mahalaja sulah janji mau kasi lu jadi mahalaja." ucap Kapitan Tua tersenyum.

"Wa tak mau jadi mahalaja." bantah sipemuda dengan tegas.

Orang ramai yang turut mengikuti drama spontan tersebut turut tertanya-tanya.

"Tak pa. Lu boleh ambil semua. Lu tetap boleh kawin sama puteli laja. Jngan bimbang." pujuk KApitan Tua dengan lembut.

"Tak mau...! Wa tak mau tu semua." Sipemuda bersuara sambil mengetap bibir.

"Abis, lu mau apa?" Kapitan Tua pula menjadi berang.

"Wa mau cari sapa yang tolak wa masuk dalam kolam tadi!" jerit sipemuda.

Itu hanyalah cerita dongeng. Kisah si'tolol' yang menolak hadiah raja.

Mesej daripada Demang ialah: Apakah matlamat anda? Adakah anda seperti pemuda tolol tadi yang hadir di istana raja hanya kerana orang ramai menghadirinya? Lantas walaupun sudah diiktiraf sebagai pemenang dan bakal mendapat hadiah lumayan pun masih sibuk mengemukakan tuntutan yang remeh temeh?

Lihatlah di sekeliling kita: begitu ramai yang meletakkan laba dan habuan dunia sebagai matlamat perjuangan. Padahal Allah SWT telah menjanjikan syurga sebagai hadiah untuk manusia yang mengekalkan keimanan kepada-Nya. Tidakkah itu matlamat Kita?

Bagi Demang, perwakilan yang mengambil rasuah samalah seperti sitolol tadi yang tidak mahukan hadiah yang dijanjikan Allah iaitu pahala dan balasan syurga hasil perjuangan dalam UMNO. Mereka hanya nampak laba segera yang diperolehi apabila mengundi seseorang.

Oh ya. Jangan ahli UMNO sahaja yang diminta menjaga dosa dan pahala. Para penjawat awam, ahli korporat, buruh, pemandu, anggota keselamatan, pelajar, blogger, dan sesiapa sahaja ada amanah dan tanggung jawab masing-masing.

"Jagalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka".

Monday, March 23, 2009

Pemilihan Umno: "Pilihlah dengan hati nurani" (kata Tun DrM)




Seorang sahabat menelefon dari Terengganu meminta pandangan siapakah yang patut beliau pilih dalam pemilihan UMNO nanti?

Jika soalannya 'siapa' maka sukarlah Demang menjawabnya. Apatah lagi Demang bukannya ahli UMNO. Cuma yang boleh Demang kongsikan di sini ialah ciri-ciri pemimpin yang layak dipilih dan ciri-ciri pemimpin yang wajar di'nyahtinja'kan.

Jika nak disenaraikan ciri-ciri pemimpin yang baik, rasanya akan penuhlah ruangan ini dengan satu set nilai yang mungkin membosankan pembaca. Bukan bosan pada nilai tersebut tetapi bosan dengan ahli politik yang sekadar menjadikan nilai-nilai tersebut sebagai umpan bagi meraih sokongan semata-mata. Justeru Demang cari senarai-semak yang lebih pendek iaitu apakah isu yang rakyat perbualkan terutamanya menjelang pemilihan ini.

Apa isunya? Sudah terang lagi bersuluh. Sudah tentu isu yang menjadi mimpi buruk KM bagi negeri Demang bermastautin sekarang!

Demang akur, bukan mudah melenyapkan politik wang . Sekalipun UMNO itu dimusnahkan kita tidak boleh menjamin yang parti alternatif mampu bersifat bersih.Namun sebagai manusia yang dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi muslim dan mukmin, wajarkah kita berlepas tangan dan membiarkannya terus berlaku samada dalam parti bernama UMNO atau parti yang mempunyai nama lain?

Pokok pangkal terletak pada kita. UMNO tidak akan masuk syurga atau neraka. UMNO hanya alat di dunia untuk mencapai kejayaan di akhirat. Bagi ahli UMNO yang insaf dengan tujuan Allah SWT menzahirkan mereka ke dunia akan mengambil peluang yang disediakan oleh UMNO sebagai wadah memperjuangkan Islam. Atau setidak-tidaknya tempat untuk mengumpul pahala. Atau, kalau itu pun sukar dilakukan, maka jangan jadikan UMNO tempat menumpang dosa orang lain. Pemberi dan penerima rasuah sama sahaja tarafnya. Pemimpin memberi rasuah sebab boleh untung juta-juta sebaliknya para perwakilan terima rasuah hanya untuk beberapa ratus atau ribu ringgit sahaja. Nasib tidak baik, belum sempat tiba di rumah sudah mati eksiden!

Kalaupun selamat tiba di rumah, nak dipengapakan duit haram itu? Sanggup bagi anak-anak makan dengan duit haram itu? Atau digunakan bagi menukar tayar kereta? Apa hal kalau tayar itu meletup ketika membawa keluarga? Mahu dibeli perabut dengan duit haram itu? Tidak takut ke rumah terbakar dan keluarga anda rentung di dalamnya?

Maklumlah... duit haram. Tapi jangan bimbang. Perkara begitu jarang berlaku dan anda mungkin bernasib baik. Kalau berlaku juga mungkin terhadap orang lain. Bagaimana dengan akhirat?

Petua Demang ringkas dan mudah: Kalau kita sudah tahu calon itu mengamalkan rasuah, kenapa masih nak pilih? Nak tahu siapa yang rasuah mudah sahaja. Kalau kita ditawarkan sejumlah wang oleh seseorang, jangan diundi calon itu. Takkanlah kita tidak tahu siapa yang menyogok walaupun mereka menggunakan agen?

Bagaimana pula jika kesemua calon memberi sogokan? Lagi mudah! Pulaukan sahaja perhimpunan UMNO itu. Jika perwakilan tidak mahu pulaukan, rakyat yang akan pulaukan terus UMNO!

Bagaimana jika hanya anda seorang yang bertindak sedangkan orang lain tidak peduli? Hai, takkan lah itu pun Demang nak ajarkan? Kalau tak faham juga, baca tatacara berikut:

Apabila seseorang muslim itu meninggal dunia maka wajib atas kita memandikannya, mengafankannya, menyembahyangkannya, dan mengebumikannya.

Selepas itu, pandai-pandailah dia jawab sendiri pada malaikat kat dalam kubur tu. Tak perlulah kita nak jaga semua tingkahlaku mereka kalau mereka tidak sudi menerimanya. Pendekata, mereka jawablah sendiri nanti.

Belum puas hati dengan cadangan Demang itu?

Demang ada petua kedua:

Jika ada 3 calon yang merasuah anda, undilah calon yang beri anda habuan yang paling sedikit. Contoh, jika calon A beri 100, calon B beri 30 dan calon C beri 10, undilah calon C. Tapi ingat; berdosa atau tidak, bukan Demang yang tentukan. Sekurang-kurangnya kita berusaha mengurangkan gejala rasuah. Demang yakin petua ni memang bagus. Pemilihan seterusnya nanti (jika UMNO masih ada), pasti para calon akan berlumba-lumba bagi rasuah paling sedikit. Lambat laun, bukan calon yang merasuah perwakilan sebaliknya perwakilan yang mengumpulkan dana dari kocek sendiri bagi menyokong seseorang calon yang sanggup menjadi pemimpin.

Nota Demang:
Ada sesiapa boleh tolong berikan Demang alamat web pendaftaran UMNO online? Demang nak masuk UMNO dan nak bertanding dalam pemilihan seterusnya. Tak lama lagi guru-guru dah boleh aktif politik!

Wednesday, March 11, 2009

Isu Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris



Gerakan Munir tampak semakin lemah. Raihan masih berusaha memutuskan tali yang berbelit ditubuh sahabatnya itu. Buih-buih halus yang keluar dari rongga Munir semakin berkurangan. Sedari tadi lagi Munir sudah beberapa kali memberi isyarat pada Raihan agar meninggalkannya sendirian. Namun Raihan tidak tergamak. Selagi mampu, tubuh Munir akan dilepaskan dan dijuakkan ke permukaan.

Berada pada kedalaman 60 kaki di dasar tasik bukanlah perkara yang asing bagi mereka. Namun keadaan kali ini memang berbeza. Besi padu dari runtuhan jeti di tebing tasik telah menghempap kaki Munir. Tali-tali kecil yang melurut bersama tiang itu membelit tubuh Munir menyebabkan ia tidak boleh melepaskan diri. Kini tangki oksigen Munir juga sudah kontang. Tangki kepunyaan Raihan juga sudah semakin susut dan akan kehabisan bila-bila masa sahaja. Tali sial yang membelit tubuh Munir belum dapat dirungkai, malah semakin utuh apabila batang besi itu berinsut.

Raihan memandang wajah sahabatnya dengan sayu. Dia sedar, tidak ada apa lagi yang boleh dilakukannya. Dia harus naik ke permukaan sekarang. Jika tidak, mayat mereka berdualah yang akan dinaikkan oleh orang lain nanti. Tegarkah Raihan meninggalkan Munir yang masih bernyawa itu? Mahu tidak mahu itulah keputusan yang sedang diambil Raihan kini.


.....................

Demikianlah sukarnya membuat keputusan. Barangkali itulah yang dirasakan para pejuang bahasa Melayu yang mengusung keranda 152 dalam demonstrasi di Istana Negara kelmarin. Itu jugalah perasaan yang turut dikongsi oleh saya dalam isu PPSMI ini. Seperti mengulum buah Simalakarma, ditelan mati emak diluah mati bapa.

Dalam keadaan begini kita perlu kembali pada realiti. Kerajaan bukan suka-suka hendak mengusik sensitiviti orang Melayu. Kerajaan bukan sekali-kali hendak membunuh bahasa Melayu. Malah Bahasa Melayu tidak akan mati dek penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains.

Kerajaan boleh sahaja membuat keputusan yang popular dengan membatalkan penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains & Matematik sebagaimana kerajaaan membatalkan permit kerja 70 ribu pekerja Bangladesh setelah banyak pihak mendesak. Kerajaan boleh sahaja mengubah keputusan membenarkan kenaikan tol tidak sampai 12 jam setelah kenaikan diumumkan.

Kerajaan tidak berdegil semata-mata kerana egois atau angkuh.

Kenyataannya, apapun bahasa yang digunakan dalam pengajaran kedua-dua subjek tersebut hanya sebahagian kecil sahaja pelajar yang akan lulus dengan cemerlang. Sebahagian besar pelajar hanya akan memperolehi keputusan sederhana sahaja. Jika tidak percaya, tanyakan pada orang sekeliling anda yang belajar Sains dan Matematik menggunakan bahasa Melayu.

Kitapun tidak mengimpikan semua rakyat cemerlang dalam Sains dan Matematik. Itu hanya fantasi.

Sebahagian besar pelajar akan menyertai bidang teknikal, agama, sastera, pertanian, dan sebagainya. Dalam pada itu penguasaan mereka dalam bahasa Inggeris akan lebih baik berbanding generasi sebelum ini. Sebagai contoh, kita berharap akan memperolehi ilmuan Islam yang mahir dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab.

Soalan kedua, adakah bahasa Melayu akan pupus dengan perlaksanaan PPSMI? Tidak. Sebagaimana yang dinyatakan tadi hanya sebahagian kecil sahaja akan meneruskan pelajaran di universiti dalam bidang Sains dan Matematik sebagaimana juga yang berlaku sebelum ini.

Soalan ketiga, adakah pelajar Melayu terutama di luar bandar akan menjadi korban? Jangan lupa, jika pelajar Melayu terpaksa belajar dua bahasa, pelajar cina perlu belajar tiga bahasa termasuk bahasa ibunda mereka. Jika diikutkan kaum Cina lah yang akan membantah PPSMI ini.

Bagi pelajar Melayu di luar bandar, melalui PPSMI lah mereka mempunyai masa tambahan untuk berbahasa Inggeris. Selain dari waktu itu, mereka akan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. Mereka tidak seperti rakan-rakan yang lahir dalam keluarga yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris di rumah. Mereka juga kurang didedahkan dengan interaksi dan komunikasi luar menggunakan bahasa Inggeris. Hanya di sekolah sahaja tempat mereka memberikan perhatian pada bahasa tersebut. Kita tidak mahu mereka semakin ketinggalan.

Soalan keempat, kenapa tidak kita asingkan pelajar yang ingin berbahasa Inggeris dengan yang 'tidak mampu'? Jawabnya, kerajaan (Tun DrM) tidak mahu bersikap tidak adil. Mereka mahu membuka peluang kepada semua rakyat tanpa mengira darjat. Malah jika kerajaan mengasingkan pelajar berbahasa Inggeris dengan yang berbahasa Melayu, pihak pembangkang tentu akan mendakwa bahawa kerajaan memang zalim.

Pembangkang memang begitu.

Apapun, Demang ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Sasterawan Negara A. Samad Said kerana memainkan peranan dengan baik. Adalah menjadi tanggungjawab beliau dan orang seperti beliau untuk mengingatkan kerajaan supaya tidak tersilap membuat keputusan.

Tuesday, March 10, 2009

Perhimpunan PERKASA



PERHIMPUNAN PRIBUMI PERKASA NEGARA 22.MAC.09 (AHAD) 8.00 PAGI bertempat di Kompleks Sukan TNB Bangsar. Sesi Pagi Ucaptama Oleh Tun Dr. Mahathir, bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4. Sebelah Petang Sidang Kemuncak PERKASA. Kepada Bloggers BPN semua dijemput hadir demi kepentingan bangsa dan agama.

Minta tolong sahabat blogger terutamanya ahli BPN untuk menghebahkan perkara ini.

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)