Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Tuesday, July 25, 2017

Anugerah perintis media sosial


Minggu lepas saya dijemput ke Kuantan Pahang untuk diraikan, konon sebagai perintis media sosial di Malaysia.

Sebenarnya title yang diberikan itu rasanya tak tergapai dek tangan sementelah sayapun bukan top blogger ketika itu. Hanya di pinggiran yang akhirnya betul-betul terpinggir.

Apapun jutaan terima kasih pada pihak penganjur iaitu team Media Pahang diketuai Dato Shahaniza Shamsuddin dan orang kuat beliau, sahabat blogger Azam Braveheart.

Rupa-rupanya ada juga pihak yang sudi menghargai spesis terancam yang hampir pupus seperti kami ini.

Mengimbau penglibatan saya dalam penulisan di ruang cyber ala syok sendiri, bermula sekitar 1999 melalui tapak geocities milik yahoo.com. Url tepatnya ialah http://www.geocities.com/panduannet. Kandungan webpage saya itu tertumpu pada bidang pendidikan, kenegaraan, dan sedikit promosi produk keluaran keluarga iaitu minyak morhabshi.



Hidup lagikah link geocities?

Ketika itu untuk menjadikan tulisan kita tersiar di internet tidaklah mudah. Perlukan sedikit kemahiran html.  Namun aplikasi penyunting berkonsep what you see you get (WYSYG) amat membantu saya yang buta bahasa pengaturcaraan.

Terima kasih penyunting web Dreamweaver. Masih ada kah?

Lama juga Geocities berjasa pada dunia. Saya pernah cuba menggunakan Tripod namun tidak begitu serasi.

Tahun masihi 2005 saya membeli domain dan menyewa tapak berbayar yang masih utuh hingga kini iaitu www.morhabshi.com yang merupakan tapak perniagaan online saya. Skrip php pertama ialah skrip murah yang saya beli dari Indonesia dan saya edit sendiri seperti tikus membaiki labu.

Tak dapat kek labu, pengat labu pun jadi lah. Alhamdulillah.

Blogspot muncul sekitar 2009 kalau tak silap. Sebelum dinamakan Waadat saya mencuba beberapa nama lain namun nama Waadat lebih dikenali dan serasi pula hingga ada sahabat blogger yang masih memanggil saya dengan panggilan Waadat.

Alternatif bagi blogspot.com ialah wordpres.  Ia juga menawarkan hosting percuma.


Saya membuka tidak kurang 15 blog (blogspot) secara personal dan menulis di beberapa blog yang dikongsi bersama blogger lain. Saya menulis secara konsisten antara 2 atau 3 blog dalam satu-satu masa manakala selebihnya 'ikut suka hati saya'.

Setakat 24 Julai 2017 terdapat 2156 artikal saya siarkan dalam blog Waadat. Ini bermakana jika dikira dari 2009 hingga sekarang seolah saya masih menulis hampir setiap hari.

Blog Waadat muncul di tengah-tengah medan peperangan besar antara kelompok pendokong gerakan reformasi DS Anwar Ibrahim (DSAI) dengan penyokong setia kerajaan yang sedang memerintah.

Waadat hidup di zaman Tun Mahathir, Paklah (Tun Abdullah), dan diteruskan pada zaman DS Najib menjadi PM.

Meskipun Waadat dilihat menyebelahi pemerintah namun bagi saya hakikatnya tidak begitu.

Sebagai aktivis ngo (KERIS) yang bergerak bersama Biro Tatanegara (BTN), saya merasa terpanggil untuk mententeramkan orang ramai dengan mengingatkan rakyat bahawa ketua negara yang sebenar adalah Yang Dipertuan Agong dan negara ini adalah negara beraja.

Ini bukannya negara republik atau sosialis berketuakan MR presiden.

Itu sebabnya blog ini dinamakan WAADAT sempena peristiwa bersejarah persetiaan antara Demang Lebar Daun yang mewakili rakyat yang bersumpah setia dengan Sang Sapurba di Bukit Saguntang Mahmeru iaitu asal raja-raja melayu bernasab keturunan Parameswara-sultan melaka.

Keaktifan dalam dunia blog membawa kepada usaha menyatukan para blogger sealiran hingga tertubuhnya Blogger Pembela Negara (BPN).



Ibarat belum jumpa rotan akarpun berguna maka saya dilantik menjadi timbalan yang dipertuanya, pertama dan mungkin terakhir. 

YDP disandang blogger dikenali sebagai Panglima Perang Cyber yang kemudiannya saya tahu merupakan seorang ustaz. Beliau perintis yang gigih.

Jika saya sebut nama blogger ketika itu pastilah banyak nama yang akan tertinggal. Namun antara yang boleh saya catatkan di sini ialah Papagomo, Parpukari, Minda Intelek Melayu (Dr Novandri), Taiping Mali, Sekupang Dua, Bumiyang,  Rizqeen Hill, dan Azmi APA.

Sekali lagi saya mohon maaf atas senarai tersebut. Sebenarnya selain nama Papagomo dan Parpukari, saya sekadar menyebut nama blogger yang sempat hadir dalam majlis di Kuantan minggu lepas. Ramai lagi bloggers yang lebih hebat tiada dalam senarai di atas.

Antara bloggers BPN yang masih aktif ialah Panglima Perang Cyber, Pisau,  Angin Perubahan,  Darul Ehsan Today,  Ipoh Malay,  Mymassa,  Pejuang Bangsa,  Badut Rakyat,  Wangsamaju, Blog MIK, Suara Melayu Baru,  Mael Pengerang, dan Tinggalkan Satu Peluru. 

Ada beberapa blogger yang tidak menyertai BPN tetapi menyokong kami seperti Nobisha, Azlishukri, Mysrimuara, dan Husin Lempoyang.

Blogger Azli Shukri hadir dalam reunion di Kuantan yang saya kisahkan ini.

Oh ya.  Anda boleh lihat dalam bloglist di sebelah kiri blog Waadat ini senarai blog yang bergabung di bawah panji BPN. Ada juga yang telah meninggal dunia. Antaranya sahabat saya Dato Azizan Yaakob bekas YB di Jerantut.

Pertumbuhan blog antara 2009-2012 adalah seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Ia rentetan selepas BN mengalami kehilangan sokongan secara besar-besaran, membawa pada kemerosotan undi dalam PRU meski BN masih mengekal kuasa.

Para pemerhati politik membuat kesimpulan keputusan teruk BN adalah impak serangan pembangkang melalui media cyber tidak bertapis namun dianggap sumber perdana.


Rakyat tika itu sedang dilanda ketakjuban pada kemunculan media baru sehingga apa sahaja yang terbit dari internet dianggap berita dari langit.

Dalam lautan maklumat itulah Waadat muncul. Persoalan besar ialah bagaimana mahu merebut audiens yang mempunyai berjuta pilihan?

Maka Waadat perlu tampil dengan sedikit kelainan. Mesti unik.

Dengan gadjet sederhana serta talian internet terhad,  saya harus mengemukakan sesuatu yang menarik agar tidak tertolak ke tebing. 

Pendekatan yang saya ambil ialah mencungkil dan menyingkap agenda tersirat di sebalik peristiwa tersurat. Ia adalah tugas amat mencabar dan lebih perit lagi ia perlu dilakukan sendirian.

Sepatah kata seorang sahabat blogger ketika itu, jangan komplen sebab tiada siapapun yang menyuruh kita berblog.

Antara contoh tumpuan penulisan saya ialah apabila ramai yang bosan dengan Tuah maka Jebat ditonjolkan sebagai adiwira baru melayu.

Maka di sinilah Waadat mengambil peranan kecil memulihkan semula imej Tuah di mata orang melayu, terutama generasi muda.

Zaman reformasi juga berjaya memberi nafas kembali kepada beberapa pemuja sosialis seperti hishamudin Rais dan Raja Petra. Ini cabaran cukup hebat kerana rakyat amat mudah terpesona dengan bujukan sosialis yang amat muluk. 

Era blog yang dilihat begitu hebat akhirnya tersisih apabila muncul Facebook. Media sosial yang lebih mesra pengguna itu menjadikan blog bukan lagi pilihan utama.  

Audiens tidak hanya ingin sekadar membaca idea blogger bahkan dapat pula melontarkan pendapat sendiri dengan amat mudah.

Ramai kalangan blogger sendiri akhirnya merasa lebih selesa dengan Facebook dan Twitter meninggalkan blog yang makin tersisih dan terabai.



Sebenarnya tidakan tersebut wajar kerana tiada gunanya berpencak di gelanggang sendiri tanpa lawan dan audiens.

Orang ramai sudah lari ke media sosial sebenar.

Bloggers Waadat juga tidak tetkecuali. Saya membuka dua akaun facebook dan dua page atas nama Cheguman Waadat dan Demang Lebar Daun. Itulah dua nama yang dikenali audiens yang selalu menjengah Waadat.

Peperangan dalam media sosial terutananya Facebook rupanya lebih sengit. Undang-undang, etika, dan peraturan dibuang terus. Malah hukum agama seolah tidak perlu dipatuhi di ruang cyber.


Facebooker bertempur siang malam,  24 jam. Gambar pemimpin samada kerajaan mahupun pembangkang diconteng dan disebarkan semahu-mahunya. Ulama pun dihina dan dipersenda. 

Carut marut,  maki hamun dihambur wewenang. Langsung tiada pantang larang atau segan silu. Padahal akaun masing-masing bertaut dengan anak-anak serta kaum keluarga.

Akhirnya saya ambil keputusan membuka Akaun baru atas nama penuh saya Noor Azman Aminudin.



Saya jemput kaum keluarga, rakan taulan, dan kenalan sahaja. Apapun untuk meluaskan kenalan saya jemput dan terima rakan kepada rakan saya. Biasanya saya akan lihat profile mereka terlebih dahulu.

Yang tidak beradab biasanya saya akan buang.

Sejak kebelakangan ini pengguna facebook sudah semakin matang. Dalam kalangan rakan saya perkongsian merapu dan komen maki hamun sudah hampir tiada.

Saya sukakan fb. Sesekali terfikir juga,  alangkah baiknya jika Malaysia boleh buat sesuatu supaya kita tidak perlu 'bergantung' pada FB lagi.

Sebenarnya kita perlu buat sendiri. 

Sekian,  wassalam.

Cheguman, Waadat. 
Demang Lebar Daun. 

No comments:

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)