Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Wednesday, October 29, 2008

Pengorbanan seorang ibu

Suatu pagi ketika sedang memandu ke sekolah, Demang terdengar imbasan berita di radio tentang seorang ibu yang berjaya menyelamatkan beberapa orang (kurang pasti jumlahnya) kanak-kanak di sebuah asrama dalam satu kebakaran. Belum sempat wanita itu meraikan dan mensyukuri kejayaan, beliau mendapat tahu bahawa anak kandungnya sendiri telah mati hangus di tingkat bawah bangunan itu. Mungkin beliau menyangka akan ada orang lain yang menyelamatkan anaknya memandangkan dia sedang bertungkus-lumus menyelamatkan kanak-kanak lain di tingkat atas.

Demang teringat satu kesah pembunuhan beramai-ramai di Amerika pada suatu ketika dulu. Maka terdapat segolongan manusia yang bertanya: “Ke manakah Tuhan pada malam tersebut?”

Semoga tidak ada orang muslim yang cuba bertanya: “Adakah Allah SWT bersikap adil terhadap wanita tersebut?”

Demang akui, jika perkara tersebut berlaku kepada diri sendiri, belum pasti Demang mampu menghadapinya dengan tenang dan sabar. Demang belum layak menduduki ujian setinggi itu.

Peristiwa tersebut sebenarnya boleh dilihat daripada pelbagai sudut. Di sini Demang ingin mengajak anda menginsafi erti pengorbanan dan keikhlasan kepada Allah. Sejauh manakah kita melakukan sesuatu dengan ikhlas tanpa sebarang keinginan bagi mendapat ganjaran, lebih-lebih lagi sekadar mengejar habuan?

Allah SWT tidak akan menguji hambanya melebihi kemampuan mereka. Demang yakin demikianlah yang berlaku pada wanita tersebut. Begitu hebat ujian yang terpaksa beliau hadapi. Jika beliau membantu kanak-kanak lain tanpa mengharapkan orang lain menyelamatkan anak kandungnya, maka beruntunglah beliau. Namun jika beliau mengungkit-ungkit betapa pengorbanannya tidak dibalas dengan sewajarnya oleh orang ramai maka ‘lagha’lah ibadatnya itu.

Apapun, jasa wanita tersebut amat besar dan Demang berdoa agar Allah Taala memberi kekuatan jiwa yang hebat kepada beliau dan turut memberi ganjaran pahala atas pengorbanannya.

Di mana pula kedudukan kita? Adakah kita tabah menghadapi ujian Allah Taala? Sebelum itu, adakah kita sudah menunaikan tanggungjawab kita dengan ikhlas?

Sekarang musim pemilihan UMNO. Barangkali ramai dalam kalangan kita yang terlibat secara langsung sebagai perwakilan. Adakah kita ikhlas dalam memikul amanah rakyat dlm memilih calon terbaik?

Demang percaya, semua orang ingin menjadi baik. Semua perwakilan akan mengundi berdasarkan kualiti iman dan taqwa, bukan kerana sogokan wang (rasuah).

Namun, akan ada nanti ‘perwakilan’ yang sedang kesempitan wang. Hutang keliling pinggang. Anak-anak memerlukan wang. Keluarga kekurangan wang. Maka amanah dan tanggungjawab terpaksa dikesampingkan. Syaitan dan nafsupun membisikkan hujah dan alasan bahawa tidak salah menerima rasuah demi anak-anak dan keluarga. Bukankah melindungi keluarga itu wajib? ...mencari alasan bagi mewajarkan tindakan.

Maka mereka lupa betapa ujian yang Allah Taala hadapkan kepada mereka itu amat kecil berbanding ujian yang dihadapi oleh wanita yang kehilangan anak tadi.

Subhanallah.

Monday, October 27, 2008

DEKLARASI JANDA BAIK

Agak lama tak 'upload' artikal ke sini. Sebenarnya saya menulis setiap hari menggunakan 'notepad' pada 'hanphone'. Begitulah selalunya selama ini. Namun, atas kesilapan sendiri, 'handphone' dengan laptop saya dah 'tak bertegur sapa' antara satu sama lain. Jadi, saya tak dapatlah nak 'upload' ke internet. Nak gunakan 'handphone' dan upload dari situ? Mintak maaf... Saya belum bersedia untuk bayar bil 'handphone' lebih RM200 sebulan.

Jadi, sementara itu eloklah saya siarkan Deklarasi Janda Baik Ini yang saya dapat di blog MSO (http://msomelayu.blogspot.com/). Walaupun saya tidak berada di lokasi tersebut dan tidak terlibat langsung dalam penulisan deklarasi itu, namun saya amat bersetuju dan menyokongnya.

Selamat membaca, menghayati, dan memperjuangkannya. Sebagaimana pesanan MSO dan semua yang terlibat; Semua blogger yang bersetuju dengan deklarasi tersebut hendaklah menyalin dan menampal deklarasi ini di blog masing-masing.

Mari kita lakukannya sekarang.

Wassalam.

&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&

Memandangkan keadaan politik negara yang gawat, cabaran dan gugatan terhadap kepimpinan Melayu yang lemah oleh pihak-pihak tertentu, dari dalam dan luar negara serta keadaan ekonomi dunia yang kucar kacir dewasa ini, maka KAMI, para penulis, wartawan dan blogger yang prihatin terhadap nasib Bangsa, Agama dan Tanah Air, yang bersidang di Janda Baik, Pahang mengambil sikap dan pendirian seperti berikut:-

1. KAMI mendesak dan menuntut agar para pemimpin Melayu dari berbagai fahaman politik mengembelengkan tenaga, kerjasama dan buah fikiran demi mempertahankan keluhuran dan kekeramatan PERLEMBAGAAN MALAYSIA TANPA KOMPROMI
.
2. KAMI memberi amaran kepada para pemimpin politik Melayu dari semua fahaman ideologi agar jangan menjadi pemimpin Pak Pandir yang hanya menang sorak tetapi kampung halaman dan negara terjual kepada pihak asing.

3. KAMI juga memberi amaran keras kepada pihak-pihak tertentu yang memainkan sentimen perkauman dan mempertikaikan HAK ISTIMEWA MELAYU sepertimana yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN NEGARA agar jangan mencetuskan permusuhan antara kaum, antara agama dan antara budaya oleh kerana mereka menganggap kepimpinan Melayu lemah dan boleh diperdagangkan untuk memenuhi agenda perkauman mereka.

4. KAMI juga memberi amaran keras kepada para pemimpin Melayu, khasnya UMNO, agar mereka jangan menjadi pengkhianat BANGSA, AGAMA DAN TANAH AIR hanya kerana didorong oleh nafsu kekayaan kebendaan, kuasa yang dipinjamkan Allah, hingga melupai tanggungjawab mereka terhadap generasi Melayu akan datang.

5. KAMI menggesa seluruh umat Melayu yang menjadi para pejuang BANGSA, AGAMA DAN TANAHAIR tanpa mengira aliran politik agar memilih barisan pemimpin mereka yang terbaik dan bersih dari korupsi, berbagai skandal yang memalukan, yang berwibawa, berilmu dan berjiwa dinamik untuk menerajui kerajaan dan badan-badan amanah lainnya.

6. KAMI memberi peringatan dan teguran ikhlas bahawa UMNO mesti melakukan revolusi mental dan perombakan pemikiran yang dekaden, konservatif, materialistik yang melampau, anti ilmu, berpuak-puak, mementingkan diri, kaum keluarga dan para kroni hingga sanggup memperjudikan nasib BANGSA, AGAMA DAN TANAHAIR
.
7. KAMI memberi amaran keras dan peringatan yang tulus ikhlas bahawa kepimpinan UMNO yang lemah, korup, rakus dan gila kuasa boleh menggerhanakan masa depan generasi muda Melayu dan rakyat yang telah memberikan sokongan mereka sejak 51 tahun UMNO memimpin kerajaan Malaysia.

8. KAMI juga ingin mengingatkan para pemimpin Melayu yang berkuasa agar jangan terlalu banyak berkompromi dengan golongan-golongan tertentu yang mempunyai agenda tertentu untuk melemahkan kepimpinan Melayu.

9. KAMI juga ingin mengingatkan para pemimpin Melayu yang berkuasa bahawa kelemahan kekuasaan politik Melayu akan membawa kehancuran dan penghapusan kuasa orang Melayu di bumi Malaysia yang bertuah ini.

10. KAMI menyeru dan menggesa rakyat Melayu bertindak proaktif dalam berbagai bidang kehidupan untuk menjamin kekuasaan politik Melayu tidak terhakis dan ketuanan Melayu dan Islam kekal subur selagi ada matahari dan bulan

11. KAMI merafak sembah memohon agar Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu mempertahankan kedaulatan baginda seperti mana yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN MALAYSIA dengan memberi sokongan moral kepada perjuangan umat Melayu dan Islam dalam berbagai lapangan hidup. Perlulah dihayati kedaulatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu akan berterusan sekiranya rakyat Melayu dan umat Islam memperjuang dan mempertahankan institusi Raja tersebut.

12. KAMI dengan penuh takzimnya memohon Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan kaum kerabat baginda agar jangan mengkhianati dan melakukan sesuatu tindakan yang boleh menjejaskan institusi Raja dan melukai perasaan umat Melayu yang mempertahankan institusi Raja selama ini.

13. KAMI juga menyeru kepada kerajaan agar melaksanakan KEADILAN dan TANGGUNGJAWAB sebagai pemerintah kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum memandangkan Malaysia negara majmuk.

14. KAMI ingin memberi peringatan kepada bukan Melayu agar berpegang teguh pada kontrak sosial dan PERLEMBAGAAN NEGARA demi menjaga keharmonian hubungan antara kaum serta kesejahteraan dan keamanan yang kita sama-sama mempertahankannya.

15. KAMI yakin dan percaya bahawa Kebebasan suara Rakyat dan amalan Demokrasi mestilah dipertahankan oleh kerana rakyat yang memberi mandat dan amanah kepada parti-parti politik tertentu untuk berkuasa. Oleh hal demikian KAMI akan bekerjasama dengan siapa saja, dan dari golongan mana sekali pun, demi memperjuangkan hak dan kebebasan Rakyat serta amalan Demokrasi di bumi Malaysia yang bertuah ini.

Inilah deklarasi yang tulus ikhlas yang KAMI abadikan sebagai cetusan rasa dari buah fikiran KAMI demi memperjuangkan hak dan kepentingan Rakyat, Keamanan dan Kesejahteraan Negara Malaysia.

KAMI rakamkan cetusan hati nurani Rakyat yang bernama DEKLARASI JANDA BAIK, bertempat di kediaman Sdr Syed Hussein Al-Attas, bertarikh 26 Oktober 2008.


&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&

Bagi Demang, jika ada pemimpin yang cuba menentang deklarasi ini, tahulah kita mengajarnya nanti.

Friday, October 10, 2008

Adakah Haji Hadi Bodoh kerana menyokong Hindraf?

Adalah silap jika menyangka seseorang pemimpin itu bodoh, dan bodohlah jika menganggap seseorang pemimpin itu tidak akan buat silap.

Pemimpin yang bodoh memimpin ahli yang lebih bodoh. Jadi, berhentilah daripada menganggap pemimpin sendiri bodoh.

Pemimpin yang cerdik dipilih daripada kalangan ahli yang cerdik. Justeru ahli yang cerdik akan sering mempromosikan kecerdikan pemimpin mereka.

Tindakan Hj Hadi menyangkal pendapat umum bahawa tindakan Hindraf sebagai biadap
belumlah layak dipanggil strategi. Jika setakat itu maka namanya menjerat diri. Ingat, sebagai pemimpin yang bukan mewarisi 'takhta' daripada nenek moyangnya maka tidak mungkin Hj Hadi begitu bodoh.

Sebenarnya Hj Hadi sedang menghulurkan tali untuk Anwar naik ke atas. Dalam keadaan UMNO yang diserang daripada pelbagai penjuru, maka elok sangatlah Anwar diberi laluan yang lebih selesa. Maka Hj Hadi perlu pura-pura bodoh agar beliau tidak dilihat sebagai saingan Anwar.

Gerakan pertama dianggap selesai dengan berundurnya Paklah tidak lama lagi. Pada perkiraan awal PAS, sebutir peluru sudah cukup untuk Najib dan dengan sekali ledakan sahaja dipercayai PM keenam itu akan tersungkur.

Namun itu plan A. Hj Hadi mungkin telah tahu yang Najib sepatutnya tidak boleh dikaitkan dengan pembunuhan Attantuya. Najib sendiri khabarnya terpinga-pinga apabila namanya terseret sama dalam kes tersebut.

Justeru Hj Hadi mengharapkan Plan B yang sedang disiapkan oleh Anwar. Samada Anwar menjadi PM melalui kejatuhan Najib atau melalui pintu belakang Hj Hadi tidak peduli.

Tok Guru bukan bodoh untuk mempercayai Anwar setelah ramai sahabat Anwar sendiri tidak mempercayai mantan Timbalan Presiden UMNO itu. Tak 'kan lah PAS mahu keluar dari mulut harimau dan masuk ke dalam mulut buaya? Bodoh sangatkah para pemimpin PAS? Kalau mereka boleh serik dengan UMNO tak mungkin mereka boleh melupakan begitu sahaja 'perbuatan' Anwar pada mereka ketika berkuasa dulu?

Bulan Mac dinanti dengan debaran oleh Najib dan Hj Hadi. (Anwar memang sentiasa berdebar). Hj Hadi lebih mengharapkan Anwar boleh melakukan 'upset' sebelum tarikh itu.

Atas strategi inilah juga Nik Aziz enggan berdamai dengan UMNO. Bermuzakarah dengan UMNO samalah seperti memberi bantuan pernafasan kepada UMNO. PAS hanya bersedia untuk membantu membacakan talqin untuk UMNO bukan membantu menyelamatkan bekas parti induknya itu.

Menggunakan Plan A amat berisiko jika terbukti Najib tidak terlibat dalam isu pembunuhan tersebut. Yang merisaukan Najib mungkin isu kapal selam. Namun berdasarkan budi dan jasa Najib yang begitu pemurah selama ini rakyat mungkin boleh memaafkan beliau sekalipun khabar angin itu berasas. Sekiranya benar pun, duit tu tak kan kemana. Kembali kepada rakyat juga.

Sekurang-kurangnya ada alasan Najib untuk memujuk rakyat.

Namun jika berlaku rasuah, jawablah dengan Tuhan nanti.

Kesimpulan daripada itu maka jika menggunakan Plan A tadi maka PAS mungkin terpaksa kekal sebagai pembangkang sampai bila-bila.

Strategi paling ampuh ialah melalui perpecahan UMNO. Sebenarnya ia telah dimulakan sebaik isu salah laku Anwar dihebahkan pada 1999.

Satu lagi petunjuk yang menyakinkan kita bahawa PAS hanya mengeksploitasi Anwar ialah, Mat Sabu yang melagangkan isu Anwar semasa Anwar masih bergelar TPM, kini diminta berdiam diri. Padahal ayam sabung PAS itulah antara yang memulakan perihal salah laku Anwar.

Barangkali ramai generasi muda yang tidak tahu hubungan Mat Sabu dengan Anwar suatu masa dulu.

PAS AMAT BERHARAP ANWAR BERJAYA MENJATUHKAN BN AGAR PAS DAPAT MENGAMBILNYA DENGAN LEBIH MUDAH.

Justeru Anwar adalah kuda trojan PAS. Anwar akan mengambil alih kerajaan seketika sebelum terpaksa mengundur diri.

Kenapa PAS seolah-olah mempertahankan Anwar dan mempertikaikan proses mahkamah? Itu bukan sekadar sandiwara sebaliknya PAS memang berharap pihak pendakwa tidak bersikap sambil lewa dalam perbicaraan dan supaya keputusan mahkamah nanti tidak boleh dipertikaikan lagi.

Keputusan mahkamah yang telus dan jitu amat penting pada PAS.

Jika Anwar sudah berumur, apa bezanya Hj Hadi dan Nik Aziz? Bezanya ialah perjuangan Melayu PAS berdasarkan parti sedangkan Melayu PKR bertunjangkan individu Anwar.

Pada firasat Demang peralihan kuasa antara Anwar dengan PAS adalah agenda utama PAS.

Dalam siri pertama ini Demang kemukakan bahawa seorang pemimpin tidak mungkin bodoh. Insya Allah Demang akan menyambung perbincangan ini berkenaan persoalan kedua iaitu pemimpin juga mungkin tersilap.

Wallahu’alam.

Monday, October 6, 2008

Hindraf, simpang & Lampu isyarat

Demang lahir di Kedah tapi membesar di Pahang. Datuk dan nenek sebelah abah tinggal di Kedah dan sebelah emak ada di Selangor. Hampir setiap kali hari raya kami akan menziarahi mereka bergilir-gilir.

Suatu ketika seorang jiran bertanya: "Hang balik Kedah dari Pahang, ada berapa simpang?"

Ya tak ya jugak. Demang tak dapat jawab sebab Demang memang tak pernah kira. Tapi pakcik tersebut memberikan jawapan:

"Ada dua, simpang kiri dan simpang kanan."

He he... Demang terkena.

Beberapa tahun lalu, Demang ingin mengunjungi tokwan (datuk) Demang yang tinggal di Maahad Islamiah Derang, Kedah. Sebelum itu beliau menetap di Jitra. Oleh kerana agak keliru walaupun pernah ke situ beberapa kali maka Demang bertanya arah jalan pada seorang pakcik.

"Hang jalan terus aja, jangan 'kona-kona'. Tapi kalau jumpa 'kona', kena 'kona' la." kata pakcik itu sambil tangannya turut membantu menunjukkan arah tersebut.

Adakah anda faham gurauan tersebut?

'jangan kona-kona' bermaksud 'jika ada simpang, jangan belok'. Manakala 'kalau jumpa kona' bermaksud 'jika jumpa selekoh' janganlah redah terus seperti di jalan lurus.

Kedua-dua lelucon tadi adalah lamunan Demang tatkala bosan menunggu lampu isyarat bertukar hijau di satu persimpangan dekat Ayer Keroh.

Agak menarik kerana lampu itu menggunakan digital. Ketika Demang tiba, angka yang dipaparkan ialah 90, bermakna Demang perlu menanti selama 90 saat sebelum meneruskan perjalanan.

Namun, setelah agak lama menunggu angka 90 itu tetap tidak berganjak. Demang merasa dizalimi. Ini tidak adil. Demang geram.

Akhirnya lampu bertkar hijau. Sambil menekan pedal minyak Demang sempat melihat masa yang diperuntukkan untuk laluan Demang.

"Ha? Cuma 40 saat? Padahal kami terpaksa menunggu lebih 90 saat! Ini tidak adil. Malah kami berada di laluan utama Ayer Keror-Melaka. Laluan ke kiri ialah ke Bukit Katil dan bersambung ke perigi Hang Tuah yang terletak di kampung Duyong.

Manakala simpang ke kiri adalah laluan ke istana TYT Melaka. Itukah sebabnya? Nampaknya Demang teraniaya! Ada unsur pilih kasih. Laluan ke teratak Demang selaku rakyat biasa telah diberi peruntukan masa yang singkat berbanding laluan kedua-dua aristokrat tersebut.

Demang terus memandu dan lamunan Demang bersambut pula dengan berita kunjungan 'kurang ajar' sekumpulan ahli Hindraf ke majlis aidilfitri PM di Putrajaya.

“Agaknya begitulah yang difikirkan oleh ahli-ahli persatuan tak berdaftar tersebut. Mereka melihat orang lain telah mendapat layanan yang lebih istimewa sedangkan mereka tidak.

Demang mengimbas semula lampu isyarat tadi. Peruntukan masa untuk simpang empat tersebut ialah 120 saat. Oleh kerana lampu tersebut hanya mampu memaparkan dua digit sahaja maka itulah sebabnya Demang melihat angka 90 itu tidak bergerak. Sepatutnya 120 saat. Sebenarnya simpang lain mendapat kurang dari 40 saat. Maknanya laluan Demang mendapat peruntukan yang lebih banyak. Namun Demang tidak melihat itu semua sebab Demang hanya memperhatikan laluan Demang sahaja.

Barangkali, itu jugalah yang berlaku kepada ahli-ahli kumpulan tersebut. Mereka melihat dari satu sudut sahaja dan lebih cenderung menyalahkan orang lain. Mungkin ada yang perlu dibaiki tetapi begitukah caranya?

Demang amat setuju dengan saranan seorang pemimpin yang juga berketurunan India iaitu Siva Subramaniam yang menyarankan agar perbincangan secara beradab dilakukan bagi menyelesaikan sebarang masalah. Beliau tidak bercakap kosong sebaliknya gaya itulah yang diamalkan beliau ketika menjadi Setiausaha Agung CEUPAC dan juga Presiden KPPK/NUTP suatu masa dulu. Demang pernah meminta bantuan beliau apabila permohonan ‘elaun pindah’ Demang ditolak mentah-mentah oleh pihak PPD Jerantut dengan alasan tuntutan tersebut sudah dimansuhkan. Dalam tempoh seminggu beliau membalas surat aduan Demang dan tidak sampai sebulan perkara itu selesai. Genap 30 hari selepas permohonan diproses, Demang terima cek elaun tersebut.

Demang belum menemui komen pemimpin pembangkang mengenai peristiwa tersebut setakat ini kecuali daripada Haji Hadi. Nampaknya Presiden PAS tersebut sudah bersedia untuk melupuskan PAS daripada senarai parti orang Melayu di Malaysia dan menggantikannya dengan PKR. Malah Haji Hadi seolah merestui Anwar atau mana-mana pemimpin pembangkang yang berminat menjadi PM.

Siapa pun tak apa, asalkan bukan BN.

Kenapa Demang kata begitu? Sebab Demang fikir adalah tidak masuk akal seorang pemimpin hebat bertaraf ulama’ boleh merestui tindakan biadap seperti itu dilakukan. Bagi Demang Haji Hadi sendiri telah sedar bahawa beliau tidak layak menjadi PM berbanding Anwar. Namun kenapa beliau menentang Anwar suatu masa dulu? Jika beliau kata UMNO tidak Islam, bagaimana dengan PKR? Islam sangatkah PKR?

Oh ya. Demang baru melihat patung Anwar sudah didirikan di suatu tempat. Dah macam Ayah Pin pulak.

Demang nak tanya Haji Hadi secara terbuka: “Apa akan terjadi jika ketika majlis perayaan Hindu sedang berlangsung, 1000 orang Melayu berbuat seperti yang dilakukan Hindraf itu?”. Perlu diingat, bilangan 1000 orang Melayu tidak sama dengan 1000 orang India berdasarkan populasi di Malaysia.

Demang percaya, bukan hanya Siva yang tidak bersetuju dengan tindakan ‘kurang ajar’ itu malah majoriti orang India di Malaysia juga merasa malu dengan insiden tersebut.

Selamat hari raya aidilfitri (yang masih panjang lagi).

Friday, September 26, 2008

Pernah sedikit masa lalu, segelintir ahli korporat digelar keparat. Hal ini berlaku apabila terdapat segolongan manusia yang melihat dunia keusahawanan adalah pusat mengaut laba semata-mata.

Adakah berdosa jika usahawan mendapat keuntungan?

Sebenarnya, apabila kita singgah di sebuah warung dan membayar RM0.80 untuk segelas teh tarik maka tidak ada sesiapa yang akan menuduh pemilik warung tersebut sebagai keparat.

Malah jika selepas itu kita berkunjung ke sebuah hotel dan membayar RM6 untuk minuman yang serupa, kita masih mampu tersenyum.

Kemudian, jika esoknya kita minum air spt itu di kantin pejabat dan membayar RM3, apa perasaan anda? Mungkin anda masih boleh bersabar sehinggalah anda terserempak dengan pemilik kantin itu memandu kereta mewah dengan isteri barunya. Tambahan pula anda memang tahu bahawa hanya kantin kecil itulah satu-satunya sumber pendapatan beliau.

Itulah keparat namanya.

Seorang tokoh keparat bukan sahaja beraksi dalam dunia perniagaan. Mereka boleh ditemui dalam gelanggang politik, akademik, perkhidmatan dan juga agama.

Kebetulan tengahari tadi seorang ustaz (rakan sejawat) menceritakan kisah seorang ustaz yang mempunyai hubungan sulit dengan beberapa pelajarnya.

Tidak sukar untuk mengecam golongan keparat ini. Mereka melakukan usaha yang minimum tetapi cuba mendapatkan hasil melebihi sepatutnya. Mereka berbelanja sehingga katak pun hairan melihatnya.

Kenapa Demang berikan contoh katak?

Katak adalah spesis amfibia yang tidak peka dengan persekitarannya. Jika anda ingin merebus katak hidup-hidup anda cuma perlu masukkan katak tersebut ke dalam periuk yang diisi air dan kemudian nyalakan api di bawahnya.

Katak tersebut akan berenang-renang di dalam air suam itu tanpa mengesyaki apa-apa. Walaupun air tersebut semakin panas dan hampir menggelegak, sang katak masih leka bermain air. Sang katak hanya tersedar tentang bahaya apabila dia sudah terkejang menjadi bangkai.

Demikianlah nasib katak.

Demikian juga nasib si keparat yang tidak sedar betapa masyarakat sekeliling sedang mengutuknya.

Seorang usahawan muslim meletakkan akhirat sebagai matlamatnya. Dalam hal ini beliau sedar bahawa terdapat dua hubungan yang perlu dijaga. Yakni hubungan dengan Allah yang menjadikannya dan hubungan sesama manusia.

Sejak kecil lagi kita diingatkan sebesar mana pun dosa kita kepada Allah (kecuali syirik), kita masih berpeluang memohon ampun kepada-Nya. Allah maha pengampun.

Namun dosa atau kesalahan kepada manusia lain tidak akan diampun Allah selagi orang yang kita aniaya itu enggan memaafkan.

Elok juga jika renung kata-kata ahli sufi Abu Nasser Bisyir bin al-Harith al-Hafi:

"Harta yang halal tidak sanggup untuk dihambur-hamburkan, dan tidak akan merasai manisnya hari Akhirat bagi seseorang yang suka dikenali oleh orang ramai."

Demang rasa yang pertama tu ok tapi yang kedua tu yang selalu k.o.

Wallahu'alam.

Wednesday, September 24, 2008

Nota daripada Cheguman

Memiliki sebuah blog memang mudah namun untuk menguruskannya tidak ramai yang mampu. Apatah lagi jika mengendalikan lebih daripada sebuah blog. Sejak tahun 1999, saya biasa menjadi webmaster kepada lebih daripada sebuah laman web serentak dan menjadi moderator kepada lebih daripada tiga group perbincangan dalam masa yang sama. Saya biasa tidur dua jam sehari.

Mengendalikan lamanweb biasa lebih sukar berbanding blog. Namun saya berusaha mengekalkan www.morhabshi.com sehingga hari ini atas dasar ‘itu saya punya sendiri sedangkan blog sekadar rumah tumpangan.’

Pada peringkat awal kemunculan blog (asalnya, web log tetapi disingkatkan menjadi blog. Istilah web log diberi kerana kita cuma perlu ‘log masuk’ sebelum membuat sebarang aktiviti), saya mengendalikan lebih daripada satu blog. Namun akhirnya saya mengambil keputusan untuk menumpukan hanya satu iaitu ‘Waadat’ manakala yang lain telah saya ‘remove’ atau biarkan tak berjaga.

Namun sekarang mahu tidak mahu saya terpaksa memulakan sebuah lagi blog. Hal ini kerana saya perlu menunaikan satu lagi tanggungjawab iaitu meneruskan warisan keluarga. Meskipun asalnya sekadar suka-suka namun akhirnya menjadi satu perusahaan keluarga yang perlu diteruskan.

Hal ini kerana terdapat beberapa pihak yang telah menjadikan produk rumusan datuk saya ini sebagai sumber pendapatan sampingan mereka. Jadi sebagai orang yang bertangungjawab memulakannya maka saya perlu meneruskan agar usaha pihak tersebut tidak terputus begitu sahaja.

Memang, tidak ada sesiapa boleh mempertikaikan jika saya melakukan usaha mempromosikan produk tersebut melalui blog Waadat. Namun bagi saya ia bukanlah satu pendekatan yang bijak buat masa ini. Para pengunjung akan membuat andaian bahawa saya mengambil kesempatan, seolah-olah ada udang di sebalik batu.

Memang tak salah, namun berapa ramai yang beranggapan begitu? Setidak-tidaknya mungkin ada yang kecewa apabila berkunjung ke blog Waadat dan mendapati artikal di dalamnya sudah dipenuhi dengan iklan komersial.

Saya tidak mahu anggapan-anggapan begitu merosakkan usaha saya menyampaikan mesej kenegaraan kepada para pengunjung. (Perlu disedari bahawa Waadat bukanlah sebuah blog partisan. Kecenderungan Waadat pada parti politik tertentu sekadar kebetulan memandangkan itulah parti yang menjadi kerajaan sekarang).

Jadi, saya mulakan blog baru dan menyediakan satu pautan istimewa melalui Waadat.

Namun saya masih menggunakan pendekatan yang serupa dengan Waadat. Saya masih belum bosan berkesah dan bercerita. Masih sarat dengan kiasan dan analogi serta sedikit satira.

Anggap sahaja blog baru ini sebagai cawangan kepada Waadat. Cuma jika anda ingin membacanya anda perlu ‘klik’ ke ruangan tersebut.

Melalui kesempatan ini saya ingin membuka peluang kepada sesiapa yang berminat untuk bersama-sama kami mempromosikan produk warisan ini sekaligus bersama-sama berkongsi faedah dan keuntungan daripadanya. Jika berminat, sila berkunjung ke blog tersebut: “Demang & Dunia Morhabshi di http://morhabshi.blogspot.com (terutamanya kepada yang mempunyai blog atau web sendiri).

Monday, September 22, 2008

Kerajaan Rakyat: 'antara Kerajaan dan Rakyat'

Sambil menjengah ibu di desa semalam, sempat Demang bertemu dengan seorang sahabat lama yang kebetulan pulang dari KL. Perbualan kosong tanpa tajuk khusus. Oleh kerana kami sedia memahami aliran politik antara satu sama lain maka seboleh mungkin masing-masing cuba mengelak daripada menyentuh perkara tersebut.

Namun sesekali terselit juga satu dua isu rakyat yang bersifat sejagat.

Antaranya ialah tentang kegagalan kerajaan menjaga kebajikan rakyat.

Contohnya dalam belanjawan baru-baru ini, teman tersebut mendakwa pihak yang mendapat faedah langsung hanyalah kakitangan kerajaan. Itupun kumpulan menengah dan atasan.

Kakitangan bawahan? Operator kilang? Penduduk kampung? Peniaga kecil?

"Apakah yang kerajaan buat untuk mereka?" tanya teman tersebut. Sebenarnya beliau seorang penjawat awam – nampaknya begitu prihatin dengan nasib rakyat marhaen.

Beliau memberi contoh betapa masih ada pekerja yang dibayar kurang daripada 500 sebulan.

Daripada sembang-sembang tersebut Demang dapati ada beberapa perkara yang dibangkitkan itu memang benar dan tak perlu Demang ulas. Cuma ada beberapa perkara yang dipersoalkan hanya sekadar rasa tidak puas hati yang hampir mustahil ditangani walau siapapun yang memerintah.

Sekarang Demang ingin menyeret anda bagi mengimbas kembali sebahagian daripada peranan kita. Mungkin anda ‘tidak berkenaan’ tetapi Demang adalah seorang daripadanya.

Apabila menyebut soal amanah dan tanggungjawab, ramai yang cenderung menuding pada kerajaan semata-mata. Kita lupa bahawa antara kerajaan dengan rakyat, kita berada di tengah-tengahnya. Kitalah perantaranya. Kitalah pemangkinnya.

Maksud Demang ialah golongan menengah Melayu.

Kakitangan kerajaan gred 29 ke atas berpendapatan 2000 ke atas. Kebanyakan mereka mempunyai pasangan yang juga berpendapatan hampir sama. Ertinya pendapatan mereka suami isteri tidak kurang 4000 sebulan.

(Sahabat Demang tadi adalah guru biasa yang berpendapatan lebih 6k sebulan, mempunyai 2 buah kereta dan 2 buah rumah. 6k itu adalah gaji sebagai kakitangan kerajaan, tidak termasuk pendapatan sampingan kelas tuisyen dan rumah sewa. Beliau juga mendapat elaun warden asrama).

Kemanakah RM4000 itu dihalakan setiap bulan? Maksud Demang bukan sahabat tadi tetapi kepada sesiapa sahaja yang berkenaan, termasuklah Demang.

Jika merujuk pada artikal Demang tentang sistem piramid ekonomi, di manakah kedudukan golongan ini? Mereka adalah pengguna primer, penerima curahan hujan daripada kerajaan. Yakni di dua tingkat teratas dalam sistem piramid.

Amanah pertama golongan ini ialah melaksanakan tugas membantu rakyat. Jika seorang guru, beliau membantu ibu bapa mendidik anak-anak. Bagi seorang pegawai polis, beliau menjaga keselamatan rakyat. Begitu juga pegawai perubatan yang ditugaskan menjaga kesihatan rakyat. (Para pegawai di SPP dan KPM pun ramai dalam kelompok ini).

Itu tugas pertama kita yang wajib dilunaskan.

Atas tugas-tugas tersebut maka kita diberi saraan atau upah (istilah apapun tak apa kerana yang penting kita mendapat wang).

Wang tersebut dgunakan bagi memenuhi keperluan diri dan keluarga. Maka apabila pegawai itu membeli makanan, pakaian, kenderaan, dan sebagainya maka dapatlah rakyat tertentu berniaga.

Para usahawan tersebut menggaji para pekerja dan dalam masa yang sama mendapat bekalan produk daripada kilang yang menyediakan pendapatan kepada lebih ramai pekerja.

Apabila ramai yang bekerja maka permintaan terhadap jualan makanan turut bertambah. Sebahagian daripada rakyat boleh mengambil peluang ini bagi menjana pendapatan keluarga.

Sumber utama makanan ialah pertanian dan penternakan. Justeru jangan ketawakan Paklah yang menyuruh rakyat bertani. Jika anda tidak mampu, beri galakan kepada abang-kakak kita di kampung. Banyak cara untuk menjayakannya dan bukannya mencemuh atau mencipta ribuan alasan.

Sesungguhnya ruang untuk kita bergerak masih luas. Medan untuk kita berjuang dalam jihad ekonomi masih jauh sempadannya. TDM pernah mensasarkan penduduk Malaysia seramai 70 juta. Sekarang jumlah kita baru setakat 27 juta. Kenapa perlu berdengki?

Ada yang berpendapat unjuran TDM itu mustahil dicapai memandangkan kadar kelahiran dan kematian manusia. Namun kita masih ada alternatif lain untuk mendapatkan tenaga kerja. Bukankah Tuhan berikan kita akal untuk mencipta teknologi?

Dalam ekonomi Islam, wang tidak boleh disimpan-beku. Itulah sebabnya riba diharamkan. Lebihan perbelanjaan bukan ditabung di bawah bantal atau ke dalam simpanan tetap di bank. Sebaliknya carilah pelaburan dengan sesuai. Bertindaklah secara proaktif dengan cara sama-sama menanggung risiko, bukan sekadar 'meminjamkan' wang kepada pihak bank untuk mendapatkan faedah tetap. Itu riba namanya.

Ada satu lagi amanah yang perlu kita bereskan: "sudahkah anda melunaskan zakat fitrah?"

Mungkin kita perlu fikirkan untuk menjadi penyumbang zakat-zakat lain pula seperti zakat harta, perniagaan, ternakan dan sebagainya.

Apakata anda mulakan dengan perusahaan lembu pawah dengan adik-kakak di kampung? 5 tahun lagi jika lembu itu berkembang biak menjadi 10 ekor, bermakna anda akan mempunyai RM20k. Dah boleh naik haji.

Ada seorang sepupu Demang sedang giat mengusahakan ternakan lintah. Menurut beliau, pasaran lintah sangat luas tetapi modalnya agak besar. Maka beliau mengajak saudara mara kami melabur dalam perusahaannya itu. Bukankah itu satu cara yang baik menambah pendapatan?

Demang cadangkan, daripada ahli politik kita sibuk berkempen sepanjang tahun dan berangan untuk menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang, lebih baik setiap YB pembangkang mulakan satu usaha khusus bagi membangunkan ekonomi negara. Insya Allah rakyat akan lebih menghargainya dan tidak mustahil dalam PRU13 nanti mereka akan dipilih menerajui kerajaan yang ‘sah’ .

Maklum lah, mereka ni sebenarnya ada banyak masa lapang berbanding pak menteri.

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)