Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Monday, November 17, 2014

Pelancaran bulan retorik

Hari ini Demang dikehendaki hadir bagi memenuhkan ruang dalam dewan negeri Melaka untuk majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2014 peringkat  negeri Melaka.

Demang sekadar ganti orang. Kebetulan dewan ini tidak jauh dari rumah Demang. Kebetulan juga bendahara Melaka pun hantar wakil sebagai perasmi dan pengarah DBP pun turut menghantar wakil.

Alah... bukan program penting sangat. Cuma bulan bahasa. Bahasa Melayu pulak tu.

Seperti majlis perasmian lain, aturcaranya dipenuhi ucapan-ucapan yang muluk-muluk serta retorik sebagai halwa telinga. Isu bahasa sebenar dianggap habuk-habuk dan serdak yang mudah disapu ke bawah karpet. Nanti tukang sapu boleh bersihkan.

Kemuncak majlis perasmian ialah seorang lelaki mengetuai lafaz ikrar dan disahut para hadirin beramai-ramai.

Maaf, Demang cepat-cepat keluar sebelum perkataan pertama ikrar keluar daripada mulut ketua ikrar sebab tiba-tiba sahaja Demang terasa loya. Demang taknak termuntah atas karpet mahal dewan tersebut.

Lagipun, Demang anggap ikrar macam sumpah juga. Demang tak berani nak bersumpah perkara yang Demang tak mampu laksanakan.

Tidak perasankah mereka betapa pihak yang menguruskan surat perjanjian, surat tuntut hutang, surat tawaran, surat peringatan, surat jual beli, surat jaminan, dan pelbagai dokumen termasuk undang-undang di Malaysia ini menganggap bahasa kebangsaan (bahasa Melayu?) sebagai bahasa kelas kedua atau ketiga sahaja?

Mustahil mereka tidak tahu! Namun setiap tahun bulan bahasa dilancarkan juga sebab di situ ada banyak ruang dan peluang untuk mengaut untung.

Paling tidakpun, bertambah elaun ceramah pakar-pakar bahasa.

Demang mintak maaf pada aktivis bahasa. Ambil lah bayaran daripada usaha anda tetapi jangan dilupa perjuangan memartanatkan bahasa. Demang sekadar rakyat biasa yang hanya tahu berbahasa Melayu. Jangan dikhianati orang seperti Demang ini yang terpaksa menandatangani perjanjian tanpa memahami sepenuhnya perkara tersebut.

Thursday, November 13, 2014

menghina aqidah rakyat majoriti

Mufti NS yang mempertikai keputusan mahkamah dalam isu lelaki berpakaian wanita bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana takut didakwa sebagai menghina mahkamah.

Demang pun bimbang dikatakan menghina mahkamah namun bagaimana pula jika mahkamah menghina Islam? Barangkali mahkamah boleh berdalih dengan alasan Malaysia bukan negara Islam namun bagaimana dengan Perkara 3 Perlembagaan yang menegaskan Islam adalah agama bagi Persekutuan (Malaysia)?

Mahu diputarbelitkan jugakah Perkara 3 tersebut?


Berikut adalah petikan perlembagaan kita:

"(1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan."

"(2) Di dalam tiap-tiap Negeri selain Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua agama Islam di Negerinya mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan, tertakluk kepada Perlembagaan itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan tercacat; tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang berkenaan dengannya Majlis Raja-Raja telah bersetuju bahawa perbuatan, amalan atau upacara itu patut diperluas ke seluruh Persekutuan, setiap Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya."

Perlembagaan digubal bagi menjaga rakyat majoriti. Jika terdapat baris dalam perlembagaan yang bertentangan dengan kepentingan rakyat majoriti maka perkara tersebutlah yang perlu dipinda, bukan meminda aqidah rakyat majoriti.

Bagi Demang perlembagaan kita sudah berada pada landasan yang betul namun sering diputarbelit untuk kepentingan pihak tertentu.

Malah Demang juga berpendapat enakmen syariah NS juga selaras dengan peruntukan yang terdapat dalam perlembagaan.

Dalam isu pondan tersebut, jelas ia bertentangan dengan agama Islam yang diiktiraf sebagai agama bagi negara kita. Justeru kenapa lelaki bertiga itu pula yang menang manakala sekalian rakyat Malaysia diputuskan bersalah?

Demang fikir sudah sampai masanya YDA melaksanakan peranan baginda selaku ketua negara merangkap ketua agama Islam. Meski di setiap negeri sultan adalah ketua agama bagi negeri masing-masing namun ia perkara kedua yang boleh diselaras kemudian.

Bukankah YDA memang berada di atas sekali manakala kuasa eksekutif, perundangan (parlimen), dan pengadilan (mahkamah) adalah kuasa yang dipinjamkan oleh YDA?

Wajarkah kita biarkan persoalan akhirat kita ditentukan oleh pihak yang mahir undang-undang dan mampu mengeksploitasinya? Dan apabila kita mahu mencabar keputusan tersebut, yang akan memutuskannya juga pihak yang kita cabar itu. Boleh menangkah kita bertanding dalam kerangka yang mereka bina malah peraturan pertandingan juga mereka yang gariskan?

Pihak mana sebenarnya yang kita sandarkan amanah untuk menjaga kepentingan kita? Ataukah kita pasrah menyerah nasib sendiri untuk ditentukan sekumpulan manusia?

Wednesday, November 12, 2014

Rompakan bercermin gelap

2 orang lelaki tanpa senjata, menaiki kenderaan bercermin gelap dan menggunakan plet asal tetapi ukuran tidak mengikut piawaian telah berjaya merompak sebuah bank di ibu negara dan masih tidak dapat dikesan walaupun berpuluh cctv dipasang di kawasan tersebut.

Pihak JPJ yang dihubungi memberitahu rompakan tersebut pasti gagal sekiranya perompak tersebut tidak memasang tinted serta menggunakan plet standard pada keretanya ketika melakukan kerja-kerja rompakan.

Maaf jika lawak di atas kurang menjadi.

Apapun, johan rajalawak minggu ini nampaknya jatuh pada JPJ. Video kenyataan orang kuat JPJ dengan target kematian rakyat Malaysia berlegar dalam media sosial dan menjadi bahan ketawa.

Begitu juga foto kereta orang kuat JPJ yang bercermin gelap turut masuk ke group-group whatsapp & Telegram rakyat jelata dan berkarung sumpah seranah mengiringinya. Kenyanglah orang JPJ makan sumpah.

Bagi Demang itu adalah kegagalan mutlak JPJ samada disengajakan atau tidak.

Kalau dilihat pada gayanya, isu ini seolah disengajakan dan sasarannya sudah tentu pada PM. Dengan kata lain, nampak macam ada agenda terlindung untuk memalukan PM.

Sepatutnya JPJ memberi kefahaman pada rakyat tentang rasional cermin kereta tidak digelapkan dan plet kereta mesti standard.

Apa yang rakyat nampak sekarang ialah kerajaan sedang mencari wang untuk menampung pelbagai perbelanjaan dan rakyat yang menanggungnya.

Demang sendiripun hairan, kenapa ada kamera pada laluan 90km/jam sedangkan lebuhraya berbayar itu cantik dan lurus? Bukan sedikit wang rakyat telah digunakan untuk membina dan menyelenggaranya.

Demang masih berfikir, apa kaitan cermin gelap dengan keselamatan jalanraya? Berapa banyak rompakan menggunakan kereta bercermin gelap? Adakah selepas ini perompak akan menggunakan kereta tanpa cermin gelap?

Demang fikir jika Najib mengesyaki ada pihak cuba mensabotaj beliau agar orang lain dapat menjadi PM, maka orang atasan JPJ adalah antara yang wajib diselidik.

Suspect utama tu....

Thursday, November 6, 2014

Kes buli di rumah yatim

Menurut angin pus-pus yang singgah di tangan Demang salah satu
video kes buli itu berlaku di sebuah rumah anak yatim.

Agak mengejutkan kerana yang menjadi mangsa dikatakan baru berumur 11 tahun.

Keluhan Demang: kenapalah sama-sama senasib yakni ditinggalkan di rumah anak yatim pun saling bergaduh?

Demang katakan 'ditinggalkan' kerana anak-anak yatim terutama yang masih kecil tidak sepatutnya berada di mana-mana pusat penjagaan.

Tempat mereka adalah di rumah dan bersama keluarga. Tidak kiralah samada keluarga kandung, datuk-nenek, atau bapa saudara.

Rasulullah sendiri adalah anak yatim dan baginda tidak pernah diletakkan di mana-mana pusat. Kalau diikutkan, baginda memang biasa dipisahkan daripada ibu kandung semasa umur menyusu.

Namun setelah bonda baginda meninggal, tanggungjawab ibubapa yang dijemput lebih awal mengadap Ilahi diambil oleh Abdul Mutalib iaitu datuk baginda dan setelah itu oleh bapa saudara baginda iaitu Abi Talib.

Abdul Mutalib dikatakan bukan orang kaya walaupun menjadi ketua masyarakat Mekah ketika itu namun beliau mengambil tanggungjawab tersebut kerana itulah peraturannya.

Bagaimana kita hari ini?

Kanak-kanak tidak tahu apa-apa sehinggalah ia dicorak oleh persekitaran dan didikan. Manusia mempunyai fitrah yang menyaluti diri dan tidak boleh diabaikan. Sentuhan kasih sayang dalam keluarga tidak kan sama dengan disiplin dan peraturan asrama.

Demang tidak katakan tidak boleh menghantar anak ke asrama. Anak-anak biasa tinggal di asrama kerana sekolah jauh daripada rumah dan bagi memudahkan pembelajaran. Pada waktu-waktu tertentu, mereka akan pulang ke rumah.

Dalam hal ini pun bagi Demang sepatutnya anak-anak dibenarkan lebih kerap pulang ke rumah sendiri. Apabila anak-anak jarang berada bersama keluarga maka apabila dewasa dan berumah tangga, jangan salahkan mereka jika mereka jarang menjengah ibu bapa.

Berbalik pada isu anak yatim, lihatlah contoh yang berlaku pada Rasulullah saw. Anak yatim tidak termasuk dalam 8 asnaf yang layak menerima zakat kerana mereka tidak semestinya miskin. Adakalanya harta ibu bapa mereka terlepas pada orang lain.

Namun jika mereka miskin maka layaklah mereka menerima zakat. Begitu juga jika bapa saudara yang menjaga mereka itu miskin maka layaklah bapa saudaranya menerima zakat.

Demang bukan ahli dalam hukum Islam namun begitulah yang Demang faham.

Penghakiman berpilih: algojo atau algelojoh?

Dua video sensasi yang tersebar melalui media sosial semalam seperti biasa dengan pantas mengundang kegemparan masyarakat.

Maka berjujutlah respon semerta dengan kutukan dan simpati. Rata-rata mengutuk pelaku remaja samseng yang berlagak hero membelasah orang yang tidak melawan dan bersimpati dengan mangsa buli tersebut.

Setakat yang Demang lihat, tidak ada yang menyebelahi pembuli, termasuklah Demang.

Menjelang petang, tersebar pula foto-foto seorang pemuda/remaja bertelanjang dalam keadaan lemah dikerumuni orang ramai. Tangannya berikat dan kelihatan darah mengalir dileher dan dadanya. Mulut membengkak dengan muka lebam-lebam.

Ironinya kali ini respon orang ramai berubah. Mangsa bukan sahaja tidak mendapat simpati bahkan ada yang menulis 'padan muka' sebagai respon.

Rupa-rupanya lelaki itu ditangkap, dibelasah dan dituduh mencuri motorsikal.

Sudah tentu Demang tidak akan menyebelahi sipencuri namun apakah hak orang ramai untuk menjadi hakim dan pelaksana hukuman dalam kes tersebut?

Demang dengar-dengar, dalam kes 'belasah' di asrama dalam salah satu video awal tadi, pelajar berkenaan dipukul kerana dipercayai mencuri telefon pintar milik salah seorang pelajar yang memukul itu.

Jika benar demikian kenapa masyarakat memberi hukuman yang berbeza dalam dua kes yang hampir sama?

Adilkah kita?

Wednesday, November 5, 2014

Tiada yang sia-sia ciptaan Allah

Melihat sekumpulan anak-anak istimewa sedang makan di meja sebelah menyebabkan suapan Demang terhenti seketika.

Anak istimewa? Apa yang istimewanya dilahirkan cacat? Apa untungnya mendapat anak yang tidak serupa anak orang lain?

Turut makan bersama kanak-kanak tersebut ialah beberapa orang guru dan pembantu  mereka. Salah seorang daripada guru tersebut berjawatan GPK-Khas; yakni seorang guru kanan di sekolah.

Suatu ketika dahulu ramai yang menganggap anak yang cacat hanyalah bebanan, bahkan ada yang melihat sebagai pembawa bala. Masih ingat filem Dajal Suci?

Hari ini ilmu membuka mata manusia untuk melihat di hadapan dan di belakang sesuatu ciptaan Allah taala. Maka manusia tidak sekadar mengeluh sebaliknya menerimanya sebagai satu 'cabaran'.

Anak-anak dikumpulkan dan diberi pendidikan khas. Mereka dididik untuk meneruskan kehidupan di dunia sebelum tiba di negeri yang kekal.

Dalam proses menguruskan anak-anak istimewa, ramai manusia lain yang terlibat secara langsung. Ada unit pendidikan khas dengan para pegawainya, GPK-Khas, guru pendidikan khas, dan pembantu pendidikan khas.

Muncul pula penyedia peralatan pendidikan khas dan lain-lain.

Demikian Allah taala mengatur manusia dan di setiap proses tersebut ada dosa dan pahala.

Demang bersyukur kerana tidak diberikan ujian ini namun Demang kagum dengan ketabahan orang yang menerimanya.

Tahniah. Allah taala menyediakan ganjaran di sebalik ujian-Nya. Insya-Allah.

"Namun Ku Punya Hati" - Revolvers

Senyumku tak seghairah,
Gerak gaya tidak selincah,
Mataku tak seayu,
Kicau burung pun tak semerdu.

Namun ku punya hati,
Juga gayaku perasaan, 
Hidupku yang sebegini,
Kadar waktu diizin Tuhan.

Tidakku minta,
Lahir ke dunia,
Tidakku duga,
Cacat begini,
Bukanku pinta,
Kasih dan saying,
Bukan ku rayu bantu simpati.

Maafkan wahai teman,
Kumenumpang di sudut dunia,
Mencari ketenangan, 
Sampai masa ku pergi jua

Monday, November 3, 2014

ditimpa ujian lagi

Ujian, ujian, ujian... bilakah ujian 'kan tamat?

"Kenapa masalah datang bertimpa-timpa pada saya?" tanya seorang wanita.

"Itu tandanya Allah sayang pada kakak," jawab Demang.

"Sayang apa kalau tak habis-habis hidup susah. Tak cukup dengan susah, kena penyakit, anak sakit, suami lumpuh, dan macam-macam lagi." wanita lebih separuh abad itu terus menggumam.

"Kakak pernah ambil ujian di universiti?"

Geleng.

"STPM?"

Geleng juga.

"SPM?"

Geleng lagi.

"SRP?"

Angguk.

"Lulus?"

Geleng, geleng, geleng.

Kakak tahu tak, salah satu sebab kakak hidup susah di dunia ini kerana kakak tidak pernah lulus semua peperiksaan tersebut. SRP pun gagal. Itu ujian dunia, dan kakak sudah tiada peluang lagi untuk mengulang semula.

Namun kakak jangan bimbang kerana kakak masih hidup dan ujian Allah masih banyak yang boleh kakak duduki. Berusahalah bersungguh-sungguh supaya kakak lulus dalam semua ujian hidup dan kalau boleh lulus dengan cemerlang.

Nota:
Dedikasi untuk semua anak-anak kita yang menduduki SPM bermula hari ini. Semoga dipermudah dan mendapat kejayaan cemerlang.

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)