Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Tuesday, December 30, 2014

Peristiharan darurat

Seluruh negara sedang berduka kerana musibah yang sedang melanda.

Semua sedang berfokus pada banjir luar biasa yang belum tahu bila surutnya. Malah jikapun ada beberapa tempat sudah nampak surut namun hujan masih turun di sana sini dan air akan tepu di kuala seterusnya akan membuak semula ke hulu.

Dalam pada itu negeri-negeri lain seperti Melaka, Selangor, dan NS yang belum begitu ketara hujannya sebelum ini sudah mula berhujan lebat berhari-hari.

Daruratkah Malaysia? Apa maksud darurat?

"darurat boleh didefinisikan secara amnya sebagai keadaan yang memerlukan hukum-hakam keringanan terutamanya ketika terlalu lapar, terlampau dahaga, sedang berubat, menghidapi penyakit, di dalam keadaan terpaksa, kelupaan, kejahilan, kepayahan, keadaan yang tidak dapat dihindari atau umumul balwa, ketika bermusafir, sakit, kesempitan dan juga ketika berdepan dengan suatu keadaan yang luar biasa. Sekiranya hukum-hakam rukhsah (kelonggaran) ini tidak wujud dan penekanan hanyalah kepada hukum-hakam azimah, umat Islam pasti akan binasa ketika berdepan dengan suasana kecemasan atau darurat."

(Dr Daniel zainal abidin:  http://virtualfriends.net/article/articleview.cfm?AID=23524)

Anda baca sendiri, fahamkan, dan rasakan sendiri adakah negara kita sekarang bersituasi darurat?

Jangan dipedulikan soal tuntutan insuran atau impak bank. 'Darurat adalah darurat' yakni suatu keadaan yang menyebabkan peraturan dan hukum biasa tidak lagi sesuai digunakan.

Demang berpendapat jika keadaan sekarang sudah sampai pada hukum darurat maka kerajaan perlu isytiharkan darurat sebelum rakyat sendiri yang melakukannya kerana dalam keadaan darurat, peraturan yang biasa dianggap sudah tidak ada.

Lagipun, berapa ramai rakyat yang memiliki polisi insuran seperti itu?

Sunday, December 28, 2014

Najib boleh tahan hujan

Dalam kelam kabut negara dilanda banjir besar, tersentak juga Demang menatap foto Perdana Menteri kita bermain golf dengan Presiden Amerika, di Hawaii katanya.

Maka ramailah yang kecewa termasuk sahabat- sahabat Demang yang sebelum ini mempertahankan Najib.

Bagi Demang, kalau Najib ada di tanahair pun, bolehkah ditahannya air? Kalau dia ada pun, berapa banyak rumah yang dia boleh tolong?

Sabar, jangan marah Demang. Demang gurau sahaja. Rumah ibu bapa Demang di Pahang pun tenggelam. Walaupun kami tidak lagi mendiami rumah itu namun hati dan perasaan Demang tetap melekat di sana.

Pertemuan dengan presiden Amerika bukan boleh dibuat sesuka hati. Temujanji bukan sehari dua dan kita bukannya ada banyak pilihan. Kena sedar diri lah.

Demang percaya PM tahu apa yang sedang berlaku dan apa yang sedang dilakukannya.

Pagi ini di Jengka dan kebanyakan tempat di pantai timur air sudah semakin surut.

Surut di hulu seperti biasa menjadikan kawasan hilir seperti Temerloh mula dilimpahi air. Moga orang Temerloh sabar menghadapinya.

Surut juga bermaksud kerja-kerja pembersihan akan bermula. Barangkali ia akan lebih memenatkan. Ketika air naik proses perpindahan dilakukan secara pantas dan tidak serentak namun selepas banjir semua orang ada rumah sendiri untuk dibersihkan.

Justeru bantuan daripada saudara-saudara yang kawasan mereka belum dinaiki air amat diperlukan. Kalau musim PRK kita boleh serbu ke kawasan PRK beramai-beramai sehingga menyemakkan ruang dan kepala penduduk tempatan, takkan lah di waktu begini kita nak mengelat?

Tambah-tambah yang senyum sinis ketika melihat foto Najib bermain golf. Buktikan anda memang seorang yang baik dan bukan hanya tahu mengkritik.

Monday, December 22, 2014

Kenduri muzik

Semalam Demang menemani isteri menghadiri majlis perkahwinan di rumah bekas rakan sekelas beliau.

Seronoknya dalam majlis begitu ialah dapat bertemu rakan-rakan lama. Banyaklah kesah nak disembangkan.

Namun sudah jadi adat orang Melayu berkenduri sejak dahulu kala, tuan rumah akan pasang lagu kuat-kuat. Agaknya kalau tak kuat, tak sempurna kenduri.

Demang faham bahawa tuan rumah ingin memeriahkan majlis di samping menghebahkan pada orang ramai tetapi Demang rasa bunyi muzik yang membingitkan telinga begitu bukanlah satu-satunya cara membuat hebahan.

Tidak salah bermuzik tetapi biarlah harmoni pada telinga hadirin dan tidak sampai mengganggu. Bukankah lebih baik dialunkan muzik lembut sebagai halwa telinga. Demang cadangkan muzik instrumental.

Untuk menambah kemeriahan, jemputlah pasukan kompang atau qasidah yang membuat persembahan dalam tempoh tertentu. Kompang tak seperti corong muzik yang dipasang terus menerus sepanjang majlis berlangsung.

Atau mungkinkah tuan rumah sengaja buat begitu supaya jemputan tidak bersembang dan lekas-lekas beredar?

Kalau demikian maka hilanglah satu hikmah berkenduri iaitu bagi merapatkan silaturrohim.

Bersambung

Sunday, December 21, 2014

10 minit terakhir

Demang jarang menonton bolasepak kecuali perlawanan penting seperti semalam.

Sebagaimana yang semua maklum pasukan Malaysia tewas di tangan Thailand sekali lagi.

Ramai yang berpendapat kita sepatutnya menang. Kata anakanda Demang, Thailand mempunyai rekod cemerlang pada 10 minit terakhir dalam banyak perlawanan.

Apa pentingnya 10 minit berbanding 90 minit masa yang diperuntukkan? Jika ada yang beranggapan bahawa Thailand sengaja menunggu 10 minit terakhir untuk bertindak Demang rasa idea itu mungkin silap.

Apa yang berlaku ialah Thailand telah mencuba sedaya upaya sejak awal namun Malaysia lebih pantas mendapatkan jaringan gol.

Malangnya pemain Malaysia gagal memahami hakikat perlawanan. Dalam perlawanan bola sepak kemenangan ditentukan melalui jaringan gol dalam masa yang ditentukan.

Dengan kata lain jika jaringan dibuat selepas tempoh masa tersebut maka ia tidak lagi dikira.

Kenapa pemain Malaysia gagal menggunakan kesempatan sebagai pendahulu jaringan? Bukan lama pun, cuma 10 minit.

Demang rasa kemahiran bermain mana- mana pasukan sama sahaja. Yang akan menentukan kemenangan ialah kemampuan untuk menguasai permainan. Pandai bermain dengan pandai menguasai permainan itu berbeza.

Menguasai permainan ertinya kita mampu mencorakkan permainan. Kita menguasai seluruh permainan dan membawa pihak lawan bermain dalam rentak kita.

Apabila kita sudah mendahului jaringan maka fokus kita hendaklah beralih pada faktor masa perlawanan pula.

Demang sedar pertahanan terbaik ialah dengan menyerang namun dengan memperbanyakkan serangan akan menjadikan perlawanan semakin rancak dan menaikkan semangat pihak lawan.

Kenapa pasukan Malaysia tidak cuba menjadikan baki masa yang ada itu suatu tempoh yang membosankan? Biarkan pemain lawan geram dan meradang. Dengan itu mereka akan buat lebih banyak kesilapan.

Demang rasa ramai yang tahu strategi ini. Taktik lama, kata orang. Apa hinanya taktik lama kalau ia berkesan? Ini bukan perlawanan pertunjukan. Ini pertandingan menang-kalah.

Pertanyaan Demang ialah, jika taktik memufliskan semangat pemain lawan itu bagus, kenapa tidak diberi tumpuan semasa latihan?

Saturday, December 20, 2014

Di sebalik nama hasan laga

Malam tadi Demang terserempak sebuah drama di tv yang agak menarik. 

Mulanya Demang tertarik kerana ia menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Nasir Bilal Khan dan Eman Manan. Malah Rosham Nor pun ada.

Seorang lagi pelakon yang Demang suka tidak pula Demang tahu namanya. Wan... berambut putih, orang terengganu rasanya.

Beliau memegang watak utama, Hasan Laga iaitu seorang lelaki tua tetapi beristeri muda yang mempunyai sejumlah pengikut yang sangat menghormati beliau.

Pada pandangan awal Demang, Hasan Laga adalah tipa (type) lelaki 'gedebe'. Istilah gedebe sering disalah-erti sebagai samseng kampung. Padahal gedebe adalah istilah orang Kelantan untuk seseorang yang disegani di sesuatu kawasan.

Agak lama tidak menonton Nasir berlakon jahat. Nasir membawa watak orang kaya yang angkuh namun mempunyai pengikut sendiri.

Sekali imbas kita sudah tahu Nasir bukan orang baik-baik. Dia memikat dan mengikat penyokong melalui wang.

Drama tersebut berlatarkan sebuah kampung yang penduduk lelakinya amat suka berlaga ayam. Itulah barangkali sebab Hasan di gelar Hasan Laga.

Apabila seluruh kampung amat gemar dengan 'sukan' laga ayam maka kita faham betapa gelaran Hasan Laga menunjukkan Hasan memang sangat terkenal, sekurang-kurangnya di kawasan itu.

Peri taksubnya pada ayam laga sehingga Hasan Laga menyahut cabaran musuhnya (Nasir Bilal Khan - NBK) dengan pertaruhan: jika ayam Hasan Laga tewas maka dia hendaklah keluar dari kampung seluar sepinggang dan menyerahkan isterinya yang muda itu kepada pihak yang menang.

Mujur pihak Hasan Laga menang dan NBK hilang RM50 ribu serta terpaksa meninggalkan kampung.

Tiadanya NBK (Demang lupa nama wataknya) tidak bermakna kampung itu kembali aman sebaliknya perpecahan sesama sendiri kalangan ahli kumpulan Hasan Laga mula timbul.

Kejutan pada drama ini ialah gelaran LAGA pada Hasan Laga bukan semata-mata kerana beliau gemar berlaga ayam bagi memenangi pertaruhan malah Hasan Laga juga sanggup melaga-lagakan pengikutnya sendiri demi memenuhi keinginan peribadi.

Demang bukan hendak menulis sinopsis drama di sini. Justeru Demang terus kepada mesej yang ingin disampaikan.

Pertama, jangan terlalu taksub pada pemimpin dan hendaklah menyimpan rasa sangsi apabila pemimpin melakukan kemungkaran atau melanggar hukum.

Sejak awal drama tersebut menampilkan Hasan Laga seorang yang baik dan berkarisma manakala musuhnya NBK ketua samseng.

Di situ pandangan audien dikaburi hingga melupakan fakta paling penting iaitu pertandingan laga ayam adalah satu perjudian dan tindakan menganiaya haiwan adalah perlakuan tidak bermoral.

Baik Hasan Laga mahupun Nasir Bilal Khan, kedua-dua mereka memang tidak layak dicontohi apalagi dijadikan pemimpin.

Dalam kehidupan ini pun begitu. Apabila seseorang yang ingin menjadi pemimpin, apatah lagi 'tok guru' melakukan sesuatu yang jelas bercanggah dengan hukum yang asas, maka hindarilah ia segera.

Demang ucapkan tahniah pada pengarah, penulis skrip, dan pelakon atas penghasilan drama hebat tersebut.

Ada sesuatu yang perlu kita fahami yang tersirat pada karya ini.

Monday, December 15, 2014

Media sosial baru buatan malaysia

....sambungan.

Sebelum ini Demang sebut betapa jaringan media sosial bukan lagi sebagai jejaring lelabah bahkan sudah seperti gumpalan kapas yang tidak mudah dilerai.

Jika demikian, tindakan yang lebih praktikal dilakukan bukannya menghuraikannya sebaliknya merubah ia menjadi produk baru agar boleh dimanafaatkan.

Demang tahu kita sudah ada kementerian telekomunikasi namun isu ini bukan semata-mata masalah teknologi. Ia adalah peningkatan interaksi dan komunikasi yang menggerakkan sektor-sektor penting dalam masyarakat.

Jika anda kata media sosial hanya alat, ia memang benar namun perlu ditambah sedikit, 'alat yang agresif'.

Agresif atau radikal adalah sifat tidak normal bagi manusia. Analoginya ialah kenderaan yang sedang bergerak pada kelajuan 110km sejam adalah normal namun apabila pemandunya tiba-tiba menekan pedal brek dengan pantas sambil menukar haluan maka ia akan menghasilkan dentuman, samada kereta itu akan terguling atau terbabas, atau akan dihentak oleh kenderaan lain dari belakang.

Demikian juga kemunculan media sosial seperti Whatsapp dan Facebook. Samada diketahui atau tidak, samada sudah berlaku atau belum ia pasti akan terjadi kerana fitrahnya begitu.

Maka kita tidak mungkin dapat menahannya sebaliknya ia perlu diarah ke haluan yang betul serta diberi panduan. Kalau boleh, kawalan yang tidak secara langsung.

Sememangnya usaha ke arah itu memang sedang dilakukan namun adakah ia berpusat?

Jika kapas boleh kita jadikan benang  untuk dibuat pakaian maka kehadiran media sosial juga boleh kita jadikan sesuatu yang lebih berfaedah.

Kenapa kerajaan Malaysia tidak bina aplikasi kita sendiri untuk itu?

Sunday, December 14, 2014

Deria ke-7

Sambungan....

Sebelum ini komunikasi sesama manusia banyak melibatkan mulut dan suara namun kini jari dan sentuhan mengambil tempat.

Begitu juga jika dulu telinga yang menjadi penerima isyarat komunikasi, kini mata pula mengambil tempat iaitu ketika membaca teks.

Mahu tidak mahu kita perlu terima hakikat betapa media sosial adalah medan pertemuan paling penting pada zaman ini. Grup-grup diskusi bukan lagi dikatakan 'tumbuh macam cendawan' malah apa sahaja yang merebak dengan pantas boleh dikatakan 'seperti grup sosial di tahun 2014'.

Barangkali juga ungkapan yang lebih tepat bukannya 'serangan media sosial seperti tsunami' sebaliknya 'serangan tsumani seperti media sosial'!

Seperti yang Demang nukil sebelum ini, setiap orang memiliki lebih daripada lima grup media sosial yang menjadikan otak manusia bersambung-sambung sesama sendiri dan berpaut (link) pula dengan kelompok lain. Barangkali ia bukan lagi berbentuk jaringan lelabah bahkan boleh menjadi gumpalan kapas yang tidak mudah dirungkai.

Manusia sudah mula menyatu dalam menyimpan maklumat dan akhirnya sebagaimana kita menyimpan data di  pusat pengumpulan data maka begitu jugalah minda manusia. Akhirnya nanti manusia tidak lagi menyimpan maklumat di dalam otak masing-masing (internal) sebaliknya semua maklumat disimpan pada kotak memori secara maya (external) dan boleh dicapai sebaik sahaja diperlukan.

Sebagaimana ruang maya yang kita tahu tiada penguasa yang berhak mengaku menjadi pengawal maka begitu jugalah nantinya masyarakat manusia. Mereka membentuk koloni sendiri yang hanya beriman pada berita dan cerita, bukan lagi kebenaran sebenar.

Rakyat tidak lagi membaca atau mendengar berita bahkan berita tiba sepanjang masa terus ke minda melalui tapak tangan sebagaimana haba yang menjamah kulit serta merta diproses otak dan difahami sebagai 'panas'.

Nampaknya semua orang sudah ada deria ke tujuh!

Ia sedang berlaku tanpa dapat diempang lagi.

Bersambung...

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)