BATU PAHAT 8 Mei - Musibah yang menimpa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak disingkirkan daripada kerajaan sehingga sekarang adalah petunjuk bahawa Allah tidak reda beliau menjadi Perdana Menteri.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, semua kejadian itu perlu direnungi oleh rakyat kerana segala yang berlaku adalah ketentuan-Nya.
"Ini semua menunjukkan Allah tidak reda Anwar menjadi Perdana Menteri. Banyak petunjuk yang diberikan tetapi kenapa masih ada kumpulan yang fanatik dan taksub dengannya?
"Mengapa sampai sekarang masih ada lagi yang tidak nampak (kebenaran)," katanya semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua bahagian itu, Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan timbalannya, Ayub Jamil.
Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, rakyat perlu sedar dan tidak lagi diperbodohkan dengan sikap Anwar yang 'depan cakap lain, belakang cakap lain'.
Sementara itu Mohd. Puad berkata, DAP kini adalah musuh utama UMNO dan negara kerana kerap mencetuskan huru-hara dan kegelisahan antara kaum.
Menurutnya, parti itu akan memainkan apa sahaja isu yang boleh menguntungkan mereka tanpa memikirkan kesan kepada negara.
"Mereka akan timbulkan kegusaran dalam kalangan orang bukan Melayu dan kemudian melarikan diri. Mereka tidak mahu negara ini aman dan sentiasa mewujudkan ketegangan," katanya.
Katanya, semua itu dilakukan untuk kepentingan politik mereka selain memperalatkan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi memastikan matlamat 'sempit' parti itu tercapai.
Salinan daripada Utusan
No comments:
Post a Comment