Baru pagi tadi Demang menulis tajuk menanti baki terakhir pemimpin PKR meninggalkan parti serpihan itu tup-tup keluar berita ini:
KUALA LUMPUR: Pengarah strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli, hari ini meletakkan jawatan sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor ketika timbul desas-desus perbalahan antara beberapa pemimpin PKR di negeri itu.
Jawatan Penasihat Ekonomi Selangor disandang Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya sudah beri notis letak jawatan dari Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor. Sebarang pertanyaan mengenai ekonomi Selangor dan lain-lain, rujuk kepada Kerajaan Negeri atau Anwar Ibrahim,” kata Rafizi menerusi mesej Twitternya.
Beliau berkata: "Letak jawatan proses biasa. Perlu sedikit rehat, letih buat dua kerja di kerajaan negeri dan parti. Ramadan dah dekat, tumpu ibadah".
"Saya tidak pernah tugas lebih dari dua tahun pada satu-satu jawatan. Yang ini dah melebihi dua tahun, masanya untuk terus bergerak. Tidak ada kaitan politik dengan itu."
Peletakan jawatan Rafizi dikatakan menimbulkan pelbagai spekulasi kerana beberapa ahli PKR berpendapat ia mempunyai kaitan dengan perbalahan antara Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin, dengan beberapa pemimpin PKR negeri.
Selain itu, ada juga ahli PKR yang mendakwa peletakan jawatan itu mempunyai kaitan dengan perselisihan faham antara Rafizi dengan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, mengenai projek perintis pendidikan percuma di negeri itu.
Bagaimanapun, Rafizi yang disebut-sebut akan diletakkan sebagai calon PKR pada pilihan raya umum akan datang, terus menafikan ia mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri mahupun Faekah.
Beberapa percubaan menghubungi telefon bimbit Rafizi petang ini tidak berjawab tetapi beliau mengirimkan SMS kepada BERNAMA mengesahkan peletakan jawatannya itu untuk memberi tumpuan kepada kerja parti kerana pilihan raya semakin hampir. - BERNAMA.
Demang teringat dalam dunia selebriti apa yang mereka nafikan, itulah sebenarnya yang sedang berlaku.
Alaa... Dunia politik dengan dunia artis lebih kurang je...
No comments:
Post a Comment