Allah taala telah mentakdirkan manusia baru tidak diturunkan daripada langit, terbit daripada buluh betong, atau ditimbulkan daripada buih lautan.
Allah taala menghantar manusia baru melalui satu proses yang amat indah; bermula dengan pertemuan sepasang insan berlawanan jenis, menerbitkan perasaan cinta kasih, disalurkan restu daripada ibu bapa, diisytihar dan disahkan penguasa agama seterusnya dirai keluarga, sanak saudara bahkan seluruh masyarakat melalui majlis yang ceria.
Setelah proses tersebut selesai pun Allah taala masih belum menyerahkan manusia baru kepada bumi ini sehingga ia melalui satu persefahaman dan persetujuan khusus pasangan tersebut secara berdua-duaan tanpa campurtangan orang lain dalam hubungan penuh nikmat, saling memberi dan menerima.
Setelah itu Allah taala bertanya secara langsung pada calon manusia baru tersebut adakah ia mengaku bahawa Allah taala adalah penciptanya dan bersedia lahir ke dunia; dan setelah diakui barulah proses kelahiran dipersiapkan.
Pembinaan insan yang bermula dengan manusia bayi merupakan tanggungjawab total ibu bapanya melainkan jika Allah memutuskan kedua atau salah seorang daripada mereka perlu kembali kepada-Nya lebih awal. Jika demikian, tanggungjawab membesarkan bayi tersebut perlu diteruskan menurut susunan yang telah ditentukan.
Insan yang sempurna hanya terbina apabila keseimbangan tercapai dari segi rohani, intelek, emosi, dan jasmani tanpa ada dulu-kemudian antara keempat unsur tersebut.
Justeru mengambil kira keterbatasan ibu bapa dalam memenuhi keperluan di atas maka tugas dan tanggungjawab tersebut dibantu sebuah pasukan khas yang dilantik secara profesional.
Ibubapa, kerajaan, swasta, komuniti, dan sektor pendidikan saling bekerjasama membina anak manusia.
Di pihak kerajaan, satu kementerian khusus telah dibentuk dan kajian menyeluruh telah dilakukan bagi memilih kaedah terbaik bagi mendidik anak manusia yang berwarganegara Malaysia agar seimbang dari segi rohani, intelek, emosi, dan jasmani.
Maka pada 16 Mei 1956 jawatankuasa khas yang dibentuk untuk tujuan tersebut telah membentang satu dapatan dan kemudian diluluskan dengan dikenali sebagai Penyata Razak.
Bersempena tarikh tersebut, para guru yang menjadi pelaksana di peringkat akar umbi diberi penghargaan melalui peristiharan suatu tarikh khas yang disebut Hari Guru.
Selamat hari guru kepada semua yang terlibat dalam dunia pendidikan samada kakitangan guru mahupun bukan guru.
Hari ini hari guru yang wajar disambut segenap masyarakat kerana ia adalah proses penting dalam membina manusia untuk dunia dan akhirat.
Sekali lagi, selamat hari guru.
2 comments:
TAJUK KATA KAT SINGAPURA TAK BOLEH SAMBUT, MANA CERITANYA? JANGAN BUAT TIPU MCM NI, BORING
Demang letak tajuk begitu bukan semata2 utk gimik tapi krn masih ada yg menyangka 16 mei ialah hari guru sedunia.
Post a Comment