Apakah produk dan servis yang kita nikmati yang kita bayar dengan rela serta teruja?
Sudah tentu bukan yuran pengajian sebab jika demikian takkanlah ramai pelajar IPT beriya-iya menghamburkan perasaan hingga ke jalanraya.
Bahkan jika anak-anak manusia lahir tanpa ibubapa sudah tentulah ramai guru yang ada sekarang terpaksa bekerja di kilang-kilang walaupun yuran sekolah tak sampai 5 sen sehari!
Maksud Demang, pendidikan untuk diri sendiri bukanlah sesuatu yang disukai manusia dan tidak ramai yang bersedia untuk membayar kosnya.
Bagaimana dengan makanan? Sanggupkan kita menikmati sepinggan nasi putih, sepiring air garam, dan daun-daun sebagai ulaman bagi hidangan tengahari; dan menu yang sama juga kita hadap pada waktu malam?
Demang percaya jika itulah budget yang kita sediakan selama tiga hari berturut-turut maka pada hari ke-4, si suami akan kembali membujang.
Begitu juga soal pakaian dan tempat tinggal. Manusia tidak akan sanggup berlapang dada memiliki seadanya sebaliknya akan berusaha mendapatkan aksesori tambahan.
Manusia sanggup berbelanja apa sahaja asalkan bukan untuk keperluan asas. Ia termasuklah kecantikan dan penampilan diri, kelengkapan rumah, aksesori kenderaan, hobi, dan pengisian emosi.
Nampaknya secara tidak sengaja Demang telah menjawab persoalan yang Demang kemukakan di awal tadi.
Demang kuat berpendapat, manusia bukan bekerja untuk mendapatkan keperluan asas sebaliknya majoriti manusia sentiasa berusaha memenuhi keinginan (baca: nafsu).
Jangan meluat pada Demang sebab Demang juga sama seperti manusia lain kalaupun tidak seperti anda
Kita sedia membayar RM5 untuk secawan tea di kopitiam namun akan merungut panjang jika kerajaan menarik semula subsidi 20-30 sen bagi setiap kilogram gula.
Sekali lagi jangan pandang sinis pada Demang jika anda penyokong tegar pembangkang. Sebaiknya kita bersetuju pada kenyataan yang benar sebagaimana Demang menerima cadangan pelaksanaan hudud walaupun dicetuskan pihak bertentangan.
Demang menulis atas prinsip sesuatu yang sepatutnya dilakukan, bukan sesuatu yang sanggup diamalkan. Demang sedar di situ terdapat ironi yang ketara, bahkan Demang terpaksa memadam beberapa perenggan sebelum artikal ini disiarkan.
Mahu tidak mahu kita terpaksa akui bahawa sentiasa ada peperangan dalam diri manusia. Di satu pihak kita tahu apakah yang wajar kita terima dan di satu pihak lagi sentiasa meruntun kita untuk merasai nikmat tambahan. Sayangnya kedua-dua sudut yang bertelagah itu berada dalam diri kita dan kita tak selalu mampu mengenepikannya.
Sebab itu Islam mengesyorkan kesederhanaan.
No comments:
Post a Comment