Dua PRK sedang 'berlangsung', konon bagi menyempurnakan sistem demokrasi. Bagi Demang, apabila demokrasi disempurnakan maka lengkaplah sebuah kegagalan dalam ketamadunan manusia.
Apa boleh buat, kita sudah memilih untuk berdemokrasi dan membuang sistem khalifah. Mujurnya, kita tidak buang semua meski peranan kesultanan semakin hari semakin kabur. Lama-lama nanti, cucu cicit kita sangka sultan itu tugasnya mengurus kelab sukan.
Kita kembali pada realiti, sistem demokrasi. Rakyat kononnya menjadi raja.
Apa khabar GST setelah 3 minggu dilaksanakan? Adakah suara hati rakyat akan tertampil melalui keputusan PRK itu nanti? Memang tidak valid mengambil keputusan pilihanraya kecil bagi mengukur penerimaan rakyat terhadap GST, namun jika BN kalah di Rompin maka ia serta merta menjadi valid!
Barangkali kurang sesuai Demang menulis tentang kebobrokan GST tatkala jentera BN sedang bertungkus lumus berkempen memenangkan calon kerajaan. Apatah lagi ramai sahabat-sahabat Demang ikut terlibat. Namun bagi Demang si blogger kerdil, inilah masanya untuk bersuara. Waktu lain, mencurah air di daun keladipun lebih baik.
Demang dengar-dengar, ada menteri kata Tun Mahathir bantah GST kerana beliau tidak faham GST. Wah, kalau Tun pun tidak faham, bagaimana dengan Demang dan rakyat marhaen lain? Sistem planet mana yang kerajaan gunakan hingga mengelirukan ramai orang?
Kalau didengar penerangan awal tentang GST, memang nampak ranum dan mengiurkan. Namun apabila dilaksanakan terlihat banyak kebusukan dan sesetengah nampak berulat dan menghilangkan terus selera Demang.
Demang lihat demokrasi yang kita sanjung sudah jadi alat kapitalis memuaskan nafsu mengaup untung. Manakala kerajaan yang diberi amanah melalui demokrasi gagal menjadi pembela kepada rakyat. Lebih tepat lagi, kerajaan menjadi pembela pada golongan kapitalis. Agaknya kerana kapitalis lah yang membiayai perbelanjaan pilihanraya mereka.
Rasanya sudah banyak kali Demang tulis, sepatutnya GST dijadikan cukai terhadap pengeluar, bukan pada pengguna. Caranya ialah setiap urusniaga antara pengeluar dan pemborong, dikenakan cukai.
Dengan cara itu harga runcit akan kekal atau setidak-tidaknya peniaga kena cari alasan lain untuk naikkan harga. Apapun, kerajaan perlu menyimpan harga siling setiap item sebelum cukai dilaksanakan bagi mengelakkan manipulasi oleh peniaga.
Macamana nak tahu semua harga produk di pasaran dan merekodkannya? Mudah sahaja sebab semua produk didaftarkan dan sudah ada kementerian khas yang dibayar gaji oleh rakyat.
Kerajaan tidak perlu risau untung rugi pihak peniaga sebab para peniaga banyak muslihat untuk meningkatkan keuntungan.
No comments:
Post a Comment