Matahari muncul lagi, sama seperti semalam dan kelmarin dulu.
1 April 2015 tiba juga dan tidak perlu dimukaddimahkan lagi peristiwa penting yang berlaku hari ini sebab kerajaan sudah hebahkan sejak sekian lama.
Itu mungkin kesilapan utama kerajaan dan kita tidak boleh juga salahkan media sosial yang mampu menyelinap ke dalam seluar menteri bagi mengutip isu, menyebabkan kerajaan tidak begitu berani berahsia.
Namun bukan masalah telus atau rahsia. Demang nampak huru hara timbul kerana kerajaan kurang bijak dalam melaksanakan sistem baru. GST hanya sistem dan sejak zaman dahulu kala kerajaan memang mengutip cukai bagi membiayai perbelanjaan negara (dan secara tidak langsung perbelanjaan diri dan keluarga mereka).
Tak apa-lah. Itu kita kategorikan sebagai upah atau gaji.
Pagi-pagi lagi Demang terima resit kedai mamak daripada seorang teman yang baru bersarapan. Pada kertas tersebut tertera caj 6% daripada jumlah sarapan beliau.
Catatan lengkapnya:
Kopi O: RM1.50
Roti telur: RM2.20
GST 6%: RM0.22
Jumlah: RM3.92
Bagi Demang ini adalah permulaan yang bagus. Sebelum ini jarang orang peduli apa yang dibayar. Sekarang kita boleh lihat secara rinci caj yang dikenakan dan boleh juga bandingkan harga dengan kedai lain. Setidak-tidaknya kita tahu nilai wang kita.
6% atau 22 sen adalah cukai yang diambil oleh kerajaan. Apa tujuannya? Soalan itu anda fikirkan sendiri dan adili sendiri.
Kemana pula perginya 94% atau RM3.70?
Ia adalah untuk peniaga menguruskan produk yang kita beli termasuk sewa kedai, gaji pekerja, tepung, gula, serbuk kopi, bil letrik dan air, dan sebagainya. Selebihnya adalah untung peniaga.
Berapa peratus untung peniaga?
Bagi Demang, jika kita hendak berkira, maka berkiralah dengan untung peniaga. Bagaimana? Pilihlah kedai yang pemiliknya tidak berkira sangat dengan kita.
Sekarang kita (baca: kerajaan) sudah ada maklumat yang lengkap dan tepat setiap produk dan perkhidmatan yang ada di Malaysia. Maklumat sangat penting untuk membuat keputusan terbaik.
Dari situ kita boleh tahu apa yang kita sudah ada, berapa banyak stok barang keperluan untuk rakyat, berapa harga, senarai perbandingan dan pilihan yang ada, dan sebagainya.
Dengan adanya GST juga bermakna kita tahu berapa yang telah dikutip dan buat unjuran untuk pendapatan akan datang.
Maka, sekarang bukan masanya untuk menolak GST tetapi menjadikan GST satu peluang melaksanakan kebajikan rakyat. Jika nak persoalkan, soalkan ke mana dan bagaimana wang kutipan itu dibelanjakan.
1 comment:
Satu lagi, bila menyemak resit, pastikan tertera GST ID peniaga terbabit.Jika tiada GST ID bermakna peniaga tersebut tidak membayar GST pada kerajaan dan peniaga tidak boleh mengenakan cas 6% GST pada pelanggan.
Post a Comment