Sudah lama Demang tidak bercerita dalam blog ini. Hari ini Demang nak kongsikan satu kesah yang bertajuk Penternak, Anak, dan Keldai.
Prologue:
Pada suatu hari seorang penternak mengajak anak lelakinya menjual keldai mereka di pasar. Maka berjalanlah kedua-duanya mengiringi keldai tersebut ke pasar.
(Anda boleh skip beberapa perenggan berikut)
Mereka melewati sebuah kampung dan terserempak dengan sekumpulan petani. Salah seorang daripada petani berkata: kenapa tidak ditunggang keldai itu?
Penternak dan anaknya merasakan itu adalah idea yang baik maka kedua-duanya naik ke atas belakang keldai bagi meneruskan perjalanan.
Tidak lama kemudian mereka tiba di sebuah kampung dan lalu berhampiran sekumpulan wanita. Ada antara wanita itu yang berkata: alangkah kejamnya dua orang lelaki menunggang keldai yang kurus.
Maka penternak itu turun dan membiarkan anaknya sahaja terus menunggang keldai.
Tidak lama kemudian mereka tiba di kampung lain dan melalui sekumpulan pelajar. Salah seorang pelajar berkata: sungguh tidak patut seorang anak senang lenang menunggang keldai padahal ayahnya berjalan kaki.
Penternak itu menyuruh anaknya turun dan dia menggantikan tempat anaknya.
Mereka meneruskan perjalanan dan tiba di suatu tempat. Kelihatan beberapa orang pemuda sedang berkumpul. Salah seorang pemuda menyindir betapa orang dewasa suka membuli kanak-kanak.
Apa akhiran cerita ini? Demang pun sudah lupa. Demang percaya anda pernah mendengarnya.
Oleh kerana Demang sudah lupa maka izinkan Demang reka sendiri sambungan cerita ini.
(Perenggan seterusnya anda tidak boleh skip)
Penternak tiba di pasar dan menjual keldai tersebut.
Pada minggu berikutnya, penternak ingin menjual keldai lagi. Kali ini beliau tidak mahu lagi berjalan kaki. Beliau menyewa lori dan membawa keldai ke pasar untuk dijual. Selain penjual keldai, bermacam-macam perniagaan berlangsung di pasar itu.
Orang kampung melihat para peniaga mengaut untung daripada urusniaga manakala mereka kekal sebagai petani. Tertonggoknya pasar di negeri itu langsung tidak menguntungkan mereka selain daripada tempat kemudahan berjual beli.
Akhirnya orang kampung bermesyuarat dan mengambil keputusan bahawa semua peniaga wajib membayar cukai. Hasil cukai tersebut akan digunakan bagi menyelenggara pasar dan bakinya dimasukkan ke tabung penduduk.
Untuk apa wang tabungan itu? Ah, tak perlu difikirkan sangat buat masa ini sebab orang bodoh dan orang gila pun tahu menggunakan duit!
Semua penduduk pada dasarnya bersetuju sebab mereka dapat untung. Cuma masalahnya, bagaimana hendak dilaksananakan?
Ada seorang mencadangkan cukai dikutip daripada peniaga berdasarkan jualannya selama setahun. Malangnya setelah dilaksanakan, ramai peniaga yang menipu dan tidak mengisytiharkan jualan tahunan terkumpul dengan jujur.
Selepas bermesyuarat semula, ada yang mencadangkan supaya diletakkan tabung di setiap kedai dan setiap kali ada jualan, 6% daripada jumlah bayaran dimasukkan terus ke dalam tabung.
Cadangan tersebut memang baik tetapi bagaimana nak pastikan setiap kali berlaku jualan maka penjual dan pembeli secara tulus dan telus memasukkan 6% daripada jumlah jualan/pembelian ke dalam tabung?
Akhirnya seorang AJK kampung mencadangkan digunakan alat khas mengira cukai yang akan merekod dan mampu diperiksa oleh JKKK secara telus bagi setiap urusniaga yang berlaku.
Nampaknya sistem ini boleh diguna.
Ucapan ketua kampung tersebut yang sempat Demang catat:
1) semua pembeli termasuk daripada bandar berhampiran yang membeli di pasar itu mesti bayar GST.
2) wang terkumpul akan diagihkan semula pada penduduk dalam bentuk perkhidmatan dan kemudahan awam.
3) ada sebilangan penduduk miskin yang dapat wang tunai.
4) ada sebilangan penduduk ditugaskan dalam pengurusan dan dibayar gaji serta elaun.
5) ada yang cuma dapat kemudahan awam.
6) memang ada yang langsung tak dapat sebab mati awal, tetapi dapat pahala atas sumbangannya.
Akhirnya semua penduduk kampung bertepuk tangan kerana GST akan memberi faedah pada mereka. Walaupun mereka sedar sebahagian GST tersebut darioada wang mereka juga namun itu lebih baik daripada tidak dapat apa-apa.
Mereka juga tahu, tanpa cukai pun peniaga pasti akan naikkan harga barang dari semasa ke semasa.
2 comments:
Jadi tuan sokong GST lah ye? Saya pun sokong tapi eloklah di kurangkan kadarnya. Dan terlebih dulu perlu disiasat secara tegas "ill-gotten" income of PM, X-PMs, Ministers and former Ministers, RAMPAS semuanya dan bawa balik dimasukkan ke Treasury...mahu berbilion jumlahnya....
saya sokong sistem GST tetapi tidak setuju harga runcit dinaikkan. Sepatutnya peniaga yang diminta mengurangkan untung.
Post a Comment