Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Thursday, July 31, 2008

Dilema: nasi sudah menjadi bubur?

Barangkali ramai yang keliru dengan tajuk Demang kali ini. Ketika muqabalah UMNO-PAS masih berlangsung, si Demang menulis sesuatu yang amat ditakuti oleh orang ramai.

Bagaimanakah nasi boleh menjadi bubur? Bolehkah nasi bertukar menjadi bubur?

Persoalan ini sebenarnya lebih mudah dijawab oleh orang yang tahu proses menanak nasi. Bagi yang tidak pernah menanak nasi, Demang nak berkongsi proses tersebut.

Mula-mula ceduk beras sebanyak dua pot (lebih kurang dua tin 'susu pekat manis') dan masukkan ke dalam periuk bersaiz sederhana. Basuh sebanyak tiga kali.

Kemudian, masukkan air kira-kira dua ruas jari melepasi permukaan beras.

Selepas itu, hidupkan api dapur gas anda.

Biarkan masakan itu di atas api sementara anda sekeluarga pergi membeli belah atau menonton wayang.

Perhatian: uji kaji ini tidak boleh menggunakan mana-mana periuk elektrik atau dapur automatik. Dapur kayu atau arang dibenarkan dengan syarat bahan apinya sentiasa cukup untuk tempoh dua jam.

Apakah yang terjadi beberapa jam selepas itu? Adakah anda akan memperoleh nasi atau bubur nasi?

Demang yakin anda akan kecewa untuk memperoleh salah satu atau kedua-dua perkara tersebut. Nasi tak dapat, bubur apatah lagi.

Mari kita buat uji kaji kedua. Demang ringkaskan arahan.

Kali ini kita jangan berkira soal jumlah air. Lagi pun penduduk Selangor dah dapat air percuma. Dengan mengekalkan kuantiti beras, masukkan air sebanyak yang boleh.

Sebagaimana prosedur tadi, tenggekkan di atas dapur yang menyala selama kira-kira dua jam. Jika air nampak berkurangan, sila tambah dari semasa ke semasa.

Kira-kira 10 minit sebelum masakan itu selesai, masukkan beberapa sudu gula ke dalamnya dan kacau.

Setelah selesai, hidangkan di dalam mangkuk. Untuk lebih sedap, tabur bawang goreng dan ikan bilis goreng. Perencah seperti sayur, daging atau ikan boleh dimasukkan lebih awal.

Sekarang, apa hasilnya? Nasi biasa atau bubur nasi?

Kita kembali pada persoalan tadi.

Jika kita mematuhi prosedur yang betul untuk menanak nasi, bolehkah ia menjadi bubur?

Hal ini bermakna, peribahasa tersebut sekadar sindiran, bukan melahirkan simpati sembarangan.

Mungkin anda pernah mendengar seseorang berkata:
"apa nak kata lagi, nasi dah jadi bubur."

Sebenarnya orang itu ingin berkata:
"kalau engkau ikut cakap aku, perkara begini tak kan terjadi."

Mesej lain peribahasa ini ialah:
"Patuhi lah nasihat."

Realiti:
1. Pertentangan pendapat antara DrM dan DSAI ketika kemelut ekonomi 1998 dulu telah memporak-perandakan negara. Keputusan DSAI untuk memilih plan pemulihan IMF ditentang DrM. Dengan mengabaikan soal ‘betul-salah’ kes liwat maka didapati krisis tersebut telah meletakkan negara dalam keadaan tidak stabil dan merbahaya. Maka sebelum nasi menjadi bubur, kedua2nya perlu berundur.

Perlu diingat bahawa keputusan melantik TPM adalah hak PM berdasarkan keperluan beliau. Hal ini bermakna PM boleh melantik dan boleh juga tidak melantik timbalannya.

Akibat kemelut 1999, TUN DRM telah bersetuju dengan jalan keluar yang dicadangkan iaitu meletak jawatan walaupun beliau juga berkeras sebelum itu. Sebaliknya DSAI menentang dan membuat keputusan: 'lawan tetap lawan' tanpa mempedulikan apa yang akan terjadi pada negara.

Kita faham perasaan beliau yang terasa aib seluruh keluarga. Namun kepentingan rakyat dan negara tentulah lebih utama.

Dipendekkan cerita maka DSAI terpaksa ditahan. Tak lama selepas itu Tun DrM pun meletak jawatan.

2008, DSAI kembali bebas dan meneruskan perjuangan peribadi dengan sokongan yang kuat. Pembangkang menjadi sangat kuat sehingga kerajaan sukar melaksana tanggungjawab.

Mari kita ambil iktibar dari kisah yang dipaparkan dalam blog Azli Shukri sebagai panduan. Kisah Saiyidina Umar dengan penghulu Bashrah.

Maka anda fikir apa patut kerajaan lakukan pada DSAI? Maksud Demang, apa perlu kita buat bagi mengelak nasi menjadi bubur?

Mutakhir:
Berkenaan laporan daripada sebuah hospital swasta. Nampaknya bukti terbaru ini memberi kelebihan pada DSAI, malah boleh dijadikan bukti kukuh bagi menimbulkan keraguan ke atas kes beliau apabila dibicarakan di mahkamah kelak. Demang fikir ini satu peluang untuk beliau menggunakan badan kehakiman negara bagi membersihkan nama beliau daripada pandangan serong rakyat. Demang fikir DSAI patut berusaha keras agar kes beliau dibicarakan secepat mungkin kerana bukti yang beliau tidak bersalah sudah ada.

Sunday, July 27, 2008

Ujian Prasekolah

Demang dapati hampir semua media hari ini memberikan liputan pada permuafakatan UMNO-PAS. Demang amat bersyukur. Barangkali inilah hikmah sebenar PRU12 yang lalu. Kepada rakyat bukan Islam, janganlah bergundah gulana atau risau. Islam tidak pernah menghalalkan kezaliman sesama manusia. Malah di dalam al-Quran ditegaskan: "Tiada paksaan dalam Islam" Yakni orang bukan Islam tidak boleh dipaksa memeluk agama Islam.

Sambil kita mengikuti perkembangan terkini permuafakatan tersebut, apa kata kita berehat seketika untuk isu Demang kali ini. Bacalah mengikut fahaman masing-masing.

***********************

"Cikgu, kenapa kita tak ada ujian?" Yasmin bertanya.

Aku tersenyum. "Kamu nak ujian ke?"

Kanak-kanak perempuan itu mengangguk, bersungguh-sungguh.

"Mana kamu tau tentang ujian?" aku menduga.

Yasmin terdiam. Barangkali dia tidak begitu memahami soalanku. "Di tadika dulu ada ujian?" soalku terus terang.

"Ada." jawabnya pendek.

Aku tersenyum. Teringat amaran keras Prof Madya Dr Hashimah semasa kuliah dulu:

"Kamu tak payah nak rajin sangat adakan ujian di prasekolah. Jangan rampas zaman kanak-kanak mereka terlalu awal. Sebaliknya buat pemerhatian berterusan. Gunakan rekod anakdot dan sebagainya bagi mencatat perkembangan mereka."

Persoalan murid tadi tentang ujian membuatkan aku terfikir tentang apa sebenarnya ujian?

Sejak menamatkan kursus perguruan pada 1990, salah satu tugasku ialah menyediakan ujian. Malah tanggungjawab tersebut sebenarnya merupakan satu ujian bagi seorang guru.

Sebagai seorang yang sering terlibat dengan program motivasi dan pembinaan modal insan, kadang-kadang para peserta kami diuji juga.

Namun, apa itu ujian?

Ujian berasal dari kata dasar uji (test). Istilah lain yang hampir sama ialah periksa (exam).

Ujian dibuat bagi mengesahkan sesuatu perkara. Contohnya jika kita ingin tahu sama ada gulai yang kita masak itu masin atau tawar maka kita akan mengujinya dengan cara menitipkan sedikit pada lidah.

Ketika aku di Jengka dulu sering juga aku ke ladang membantu ibuku menoreh getah. Alat utama dalam pekerjaan ini selain pokok getah ialah pisau penoreh getah. Pisau ini mestilah sentiasa tajam memandangkan tugas beratnya ialah untuk menoreh kulit kayu. Jika kita ingin menguji sama ada pisau penoreh getah itu sudah tajam atau belum maka cuba letak mata pisau itu pada kuku dan tarik ke bawah. Jika terasa licin maka mata pisau tersebut dianggap belum cukup tajam dan perlu diasah lagi.

Batu pengasahnya ada dua. Satu berpermukaan kasar dan satu lagi licin. Setelah itu diuji lagi dengan cara tadi. Jika terasa kesat hingga mata pisau tidak boleh bergerak pada permukaan kuku maka luluslah ujian itu.

Bagaimana pula jika anda tersilap uji sehingga jari anda terluka?

Semasa menjadi pelajar dulu, ujian bukanlah sesuatu yang disukai.

Yang jelas, ujian bukan sekadar soalan. Jadi, anda tidak boleh bertanya kekasih anda: "adakah awak setia?"

Sebagai makhluk, kita juga diuji oleh pencipta kita. Namun sebagaimana di sekolah, ujian untuk murid darjah satu tentu lah tidak sama dengan ujian yang disediakan bagi pelajar universiti.

Justeru apabila diuji, bersabarlah. Yakin dan percayalah bahawa Tuhan tidak pernah tersilap mengedarkan kertas ujian, cuma kita yang tidak membaca 'buku rujukan' atau 'manual' kehidupan yang telah disediakan oleh Maha Pencipta.

Demang: Sering diuji Tuhan selepas membuat 'posting' di sini. Ujian bagi mengelakkan 'cakap tak serupa bikin'.

Wallahu'alam.

Wednesday, July 23, 2008

Suatu pertanyaan

Kenapa bila kita mati roh kita tak boleh datang semula ke sini?

Saya hampir tidak percaya bahawa anak saya yang berumur enam tahun boleh mengemukakan soalan sebegitu.

Dari mana dia memperolehi soalan itu? Ibunya merangkap guru kelasnya menafikan mengajar soalan tersebut. Begitu juga neneknya yg juga guru mengajinya tidak pernah menimbulkan soalan sebegitu.

Cuma isteri saya mengaku bahawa pengetahuan tentang kematian dan hari qiamat memang diajar berdasarkan kandungan sukatan pelajaran prasekolah. Hal ini memang saya maklum kerana memang bidang saya. (lihat http://www.morhabshi.com)

Persoalan yg dikemukakan membuatkan saya terfikir dua perkara yg saya rasa elok dikongsi bersama.

Pertama, adakah kita sedar potensi sebenar anak kita? Apa yg mereka rakam (melalui sensori motor/deria), mereka proses (termasuk berfikir dan bertanya), dan mereka keluarkan (output) dalam bentuk tingkah laku (behavior)?

Kedua, pernahkah kita bertanya diri sendiri kenapa kita perlu mati setelah dihantar ke dunia ini?

Jika anda di tempat saya, apakah jawapan yg patut diberikan kepada si kecil itu?

Amalan kami suami isteri ialah 'memberitahu walaupun mereka belum faham.'

Sebenarnya saya tidak gemar memberikan jawapan secara terus sebaliknya membuka jalan agar mereka terus berfikir dan membina konsep sendiri.

Bagi saya, cepat atau lambat sesuatu perkara itu difahami tidak penting. Sebaliknya jika mereka sudah menguasai sesuatu konsep maka apa pun masalah yg didatangkan kemudian insya Allah dapat mereka selesaikan dengan lebih mudah.

Dalam situasi tadi saya menjawab begini:

"sebelum Haziq lahir, di mana Haziq duduk?"

"Dalam perut ibu," jawab anak saya.

"Ok. Sekarang Haziq dah ada di dunia. Boleh tak Haziq 'duduk' semula dalam perut ibu?" saya mengumpan lagi.

"Tak boleh," jawabnya.

"Maknanya, dulu kita di alam rahim, sekarang di alam dunia dan selepas ini di alam kubur (barzakh). Selepas itu kita semua akan berkumpul di alam akhirat. Tidak kira siapa yang mati dulu, semuanya akan berjumpa semula di akhirat." Saya memberitahu kedua-dua putera saya. Abangnya (9 tahun) turut mendengar sama.

"Haziq tengok. Dulu, Toknyang dan Tokji dah mati. Sekarang diorang dah berada di alam kubur. Nanti kita pula. Apabila semua orang dah mati, itu namanya qiamat. Lepas tu, kita semua akan berjumpa semula di alam akhirat." Saya menamatkan penerangan.

"Di 'alam' ke, 'dalam'?" Dia agak keliru.

"ALAM, bukan DALAM." Saya mempertahankan istilah itu tapi belum bersedia menjelaskan lebih lanjut.

Nampaknya kedua-dua putera saya mulai faham. Namun sudah tentu pemahaman mereka tidak sama dengan pemahaman kita. Tidak mengapa. Sekurang-kurangnya mereka telah bermula.

(saya pernah terbaca sebuah buku: seorang kanak-kanak bertanya bagaimana kita boleh bezakan antara mimpi dengan realiti?).

Sampai sekarang saya belum dapat jawapannya.

Wallahu'alam.

Sunday, July 20, 2008

Muzakarah secepat mungkin

http://www.utusan.com.my
KUALA LUMPUR 19 Julai - Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersedia untuk memulakan muzakarah dengan Pas secepat mungkin demi penyatuan bangsa dan agama.
Menurutnya, beliau tidak mahu perbezaan politik menjadi penghalang kepada perbincangan berkenaan.
"Saya amat ingin menjayakan perbincangan tersebut," kata Perdana Menteri dalam pertemuan dengan kumpulan-kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam ini.
Kata beliau lagi, perpaduan Melayu perlu diperkukuhkan kerana mereka sedang menghadapi cabaran-cabaran baru.
Abdullah juga mahu melihat perpaduan di kalangan masyarakat Islam negara ini kerana orang Melayu tidak dapat dipisahkan.
"Janganlah berbalah, akuilah kekuatan itu ada. Insya-Allah kita akan beroleh kejayaan," tegasnya.
Cadangan muzakarah sebelum ini telah dinyatakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu wawancara dengan lidah rasmi parti itu, Harakah minggu lalu.
Dalam wawancara itu, Abdul Hadi dengan nada tegas menyatakan, dalam menyampaikan mesej Islam, Pas berhak mengadakan rundingan dengan UMNO tanpa perlu merujuk dengan mana-mana parti dalam pakatan pembangkang.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kenyataannya bulan lalu turut menyatakan kesediaan bermuzakarah dengan pemimpin utama Melayu terutamanya UMNO bagi membincangkan kepentingan masa depan umat Islam.

Umno sudah tiga kali bertemu Pas (Mutakhir)
http://www.bharian.com.my
PUTRAJAYA: Presiden Umno, datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengesahkan Umno sudah mengadakan pertemuan sebanyak tiga kali dengan Pas. Namun pertemuan berkenaan tidak membabitkan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Catatan Demang: Jangan lah nanti ada orang yang kata “Alaa… tu la UMNO, dah tersepit baru nak mintak tolong PAS.” Demang fikir bukan UMNO yang tersepit. Lihat realiti berikut:

Pakatan Rakyat:
PERTAMA: PKR
KEDUA: DAP
KETIGA: PAS

Barisan Nasional:
PERTAMA: UMNO
KEDUA: MCA
KETIGA: MIC


Siapa yang paling lemah?

Friday, July 18, 2008

Perangai "budak-budak"

Ada 25 kanak-kanak dalam kelas saya. Tujuh lelaki dan selebihnya perempuan.

Ramai yang ingin ke depan, tapi tak ramai yang benar-benar berani. Daripada yang berani tu, tak semua yang benar-benar berkebolehan.

Lebih ramai yang sekadar ingin menarik perhatian. “Budak-budak…”

Semalam Khairul bergaduh dengan Adam. Eh! bukan semalam, kelmarin dulu atau hari sebelumnya. Bila, ye? Hmm, dah lupa harinya. Sebenarnya mereka memang selalu bergaduh. Hampir setiap hari. Malah lebih dari sekali dalam satu hari.

“Khairul, kenapa tendang Adam?” tanya saya lembut.

“Adam ketuk kepala saya dulu, cikgu.” Khairul membela diri.

“Ha, betul ke Adam?” saya berpaling semula pada Adam.

“Betul, tapi semalam dia baling saya dengan buku.” Adam menyerang balik.

“Khairul?” saya berputar pada Khairul pula.

“Dia ejek saya dulu, cikgu.” Khairul juga ada alasannya.

Saya mula rasa dipermainkan walaupun saya tahu mereka bercakap benar, Sebenarnya saya geram sebab masing-masing tidak mahu menerima kesilapan masing-masing dan asyik menyalahkan orang lain.

“Kalau begitu kamu berdua sama-sama salah. Jadi, cikgu akan rotan kamu berdua.” Saya membuat keputusan sekali gus menjatuhkan hukuman.

Sebenarnya penggunaan rotan di kelas prasekolah tidak dibenarkan. Para pensyarah saya di USM dulu memang mengharamkannya. Saya memang tidak pernah merotan mereka walaupun sebatang rotan memang tersedia di dalam kelas. Sekadar ‘ancaman’.

Adam sudah mahu menangis manakala Khairul juga mula takut. Saya menunjukkan reaksi benar-benar ingin melaksanakan hukuman.

Akhirnya, kedua-duanya berbaik semula setelah saya terangkan bahawa jika mereka asyik bergaduh maka nanti kedua-dua mereka juga yang akan dihukum.

Tapi saya sedar, esok belum tentu mereka tidak akan bergaduh lagi. “Budak-budak…”

Saya terfikir, mereka bernasib baik kerana saya adalah guru mereka dan sedang bertekad untuk tidak menggunakan sebarang kekerasan terhadap kanak-kanak di bawah umur tujuh tahun. Hal ini saya ambil teladan daripada Rasulullah sendiri. Namun, bagaimana dengan negara kita? Adakah negara asing yang sedang memerhatikan kita itu bersikap seperti seorang guru? Mahukah mereka ‘mengajar’ kita selaku guru-murid? Lihat lah bagaimana mereka ‘mengajar’ Iraq, Kemboja, Myamar, Afghanistan dan Palastin erti demokrasi.

Lantas saya teringat kata-kata bekas presiden Filiphina (Ekstrada?) 2-3 hari lepas, “Anwar adalah tokoh pejuang demokrasi.”

Adakah kita masih terus mahu berkata: “Ini salah kerajaan. Ini salah polis. Kenapa tuduh dan tangkap Anwar? Kenapa DrM dulu pecat Anwar? Maka lawan tetap lawan!

…dan Amerika sedang memerhati.

Wallahu'alam.

Thursday, July 17, 2008

Menjelang Permuafakatan UMNO-PAS

Kenyataan Dr Mohd Asri Zainul Abidin Berhubung Dengan Pertemuan Pas Dan Umno
Disiarkan pada Jul 15, 2008
http://drmaza.com/

Saya menyeru umat Islam berdoa kepada Allah agar berlakunya pertemuan antara UMNO dan PAS dalam keadaan yang harmoni dan mendatangkan kebaikan untuk rakyat umumnya dan umat Islam khususnya. Pertemuan itu diharapkan bukan atas kepentingan mana-mana parti, sebaliknya di atas kemaslahatan umat. Anggaplah itu tanggungjawab menjaga ukhuwwah, dakwah dan menjaga maslahah ummah.

Jika mereka sebelum ini boleh bertemu dengan pihak-pihak yang jauh segi akidah dan prinsip dari parti mereka, mengapa pula tidak boleh untuk mereka duduk semeja dengan saudara muslim mereka. Walaupun masing-masing mempunyai pandangan yang berbeza dalam beberapa perkara, namun mereka menganut agama yang sama. Semoga Allah memberikan pahala yang besar kepada Presiden PAS DS TN Abdul Hadi Awang atas hasratnya itu. Juga semoga Allah memberikan balasan kebaikan kepada PM DS Abdullah Ahmad Badawi yang memberikan respons yang baik.

Firman Allah: (maksudnya) “Tiada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau menyuruh berbuat kebaikan, atau menyuruh perdamaian antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar” (Surah al-Nisa’: ayat 114). Tiada siapa yang membenci hasrat ini, melainkan mereka yang membenci kebaikan untuk umat dan negara.

Saya yakin, pertemuan itu bukan untuk meleburkan identiti politik mereka, sebaliknya mungkin hasrat atau idealisme politik masing-masing dapat dilaksanakan secara selaras dan matang. Memang sukar untuk mana-mana pihak pun dalam dunia ini mencapai keseluruhan idealisme perjuangannya. Tetapi bak kata kaedah: “Apa yang kita tidak capai kesemuanya, jangan pulak ditinggalkan keseluruhannya”. Ertinya, jika tidak dapat mencapai tahap seratus peratus pun, janganlah pula sedikit sebanyak yang mampu diperolehi ditinggalkan.

Sikap ingin bertemu antara satu sama lain dalam suasana yang lebih harmoni itu adalah lambang kematangan politik kedua parti tersebut.

Nabi s.a.w bersabda: “Mahukah kamu aku khabarkan amalan yang lebih tinggi darjatnya daripada puasa dan solat ? Jawab para sahabah: Bahkan. Sabda baginda: “Mendamaikan hubungan, kerana rosaknya hubungan itu adalah pencukur (mencukur agama)” (.Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).

Pertemuan itu saya percaya, bukan untuk mengungkit kisah silam, tetapi untuk membuka lembaran baru yang lebih menjamin kebaikan untuk umat dan negara. Kita ingin melihat mereka duduk dengan penuh kasih sayang dan ukhuwwah. Marilah kita semua berdoa agar hasrat tersebut dapat direalisasikan.

Saya percaya, pada hari impian itu terlaksana, mereka yang ikhlas akan mengalirkan airmata kesyukuran yang tidak terhingga.

Demang: terasa seperti ada pepasir di sudut mata, ada genangan air menunggu rebak... Semoga doa ini diperkenankan Allah subhanahu wata'ala.

Buat masa ini Demang telah berjaya menghubungi sahabat-sahabat yang sedang berjuang dalam UMNO dan mereka telah berjanji untuk membuat usul permuafakatan ini dalam mesyuarat cawangan masing-masing. Demang minta kerjasama sahabat bloggers untuk turut bergerak di lapangan bagi merealisasikan cita-cita ini.

Insya Allah.

Tuesday, July 15, 2008

PENTING: "Amanat Demang Lebar Daun"

Alhamdulillah. Pertama kerana Hj Hadi kembali sihat. Kedua, kenyataan yang amat jelas daripada Nik Aziz tentang kesediaan PAS untuk bermuzakarah.

Mursyidul Am PAS memberikan syarat iaitu cadangan tersebut hendak lah datang dari akar umbi, yakni ahli UMNO sendiri dan bukannya sekadar hasrat 2-3 individu tertentu.

Bagi Demang itu bukannya syarat tetapi kaedah yang berhikmah dan bijaksana.

Dalam pada itu Demang sempat menonton komen daripada mantan PM, TDM. Bagi Demang itu bukan respon yang membina sebaliknya tindakan ‘mengungkit’ dan berprasangka. Memang elok lah kita berhati-hati tetapi siapa yang berbahaya? Siapa musuh kita?

“UMNO patut berhati-hati dengan PAS atau PAS patut berhati-hati dengan UMNO?”

Demang nak tunjukkan bagaimana menggunakan teknologi komputer bagi menyelesaikan masalah ini.

1) Mula-mula ‘copy’ ayat “UMNO patut berhati-hati dengan PAS atau PAS patut berhati-hati dengan UMNO?”.
2) ‘Paste’ ayat tersebut ke hamparan ‘word’ (eg. Microsoft Word).
3) Pergi menu ‘Edit’ dan pilih ‘Replace’.
4) Dalam kekotak ‘Find what’ sila taipkan perkataan ‘PAS’.
5) Dalam kekotak ‘replace with’ sila taipkan perkataan ‘orang Islam’.
6) Klik ‘Replace all’. klik ‘Ok’. klik ‘Close’.
7) Lihat keputusannya dan baca sekadar terdengar ke telinga sendiri.
8) Ulang langkah 3.
9) Lakukan seperti langkah 4 tetapi taipkan ‘UMNO’ dalam kekotak ‘Find what’ tadi.
10) Kekalkan perkataan ‘orang Islam’ sebagaimana langkah 5.
11) Ikuti langkah 6 dan 7.

Buat lah interpretasi sendiri.

Bagi Demang, berikan lah ruang seluas-luasnya untuk permuafakatan ini.

Kepada semua ahli UMNO, inilah tanggung jawab anda semua. Lakukan lah untuk sekali ini. Kebetulan sekarang adalah musim mesyuarat cawangan UMNO. Setiap cawangan wajib mengemukakan usul agar UMNO dan PAS bermuafakat dan bermuzakarah.

Jangan bertanya lagi siapa yang patut melakukannya. Jika anda seorang ahli UMNO, hadiri lah mesyuarat cawangan anda dan kemukakan usul tersebut.

Jika anda bukan ahli UMNO, sampaikan pesanan Demang ini kepada mana-mana ahli UMNO di kawasan anda untuk dikemukakan usul ini.

Apabila kesemua cawangan sudah membuat usul, adakah sesiapa lagi yang mampu menahannya?

“Kita sudah tiada masa. Maju lah dengan maha perkasa.”

Sampaikan salam takzim Demang untuk pengerusi, AJK dan ahli-ahli UMNO cawangan anda.

Selamat berjaya.

Wallahu’alam.

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)