Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Friday, May 8, 2009

BPN Prihatin




KARMILA BINTI SUKIRMAN

PELAJAR KOLEJ NEGERI, SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN

Dilaporkan hilang pada 1 April 2009

(No.Repot Polis : PANDAMARAN/002622/09)


Sekiranya anda pernah melihat gadis ini ATAU tahu di mana dia berada,

tolong hubungi nombor di bawah:



014-3110344 – Madie (Abang)

014-3110347 – Sue (Kakak)

016-3462388 - Sarjan Azmi (Officer Incharge Balai Polis Pandamaran)

012-6036977 – Encik Syafiq ( Kolej Negeri, Seremban 2, Negeri Sembilan)




Ibunya di Sandakan, Sabah menitiskan airmata setiap hari…

Kepada yang masih ada keprihatinan dan kasih sayang,sila sebarkan gambar ini.

Mudah-mudahan Si Ibu yang bakal menyambut HARI IBU tidak lagi menitiskan airmata…..


DOAKAN JUGA KESELAMATAN KEPADA GADIS YANG BARU MENGENAL ERTI HIDUP INI.

WALAUPUN DI MANA DIA BERADA, HARAP DIA KEMBALI…….


KERJASAMA SEMUA DIUCAPKAN TERIMA KASIH.




Admin : www.sabahlovepeace.blogspot.com

e-mel : yandie02@yahoo.com (Madie)

mutiara_ieman@yahoo.com.my (Sue)

Perjuangan Nik Abduh

Demang cuba untuk tidak masuk campur dalam pertelingkahan antara Ustaz Nik Abduh dengan pihak yang tidak sependapat dengan beliau. Hal ini kerana Demang tidak mahu dianggap menangguk di air keruh terutama oleh putera Nik Aziz itu sendiri.



Namun apabila melihat kemelut yang terjadi di Perak yang semakin teruk dari hari ke hari, Demang rasa terpanggil untuk menyokong Nik Abduh secara terbuka. Alasan Demang? Ya, kalaulah PAS menerima pelawaan UMNO untuk membentuk kerajaan di Perak selepas PRU12 lalu, rasanya huru hara seperti sekarang tidak akan berlaku.



Hingga saat ini Demang masih belum dapat menerima kewajaran untuk PAS menolak permuafakatan tersebut. Samalah dengan Nik Abduh yang tidak boleh menerima alasan sekumpulan pemimpin PAS yang menolak muzakarah dengan UMNO.



Demang pernah terbaca cabaran Nik Abduh untuk berdebat secara terbuka 'kenapa PAS tidak boleh berdamai dengan UMNO'. Oleh kerana Demang memang menginginkan permuafakatan tersebut maka tentulah Demang menyokong Nik Abduh.



Demang pernah mengistiharkan bahawa usaha untuk menautkan PAS dengan UMNO adalah satu perjuangan. Sebaliknya sebarang usaha untuk memisahkan keduanya adalah kerja syaitan.



Demang berpendirian, seandainya usaha tersebut tetap gagal namun kerja yang baik pasti mendapat ganjaran daripada Allah SWT.



Justeru Demang akan teruskan.

Thursday, May 7, 2009

Perak Negeri Sultan

Sudah tidak berajakah lagi negeri Perak? Sudah tak bertuankah lagi negeri Melayu? Sibangsat dijadikan ketua dan bermaharajalela. Tuanku melengung sayu tidak diendah. Titah sultan seperti sampah sarap yang tak dipedulikan.

51 tahun dahulu siapa yang merayu minta dijadikan rakyat negeri ini? Sudah lupakah? Apabila sudah dijadikan rakyat, diberi tanah, diberi peluang berkongsi rezeki, dan diberi hak pula untuk dijadikan ketua.

Kemana hilang akal budi?

Usah diucap lagi perkara mengenang budi sementelah adab sopan pun sudah tiada lagi.

Demang ingin memberi satu jalan keluar. Mohon Sultan Perak membawa keluar negeri Perak daripada Persekutuan Malaysia. Biarkan Perak bersendirian. Tidak perlu lagi bersekutu dengan negeri-negeri lain. Biarlah…

Maka selepas itu Sultan Perak kembali berdaulat di negeri sendiri. Baginda berkuasa sepenuhnya pada negeri sendiri. Hatta baginda boleh memilih mana-mana rakyat yang baginda kehendaki. Barangsiapa yang baginda kurang berkenan, nyahlah pergi. Merayulah kalian pada mana-mana sultan negeri lain untuk menenggek kasih menumpang teduh, menjadi warga negeri.

Ketika itu nanti barulah kalian faham erti bernegeri. Barulah kalian sedar payung mana yang menaungi.

Jangan beri alasan bahawa bumi ini bumi Tuhan dan kalian bebas bernegeri. Jika demikian, pergilah ke pulau lain. Bukankah di situ juga bumi Tuhan? Singapura dan Thailand juga bumi Tuhan. Pergilah ke sana jika mereka sudi menerima kalian.

Wednesday, May 6, 2009

Cabaran Rakyat Malaysia dalam menjayakan ‘1 Malaysia’

Bagi yang mengikuti artikal-artikal mutakhir Demang setelah Najib menjadi PM adalah berkisar pada konsep 1 Malaysia. Berikut Demang paparkan pula realiti negara kita yang sewajarnya diambil kira dalam meneruskan apa sahaja agenda. Perangkaan yang digunakan adalah berdasarkan Dokumen RMK-9, 2005).

Orang Melayu/bumiputera cuma mempunyai 4498 orang akauntan berdaftar atau 20.8% berbanding 17,091 (79.2%) akauntan bukan Melayu.

Dalam bidang arkitek pula cuma terdapat 1358 orang arkitek Melayu/bumiputra yang mewakili 45.3% manakala arkitek bukan Melayu seramai 1643 orang atau 54.7%.

Seterusnya dalam bidang kedoktoran, orang Melayu/bumiputra masih ketinggalan iaitu cuma 5720 orang atau 36.7% berbanding 9854 (63.3%) doktor bukan Melayu. Sementara itu seramai 1159 atau 44.4% doktor gigi Melayu/bumiputra berbanding bukan Melayu mempunyai 1449 orang, iaitu 56% daripada keseluruhan doktor gigi yang kita ada.

Dalam bidang kejuruteraan juga ketidakseimbangan terus berlaku. Orang Melayu/bumiputra cuma mempunyai 2,223 atau 46% jurutera berbanding 2658 atau 54%.

Orang Melayu juga ketinggalan dalam profesyen juruukur iaitu cuma 2069 orang atau mewakili 48.2% berbanding 2221 (51.8%) kalangan bukan Melayu.

Begitu juga dalam bidang guaman orang Melayu/bumiputra sekadar mempunyai 4465 atau 38% berbanding 7285 orang peguam bukan Melayu (62%).

Ironinya penduduk Melayu/bumiputra mewakili 63% dari populasi rakyat Malaysia. Namun ternyata dalam bidang profesional orang Melayu/ bumiputra masih ketinggalan.

Siapakah yang memegang tanggungjawab dalam hal ini?

Sebagai seorang guru Demang sedar dan insaf bahawa tanggungjawab tersebut terletak di atas bahu kami. Sempena hari guru yang bakal disambut pada 16 Mei ini marilah kita semua tanpa mengira kaum atau pekerjaan untuk sama-sama membantu menseimbangkan angka-angka di atas. Biarlah kita ‘duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi’ serta ‘hati nyamuk sama dicicah , hati gajah sama dilapah’.

Masanya untuk bekerja.

Tuesday, May 5, 2009

Sokongan pada Sultan Perak

JOM LAWAN PENDERHAKA SULTAN PADA 7 MEI
"ADAT BERBANGSA HIDUP SERUMPUN! ADAT BERAJA KESETIAAN DIRIMBUN! ..... Dayus kalau anak Perak tak keluar berhimpun pada 7 mei 2009! Maka, jomlah kita ke Kg Jawa atau ke Taman DR atau mana-mana kawasan yang berdekatan SUK untuk menunjukkan Sokongan Yang Tidak Berbelah Bagi kita kepada Sultan Perak. Kita akan berhimpun MELAWAN PENDERHAKA SULTAN...... BANGKIT AYUH BANGKIT! ANAK PERAK BANGKIT! LAWAN KITA LAWAN! LAWAN PENDERHAKA SULTAN! "

Friday, May 1, 2009

Satu Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan

Jalan TAR sekitar 5 petang memang sesak. Bukan sahaja lalulintas dipenuhi kenderaan malah kiri kanan jalan penuh dengan pejalan kaki.

Dalam kesibukan tersebut Demang melihat seseorang sedang berdiri di tepi jalan sambil memegang tongkat. Lantas Demang teringat seorang sahabat blogger iaitu Sedingin Salju yang juga cacat penglihatan.

Tiba-tiba seorang remaja menghampirinya dan memimpin beliau untuk melintas jalan. Aksi seterusnya tidaklah dapat dilihat oleh Demang lagi lantaran kereta Demang perlu segera melepasi kawasan tersebut.

Apabila menyaksikan secebis aksi kehidupan tersebut fikiran Demang melayah pada realiti kehidupan yang lebih luas. Demang berfikir, dalam soal kepimpinan siapa yang perlu mengikut siapa? Adakah pemimpin mengikut kehendak pihak yang dipimpin atau sebaliknya?

Jika kita melihat pada sibuta dengan remaja yang memimpinnya tadi, remaja itu sekadar membantu membawa OKU itu mencapai kehendaknya. Remaja itu tidak wajar sama sekali menetapkan matlamat untuk dicapai oleh orang buta itu.

Mari kita ajukan soalan lain, bolehkah remaja tadi membawa sibuta tersebut pulang ke rumah remaja itu? Atau ke tempat lain yang belum dipersetujui? Mahukah OKU itu mengikutnya?

Pemimpin yang baik mampu membawa rakyat mencapai impian masing-masing. Manakala pemimpin yang bijak dapat mempengaruhi rakyat mengikutinya ke matlamat yang pemimpin tersebut tetapkan.

Dalam artikel sebelum ini, Demang menulis tentang konsep '1 Malaysia' yang diutarakan oleh DS Najib selaku PM ke-6. Jika kita menyelak kembali nota Wawasan 2020 kita dapati ia adalah teras pada konsep '1 Malaysia' ini. Ia terkandung dalam 9 cabaran yang perlu kita redah sekiranya Malaysia benar-benar mahu menjayakan wawasan keramat tersebut.

Bagi Demang, '1 Malaysia' adalah perjuangan Tun Mahathir yang belum selesai. Ia adalah impian seorang pemimpin untuk meletakkan rakyat Malaysia di tahap cemerlang.

Namun sebagaimana yang diakui oleh Tun Mahathir sendiri, beliau belum berjaya melakukannya. Memanglah! Tarikh untuk mencapai wawasan tersebut ialah pada tahun 2020. Sedangkan Tun Mahathir bersara pada 2002, 18 tahun sebelum sasaran dicapai.

Maka tugas dan tanggungjawab pengganti beliaulah untuk melunaskannya. Tun Abdullah sebenarnya tidak terlepas dari proses tersebut. Beliau merombak dengan agresif minda rakyat dengan pelbagai perubahan dan pembaharuan. Sebagaimana nasib pejuang perubahan sejak zaman berzaman, maka Tun Abdullah juga disingkirkan. Itulah harga yang perlu dibayar oleh setiap pejuang.

Kini Najib mengambil alih tugas dan tanggungjawab. Tugas beliau lebih mudah kerana rakyat sudah bersedia untuk berubah. Orang Melayu sudah boleh menerima betapa mereka perlu mengucapkan sayonara pada keistimewaan yang diterima selama ini.

Sekali imbas ramai yang berpendapat bahawa kaum bukan Melayu lah yang menang dalam hal ini. Terpulanglah pada tafsiran masing-masing. UMNO sendiri sudah lama merelakannya. PKR pula memang sudah lama memperlekehkan usaha mengekalkan keistimewaan Melayu. Terbaru, Anwar Ibrahim dalam satu kenyataannya mendakwa bahawa konsep 1 Malaysia hanya kosmetik. Ertinya beliau sangat berharap agar konsep tersebut dipraktikkan bersu ngguh-sungguh. PAS juga sudah mewajarkannya melalui kerjasama dengan DAP. Malah mereka membuktikannya ketika diberi peranan menerajui kerajaan Perak.

Ternyata, semua pihak sudah bersedia sudah merestui konsep 1 Malaysia ini. Itulah sebabnya Demang katakan tadi bahawa usaha Najib akan menjadi lebih mudah.

Sekali lagi orang Melayu diminta untuk MEMBERI. Tak apalah, jika itu untuk kebaikan negara kita.

Friday, April 24, 2009

Artikel Demang berkenaan 1 Malaysia mengundang komen seorang pengunjung berrnama Kifli. Meskipun tidak berdaftar secara rasmi namun Demang
Saudara Kifli,
Terima kasih atas keperihatinan anda berkenaan kepentingan orang Melayu/bumiputra. Demang rasa anda bukan penyokong PKR kerana penyokong parti itu sepatutnya akan gembira dengan penghapusan tersebut.

Adalah terlalu awal untuk Demang membuat penilaian terhadap tindakan PM dalam perkara ini. Apatah lagi maklumat mengenainya masih terlalu sedikit sedangkan keputusan tersebut adalah satu keputusan yang begitu besar. Malah jika dilihat pada kenyataan tersebut ia sudah bercanggah dengan perlembagaan negara. Sedangkan kita tahu bahawa sesuatu keputusan hatta akta sekalipun akan terbatal sekiranya bercanggah dengan perlembagaan.

Bagi Demang, Najib selaku pemimpin yang telah dipilih melalui proses demokrasi serta sentiasa terdedah dengan proses pemilihan dan undi tidak percaya sudah tentu sedar akan risiko setiap tindakannya. Adalah mustahil beliau akan mengambil tindakan yang akan menjerumus dirinya sendiri ke jurang kemusnahan. Semua orang Melayu (kecuali penyokong PKR) pasti akan menentang beliau, malah tidak mustahil akan mengemukakan undi tidak percaya.

Barangkali ramai yang tidak sedar bahawa Najib adalah anggota kabinet dan Ahli Parlimen paling berpengalaman dilantik menjadi PM. Beliau sudah menjadi MB Pahang dan timbalan menteri dalam kabinet ketika usia yang amat muda. Demang percaya, jika ada tanggapan bahawa Najib seorang yang kurang cerdik, maka semua pemimpin lain samada di pihak kerajaan mahupun di pihak pembangkang dikira lebih tidak cerdik berbanding beliau.

Saudara Kifli wajar untuk merasa bimbang. Begitu juga Demang. Namun sedarlah, bukan hanya kita berdua yang berperasaan begitu. Saudara berfikir dalam lingkungan fikiran, pengetahuan, dan ilmu saudara sahaja. Selebihnya, saudara berfikir berdasarkan pendapat dan pandangan orang lain yang berada di luar dari kumpulan pemikir Najib. Pihak yang berada di luar sekadar menyangka dan menduga. Mereka membuat andaian berdasarkan maklumat yang cuma sedikit yang mereka perolehi.

Demang tidak pernah menganggap Najib maha hebat dan serba sempurna. Sebagaimana manusia biasa beliau tidak sunyi dari pelbagai kelemahan. Namun beliau bukanlah berseorangan dalam membuat keputusan. Begitu juga semua PM yang telah lalu. Bahkan juga para pemimpin negara lain.

Dalam pada itu Demang tidak menolak sama sekali peranan pihak pembangkang dalam membina negara. Jika tidak, masakan rakyat turut memperuntukan sejumlah perbelanjaan yang besar bagi menyara mereka setiap bulan dengan pelbagai kemudahan?

Sejak merdeka, pihak kerajaan dan pembangkang sama-sama berganding bahu membina negara. Parti-parti PAS, PRM, dan DAP terutamanya sentiasa konsisten dalam bertindak selaku pihak yang sentiasa mengawal keputusan dan tindakan kerajaan yang memerintah. Sebagai bukti, PAS yang merupakan parti pembangkang terbesar tidak pernah bertanding melebihi syarat yang boleh melayakkan mereka mengambil alih kerajaan.

Namun keadaan ini tiba-tiba berubah setelah Anwar dibebaskan. Anwar membawa satu gerakan menyongsang arus dengan bertindak mengemukakan kerajaan alternatif. Sebenarnya Anwar bukan berubah wajah dan perilaku. Bagi yang lama mengikuti perkembangan politik negara dengan mudah memahami corak penglibatan beliau dalam politik negara. Kemasukannya ke dalam UMNO telah merubah parti itu daripada bersikap sederhana, menjadi sebuah parti elit (baca, politik wang). Siapa yang dapat menyangkal peranan Anwar menggunakan kuasa, pengaruh, dan wang setiap kali ingin menakluki mana-mana jawatan. Allahyarhan Tun Ghafar Baba adalah salah seorang mangsa beliau.

Najib dan pasukannya perlu diberi ruang dan masa bagi menjayakan misi dan visi negara. PRU 13 tidak begitu lama lagi. Itulah tempoh untuk Najib dan pasukannya bekerja dan jangan kita sengaja mengganggu mereka. Apabila tiba masanya nanti, nilailah samada mereka berjaya atau tidak. Gunakan kuasa kita sebagaai pengundi.

Satu Malaysia.

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)