Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Thursday, December 24, 2009

Naib Presiden DAP dan Kontrak Sosial

lihat gambar ini baik-baik. Cam?

Adakah anda pernah dengar nama Tunku Abdul Aziz Ibrahim? (sila bezakan antara ’tunku’, ‘tungku’, dan ’tunggul’. Jika kurang jelas, rujuk Kamus Dewan).

Mari baca kenyataan tungku ini yang Demang kutip daripada http://dappg.org/1935/btn_20091213a/#more-1935:

” Konsep Ketuanan Melayu dan kontrak sosial adalah merupakan satu helah politik parti pemerintah untuk kekal berkuasa.”

Demang tak perlu pertikai kenyataan di atas kerana beliau adalah naib presiden DAP. Jadi sudah tentulah tungku ni akan berkata apa-apa sahaja agar dikekalkan oleh pengundinya dalam pemilihan parti akan datang. Takkan lah naib presiden DAP nak pertahankan perjuangan UMNO.

Kata tungku itu lagi;

“Jika adapun apa yang dipanggil kontrak sosial, ia tidak ada kena mengena dengan hak istimewa Melayu, tetapi ia merupakan rangka untuk melindungi rakyat.”

Ha, kenyataan kedua ini Demang agak terkejut. Demang tidak tahupun bahawa ada pemimpin DAP yang terlibat sebagai tenaga penggerak BTN. Hal ini kerana kenyataan tersebut ‘sama sebijik’ macam yang sering dinyatakan oleh tenaga penggerak BTN bahawa kontrak sosial bukan hanya untuk orang Melayu sebaliknya untuk semua penduduk Tanah Melayu yang bersetuju menjadi rakyat Persekutuan Tanah Melayu 1957. Bagi yang tidak bersetuju, bolehlah angkat kaki ke mana-mana negara!

Benarkah kontrak sosial itu ada? Terpulanglah anda nak percaya atau tidak tetapi Demang nak tanya: adakah anda fikir Perlembagaan Persekutuan 1957 itu jatuh dari langit? Menafikan kontrak sosial samalah dengan mengatakan bahawa perlembagaan negara kita dibina tanpa sebarang asas atau tidak mengambil kira manusia-manusia yang hidup ketika itu.

Jika anda masih menafikan tentang kontrak sosial, terpulanglah. Namun tolong hormati perkara-perkara yang tercatat dalam perlembagaan negara kita. Kalau tidak pernah baca perlembagaan, belilah di mana-mana kedai buku pada harga RM10 sahaja!

Hmm... Demang mula syak yang Tunku Abdul Aziz Ibrahim sebenarnya ’orang kita’ yang disusupkan ke dalam DAP. Rasanya begitu. Jika telahan Demang itu tidak benar, maka beliau bukanlah ’tunku’ tetapi sekadar ’tungku’ ataupun ’tunggul’.

Berikut adalah komen yang Demang tinggalkan dalam blog tersebut:

”Saya setuju bahawa kontrak sosial bukan semata-mata untuk orang Melayu sebaliknya bagi menjaga kepentingan semua orang yang bersetuju menjadi rakyat Persekutuan Tanah Melayu (sebelum disebut Malaysia).

Semangat dan initipati kontrak sosial tersebut dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan pada Perkara 3 (Islam dan kedudukan agama lain), Perkara 14 (kewarganegaraan sebagai keistimewaan yang diberi kepada bukan Melayu), Perkara 152 (kelanjutan bahasa Melayu sebagai lingua franca sejak kesultanan Melaka), Perkara 153 (tanggungjawab YDAgong menjaga hak orang Melayu/bumiputra dan keistimewaan orang bukan Melayu. Lihat (1) pada ayat: ... dan kepentingan sah kaum-kaum lain...

Saya juga melihat bahawa Tunku Abdul Aziz sependapat dengan BTN dalam hal ini iaitu kontrak sosial bukan hanya untuk orang Melayu sebaliknya memberi keistimewaan kepada kaum yang tidak berakar umbi di sini. Saya sudah banyak kali menulis hal-hal begini dalam blog saya (http://waadat.blogspot.com) maka tidak perlulah saya ulang lagi di sini.

Berkenaan komen tentang Satu Malaysia, saya lihat ianya hanyalah satu lontaran umum tanpa memperdulikan garis panduan yang telah dikeluarkan pejabat DS Najib sebelum ini. Namun saya faham, bagi mengambil hati pembangkang, baik Tunku Abdul, Noraini, mahupun Yeoh sudah cuba untuk menjadi pembentang yang baik. Semoga elaun ceramah mereka dapat dibayar tepat sebagaimana dijanjikan.”

foto hiasan:
TungkuCandiroto jpg: tungku.or.id

Wednesday, December 23, 2009

BERITA PENTING kepada semua blogger BPN dan prokerajaan


Blog prokerajaan diserang hacker! TOLONG SEBARKAN!!!

Demang menerima aduan bahawa lebih 200 blog prokerajaan telah diserang hacker. Lebih malang lagi serangan dilakukan melalui tapak blog ’Kumbang’ http://analisisringan.blogspot.com iaitu salah seorang blogger BPN yang amat aktif mendedahkan rahsia pembangkang, terutama Anwar Ibrahim.

Untuk makluman, Kumbang juga merupakan orang kuat AIDC yang mensasarkan pada gerakan membongkar fakta-fakta pemimpin utama PR itu.

Demang memang mengenali agak rapat blogger Kumbang dan yakin beliau tak mungkin akan menyerang blog sahabat sendiri. Lagipun beliau tidak mempunyai kemahiran melakukan serangan sedemikian.

Secara logik pun, tak mungkin sipenjenayah sebodoh itu membuka topeng di depan lebih 200 mangsa!

Nampaknya sipenjenayah menggunakan strategi serampang dua mata; merosakkan blog lawan dan memfitnah blogger lain bagi menimbulkan perpecahan dan tuduh menuduh!

Memang dasar pengkhianat negara, kerjanya memecahbelahkan ummat!!!


foto:
hacker jpg shopbetreiber-blog.de

Pohon ceri pohon ketapang




Kedua-dua pohon sama rendang dan sesuai ditanam di halaman rumah dengan syarat anda mempunyai kawasan yang sesuai. Bagi yang tinggal di taman perumahan, mungkin tidak begitu relevan. Manakala jika anda tinggal di apartment atau rumah pangsa, maka urungkan sahaja impian anda tersebut.

Jika syarat pertama tadi sudah dipenuhi maka bolehlah anda memilih samada hendak menanam pohon ceri atau pohon ketapang. Daun ceri kecil-kecil tetapi beranting banyak manakala daun ketapang bersaiz besar namun jarang-jarang.

Kata orang tua-tua jika hendak berteduh carilah pohon yang rendang. Justeru tidak salah memilih ceri ataupun ketapang. Cuma, jika berteduh di bawah pohon ceri, buahnya boleh dimakan. Dapat juga menjamu burung yang bertandang.

Untuk lebih selesa, boleh pasangkan buaian pada dahannya sebagaimana Demang saat sedang menulis ini. Alangkah enaknya berbuai dihembus bayu lembut Teluk Kemang.

Indahnya negaraku. Pentadbirannya pun teratur sudah lebih lima dekad membina pengalaman. Alhamdulillah, syukur pada Tuhan.

Janganlah burung terbang dipipiskan lada. Setakat mendengar guruh di langit kenapa air di tempayan nak dicurahkan? Jangan sampai yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Salam daripada Demang untuk seluruh rakyat Malaysia.

Tuesday, December 22, 2009

konvensyen PR: ketelusan vs keselamatan

For your safety please keep the window closed at all time

Demang percaya, semua orang yang boleh membaca dalam BI faham tanda amaran tersebut. Namun adakah pemahaman setiap orang sama?

Apa yang anda faham?

Tatkala membaca tanda amaran itu ketika membawa keluarga bersantai di Tiara Beach Resort PD, Demang sempat berfikir: kenapakah tingkap tersebut dibuat jika ia tidak boleh dibuka? Bukankah lebih baik disimenkan terus? Jika hendakkan cahaya, gunakan cermin lut sinar yang tidak boleh ditanggalkan. Bukankah itu lebih selamat?

Demang percaya barangkali ramai yang menjawab dalam hati: "ia dibuat agar boleh dibuka oleh orang tertentu. Contohnya pihak penyelenggara bilik atau bangunan tersebut. Ia juga boleh menjadi saluran kecemasan jika diserbu pihak majlis agama Islam dalam kes tertentu.

Begitu juga halnya negara. Bukan semua boleh disingkap dan didedahkan kepada umum. Terdapat perkara-perkara tertentu yang hanya diketahui pihak tertentu sahaja.

Ya. Betul! Ia melibatkan soal keselamatan sebagaimana tingkap di tempat percutian tadi. Anda juga boleh segera kaitkan dengan ISA dan OSA.

Maka apabila konvensyen PR baru-baru ini menyatakan 'Demokrasi telus dan tulen' dalam resolusi mereka (perkara 1), janganlah kita mudah tergoda bahawa satu perubahan besar sedang berlaku. Jikapun dilaksanakan, ia bukanlah sesuatu yang benar-benar menguntungkan rakyat bahkan akan membahayakan negara!

Demang yakin dan percaya, jika pemimpin pembangkang masih boleh berfikir waras, mereka tidak akan melaksanakan keempat-empat perkara yang diputuskan dalam konvensyen tersebut sebagaimana yang rakyat faham. Maksud Demang mereka hanya akan laksanakan setakat yang mereka berkenan sahaja.

Akhirnya, rakyat akan mendapati PR bukan sahaja akan mengulangi perkara yang telah dilakukan oleh BN malah tidak mustahil akan menjadi lebih buruk lagi.

Itu sebabnya Demang kata: kekalkan sahaja yang lama sambil kita baiki mana yang patut.

Ingat, runtuhnya Melaka bukan kerana rasuah tetapi kerana gagal menangani isu tersebut dengan berhemah.

Kenapa dibunuh habis Tun Mutahir sekeluarga?

Konvensyen PR: Malaysia Negara Sosialis

Konvensyen PR
1) Demokrasi telus dan tulen
2) Memacu ekonomi berprestasi tinggi mampan dan adil
3) Keadilan sosial dan pembangunan insan
4) Hubungan persekutuan dan dasar luar negara

Demang ambil catatan di atas daripada blog MSO. Sebagaimana Sayuti, Demang juga bersetuju perkara di atas merupakan sesuatu yang elok untuk negara.

Namun apa yang menarik dan unik dalam hasil konvensyen tersebut?

Demang tidak nampak sesuatu yang berbeza sehingga kita terpaksa membuang kerajaan sedia ada. Keempat-empat perkara tersebut adalah yang telah, sedang, dan akan kerajaan BN lakukan.

Cuma Demang sedih, jika dengan DAP, PAS boleh bekerjasama, kenapa pelawaan UMNO untuk mewujudkan kerajaan perpaduan ditolak sebelum berbincang? Jika UMNO berdosa, bagaimana dengan DAP dan PKR? Apa asas keIslaman mereka?

Seorang sahabat blogger menghantar sms pada Demang bahawa PR kelihatan sedang bergerak ke arah sosialis. Bagi Demang, ia suatu perkara yang sedang diperhatikan rakyat sekarang, terutama cendikiawan Melayu. Fakta-fakta yang ada amat menyokong pendapat sahabat Demang itu.

Penyerapan parti sosialis ke dalam PKR dan sokongan DAP serta PKR dalam isu Chin Peng membuktikan PR adalah penaja sosialis baru. Kerajaan Rakyat yang dicanangkan PR adalah intipati pada sebuah republik sosialis. Demang percaya ramai yang sudah melihat video keluaran pembangkang tentang idea penubuhan negara sosialis dalam youtube yang kemuncaknya pada 1948.

Malah konvensyen PR tadi jelas langsung tidak menyentuh soal negara Islam dan institusi kesultanan (khalifah).

Kenapa PAS bersetuju?
Sudah tentu PAS tidak bersetuju. Namun muslihat politik menghalalkan tindakan. Sebagaimana yang pernah Demang tulis, PAS tidak pernah yakin untuk memenangi pilihanraya umum secara sendirian. Itulah sebabnya PAS tidak pernah meletakkan calon lebih daripada separuh (1/2) kawasan parlimen yang dipertandingkan, termasuk dalam PRU12.

Untuk makluman, syarat bagi menubuhkan kerajaan ialah memenangi 1/2 manakala untuk membolehkan pindaan perlembagaan ialah 2/3 daripada jumlah kerusi.

Hal ini paling penting kerana setiap kali berkempen menjelang PRU PAS sentiasa memberitahu kepada pengundi Islam bahawa mereka ingin menubuhkan negara Islam dengan meminda perlembagaan.

Sekarang PAS tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Mereka hanya mahu berada di pihak yang menang walaupun PAS akan menjadi kumpulan minoriti dalam kerajaan baru itu nanti.

PAS fikir, mereka lah yang akan menguasai kerajaan PR. Anda yakin?

PKR (baca Anwar) pula, tidak ada pilihan lain. Menumbangkan UMNO adalah satu-satunya cara bagi melepaskan diri daripada pendakwaan kes liwatnya. Buat masa ini Anwar hanyamampu melewat-lewatkan perbicaraan.

Apa sahaja syarat DAP akan diterima asalkan DAP sanggup menyokongnya menumpaskan UMNO.

DAP? Mereka akan bersekongkol dengan siapa sahaja asalkan hasrat menjatuhkan BN tercapai. BN bermakna UMNO kerana itulah parti yang menunjangi BN. Apabila UMNO tumbang (walaupun di luar PRU), DAP adalah komponan terbesar dalam pakatan pembangkang. Kalaupun mereka terpaksa melantik Anwar atau Haji Hadi menjadi PM, sistem demokrasi tulen yang mereka putuskan dalam konvensyen ini akan memastikan suara mereka akan dipatuhi.

Dalam sistem demokrasi, majoriti merujuk bilangan kerusi di parlimen, bukan bilangan penduduk dalam negara.

Jika masih ada yang gembira dengan usaha pembangkang menafikan undian budget 2010 minggu lepas, fikir-fikirkan lah semula pendirian anda. Bayangkan jika usaha pembangkang tersebut berhasil.

Itupun jika anda memang faham tentang realiti politik dan tidak sekadar ikut-ikutan.

Apabila terlalu banyak '? ? ?'

Demang terima SMS berikut minggu lepas:

"Askum,saya pengiran haji awg julainie dan untie saya sangat berminat utk jadi rakaniaga produk sdr bagi pasaran kami di negeri sarawak dan juga brunei.brapakah harga yang boleh ditawarkan utk pengambilan 500 botol minyak morhabshi dan 500 biji kapsul super.emailkan kpd saya senarai harga ke aawgjulainie@yahoo.com/fareastgrp@gmail.com atau faxkan ke 082311216.tqvm,regards"

Demangpun membalas SMS tersebut namun tiada balasan. (Demang hantar sekali lagi SMS yang sama, masih tiada balasan. Hantar email pula maklumat yang sama. Pun tiada balasan. Betul ke ni? -persoalan pertama)

Namun Demang tetap mengarahkan bahagian pengeluaran dan penghantaran bersedia bagi membuat pengiriman.

Sebelum ini Demang tak kesah, orderlah 1000 botolpun, satu senpun Demang tidak minta deposit. Namun setelah beberapa kali mengalami masalah pembeli senyap dan bayaran lenyap, maka kali ini Demang meminta sedikit wang pendahuluan. Maksud Demang bagi pembelian borong. Untuk pembelian runcit Demang masih beri kelonggaran kepada pelanggan untuk membayar selepas produk tiba.

Terbaru (dua bulan lepas), 300 botol yang dihantar ke Kulim terus senyap sunyi hingga kini. SMS terakhir yang Demang hantar dua minggu lepas sepi tak berbalas. Bertepuk sebelah tanganlah Demang!

Beberapa hari kemudian, pada suatu malam Demang dapat panggilan daripada 'pengiran' tersebut. Nampaknya mereka serius. Ketika sedang rancak berbincang, talian terputus. Demang cuba hubungi, tak dapat. Tak apalah. Demang tak jadikan itu satu persoalan.

Kemudian tengahari tadi seseorang yang mengaku PA kepada pengiran tersebut menghantar sms menggunakan nombor HP yang sama. (PA dan bos berkongsi HP? - persoalan kedua).

"Askum,saya puan wati bakri drp fareast group companies dan pa kpd pengiran hj awg julainie ts dtk hj awg musthapa diarah supaya pihak tuan dpt sahkan semula ac no dan jumlah utk pembyran produk.kjp lagi saya ke bank utk masukan duit tersebut setelah untie tuan hj drp ttkan wang.tk diatas kerjasama dan perhatian tuan."

Tidak lama kemudian, Demang menerima pula SMS berikut:

"En azman,cl saya skrg.kredit saya dah abis dan saya kat bank skrg.tk"

Hati Demang tertanya-tanya, takkan lah syarikat besar pakai HP prepaid, kot? Untuk makluman, nombor HP inilah yang digunakan oleh 'pengiran' sejak awal termasuk menelefon Demang pada waktu malam. Kini PA beliau membawa HP ini ke mana-mana. Apa hubungan mereka sebenarnya? Ini boleh dijadikan persoalan ketiga!

Oleh kerana PM kita mengatakan 'Rakyat Didahulukan' maka Demangpun menelefon lah dengan semangat 1 Malaysia 'Pelanggan Didahulukan'.

'Puan Wati' tersebut memberitahu bahawa 'Auntie' sudah tersilap memasukkan 3750 dalam nilai Dollar Brunei sedangkan deposit yang Demang minta ialah dalam Ringgit Malaysia. Masalahnya ialah mereka terlebih bayar, yakni apabila ditukar kepada RM sudah menjadi RM8 ribu lebih! "Kaya lah Demang!"

Sebenarnya Demang memang tidak mampu memahami masalah tersebut, sekadar mengiyakan sahaja dalam telefon. Kalau banyak bertanya nanti, melambung pulak bil Celcom Demang!

Nampaknya sudah empat, lima dan enam persoalan dalam kepala Demang.

Menurut mereka, bagi menebus kesilapan tersebut Demang diminta memasukkan RM478.17 ke dalam akaun beliau. (SMS yang Demang terima bertulis: Cimb ac 11015014047521 wati binti bakri.rm478.17.tk)

Demang juga diminta menelefon 'pengiran' bagi mendapatkan keterangan lanjut. Menurut 'pengiran' tersebut beliau berada di luar kawasan dan tidak dapat memberikan RM478.17 tersebut kepada PA nya bagi menyelesaikan masalah tersebut. Itulah sebabnya mereka terpaksa 'meminjam' wang Demang. Setelah urusan selesai wang Demang itu akan dikembalikan.

Oleh kerana banyak tanda soal sejak awal urus niaga ini, maka Demang jadi curiga. Samalah macam Demang curiga pada Anwar yang acap kali berdolak dalik, terutama dalam isu Saiful.

Demang segera menghubungi emak menakan Demang, akauntan CIMB. Beliau menasihatkan Demang untuk tidak meneruskan urusniaga tersebut.

Maka Demangpun mengambil keputusan berdiam diri dan tidak lama kemudian SMS berikut tiba:

"Askum,Saya dah lama tung gu kat bank dan kenapa tidak dimaklumkan kpd saya tuan tak dpt bank in kan kpd saya jadi saya tak tunggu kat bank lama.adakah perlu saya batalkan urusniaga nie?tk"

Terus terang, Demang rasa simpati dengan SMS tersebut. Sama seperti simpati Demang pada Anwar ketika mula beliau dipecat dulu. Namun persoalan baru pula muncul. Adakah urusan bank tersebut tidak boleh ditangguhkan esok? Demang tidak memaksa mereka membayar hari ini. Minggu depan pun boleh. Takkan lah dek kerana tidak dapat mendahulukan RM478.17 itu maka semua urusniaga dibatalkan terus?

Makin besar persoalan dalam benak Demang.

Akhirnya Demang ambil keputusan, biarlah Demang terlepas 'kontrak besar' yang belum tentu daripada Demang rugi tak tentu pasal.

Ada dua mesej daripada cerita benar tadi:
Pertama, dalam urus niaga, berhati-hatilah kerana keuntungan yang dijanjikan mungkin hanya umpan bagi mendapatkan wang anda semata-mata.

Kedua, dalam politik, berhati-hatilah kerana perubahan yang dijanjikan mungkin hanya umpan bagi meraih kuasa semata-mata.

Sunday, December 20, 2009

Najib abai Pekan?


Demang terima sepucuk email daripada seseorang bertajuk:

Edisi Pahang: Amat Memalukan, Orang Kampung Sudah Menjadi Perdana Menteri Malaysia Tetapi Rakyat Pekan Masih Derita Masalah Bekalan Air !!

Demang setuju bahawa penduduk Ganchong di Pekan Pahang perlu dibela. Memang sewajarnya mereka menikmati kemudahan asas setaraf dengan rakyat di kawasan lain. Begitu juga penduduk Pekan keseluruhannya, malah rakyat Pahang juga.

Namun adalah tidak wajar menyebut 'dua orang PM berasal daripada Pahang' dalam isu ini memandangkan jasa Tun Razak yang tak terhingga terhadap rakyat termiskin terutama melalui FELDA. Ketika Tun Razak menjadi PM, masalah air adalah masalah hampir semua kawasan memandangkan tika itu kita baru sahaja merdeka.

DS Najib pula baru beberapa bulan menjadi PM. Memanglah beliau sudah lama menjadi Ahli Parlimen Pekan, namun parlimen Pekan juga mempunyai beberapa ADUN yang sepatutnya lebih rapat dengan rakyat apabila orang kampung mereka menjadi menteri penuh, TPM, dan kini PM Malaysia.

Bagi Demang pemimpin UMNO (bukan sahaja di Pekan) perlu lebih proaktif. Jangan semuanya nak diharapkan DS Najib. Beliau sudah menjadi pemimpin semua rakyat Malaysia maka hal-hal di Pekan perlu diambil perhatian oleh orang lain pula.

Sistem politik negara kita agak unik. PM mestilah seorang wakil rakyat (Parlimen) agar dilihat mempunyai sokongan rakyat bawahan. Namun sistem begini ada kelemahannya. Nampaknya kita memerlukan ’superman’ untuk menjawat jawatan PM agar dapat berada di semua tempat dalam satu masa.

Bagi Demang, ’surat daripada rakyat’ tersebut bukan ditujukan kepada DS Najib sebaliknya sebagai sindiran terhadap pemimpin masyarakat setempat termasuk kakitangan kerajaan dan swasta yang terlibat. Bukankah setiap daripada mereka sudah diberi tugas dan tanggung jawab? Takkan lah DS Najib tidak suka orang kampungnya senang?

Sipengirim email tersebut menyangka beliau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kreadebiliti DS Najib sedangkan sebenarnya sekadar mendedahkan kejahilannya sendiri dalam pentadbiran.

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)