Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Sunday, December 7, 2014

Gerakan Islam di Malaysia

Pagi ini Demang berada di SM Imtiaz ulul albab Melaka sempena temuduga pelajar baru untuk tingkatan 1, 2015 . Demang hadir kerana diminta meninjau pandangan serta pendapat ibu bapa calon pelajar 2015 di sebalik niat dan hasrat mereka menghantar anak ke sini.

Demang bukan nak bercerita tentang sekolah yang berkonsep ulul albab ini (tahfiz) ataupun pemiliknya iaitu Zahid Hamidi sebaliknya tentang hasil temubual secara formal Demang dengan beberapa ibu bapa.

80% daripada ibu bapa yang Demang temui mempunyai anak lain di sekolah tahfiz di tempat lain. Ada juga calon daripada pelajar sekolah agama swasta semasa di sekolah rendah.

Semua ibu bapa atau 'salah seorang' daripada mereka adalah profesional dan selebihnya usahawan berjaya.

Sementara itu pagi ini juga Demang sepatutnya hadir mesyuarat penubuhan alumni sekolah menengah agama di Temerloh. Melalui pertubuhan tersebut sahabat-sahabat lama Demang itu akan menyalurkan bantuan dan sokongan pada pihak sekolah bagi meningkatkan kualiti lepasan sekolah tersebut.

Demang bawa kedua-dua perkara di atas kali ini adalah bagi mengingatkan semula pemimpin sekarang atau bakal pemimpin tentang realiti yang sedang berlaku di negara kita.

Alunannya telah bermula lama dengan gelombang-gelombang kecil yang mengusik bibir pantai. Demang percaya riak-riak tersebut sedang menyatu dan bergerak semakin pantas. Yang kita tidak tahu ialah bilakah ombak tersebut akan menjelma menjadi tsunami.

Demang tidak tahu berapa banyak sekolah agama dan maahad tahfiz di seluruh negeri Melaka dan di seluruh negara. Yang nyata, memang sangat banyak dan ia sentiasa bertambah.

Pertambahan bukan sahaja berlaku pada kuantiti pelajar daripada sekolah-sekolah sedia ada bahkan maahad-maahad baru muncul macam cendawan tumbuh. Maklumlah, ramai pelajar yang mengubah diri mereka menjadi pengajar, daripada anak murid menjadi tuan guru.

Jika kita lihat pula di luar, telah ramai individu profesional dan ikon masyarakat yang bukan sahaja berlatar belakang pendidikan agama malah bergelar alhafiz. Antaranya Dr Zainal USM seorang doktor gigi (kalau Demang tidak silap) dan Dr Muhaiya yang amat terkenal itu adalah pakar mata.

Mereka ini bukan sahaja sedang memberi kefahaman pada masyarakat terhadap Islam bahkan mereka sedang membina masyarakat baru yang mengharapkan Islam menjadi teras dalam segala aspek kehidupan.

Justeru Demang ingatkan para pemimpin terutama yang berada dalam UMNO bahawa jika anda gagal berada bersama gerakan Islam maka bersedialah untuk keluar daripada arus perdana. Dengan kata lain, anda sudah tidak diperlukan lagi.

Kepada pemimpin PAS, kalian boleh terus berjuang selagi tidak meletakkan kemenangan kerusi sebagai tujuan utama atau berangan-angan untuk menubuhkan kerajaan sendirian.

Kepada Perdana Menteri, anda boleh terus kekal di situ selagi anda faham realiti ini dan bergerak bersamanya. Untuk itu, semak semula siapa di sekeliling anda kini dan bantu mereka yang tidak berkenaan itu mencari kerja lain.

Itupun jika anda masih ingin menjadi Perdana Menteri.

Thursday, December 4, 2014

Kesah pekerja bangla najib

Sedang Demang bicara soal pertanian, muncul pula isu PM akan bawa masuk 60,000 warga Bangladesh.

Nampaknya ia akan jadi isu baru dan akan direkod untuk di-isu-kan semula menjelang PRU akan datang. Apa lagi kalau bukan untuk dijadikan bahan isu pengundi hantu?

Bagi Demang jika kemasukan pekerja tersebut bagi memenuhi keperluan sektor perladangan, apa salahnya? Melainkan jika kita ada pilihan lain.

Tolong bagitahu Demang, mahukah anak-anak anda menjadi buruh ladang? Menjadi pekerja ladang tentulah tidak sama dengan menjadi peladang!

Kelmarin Demang tulis betapa kita terlalu bergantung pada import buah-buahan dan hasil pertanian. Penyelesaiannya mudah. Tanam sendiri. Buka ladang. Masalahnya, siapa yang nak buat kerja tersebut?

Memang kegusaran sesetengah pihak ada asasnya. Kebanjiran pendatang asing akan memunculkan masalah baru pula, namun apa pilihan kita? Jika anda ada idea lain, silakan. Mana tahu idea tersebut lebih baik.

Negara kita subur. Itu kata guru geografi Demang dulu. Masa Demang sekolah dulu (1970an), kami buat projek buku hijau keliling sekolah. Petang-petang datang sekolah bawa cangkul buat batas ubi, mentimun, kacang bendi, dan lain-lain. Pagi-pagi siram pokok sebelum masuk kelas.

Namun hasilnya tidaklah begitu baik dan akhirnya projek buku hijau tutup buku. 

Memanglah tujuan asalnya untuk.mendidik dan menyemai minat berkebun. Namun jika tidak menjadi maka ia jadi pengalaman yang tidak ingin diulangi. Oleh kerana ia kempen besar-besaran di seluruh negara maka orang Melayu fobia hingga sekarang dan tidak suka bertani.

Bukan sahaja di sekolah, kalangan peneroka Felda pun begitu juga. Demang ingat lagi pada peringkat awal riuh rendah para peneroka bertanam sayur mayur keliling rumah. Selain untuk makan sendiri harap-harap dapat dijual untuk duit sampingan.

Namun jika semua orang sudah bertanam, siapa pula yang akan membeli? Lagipun sekitar 1970an di kawasan Felda, orang bukan ada duit sangat.

Akhirnya selepas semusim, yang tinggal hanya batas dan tunggul. Tidak lama kemudian, cangkul pun sudah sukar ditemui.

Demang bercerita tentang tanah rancangan felda sekitar 1980an yakni tempat yang sepatutnya jadi sumber pertanian. Kita kena akui bahawa kita tidak cukup tenaga untuk itu.

Pergantungan sumber makanan daripada negara luar memang merugikan dan boleh membahayakan negara. Selain pengaliran wang keluar, ia juga suatu pembaziran terhadap sumber yang Allah Taala kurniakan.

Minggu ini RINGGIT MALAYSIA merudum lagi dan ada yang kata ia lebih buruk berbanding 1997. 

Demang percaya kita tidak akan terjejas apa-apa jika kita ada bahan makanan (pertanian) yang mencukupi. Malah jika stok kita berlebihan, kita boleh tarik duit luar masuk ke negara kita.

Tapi janganlah jual kangkung untuk beli ferrari.

Wednesday, December 3, 2014

Ringgit merudum lagi

Ringgit merudum lagi. Malah katanya lebih teruk daripada 1997.

Ini mesej yang Demang terima sebentar tadi. Mungkin anda pun dah dapat lebih awal.

"Ringgit posted its biggest two day fall since the 1997 Asian financial crisis.  Now at rm3.4320 . Rumour said that it will touch rm3.7000."

Kemelut 1999 berlaku di zaman Tun Mahathir. Ketika itu juga Anwar Ibrahim sempat pangku jawatan PM dan menteri kewangan. Anwar ambik formula mudah. Tak ada duit, pinjam sahaja lah. Tun tidak bersetuju.

Negara jadi kelam kabut dan akhirnya Tun dipaksa letak jawatan. Abdullah Hj Ahmad Badawi dilantik menggantikan Tun. Anwar 'masuk.ke dalam'.

Antara perkara yang dibuat oleh Paklah ialah menggalakkan sektor pertanian sebab sehebat manapun manusia ia tetap perlukan makanan. Setakat ini kita belum tergamak makan plastik.

Kejatuhan teruk Ringgit menyebabkan harga barang import naik secara automatik. Rupa-rupanya kebanyakan makanan kita ditanam di negara asing. Hebatnya kita.

Agensi berkaitan pertanian dikerah melaksanakan program pertanian. Masa itu jika anda ke pejabat pertanian anda mungkin akan hanya menemui tukang sapu sahaja di pejabat. Semua pegawai dikerah turun padang dan bukan setakat menanti petani datang mengadu.

Paklah ambil gambar sedang berdiri dalam bendang. Foto itu segera menjadi bahan lawak orang ramai. Pembangkang ambik kesempatan memanipulasi foto tersebut dan Paklah jadi macam badut. Rakyat dapat peluang untuk ketawa berdekah-dekah. Maklumlah, masa tu belum ada maharaja lawak.

Akhirnya seperti biasa projek tersebut lunyai begitu sahaja. Agaknya pegawai pertanian pun lega sebab boleh kembali beristirehat di pejabat berhawa dingin.

Pihak yang agak kecewa ialah orang tengah dan kroni yang terlepas peluang menyapu komisyen dengan modal air liur.

Dalam pada itu Paklah turut kena tempias menantu cerdiknya. Mula-mula tempias, lama-lama habis basah lencun dan akhirnya Paklah karam sendirian. Menantu KJnya kini jadi menteri. Ye lah, orang cerdik. Usahkan mertua, negara pun boleh dijualnya.

Rakyat Malaysia memang alergik dengan pertanian. Najib pun sudah faham. Isu kangkung amat menginsafkan Najib supaya jangan berani-berani menyuruh orang Melayu bercucuk tanam. Peri jijiknya orang Melayu pada pertanian hinggakan profesor yang tidak disukai akan digelar 'profesor kangkung'.

Orang Melayu suka makan epal. Pisang hanya untuk monyet manakala jagung adalah makanan ayam. Pergilah ke pasaraya, berlambak-lambak buah import dijual. Permintaaan tidak pernah surut.

Walaupun makanan utama orang Melayu ialah nasi namun hampir semua makanan lain berasaskan gandum.

Apa pilihan kita sekarang? InsyaAllah esok Demang tulis lagi. Maaflah, Demang sukar respon komen anda di sini sebab android yang Demang guna menyukarkan Demang menulis di ruang komen namun Demang amat hargai pandangan anda.

Monday, December 1, 2014

Blogger bengang vs belogger bangang

Kalau dulu ada istilah polong bertuan dan polong tak bertuan, kemudian muncul  pula blog goblok dan terkini blogger bangang.

Blog Waadat masuk kategori mana?

Menariknya kali ini ialah apabila orang  yang mencetuskan istilah tersebut ialah seorang presiden. Beliau bukan sebarang presiden kerana yang dipresidenkan ialah sebuah parti tertua di negara kita dan mengetuai kerajaan Malaysia tanpa pernah terputus sejak 1957 walaupun sudah beberapa kali kelihatan seperti hampir putus nyawa.

Negara kita pula bukan sebarang negara. Ia tertubuh di atas tanah yang dulunya pernah tertegak sebuah empayar bernama Melaka.

Melaka pula bukanlah empayar biasa. Ia  pernah diberi amanah meneruskan peranan empayar Islam selepas bani Uthmaniah berakhir di Sepanyol.

Tidak banggakah kita menghuni di rumah pusaka yang hebat?

Berbalik pada isu blogger bangang. Ia terbit bersama ayat "kerja dengan siapa?" Kemudian ditokok tambah sesedap rasa oleh pecacai-pecacai parti sesuai dengan parti yang dianutnya. Kalau UMNO, UMNO lah. Kalau PAS, PAS lah. Begitu juga jika pecacai itu PKR dan lebih-lebih lagi askar upahan DAP, maka dimanipulasikan lah sesuka hati.

Ayat "kerja dengan siapa?" itupun Demang tidak dengar sendiri dari mulut sang presiden. Demang tidak hadir PAU sebab Demang tidak rasa perlu hadir. Lagipun Demang bukan ahli UMNO, jauh sekali perwakilan atau pembahas usul presiden ataupun johan pidato UMNO seperti sahabat Demang saudara Mustafa Musa.

Tahniah kepada wakil UMNO Melaka itu. Demang percaya beliau bukan setakat hebat di gelanggang pidato malah istiqomah dalam perjuangan bangsa.

Demang rasa yang dimaksudkan presiden ialah blogger yang dibayar oleh UMNO untuk mempertahankan UMNO di media maya sebaliknya bertindak menembak UMNO. Jika demikian, Demang tidak terlibatlah.

Takkanlah sesekali 'terjemput' ke jamuan raya dan kadang-kadang sempat bersalam dengan presiden UMNO dah dikira pekerja UMNO?

Jikapun pernah mendapat cabutan bertuah dan diberi duit tambang 2-3 tahun sekali ketika hadir program penerangan isu semasa sudah dianggap blogger berbayar?

Sebenarnya penulis blog sama seperti pengunjung warung kopi. Asalnya datang ke warung sekadar untuk hilangkan haus atau teringin merasa minum di luar.

Bukanlah mengeteh namanya kalau setakat order, teguk sampai habis dan terus balik. Biasanya akan berbasa-basi  dan bertanya khabar dengan teman-teman. Dari situ melarat lah pada topik-topik lain, isu semasa hinggalah pada ekonomi dunia dan masalah hukum serta fatwa. Hal seluar dalam orang pun kadang-kadang jadi topik hangat juga.

Blogger ibarat pengunjung tetap warung yang rajin bercerita. Tidak ada siapa yang menyuruh dia bercerita. Namun jika dia pandai berceloteh maka secara tidak langsung dia telah membina kelompok audiens yang sedikit sebanyak akan terpengaruh dengan ceritanya.

Pengaruh inilah yang dibimbangi orang politik. Blogger yang berpengaruh mampu menukar persepsi orang ramai. Cerita warung tidak terhenti di situ sahaja. Ia dibawa balik ke rumah untuk dikongsi dengan isteri dan dari situ merebak dari dapur ke dapur sehingga satu kampung mengetahuinya.

Mulut pemberita tak bergaji di warung-warung tidak boleh dikawal. Kalau setakat belanja secawan kopi dan berharap mereka akan setuju dengan kerajaan selama-lamanya, jangan haraplah.

Namun mereka juga manusia biasa. Kalau pandai mengambil hati, lunak lah sikit bicaranya.

Ucapan presiden UMNO kelmarin menggambarkan seolah UMNO mempunyai pasukan blogger yang bekerja dengan UMNO. Jika betul begitu, apa salahnya? Itu hal 'keluarga mereka' (ada orang kata 'syarikat mereka').

Kesimpulannya di sini, blogger pada asalnya adalah penulis bebas namun ada juga yang memang kerjanya menulis blog.

Demang pernah menulis panjang lebar isu blogger dan keprihatinan UMNO terhadap blogger prokerajaan sebelum ini namun ada pula yang menuduh Demang dan sahabat-sahabat minta bayaran.

Demang tegaskan sekali lagi:

Pertama, kami bukan minta bayaran tetapi minta supaya UMNO lebih cerdik memilih blogger yang sepatutnya hendak dibayar, itupun jika UMNO rasa aktivis media sosial itu penting. Jika tidak, teruskan sahaja cara UMNO zaman dinosour itu.

Kedua, oleh kerana kami generasi awal blogger adalah penulis bebas yang menyara anak bini melalui cara lain (yakni bukan dengan mengambil upah menulis blog), maka jangan terlalu berharap yang kami akan menulis yang baik-baik sahaja berkenaan kerajaan.

Demang rasa dua perkara di atas memang sukar dipersetujui oleh UMNO maka biarlah kita kembali cara asal.

Cara asal? Ertinya blogger bebas akan tulis ikut suka blogger. Kalau nak gelar 'blogger bangang', goblog atau sebagainya tolong khususkan pada orang atau kumpuan blogger tertentu.

Ingat, audien blogger ialah rakyat biasa dan jika orang tidak suka singgah ke blog tersebut maka apalah ertinya lagi menjadi blogger dan pembiaya blogger  pun tidak dapat apa-apa manafaat.

Friday, November 28, 2014

Guru Besar hilang

Ini berita betul. Sudah disahkan pihak sekolah yang terlibat. Guru Besar dan kesemua GPK tiada di sekolah selepas keputusan UPSR (yang kertasnya bocor-bocor itu) keluar.

Kemana hilangnya pun Demang tidak pula diberitahu.

Sebenarnya ia bukanlah masalah Demang melainkan jika anak Demang ada di sekolah tersebut dan perlukan tandangan 'beliau-beliau' tersebut untuk mengesahkan salinan dokumen bagi memohon sekolah menengah.

Takkan lah nak suruh tukang kebun sekolah tandatangan!

Demang boleh mengerti jika mereka ada urusan kecemasan atau urusan peribadi yang tidak boleh dielakkan (empat orang cuti serentak!) namun Demang sangsi jika mereka diarahkan untuk hadir mesyuarat di jabatan atau diminta berkursus.

Dah tak ada masa lain ke nak buat kursus atau mesyuarat? Padahal ibubapa perlu menguruskan permohonan dengan kadar segera. Salah satu syarat permohonan ialah semua dokumen wajib disahkan.

Itupun satu hal juga. Dalam dunia digital tanpa sempadan serta serba canggih ini pihak-pihak yang berkenaan masih terperuk dalam tempurung. Mereka tidak tahu bagaimana nak memudahkan orang ramai. Mereka hanya pandai memudahkan kerja sendiri sahaja.

Piagam pelanggan? Ha ha ha... kebanyakannya bukan faham sangat walaupun ada yang pernah beri taklimat pada orang lain tentang perkara tersebut.

Sebenarnya bukan susah sangat nak sahkan salinan dokumen. Cop getah itu bukanlah mahal sangat. Maknanya, itu bukanlah kaedah yang bagus sangat untuk mengelakkan penipuan.

Kenapa tiada pemusatan data? Bukankah dengan kecanggihan sekarang, dengan satu masukan nombor kad pengenalan sahaja sepatutnya semua maklumat boleh disemak dan disahkan? Apa gunanya calon peperiksaan diminta memasukkan nombor surat beranak dan sebagainya dulu? Supaya nampak profesional?

TAPI... dalam bab duit dan hutang, pandai pulak pihak tertentu mengesan orang yang bermasalah hingga ke lubang cacing!!!

Oh negaraku.

Thursday, November 20, 2014

Bank kapitalis mengawal negara

Adakah Malaysia mengamalkan perbankan Islam? Kalau dibaca jenama berunsur arab yang dipamerkan pada iklan, nampak benar Islamnya. Sepaling tidakpun ia menggunakan bahasa Arab. Islamik.

Adakah dengan menggunakan istilah bahasa Arab, memasukkan upacara akad, tetapi dalam masa yang sama memaksakan perjanjian berat sebelah itu sudah menepati kehendak Islam?

Sebelum kita pergi lebih lanjut, Demang nak kemukakan satu peribahasa baru:

Jika tiada orang sesak, makin bank-lah yang sesak manakala jika ramai orang sesak maka bank-pun penuh sesak.

Demang rasa tidak sukar memahaminya cuma anda perlu kenalpasti dan bezakan maksud-maksud istilah 'sesak' yang digunakan.

Asal ceritanya begini:
Kebanyakan khutbah di Melaka pada Jumaat lalu membentangkan perkara RIBA dan dengan tegas mengatakan bahawa RIBA itu haram, samada memberi mahupun menerima.

Nampaknya apabila negara kita mengekalkan sistem RIBA rakyat biasa menghadapi dua kerugian iaitu di dunia dan akhirat. Pihak bank cuma rugi di akhirat sahaja manakala di dunia mereka boleh bina bangunan-bangunan mega dan kaut untung berjuta-juta.

Sekurang-kurangnya mereka masih ada peluang untuk bertaubat. Sempat atau tidak, itu perkara kedua. Kita? Sebagaimana yang Demang tulis tadi, rakyat rugi dua kali!

Di hujung khutbah, khatib menutup bacaan teks dengan syor supaya menggunakan sistem perbankan Islam. Masalahnya, adakah perbankan Islam kita benar-benar Islam? Atau sekadar mempunyai nama dalam bahasa Arab?

Demang petik kata-kata Tun Dr Mahathir, jika ia Islam maka semestinya ia mendatangkan kebaikan justeru jika tidak mendatangkan kebaikan maka ia bukan sistem Islam yang sebenar. Maka ia perlu dikaji semula dan diubah.

Demang pernah menghadapi keaadaan 'sesak' dan cuba mendapatkan bantuan beberapa bank termasuk yang memakai nama Islam. Malangnya mereka tiada sebarang kaedah untuk membantu orang Islam yang menghadapi masalah kewangan. Mereka hanya ada plan untuk kaut untung.

Semakin ramai rakyat yang sesak, semakin penuh sesaklah bank.

Demang rasa bank-bank 'mualap' tersebut masih mengamalkan adat istiadat agama asal mereka walaupun mengaku telah memeluk agama Islam. Cubalah anda pergi ke bank yang mendakwa menggunakan sistem Islam dan cuba mohon pinjaman perumahan. Adakah anda akan membayar lebih rendah daripada sistem kapitalis Yahudi?

Demang tidak tahu. Anda cubalah periksa di bank-bank berkenaan.

Biasanya mereka tidak akan guna istilah riba atau bunga. Mereka ada istilah lain dalam bahasa Arab. Pelanggan yang mendengar akan terlopong kerana terpesona dengan bunyi Arab itu dan akhirnya terus melopong hingga ke liang lahad.


Terima kasih kerana beri attach poster.

Tuesday, November 18, 2014

Hapuskan sahaja tanah rizab melayu

Agaknya ramai yang tersentap dengan tajuk di atas. Takpe. Demang ulang sekali lagi, hapuskan sahaja tanah rizab Melayu.

Sebelum Demang jelaskan, mari kita lihat perkembangan semasa. Ada dua program besar UMNO dalam seminggu dua ini.

Pertama, 25 Nov 2014 akan berlangsung final pidato UMNO di PWTC. Kedua, persidangan UMNO, tapi Demang tak tahu tarikhnya. Agaknya bersekalilah tu.

Demang ucapkan tahniah pada 12 orang pemidato finalis yang disaring daripada hampir 200 orang. Kalian memang hebat. Namun kehebatan itu tidak ada maknanya jika setakat berjaya menggegarkan dinding dewan atau melencunkan muncung mikrofon sahaja.

Sebelum berpidato atau berucap sebagai perwakilan Demang rasa elok juga para pemidato merayau-rayau sekali lagi ke taman-taman perumahan kos rendah, sederhana, dan mewah. Lihatlah kaum atau bangsa mana yang ramai di pertempatan tersebut?


Berapa kerat orang Melayu mampu beli?

Kalau ikut tradisi, antara isu yang UMNO akan ketengahkan dalam setiap persidangan ialah isu tanah rizab Melayu. Bagi Demang kalau setakat pertahankan tanah rizab yang tak bernilai itu tiada maknanya. Kalau setakat ada tanah rizab Melayu buat menyemak mata sahaja lebih baik lah tiada.

Setakat ini yang bijak menggunakan tanah rizab Melayu ialah orang politik. Yang prokerajaan akan berhujah betapa tanah rizab Melayu wajib dipertahan manakala pembangkang akan menuduh yang gagal mempertahankan 'kubur keramat' tersebut adalah UMNO. Dua-dua berlakon kononnya menjaga tanah rizab Melayu.

Demang syorkan hapuskan sahaja tanah rizab Melayu sebab ia sudah jadi jelatang (kata orang dulu-dulu), atau duri dalam daging (kata guru bahasa Demang), atau liabiliti (kata orang sekarang).

Orang cina tak perlukan tanah rizab Melayu. Mereka beli tanah di sekeliling tanah rizab Melayu, bina rumah mewah yang orang Melayu tidak mampu beli, dan akhirnya kampung Melayu jadi macam kampung setinggan.

Tanah rizab Melayu hanya jadi modal kempen pilihanraya orang politik dan selepas pilihanraya, masing-masing melapah dan berbedak keuntungan hasil pilihanraya. Calon BN jadi YB, calon BA pun jadi YB. Dewan rakyat jadi medan melonjakkan populariti.

Malaysia dah tak ada tanah kosong ke?

Satu lagi tempat yang perlu perwakilan UMNO jengah ialah bangunan perniagaan orang Melayu. Lihatlah betapa lengangnya. Kalau di Melaka, cuba tinjau Kota Fesyen di Ayer Keroh. Berapa banyak kedai yang masih beroperasi?

Cuba tanya peniaga di situ berapa sewa yang perlu mereka bayar? Kenapa kerajaan perlu beriya-iya mengaut untung daripada rakyat? Apabila sewa bangunan tinggi, harga barang pun melonjak. Siapa yang rugi?

Salah satu puncanya ialah orang tengah yang membeli dan menyewakan kedai kepada usahawan tulin. Mereka buat loan bank dan berharap untung atas angin setelah ditolak riba bank.

Bank? Biasalah, kalau bukan hidup dengan riba, bukanlah bank namanya. Kalau tiada orang muflis, bank lah yang muflis.

Sepatutnya ada syarat tambahan, individu yang tidak mahu berniaga, lot kedainya ditarik balik! Beri hanya kepada yang serius menjadikan perniagaan sebagai mata pencarian.

Jangan bandingkan dengan sewa kedai di pusat membeli belah. Pengurusan mereka proaktif sedangkan di bangunan milik perbadanan, maaf cakaplah. Kalau disebut nanti, ada pula yang melenting.

Janganlah juga diungkit soal sikap orang Melayu. Jika Melayu bersikap negatif, itu adalah berpunca daripada pemimpin juga. Pemimpinlah yang sepatutnya terlebih dahulu proaktif.

kotak apa ni? Burung merpati pun taknak.

Kenapa tak dipugar dan diteroka tanah baru tanpa perlu membayar pampasan pada pemilik? Dengan RM0 kos pampasan harga tanah, kos pembinaan bangunan akan jadi lebih rendah. Binalah perumahan sederhana banyak-banyak dan bagi saguhati pada pemaju. Beri saguhati termasuk anugerah dato atau tan sri; dan bukannya jadikan mereka kayaraya sehingga sombong dan berlagak dengan banglow gaya istana dan kereta-kereta mewah untuk anak bini melaram.

Demang bukan tidak mahu pemimpin dan usahawan Melayu jadi kaya raya. Usahawan cina jauh lebih ramai yang kaya raya namun masyarakat bawahan kaum cina tidak seperti rakyat bawahan berbangsa Melayu. Itu realiti yang perlu pemimpin UMNO fikir dengan kritis dan kreatif. Jangan hanya pandai jual air liur sahaja!

Ingat, tsunami yang hampir-hampir memadamkan riwayat UMNO baru-baru ini muncul akibat rasa meluat rakyat pada sikap sombong, ego, dan mengada-ngada pemimpin muda UMNO.

Demang percaya artikal ini tidak akan dipedulikan langsung oleh pemimpin UMNO. Buktinya, lihatlah tapak lot perniagaan di PWTC semasa persidangan UMNO nanti. Di situpun jerung-jerung UMNO nak melahap juga dengan sewa tapak beribu-ribu. Padahal orang Melayu nak jual ikan pekasam sahaja di situ!

Orang UNNO hanya fikir... untung.. untung... untung...

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)