Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Sunday, December 14, 2014

Deria ke-7

Sambungan....

Sebelum ini komunikasi sesama manusia banyak melibatkan mulut dan suara namun kini jari dan sentuhan mengambil tempat.

Begitu juga jika dulu telinga yang menjadi penerima isyarat komunikasi, kini mata pula mengambil tempat iaitu ketika membaca teks.

Mahu tidak mahu kita perlu terima hakikat betapa media sosial adalah medan pertemuan paling penting pada zaman ini. Grup-grup diskusi bukan lagi dikatakan 'tumbuh macam cendawan' malah apa sahaja yang merebak dengan pantas boleh dikatakan 'seperti grup sosial di tahun 2014'.

Barangkali juga ungkapan yang lebih tepat bukannya 'serangan media sosial seperti tsunami' sebaliknya 'serangan tsumani seperti media sosial'!

Seperti yang Demang nukil sebelum ini, setiap orang memiliki lebih daripada lima grup media sosial yang menjadikan otak manusia bersambung-sambung sesama sendiri dan berpaut (link) pula dengan kelompok lain. Barangkali ia bukan lagi berbentuk jaringan lelabah bahkan boleh menjadi gumpalan kapas yang tidak mudah dirungkai.

Manusia sudah mula menyatu dalam menyimpan maklumat dan akhirnya sebagaimana kita menyimpan data di  pusat pengumpulan data maka begitu jugalah minda manusia. Akhirnya nanti manusia tidak lagi menyimpan maklumat di dalam otak masing-masing (internal) sebaliknya semua maklumat disimpan pada kotak memori secara maya (external) dan boleh dicapai sebaik sahaja diperlukan.

Sebagaimana ruang maya yang kita tahu tiada penguasa yang berhak mengaku menjadi pengawal maka begitu jugalah nantinya masyarakat manusia. Mereka membentuk koloni sendiri yang hanya beriman pada berita dan cerita, bukan lagi kebenaran sebenar.

Rakyat tidak lagi membaca atau mendengar berita bahkan berita tiba sepanjang masa terus ke minda melalui tapak tangan sebagaimana haba yang menjamah kulit serta merta diproses otak dan difahami sebagai 'panas'.

Nampaknya semua orang sudah ada deria ke tujuh!

Ia sedang berlaku tanpa dapat diempang lagi.

Bersambung...

Saturday, December 13, 2014

10 kumpulan berjalan serentak

Demang bersekolah menengah di Temerloh selama 4 tahun. Di situ Demang berkawan dengan rakan sepersekolahan dan seasrama dan hanya bertemu teman sekampung apabila bercuti.

Kemudian Demang berpindah ke sekolah di Jengka selama dua tahun. Maka Demang boleh dikatakan terputus terus hubungan dengan teman-teman Temerluh itu.

Selepas SPM Demang ke Kuantan  bagi memasuki tingkatan 6 dan tamatlah hubungan dengan rakan-rakan di sekolah Jengka, apatah lagi teman Temerluh. Bergaul lah Demang dengan teman-teman seperjuangan di Kuantan pula.

Selepas STPM Demang memasuki maktab perguruan di KL. Di situ Demang bertemu teman-teman baru. Masa itu zaman rock kapak melanda negara.

Selepas tamat pengajian Demang bertugas di beberapa buah sekolah di Pahang dan Melaka. Sudah tentu Demang mendapat rakan-rakan baru pula.

Jika dikumpul, Demang ada sekurang-kurangnya 10 kumpulan rakan dan bayangkan apabila kesemua kumpulan tersebut mempunyai grup Whatsapp!

Itu belum termasuk kelompok teman sekampung, saudara mara sendiri, sebelah isteri, rakan sekerja, dan sebagainya.

Jika dulu Demang hanya bertumpu pada satu kumpulan rakan dalam satu masa kini Demang beramah mesra dengan 10 kelompok rakan dalam satu masa!

Ini bermakna aktiviti pergaulan yang sepatutnya berlaku dalam tempoh lebih 30 tahun secara berasingan dimampatkan dalam satu masa dan berlaku serentak.

Jika 1989-83 Demang bergurau senda dengan teman asrama di Temerluh, 1984-85 berkawan dengan teman- teman Jengka, 1986-87 lepak di kompleks Teruntum Kuantan bersama teman sekelas, 1988-90 berbual dengan teman semaktab selepas jemming di kompleks Wilayah KL; maka pada 2014 Demang lakukan semua itu serentak menggunakan telefon pintar!

Apa persamaan lepak 1980an secara bersemuka dengan chatting dalam grup sosial 2014? Apa pula perbezaannya?

Demang rasa, bukan Demang seorang yang begitu. Jika demikian, apa impaknya pada negara?

Bersambung...


Sunday, December 7, 2014

Gerakan Islam di Malaysia

Pagi ini Demang berada di SM Imtiaz ulul albab Melaka sempena temuduga pelajar baru untuk tingkatan 1, 2015 . Demang hadir kerana diminta meninjau pandangan serta pendapat ibu bapa calon pelajar 2015 di sebalik niat dan hasrat mereka menghantar anak ke sini.

Demang bukan nak bercerita tentang sekolah yang berkonsep ulul albab ini (tahfiz) ataupun pemiliknya iaitu Zahid Hamidi sebaliknya tentang hasil temubual secara formal Demang dengan beberapa ibu bapa.

80% daripada ibu bapa yang Demang temui mempunyai anak lain di sekolah tahfiz di tempat lain. Ada juga calon daripada pelajar sekolah agama swasta semasa di sekolah rendah.

Semua ibu bapa atau 'salah seorang' daripada mereka adalah profesional dan selebihnya usahawan berjaya.

Sementara itu pagi ini juga Demang sepatutnya hadir mesyuarat penubuhan alumni sekolah menengah agama di Temerloh. Melalui pertubuhan tersebut sahabat-sahabat lama Demang itu akan menyalurkan bantuan dan sokongan pada pihak sekolah bagi meningkatkan kualiti lepasan sekolah tersebut.

Demang bawa kedua-dua perkara di atas kali ini adalah bagi mengingatkan semula pemimpin sekarang atau bakal pemimpin tentang realiti yang sedang berlaku di negara kita.

Alunannya telah bermula lama dengan gelombang-gelombang kecil yang mengusik bibir pantai. Demang percaya riak-riak tersebut sedang menyatu dan bergerak semakin pantas. Yang kita tidak tahu ialah bilakah ombak tersebut akan menjelma menjadi tsunami.

Demang tidak tahu berapa banyak sekolah agama dan maahad tahfiz di seluruh negeri Melaka dan di seluruh negara. Yang nyata, memang sangat banyak dan ia sentiasa bertambah.

Pertambahan bukan sahaja berlaku pada kuantiti pelajar daripada sekolah-sekolah sedia ada bahkan maahad-maahad baru muncul macam cendawan tumbuh. Maklumlah, ramai pelajar yang mengubah diri mereka menjadi pengajar, daripada anak murid menjadi tuan guru.

Jika kita lihat pula di luar, telah ramai individu profesional dan ikon masyarakat yang bukan sahaja berlatar belakang pendidikan agama malah bergelar alhafiz. Antaranya Dr Zainal USM seorang doktor gigi (kalau Demang tidak silap) dan Dr Muhaiya yang amat terkenal itu adalah pakar mata.

Mereka ini bukan sahaja sedang memberi kefahaman pada masyarakat terhadap Islam bahkan mereka sedang membina masyarakat baru yang mengharapkan Islam menjadi teras dalam segala aspek kehidupan.

Justeru Demang ingatkan para pemimpin terutama yang berada dalam UMNO bahawa jika anda gagal berada bersama gerakan Islam maka bersedialah untuk keluar daripada arus perdana. Dengan kata lain, anda sudah tidak diperlukan lagi.

Kepada pemimpin PAS, kalian boleh terus berjuang selagi tidak meletakkan kemenangan kerusi sebagai tujuan utama atau berangan-angan untuk menubuhkan kerajaan sendirian.

Kepada Perdana Menteri, anda boleh terus kekal di situ selagi anda faham realiti ini dan bergerak bersamanya. Untuk itu, semak semula siapa di sekeliling anda kini dan bantu mereka yang tidak berkenaan itu mencari kerja lain.

Itupun jika anda masih ingin menjadi Perdana Menteri.

Thursday, December 4, 2014

Kesah pekerja bangla najib

Sedang Demang bicara soal pertanian, muncul pula isu PM akan bawa masuk 60,000 warga Bangladesh.

Nampaknya ia akan jadi isu baru dan akan direkod untuk di-isu-kan semula menjelang PRU akan datang. Apa lagi kalau bukan untuk dijadikan bahan isu pengundi hantu?

Bagi Demang jika kemasukan pekerja tersebut bagi memenuhi keperluan sektor perladangan, apa salahnya? Melainkan jika kita ada pilihan lain.

Tolong bagitahu Demang, mahukah anak-anak anda menjadi buruh ladang? Menjadi pekerja ladang tentulah tidak sama dengan menjadi peladang!

Kelmarin Demang tulis betapa kita terlalu bergantung pada import buah-buahan dan hasil pertanian. Penyelesaiannya mudah. Tanam sendiri. Buka ladang. Masalahnya, siapa yang nak buat kerja tersebut?

Memang kegusaran sesetengah pihak ada asasnya. Kebanjiran pendatang asing akan memunculkan masalah baru pula, namun apa pilihan kita? Jika anda ada idea lain, silakan. Mana tahu idea tersebut lebih baik.

Negara kita subur. Itu kata guru geografi Demang dulu. Masa Demang sekolah dulu (1970an), kami buat projek buku hijau keliling sekolah. Petang-petang datang sekolah bawa cangkul buat batas ubi, mentimun, kacang bendi, dan lain-lain. Pagi-pagi siram pokok sebelum masuk kelas.

Namun hasilnya tidaklah begitu baik dan akhirnya projek buku hijau tutup buku. 

Memanglah tujuan asalnya untuk.mendidik dan menyemai minat berkebun. Namun jika tidak menjadi maka ia jadi pengalaman yang tidak ingin diulangi. Oleh kerana ia kempen besar-besaran di seluruh negara maka orang Melayu fobia hingga sekarang dan tidak suka bertani.

Bukan sahaja di sekolah, kalangan peneroka Felda pun begitu juga. Demang ingat lagi pada peringkat awal riuh rendah para peneroka bertanam sayur mayur keliling rumah. Selain untuk makan sendiri harap-harap dapat dijual untuk duit sampingan.

Namun jika semua orang sudah bertanam, siapa pula yang akan membeli? Lagipun sekitar 1970an di kawasan Felda, orang bukan ada duit sangat.

Akhirnya selepas semusim, yang tinggal hanya batas dan tunggul. Tidak lama kemudian, cangkul pun sudah sukar ditemui.

Demang bercerita tentang tanah rancangan felda sekitar 1980an yakni tempat yang sepatutnya jadi sumber pertanian. Kita kena akui bahawa kita tidak cukup tenaga untuk itu.

Pergantungan sumber makanan daripada negara luar memang merugikan dan boleh membahayakan negara. Selain pengaliran wang keluar, ia juga suatu pembaziran terhadap sumber yang Allah Taala kurniakan.

Minggu ini RINGGIT MALAYSIA merudum lagi dan ada yang kata ia lebih buruk berbanding 1997. 

Demang percaya kita tidak akan terjejas apa-apa jika kita ada bahan makanan (pertanian) yang mencukupi. Malah jika stok kita berlebihan, kita boleh tarik duit luar masuk ke negara kita.

Tapi janganlah jual kangkung untuk beli ferrari.

Wednesday, December 3, 2014

Ringgit merudum lagi

Ringgit merudum lagi. Malah katanya lebih teruk daripada 1997.

Ini mesej yang Demang terima sebentar tadi. Mungkin anda pun dah dapat lebih awal.

"Ringgit posted its biggest two day fall since the 1997 Asian financial crisis.  Now at rm3.4320 . Rumour said that it will touch rm3.7000."

Kemelut 1999 berlaku di zaman Tun Mahathir. Ketika itu juga Anwar Ibrahim sempat pangku jawatan PM dan menteri kewangan. Anwar ambik formula mudah. Tak ada duit, pinjam sahaja lah. Tun tidak bersetuju.

Negara jadi kelam kabut dan akhirnya Tun dipaksa letak jawatan. Abdullah Hj Ahmad Badawi dilantik menggantikan Tun. Anwar 'masuk.ke dalam'.

Antara perkara yang dibuat oleh Paklah ialah menggalakkan sektor pertanian sebab sehebat manapun manusia ia tetap perlukan makanan. Setakat ini kita belum tergamak makan plastik.

Kejatuhan teruk Ringgit menyebabkan harga barang import naik secara automatik. Rupa-rupanya kebanyakan makanan kita ditanam di negara asing. Hebatnya kita.

Agensi berkaitan pertanian dikerah melaksanakan program pertanian. Masa itu jika anda ke pejabat pertanian anda mungkin akan hanya menemui tukang sapu sahaja di pejabat. Semua pegawai dikerah turun padang dan bukan setakat menanti petani datang mengadu.

Paklah ambil gambar sedang berdiri dalam bendang. Foto itu segera menjadi bahan lawak orang ramai. Pembangkang ambik kesempatan memanipulasi foto tersebut dan Paklah jadi macam badut. Rakyat dapat peluang untuk ketawa berdekah-dekah. Maklumlah, masa tu belum ada maharaja lawak.

Akhirnya seperti biasa projek tersebut lunyai begitu sahaja. Agaknya pegawai pertanian pun lega sebab boleh kembali beristirehat di pejabat berhawa dingin.

Pihak yang agak kecewa ialah orang tengah dan kroni yang terlepas peluang menyapu komisyen dengan modal air liur.

Dalam pada itu Paklah turut kena tempias menantu cerdiknya. Mula-mula tempias, lama-lama habis basah lencun dan akhirnya Paklah karam sendirian. Menantu KJnya kini jadi menteri. Ye lah, orang cerdik. Usahkan mertua, negara pun boleh dijualnya.

Rakyat Malaysia memang alergik dengan pertanian. Najib pun sudah faham. Isu kangkung amat menginsafkan Najib supaya jangan berani-berani menyuruh orang Melayu bercucuk tanam. Peri jijiknya orang Melayu pada pertanian hinggakan profesor yang tidak disukai akan digelar 'profesor kangkung'.

Orang Melayu suka makan epal. Pisang hanya untuk monyet manakala jagung adalah makanan ayam. Pergilah ke pasaraya, berlambak-lambak buah import dijual. Permintaaan tidak pernah surut.

Walaupun makanan utama orang Melayu ialah nasi namun hampir semua makanan lain berasaskan gandum.

Apa pilihan kita sekarang? InsyaAllah esok Demang tulis lagi. Maaflah, Demang sukar respon komen anda di sini sebab android yang Demang guna menyukarkan Demang menulis di ruang komen namun Demang amat hargai pandangan anda.

Monday, December 1, 2014

Blogger bengang vs belogger bangang

Kalau dulu ada istilah polong bertuan dan polong tak bertuan, kemudian muncul  pula blog goblok dan terkini blogger bangang.

Blog Waadat masuk kategori mana?

Menariknya kali ini ialah apabila orang  yang mencetuskan istilah tersebut ialah seorang presiden. Beliau bukan sebarang presiden kerana yang dipresidenkan ialah sebuah parti tertua di negara kita dan mengetuai kerajaan Malaysia tanpa pernah terputus sejak 1957 walaupun sudah beberapa kali kelihatan seperti hampir putus nyawa.

Negara kita pula bukan sebarang negara. Ia tertubuh di atas tanah yang dulunya pernah tertegak sebuah empayar bernama Melaka.

Melaka pula bukanlah empayar biasa. Ia  pernah diberi amanah meneruskan peranan empayar Islam selepas bani Uthmaniah berakhir di Sepanyol.

Tidak banggakah kita menghuni di rumah pusaka yang hebat?

Berbalik pada isu blogger bangang. Ia terbit bersama ayat "kerja dengan siapa?" Kemudian ditokok tambah sesedap rasa oleh pecacai-pecacai parti sesuai dengan parti yang dianutnya. Kalau UMNO, UMNO lah. Kalau PAS, PAS lah. Begitu juga jika pecacai itu PKR dan lebih-lebih lagi askar upahan DAP, maka dimanipulasikan lah sesuka hati.

Ayat "kerja dengan siapa?" itupun Demang tidak dengar sendiri dari mulut sang presiden. Demang tidak hadir PAU sebab Demang tidak rasa perlu hadir. Lagipun Demang bukan ahli UMNO, jauh sekali perwakilan atau pembahas usul presiden ataupun johan pidato UMNO seperti sahabat Demang saudara Mustafa Musa.

Tahniah kepada wakil UMNO Melaka itu. Demang percaya beliau bukan setakat hebat di gelanggang pidato malah istiqomah dalam perjuangan bangsa.

Demang rasa yang dimaksudkan presiden ialah blogger yang dibayar oleh UMNO untuk mempertahankan UMNO di media maya sebaliknya bertindak menembak UMNO. Jika demikian, Demang tidak terlibatlah.

Takkanlah sesekali 'terjemput' ke jamuan raya dan kadang-kadang sempat bersalam dengan presiden UMNO dah dikira pekerja UMNO?

Jikapun pernah mendapat cabutan bertuah dan diberi duit tambang 2-3 tahun sekali ketika hadir program penerangan isu semasa sudah dianggap blogger berbayar?

Sebenarnya penulis blog sama seperti pengunjung warung kopi. Asalnya datang ke warung sekadar untuk hilangkan haus atau teringin merasa minum di luar.

Bukanlah mengeteh namanya kalau setakat order, teguk sampai habis dan terus balik. Biasanya akan berbasa-basi  dan bertanya khabar dengan teman-teman. Dari situ melarat lah pada topik-topik lain, isu semasa hinggalah pada ekonomi dunia dan masalah hukum serta fatwa. Hal seluar dalam orang pun kadang-kadang jadi topik hangat juga.

Blogger ibarat pengunjung tetap warung yang rajin bercerita. Tidak ada siapa yang menyuruh dia bercerita. Namun jika dia pandai berceloteh maka secara tidak langsung dia telah membina kelompok audiens yang sedikit sebanyak akan terpengaruh dengan ceritanya.

Pengaruh inilah yang dibimbangi orang politik. Blogger yang berpengaruh mampu menukar persepsi orang ramai. Cerita warung tidak terhenti di situ sahaja. Ia dibawa balik ke rumah untuk dikongsi dengan isteri dan dari situ merebak dari dapur ke dapur sehingga satu kampung mengetahuinya.

Mulut pemberita tak bergaji di warung-warung tidak boleh dikawal. Kalau setakat belanja secawan kopi dan berharap mereka akan setuju dengan kerajaan selama-lamanya, jangan haraplah.

Namun mereka juga manusia biasa. Kalau pandai mengambil hati, lunak lah sikit bicaranya.

Ucapan presiden UMNO kelmarin menggambarkan seolah UMNO mempunyai pasukan blogger yang bekerja dengan UMNO. Jika betul begitu, apa salahnya? Itu hal 'keluarga mereka' (ada orang kata 'syarikat mereka').

Kesimpulannya di sini, blogger pada asalnya adalah penulis bebas namun ada juga yang memang kerjanya menulis blog.

Demang pernah menulis panjang lebar isu blogger dan keprihatinan UMNO terhadap blogger prokerajaan sebelum ini namun ada pula yang menuduh Demang dan sahabat-sahabat minta bayaran.

Demang tegaskan sekali lagi:

Pertama, kami bukan minta bayaran tetapi minta supaya UMNO lebih cerdik memilih blogger yang sepatutnya hendak dibayar, itupun jika UMNO rasa aktivis media sosial itu penting. Jika tidak, teruskan sahaja cara UMNO zaman dinosour itu.

Kedua, oleh kerana kami generasi awal blogger adalah penulis bebas yang menyara anak bini melalui cara lain (yakni bukan dengan mengambil upah menulis blog), maka jangan terlalu berharap yang kami akan menulis yang baik-baik sahaja berkenaan kerajaan.

Demang rasa dua perkara di atas memang sukar dipersetujui oleh UMNO maka biarlah kita kembali cara asal.

Cara asal? Ertinya blogger bebas akan tulis ikut suka blogger. Kalau nak gelar 'blogger bangang', goblog atau sebagainya tolong khususkan pada orang atau kumpuan blogger tertentu.

Ingat, audien blogger ialah rakyat biasa dan jika orang tidak suka singgah ke blog tersebut maka apalah ertinya lagi menjadi blogger dan pembiaya blogger  pun tidak dapat apa-apa manafaat.

Friday, November 28, 2014

Guru Besar hilang

Ini berita betul. Sudah disahkan pihak sekolah yang terlibat. Guru Besar dan kesemua GPK tiada di sekolah selepas keputusan UPSR (yang kertasnya bocor-bocor itu) keluar.

Kemana hilangnya pun Demang tidak pula diberitahu.

Sebenarnya ia bukanlah masalah Demang melainkan jika anak Demang ada di sekolah tersebut dan perlukan tandangan 'beliau-beliau' tersebut untuk mengesahkan salinan dokumen bagi memohon sekolah menengah.

Takkan lah nak suruh tukang kebun sekolah tandatangan!

Demang boleh mengerti jika mereka ada urusan kecemasan atau urusan peribadi yang tidak boleh dielakkan (empat orang cuti serentak!) namun Demang sangsi jika mereka diarahkan untuk hadir mesyuarat di jabatan atau diminta berkursus.

Dah tak ada masa lain ke nak buat kursus atau mesyuarat? Padahal ibubapa perlu menguruskan permohonan dengan kadar segera. Salah satu syarat permohonan ialah semua dokumen wajib disahkan.

Itupun satu hal juga. Dalam dunia digital tanpa sempadan serta serba canggih ini pihak-pihak yang berkenaan masih terperuk dalam tempurung. Mereka tidak tahu bagaimana nak memudahkan orang ramai. Mereka hanya pandai memudahkan kerja sendiri sahaja.

Piagam pelanggan? Ha ha ha... kebanyakannya bukan faham sangat walaupun ada yang pernah beri taklimat pada orang lain tentang perkara tersebut.

Sebenarnya bukan susah sangat nak sahkan salinan dokumen. Cop getah itu bukanlah mahal sangat. Maknanya, itu bukanlah kaedah yang bagus sangat untuk mengelakkan penipuan.

Kenapa tiada pemusatan data? Bukankah dengan kecanggihan sekarang, dengan satu masukan nombor kad pengenalan sahaja sepatutnya semua maklumat boleh disemak dan disahkan? Apa gunanya calon peperiksaan diminta memasukkan nombor surat beranak dan sebagainya dulu? Supaya nampak profesional?

TAPI... dalam bab duit dan hutang, pandai pulak pihak tertentu mengesan orang yang bermasalah hingga ke lubang cacing!!!

Oh negaraku.

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)