2.www.aboutislam.com
3.www.thequran.com
4.www.Allahassurance.com
Copy paste info dr group lain..
Langsung tiada kena mengena dengan artikal ini.
Dulu-dulu guru Demang pesan, jangan meniru sebab meniru seolah-olah menipu diri sendiri.
Demang angguk dan patuh walaupun tak begitu faham.
Rasanya sekarang Demang semakin faham erti ujian. Ia adalah sebuah teka-teki yang hanya pembuat soalan sahaja tahu jawapan manakala semua jawapan yang kita fikir itu selalunya tidak betul.
Ujian adalah penapis yang memerangkap calon palsu dan membenarkan manusia jujur dan ikhlas melepasinya.
Si penipu yang menjawab dengan betul akhirnya mendapati dia tidak mampu memikul tropi kemenangan manakala si jujur mungkin tidak dapat menjawab semua soalan dengan betul namun akhirnya membawa pulang hadiah yang sesuai untuk dirinya.
Untuk menjadi pemenang tulen, kejujuran amat penting. Si penipu mungkin memperolehi hadiah yang mahal namun akhirnya sedar hadiah itu tidak sesuai dengan dirinya. Si jujur pula mungkin kecewa apabila sekadar menerima hadiah saguhati namun akhirnya mendapati hadiah itulah yang yang terbaik untuk dirinya.
Seorang ustaz merungut di depan Demang, pemenang tilawah dapat Myvi manakala pemenang Kilauan Emas dapat Camry dan wang RM100k. Adilkah?
Demang tak pasti pada siapakah beliau tujukan soalan itu. Kalau pada Demang, apalah yang boleh Demang buat? Habis-habispun, dalam blog inilah sahaja Demang menyambung omelan.
Kalau dilihat kerut dahi, intonasi suara dan juih mulutnya, kerajaanlah yang dipersalahkan. Demang bersetuju juga walaupun Demang sengaja mengajukan beberapa soalan menduga.
Kata Demang, hadiah Kilauan Emas ditaja syarikat swasta sebab audiens ramai. Penonton tilawah hanya orang Islam, itupun hanya segelintir yang tengok dan mereka pun tak lama lagi dah tak boleh beli apa-apa.
Lagipun kebanyakan syarikat-syarikat besar milik orang bukan Islam. Takkanlah mereka nak menaja tilawah Al-Quran? Beriman pun tidak, inikan pula nak keluar duit?
Ustaz tersebut mengalih pada cerita Brunei yang mengeluarkan RM1000 sebulan kepada rakyatnya yang hafaz Al-Quran. Erti perbandingan itu ialah kerajaanlah yang patut keluarkan perbelanjaan untuk tilawah.
Memang logik cadangan itu. Bukankah dalam Perkara 3 perlembagaan kita dinyatakan 'Islam adalah agama bagi persekutuan'? Takkanlah nak keluarkan belanja untuk agama negara pun tidak boleh?
Demang harap cadangan ustaz itu benar-benar ikhlas dan bukan sekadar nak buat isu. Jangan pula nanti ada yang merungut dan keluarkan isu baru; nak buat pahala pun nak minta subsidi!
Putera sulung Demang belajar di sebuah sekolah tahfiz swasta. Pemiliknya ialah seorang menteri bernama Zahid Hamidi. Konsep sekolah tersebut diasaskan oleh seorang lagi menteri bernama Idris Jusuh.
Selain mendapat pembiayaan khas tersebut, terdapat juga ibubapa pelajar yang tidak putus-putus menderma termasuk sebuah bas, van, dan kereta Myvi untuk kegunaan para pelajar tahfiz di situ. Baru-baru ini didermakan lagi untuk membeli tanah bagi meluaskan kawasan sekolah.
Ertinya selain melalui kerajaan, ummat Islam juga boleh berharap pada usahawan muslim yang telah berjaya. Justeru usaha membina dan menyokong usahawan dan pembesar muslim merupakan satu lagi cara untuk melaksanakan Islam di Malaysia.
Demang tidak nafikan peranan politik namun kita tidak boleh selamanya bergantung pada politik. Apapun sementara kita masih memegang kuasa politik, manafaatkanlah sebaik-baiknya. Buat apa nak kupas kelapa dengan gigi kalau kita memegang parang?
Sebagai rakyat, kita juga ada peranan. Jangan hanya nampak melalui pilihanraya sahaja rakyat berkuasa. Dalam berjual beli pun rakyat ada kuasa. Utamakan produk muslim ketika berbelanja. Memanglah kadang-kadang mahal sikit sebab di situ ada faktor sejarah yang masih mengikat kita. Kena faham bahawa kaum cina di Malaysia berjaya dalam perniagaan sebab mereka diberi peluang yang luas oleh Inggeris sebelum merdeka dan mewarisi tinggalan British ketika merdeka.
Dalam perjuangan mesti ada pengorbanan.
Di pihak pengusaha pula, perlu ada tanggungjawab pada agama. Selain zakat yang wajib ditunaikan, bantulah usahawan baru yang masih bertatih. Bimbinglah saudara-saudara kita dengan ikhlas dan praktikal. Jangan hanya bercakap sahaja.
Kalau nak berniaga, jangan hanya nak jadi kontraktor sahaja. Bidang pengeluaran amat luas. Apatah lagi pembuatan makanan yang selama ini dikuasai syarikat bukan Islam.
Daripada sibuk berbalah pasal persepsi politik dan fahaman tok guru masing-masing lebih baik lah gembeling usaha dalam perniagaan. Cambahkan networking dan perkecilkan perbezaan fahaman.
Setakat ini belum ada orang mati yang bangkit beritahu kita bahawa mana satu fahaman yang betul. Bagi Demang apabila dia mengucap Dua Kalimah Syahadah dan mengaku Islam, maka muslimlah dia. Biarlah Allah taala sahaja yang mengadili selebihnya.
Malaysia sebuah negara Islam atau sekular? tanya Oscar Ling Chai Yew dan Jamil Khir menjawab...
Lihat jawapan Jamil Khir dalam berita di bawah dan sudi-sudikanlah membaca sedikit komen Demang selepas itu.
KUALA LUMPUR 16 Jun - Malaysia bukan merupakan sebuah negara sekular berdasarkan fakta sejarah penubuhan negara ini yang berasaskan kepada Kerajaan Islam Kesultanan Melayu dan Raja-Raja Melayu yang merupakan Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perkara itu diperkukuhkan melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang jelas mengatakan agama Islam adalah agama Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan di mana-mana bahagian Persekutuan.
Beliau berkata, kedudukan ini juga dizahirkan dengan adanya peruntukan lain seperti dalam Fasal (4) Perkara 11 berkenaan dengan penyekatan pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan penganut agama Islam oleh undang-undang Negeri dan Persekutuan.
Malah katanya, dalam Fasal (2) Perkara 12 tentang hak berkenaan dengan pendidikan, di mana sah bagi Persekutuan atau sesuatu negeri menubuhkan, menyenggarakan, membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi Islam atau membantu untuk mengadakan ajaran dalam agama Islam serta melakukan apa-apa perbelanjaan yang perlu.
“Manakala dalam Fasal (1A) perkara 121 juga menyebut bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.
“Malah, dalam butiran 1 senarai negeri jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan antaranya termasuk hukum syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam dan mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan dalam kalangan orang yang menganut agama Islam serta ikrar Yang di-Pertuan Agong dalam jadual keempat untuk memelihara agama Islam pada setiap masa," katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Oscar Ling Chai Yew (DAP-Sibu) sama ada Malaysia adalah sebuah negara sekular atau Islam dalam Dewan Rakyat hari ini. - BERNAMA
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140616/dn_33/Malaysia-bukan-negara-sekular---Jamil-Khir#ixzz34rDuI6c2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Setahu Demang Perkara 3 dalam perlembagaan kita bukanlah baru bahkan itulah teras utama perlembagaan apabila kita memutuskan untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah persekutuan yang baru.
Perkara-perkara lain adalah penyokong pada Perkara 3 tersebut.
Oleh kerana perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara maka semua yang diputuskan dan dilaksanakan mestilah tidak bercanggah dengan perlembagaan.
Persoalannya, adakah ia telah dilaksanakan? Siapakah yang sepatutnya bertanggung jawab?
Demang percaya anda sedar bahawa tanggungjawab melaksanakannya bukan pada satu pihak sahaja tetapi semua pihak yang telah bersetuju menjadi warganegara pada negara ini.
Jika ada yang tidak bersetuju maka beredarlah dari negara ini tidak kira apa pun keturunan anda sekalipun anda berbangsa Melayu dan beragama Islam.
Apabila dikatakan Islam adalah agama bagi Peraekutuan (Malaysia) maka agama-agama lain bukanlah agama bagi persekutuan. Justeru sebarang peruntukan tidak boleh digunakan secara langsung untuk agama selain Islam.
Namun oleh kerana dalam perlembagaan turut menyebut kaum-kaum lain (selain Melayu) boleh mengamalkan agama mereka dengan aman maka tidak ada halangan untuk mereka meneruskan.
Diberi kebenaran untuk mengamalkan ajaran sudah tentu tidak termasuk menyebarkan agama selain Islam. Amalkanlah sebab itu yang mereka percaya namun tidak bolehlah mangajak orang lain turut mengamalkannya apatah lagi menganut agama selain Islam.
Jika semua pihak memahami dan mematuhi perlembagaan yang telah dipersetujui bersama maka harmonilah negara kita.
Coda:
Lihat bendera Malaysia. Kenapa ada bulan dan bintang? Bukankah kita telah bersetuju lama dahulu dan angkara siapakah yang cuba memecahbelahkan semula rakyat Malaysia? Untungkah kita jika berpecah belah dan bersengketa? Rugikah kaum lain selama ini?
Siapa nak beli tanah? Siapa nak jual tanah? Tanah mana nak dijual? Berapa hektar atau berapa lori?
Berikut adalah catatan Tun Mahathir dalam isu JUAL TANAH.
Selamat membaca.
Tidak seperti kebanyakan negara lain pemilik tanah di Malaysia bebas menjual tanah mereka kepada sesiapa sahaja, termasuk kepada orang asing. Di zaman British orang Melayu yang rata-rata miskin kerap menjual tanah milik mereka. Harga yang ditawarkan oleh pembeli begitu tinggi sehingga tidak mampu mereka menolak.
Setelah dijual, mereka akan pindah ke kawasan tanah murah, biasanya di luar bandar. Kemudian bandar berkembang sehingga sampai ke kawasan di mana penjual tanah mendirikan rumah. Dengan ini harga tanah pun naik lagi.
Sekali lagi pemilik tanah ditawar harga yang tinggi untuk tanahnya. Sekali lagi pemilik tidak dapat tahan hati dan lalu menjual tanahnya serta berpindah ke kawasan lebih jauh dari bandar untuk mendiri rumah. Akhirnya pemilik tinggal di pinggir hutan.
Oleh sebab ini maka diperkenalkan undang-undang Tanah Simpanan Melayu. Kawasan yang diisytihar Simpanan Melayu tidak boleh dijual kepada bukan Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu daripada menjadi penumpang di negaranya sendiri.
Tetapi jual tanah ini tidak terhad kepada orang rakyat sahaja. Raja pun sering menjual tanah takluknya. Demikian Pulau Pinang dijual kepada British. Kemudian Seberang Prai. Dinding di Perak juga dijual. Dan Singapura.
Dinding tidak berguna kepada British dan dikembalikan kepada Perak. Apabila cadangan Malaya Union dibuat oleh British Pulau Pinang, Seberang Prai dan Melaka dirancang sebagai sebahagian dari Union tersebut. Singapura dikecualikan kerana ianya strategik bagi British. Apabila Malayan Union diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu, Raja-Raja Melayu dan pejuang-pejuang anti Malayan Union dikalangan orang Melayu tidak menuntut Singapura sebagai Wilayah Persekutuan. Apa yang berlaku kemudian adalah sejarah.
Tetapi tabiat menjual tanah masih kekal. Ia tidak semestinya melibat kepingan tanah. Mengorek tanah untuk dijual kepada negara lain juga tidak banyak berbeza dari penjualan tanah.
Kerajaan melarang penjualan tanah seperti ini. Tetapi penjualan ini masih berlaku. Dengan digunanya tanah Negara ini untuk memperbesarkan wilayah negara lain,hasilnya tidak banyak berbeza dari penjualan wilayah kepada negara asing, seperti yang dilakukan dahulu.
Kita sudah merdeka lebih setengah abad. Tetapi kita sudah lupa akan kesalahan kita dahulu. Memang menjual tanah seperti dapat duit percuma. Tetapi duit yang didapati akan hangus dibelanja. Akhirnya duit pun hilang tanah pun hilang. Penjual akan jadi papa kedana.
Sebenarnya ada cara untuk mengekalkan pemilikan sementara mendapat nikmat berpanjangan dari nilai tanah yang meningkat sepanjang masa. Tetapi itu cerita lain.
Di zaman ini dengan teknologi dan modal yang banyak terusan seperti Selat Tebrau pun boleh ditebusguna sepenuhnya. Nilai tanah ini tentulah amat tinggi, lebih tinggi dari belanja menebusguna. Sedikit sebanyak usaha ini sudah dilakukan.
Setelah pihak kita menebusguna selat di sebelah kita, pihak lain pula akan menebusguna sebelah mereka. Terusan akan jadi parit. Jambatan tidak perlu lagi. Siapakah yang akan bangun tanah tebusan yang mahal ini. Siapakah yang akan tinggal di bandar-bandar baru. Tentulah mereka yang berada sahaja yang akan memiliki kondo-kondo mewah yang akan didirikan.
Tak mengapalah kita dapat duit banyak. Pinggir hutan amat selesa. Kalau kita ternampak sebagai penumpang di negara sediri, itu pun tak mengapa. Selagi boleh jual negara sendiri apa salahnya menjadi penumpang.
Tun Dr Mahathir
May 30th, 2014 @ 08:21 pm › chedet
Khabarnya malam tadi Brazil menang ke atas Croatia 3-1. Ramailah yang berqiamullail malam tadi demi bola sepak walaupun tidak pernah bangun untuk solat tahajjud sebalum ini!Minggu lepas Demang hadir taklimat Penilaian Tingkatan Tiga atau PT3 yang diperkenal Kementerian Pelajaran Malaysia bagi menggantikan PMR.
Demang hadir atas tiket Badan Muafakat sekolah anak Demang.
Apa yang Demang faham, mula-mula kita kena bezakan antara SRP/LCE, PMR, dan PBS. Sebenarnya ia dah digambar melalui namanya. Sijil Rendah Pelajaran (SRP) berasaskan SIJIL berkonsep peperiksaan untuk mengred pelajar. Kalau tak silap kita mewarisi sistem itu daripada Inggeris.
Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula suatu PENILAIAN tetapi berpusat. Ia dilaksanakan selepas kita mula sedar bahawa para pelajar tak sepatutnya terlalu awal digredkan yang akhirnya berlaku 'budaya peperiksaan' yang cenderung menguji intelektual semata-mata.
Manakala Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) ialah PENILAIAN tetapi berdasarkan penguasaan individu terhadap kemahiran-kemahiran yang ditentukan. Ia dibuat oleh pihak sekolah merangkumi semua aspek yang diperlukan manusia iaitu intelektual, emosi, rohani dan jasmani.
Nampak macam sama tapi konsepnya berbeza. Ada proses-proses yang perlu dilalui.
Bagi Demang semua pihak perlu faham konsep PBS. Jika tidak, PBS akan jadi sama seperti PMR yang akhirnya tiada bezanya dengan SRP apabila pihak sekolah mengambil jalan pintas bagi menjaga nama sekolah dari segi akademik sahaja.
Demang lihat PMR telah gagal menjadi alat penilaian yang berkesan apabila guru-guru mula mengumpulkan soalan-soalan ramalan dan seminar-bengkel diadakan bagi melatih pelajar teknik menjawab soalan peperiksaan.
Lebih teruk lagi apabila pelajar diasak siang malam dengan teknik latih tubi dan akhirnya menjadi burung kakaktua yg hanya tahu mencetak semula jawapan yang telah dihafal.
Aspek intelektual dianggap raja segala kejayaan manakala aspek-aspek rohani, jasmani dan emosi dianggap tidak penting padahal ia adalah teras dalam falsafah pendidikan negara.
Akhirnya apabila terhasil penjenayah pintar barulah kita sedar kesilapan besar kita dalam memberi pendidikan semasa di sekolah lagi. Kita ada beberapa pengalaman ngeri termasuklah kes pelajar cemerlang SPM menjual maruah di luar negara!
Apabila semua pihak sudah faham konsep PBS maka kita takkan bimbang lagi dengan PT3. Hal ini kerana keputusan PT3 akan terhasil sendiri apabila PBS dilaksana dengan ikhlas dan amanah.
Jangan terlalu fikirkan peperiksaan!
Bagi memastikan PBS dilaksanakan sedemikian maka beberapa instrumen telah disediakan oleh pihak berkenaan.
Peranan semua pihak amat penting bagi menjayakan PBS. Paling ditakuti ialah jika ada ahli politik yang mengambil kesempatan. Mereka menggunakan PBS bagi menimbulkan polemik baru dan menguwar-uwarkan isu agar rakyat melihat kerajaan melakukan kesilapan besar kerana melaksanakan PBS.
Akhirnya kerajaan yang bimbang terjejas dalam PRU mengambil keputusan kembali pada sistem kuno kita dan usaha pakar-pakar pendidikan membuat kajian selama berpuluh tahun musnah begitu sahaja.
Lebih malang lagi apabila kalangan guru dan pensyarah IPG turut memperlekeh sistem yang diamanahkan pada mereka untuk dilaksanakan hanya kerana anutan fahaman politik.