Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Monday, August 31, 2015

KP BTN hilang di celah sambutan merdeka

Tatkala orang UMNO pun malu mengaku UMNO dan orang bukan UMNO enggan mengaku Melayu, siapakah yang bertungkus lumus mempertahankan istilah MELAYU?

Demang jawab, BTN lah orangnya. Maksud Demang orang BTN.

PERKASA datang kemudian. Itupun setelah dapat hembusan semangat daripada orang BTN.

Demang mengungkit kisah pasca penyingkiran Anwar, perletakan jawatan Mahathir, dan zaman kembali memuncak  di bawah Paklah sebelum Paklah pula kecundang.

Rentetan peristiwa besar tersebut  bermula di zaman Mahathir sehingga pada peleraiannya PM ke4 itu terpaksa meletak jawatan.

Yang menyelamatkan keadaan waktu itu ialah kursus SSM di bawah JPA yang dikendalikan BTN dengan modul khas berkonsep mempertahankan negara, sesuai dengan motto Bersama Menjiwai Kegemilangan.

Kesannya, 2004 Paklah menang besar.

Pihak lain yang bukan daripada BTN terutama blogger bebas jangan kecil hati. Demang sedar jasa anda yang tidak ternilai berjuang tanpa bayaran.

Jika modul BTN dilaksanakan dengan betul, di akhir kursus para peserta yang terdiri daripada penjawat awam meliputi pelbagai kaum dapat memahami bahawa menjaga negara adalah tanggungjawab bersama tanpa mengira kaum.

Kalau tidak percaya, hubungi Demang dan Demang boleh usahakan untuk anda meneliti dan mengalami sendiri modul tersebut. Demang sanggup disaman jika modul tersebut bakal memecahbelah perpaduan dan merugikan mana-mana kaum.

BTN menekankan pemahaman pada perlembagaan Malaysia yang menjaga keistimewaan orang Melayu serta kepentingan sah kaum-kaum lain.

TIDAK pernah ada dalam mana-mana modul BTN sejak dahulu yang hanya memperjuangkan orang Melayu dengan mengenepikan atau meminggirkan kaum-kaum lain.

Malangnya usaha murni BTN yang dijangkakan dapat menarik perasaan cintakan perpaduan dilihat oleh pembangkang sebagai bakal menguntungkan BN dan UMNO yang kebetulan memegang tampuk pemerintahan, sekaligus meranapkan impian mereka mengambilalih kuasa.

BTN difitnah dan ditohmah. Seperti biasa, orang Melayu yang malas menyiasat berita terus percaya bulat-bulat.

Akhirnya pembangkang berjaya menghasut kerajaan agar kursus tersebut ditamatkan. Hampir tiada langsung pihak yang sanggup pertahankan, termasuk UMNO.

Maklumlah, ketika itu untuk mengaku berbangsa Melayu pun malu!

Kenapa pembangkang membenci BTN?

Apabila rakyat bersatu demi negara maka kerajaan yang sedang memerintah akan selamat.

Sebaliknya jika rakyat sentiasa dalam keadaan gelisah, tidak puas hati, saling tuduh menuduh, suka komplen, maka parti yang memerintah akan kalah.

Itu sebabnya rakyat tidak boleh dibiarkan bersyukur dan bantu membantu membina negara.

Namun itu semua sudah berlalu. Kini BTN sudah tidak kelihatan lagi memberi kefahaman pada rakyat tentang kenegaraan.

KP BTN pun sudah lama tidak kelihatan. Hilang agaknya.

Samada KP BTN menghilangkan diri atau dihilangkan, HILANGlah namanya.

Jika anak hilang, memang perlu dicari sampai jumpa namun jika penjawat awam hilang, perlulah diganti dengan yang lain.

Rasanya ramai yang boleh jadi pengganti. Maksud Demang, pengganti yang lebih baik.

Sunday, August 30, 2015

Bersih sudah jadi rasis

Secara tidak sengaja Demang tersangkut  dalam kesesakan berhampiran perhimpunan haram BERSIH 4 KL semalam.

Tidak perlu komen panjang, Demang lihat sendiri dua perkara:

1. Kebanyakan peserta adalah golongan yang baru melepasi zaman kanak-kanak (klik artikal berkaitan)
2. Kebanyakan remaja yang baru aqil baligh itu adalah kaum cina. 

Namun ada juga 2-3 kerat remaja Melayu. Budak-budak kolej mana entahlah.

Semua berbaju kuning. Siapa sponsor?

Kata isteri Demang, baguslah. Mereka yang akan dapat untung nanti maka biarlah mereka yang berusaha sendiri.

Semalam, perhimpunan BERSIH sudah jadi perhimpunan kaum. Orang Melayu perhatikan sahaja.

 Namun perlu diingat, orang Melayu bukan boleh lama sangat bersabar.

Saturday, August 29, 2015

Berhati-hati buat analisis

Guru tak baca tak apa tapi pegawai elok baca.

Ada satu taklimat oleh seorang pegawai yang asalnya seorang guru pada sekumpulan guru prasekolah di Melaka.

Turut ditaklimatkan ialah guru besar sekolah yang terlibat.

Isunya ialah ramai murid Tahun Satu di sekolah kebangsaan yang masih belum menguasai kemahiran membaca dan menulis.

Pegawai tersebut melahirkan rasa tidak puas hati kerana guru-guru prasekolah yang kebanyakannya berijazah dan dibayar gaji serta elaun yang tinggi namun masih ramai murid Tahun Satu belum menguasai kemahiran asas tersebut.

Maka terdiamlah para guru dan guru besar tersebut 'disekolahkan' oleh sang pegawai. Agaknya masing-masing melengung memikirkan tuduhan yang dilemparkan.

Tiba-tiba seorang guru wanita bangun. Beliau memberitahu bahawa di sekolah beliau ada dua kelas prasekolah dengan murid seramai 50 orang.

Daripada 50 orang tersebut, hampir semua memasuki tahun satu di sekolah yang sama. Jumlah kelas tahun satu ialah 4 buah dengan anggaran murid sekitar 200 orang. Itu faktanya.

Persoalannya, jika terdapat 50 orang daripada 200 itu belum boleh membaca, adakah semua murid yang tidak boleh membaca itu datang daripada prasekolah?

Bagi seseorang yang berjawatan pegawai pelajaran seperti sang pegawai tadi beliau sepatutnya tahu bahawa hanya sebahagian kecil sahaja kanak-kanak memasuki prasekolah kebangsaan manakala yang ramainya belajar di tadika swasta sebelum memasuki darjah satu.

Seperkara lagi, kanak-kanak yang layak memasuki prasekolah ialah kanak-kanak yang ibu bapanya berpendapatan rendah.

Anda boleh nampak dan faham realitinya? Demang mohon maaf kerana terpaksa menyebut di sini bahawa golongan berpendapatan rendah biasanya tidak sama pencapaian akademiknya dengan keluarga sederhana dan ke atas.

Kenapa? Salah satu sebabnya ialah kemudahan di rumah yang kurang lengkap selain kemampuan untuk memberi pendidikan tambahan, termasuk penggunaan teknologi terbaru.

Pernah dengar istilah pendidikan tidak langsung? Ia bermula di rumah.

Sayangnya kebanyakan murid prasekolah bergantung hampir sepenuhnya pada inisiatif guru prasekolah sahaja.

Demang nak gambarkan sedikit contoh keluarga berpendapatan rendah di sekolah yang guru wanita tadi bertugas.

Pada bulan puasa baru-baru ini seorang guru berkunjung ke rumah keluarga tersebut membawa makanan. Menangis guru tersebut melihat anak-anak keluarga itu begitu teruja menyambut makanan kerana mereka memang tidak mempunyai makanan yang baik untuk berbuka hari itu.

Barangkali memang begitu setiap hari.

Demang bawa isu ini untuk kita sedar betapa kemahiran membuat analisis sangat penting. Membuat tuduhan tanpa melihat masalah daripada pelbagai sudut hanya akan menampakkan kebodohan sendiri.

Itu sebabnya kita laksanakan KBAT atau Kemahiran Berfikir Aras Tinggi.

Sebelum itu pegawai yang hendak dilantik sebagai pegawai pelajaran mestilah benar-benar berpemikiran KBAT supaya mereka tidak terus merosakkan sistem dengan kebodohan semulajadi mereka.

Kedua-dua cerita di atas adalah peristiwa benar yang baru berlaku. Demang sendiri tidak menyangka masih ada keluarga daif begitu ketika sebahagian daripada kita sibuk menukar kereta import dan gadjet komunikasi terbaru.

Sebahagian duit kutipan GST patut diperuntukan kepada golongan tersebut.

Thursday, August 27, 2015

Alfatihah

Bagai api dalam sekam, bagai gunting dalam lipatan.
Kedua-duanya bekerja dari dalam. Jika sudah selesai barulah nampak rupanya. Itu pun cuma alatnya. Tok dalang masih belum menampakkan muka.

Mat Sabu tidaklah bodoh sangat. Setakat mengira 222 bahagi 2 tentulah dia tahu jumlahnya. Mat Sabu pun tahu bahawa kalau menang semua kerusi yang ditandingipun PAS masih belum dapat menguasai kerajaan. Maklumlah, PAS tidak pernah bertanding lebih daripada separuh kerusi parlimen.

Untuk tubuh kerajaan mesti ada satu perdua atau 111+1 (terkini) kerusi  di parlimen. Untuk mengubah perlembagaan pula perlu sokongan dua pertiga. Barulah hudud boleh dilaksanakan.
Namun apabila PAS berhajat tubuh kerajaan dan meminda perlembagaan, Mat Sabu berteriak sama, dan kemudian terkekeh-kekeh ketawa bersama para pengikutnya.

Pemimpin PAS tulen bukan tidak tahu realiti ini. Namun PAS perlu terus hadir sebagai pengimbang pada UMNO. Parti peneraju itu tidak boleh dibiarkan berseorangan. Adanya PAS adalah bagi memberi amaran pada parti komponan BN lain bahawa jika mereka mengada-ngada kerusi BN (melalui UMNO) akan digantikan dengan wakil PAS.

Kini api tidak lagi di dalam sekam dan gunting pun sudah di luar lipatan. Ertinya fasa bekerja dari dalam sudah selesai. Penubuhan GHB menampakkan Mat Sabu dan kuncu-kuncunya memasuki fasa kedua. Samada memang sudah bersedia atau terpaksa, Mat Sabu mesti meneruskan langkah bagi memastikan pendapatan yang disalurkan daripada pihak penyedia dana tidak terhenti atau beralih pada orang lain pula.

Platfom Mat Sabu dalam PAS sudah hancur maka tidak ada sebab untuk dia terus menerima dana.
Nasib Anwar mesti dijadikan iktibar. Apabila sudah tidak boleh diguna, dalam botol pawanglah tempatnya sebelum dikambus di dalam tanah.

GHB bukan untuk menarik orang UMNO. Kalau PAS dan PKR pun orang UMNO tidak hingin, parti serabut baru itu lagilah tidak dipandang. Orang UMNO sudah jelak dengan parti serpihan.

Bagaimana pula dengan pengundi Melayu? Dalam sejarah PRU, rata-rata pengundi Melayu atas pagar akan tetap memberi undi pada BN. Kalau luak pun, tak sampai menjejas majoriti di parlimen.

Maka yang akan terpeleot ialah PAS dan PKR. PAS menanggung musibah akibat kesilapan besar beberapa pemimpin saduran yang menyamar sebagai pejuang Islam. Ahmad Awang mungkin salah seorang daripadanya. Jika tidakpun, beliau memang pernah buat silap besar di Perak!

Penyedia dana bagi merampas Putrajaya daripada tampuk pemerintahan Islam sudah mengira. GHB akan mengecilkan lagi saiz PAS. PKR tidak dirisau kerana parti itu hanya seperti buih di lautan. Nampak mengepul tapi tidak sampai ke dasar pun.

Apabila PAS lemah, UMNO bukan bertambah kuat. Orang Melayu yang galak menentang kerajaan akan menyertai GHB pula. Jika sebelum ini PAS, PKR, dan DAP sekadar bekerjasama secara tak rasmi, selepas ini GHB akan bergabung terus dengan DAP.

Dalam surah Al-Fatihah, kita memohon pada Allah agar ditunjukkan jalan yang lurus dan bukannya jalan orang yang sesat.

Orang yang sesat bukanlah orang yang tiada matlamat sejak awal. Mereka asalnya sebahagian ahli rombongan namun atas sesuatu sebab, mereka keluar daripada jemaah dan akhirnya tersesat. Salah satu puncanya ialah mereka cuba mencari jalan pintas.

Semoga kita kekal di jalan yang lurus dan tidak termasuk dalam golongan orang yang sesat.

Al-fatihah.

Wednesday, August 26, 2015

Rahsia lirik anak kecil main api

Demang rasa masih ramai yang menyimpan bait-bait lagu Warisan dalam hatinya:

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah
Bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Apa maksud anak kecil main api? Barangkali banyaklah maksudnya. Di sini Demang nak ambil satu sudut sahaja iaitu kenapa digunakan 'anak kecil'?

Istilah lain untuk anak kecil ialah kanak-kanak. Besar sikit dipanggil budak-budak. Selepas itu dikenali sebagai remaja, anak muda, dewasa, orang tua, dan akhir sekali orang tua ganyot lah gamaknya.

Tahap paling rendah dalam kematangan manusia ialah anak kecil. Dalam peristiwa nabi Musa dengan firaun, bagi membuktikan Musa yang masih kecil ketika itu memang belum matang maka disuakan api. Musa yang masih anak kecil ketika itu menyentuh api tersebut dan menangis kepanasan.

Itu membuktikan bahawa Musa memang anak kecil yang belum tahu membezakan benda bahaya dengan benda selamat, walaupun baginda akan menjadi rasulullah apabila dewasa.

Zaman remaja adalah tempoh usia yang penuh konflik dan tercari-cari identiti diri. Istilah lain ialah jati diri. Namun tiada garis pemisah yang jelas antara zaman remaja dengan dewasa. Ada juga yang berumur 39 tahun masih berkelakuan macam remaja.

Jika anak kecil belum tahu membezakan api dengan ais, budak remaja kita andaikan lebih cerdik. Apapun perlu diingat mereka baru keluar daripada zaman budak-budak. Jika yang 39 tahun pun kekadang berkelakuan macam budak-budak maka tidak mustahillah ramai remaja yang masih belum keluar daripada kepompong kanak-kanak mereka.

Bagaimana dengan anak muda? Anak muda dan remaja sebenarnya sukar dibezakan. Kadang-kadang matang dan kadang-kadang macam budak-budak.

Masa Demang sekolah dulu, pelajar universiti amat dipandang tinggi. Maklumlah, mahasiswa. Tempat belajarpun dipanggil menara gading.

Itu dulu, sebab masa itu orang dewasa sekadar ada Sijil Darjah 6 dan SRP. Paling tinggipun SPM.

Hari ini golongan yang dipanggil 'orang tua-tua' sudah ada PHD dan sebagainya. Profesor berlambak. Dulu kalau disebut profesor, kita bayangkan orang tua berdahi luas, beruban atas bawah, pakai spek tebal, dan tak reti senyum.

Maaf, pelajar universiti bukan lagi golongan yang dipandang hebat oleh masyarakat. Mereka masih belajar dan nama sekolahnya ialah universiti.

Justeru jika nampak pelajar universiti berhimpun membantah kerajaan atau menulis dalam media sosial mengkritik sesuatu, kita kena ingat bahawa mereka berada dalam zaman peralihan antara zaman kanak-kanak dengan zaman dewasa.

Mereka memang mudah dipengaruhi dan dimanipulasi. Takkan lah kita pun nak jadi budak-budak juga?

Oh ya. Demang tidak menulis dari perspektif generasi X,Y, Z.

Tuesday, August 25, 2015

Yang perlu ditukar

Apabila Demang kata Najib baik dan Mahathir kejam, orang Mahathir marah-marah. Padahal Demang bukannya tulis Mahathir zalim. Ada beza antara kejam dengan zalim.

Guru Demang beritahu, zalim adalah "meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya". Guru Demang beri contoh iaitu meletakkan selipar di atas kepala maka zalimlah namanya.

Manakala kejam seperti yang ditafsir DBP:

Kejam II: "tidak berperasaan belas kasihan; bengis": Sesudah berkuasa, dia sangat ~ terhadap orang-orang bawahannya.

Itu Kejam II. Carilah pula maksud Kejam I. Orang Kedah memang selalu guna.

Semak semula tulisan Demang semalam, lihat apa yang tersirat. Jika anda scan dengan cepat, anda hanya akan dapat yang tersurat.

Oleh kerana ramai yang ingin melihat Najib letak jawatan maka lakukanlah jika itu yang terbaik. Sebelum itu, lihat posting Demang kelmarin dulu (Ahad) tentang sikap rakyat.

Najib memang baik. Semua PM baik. Mahathir pun baik cuma beliau agak kejam. Beliau sanggup belah perut orang dan buang bahagian yang didapati boleh membahayakan seluruh tubuh. Itu yang Najib tak mampu lakukan.

Jika anda lihat posting Demang Ahad lalu, anda mungkin akan bersetuju bahawa selain menukar  PM, rakyat juga perlu menukar sikap. Jika tidak, kerja kita menukar PM akan jadi kerja yang tak habis-habis.

Demang juga sebut tentang integriti. Jika pemimpin sudah hilang integriti maka jawatan yang disandang perlu dipulangkan.

Rasanya selepas ini orang Najib pula akan marah Demang. Marahlah. Demang cuma kata, JIKA integriti hilang. Sebaliknya jika Najib boleh kembalikan kepercayaan rakyat, maka kekalkanlah.

Berkenaan sikap, ia memang sukar diubah. Kita memang pandai menasihati orang tetapi berapa banyak sikap buruk sendiri yang mampu kita ubah? Sanggupkah merombak kembali perbelanjaan? Jual kereta import dan beli kereta tempatan? Kalau nak rosak, kereta import pun bukanlah sempurna sangat. Harap glamor sahaja.

Mari kita ubah sama-sama. Kita tukar PM yang baru dan kita amalkan sikap yang baru. Itu barulah adil. Jika tidak, kita akan terus mengeluh dan merungut sampai qiamat. Naik PM baru, kita dok tang jugak. Naiklah gaji 2-3 kali ganda pun kita dok merungut jugak.

Monday, August 24, 2015

Bakal PM dan PM yang tersingkir

Mahathir seorang yang kejam. Najib pula orang baik.

Bukan Demang sahaja yang kata tetapi ramai lagi termasuk musuh politik beliau.

Paklah juga orang baik. itu sebabnya Mahathir lantik beliau menjadi TPM dan PM ketika rakyat di kemuncak kemarahan pada Mahafiraun dan Mahazalim momokan PKR.

Mahathir memang seorang yang kejam. Sesiapa yang cuba-cuba masuk politik di zaman beliau diberi dua pilihan: bersama-sama beliau atau dibunuh. Beliau tidak peduli samada mayat itu boleh ditanam atau menjadi zombi seperti Anwar.

Kuli dan Musa Hitam memahaminya melalui pengalaman sendiri.

Kuli adalah mangsa awal yang cuba mencabar legasi Mahathir. Pasukan beliau kuat dan modalpun kukuh. Maklumlah, kerabat diraja. Namun akhirnya hancur berkecai kerana misi perjuangan terlalu sempurna sedangkan pembawanya sendiri masih compang-camping.

Kuli ambil jalan keluar yang selamat dan kekal sebagai YB di daerahnya.

Musa Hitam adalah gandingan terbaik Mahathir sehingga muncul istilah kepimpinan 2M. Musa mabuk dengan fatamorgana dan lupa bahawa di atas sebuah bukit tidak boleh ada dua ekor harimau.

Musa Hitam mengalah sebelum segalanya menjadi hangus dan berpuas hati menjadi duta sahaja.

Pak Syeikh Anwar lebih hebat. Kadang-kadang ramai yang lupa siapa sebenarnya PM. Anwar naik keretapi ekspres terus ke puncak. Kadang-kadang mengah juga Mahathir mengejarnya, padahal tempat sepatutnya Anwar ialah di belakang.

Sayangnya kaki Anwar tersadung di pintu Putrajaya.

Anwar enggan mengalah, menjadi zombi dan lawan sampai jadi asap. Akhirnya sebagaimana spesis makhluk halus yang lain beliau ditangkap pawang diraja dan dimasukkan ke dalam botol sebelum dilempar ke laut.

Paklah disingkir kerana itu sahaja jalan untuk menghalang menantu beliau daripada bermaharajalela. Budak yang baru balik dari luar negeri itu sedang kemaruk mencari kawan dan pengaruh. Sebagaimana lazimnya anak orang kaya mencari kawan ialah dengan wang. Dia lupa yang dikikis bukan harta bapak mertuanya.

Kawan-kawan KJ pula samalah seperti kawan-kawan Sazali dalam filem Anakku Sazali. Mereka akan melayani apa sahaja kehendak Sazali supaya Sazali bawa lebih banyak wang!

Paklah beralah bagi menyelamatkan menantu beliau dan kini KJ berhempas pulas untuk menarik simpati.

Kini giliran Najib diuji. Jawapan akhir ada pada Najib. Mahathir akan menjadi pemeriksa. Jika jawapan itu beliau berkenan, Najib kekal. Sebaliknya jika jawapan itu tersasar, Mahathir tidak peduli walaupun ayah Najib berjasa besar menerima beliau kembali ke dalam UMNO.

Bahkan Mahathir sepatutnya berterima kasih pada Najib yang bertukar  team semasa Mahathir dicabar Kuli. Undi majoriti yang cuma beberapa helai itu sememangnya daripada Najib yang berpaling tadah daripada Kuli.

Namun seperti yang Demang sebut awal tadi, Mahathir seorang yang kejam. Beliau boleh memberi peluang tetapi jika peraturan dilanggar, hukuman dijatuhkan tanpa timbang rasa.

Semalam Demang sempat lihat video Mukhriz berucap dalam persidangan UMNO entah di mana. Anak kandung Mahathir itu bercakap tentang integriti. Adakah Mukhriz yang bercakap atau beliau sekadar posmen?

Apabila integriti yang disebut maka itu adalah tips peperiksaan yang semua kena faham. Integriti adalah nadi seseorang pemimpin. Jika integriti sudah hilang maka jawatan perlu dipulangkan.

Najib orang baik. Walaupun sudah ada desakan agar MB NS, Perak, dan Kedah digantikan atas alasan kesetiaan namun Najib tidak seperti Mahathir yang kejam. Najib anak bangsawan yang keluar daripada istana untuk berjuang bersama rakyat. Jika beliau mahu bersenang lenang, harta datuk sebelah ibunya bukan kepalang. Ayahnya sendiri seorang PM Malaysia yang amat disegani dan kaya integriti.

Ramai yang kata Demang 'play safe'. Sebenarnya profesional tidak melulu ambil risiko sebaliknya akan memastikan laluan daripada kedua-dua arah selamat, barulah melintas.

Sebagaimana kata Demang sejak awal, pemeriksaan masih berlangsung dan belum ada keputusan. Maka kenapa kita tidak boleh bersabar sedikit lagi? Jika sudah jelas Najib bersalah maka beliau perlu melepaskan beban yang ditanggung selama ini.

Najib orang baik tetapi dikelilingi kawan-kawan seperti kawan Anakku Sazali. Sayangnya Najib tidak mampu bertindak sekejam Mahathir.

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)