salinan daripada http://www.binanegara.blogspot.com/ Monday, April 14, 2008
Kata orang, sambil menyelam minum air. Justeru kesempatan kursus di KLIA semalam saya gunakan untuk bertemu teman-teman lama. Bukan sebarang lama: sebenarnya satu pertemuan bersejarah setelah 25 tahun tidak bersua! Dan, pertemuan tersebut berlaku di Putrajaya yang pernah mencetuskan polemik ekoran pembinaannya yang diklasifikasikan sebagai projek gajah putih.
Kebetulan setelah kembali ke tempat kursus malam itu, seorang peserta menyuarakan isu keberuntungan yang dinikmati oleh beberapa individu melalui projek-projek kerajaan. Kedua-dua perkara tersebut bukan isu baru namun hal-hal yang seperti itu memang sering diungkit. Kenapa ia berbangkit? Pertama mungkin kerana rakyat benar-benar tidak berpuas hati. Kedua mungkin juga kerana adanya pemimpin tertentu menghasut rakyat agar tidak berpuas hati.
Sebagaimana pandangan kami sebelum ini, rakyat memang tidak harus dipersalahkan. Kalau rakyat tidak faham maka tanggung jawab kerajaan untuk memberi penjelasan. Manakala bagi mengelakkan rakyat salah faham maka peranan pemimpin pembangkanglah untuk memberitahu hanya yang benar. Bukankah gaji dan elaun mereka dibayar atas sebab itu? Tak kiralah samada YB kerajaan ataupun YB pembangkang.
Putrajaya memang projek berkos tinggi. Kemewahannya dirancang bagi menonjolkan kehebatan. Kita mahukan sebuah kota paling hebat yang boleh kita banggakan. Keperluan kita bukan sebuah bandar biasa. Bandaraya biasa sudah banyak. Kita mahukan sebuah kota yang mampu menandingi bandaraya Ipoh yang diwarisi dari penjajah dan mengatasi kotaraya Kuala Lumpur yang didakwa dibuka oleh Yap Ah Loy. Kita mahukan sebuah kota yang mencerminkan wajah Malaysia yang boleh kita banggakan. Kita tidak mahu anak cucu kita tertanya-tanya kenapa negara yang didakwa bersusur galur daripada kerajaan Kesultanan Melayu Melaka ini mempunyai ibu negara yang diasaskan oleh seorang imigran yang bukan daripada gugusan kepulauan Nusantara. Malah terdapat pendapat yang mengatakan latar belakang perniagaan dan peribadi beliau pun tidak begitu boleh dibanggakan oleh generasi sekarang biarpun sebangsa dengannya.
Maka itu saya berpendapat pembinaan Putrajaya dalam bentuk yang ada sekarang bukan satu pembaziran sebaliknya satu keperluan.
Itu kisah Putrajaya. Bagaimana pula dengan 'putera yang berjaya'? Adakah terdapat keperluan untuk itu?
Jika anda berbangsa Jepun, menjadi rakyat Jepun dan bermastautin di Jepun, apakah perasaan anda apabila disiarkan 10 orang paling kaya di Jepun, tiada seorangpun yang sebangsa dengan anda? Berpuas hatikah anda?
Kita mempunyai sekurang-kurangnya dua pilihan. Pertama, biarkan setiap orang Melayu/bumiputra bergelut sendiri untuk bersaing dengan sesiapa sahaja dalam persada perang perniagaan. Kedua, bantu semua orang Melayu/bumiputra menggunakan enjin-enjin tambahan di tempat-tempat tertentu. Ingat, kita bukan hanya mempunyai dua pilihan. Mengapa tidak kita mengambil pilihan ketiga? Bantu individu tertentu dan biarkan individu selebihnya bersaing dengan kekuatan sendiri? Maksud saya ialah jangan terus dibuang semuanya dan jangan dicemburui individu yang bernasib baik mendapat bantuan. Namapun 'bernasib baik'. Bukan semua orang bernasib baik, sekurang-kurangnya pada tanggapan dirinya sendiri.
Terdapat pihak yang berteori bahawa jika orang Melayu tidak dibantu maka mereka akan dengan sendirinya lebih gigih berjuang. Mungkin benar namun tidak semestinya benar. Untuk jangka panjang situasi begitu sememangnya wajar disediakan. Namun dalam masa yang sama kita perlu mengambil kira situasi semasa. Kita perlukan pemangkin dan bekalan sebelum kekuatan sebenar dapat dimiliki. Kita tidak mahu ditipu dengan muslihat agar kita melepaskan keistimewaan yang ada ini untuk sementara waktu sahaja. Kita tidak mahu dalam jeda yang panjang itu kita lebih tertindas lagi sehingga lebih sukar untuk bangkit kembali.
'Melantik' beberapa individu untuk memegang 'title' putera-putera yang berjaya adalah satu strategi bagi memajukan bangsa. Contohnya dalam perlaksanaan GLC. Adalah diharapkan mereka ini dengan kekuatan dan kemudahan yang dipinjamkan dapat bersaing di 'level' yang lebih tinggi. Tindakan ini hampir sama dengan tindakan kita menggabungkan bank-bank agar lebih berupaya menghadapi saingan bank-bank asing yang beroperasi di peringkat global.
Dalam hal ini kita perlu bersikap positif dan berlapang dada. Jangan cemburu dengan tuah orang. Sesungguhnya di dalam harta orang kaya itu terdapat hak orang miskin. 'Putera-putera yang berjaya' tersebut bukan dilantik oleh kerajaan sebaliknya mereka dilantik oleh Allah bagi menunaikan amanah Allah. Jika anda tidak terpilih sebaiknya anda bersyukur kerana terlepas daripada memikul tanggung jawab yang begitu berat. Barangkali anda tidak dipilih kerana Allah melihat anda tidak begitu kuat menghadapi dugaan setelah menjadi kaya. Sebaliknya anda lebih kuat menghadapi cabaran untuk berjaya. Jika ini dapat diterima dengan fikiran terbuka, akan lahir dua golongan putera-putera yang berjaya iaitu satu golongan yang berjaya dengan bantuan kerajaan dan satu golongan lagi yang berjaya dengan usaha sendiri. Pada masa itu kelak barulah boleh kita nilai golongan manakah yang terbaik.Wallahu alam'.
Posted by Cheguman at 11:24 AM 0 comments
Kos
-
*Siri Panduan Buat Jualan Morha Marketing*
Menggunakan gambar digital atau mesej teks yang dihantar melalui media
sosial dianggap paling baik sebab kos ...
4 years ago
No comments:
Post a Comment