Jika anda dari Alor Gajah dan ingin ke Muar sekarang, pilihan terbaik ialah melalui lebuh AMJ yang dapat memendekkan perjalanan hampir separuh berbanding dahulu.
Namun ia tidak semestinya menjimatkan masa anda memandangkan terdapat banyak simpang dan lampu trafik di sepanjang jalan tersebut terutama dari Alor Gajah ke Bandar Melaka. Sementara dari Duyong ke Muar perjalanan lebih lancar kerana tidak banyak simpang berlampu isyarat.
Namun anda perlu berhati-hati dengan simpang-simpang yang banyak serta kemungkinan lembu melintas jalan. Maksud Demang, lembu yang diternak penduduk di situ, bukannya pemandu yang berakal lembu walaupun bilangannya hampir sama banyak!
Ketika mula dibuka beberapa tahun dahulu, heboh dikatakan terdapat sebuah restauran yang dibuka pada waktu malam sahaja di situ. Namun hanya sebilangan kecil pengguna sahaja yang pernah melihat dan singgah di situ. Pun, apabila cuba dikunjungi semula bukan sahaja ia tidak dibuka malah tapak bangunannya pun tidak ditemui!
Maka kecohlah orang ramai dengan berita 'restauran bunian!'
Wallahu'alam, entah iya entahkan tidak cerita tersebut. Namun hari ini jika anda melaluinya memang terdapat gerai makanan dan buahan antara Duyong dengan Merlimau. Maka janganlah pula anda cuak untuk singgah. Insya-Allah, peniaganya adalah manusia tulen!
Demang bawakan kesah restauran bunian setelah melihat terdapat banyak perniagaan yang dulunya berdiri tegak, kini sudah tiada lagi padahal mereka bukannya orang bunian. Di mana silapnya? Pengusaha atau pelanggan? Ataukah kerajaan?
Bagi pelanggan, sudah tentu mereka inginkan perkhidmatan terbaik. Manakala pengusaha pasti akan memaksimumkan keuntungan. Kita ketepikan dulu faktor kerajaan melainkan anda memang ingin selalu menyalahkan kerajaan!
Tidak ada sesiapa yang ingin memberikan anda sesuatu tanpa sebab. Maka andalah yang perlu memberikan sesuatu yang didamba orang lain. Petua tersebut Demang tujukan pada semua, lebih-lebih lagi peniaga.
Pelanggan yang sedang dahaga pasti inginkan air bagi membunuh hausnya. Jika hanya anda seorang yang menjual air, maka itu tidak menjadi masalah. Namun bagaimana jika terdapat ramai pengusaha minuman di situ? Maka anda perlu menawarkan perkhidmatan yang lebih baik.
Tambahan perkhidmatan membawa kesan penambahan kos. Dalam perniagaan, semua kos akan dibayar oleh pelanggan. Itupun jika masih ada yang sudi singgah. Jika tidak, maka pengusaha tersebut akan bertukar menjadi orang bunian lantaran tidak dapat meneruskan operasi perniagaan.
Bagi Demang, antara peniaga dengan pelanggan perlu ada tolak ansur. Pelanggan yang terlalu berkira dan suka 'menawar' harga secara keterlaluan, akan menyebabkan peniaga gagal meneruskan perniagaan.
Benar, anda masih boleh ke premis perniagaan lain namun samakah kiblatnya dengan anda? Maksud Demang, akidah pengusahanya.
Peniaga juga perlu rasional dalam meletakkan harga setanding dengan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Sebenarnya, semua perniagaan adalah perkhidmatan walaupun ia berbentuk produk fizikal.
Wah, Demang sudah beralih ke bidang ekonomi pula? Sudah muak dengan politikkah?
Samada politik mahupun ekonomi, waimma apa sahaja bidang, ia tetap berkaitan kerana kesemua itu melibatkan permintaan dan penawaran. Itu sebabnya DS Najib mengemukakan slogan 'rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.' itu adalah piagam pelanggan DS Najib sebagai CEO kerajaan yang memerintah. Itulah juga maksud Tun Mahathir ketika melancarkan konsep persyarikatan Malaysia.
Maka sebagai rakyat Malaysia, di samping kita meneriakkan hak, kita juga perlu sedar dan akur dengan kemampuan kerajaan. Jangan sampai meminta yang bukan-bukan kerana dibimbangi dalam kekalutan dan ketakutan kerajaan demi memenuhi keinginan rakyat yang tidak terbatas, negara terjerat dalam kemelut ekonomi yang berlarutan.
Apakata kita beralih kepada usaha meningkatkan produktiviti dan kualitinya pula?
Salam 1 Malaysia. Menjelang 2010 ini kita kurangkan berpolitik dan kita tekankan perpaduan.
Kos
-
*Siri Panduan Buat Jualan Morha Marketing*
Menggunakan gambar digital atau mesej teks yang dihantar melalui media
sosial dianggap paling baik sebab kos ...
4 years ago
No comments:
Post a Comment