Pagi-pagi lagi putera Demang melangut di depan TV. Cuti-cuti begini jadual anak-anak sudah dipersiap para profesional media untuk dimuat dengan pelbagai program bagi menambat mereka terus melekat pada TV.
Di pihak yang lain pula, PS dan internet menggamit-gamit anak-anak mellineum dengan jutaan tarikan baru.
Buku-buku semakin terpinggir di sudut bilik bacaan.
Demang yang lalu lalang pun sempat juga tumpang sekaki pada adegan-adegan tertentu.
Di skrin, sekumpulan gajah sedang bertarung sesama sendiri. Ada ketua dan ada rajanya. Di celah-celah itu juga terdapat peperangan antara manusia dengan manusia. Masing-masing mempertahankan ketua dan raja.
Melengung sebentar Demang. Apa yang mereka pertahankan? Apa yang mereka perebutkan? Dalam kekalutan ada kesedihan dan cinta. Ada rindu dan kasih sayang. Ada darah dan air mata. Bahkan kehidupan dan kematian bertukar ganti.
Bertukar ganti tidak sama dengan bersilih ganti. Dalam konsep bertukar ganti, kehidupan bagi seseorang adalah kematian bagi lawannya. Kill or to be killed.
Demang dan anak-anak menonton (dipertontonkan) adegan dua ekor gajah besar sedang bertarung. Begitu seru pergelutan dari darat hingga ke dasar tasik.
Di atas belakang masing-masing tertenggek tuan masing-masing!
Apakah yang mereka pertahan hingga sanggup mempertaruh nyawa sendiri?
Meskipun cerita tersebut diperkartunkan namun ia adalah berdasarkan sejarah sebenar. Kisah perseteruan berlarutan kerajaan Ayuthia.
Siapa dan di mana bukan persoalannya di sini. Yang Demang fikirkan ialah gambaran tersebut berlaku di semua bangsa, negara, dan manusia.
Bagi golongan sosialis, peristiwa tersebut adalah cerminan kebodohan proletar mempertahankan raja. Justeru ia menjadi umpan terbaik bagi menarik simpati rakyat untuk turut mengutuk sistem feudal.
Namun Demang tertanya-tanya, apakah yang menyebabkan sang gajah sanggup mempertahankan tuannya sehingga menggadai nyawa diri dan keluarga? Apakah yang ditawarkan si raja kepadanya? Padahal sang gajah sejak awal mampu membebaskan diri daripada komuniti yang dianggap zalim tersebut?
Jawapannya ialah sang gajah bukan mempertahankan raja sebaliknya mempertahankan diri dan keluarganya sendiri. Hubungan mereka bagai simbiosis yang saling bergantung antara satu sama lain.
Meskipun terdapat jurang kasta yang luas antara raja dengan rakyat namun sang gajah akur dengan realiti bahawa gajah tak mungkin menjadi raja kepada manusia. Yang penting, kehidupan mesti diteruskan dengan peranan masing-masing.
Manusia adalah makhluk pintar. Demang kata, MANUSIA dan Demang tak kata RAJA. Namun sosialis mendakwa raja cerdik mengeksploitasi rakyat. Bagi Demang masing-masing saling mempergunakan. Kata lunaknya ialah 'saling memerlukan'.
Manusia memilih untuk hidup secara berkomuniti. Tambah sikit lagi, yang harmoni.
Kos
-
*Siri Panduan Buat Jualan Morha Marketing*
Menggunakan gambar digital atau mesej teks yang dihantar melalui media
sosial dianggap paling baik sebab kos ...
4 years ago
No comments:
Post a Comment