Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Tuesday, November 18, 2008

Tegur-menegur

Kereta Iswara dengan nombor pendaftaran MBA1?63 itu membelok dan masuk ke garaj. Rumahnya barangkali. Demang yang mengekor di belakangnya terpaksa berhenti sebentar akibat lorong yang sempit.

Sejak tadi lagi Demang tahu yang pemandunya seorang lelaki bersama dua orang kanak-kanak berada di dalamnya. Yang menarik perhatian Demang pada kereta sejenis dengan kereta yang dipandu Demang itu ialah nombor pendaftarannya.

"Apakah nombor yang tertanggal itu agaknya?" fikir Demang.

Demang tahu, untuk menggantikan plat nombor kereta tidak sampai pun RM20. Demang juga tahu, jika ditahan polis samannya boleh mencecah RM200. Maka Demang berbelah bagi samada hendak menegur lelaki itu atau membiarkan sahaja.

Jika ditegur, pastilah Demang mendapat ucapan terima kasih, dan sedikit pahala. Namun Demang terpaksa keluar dari kereta terlebih dulu dan mungkin menghalang kenderaan lain memandangkan lorong tersebut agak sempit.

Akhirnya Demang mengambil keputusan untuk berlalu begitu sahaja. Bagi memujuk hati, Demang andaikan yang lelaki itu akan sedar sendiri 'kecacatan' plat keretanya. Jika tidak, dia akan disaman dan duit tersebut akan dikumpul kerajaan. Sebahagian daripadanya akan menjadi sumber gaji kakitangan awam, termasuk Demang.

Cukupkah sekadar itu tindakan kita?

Menegur di dalam hati adalah selemah-lemah iman. (maksud hadis)

Sunday, November 16, 2008

Menyemak kembali landasan perjuangan kepimpinan negara

Atas permintaan beberapa orang sahabat blogger termasuk sdra Azli Shukri dan Panglima Perang Cyber, maka saya cuba memberikan pandangan saya terhadap perjuangan sebenar orang Melayu. Namun saya tidak berseorangan kerana landasan yg sama turut dikongsi bersama sahabat-sahabat seperjuangan saya. Cuma di sini saya memberanikan diri menukilkan kembali dgn cara dan interpretasi saya sendiri di sebalik perjuangan tersebut. Sebahagiannya adalah pendapat peribadi saya.

Untuk makluman, rencana ini juga telah saya emailkan kepada GGMM (http://gabungangraduanmuda.blogspot.com) yg telah mengemukakan surat jemputan utk berdebat kepada DATO’ ZAID BIN IBRAHIM seperti berikut:

Tarikh: 26 NOVEMBER 2008
HARI : RABU
MASA : 8.00 – 10.00 MALAM
TEMPAT : SPORTS PLANET FUTSAL,
LOT 37/38 JALAN P4/6
TAMAN TEKNOLOGI KAJANG,
43500 SEMENYIH,
SELANGOR

Selamat membaca dan silakan untuk memberikan pendapat. Maaf kerana mengambil masa anda lebih drpd biasa.

---------------------------------

Jika dilihat pada semangat dan suara perjuangan Melayu hari ini, saya percaya kita tidak kekurangan pejuang. Cuma kita ketiadaan pemimpin yang mampu menyatukan semua pergerakan tersebut. UMNO ataupun PAS tidak boleh mengambil tanggungjawab itu lantaran kedua-dua pergerakan tersebut berada pada garisan yang berbeza, meski ada keselariannya (selari). Malah bagi saya, biarkan lah mereka memainkan watak dan peranan masing-masing asalkan membina impian yang sama.


Menoleh sejenak pada sejarah kegemilangan bangsa

Kita sering melihat sejarah Kesultanan Melayu Melaka pada titik kejatuhannya dan tidak cuba mengambil teladan dan inspirasi yang meletakkan Melaka sebagai sebuah empayar terhebat di zamannya. Apa perlu diratap akan keruntuhan selepas 110 tahun bertakhta? Andalusia juga tumpas setelah 700 tahun berkuasa. Rom juga begitu. Malah berlaku juga pada Majapahit, Rusia dan mungkin juga Amerika nanti. Kerajaan Moghul yang begitu hebat kini hampir tidak bersisa. Sehebat-hebat Firaun pun tewas juga akhirnya. Jika hendak disebut tentang kerajaan yang telah lenyap, habis satu muka suratpun masih belum cukup untuk menyenaraikannya.

Kira-kira tahun 1398 masihi Parameswara bermula di sebuah kampung nelayan di Melaka. Kurang dari 10 tahun kemudian Melaka sudah mengorak langkah ke persada antarabangsa. Tidak sampai 20 tahun Melaka sudah menjadi pusat pentadbiran, pusat perdagangan, pusat perkembangan ilmu, dan pusat penyebaran Islam, terkenal di seluruh dunia. Ingat, kita sudah lebih 50 tahun merdeka! Di manakah kita?


Apakah rahsia di sebaliknya?

SISTEM. Itulah petuanya. Semua orang tahu tentang itu. Namun ramai yang sudah lupa tentang sistem yang kerajaan Melaka gunakan. Sistem tersebut bukan direka Parameswara ketika bertapak di Melaka. Malah telah dimulakan oleh Demang Lebar Daun dengan termeterainya persetiaan dengan Sang Sapurba di Bukit Saguntang. Perhatikan: ‘persetiaan’ bukan setakat ‘perjanjian’.

Parameswara sekadar mengaplikasikan sistem tersebut di Melaka, dan ia berhasil. Malah amat berjaya. Kita sudah melihat buktinya. Jangan risaukan tentang fakta kejatuhan Melaka. Tiada yang kekal. Malahan, apalah sangat yang nak kita persoalkan sedangkan sudah 51 tahun kita berusaha dengan sistem 'cacamarba' ini, negara kita belum lagi layak disamatarafkan dengan kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

Tun Dr Mahathir telah membuktikan betapa tindakannya mengurangkan kuasa raja mengakibatkan impiannya musnah. Padahal jalan yang dirintisnya dilihat sudah hampir membawa negara ke tahap cukup tinggi di persada antarabangsa. Beliau berjaya membentuk dan mengetuai kelompok-kelompok negara tertentu. Beliau jauh lebih hebat berbanding mana-mana presiden Amerika.

Namun akhirnya beliau gagal sampai ke kemuncak.

Sebab? Sebagaimana hujah awal saya tadi, baik UMNO mahupun PAS (hatta mana-mana parti politik) takkan mampu membawa misi perjuangan Melayu ini.

Jika saudara-saudara ingin melakukan sesuatu, lakukannya mulai sekarang. Ambillah semula sistem yang telah terbukti berkesan. Hampir semua peralatan sudah tersedia. Cuma ambil dan mulakan kerja.


Asas Membina Negara yang perlu dipertahankan

Pertama, Perlembagaan Malaysia sudah cukup lengkap sebagai ganti 'waadat' yang agak longgar itu. Waadat adalah asas kejayaan empayar Melaka. Sultan Mahmud yang mangkat dijulang dan Laksamana Bentan telah menamatkannya. Tak perlu diungkit lagi. Kini ia telah dganti dengan perlembagaan bertulis dan dipersaksikan oleh seluruh dunia.

Kedua, Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Bukankah itu ketuanan Melayu sebenar? Taat dan setialah kepada baginda tanpa sebarang keraguan. Jika baginda bersalah, baginda akan dipertanggungjawabkan semuanya di hadapan Allah taala kelak. Adakah kita ragu tentang itu, atau kita bercita-cita untuk menongkat langit? Ingat, untuk mengawal bersin pun kita tidak ada upaya. Maka tawakkal lah kepada Allah.

Ketiga, Perdana Menteri sebagai ganti bendahara. Beliau mesti menjalin hubungan yang amat rapat dengan YDA. Dalam sejarah, sultan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan bendahara seperti anak saudara atau menantu. Apa sahaja bicara bendahara, itulah titah sultan. Kalau bendahara kata sultan patut pecat Ketua Pengadilan Negara, dan bagindapun setuju, maka sah lah pemecatan tersebut. Tidak ada dakwa-dakwi di belakang hari lagi.

Keempat, pemimpin atau pembesar. Semua pemimpin perlu menumpahkan taat setia hanya kepada sultan. Kita mempunyai barisan pemimpin yang bertanggung jawab menyusun dasar bersama-sama PM. Manakala sebahagian pemimpin lagi bertindak menegur dan membaiki kekurangan dan kesilapan. Mereka mesti berkhidmat kepada raja, bukan kepada parti masing-masing. Jauh sekali untuk menjadi ‘pesuruh’ kepada rakyat ataupun membentuk ‘pakatan rakyat’. Pembesar adalah pemimpin yang memimpin kelompok rakyat di bawahnya. Semua rakyat negara ini wajib menghormati setiap pembesar tanpa mengira parti politik. Pemimpin yang membimbing rakyat bukannya rakyat yang mengajar pemimpin.

Ulama adalah pembimbing dan penasihat kepada kerajaan. Kita bukan sahaja mempunyai mufti di setiap negeri malah PAS yang diketuai ulama’ mampu membantu kerajaan melakukaan perkara yang betul dan menegur sebarang kesilapan. Saya melihat hal ini berjalan dengan baik sehinggalah krisis politik 1999. Buktinya, PAS sehingga kini tidak pernah bertanding melebihi kuota sepatutnya sehingga memungkinkan mereka mengambil alih kerajaan. PKR memecah tradisi itu.

Sumber pendapatan raja dan pembesar sejak dahulu kala ialah melalui pungutan cukai daripada rakyat, khususnya para pedagang dan peniaga. Justeru para pembesar mesti membawa masalah rakyat untuk diketahui oleh sultan dan dicari jalan penyelesaian. Amalan tersebut berlaku sehingga hari ini. Bezanya sekarang mereka tidak lagi bermensyuarat di balairong seri sebaliknya mereka disediakan parlimen tempat mereka bersidang.

Satu lagi perbezaan ketara ialah perbincangan dahulu berlangsung dalam keadaan hormat menghormati, teratur, dan beradab. Kini, istilah biadab dan kurang ajar sudah tidak difahami lagi.

Sepatutnya, meski berbeza sekalipun pendapat antara mereka namun akhirnya semua mesti akur dengan keputusan ketua negara. Termaktub dalam perlembagaan bahawa YDA adalah ketua negara. PM tetap penasihat baginda. Bagaimana cara beliau melakukannya, terpulanglah. Namun jika beliau cuba menurunkan sultan daripada takhta maka semua pemimpin akan menentangnya. Dalam keadaan begini, sebarang keputusan sultan akan dipatuhi serta merta. Apabila itu berlaku barulah bendahara yang baru akan dilantik.

Kekuatan Ketua Negara (YDA) adalah bergantung pada para hulubalang dan panglimanya iaitu polis dan angkatan tentera. Maka ISA memang patut diletakkan di bawah kuasa baginda. Jika ada sesiapa yang cuba mengkhianati sultan maka orang tersebut akan ditahan tanpa bicara. Dalam hal ini sudah tentulah bendahara yang menjadi penasihatnya. Namun jika sultan mendapati bendahara cuba menderhaka maka baginda sendiri akan bertindak dengan seluruh jentera di bawahnya. Walaupun Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera dilantik atas nasihat bendahara, namun setelah menjawat jawatan tersebut mereka wajib meletakkan kesetiaan hanya kepada raja. Demikianlah contoh yang ditunjukkan Laksamana Tun Tuah. Beliau diambil dan dididik oleh bendahara tetapi kesetiaan tetap pada baginda sultan.


Pejuang lawan penderhaka

Penderhakaan bermaksud menentang sistem. Sultan, bendahara, pembesar, dan seterusnya adalah sebahagian daripada sistem. Pejuang adalah pendokong sistem. Demikianlah yang dilakukan oleh Tun Tuah apabila beliau terpaksa membunuh sahabatnya.


Di mana letaknya Islam?

Islam adalah intipati pada semua di atas. Pengislaman Melaka 1414 adalah titik-mula kejayaan Melaka. Islam membawa ‘roh’ ke dalam kerajaan sedangkan yang lain-lainya hanyalah kulit fizikal yang boleh terlucut bila-bila masa. Contohnya wang: Ia boleh digunakan di mana sahaja melainkan ketika berurusan dengan malaikat maut. Maka wang tidak layak menjadi pengawal sejati kepada manusia. Malah wang tidak pernah setia kepada pemiliknya. Konsep asas yang wajib dipegang ialah IMAN.

Kesetiaan kepada raja tidak akan berlaku jika tiada pemahaman dan penghayatan terhadap ajaran Islam. Taat kepada pemimpin dan negara adalah perintah Islam. Sebagai balasannya, di akhirat nanti sultan dan para pembesarnyalah yang pertama-tama diminta pertanggungjawaban atas semua yang berlaku semasa di dunia. Rakyat cuma menjawab atas dosa peribadinya tetapi raja dan pemimpin akan ditanya perlakuan rakyatnya.

Pendirian Malaysia terhadap orang Melayu dan Islam amat jelas. Perlembagaan kita mencatatkan bahawa orang Melayu adalah beragama Islam. Hal ini perlu difahami benar-benar oleh semua pihak. Kebelakangan ini makin ramai orang Melayu yang tidak memahaminya dan mempertikaikan perjuangan Melayu. Mereka dengan semangat berkobar-kobar menggesa agar perjuangan Melayu ditukar kepada perjuangan Islam. Mereka amat ketinggalan zaman kerana perlembagaan kita lebih awal lagi mendefinisikan istilah MELAYU yang amat berbeza dengan MELAYU di Indonesia.

Sebagai penegasan kpd yang belum faham, perjuangan Melayu di Malaysia adalah perjuangan Islam. Tidak boleh lain daripada itu.


Strategi perjuangan

Perjuangan sebenar adalah bagi meletakkan hak yang sepatutnya, ke tempatnya semula.

Pertama, rakyat perlu diberi kefahaman tentang perlunya sistem ini dipertahankan dan diperkasakan semula.

Kedua, pemimpin yang enggan memahami sistem ini dengan sendirinya tidak layak menjadi sebahagian daripada sistem dan perlu diganti.


Modus Operandi

Pertama, mengenalpasti pemimpin atau calon pemimpin yang sanggup mempertahankan dan melaksanakan sistem ini.

Kedua, mengenalpasti, melatih dan memantau anak-anak muda yang berpotensi bagi mengambil tempat pemimpin yang sudah sampai masa kembali mengadap Ilahi.

Mahu tidak mahu, logik atau tidak logik, kehidupan di dunia pasti mempunyai kesinambungan dengan akhirat. Justeru tidak ada alasan untuk memisahkan keduanya dan menganggap ‘roh’ Islam dalam pentadbiran negara itu tidak perlu.

Kesultanan adalah sistem pemerintahan yang berkesinambungan daripada sistem kekhalifahan. Sistem khalifah adalah pengganti kepada khulafa’urrasyidin yang menjadi penerus perjuangan Rasulullah S.A.W.

Inilah perbezaan besar antara demokrasi yang dinukilkan oleh barat dengan sistem khalifah yang dilaksanakan oleh umat Islam. Abraham Lincoln tambah menyesatkan fahaman manusia dengan definisi demokrasi yang kabur iaitu dari rakyat, untuk rakyat, dan oleh rakyat.. Padahal sistem sebenar mesti melihat dari atas ke bawah, bukannya menyongsang iaitu dari bawah ke atas. Kerosakan teruk umat manusia ialah apabila ajaran sesat ini dianuti.

Allah taala mengutuskan Rasulullah sbg pemimpin teratas. Kemudian diikuti para sahabat. Apabila Rasulullah wafat baginda digantikan dengan khulafa’urrasyidin. Setelah itu diambil alih oleh bani Umaiyah, Abbasiyah, dan seterusnya sehingga Uthmaniyah. Ranapnya Andalusia, muncul pula Kesultanan Melayu Melaka.

Jangan ditanya bagaimana Umaiyah mengambil kuasa daripada Ali r.a. Allah taala melaksanakan takdirnya bagi merasionalkan penyebaran Islam ke kawasan yang lebih luas. Bukan Allah taala tidak berkuasa melakukannya dengan cara lain tetapi Alah taala menghantar isyarat kpd kita bahawa jika inginkan kejayaan, maka inilah caranya: sistem khalifah.

Kerajaan Islam tidak pernah mengamalkan demokrasi sebagaimana yang dianjurkan oleh pihak barat.

Adakah munasabah rakyat diberi hak memilih dan membuat keputusan melalui undi? Sudah tentu orang ramai akan memilih keseronokan dan mengelak daripada melakukan pengorbanan. Jika ada pemimpin yang menjanjikan pelbagai kesenangan maka dengan mudah pemimpin tersebut menjadi popular walaupun kesan jangka panjangnya merosakkan negara.

Bagi saya, jika saudara-saudara ingin mengembalikan perjuangan Dato’ Onn, maka inilah yang beliau perjuangkan. Pada tahun 1946, perjuangan beliau adalah bagi mengembalikan kuasa sultan-sultan. Kita masih berada pada landasan yang betul apabila memilih Tunku Abdul Rahman sbg PM yang pertama. Walaupun Dato’ Onn yang merancang, namun akhirnya Allah taala yang membuat keputusan. Sebenarnya perancangan manusia hanyalah sebahagian kecil daripada perancangan Allah taala.



Jalan yang lurus di hadapan

Kita sentiasa diberi Allah peluang untuk memilih dan menentukan masa depan. Meskipun segala-galanya dalam qada’ dan qadar Allah, namun tiada siapa yang tahu nasib kita di masa depan. Maka di situlah usaha kita. Jika pun matlamat perjuangan tidak mampu dicapai namun setiap tindakan kita akan direkod dan diberi balasan atau ganjaran setimpal. Semua catatan tersebut akan dikira satu persatu dan ditimbang bagi melayakkan kita ke syurga atau ke neraka.

Tulisan ini bukan suatu idea baru sebaliknya sekadar imbasan terhadap perkara yang saudara-saudara telah tahu. Malah inilah perjuangan sebenar sejak dahulu tetapi telah dikaburkan oleh pihak-pihak yang gagal memahami perjuangan sebenar. Mereka tiba ketika orang lain sudah berada pada separuh pendakian. Mereka dibawa terus ke pertengahan pendakian lantas mereka berkata, alangkah lemahnya orang-orang ini. Mereka melihat para pendaki terdahulu membawa tali. Mereka berkata apa perlunya tali padahal tiada tebing yang terlalu tinggi di sini. Mereka tidak tahu perjalanan awal sebelum ini memang memerlukan tali. Dan mereka juga tidak tahu apabila sampai di kawasan tertentu nanti, mereka terpaksa juga menggunakan tali.

Mereka melihat para pendaki di pergunungan bersebelahan mendaki dengan cara berbeza. Lantas mereka berkata betapa cara itu lebih berkesan dan mudah. Mereka lupa bahawa mereka di gunung yang berbeza.


Wassalam.

Friday, November 14, 2008

Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR): medan untuk menilai siapa & apa?

Keputusan UPSR (Tahun 6) telah diketahui. GB sekolah tpt isteri Demang bertugas boleh tidur sambil tersenyum sbb sekolah beliau menjadi sekolah yang melahirkan paling ramai pencapai 5A di Melaka tahun ini.

Mantan GB sekolah Demang yang baru bersara beberapa minggu lepas juga wajar gembira kerana menamatkan perkhidmatan dengan bergaya apabila sekolah berhampiran perigi Hang Tuah itu mencatatkan kenaikan hampir seganda apabila 28 murid mendapat 5A, berbanding 18 orang tahun lalu.

Manakala sekolah tpt Demang menjadi AJK PIBG mungkin sedang belasungkawa berikutan keputusan yang jatuh merudum, iaitu daripada 27 orang 5A pada tahun lepas kepada cuma 11 orang pd tahun ini.

Tajuk Demang kali ini, siapa & apa yang dinilai sebenarnya?

Bagi Demang ada 3 pihak yang akan dipertanggungjawab walau apapun keputusannya.

Pertama, murid itu sendiri.

Kedua, ibu bapa atau penjaga murid itu.

Ketiga, kerajaan Malaysia meliputi menteri, kementerian, jabatan, sekolah dan guru.
Untuk makluman, UPSR kali ini menjadi ujian pada perlaksanaan Pembelajaran Sains & Matematik dlm Bahasa Inggeris (PSMBI). Memangpun terbukti sudah, dua subjek tsbtlah yang telah membunuh impian ramai calon untuk memperolehi 5A, termasuklah anak buah Demang yang memperolehi gred B dlm subjek Science.

Demang yakin perkara ini akan menjadi isu utama beberapa bulan mendatang. Biarlah mereka bebincang.

Demang pula ingin membawa perbincangan dari sudut lain iaitu daripada sudut murid dan masa depan mereka.

UPSR hanyalah ujian pertama bagi seorang rakyat Malaysia. Biar bagaimana cemerlang sekalipun keputusannya, sijil tsbt tidak boleh dibawa kemana. Yakni tidak laku untuk dijadikan 'lesen' untuk masuk kolej, Universiti, mahupun bagi memohon jawatan hebat.
Perkara paling penting yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana seseorang murid itu menggunakan keputusan tsbt bagi mencapai kejayaan dlm hidup.

UPSR sepatutnya menjadi kayu ukur bagi menilai adakah usaha dan pencapaian tsbt seimbang? Apakah yang perlu diperbaiki, diubahsuai, atau ditingkatkan? Apakah yang perlu dikekalkan, dikurangkan, atau dibuang?

Kecemerlangan dlm UPSR melonjakkan yakin-diri seseorang pelajar. Dia akan melangkah ke sekolah terbaik dengan keyakinan yang tinggi. Dlm masa yang sama jika dia ke sekolah biasa dia akan mendapati dirinya adalah yang terbaik.

Justeru, mana-mana sekolah pun tidak mengapa. Yang penting, ibu bapa dan guru perlu mengawasi para pelajar begini.

Kejayaan tadi akan menjadi musibah jika tiada bimbingan berterusan. Pelajar yang ke sekolah terbaik akan mendapati dirinya bukan lagi yang terhebat. Perasaan yakin-diri bertukar menjadi rendah diri. Jika ini tidak ditangani dengan baik, kecemerlangan dlm UPSR akan menjadi kejayaan terakhir.

Sebaliknya jika pelajar itu ke sekolah biasa, dia akan merasa dirinya paling hebat. Ketiadaan pesaing dan 'sparing partner' akan menjadikannya leka beransur lemah. Kata orang, "di tempat yang tiada kuda maka keldai digelar kuda".

Maka, peranan ibu bapa dan guru memang diperlukan sentiasa. Inilah ujian paling hebat dizaman ICT ini. Jangan sampai kita tersungkur di pintu syurga lantaran anak-anak terhumban ke jurang neraka.

Thursday, November 13, 2008

Extra service

Antara keistimewaan guru prasekolah berbanding guru biasa ialah kami disediakan seorang pembantu khas. Tugas mereka ialah membantu guru prasekolah menguruskan kelas dan keperluan kanak-kanak. Antaranya menyediakan makan minum, bahan bantu mengajar, keceriaan kelas dan sebagainya.

Beberapa hari lalu Demang berbual dengan Guru Penolong Kanan 1 yang Demang panggil Kak Jun. Beliau meminta pandangan Demang untuk meminta pembantu Demang 'naik' ke pejabat pentadbiran sekolah bagi membantu serba sedikit tugas kerani.

Jika dikirakan jawatan dan kelayakan, Pembantu Prasekolah (PPS) adalah setaraf dengan kerani, iaitu pada N17. Tetap dan berpencen. Namun dari segi agihan tugas rasmi, masing-masing mempunyai beban tugas berbeza.

Maka timbullah sedikit pertikaian berikutan permintaan tersebut. Kedua-dua PPS tersebut keberatan melakukan tugas tambahan itu memandangkan mereka sendiri sudah mempunyai tugas rasmi.

Demang faham, setiap orang memang mempunyai tugas masing-masing yang telah ditentukan. Gaji dan elaun yang diterima adalah berdasarkan perlaksanaan tanggungjawab tersebut. Mereka berhak menolak tugas tambahan yang di luar bidang mereka.

Namun dalam perkhidmatan, masih ada ruang untuk mendptkan peluang yang lebih istimewa. Antaranya ialah hadiah kenaikan pangkat dan anugerah prestasi cemerlang.
Jika tidak kerana itu pun, sesekali kita akan melakukan kesilapan atau terpaksa mengharapkan budi bicara majikan dalam situasi tertentu. Contohnya ketika ingin bercuti bagi menghantar saudara mara yang hendak ke mekah.

Atas alasan tersebutlah Demang berpendapat kita perlu memberikan perkhidmatan tambahan. Kalau dalam beribadat perkara begitu dinamakan amalan sunat.
Amalan sunat akan menampung kekurangan dan kelemahan kita dalam melaksanakan amalan wajib.

Dalam dunia korporat, ia merupakan nilai tambah yang dihargai pelanggan. Ini termasuklah perkhidmatan selepas jualan.

Suatu masa dulu, sykt-sykt automobil bersaing dalam menyediakan reka bentuk produk masing-masing bagi menembusi pasaran. Hari ini, perkara tersebut tidak lagi menjadi modal utama untuk bersaing. Malah mereka bekerjasama dalam R & D bagi menjimatkan kos. Bagi menambat hati pelanggan pula, tumpuan diberikan pada keselesaan dan perkhidmatan selepas jualan termasuk aksesori.

Dalam persaingan global, kualiti tidak lagi dinilai pada harga yang telah dibayar sebaliknya pengguna mencari apakah perkhidmatan percuma yang ditawarkan.
Para pemain global datang dengan modal yang besar. Ketika bank-bank tempatan mengenakan interest melebihi 7%, bank global spt City Bank menawarkan tidak lebih 3% sahaja.

Dalam masa bank tempatan memasukkan pelbagai caj tersembunyi pada kad kredit, bank global mengecualikan yuran tahunan dan pengecualian interest bagi penggunaan kurang 30 hari.

Mujur Tun Dr Mahathir bertindak pantas menggembeling modal melalui tindakan penggabungan bank tempatan. Kesannya, perbankan tempatan kembali bernafas dan mampu bersaing.

Dalam persaingan bagi mengisi jawatan politik, aspek nilai budi masih menjadi kriteria penting meski cuba dihakis oleh budaya rasuah. Buktinya, sehingga kini Mahyudin tetap mengungguli pencalonan meski tiada imbuhan untuk perwakilan yang mencalonkan beliau.
Demang percaya, mana-mana calon yang cuba bermain api akan mendapati diri sendirilah yang akan terbakar nanti. Samada mereka akan tersingkir melalui undi sebenar nanti ataupun dicekup BPR.

Jika terlepas juga, mereka akan mengadap dua saringan di pintu syurga. Pertama, dosa dengan Tuhan tetapi mereka boleh meminta ampun. Kedua, dosa kpd rakyat. Yang ini Demang rasa susah nak lepas.

Sepatutnya kita tidak perlu lagi bercakap tentang rasuah apatah lagi mempersoalkannya. Ia hanya memperlihatkan betapa rendahnya kualiti rakyat Malaysia. Padahal pemain global sudah pergi jauh dengan penekanan pada aspek nilai tambah.

Adakah kita masih bertanya diri kita: "adakah aku sudah melaksanakan amalan wajib?"

Sepatutnya kita sudah mula bertanya: "apakah amalan sunat yang boleh kulakukan lagi?"

Jika sudah, tahniah.

Jika belum, mari kita mulakan.

Tuesday, November 11, 2008

Hang Tuah's Mind Strategy

Daripada 100 orang yang berada di dalam dewan yang Demang tanyakan samada Tuah atau Jebat yang layak dinobatkan sebagai wira, hampir 80% mendakwa Jebatlah orangnya.

Apabila Demang bertanya siapakah yang pernah membaca Hikayat Hang Tuah maka cuma 3 orang yang mengangkat tangan manakala 5 orang lagi yang tadinya mengiktiraf Tuah sebagai wira lantaran diberitahu oleh orang lain dan selebihnya sekadar andaian dan logik akal tanpa fakta.

Sumber manakah yang mereka gunakan bagi mengiktiraf Jebat? Pertama, filem dan kedua daripada pendapat orang lain.

Audien Demang yang berada di dalam dewan tersebut ialah para pemimpin mahasiswa!

Inferens daripada 'survey' spontan tersebut ialah sebahagian besar masyarakat amat mudah dipengaruhi untuk mempercayai pendapat orang lain. Hal ini berlaku kerana mereka enggan mengkaji sendiri melalui sumber asal. Kalaupun membaca, sekadar mengambil cerita tetapi tidak cuba 'berfikir lebih sedikit' dan memprosesnya dengan akal.

Bagi yang mengikuti semua tulisan Demang mungkin masih ingat bahawa akal berada antara otak dan hati. Manakala hati yang dimaksudkan oleh orang Melayu ialah 'qalbu' atau 'heart'. Fungsi zahirnya ialah mengepam darah. Jika berhenti ia maka berhentilah kita daripada bergelar manusia.

Fungsi bathinnya ialah sebagaimana yang sering disebut dalam kutbah Jumaat: "dalam tubuh manusia ada seketul daging. Jika putih ia maka putihlah seluruh tubuh itu, begitulah sebaliknya..."

Baru-baru ini Demang dihadiahkan sebuah buku yang tajuknya Demang jadikan tajuk artikal kali ini: "Hang Tuah's Mind Strategy." Buku yang ditulis oleh Dr Ong Hean Tatt (2004) tersebut membongkar rahsia di sebalik kejayaan Tun Tuah dengan membandingkannya dengan strategi Sun Tzu ('su se') yang hidup kira-kira 2000 tahun sebelum masihi. Seterusnya penulis yang mengkaji pemikiran Sun Tzu dan The Arts of War itu mengemukakan permasalahan di zaman ini untuk diselesaikan menggunakan prinsip yang digunakan oleh kedua-dua tokoh terbilang itu.

Secara sinis Dr Ong menempelak orang Melayu dan orang Cina (serta orang Asia) yang ghairah berguru dengan orang barat bagi menguruskan kehidupan orang timur.

Mungkin boleh Demang tambah: keghairahan segelintir orang Islam yang merayakan kemenangan Obama dan mengharapkan presiden ke 44 AS itu membela negara Islam, boleh juga dimasukkan dalam golongan yang dimaksudkan Dr Ong tersebut.

Dalam hal ini Demang setuju dengan saranan Dr Asri (mufti perlis) bahawa kemenangan Obama diharapkan dapat mengurangkan kerosakan yang dibuat oleh US.

Cuma Demang ragu, apalah sangat yang mampu dibuat oleh presiden yang dibayangi penasihat Yahudi itu.

Ertinya, kita tidak boleh langsung berharap orang lain mengubah nasib kita. (lihat tulisan terbaru dalam blog wakjono: Tawakkal).

Kita memang buta dan bodoh padahal Rasulullah sudah menyuruh kita belajar hingga ke negeri China. Yang Demang hairan, ramai yang tafsirkan bhw baginda sebutkan negeri China sebab jauhnya negeri China dari tanah Arab. 'Ulama' yang berpegang pada pendapat begitu sebenarnya malas nak 'berfikir lebih sedikit' dan membuat kajian. Mereka digelar ulama hanya kerana kemampuan mereka menghafal isi kandungan buku. Dalam zaman ICT ini taraf mereka tidak lebih daripada sebuah kad memori atau 'pen-drive'.

Namun, kualiti ulama-ulama yang begitu, jauh lebih baik daripada mahasiswa yang langsung tidak mahu membaca selain daripada bahan peperiksaan!
Jika mahasiswa umum enggan membaca dan 'berfikir lebih sedikit' barangkali masih boleh dimaafkan. Hal ini kerana mereka masih tergolong rakyat biasa. Bagaimana jika pemimpin mahasiswa turut bersikap begitu?

Beberapa hari lepas Demang terjumpa buku tulisan Ann Wang Seng berjudul 'Rahsia Islam di China'. Mungkin buku yang ditulis pada 2007 itu boleh membantu kita untuk 'berfikir lebih sedikit'.

Jika tidak menyinggung sesiapa, izinkan Demang mencadangkan tajuk untuk kita fikirkan:

Tahap 1
"Bagaimana untuk masuk ke syurga melalui kejayaan di dunia?"
(membina kejayaan di dunia dan menjadikannya sebagai tiket untuk masuk ke syurga).

Tahap 2
"Bagaimana mendapatkan keredhaan tanpa mengharapkan syurga?"
(untuk soalan Tahap 2 tak perlulah klu).

Selamat menjawab. (demam periksa belum kebah lagi...)

Saturday, November 8, 2008

UAdPM: Ujian Akhir di Padang Mahsyar

Sebenarnyalah sebagaimana teguran beberapa sahabat, agak lama Demang tidak menulis dalam waadat. Keinginan utk menulis memang ada bahkan meluap-luap. Tambahan pula Demang berhutang satu rencana dengan para pengunjung berkenaan tajuk ‘waadat: perjanjian raja-rakyat’.

Namun Demang perlu akur dengan realiti. Keputusan untuk menyambung pengajian perlu disertakan dengan pengorbanan masa yang sewajarnya. Sementelahan pula minggu ini Demang berhadapan dengan peperiksaan.

Siapalah yang sukakan peperiksaan @ pemeriksaan @ ujian? Sebutkan apa sahaja jenis 'periksa'; peperiksaan bertulis, ujian lisan, pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan nyamuk aedes, ujian lesen memandu, Puspakom hatta temubual dengan bakal mertua sekalipun pasti mengundang debar dan keresahan hati orang yang diperiksa.

Dan, jangan lupa ujian saringan akhir kita di Padang Mahsyar nanti.

Baik yang memahami hakikat pengembaraan roh merentasi pelbagai lapisan alam mahupun yang tidak pernah belajar mengenainya, Demang percaya semua orang pasti sedar bahawa kita sekarang sudahpun tercongok di atas planet bumi.

Namun berapa ramai yang sedar bahawa bumi ini sedang bergerak ke suatu destinasi yang tak kita ketahui, dengan kelajuan yang mampu menyebabkan gunung ganang tercabut dan terpelanting apabila Bumi berhenti secara tiba-tiba?

"Kemudian Dia menuju ke langit dan langit pada masa itu berbentuk asap lalu dia berkata kepadanya dan bumi, 'Datanglah kamu berdua dengan tunduk atau terpaksa'. Keduanya menjawab, 'Kami datang denga tunduk'." (Al-Fussilat:11)


Biarlah. Itu masalah Bumi. Kita cuma penumpangnya sahaja.

Anehnya, jikapun kita diminta 'berhenti' lebih awal namun itu tidak bermakna kita tidak boleh sampai ke tempat tujuan. Ironinya, lebih cepat kita 'keluar' daripada planet Bumi ini lebih cepat kita tiba ke destinasi.

Itulah kelebihan roh berbanding jasad.

Semua manusia akan tiba ke destinasi. Kemudian akan dipertimbangkan samada layak menghuni syurga atau wajar dihumban ke api neraka? Na’uzubillah...

Biarpun belum ada lagi bloggers yang mampu menceritakan kepada kita pengalaman beliau selepas mati, namun tidak sukar untuk kita bermuhasabah samada kita ini calon syurga atau calon neraka.

Maka mulai hari ini, setiap kali ingin melakukan sesuatu, periksalah dahulu adakah perbuatan itu wajar atau tidak dilakukan oleh seseorang yang ingin menjadi ahli syurga.

Kali ini Demang tak mahu kenen sesiapa termasuklah calon kepimpinan UMNO mahupun para perwakilannya. Sendiri mau ingatlah...

Wednesday, October 29, 2008

Pengorbanan seorang ibu

Suatu pagi ketika sedang memandu ke sekolah, Demang terdengar imbasan berita di radio tentang seorang ibu yang berjaya menyelamatkan beberapa orang (kurang pasti jumlahnya) kanak-kanak di sebuah asrama dalam satu kebakaran. Belum sempat wanita itu meraikan dan mensyukuri kejayaan, beliau mendapat tahu bahawa anak kandungnya sendiri telah mati hangus di tingkat bawah bangunan itu. Mungkin beliau menyangka akan ada orang lain yang menyelamatkan anaknya memandangkan dia sedang bertungkus-lumus menyelamatkan kanak-kanak lain di tingkat atas.

Demang teringat satu kesah pembunuhan beramai-ramai di Amerika pada suatu ketika dulu. Maka terdapat segolongan manusia yang bertanya: “Ke manakah Tuhan pada malam tersebut?”

Semoga tidak ada orang muslim yang cuba bertanya: “Adakah Allah SWT bersikap adil terhadap wanita tersebut?”

Demang akui, jika perkara tersebut berlaku kepada diri sendiri, belum pasti Demang mampu menghadapinya dengan tenang dan sabar. Demang belum layak menduduki ujian setinggi itu.

Peristiwa tersebut sebenarnya boleh dilihat daripada pelbagai sudut. Di sini Demang ingin mengajak anda menginsafi erti pengorbanan dan keikhlasan kepada Allah. Sejauh manakah kita melakukan sesuatu dengan ikhlas tanpa sebarang keinginan bagi mendapat ganjaran, lebih-lebih lagi sekadar mengejar habuan?

Allah SWT tidak akan menguji hambanya melebihi kemampuan mereka. Demang yakin demikianlah yang berlaku pada wanita tersebut. Begitu hebat ujian yang terpaksa beliau hadapi. Jika beliau membantu kanak-kanak lain tanpa mengharapkan orang lain menyelamatkan anak kandungnya, maka beruntunglah beliau. Namun jika beliau mengungkit-ungkit betapa pengorbanannya tidak dibalas dengan sewajarnya oleh orang ramai maka ‘lagha’lah ibadatnya itu.

Apapun, jasa wanita tersebut amat besar dan Demang berdoa agar Allah Taala memberi kekuatan jiwa yang hebat kepada beliau dan turut memberi ganjaran pahala atas pengorbanannya.

Di mana pula kedudukan kita? Adakah kita tabah menghadapi ujian Allah Taala? Sebelum itu, adakah kita sudah menunaikan tanggungjawab kita dengan ikhlas?

Sekarang musim pemilihan UMNO. Barangkali ramai dalam kalangan kita yang terlibat secara langsung sebagai perwakilan. Adakah kita ikhlas dalam memikul amanah rakyat dlm memilih calon terbaik?

Demang percaya, semua orang ingin menjadi baik. Semua perwakilan akan mengundi berdasarkan kualiti iman dan taqwa, bukan kerana sogokan wang (rasuah).

Namun, akan ada nanti ‘perwakilan’ yang sedang kesempitan wang. Hutang keliling pinggang. Anak-anak memerlukan wang. Keluarga kekurangan wang. Maka amanah dan tanggungjawab terpaksa dikesampingkan. Syaitan dan nafsupun membisikkan hujah dan alasan bahawa tidak salah menerima rasuah demi anak-anak dan keluarga. Bukankah melindungi keluarga itu wajib? ...mencari alasan bagi mewajarkan tindakan.

Maka mereka lupa betapa ujian yang Allah Taala hadapkan kepada mereka itu amat kecil berbanding ujian yang dihadapi oleh wanita yang kehilangan anak tadi.

Subhanallah.

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)