Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Monday, May 25, 2009

Ciri-ciri Munafik




Rujuk Sinar Harian 25 Mei (akhbar yang turut dibaca oleh kebanyakan pembangkang)

Setiausaha DAP Perak ajak penyokong PR mogok lapar selama 3 hari.

Maka Nizar pun ajak penyokong PAS berpuasa pada tarikh yang sama dan mendakwa puasa tersebut hanyalah puasa sunat yang tidak ada kena mengena dengan mogok tersebut.

Ahmad Awang iaitu Pesuruhjaya Perak yang pernah mengeluarkan fatwa bahawa lebih baik bergabung dengan kafir daripada bergabung dengan UMNO berkata ummat Islam digalakkan berpuasa di awal bulan.

Adakah kenyataan tersebut tidak ada kena mengena dengan mogok tajaan kafir harbi tersebut?

Demang ingin bertanya sekali lagi: benarkah puasa tersebut tidak ada kena mengena dengan mogok yang dianjurkan oleh Nga Kor Ming?

Bagaimana pula niat puasa tersebut?

"Sahaja Aku Berpuasa Kerana Allah Taala" atau "Sahaja Aku Berpuasa Kerana Membantah Keputusan Mahkamah?" Atau "Sahaja Aku Berpuasa Kerana Allah Dan Kerana Politik?"

Apabila Nizar mengatakan puasa sunat tersebut tidak ada kena mengena dengan mogok DAP, Nizar sebenarnya hendak membohongi siapa? Nak menipu rakyat atau menipu Tuhan?

Seperkara lagi, mogok itu untuk membantah siapa? Menentang keputusan mahkamah atau menentang kehendak raja selaku ketua agama dan payung kepada rakyat?

Sunday, May 24, 2009

Cerita sebenar di Perak



Sirih Pulang Ke Gagang

Kembalinya jawatan MB kepada UMNO Demang anggap sebagai mengembalikan hak rakyat. Manakan tidak, dalam PRU12 rakyat Perak sudah membuat pilihan sebagaimana berikut:

UMNO 27
DAP 18
PKR 7
PAS 6
MCA 1
MIC 0

Rakyat sudah membuat keputusan pada 8 Mac 2009.

Itulah sebabnya selepas keputusan tersebut diketahui, Tajol Rosli telah mengadap sultan bagi memohon untuk menubuhkan kerajaan negeri. Namun Sultan Azlan cuba bersikap adil dengan memberi peluang pada parti-parti yang terlibat berbincang.

Maka pihak UMNO telah menghubungi PAS untuk bergabung. Namun walaupun UMNO menawarkan jawatan Menteri Besar dan exco kepada PAS yang cuma memperolehi 6 kerusi, PAS menolak. PAS mengambil keputusan untuk bergabung dengan DAP dan PKR.

Maka terbentuklah Pakatan Rakyat walaupun tidak pernah mendapat restu rakyat dalam PRU12.

Kemudian timbul konflik bagi melantik MB kerana sepatutnya DAP yang lebih layak kerana dalam PR DAP mempunyai 18 kerusi. Nizar yg mengetuai 6 ADUN dilantik menjadi MB.

Maka bermula berbagai kekalutan dalam politik Perak. Kedhaifan Nizar dalam mengekang tidak tanduk DAP yang menggunakan kuasa majoriti mereka sewenang-wenangnya menggusarkan banyak pihak. Tidak terkecuali sultan.

Antara isu terbesar ialah kejayaan pemimpin DAP mendesak Nizar meluluskan hak milik tanah selama 999 tahun sedangkan orang Melayu sendiri selama ini mendapat jumlah yang lebih kecil dan cuma untuk 99 tahun sahaja.

Keputusan-keputusan yang merugikan orang Melayu itu mencapai kemuncak sehingga tiga orang ADUN PKR bertindak meninggalkan parti itu dan membuat pengakuan untuk menyokong BN.

Dalam keadaan kelam kabut itu Nizar yang memahami erti kehilangan majoriti bertindak mengadap sultan bagi meminta baginda membubarkan DUN.

Namun sebagaimana yang berlaku dengan permintaan Tajol dulu, sultan juga memberitahu Nizar bahawa baginda perlu memberi peluang kepada pihak yang lagi satu kalau-kalau mereka mempunyai majoriti.

Ternyata BN berjaya membuktikan pada sultan bahawa mereka kini sudah mempunyai majoriti yang diperlukan bagi membentuk kerajaan.

Justeru sultan memaklumkan kepada Nizar bahawa baginda tidak perlu membubarkan DUN kerana terdapat parti lain yang telah mempunyai majoriti.

Maka sultan mengingatkan Nizar bahawa beliau wajar mengosongkan jawatan MB kerana sudah ada orang lain yang lebih layak.

Bagi Demang, apabila jawatan MB dapat kepada BN-UMNO maka itu bermakna hak kembali kepada rakyat kerana itulah kehendak rakyat Perak melalui terjemahan undi pada PRU12.

Sekurang-kurangnya, itulah kehendak pengundi Melayu di Perak.

Friday, May 22, 2009

Sudut positif





Nukleur
1945, Hiroshima dan Nagasaki lebur apabila dua butir bom atom digugurkan di atasnya. Cuma sebutir setiap satu, kedua-dua kota itu menjadi padang jarak padang tekukur.

Hari ini bom atom sudah bukan apa-apa lagi. Bukan kerana kemampuannya tidak sehebat dulu tetapi kerana sudah ada pengganti yang lain. Nukleur.

Biarpun belum pernah diuji dalam mana-mana peperangan namun keampuhannya sudah diketahui semua. Nukleur mampu memusnahkan sebuah negara dalam sekelip mata.

Demikian kejamnya nukleur, kenapa Allah menjadikannya? Adakah Allah sengaja menaja kemusnahan?

Tidak usahlah kita perdebatkan hak Allah dan bukanlah tujuan Demang membawa isu ini untuk dikaitkan tentang hakikat penciptaan.

Baru-baru ini Demang lihat di kaca TV seorang saintis Melayu menunjukkan penemuan terbaru penggunaan nukleur. Bukan untuk memusanahkan manusia sebaliknya untuk menyelamatkan mangsa kanser.

Maka nukleur ada ciri positifnya.

PHD
Demang percaya ramai yang sudah faham dengan akronim PHD yang lagi satu ini, iaitu Penyakit Hasad Dengki. Namun adakah semua orang memahaminya benar-benar?

Hasad & Dengki sebagaimana yang disebut adalah terdiri daripada dua perkataan iaitu (1) Hasad dan (2) Dengki.

Rasululullah memberitahu kita:
"Tidak ada hasad melainkan dalam dua situasi, iaitu pertama hasad terhadap ilmuan yang menggunakan ilmunya untuk kebaikan dan kedua, hasad terhadap hartawan yang membelanjakan hartanya untuk kebajikan."

Maka hasad juga mempunyai sifat positif.

Jika nukleur boleh digunakan untuk kebaikan, kenapa kita tidak boleh menggunakan hasad untuk kebaikan? Demang fikir cara ini lebih baik daripada kita sibuk mencari jalan menghapuskan hasad dari dalam diri manusia.

Penyatuan Islam

Jika nukleur dan PHD pun ada positifnya, kenapa hanya memandang yang negatif pada UMNO? Kenapa perlu kita buang UMNO?

Mari kita mulakan semula bersama PM yang baru.

Foto:
hiroshima atomic bomb art 1 poplinre flickr.com
www.lian.gov

Thursday, May 21, 2009

Ancaman sebenar




Apakah yang menjadi ancaman sebenar kita? Adakah kerana mempunyai PM yang ditohmah membunuh? Atau kerana adanya pemimpin pembangkang yang sedang menghadapi tuduhan salah laku seks?

Mungkinkah ancaman kita ialah kaum Melayu yang dituduh rasis? Atau kaum Cina yang disyaki menjadi api di dalam sekam? Atau ancaman daripada kaum India yang asyik memberontak kerana tidak berpuas hati?

Bagi Demang, bukan itu yang mengancam negara kita sekarang. Ancaman terbesar rakyat Malaysia ialah tidak bersatu padu.. Lebih tepat lagi, orang Melayu. Tak usahkan berpadu, bersatu pun belum.

Bilakah kita nak bersatu? Adakah kita nak tunggu sehingga musuh berada di depan mata baru nak bersatu?

Kalau dah di peringkat itu, jangan haraplah boleh bersatu. Kalau tak dimulakan dari sekarang, tak dilatih dari awal, apabila berdepan dengan musuh sebenar sudah tentulah masing-masing akan menjaga urat leher masing-masing cuma.

Foto: PRIMAVERA® flickr.com

Wednesday, May 20, 2009

Manusia biasa



Demang tertarik dengan artikel yang ditulis oleh Manzaidi Mohd Amin, Penolong Editor Sinar Edisi Perak, hari ini. Pengalaman beliau selama 25 tahun menjadi wartawan mewajarkan beliau memberikan pandangan terhadap ahli politik di Malaysia, tidak kira pihak pembangkang mahupun kerajaan.

Beliau secara santai menyentuh realiti yang berlaku di Kelantan.

Kenapa Kelantan? Padahal negeri yang paling bergolak sekarang ialah Perak, Selangor, dan Pulau Pinang?

Pada hemat Demang, beliau menceritakan perihal di Kelantan kerana negeri itu sudah lama dikuasai oleh PAS.

Menurut pemerhatian Manzaidi, pada peringkat awal PAS menguasai Kelantan kebanyakan wakil rakyatnya bersikap sederhana.

Hari demi hari, tahun demi tahun, dan penggal demi penggal telah berlalu. Pemimpin PAS juga manusia biasa. Maka sudah ada yang menukar jubah kepada kot. Sudah ada yang menaggantikan serban dengan kepiah dan ada juga yang menanggalkan terus kedua-duanya.

Kalau dulu berkenderaan sederhana, kini sudah berkereta mewah. Malah sudah ada yang berkahwin di luar negara serta terlibat dengan kes cerai berai macam artis. Siap dengan cerita sensasi.

Barangkali ramai yang belum lupa kes pemimpin PAS ditangkap khalwat dengan isteri orang.

Pendekata, apa yang diumpat pada UMNO suatu masa dulu, itu jugalah yang dilakukan oleh PAS kemudiannya.

Mutakhir, budaya rasuah sudah mula berlegar dalam kalangan perwakilan PAS.Sebenarnya ia sudah lebih awal berlaku semasa kempen PRU-12 melibatkan para pengundi luar.

Memanglah semua parti memberi duit tambang kepada pengundi yang pulang ke kampung tetapi jumlah yang diberi oleh PAS agak lumayan dan dipastikan agar melebihi daripada yang ditawarkan oleh UMNO.

Setakat tambang, mungkin boleh dirasionalkan walaupun Demang kurang setuju. Tapi bila Tok Guru kata 'orang bagi kita ambil' maka siapalah Demang untuk menongkah fatwa beliau.

Itu mengenai PAS. Bagaimana agaknya pemimpin PKR 1-2 penggal lagi?

Setakat ini sudah ada MB yang 'bersedekah' dengan duit kerajaan. Sudah ada YB yang menerima 'sedekah' seks. Sudah ada exco yang tidur telanjang dan dikatakan ditemani oleh teman lelaki berbangsa Melayu.

Bagaimana pula dengan media PKR? Kelmarin anak Raja Petra sendiri terlibat dengan jenayah. Tian Chua sendiri mengaku memalsukan gambar Najib.

Demang paparkan di sini bagi kita sedar bahawa pemimpin juga manusia biasa walau memakai lambang yang berlainan.

Pemimpin PAS yang asalnya ikhlas berjuangpun boleh 'lupa daratan'. Inikan pula pemimpin PKR yang asalnya daripada UMNO. Penubuhan PKRpun kerana mempertahankan Anwar Ibrahim yang dipecat dari UMNO kerana salahlaku seks.

Yang kita risaukan, apabila berlaku perubahan, maka prosesnya bukan boleh selesai dalam masa sehari dua. Tidak juga boleh beres dalam masa setahun dua.

Maka ada yang terlajak bicara, berlakulah pertelingkahan. Ada yang terlanjur laku, tercetuslah pergaduhan. Ada yang terlebih aksi, berbalah lagi. Ada yang berdemonstrasi yang boleh mengundang huru-hara.

Fikir-fikirkanlah.

Tuesday, May 19, 2009

Demokrasi ala PR




Demang terima SMS siang tadi bahawa Dr Khir Toyo digantung dari menghadiri sidang DUN Selangor selama SETAHUN. Untuk makluman, speaker DUN Selangor ialah YB Teng Chan Kim.

Lihatlah bagaimana PR menggunakan kuasa mereka. Lihat di Perak. Sivakumar juga membawa rentak yang sama. GANTUNG... GANTUNG... GANTUNG...

Dalam masa yang sama mereka lah yang kononnya memperjuangkan demokrasi.

Kata mereka ISA zalim. Sedangkan mereka? Baru dapat kuasa di negeri sudah bersultan di mata beraja di hati. Bagaimana agaknya jika mereka berkuasa di Parlimen?

Kata mereka, berilah peluang pada PR. Beri peluang? Lihatlah, betapa gelojohnya mereka menggunakan kuasa.

Apabila ditegur ketidakcekapan PR mentadbir Selangor, kata mereka, alaa... baru setahun. UMNO dah perintah 50 tahun.

Lihatlah apa yang telah mereka perbuat selama setahun? Demang tidak maksudkan tentang pembangunan sebaliknya soal moral dan etika demokrasi.

Adakah penggantungan Dr Khir Toyo tersebut menggambarkan semangat demokrasi? Bagaimana mereka melihat hak rakyat yang telah memilih Dr Khir?

Baru SETAHUN.... dah macam-macam yang mereka buat di Selangor dan Perak.

Gelojoh betul.

Setakat ini Dr Khir belum lagi membuat kenyataan di dalam blognya. Namun perkara ini sudah beliau bayangkan sebelum ini dalam blog beliau.

Monday, May 18, 2009

Halal atau Haram?



Omar menutup pintu kereta dengan kemas. Matanya mengerling cermin pandang belakang sekilas bagi memastikan tiada halangan untuk mengundur.

"Semua dah pasang tali pinggang keselamatan?" tanya Omar sambil dia sendiri melekatkan talipinggang keselamatannya.

"Sudah, ayah." Jawab kelima-lima anaknya hampir serentak.

Omar tersenyum sambil memasukkan gear undur.

Tidak lama kemudian kenderaan MPV nasional tersebut sudah berada di jalanraya menuju ke Utara.

Omar lebih gemar melakukan perjalanan di waktu malam. Di samping mengelakkan kesesakan dan cuaca panas, dia mahu semua anaknya tidur sepanjang perjalanan. Jika tidak, mereka akan bergaduh sesama sendiri atau membuat bising. Maklumlah, kesemuanya lelaki dan hampir sebaya.

Proton Exora Omar memasuki pekan Jitra kira-kira jam empat pagi. Kelima-lima anaknya sudah bangun kerana begitu teruja untuk pulang ke kampung. Mulanya hanya seorang yang terjaga, kemudian dikejutkan semua yang lain.

"Eh, kenapa ayah tak berhenti di simpang tadi? Bukankah lampu merah sedang menyala?" tanya Daniel yang belajar di prasekolah.

"Tak apa. Pukul empat pagi mana ada kenderaan lain." Jawab Omar selamba.

"Tambah-tambah pula di pekan kecil ini." Tokok isterinya sambil tersenyum.

Daniel diam sambil menyimpan ajaran baru tersebut di mindanya kejap-kejap. Walaupun sedikit keliru namun pada fikirannya, ayahnya tentulah lebih faham tentang undang-undang. Takkanlah orang yang faham undang-undang mahu melanggar undang-undang.

Itu kisah Omar. Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda bersetuju dengan cara Omar. Adakah anda juga berfikir seperti Daniel yang berusia enam tahun itu?

Seringkali kita menganggap orang alim adalah orang yang betul. Sebenarnya belum tentu. Orang jahil memang sering melakukan kesalahan kerana ia tidak tahu. Namun orang alim juga boleh melakukan kesalahan dalam keadaan sedar.

Malangnya mereka mempunyai banyak alasan bagi menutupinya.

Foto: equitygreen.typepad.com

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)