Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Showing posts with label 1 Malaysia. Show all posts
Showing posts with label 1 Malaysia. Show all posts

Monday, February 15, 2010

Hentikan segera episod Anwar


Ya. Hentikan segera kerana ini bukan sejenis permainan!

Isu Anwar sudah berlarutan lebih 10 tahun. Sudah sampai masanya ia ditamatkan tanpa kompromi.


Jangan perjudikan nasib rakyat dengan membiarkan negara terus tidak stabil Apatah lagi sehingga mengundang campur tangan kuasa asing!

Siapa Anwar? Anwar hanya seorang manusia. Hanya seorang individu. Malaysia tidak akan musnah jika Anwar tiada.

Lebihnya Anwar ialah kerana dia petah dan pintar berpidato. Macam Sukarno.

Namun kepetahan berpidato Sukarno akhirnya tidak ke mana. Rakyatnya terpaksa menyabung nyawa ke negara orang bagi mencari makan. Sekadar untuk menjadi 'bibik' dan 'Mat Indon' di ladang dan tapak binaan.

Pemimpin datang dan pergi. Kita tidak ketandusan pemimpin seperti itu bahkan lebih hebat daripada itu boleh dididik dan digilap. Jangan kita meragukan pertolongan Allah.

Sekarang Allah telah memberikan Najib yang berjiwa kental, tabah, dan bersemangat waja. Keturunan orang baik-baik. Malah nenek moyang beliau adalah pemerintah kerajaan Islam di Sulawesi. Keturunan itu jugalah yang membina semula kesultanan di Tanah Melayu selepas Melaka musnah.

Percayalah; Malaysia tidak perlu bergantung pada Anwar. Bahkan negara akan lebih aman tanpa Anwar.

Sekiranya Anwar menjadi PM, bukan 100% rakyat akan menyokongnya. 70% pun belum tentu. Malah, setakat ini Anwar cuma mempunyai 28 kerusi di parlimen. Kalau dikira peratus, sokongan terhadap PKR cuma ada 12%!

Bahkan, bukan semua YB PKR masih menyokong Anwar sepenuhnya!

Yang Demang paling bimbang ialah Anwar banyak hutang: hutang budi di sana sini!


foto:
Stop It jpg
hahastop.com

Wednesday, February 3, 2010

Najib amal perkauman?


Demang terbaca dalam blog Panglima bahawa terdapat usaha menuduh DS Najib sebagai bersifat perkauman. Alasan mereka ialah pegawai khas PM pernah menyampaikan ucapan yang dianggap berbau perkauman.

Demang pernah mendengar sendiri dari mulut Dato' Ahmad Maslan bahawa DS Najib berpesan sungguh-sungguh kepada beliau selepas dilantik menjadi PM sebagaimana berikut:

kaum cina & India sudah ditakdirkan berada bersama kita di negara ini. Oleh itu kita tidak boleh menyingkir atau menafikan kehadiran mereka.

Maka orang Melayu perlu bermula dari situ. yakni bersama-sama kaum cina dan India memajukan Malaysia.

Dari situlah terbitnya idea 1Malaysia.

Justeru bagi Demang tidak ada sebab untuk menuduh Najib bersifat perkauman. Cuma beliau adalah pemimpin yang konsisten memajukan anak bangsanya sejak dulu.

Adakah memajukan anak bangsa dianggap rasis?

Yang dimaksudkan 'assobiyah' ialah apabila kita mengambil hak kaum lain untuk diberikan kepada kaum sendiri.

Adakah orang Melayu mengambil hak orang lain? Bahkan orang Melayu lah yang memberikan hak mereka kepada kaum lain samada secara perkongsian mahupun 'bagi terus'!

Friday, January 29, 2010

Letupan di pagi Jumaat



Kali ini bukan berlaku di masjid, kuil, atau gereja. Tidak juga berlaku di mana-mana rumah ibadat.

Demang percaya letupan kali ini memang cukup hebat. Gegarannya bakal mencetus tsunami besar. Meskipun sasarannya pada semua rakyat Malaysia namun tempiasnya turut dirasai para pelabur, pekerja asing, dan pendatang tanpa izin.

Bahkan gelombangnya akan menenggelamkan sisa-sisa isu dan polemik bikinan pembangkang.

Demang tersenyum sambil mengucap syukur.

Semoga Program Transformasi 1 Malaysia yang dilancarkan PM bukan sahaja memberikan hasil positif dan dinikmati sekalian rakyat malah akan menjadi tsunami yang akan membersihkan pengacau-pengacau di negara kita.

" Kerajaan tidak akan berhenti sehingga rakyat boleh melihat, menyentuh, dan mengalami penambahbaikan kehidupan mereka." Najib Razak, semasa pelancaran.

"Saya percaya GTP satu pendekatan baru yang cukup inovatif dengan memberi tumpuan kepada enam bidang utama dan ia pasti menarik perhatian rakyat untuk lebih tahu." Tun Mahathir, semasa pelancaran.

Tugas kita adalah bersatu dan bekerja bagi merealisasikan program tersebut.

Tugas pembangkang pula ialah membangkang, maka pedulikan sahaja mereka. "Dah memang kerja depa!"


Foto:
Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan buku Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan 1Malaysia kepada mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi dan Tun Dr. Mahathir Mohammad selepas pelancaran Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan 1Malaysia di KL Convention Centre, Kuala Lumpur, semalam. – sumber utusan/Shaifudin Mohd. Nor


foto kecil di atas hanya hiasan:
transformers 2 ...n4 jpg
syedkhalil.com

jangan dibantah pepatah orang tua


Berat sama dipikul ringan sama dijinjing

"yang berat sama dipikul, yang ringan tak payahlah dijinjing. Bawa je sorang-sorang." kata ipar Demang.

"takpe. Yang ringanpun jinjinglah sama-sama." ibu mertua Demang bertahan.

"Pepatah orang tua-tua tak usah diubah." Demang mmenyampuk.

Demang bukan sengaja nak membela mertua tetapi memang pendapat itu benar. Maksud Demang, pepatah lama sebenarnya mempunyai maksud yang dalam. Maklumlah, pepatah-pepatah tersebut telah melalui jarak masa yang panjang. Pepatah-pepatah itu telah teruji dan dimatangkan dengan jutaan pengalaman.

Justeru kita yang baru berumur 20-80 tahun tidak cukup layak untuk mencabar keesahan sesuatu peribahasa.

Kita boleh mencipta peribahasa baru tetapi ia mungkin akan popular selepas kita mati sebab ia perlukan masa untuk diuji.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing tercatat dalam sejarah berjaya menyatukan puak-puak Arab daripada berbalah. Pasti ramai yang masih ingat peristiwa selepas banjir besar di kota Mekah sebelum Muhammad dilantik menjadi Rasulullah.

Perbalahan mula berlaku di kalangan ketua-ketua puak mengenai hak untuk meletakkan semula 'hajar aswad' ke tempatnya.

Akhirnya mereka sepakat untuk melantik Muhammad (SAW) bagi membuat keputusan.

Akhirnya Muhammad (SAW) mengambil sehelai kain dan meletakkan 'hajar aswad' di tengah-tengahnya. Ketua-ketua kabilah memegang bahagian tepi kain dan mengusung 'hajar aswad' bersama-sama.

Semua pihak berpuas hati dengan keputusan yang bijaksana tersebut.

Salam satu Malaysia.


foto hiasan (terima kasih)
memikul dosa sendiri KRJ Melaka flickr.com

Thursday, January 28, 2010

Beza durian dengan labu



Mujur setakat ini isteri Demang tidak mengidam yang bukan-bukan sepanjang kehamilannya. Paling-paling pun cuma durian.

Sekarang ni durian dah tak bermusim lagi. Tak macam semasa Demang kecil-kecil dulu. Setahun sekali sahaja dapat merasa durian. Itupun cuma sedikit. Maka bagi memuaskan tekak, durian dimakan bersama nasi atau pulut yang digaul gula Melaka, berkuahkan santan. Kecur air liur dibuatnya.

Bentuk fizikal luar durian berduri-duri, tetapi di dalamnya berpangsa-pangsa. Ulas-ulas durian yang lembut berwarna putih atau kuning 'tidur nyenyak' di dalamnya menanti sentuhan sang empunya. Sebab itu ada gelaran 'kucing tidur' untuk ulas durian tertentu.

Berbeza dengan labu. Biarpun di bahagian luar sebiji labu terlihat pangsa-pangsa namun apabila dibelah, pangsa-pangsa tersebut tidak berpenghuni. Meskipun warna isinya juga kekuningan namun jika isteri anda mengidam, jangan sekali-kali digantikan dengan labu. Nanti rajuknya panjang membawa ke malam.

Semalam, si Azmin Ali memukul gendang ke seluruh negara mengatakan dia mempunyai maklumat bahawa terdapat pemuda UMNO terlibat dalam kejadian membakar gereja. Maka para blogger picisan pun heboh mencanang secara besar-besaran.

Bagi Demang, apa nak dihairankan jika terdapat orang UMNO yang terlibat? Sebagaimana yang Demang tulis semalam, siapapun yang terlibat membakar gereja atau meletakkan kepala babi di masjid mereka tidak boleh didakwa sebagai mewakili kaum atau penganut agama tertentu.

Penjenayah tersebut sekadar mewakili diri sendiri yang gagal mengawal emosi. Tangkap dan jatuhkan hukuman setimpal, habis cerita. Tak perlu nak dipolitikkan.

Kenapa parti PAS tidak ditangkap polis apabila seorang blogger PAS menderhaka pada sultan? Itu menunjukkan kerajaan bersikap rasional dengan mengambil tindakan hanya terhadap individu yang terlibat sahaja.

Demang ceritakan tentang durian dan labu kerana melihat Azmin hanya seperti sebiji labu yang luarnya nampak berpangsa tetapi di dalamnya kosong.

Masih ingat dakwaan-dakwaan Azmin tentang pelbagai bukti yang terisi dalam beberapa peti rahsia? Akhirnya semuanya dusta! Mana perginya peti-peti yang dicanangkannya dulu sebagai rahsia besar?

Habuk pun tarak!

Lain kali, jika makan sayur labu, ingat-ingatlah pada Azmin Ali.

foto:
durianfruit jpg freerangegourmet.com
Labu jpg hanieliza.fotopages.com

Wednesday, January 27, 2010

4 kepala babi di masjid


"KPN sahkan 4 kepala babi bersama wang diletak di Masjid Imam At-Tirmizi Seri Sentosa dan Masjid Jumkuriah Taman Dato' Haron awal pagi tadi."

Itu berita yang Demang terima lewat SMS sebentar tadi.

Siapakah yang melakukannya? Barangkali itulah antara soalan yang berlegar dalam kepala ramai rakyat Malaysia sebaik mendapat berita ini. Lantas banyaklah spekulasi yang dibuat. Orang bukan Islam kah? orang Islam sendirikah? Atau musuh negara yang cuba mengambil kesempatan?

Bagi Demang, soalan yang elok ditanya ialah adakah perbuatan tersebut dilakukan oleh semua penganut sesuatu agama? Contohnya, jika orang Kristian yang melakukan, adakah semua orang Kristian atau majoriti penganut Kristian di negara kita?

Tentulah mustahil semua penganut agama tersebut melakukannya. Malah Demang yakin penjenayah tersebut tidak mewakili mana-mana kelompok atau agama mahupun kaum. Mereka mewakili diri mereka sendiri yang gagal mengawal emosi. Kegagalan mengawal emosi sendiri diambil kesempatan oleh pihak yang ingin melihat Malaysia kucar kacir dengan menghasut mereka bertindak liar.

Ingat, LIAR adalah istilah yang kita gunakan untuk HAIWAN, bukan manusia.

Tidak lama lagi Demang akan menimang cahaya mata lagi. Demang tidak mahu anak-anak Demang tinggal di sebuah negara seperti Palestin atau Iraq atau Afghanistan.

Demang percaya, semua rakyat Malaysia pun demikian juga. Maka mari kita jaga negara kita bersama-sama berdasarkan perlembagaan, bukannya berdasarkan perasaan.

Salam Satu Malaysia.

Sunday, January 17, 2010

Kerajaan 3 beranak


Pagi minggu ini Demang menghabiskan masa mengemas meja kerja, bilik bacaan, dan stor. Tiba-tiba terjumpa akhbar lama Buletin Rakyat bertajuk 'Kerajaan 3 Beradik'. Ia merujuk pada UMNO di N. sembilan.

Selain ungkapan 3 beradik, isu 'bateri 3A' pernah menjadi bahan berita yang melibatkan parti sosialis PKR di peringkat pusat. Kebanyakan keputusan didominasi 3 orang iaitu Anwar, Azizah, dan Azmin. Ia bukan isu kecil kerana ramai pemimpin kanan yang meninggalkan parti itu atau meletak jawatan kerana tidak puas hati.

Padahal parti itulah yang ketika ditubuhkan dulu berteriak tentang kronisme & nepotisme.

1-2 minggu ini media utama memaparkan pula isu 'kerajaan 3 beranak' yang berlaku di Kelantan. Selepas rakyat tergamam dengan tindakan Nik Aziz melantik menantunya, meletus pula kes kerugian 50 juta syarikat berkenaan.

Dalam pada itu, anakanda Tok Guru sendiri mengaku dilantik dalam dua jawatan syarikat atas kuota politik. Kini hendak meletakkan jawatan. Demang fikir itu hak Nik Abduh. Beliaupun kini sibuk dengan perniagaan sendiri sehingga blogpun jarang dikemaskini.

Demang faham asas lantikan tersebut malah bersetuju dengan pendapat Nik Aziz bahawa Rasulullah juga melantik menantu dan sepupunya. Namun kenapa dulu beliau mengecam UMNO yang melakukan demikian?

Sebagaimana yang Demang selalu tulis, mana-mana parti pun sama sahaja. Maksud Demang, para pemimpinnya.

Bezanya, ada orang politik yang berpakaian biasa dan ada yang berjubah dan berserban.

Berjubah dan berserban itu bagus, tapi bila dah pandai ikat serban jangan pandang senget pada orang lain. Cubalah ubah pendekatan dakwah sesama Islam. Menuduh kafir orang Islam itu haram hukumnya.

Kepada rakyat Malaysia, jangan dek ghairah dengan sesuatu yang belum tentu lantas kita buang semua yang ada.

Kata orang tua-tua, dengar guruh di langit air tempayan dicurah jangan. Takut-takut yang dikejar tak dapat yang dikendung berciciran.

Maksud Demang, mari kita bina dan susun semula masyarakat kita dengan cara berhemah. Usahlah kita terlalu berpolitik dan ghairah untuk mengubah kerajaan sedia ada.

Demang sedar, kerajaan sekarang ada kelemahannya namun keistimewaannya pun banyak. Mari kita mulakan dengan keistimewaan yang ada dan baiki kelemahan yang dapat kita kesan.

Hati mau baik, be...

Foto sekadar hiasan:
title img jpg
isetanbeauty.ne.jp

http://morhabshi.blogspot.com

Saturday, January 9, 2010

bakar gereja, bakar surau, bakar diri


Di celah isu gereja terbakar dan siang tadi sebuah surau juga dilontar bom api, Demang terima berita ini pula:

Ibu tujuh anak bakar diri depan rumah di Nibong Tebal jam 4 pagi tadi kerana kecewa dengan anak perempuan berusia 15 tahun yang degil. (BH 09/01).

Demang percaya ramai yang geleng kepala membaca berita di atas. Betapa mudahnya membuat keputusan dan mengambil tindakan hanya dek sebuah masalah.

Padankah tindakan tersebut dengan masalah yang dihadapi?

Jangan diheran sangat sebab seorang manusia boleh bertidak di luar kewarasan termasuk membunuh datuk, nenek, bapa, dan adik sendiri sebagaimana yang berlaku di Gemenceh 2-3 hari lepas.

Itu sebabnya kita tidak boleh terlalu bergantung pada seorang manusia biar betapa hebatpun dia.

Itulah sebabnya juga kenapa kita merombak sistem raja berkuasa mutlak yang diamalkan ratusan tahun kepada sistem raja berperlembagaan.

Demikian jugalah halnya PM kita semasa membuat keputusan dan mengambil tindakan. Bukan beliau seorang yang berfikir, mengumpul maklumat, dan bertindak. Di sebalik sebuah keputusan, terdapat ramai pakar-pakar yang turut terlibat secara profesional.

Maka dalam isu kalimah Allah inipun, patuhilah nasihat PM kita kerana beliau tidak memerintah seorang diri.

Foto hiasan:
me burning in my own
Nipun Tantia flickr.com

Tuesday, January 5, 2010

PR membentuk kerajaan


Mari kita buat analisis secara berani dan terbuka. Sekiranya PR berjaya mengenepikan BN dalam PRU13, bagaimanakah senario pentadbiran negara?

Sebelum itu Demang mohon maaf kepada pengunjung bukan Melayu. Bukan Demang sengaja hendak menyinggung perasaan kalian. Demang cuma risaukan kesan percaturan politik hari ini terhadap keharmonian negara kita.

Kita berbincang secara terbuka dengan melihat pada realiti yang ada.

Jika PR berkuasa siapakah yang akan menerajui kerusi eksekutif yakni sebagai PM? Apakah Anwar Ibrahim akan diterima ahli PAS yang sekian lama ternanti-nanti kepimpinan ulama? Tegakah 'ahli PAS seumur hidup' berPMkan bekas ahli UMNO yang pernah memainkan peranan besar dalam mencorak lagak dan penampilan orang UMNO?

Lagak dan penampilan? Ya. Kemasukan Anwar ke dalam UMNO dan dalam perjalanan beliau mendaki tangga ke kerusi nombor dua UMNO telah mempengaruhi kulit, wajah dan tubuh ahli UMNO. Bahkan rohnya juga. Malah gaya elit dan eksklusif yang diusung sebahagian besar orang UMNO sekarang adalah pengaruh yang diterapkan Anwar serta panglima-panglimanya suatu masa dahulu. Itulah karektor yang amat dijengkelkan orang PAS.

Ingat, Anwar bukan sekejap di dalam UMNO.

Katakanlah Anwar diterima juga oleh penyokong PAS secara terpaksa demi menyingkirkan UMNO. Siapakah yang akan dipilih menjadi TPM? Adakah Haji Hadi atau Nik Aziz? Apa pula jawatan untuk pemimpin DAP? Mahukah DAP sekadar menjadi menteri biasa? Ataukah kita perlu mempunyai dua atau tiga TPM mewakili kaum-kaum utama?

Perlu diingat dalam PRU12, DAP mempunyai paling banyak kerusi, kedua PKR manakala PAS yang terakhir. Penting juga diambilkira betapa kerusi yang dimiliki orang Melayu dalam PKR juga cuma seciput.

Jadi, di manakah orang Melayu dalam PR? Suara siapakah yang akan didengar oleh PM yang mereka lantik?

Bagaimana pula jika Anwar tidak sempat menjadi PM? Ada banyak kemungkinan tentang itu. Selain kes liwat yang akan dibicarakan tidak lama lagi, soal ajal maut juga perlu diambil kira.

Adakah DAP akan memilih PAS yang mempunyai kerusi minoriti?

Tulisan Demang sebelum ini membincangkan rakyat Malaysia terbahagi dua: orang Melayu berada dalam kelompok kerajaan manakala orang bukan Melayu di pihak pembangkang. Tidakkah ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran kerajaan bermaksud ketidakmampuan orang Melayu dalam pentadbiran?

Jika demikian, keputusan PRU12 disusuli beberapa isu mutakhir dalam negara dilihat sebagai bukti bahawa orang Melayu gagal menjadi pentadbir. Maka Demang melihat gerakan yang bermula sebelum PRU12 ialah usaha menjadikan Malaysia sebagaimana Singapura: orang Melayu perlu menyerahkan kuasa politik kepada kaum lain!

Jika itu terjadi, bagaimanakah nasib orang Melayu? Ramai juga orang Melayu berpendapat orang Melayu tidak akan rugi apa-apa. Mungkin itu pendapat minggu lepas, iaitu sebelum mahlamah Tinggi membenarkan kalimah Allah digunakan oleh penganut Kristian.

Bagaimana pendirian anda sekarang? Masih mahu bermain api?

Keputusan hakim tersebut memberi pengajaran bahawa pentafsiran terhadap perlembagaan boleh berbagai-bagai bergantung pada siapa yang membacanya.

Maka Demang bersetuju dengan pendapat Tun Salleh Abas bahawa roh perlembagaan perlu dilihat sama selain mentafsir teks yang tersurat.

Monday, January 4, 2010

kalimah 'Allah': KDN fail rayuan


Berita yang baru Demang terima, KDN petang ini memfailkan rayuan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah "Allah" dalam akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly.

Bagi Demang isu ini merupakan rentetan keputusan PRU12.

PRU12 menyaksikan kaum Melayu masih menjadi majoriti dalam BN (melalui UMNO) manakala kaum Cina dan India berpaling ke pihak pembangkang yang ditunjangi DAP dan PKR (lihat keputusan PRU12). PAS sekadar memiliki 23 kerusi parlimen.

Justeru lanskap politik menyaksikan betapa orang Melayu mewakili kerajaan manakala orang bukan Melayu menguasai pembangkang.

Itu sebabnya apabila dikatakan kelemahan kerajaan, maka maksudnya ialah orang Melayu gagal menjadi pentadbir yang baik.

Malah ada orang Melayu yang secara sinis membandingkan Malaysia dengan Singapura. Itu belum dikira kerajaan negeri yang menjadikan Singapura sebagai mentor.

Walaupun orang Melayu hanya segelintir di dalam barisan pembangkang sedang majoriti masih di pihak BN namun hakikatnya kuasa Melayu sudah terpecah dua. Hal ini amat disedari oleh bukan Melayu dan akibatnya beberapa pihak mengambil kesempatan menangguk di air keruh. Golongan ini tidak ramai namun mereka licik mengambil peluang yang ada.

Demang katakan 'licik', bukannya 'cerdik'. Hal ini kerana tindakan mereka ibarat bermain dengan api. Mereka tidak sedar betapa sifat api itu 'kecil menjadi kawan manakala besar menjadi lawan.' Apakala api sudah semakin marak maka ia akan membakar apa sahaja termasuk diri sendiri.

Sementara itu Demang baca kenyataan Dr Shamharayu Abd Aziz daripada UIA yang disiarkan dalam blog Penghuni Gua. Beliau menjelaskan maksud Perlembagaan Perkara 3(1) Ayat itu menyebut dengan jelas bahawa Islam adalah agama persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan 'aman dan damai'.

Menurut beliau formula 'aman dan damai' harus dihayati semangatnya oleh mahkamah dalam membuat keputusan.

Demang tertarik dengan analogi yang diberikan iaitu ibarat mahkamah memberikan kebenaran kepada seorang suami untuk berpoligami sedangkan isterinya tidak merelakan sepenuhnya. Si suami berjaya melangsungkan perkahwinan tetapi adakah keharmonian keluarganya akan berkekalan?

Demang amat berharap rayuan yang dikemukakan KDN terhadap keputusan Mahkamah Tinggi akan diberi pertimbangan sewajarnya berdasarkan prinsip 'aman dan damai' yang disebut dalam perlembagaan.

foto:
justice jpg
novo.ca

Friday, January 1, 2010

kalimah Allah: istilah atau akidah?


Menjadi orang Melayu di negara ini kena tahu beralah. Menjadi orang Islam di bumi bertuah ini kena banyak bersabar. Maka menjadi orang Melayu yang beragama Islam di Malaysia ini mesti pandai beralah dan bersabar.

Menjelang 31 Ogos 1957, orang Melayu akhirnya beralah dengan membenarkan pekerja-pekerja yang dibawa masuk oleh British menjadi warganegara. Mendapat taraf kerakyatan bererti mendapat semua keistimewaan yang sebelum itu hanya dimiliki orang Melayu.

Menjadi warganegara ertinya mempunyai hak untuk memilih dan dipilih menjadi pemimpin negara, bukan sekadar pemimpin kaum sendiri. Justeru orang Melayu beralah lagi dengan memberi peluang kepada pemimpin bukan Melayu menjadi wakil rakyat di kawasan petempatan majoriti Melayu.

Malah sehingga PRU12 (2008) masih banyak kawasan Melayu diberi kepada pemimpin bukan Melayu. Jika menggunakan demokrasi tulen, orang India tidak mungkin boleh menjadi wakil rakyat. Malah orang Cina juga sukar dilantik menjadi menteri kerana di kawasan bandar selalunya DAP akan menang sedangkan parti itu bukan komponen BN yang merupakan kerajaan pusat.

Semalam Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah di gereja. Maka orang Melayu kena beralah lagi. Orang Islam kena bersabar lagi.

Selepas ini kita perlu sambung kalimah Allah dengan tambahan 'Taala' atau 'Subhanahu Wa Taala'.

Cuma Demang bimbang anak cucu kita nanti bertanya: "Jika Allah itu tuhan bagi orang Islam dan orang Kristian, siapa yang Allah lebih sayang?"

Jadi, apa tindakan kita sekarang? Mahu beralah atau menentang? Jika berperang, menang jadi abu kalah jadi arang. Silap-silap negara terjajah dan akidah anak cucu akan jadi seperti di Sepanyol selepas kerajaan Andalusia tumbang.

Jika diikutkan sahaja, nanti akan ada polemik antara masjid dan gereja iaitu adakah Allah itu satu (Ahad) atau 3+1 (trinity)?

Kenapalah orang kristian di Malaysia tidak mahu meletakkan ketenteraman, keamanan, dan kedamaian negara sebagai satu keutamaan? Kenapa perkara yang bukan menjadi isu di negara lain cuba dijadikan isu di Malaysia?

Demang tidak fikir polemik ini boleh menguntungkan penganut Budha dan Hindu di Malaysia kerana jika berlaku huru hara, tidak ada siapa yang akan untung.

Demang menyeru seluruh rakyat Malaysia agar mengambil perlembagaan dari segi semangatnya, bukan setakat tulisannya.

Lihatlah di Palestin. Apabila Yahudi menyembelih orang Arab, mereka tidak peduli samada orang arab itu Islam atau Kristian!

Demang tetap berpendirian sebagaimana surah Al-Ikhlas dan Al-Kafirun dalam Al-Quran.

Orang bukan Islam perlu faham dan menghormati pegangan orang Islam bahawa Allah itu satu (esa) sedangkan konsep tuhan dalam kristian amat berbeza.

Bagaimana jika kita katakan "jika itu kereta, maka ini juga kereta" padahal yang kita tunjukkan itu nyata sebuah lori!

foto:
kamal uddin in ...ig jpg
freewebs.com

Thursday, December 31, 2009

UMNO vs PAS sama saja, no...


Hari ini 31/12/2009. Sebagai penutup (agaknya) kategori berita besar tahun 2009 ialah kerajaan Kelantan dikehendaki membayar 800 juta kepada sebuah syarikat pembalakan.

Sepatah komen seorang teman: ”nampaknya sama sahaja samada BN atau PAS.”

Jika Bung Mokhtar (UMNO) ’melarikan diri’ untuk berbulan madu ke Eropah bersama isteri barunya, Dr Rosli (PAS) berjaya melarikan diri bersama isteri barunya daripada kepungan keluarga mertua.

Bezanya Bung Mokhtar pergi dengan ceria manakala Dr Rosli... wallahu’alam.

Tentulah tidak salah beristeri lebih daripada satu asalkan mengikut prosedur sepatutnya. Bahkan bagi seorang pemimpin besar, beristeri lebih daripada satu adalah budaya (kalaupun bukan fitrah) manusia sejak ribuan tahun.

Justeru Demang hairan apabila ada yang memandang sinis perihal sultan mempunyai isteri selain permaisuri.

Demang bukan nak berbicara soal poligami, cuma nak ingatkan bahawa jika kita belum berada di tempat itu, jangan berlagak angkuh mengatakan kita tidak akan melakukannya. Dan jangan menempelak orang lain sebagai ’jahat nafsu’.

Esok, fajar 2010 ’kan menyinsing. Semoga pertambahan usia turut manambahkan kematangan kita dalam berfikir.

Mari kita berfikir dalam paradigma 1 Malaysia.

Kepada semua pengunjung tetap, pengunjung sekali sekala, mahupun tetamu baru Waadat, Demang ucapkan selamat menyambut tahun 2010.

foto hiasan:
memerang15 jpg
harunyahya.com

Wednesday, December 30, 2009

Menguasai ICT, dikuasai pemilik ICT


Hari ini, anda boleh menaip satu perkataan di dalam engin carian internet dan segera dipaparkan dengan jutaan maklumat.

Hari ini juga anda boleh menaip lokasi pada alat GPS anda dan mesin tersebut akan memandu anda sampai ke destinasi yang dikehendaki.

Kunci utama kecanggihan ini ialah ILMU dan MAKLUMAT.

Bukan Bill Gates seorang yang mengetahui bahawa ilmu pengetahuan dan maklumat itu penting. Bahkan beliau sendiripun diberitahu oleh orang lain. Bezanya, Bill Gates bersikap positif dan bertindak proaktif.

Ummat Islam pula sudah dimaklumkan Rasulullah sebaik Baginda menerima wahyu pertama iaitu Iqra' - 'bacalah'. Maka, bacalah.

Seruan di atas mungkin tidak sesuai Demang tujukan kepada anda memandangkan anda memang gemar membaca. Jika tidak, masakan anda membaca tulisan ini.

Kita berkongsi pendapat.

Membaca adalah proses memasukkan maklumat ke dalam minda dan dicerna sebagai satu pemikiran. Hasilnya dijelmakan dalam bentuk tindakan.

Dalam filem Laksamana Doremi, Menteri Pasola berjaya dibunuh setelah laksamana doremi mendapat maklumat bahawa menteri tersebut akan mati apabila tapak kakinya dicucuk bambu runcing.

Maka diungkapkan satu kenyataan bahawa sesiapa yang menguasai maklumat maka mereka berupaya menguasai orang lain.

Jika demikian, tidakkah negara yang memegang maklumat juga mampu menguasai negara lain? Lihatlah, negara mana yang memegang kunci bank maklumat dunia?

Di mana pula kedudukan kita hari ini, khususnya ummat Islam. Begitu juga warga negara Malaysia yang bukan Islam. Adakah kita masih mahu terus-terusan betelingkah dan berbahas soal siapa yang Islam siapa yang kurang Islam atau siapa yang terkeluar daripada Islam dengan sejemput ilmu yang kita miliki? Ikhlaskah kita menghukum tanpa dipengaruhi emosi dan persepsi sendiri?

Saat ini setiap pergerakan kita dipantau rapat melalui pelbagai teknologi canggih. Lihat sahaja GPS yang mampu mengekori ke mana sahaja kita pergi. Di atas sana satelit-satelit bertugas 24 jam sehari dan setiap detik menghimpun maklumat serta menyalurkannya kepada tuan-tuan mereka.

Kita? Masih sibuk bercakaran sesama sendiri dan terpesona dengan janji demokrasi, liberalisasi, globalisasi dan sebagainya.

Foto:
satellite track...ti jpg
spaceplace.jpl.nasa.gov

Tuesday, October 20, 2009

Dato' untuk Afdlin Sauqi.


Setelah sekian lama kehilangan cuti, maka baru-baru ini Demang dapat berehat bersama keluarga di hujung minggu. Itupun setelah membatalkan kehadiran dalam satu program.

Bermula pagi Sabtu kami mengunjungi tiga majlis perkahwinan sebelum singgah membeli perabot kecil di sebuah kedai. Selepas Maghrib, kami menghabiskan dua jam di pusat bowling antarabangsa melayan anak-anak. Untuk makluman, Demang handal jugak bermain guli dan 'baling tin' masa kecik-kecik dulu. Jadi tak lah susah sangat bermain bowling.

Selepas Isya', keluar lagi. Kali ini untuk menonton filem terbaru Adlin Syauqi: Papadom. Walaupun tayangan tengah malam namun banyak keluarga yang turut menonton bersama kami. Ternyata kepenatan berjaga hingga dinihari memang berbaloi.

Tahniah Adlin Syauqi yang berjaya menukarkan RM28 kami menjadi satu pengalaman yang menyeronokkan, sekaligus merapatkan lagi hubungan kami sekeluarga.

Demang tertarik dengan babak ketika Saadom (Papadom) dan rakan-rakannya ingin menubuhkan syarikat kerjasama yang terdiri dari Melayu, Cina, dan India. Secara berseloroh mereka berkata bahawa usaha mereka itu boleh melayakkan mereka mendapat anugerah Dato' Seri kerana ia suatu usaha perpaduan (1 Malaysia).

Demang fikir Adlin Sauqi memang layak menerima anugerah tersebut (selain Suhaimi Baba) berbanding beberapa artis/penyanyi lain yang sekadar menumpang tuah bakat semulajadi. Apatah lagi penyanyi yang pernah memperolehi kebahagian dengan memusnahkan rumah tangga orang lain.

Demang fikir panel pemilih anugerah perlu lebih peka.

Cuma satu Demang nak tegur: babak kemesraan anatara suami isteri lebih baik dilakukan tanpa sentuhan melainkan jika pelakonnya memang suami isteri di luar filem. Sebagai seorang pengarah yang kreatif saudara Adlin tentu dapat mencari kaedah lain bagi memperlihatkan kasih sayang suami isteri melalui tanpa melibatkan sentuhan.

Teruskan berkreatif, (Dato') Adlin Sauqi.

foto:
papadom and few other special
temptationmak... flickr.com

Tuesday, October 13, 2009

1 Malaysia: Kembali Bersatu


Dalam suasana kemeriahan meraikan kemenangan BN di Bagan Pinang semalam, terbit satu ulasan yang cukup sederhana dari mulut DS Najib: '...sebagai peniup semangat'. Demang rasa terharu.

Lebih terharu lagi Demang apabila melihat kenyataan-kenyataan beberapa pemimpin Cina dan India yang dengan lembut menyatakan komitmen mereka terhadap masa depan Barisan Nasional.

Nampaknya kaum India sudah kembali ke landasan yang betul. Empat peti undi daripada empat buah ladang di kawasan Bagan Pinang membuktikan kenyataan Demang ini.

Kini kita perlu menanti MCA pula menyelesaikan masalah mereka. Bersabarlah dan berikan sokongan kepada kaum Cina menyusun semula pergerakan mereka.

Nampaknya usaha DS Najib menerajui 1 Malaysia sudah menampakkan hasil. Bagan Pinang menyedarkan kita betapa 1 Malaysia amat perlu direalisasikan untuk kebaikan sekalian rakyat Malaysia.

Tiba-tiba Demang teringat pada Anwar dan terasa belas di hati. Apakah yang sedang bermain di fikirannya sekarang?


foto: Malaysian
skmm.gov.my

Thursday, October 1, 2009

Sampaikan salam


Semalam Demang berkesempatan berdialog dengan seorang anak muda dalam chatrol BPN. Demang puji sikap prihatin beliau terhadap politik negara walaupun cenderung pada pembangkang.

Memang ramai anak muda (sejak dahulu kala) bermula dengan pembangkang, kemudian mula berubah apabila semakin matang. Maklumlah, darah muda. Di akhir perbualan Demang berkirim salam kepada teman-temannya, sekadar berbasa-basi dan bagi menunjukkan kemesraan. Lagipun adat berkirim salam memang dianjurkan serta diamalkan dalam Islam.

Namun Demang agak hairan apabila anak muda tersebut enggan membawa pesanan tersebut dengan alasan amanah tersebut amat berat. Memang berat dan Demang bukan nak pertikaikan keengganan anak muda tersebut kerana itu haknya. Malah mungkin Demang juga silap kerana sasaran salam itu terlalu umum. Teruklah beliau untuk menyampaikan salam Demang kepada setiap rakannya.

Namun Demang beri beliau jalan keluar iaitu dengan mengucapkan ’insya-Allah’. Begitu yang diajarkan guru Demang dulu. Namun beliau tetap enggan menerima amanah tersebut.

Demang terfikir satu perkara; kita sering terkilan apabila orang lain enggan menjaga hati kita tetapi dalam masa yang sama kita langsung tidak fikirkan perasaan orang. Apa salahnya dan apa susahnya untuk berkata ”insya-Allah?” kemudian berusahalah untuk menunaikannya? Padahal Demang cuma ingin mendekati rakan-rakannya. Tentulah bukan semua. Beberapa orang pun dah kira ok. Bukankah ramai kalangan kita yang sedang ghairah mengumpul kenalan melalui Facebook? Kebetulan Demang juga salah seorang daripada mereka.

(www.morhabshi.com)
foto hiasan Shakehand jpg
lebuy.blogstarz.my

Friday, September 25, 2009

kuda, diperkuda, kekuda


Soalannya:
Antara ketiga-tiga perkataan di atas, yang manakah haiwan dan yang manakah mempunyai ciri-ciri haiwan?

Kisahnya begini:
Menziarahi atau diziarahi semasa perayaan secara berkelompok memang seronok. Ia menambah meriah lagi suasana. Apatah lagi jika masing-masing sudah lama tidak bersua.

Selain beraya dengan pakaian baru, kereta idaman, dan HP canggih, seperkara lagi yang Demang perhatikan ialah terdapat keluarga yang turut membawa pembantu rumah ketika beraya.

Elok tu, memanglah elok. Cuma Demang lihat ada pembantu rumah yang datang dengan pakaian yang tak sepatutnya dipakai semasa perayaan. Lebih tepat lagi memakai pakaian lusuh.

Malah mereka langsung tidak dilayan seperti saudara Islam yang berhak meraikan perayaan terbesar ummat Islam ini bersama-sama kita.

Soal kerja usah dikira lagi. Jika tetamu ramai di rumah maka kelam kabutlah si pembantu melakukan semua kerja. Selain menguruskan hidangan, sibuk pula dengan karenah anak-anak majikan.

Tidak cukup dengan itu terpaksa pula menguruskan keperluan keluarga adik beradik majikan. Pendek kata, ketika semua ummat Islam menyambut aidil fitri yang mulia, para pembantu rumah bukan sahaja tidak dapat pulang ke kampung halaman bagi merayakannya malah cuti pun tidak diberi.

Bagaimana dengan elaun tambahan atau bonus hari raya? Jika kerajaan yang melakukannya pada kita sudah pastilah ramai yang mengundi pembangkang sebagaimana dibuktikan dalam PRU
12.

Bagi Demang jika pembantu rumah diperkuda, maka majikan adalah kuda, manakala kita yang sekadar melihat umpama kekuda.

::::::::::::::::::::::::::::::
Ada baby? Klik sini

foto hiasan: horse
SMB(spiderman... flickr.com

Tuesday, August 18, 2009

Di sebalik Merdeka


31 Ogos 1957 adalah sempadan masa. Sebelum itu British yang berkuasa. Apabila ketetapan telah dibuat untuk merdeka, maka perlu ditentukan siapakah yang akan menghuni negara yang bakal merdeka itu.

Maka raja-raja menetapkan semua orang Melayu secara automatik menjadi rakyat negara baru ini. Manakala orang lain yang bukan Melayu boleh membuat pilihan samada untuk terus menetap sebagai warga bumi bertuah ini atau kembali ke wilayah masing-masing.
Justeru sebahagiannya berikrar untuk kekal manakala sebahagian lagi kembali ke tempat asal.

Persoalannya, siapa yang dimaksudkan dengan orang Melayu?

Setelah disepakati, maka didefinisikan bahawa yang dikatakan Melayu itu ialah orang yang bertutur dalam bahasa Melayu, beragama Islam, dan mengamalkan adat budaya Melayu.

Pernyataan tersebut direkodkan dalam perlembagaan bahawa sesiapa yang mempunyai ciri-ciri tersebut diisytiharkan sebagai orang Melayu.

Diisytiharkan juga bahawa sultan-sultan adalah ketua bagi negeri mereka manakala dalam kalangan tersebut akan digilir menjadi Ketua Negara bergelar Yang Dipertuan Agong.

Sistem pemerintahan yang digunakan ialah Demokrasi Berparlimen Raja Berperlembagaan.

Apabila disebut demokrasi maka semua orang tahu bahawa salah satu cirinya ialah semua orang akan dilayan dengan adil dan samarata. Setiap orang akan mendapat hak yang sama.

Ingat. Kunci pada ayat di atas ialah SETIAP ORANG.

Namun ketika di awal kemerdekaan, orang Melayu hanya mempunyai 0.2% dalam ekonomi negara. Alangkah daifnya. Berapakah setiap orang Melayu akan dapat jika dibahagikan harta 0.2% itu?

Maka DEB dilancarkan. Itupun setelah orang Melayu tidak lagi boleh bersabar. Maka dalam DEB, orang Melayu-Bumiputra diperuntukkan 30% kuota. Orang Melayu bersyukur walaupun mereka sepatutnya mendapat peruntukan yang lebih kerana mereka adalah rakyat asal dan merupakan penduduk majoriti.

Setelah 20 tahun DEB dilaksana, orang Melayu-Bumiputra yang kini mewakili 66.6% warga Malaysia berjaya memegang 18% ekuiti negara.

Walaupun tidak diberikan 66.6% sebagaimana sepatutnya; walaupun 30% yang diperuntukkan belum terlaksana; DEB tetap ditamatkan.

Kemudian diperkenalkan DPN; itupun diungkit siang-malam.Demang kisahkan semula sejarah di atas bukan hanya kerana bulan ini kita menyambut Hari Kebangsaan tetapi kerana tersentuh melihat seorang anggota polis yang dtempeleng oleh seorang pemimpin berketurunan India dalam berita perdana malam tadi.

Demang teringat betapa itulah bangsa yang pernah merayu untuk menjadi rakyat negara ini lebih setengah abad yang lalu.

Demag teringat itulah keturunan yang setiap kali pilihanraya diperuntukkan kerusi-kerusi parlimen dan DUN walaupun mereka tidak pernah layak memilikinya andai demokrasi sebenar diambil kira.

Demang juga teringat pada Ananda Krishna yang memegang aset berbillion dollar. Kemana beliau ketika isu Kampung Pala?
...............
foto: people in india werner boehm
flickr.com

Monday, July 20, 2009

Chua Jui Meng terima baton



Dalam acara larian berganti-ganti (4x100m), pelari-pelari daripada satu kumpulan tidak berlari serentak. Pelari pertama akan berlari sejauh 100 meter dan menyerahkan kepada pelari kedua yang juga akan berlari sejauh 100 meter lagi. Begitulah seterusnya hingga ke garisan penamat.

Dalam isu Chua Jui Meng, beliau adalah salah seorang pelari dalam kumpulan yang mahu menguasai politik setelah mereka menguasai ekonomi negara sekian lama.

PRU12 membuktikan agenda tersebut. Peralihan besar-besaran pengundi kaum cina kepada pembangkang membawa dua implikasi besar. Pertama, MCA dan Gerakan kalah kepada DAP & PKR. Kedua, BN yang ditunjangi UMNO menjadi lemah.

Adakah fenomena ini terjadi dengan tidak sengaja?

Memang bijak mereka berpolitik. Mereka tahu orang melayu sekian lama bersepakat dalam UMNO. Oleh kerana UMNO menguasai BN, maka mereka lemahkan BN dengan cara membiarkan parti mereka kalah. Akibatnya, walaupun UMNO masih menang besar dalam PRU12, namun hakikatnya UMNO sedang menguasai gabungan parti politik yang sedang lemah.

Gabungan dalam PR menguntungkan mereka kerana PAS bukan parti yang kuat. Malah parti itu tidak pernah bertanding lebih daripada separuh kerusi parlimen.

PKR pula adalah parti campuran. Bukan dikuasai oleh pemimpin melayu. Cuma Anwar Ibrahim masih berada pada kedudukan tertinggi parti tersebut. Masalahnya, nasib beliau sendiri pun bergantung pada keputusan mahkamah.

Jika kita melihat sejarah negara selepas merdeka, impian untuk mengurangkan kuasa orang Melayu dalam politik negara sentiasa digerakkan. Cuma kebijaksanaan Tun DrM sepanjang menjadi PM berjaya mengekang gerakan ini.

Kini CJM menerima baton dan sedang berlari. Semua mata sedang tertumpu pada pelari pencen tersebut. Para pengulas sibuk membuat ulasan selari bagi menarik perhatian penonton kepada pelari yang sebelum ini berpura-pura menjadi kawan BN.

Maka orang ramai yang sudah mula memberi tumpuan pada usaha DS Najib, dialihkan perhatian pada acara baru itu.

Matlamat akhir mereka ialah menguasai ekonomi dan politik Malaysia.

Apa yang Demang boleh buat? Sedangkan amaran daripada Allah pun orang tak endah, inikan pula amaran daripada Demang.

Kita tunggu sahajalah nasib kita dan anak cucu kita nanti.



Foto: dispatch.co.za

Thanks.

Saturday, June 27, 2009

Sistem Peperiksaan Malaysia

Musim durian tiba lagi. Di mana-mana ada durian. Di pasar malam, di tepi jalan, di pasaraya, dan di kaki lima kedai. Baunya merebak ke mana-mana dan boleh dihidu hingga ke tandas awam.

Untuk menjual durian, pelbagai cara digunakan. Ada yang ditimbang beratnya. RM1, RM2, RM4, dan ada yang sampai RM6 sekilogram.

Ada juga yang dilonggokkan. Contohnya,RM10 selonggok atau RM15 bagi dua longgok.

Malah ada juga yang dinilai sebiji-sebiji. Ada yang RM2 sebiji, RM5 sebiji, dan Demang pernah jumpa durian yang dijual RM20 sebiji.

Demikianlah kerenah jual beli durian. Pelbagai kaedah digunakan. Yang besar tidak semestinya mahal dan yang kecil tidak semestinya murah. Banyak tidak semestinya menggambarkan durian itu murah. Maksud Demang, kalau kita membayar RM10 untuk seguni durian dan apabila tiba di rumah hanya sebiji yang boleh dimakan, adakah ia masih dianggap murah?

Ketika memandu, kita sering nampak tanda harga yang ditulis besar-besar, RM2: 1 kg. Apabila kita singgah, barulah diketahui bahawa yang itu ialah harga bagi durian 'reject'.

Bagaimana dengan manusia? Bagaimana kita menilai anak kita? Bagaimana pula kita menilai calon wakil rakyat kita? Para pengundi di Manek Urai perlu bijak menilai. Jangan main borong sahaja, hanya kerana calon itu mewakili parti yang menguasai kerajaan negeri.

Macam tanda harga durian yang kita nampak tertulis RM2 tetapi sebenarnya ia hanya merujuk pada durian 'reject'.

Baru-baru ini kementerian Pelajaran berura-ura untuk menghadkan bilangan subjek yang boleh diambil oleh calon SPM. Jangan bimbang. Ia masih di peringkat cadangan. Berikan pendapat dan cadangan anda.

Bukankah slogan PM, Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan?

Peperiksaan hanya satu alat pengukuran. Sama seperti kita membeli durian. Maka jangan terlalu taksub dengan sistem peperiksaan. Ada banyak lagi kaedah untuk menilai manusia.

Rakyat Malaysia sudah terlalu biasa dengan sistem peperiksaan yang ada sekarang. Bagi Demang, peperiksaan sekarang lebih tertumpu pada keputusan akhir.

Adakah tempoh dua atau tiga jam mampu menentukan masa hidup seorang manusia?

Lebih malang lagi ia hanya menilai dalam perkara akademik sahaja.

Dalam mengejar kecemerlangan peperiksaan, banyak perkara yang tercicir dan terlepas pandang. Pelajar yang tidak cenderung pada akademik akan tercicir manakala perkara-perkara seperti sahsiah, sosial, emosi, jasmani, dan rohani, terlepas pandang.

Demang katakan tadi 'pelajar yang tidak cenderung pada akademik' kerana ramai yang menganggap kelompok tersebut mempunyai minda yang lemah atau bodoh. Padahal mereka mempunyai kebolehan dan keistimewaan lain yang tidak kurang pentingnya.

Minggu lepas isteri Demang menghadiri satu kursus penting. Nampaknya kaedah baru penilaian sedang dimulakan bagi mengubah sistem penilaian yang ada sekarang.

Beberapa buah sekolah di seluruh negara telah dipilih sebagai perintis.

Tidak lama lagi anak-anak kita tiak hanya dinilai melalui peperiksaan seperti SPM yang ada sekarang. Sebaliknya akan dinilai melalui pemerhatian sepanjang tahun dan sepanjang persekolahan.

Semoga anak-anak kita nanti akan dinilai dengan lebih adil, bukannya samarata.

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)