Berita yang baru Demang terima, KDN petang ini memfailkan rayuan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah "Allah" dalam akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly.
Bagi Demang isu ini merupakan rentetan keputusan PRU12.
PRU12 menyaksikan kaum Melayu masih menjadi majoriti dalam BN (melalui UMNO) manakala kaum Cina dan India berpaling ke pihak pembangkang yang ditunjangi DAP dan PKR (lihat keputusan PRU12). PAS sekadar memiliki 23 kerusi parlimen.
Justeru lanskap politik menyaksikan betapa orang Melayu mewakili kerajaan manakala orang bukan Melayu menguasai pembangkang.
Itu sebabnya apabila dikatakan kelemahan kerajaan, maka maksudnya ialah orang Melayu gagal menjadi pentadbir yang baik.
Malah ada orang Melayu yang secara sinis membandingkan Malaysia dengan Singapura. Itu belum dikira kerajaan negeri yang menjadikan Singapura sebagai mentor.
Walaupun orang Melayu hanya segelintir di dalam barisan pembangkang sedang majoriti masih di pihak BN namun hakikatnya kuasa Melayu sudah terpecah dua. Hal ini amat disedari oleh bukan Melayu dan akibatnya beberapa pihak mengambil kesempatan menangguk di air keruh. Golongan ini tidak ramai namun mereka licik mengambil peluang yang ada.
Demang katakan 'licik', bukannya 'cerdik'. Hal ini kerana tindakan mereka ibarat bermain dengan api. Mereka tidak sedar betapa sifat api itu 'kecil menjadi kawan manakala besar menjadi lawan.' Apakala api sudah semakin marak maka ia akan membakar apa sahaja termasuk diri sendiri.
Sementara itu Demang baca kenyataan Dr Shamharayu Abd Aziz daripada UIA yang disiarkan dalam blog Penghuni Gua. Beliau menjelaskan maksud Perlembagaan Perkara 3(1) Ayat itu menyebut dengan jelas bahawa Islam adalah agama persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan 'aman dan damai'.
Menurut beliau formula 'aman dan damai' harus dihayati semangatnya oleh mahkamah dalam membuat keputusan.
Demang tertarik dengan analogi yang diberikan iaitu ibarat mahkamah memberikan kebenaran kepada seorang suami untuk berpoligami sedangkan isterinya tidak merelakan sepenuhnya. Si suami berjaya melangsungkan perkahwinan tetapi adakah keharmonian keluarganya akan berkekalan?
Demang amat berharap rayuan yang dikemukakan KDN terhadap keputusan Mahkamah Tinggi akan diberi pertimbangan sewajarnya berdasarkan prinsip 'aman dan damai' yang disebut dalam perlembagaan.
foto:
justice jpg
novo.ca
No comments:
Post a Comment