Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Showing posts with label kisah. Show all posts
Showing posts with label kisah. Show all posts

Thursday, April 21, 2011

review: "Maafkan hamba, Jebat."

Sebaik selesai solat Isya' yang agak lewat, satu suara kedengaran memberi salam. Demang menjawab salam tersebut, melipat sejadah dan menuju ke jendela tanpa sempat berdoa. Kata guru Demang, utamakan tetamu sebab dengan Tuhan kita boleh 'bertemu bila-bila masa'.

Sebaik daun tingkap dibuka Demang melihat sesusuk tubuh lelaki tercegat di depan tangga teratak Demang. Cahaya bulan membantu Demang mengecam empunya tubuh tersebut.

"Ha, Dalik. Naiklah. Nanti hamba bukakan pintu." ujar Demang.

Sebentar kemudian Dalik sudahpun bersila mengadap Demang.

"Begini, Demang." Dalik mengengsot ke depan menghampiri Demang, hampir berlaga lutut. "Datuk Bendahara berkirim salam dan berharap Demang ke istana sekarang juga." Dalik menyampaikan pesanan.

Demang mengerutkan dahi. Kenapa ke istana? Bukankah Baginda Sultan sedang meminggir ke hulu lantaran amukan Jebat?

Ah, Jebat. Patutlah berdiam diri tatkala baginda menitahkan hukuman bunuh ke atas Tuah. Patutlah tunduk menekur lantai tatkala diserahkan taming sari dengan gelaran Laksamana. Rupanya menunggu kesempatan untuk merajalela. Habis dayang-dayang diperkosa, puluhan rakyat tak berdosa dibunuhnya.

Apa lagi yang dibuat Jebat? Sudah dibunuhnyakah baginda? Entahkan sudah dibakarnya istana? Berapa ramai lagikah rakyat yang diamuknya?

"Maafkan hamba Demang. Dato' Bendahara minta kita bersegera." Dalik memecahkan lamunan Demang.

"Seperkara lagi, Demang. Pesan Bendahara agar perkara ini dirahsiakan sangat-sangat. Hamba beredar dulu agar tidak ketahuan dek orang ramai. Nanti Demang ke sana seorang diri dan masuk melalui pintu rahsia." sambumg Dalik dengan berbisik.

"Baiklah. Hamba faham." balas Demang.

Tidak sukar untuk Demang memasuki istana melalui terowong rahsia. Belumpun tiba di balairong sudah terdengar bunyi orang berpencak. Demang mempercepatkan langkah sambil menghunus keris, sekadar bersedia.

Siapa gerangan yang berani mencabar Jebat? Kasturi? Lekir? Lekiu? Setahu Demang tak ada seorang pun mampu membendung amukan Jebat.

Tiba di balairong Demang terpegun. Apa benarkah penglihatan Demang?

Di tengah-tengah balairong kelihatan dua pendekar sedang bertarung. Jebat sedang menghadapi lawannya. Sekilas pandang sahaja susuk tubuh pencabarnya telah Demang kenal.

"Tuah?" Demang menelan liur. Kalimat itu sekadar tersangkut di kerongkong. Mata Demang terpaku pada pertarungan yang sedang berlangsung.

Sedetik Jebat menyerbu. Tubuhnya melayah ke udara sambil menggenggam kemas ulu keris dan menjunamkan mata runcing itu ke dada Tuah.

Namun Tuah tangkas mengelak ke kanan, menjatuhkan badannya dan dengan satu gerakan sepantas kilat beliau membentes keting Jebat.

Jebat terhumban ke depan namun sebelum dadanya sempat terhenyak pada lantai, tanpa diduga tapak tangannya menepuk lantai dan melentingkan tubuhnya, kemudian berdiri tegak di belakang Tuah.

Tuah terpaksa menjatuhkan tubuhnya sekali lagi serta berguling ke kanan mencari tapak selamat.

Namun Jebat tidak membiarkan Tuah berehat lama. Kali ini dia melompat tinggi untuk menyerang. Melihatkan itu, Tuah ikut melompat. Kedua-duanya beraksi di udara agak lama. Sepak, terajang dan tepis-menepis antara keduanya berlaku tanpa berpijak di lantai.

Dalam satu gerakan yang amat pantas, Tuah menendang lengan Jebat sehingga keris tamingsari yang digenggam Jebat melayang dan jatuh di depan Demang. Tidak cukup dengan itu satu tendangan padu hinggap di dada Jebat sehingga sahabatnya itu tertiarap hampir dengan tempat Demang berdiri.

Spontan, Demang menggulingkan tubuh ke depan, menyambar tamingsari yang tertancap di lantai dan merengkuh Jebat dari belakang. Demang mengunci jebat yang sedang tertiarap. Tanpa perlu membuang masa Demang mengangkat tamingsari dan menjunamkan mata keris itu ke arah dada Jebat.

Sebelum sempat mata keris itu menjamah tubuh Jebat tiba-tiba lengan Demang seolah dihayun oleh sebuah bandul yang amat berat. Keris tamingsari yang Demang sangka telah digenggam kemas terpelanting entah ke mana.

Demang memanggung kepala. Dua tubuh sasa tersenyum memandang Demang yang terpinga-pinga. Dato' Bendahara menghulurkan tangan kepada Demang dan menarik Demang berdiri. Tuah yang berdiri di sebelahnya membantu Jebat bangun sambil keduanya tertawa kecil.

"Sudahlah. Kita berhenti dulu. Demang pun dah tiba." Dato' Bendahara bersuara lembut.

Demang masih kebingungan. Apa ertinya semua ini?

"Sebagaimana yang Demang tahu, Tuah tidak hamba bunuh." Dato' Bendahara memulakan bicara. "Cuma Demang tidak tahu bahawa Jebatpun tidak ditikam oleh Tuah. Mana mungkin Tuah membunuh saudaranya sendiri. Memang Adi Putera telah meramalkan yang mereka berdua akan berlawan sesama sendiri. Justeru kami telah mengambil langkah awal agar perlawanan ini tidak sampai berakhir dengan kematian. Pun begitu, nyaris-nyaris tadi Jebat ditikam Demang. Syukurlah, perkara ini sudah hampir selesai." Bendahara menyambung.

"Astaghfirullahal’azim... Subhanallah…" ucap Demang penuh penyesalan. Ternyata Demang terburu nafsu sehingga hampir-hampir membunuh Jebat. "Jadi, Jebat tidak bersalah?" soal Demang.

"Hamba tidak mengatakan demikian. Sebagaimana Demang tadi, Jebat juga terdorong oleh nafsu. Tuah juga begitu. Malah hamba juga mungkin telah melakukan kesilapan. Masing-masing ada kesilapan. Namun itu bukan alasan untuk kita melakukan kesilapan yang lebih besar." Bendahara merenung wajah-wajah yang sedang mengadapnya itu silih berganti.

"Peristiwa ini menjadi pengalaman amat berguna dalam kita membina negara. Baginda Sultan adalah payung negara sedangkan kitalah bahan binaannya."

"Hamba mempertahankan Sultan bukan bererti hamba tidak mengendahkan nasib rakyat malah kerana memikirkan nasib rakyatlah hamba pertahankan sistem beraja.

Tuah, hamba asuh dan didik sejak kecil untuk setia mempertahankan negara. Tuah tidak kembali kerana perintah Sultan Mahmud sebaliknya kerana hamba yang bersungguh-sungguh meminta. Bukan Sultan Mahmud yang kami bela sebaliknya Kesultanan Melayu (khalifah Islam) itu yang kami pertahankan.

Jebat adalah pelindung pada sahabatnya tidak kira apapun situasi. Namun untuk menentang Sultan, Tuah perlu dilepasi kerana selagi Tuah masih hidup tidak ada sesiapa boleh menyentuh Sultan dan juga Bendahara.

Itulah sebabnya Jebat tidak membantah ketika Sultan menjatuhkan hukuman ke atas Tuah. Baginda tidak akan menerima bantahan Jebat. Jika Jebat berkeras maka Tuah pasti akan membunuh Jebat kerana itu adalah tugasnya." Bendahara menerangkan dengan agak tegas.

Kemudian beliau menyambung sambil tersenyum: "Malah jika hamba sendiri cuba menderhaka maka Tuah tidak akan ragu-ragu menamatkan riwayat hamba."

"Ah, selama ini hamba mencurigai Jebat dan menuduhnya tanpa mampu membela diri. Maafkan hamba, Jebat.” Demang tunduk menekur lantai. Terasa malu kerana pernah bersikap lancang menghina Jebat. Padahal Jebat sekadar melaksanakan tanggungjawabnya.

“Tuan hamba tidak sepenuhnya bersalah, Demang. Sewajarnya tuan hamba berpihak kepada Tuah cuma pandangan terhadap Jebat perlu diubah. Jebat tidak menderhaka atas kepentingan peribadi sebaliknya sekadar untuk menyedarkan sultan yang lalai dengan tanggungjawab baginda. Jika Jebat benar-benar ingin merampas kuasa, sudah lama beliau melakukannya kerana dengan tamingsari di tangan, siapakah yang layak menahannya?” Bendahara menjelaskan.

Seterusnya beliau menambah: "Demang, sampaikan kisah ini pada anak cucu kita. Katakan pada mereka bahawa Jebat sudah menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang sahabat. Tuah sudah menunaikan tanggungjawabnya sbg seorang Laksamana dan pelindung Sultan. Hamba pula telah melakukan yang terbaik bagi menjaga semua kepentingan itu di samping memastikan negara ini selamat untuk didiami oleh rakyat.”

“Moyang kita iaitu Demang Lebar Daun telah mengasaskan sistem kesultanan ini. Sistem hanyalah sebuah kaedah. Tidak ada sistem yang betul atau salah sebaliknya manusialah yang tidak amanah kepada sistem. Jika Iskandar Zulkarnain mendapat penasihat seorang nabi (Khaidir), mustahilkah Sang Sapurba tidak diberikan seorang wali (Demang Lebar Daun)?”

“Bagaimanakah generasi tuan hamba Demang begitu yakin yang raja Melaka hanya memeluk Islam pada 1414 sedangkan ditemui batu bersurat di Terengganu bahawa Islam telah tiba di bumi bertuah ini jauh lebih awal dari itu? Bukankah itu satu bukti yang Islam sudah bertapak jauh lebih awal di Kepulauan Melayu?”

“Tidakkah itu suatu isyarat bahawa Demang Lebar Daun sudah menerima Islam lebih awal?”

“Hamba nasihatkan, dalam keadaan dunia tuan hamba yang begitu bercelaru ini, kembalilah kepada jati diri kalian. Apa salahnya Melayu kekal menjadi Melayu, Cina kekal sebagai Cina dan India kekal sebagai India. Begitu juga dengan kaum-kaum lain. Jadikan perbezaan dan kepelbagaian tersebut sebagai kelebihan dan keistimewaan yang jika disatukan akan menjadi harta yang tak ternilai. Hamba sudah melakukannya di Melaka pada zaman kami dahulu. Lihatlah kepelbagaian penduduk di Melaka ketika itu dan bagaimana hamba garap semuanya bagi membina negara. Tidakkah tuan hamba pelik bagaimana Melaka yang dimulakan pada 1400 berjaya menjadi empayar terbilang tidak sampai 20 tahun. Walaupun kami cuma mampu bertahan selama 110 tahun namun kami berjaya mencapai kegemilangan yang belum mampu dikecapi oleh generasi tuan hamba.”

“Semaklah sejarah dan pelajari sesuatu yang positif. Jangan terlalu mempersoalkan sebab kejatuhan dan keruntuhan Melaka. Fikirkan cara untuk melakukannya dan jangan sesekali mengambil hak orang lain.” Bendahara menamatkan bicara.

Bendahara menghampiri Demang dan menghulurkan tangannya. Terasa satu gerakan lembut pada bahu Demang: “Bang, bangun. Apasal tidur kat sini?”

Demang membuka mata. Rupa-rupanya isteri Demang mengejutkan Demang daripada lena. Hmm, Demang bermimpi rupanya.

Thursday, January 28, 2010

Beza durian dengan labu



Mujur setakat ini isteri Demang tidak mengidam yang bukan-bukan sepanjang kehamilannya. Paling-paling pun cuma durian.

Sekarang ni durian dah tak bermusim lagi. Tak macam semasa Demang kecil-kecil dulu. Setahun sekali sahaja dapat merasa durian. Itupun cuma sedikit. Maka bagi memuaskan tekak, durian dimakan bersama nasi atau pulut yang digaul gula Melaka, berkuahkan santan. Kecur air liur dibuatnya.

Bentuk fizikal luar durian berduri-duri, tetapi di dalamnya berpangsa-pangsa. Ulas-ulas durian yang lembut berwarna putih atau kuning 'tidur nyenyak' di dalamnya menanti sentuhan sang empunya. Sebab itu ada gelaran 'kucing tidur' untuk ulas durian tertentu.

Berbeza dengan labu. Biarpun di bahagian luar sebiji labu terlihat pangsa-pangsa namun apabila dibelah, pangsa-pangsa tersebut tidak berpenghuni. Meskipun warna isinya juga kekuningan namun jika isteri anda mengidam, jangan sekali-kali digantikan dengan labu. Nanti rajuknya panjang membawa ke malam.

Semalam, si Azmin Ali memukul gendang ke seluruh negara mengatakan dia mempunyai maklumat bahawa terdapat pemuda UMNO terlibat dalam kejadian membakar gereja. Maka para blogger picisan pun heboh mencanang secara besar-besaran.

Bagi Demang, apa nak dihairankan jika terdapat orang UMNO yang terlibat? Sebagaimana yang Demang tulis semalam, siapapun yang terlibat membakar gereja atau meletakkan kepala babi di masjid mereka tidak boleh didakwa sebagai mewakili kaum atau penganut agama tertentu.

Penjenayah tersebut sekadar mewakili diri sendiri yang gagal mengawal emosi. Tangkap dan jatuhkan hukuman setimpal, habis cerita. Tak perlu nak dipolitikkan.

Kenapa parti PAS tidak ditangkap polis apabila seorang blogger PAS menderhaka pada sultan? Itu menunjukkan kerajaan bersikap rasional dengan mengambil tindakan hanya terhadap individu yang terlibat sahaja.

Demang ceritakan tentang durian dan labu kerana melihat Azmin hanya seperti sebiji labu yang luarnya nampak berpangsa tetapi di dalamnya kosong.

Masih ingat dakwaan-dakwaan Azmin tentang pelbagai bukti yang terisi dalam beberapa peti rahsia? Akhirnya semuanya dusta! Mana perginya peti-peti yang dicanangkannya dulu sebagai rahsia besar?

Habuk pun tarak!

Lain kali, jika makan sayur labu, ingat-ingatlah pada Azmin Ali.

foto:
durianfruit jpg freerangegourmet.com
Labu jpg hanieliza.fotopages.com

Sunday, November 22, 2009

PAS dan hantu raya


Jika melihat pada keadaan Pok Soh, siapapun tidak menyangka yang orang tua itu boleh secergas itu sekarang. Manakan tidak, dua bulan beliau terbaring dengan mata terbeliak mengadah siling di terataknya. Hanya Bedah, anak sulungnya yang setia menunggu dan merawatnya. Kebetulan rumahnya tidak jauh dari situ.

Tanpa disangka-sangka pada suatu senja Pok Soh bangun tercacak seolah-olah dia tidak pernah sakit sebelum ini. Setelah menghabiskan seperiuk nasi tanpa lauk yang ditinggalkan Bedah, Pok Soh keluar dan hanya kembali menjelang pagi.

Hari-hari berikutnya berjalan seperti biasa. Pok Soh semakin kuat dan kebunnya pun bertambah makmur dan subur. Selain itu dia juga ke sungai mencari ikan dan ke hutan menarik rotan.

Hanya Tok Jamun yang agak resah sendirian. Tok Jamun adalah sahabat seperguruan Pok Soh. Sejak Pok Soh sihat, tidak sekalipun Tok Jamun menziarahimya. Hal ini kerana Tok Jamun yang sudah berusia 98 tahun itu tahu bahawa yang ke hulu ke hilir menunggang batang tubuh Pok Soh itu bukan lah Pok Soh yang sebenar, sebaliknya hantu raya belaan Pok Soh.

Sebenarnya Pok Soh sudah meninggal dunia.

Begitulah yang Demang perhatikan pada PAS. Jika tidak kerana penyingkiran Anwar pada 1999, PAS sudah lama ditalkinkan. Kekuatan yang seolah-olah ada pada PAS hari ini adalah kerana meminjam roh Anwar yang sepatutnya meninggalkan jasad politiknya pada 1999.

Sayangnya Anwar sendiri menghadapi masalah besar dari sehari ke sehari. Mari kita lihat jadual keruntuhan regim Anwar dengan keluarnya tokoh-tokoh berikut daripada PKR:

1) Timbalan Presiden, Chandra Muzaffar
2) Ketua Angkatan Muda, Ezam Mohd Nor
3) Ketua Penerangan, Ruslan Kassim
4) Ahli Majlis Tertinggi, Datuk S. Nallakarupan
5) Ketua Wanita, Neil Onn,
6) Naib Presiden, Marina Yusuf
7) Setiausaha Agung, Mohd Anuar Tahir
8) Bendahari Agung, Abd Rahman Osman
9) Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari
10) Setiausaha Angkatan Muda, Lokman Noor Adam
11) Naib Ketua Pemuda, Muhd Zahid Md Arip
12) Timbalan Pengarah Pilihanraya, Hamdan Taha

Seterusnya beberapa ADUN PKR telah bertindak menjadi ADUN bebas:

1) ADUN Beharang, Jamaludin Mohd Radzi
2) ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd Osman Jailu
3) ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah

Sementara itu beberapa orang lagi pemimpin PKR bertindak meletakkan jawatan atas beberapa isu:

1) V. Arumugam, ADUN Bukit Selambau
2) Mohd Fairus Khairudin, ADUN Penanti
3) Naib Presiden, Datuk Jeffrey Kitingan
4) Ahli Majlis Tertinggi, Christina Liew

Maka jika anda masih bersama PKR sehingga kini, bermakna anda sudah jauh ketinggalan zaman. Kalau Setiausaha Sulitpun sudah tidak percayakan beliau, siapakah anda yang masih mahu mempercayainya?

Berbalik pada PAS, kerosakan PAS juga berlaku dari dalam. Sebelum berita Husam keluar di akhbar pagi ini, Demang sudah menulisnya dua hari yang lepas. Sebenarnya Demang mendapat tahu lebih awal dari itu.

Nik Aziz pula cuba menjadi juara dengan mempengaruhi banyak keputusan dan sering pula bercanggah dengan pendirian Presiden sebenar PAS, Hj Hadi. Biarpun Hj Hadi cuba mencelah, namun populariti Nik Aziz semakin bertambah sementelah dicadangkan menjadi ketua pakatan rakyat sekaligus mengenepikan Anwar Ibrahim.

Berita pagi ini mencatatkan betapa Nik Aziz cuba memujuk Husam agar tidak meletakkan jawatan.

Kenapa ya? Adakah pemergian Husam akan memadamkan semua impian Nik Aziz?

Para menyokong Hj Hadi mengikuti episod ini dengan penuh debaran.

sumber:
Foto hiasan adalah hantu pocong, bukan hantu raya daripada 'hantu pocong' fazli.com.my
Info PKR, Mingguan Malaysia 15/11/09

Tuesday, November 17, 2009

Topeng dan Emas Celup


Minggu lalu seorang ibu saudara Demang menjadi mangsa ragut 3 ekor penjenayah. Syaitan-syaitan yang terlibat memakai topeng dan costum berupa 3 anak muda yang bermotorsikal. Sekali imbas, nampak seperti manusia namun Demang percaya jika disingkap topeng yang diperbuat daripada kulit manusia tersebut akan terdedahlah wajah sebenar makhluk laknat tersebut.

Walaupun balu seorang buruh kasar tersebut menjerit, namun deruman motorsikal iblis-iblis itu menutup jeritannya. Kejadian berlaku sekitar jam 8 pagi di depan rumah sendiri di dalam sebuah kampung yang rumah-rumahnya hampir bertemu bumbung. Maka berpisahlah beliau daripada rantai pusaka kesayangannya itu.

Ramai saudara mara dan jiran yang datang menziarahi melahirkan simpati dan memberi sedikit bantuan. Apa lagi yang dapat dilakukan?

Dalam pada itu Demang teringat kempen seorang jurujual emas tiruan. Jika kita memakai emas tiruan, kehilangan tersebut tidaklah merugikan sangat.

Demang tidak mahu komen tentang itu secara panjang lebar. Cuma sedikit persoalan: adakah sama antara yang asli dengan saduran? Membicarakan tentang manusia dan kemanusiaan tidak boleh lari dari naluri dan sifat insani itu sendiri. Maka tidak mudah memisahkan emas daripada kehidupan manusia.

Dalam politik juga terdapat topeng dan emas saduran. Justeru Demang tidak terkejut membaca kenyataan ahli parlimen DAP mempertikaikan tindakan kerajaan Malaysia yang enggan menjual pasir kepada Singapura. Cuma Demang tak sangka pemimpin DAP tersebut berani berterus terang. Mungkin dia rasa pembangkang masih kuat sekarang dan rakyat akan menyebelahi apa sahaja pendapat pembangkang. Mintak maaflah ye... Rakyat Malaysia bukan begitu.

Rakyat dengan mudah dapat memahami kesan penjualan pasir tersebut terhadap keselamatan dan kedaulatan negara yang tidak boleh dinilai dengan wang semata-mata meskipun ahli parlimen tersebut membumbui hujahnya dengan umpan 'win-win situation'. Kalau alasan banjir dan hakisan yang digunakan, rakyat Malaysia lebih rela mengorek pasir itu dan membuangnya ke lautan Pasifik daripada menjualnya kepada Singapura!

Demang percaya jika kita tanggalkan topeng pemimpin DAP akan terdedahlah wajah PAP mereka. Dalam bahasa yang lebih manis DAP adalah ejen Singapura. Namun Demang lebih cenderung menyifatkan mereka sebagai talibarut Singapura.

Sebelum itu Lim Kit Siang membodek Nik Aziz dengan dakwaan bahawa pentadbiran PAS cemerlang di Kelantan kerana dapat mengekalkan pemerintahan selama 5 penggal. Tidak mustahil beliau sebenarnya menyindir Haji Hadi yang cuma mampu memerintah selama sepenggal sahaja di Terengganu.

Demang lihat muka depan Harakah sebentar tadi yang memaparkan tajuk utama Nik Aziz bakal menerajui PR. Adakah itu isyarat kepada Haji Hadi dan Anwar untuk berundur?

berdasarkan beberapa insiden seperti tadi, jelaslah bahawa DAP@PAP juga boleh menjadi batu api atau setidak-tidaknya seperti api dalam sekam.

Apapun, kesinambungan antara DAP dengan PAP sudah terpahat dalam sejarah dan itulah asas perjuangan mereka.

Mereka memang berkongsi impian: dulu, kini dan selamanya.

Foto:
little mask i bought in... Red Colander flickr.com
gold jpg hanse-schmuck.de

Sunday, November 15, 2009

Rasuahkah Nik Aziz?



Tokwan hanya orang kampung.

Seingat Demang berbagai pekerjaan telah dilakukannya bagi menampung keluarga. Tokwan biasa mengusahakan bendang di Sungai Besar. Itu sebabnya jika beliau terlihat ada anak cucu yang mencicirkan beberapa ulas nasi ketika makan, segera ditegurnya: “kutip nasi tu, ‘cu. Kalau di sawah, sebiji padi jatuhpun Atuk kutip.”

Suaranya memang lembut. Rasanya, tidak pernah Demang mendengar beliau meninggikan suara. Jika terlalu marah, beliau akan turun dari rumah dan menuju ke kebunnya. Pernah Demang ikut. Rupa-rupanya beliau mententeramkan diri dengan mengutip butir-butir cengkih di dalam kebun di belakang rumah.

Tokwan mengusahakan tanaman kelapa dan koko sebagaimana orang lain di kampungnya. Terdapat juga pokok kopi dan beberapa batang pokok cengkih di dalam kebun itu.

Selain itu Tokwan juga berniaga ayam. Beliau membawa ayam-ayamnya di dalam bakul besar yang diletak di atas basikal tuanya. Setakat Teluk Ensen (Teluk Anson/Intan) atau Hutan Melintang hatta ke Sekinchan santak ke Kuala Selangor, sudah menjadi biasa padanya, hanya dengan berbasikal!

Tokwan juga rajin menyertai kumpulan tabligh. Merata-rata tempat beliau jelajahi. Selain itu, di kampung beliau dilantik menjadi imam. Imam kecil. Demang masih ingat beliau bersama orang kampung berusaha mengutip derma bagi membesarkan surau di kampung tersebut. Sebelum meninggal dunia, beliau mewakafkan sebahagian daripada tanahnya untuk kebajikan surau tersebut. Tindakan sedemikian memang biasa dilakukan oleh orang kampung dulu-dulu.

Sekitar 1980an, Tokwan dan isteri (Tok) diizinkan Allah mengunjungi rumah-Nya (Baitullah) tanpa mengeluarkan sebarang perbelanjaan. Semuanya dibiayai oleh salah seorang anak saudara mereka (anak kepada kakak Tokwan).

Itu bukan rasuah. Itulah rezeki namanya. Alhamdulillah.

Demang teringat kesah ini apabila timbul pertikaian tentang perbelanjaan Nik Aziz ke Mekah yang diakui beliau sebagai pembiayaan daripada pihak lain. Lantas Demang cuba membandingkan dengan situasi yang pernah dialami oleh datuk Demang sendiri.

Pada pendapat anda, adakah kes Tokwan Demang dengan kes MB Kelantan itu sama?

Bagi Demang ada perbezaan yang amat besar. Bukan kerana Nik Aziz ulama besar dan Tokwan Demang imam kecil tetapi yang membezakan mereka ialah KUASA!

Nik Aziz adalah Menteri Besar Kelantan. Beliau memegang kuasa yang amat besar di Kelantan. Nik Aziz patut sedar tentang itu dan tidak boleh wewenang menerima budi orang.

Lebih bahaya lagi apabila beliau mengakui bahawa perbelanjaan tersebut dan perbelanjaan ke Mekah sebelum ini diuruskan orang bawahannya. Implikasinya, bukan sahaja Nik Aziz yang termakan budi bahkan orang kepercayaannya juga.

Adakah Nik Aziz tidak sedar bahawa rasuah hadir seiring dengan kuasa? Itu sebabnya dalam kes Tokwan Demang tidak ada unsur rasuah di situ kerana Tokwan Demang tiada kuasa. Sebaliknya Nik Aziz selaku Menteri Besar mempunyai kuasa cukup besar di Kelantan.

Mesej daripada isu ini ialah apabila berkuasa maka akan hadirlah rasuah dan rasuah boleh singgah pada sesiapa sahaja hatta seorang ’tok guru’. Rasuah tetap rasuah walaupun kita tidak menganggapnya begitu.

Wallahu’alam.

(Istilah Tokwan memang asing di Selangor. Gelaran tersebut timbul kerana Demang lahir di Kedah. Padahal Tokwan ini memang anak jati Selangor: lahir hingga meninggal dunia pun di Selangor. Kebanyakan sepupu Demang menggelarnya Atuk sebagaimana lazim orang tempatan manakala sepupu Demang yang berdarah Jawa menggelarnya Embah. Beliau adalah ayah kepada ibu Demang. Al Fatihah untuk beliau dan isteri beliau, Tok).

foto sekadar hiasan:
indonesia lombo...el jpg worldwide-hotel-reservation.com

Thursday, October 1, 2009

Sampaikan salam


Semalam Demang berkesempatan berdialog dengan seorang anak muda dalam chatrol BPN. Demang puji sikap prihatin beliau terhadap politik negara walaupun cenderung pada pembangkang.

Memang ramai anak muda (sejak dahulu kala) bermula dengan pembangkang, kemudian mula berubah apabila semakin matang. Maklumlah, darah muda. Di akhir perbualan Demang berkirim salam kepada teman-temannya, sekadar berbasa-basi dan bagi menunjukkan kemesraan. Lagipun adat berkirim salam memang dianjurkan serta diamalkan dalam Islam.

Namun Demang agak hairan apabila anak muda tersebut enggan membawa pesanan tersebut dengan alasan amanah tersebut amat berat. Memang berat dan Demang bukan nak pertikaikan keengganan anak muda tersebut kerana itu haknya. Malah mungkin Demang juga silap kerana sasaran salam itu terlalu umum. Teruklah beliau untuk menyampaikan salam Demang kepada setiap rakannya.

Namun Demang beri beliau jalan keluar iaitu dengan mengucapkan ’insya-Allah’. Begitu yang diajarkan guru Demang dulu. Namun beliau tetap enggan menerima amanah tersebut.

Demang terfikir satu perkara; kita sering terkilan apabila orang lain enggan menjaga hati kita tetapi dalam masa yang sama kita langsung tidak fikirkan perasaan orang. Apa salahnya dan apa susahnya untuk berkata ”insya-Allah?” kemudian berusahalah untuk menunaikannya? Padahal Demang cuma ingin mendekati rakan-rakannya. Tentulah bukan semua. Beberapa orang pun dah kira ok. Bukankah ramai kalangan kita yang sedang ghairah mengumpul kenalan melalui Facebook? Kebetulan Demang juga salah seorang daripada mereka.

(www.morhabshi.com)
foto hiasan Shakehand jpg
lebuy.blogstarz.my

Tuesday, April 14, 2009

Kritis, bukannya kritik



Semalam Demang dan isteri menghantar seorang sepupu untuk pulang ke kolejnya. Sebaik memasuki lebuh AMJ (Melaka-Merlimau) penuntut politeknik tersebut memberitahu bahawa baru-baru ini seorang rakan pelajarnya terbunuh dalam satu kemalangan di jalan raya tersebut. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian setelah mayatnya diseret oleh sebuah MPV sejauh 25 KM.

"Dua Puluh Lima Kilometer?" tanya Demang ingin kepastian.

"Ya, Dua Puluh Lima Kilometer." jawabnya dengan yakin.

"Siapa beritahu?" tanya Demang lagi.

"Ada kawan beritahu." jawabnya.

"MPV tu seret sejauh 25KM dan pemandu tersebut tidak sedar? Pukul berapa kejadian tu?" tanya pula isteri Demang.

"Tengahari. Selepas habis kuliah." si pencerita mula ragu.

"Takkan pemandu kereta lain pun tak nampak?" isteri Demang menguji lagi.

"Engkau tahu tak, jarak dari Melaka ke Merlimau tidak sampai 25 KM dan terdapat tidak kurang tiga simpang-empat berlampu isyarat. Bayangkan, sepanjang jarak itu MPV tersebut menyeret mangsa." kata Demang.

Demang bawakan kisah di atas kerana antara analisis yang dibuat selepas pilihanraya ialah majoriti golongan muda telah memberikan undi kepada pihak pembangkang. Maka Demang tertanya-tanya adakah keputusan orang muda itu berdasarkan kajian menyeluruh terhadap fakta, atau hanya persepsi disalut emosi? Atau lebih malang lagi mengundi 'ikut cakap' orang.

Berdasarkan pengalaman Demang mengendalikan kursus motivasi yang melibatkan pelajar IPTA dan IPTS, majoriti peserta mempunyai pengetahuan kenegaraan dan sejarah yang terlalu minimum. Sebahagian kecil yang tahu sejarah pula sekadar 'menghafal' fakta dan gagal mengaplikasi dengan situasi semasa.

Malah 90% respoden memberi jawapan bercanggah dengan fakta ketika ditanya soalan tentang kedudukan kerusi DUN Perak. Mereka menyatakan PAS mempunyai kerusi majoriti dalam DUN Perak sedangkan parti tersebut cuma menang enam kerusi berbanding 28 kerusi UMNO. Lihatlah betapa lebarnya jarak sokongan rakyat Perak terhadap kedua-dua parti.

Para responden yang terdiri daripada mahasiswa IPTA tersebut lebih terperanjat lagi apabila Demang beritahu PKR cuma mempunyai TIGA orang calon Melayu yang menang.

Jadi, bagaimana mereka membentuk kerajaan Perak dengan Nizar menjadi MB? Jawabnya kerana DAP memenangi 18 kerusi DUN.

Siapa sebenarnya yang membentuk kerajaan?

Terbaru, dari sejumlah siswa yang ditanya tentang pembentukan kabinet baru, ramai yang memberi komen bahawa perlantikan Mukhriz yang kalah dalam pemilihan Pemuda UMNO menampakkan ketidakadilan DS Najib. Hal ini kerana KJ yang menang tidak dilantik.

Demang tanya semula, apakah yang kamu semua akan kata jika KJ dilantik? Bukankah itu yang diingini oleh orang ramai? Kenapa membantah setelah keinginan kamu dipenuhi?

Kemudian, mereka mempersoalkan tindakan Najib tidak melantik DS Khir Toyo. Demang tanyakan; "tahukah kamu semua perbezaan kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan? Adakah DS Khir Toyo seorang Ahli Parlimen yang melayakkan beliau memasuki kabinet?

Bagi anda yang memahami prosedur tersebut mungkin akan memberi alasan DS Khir boleh dilantik sebagai senator terlebih dulu. Demang jawab, berapa ramai senator yang nak kita lantik?

Sebenarnya pembangkang sudah bersedia untuk membangkang apa sahaja. Jika kerajaan buat begini, maka ini yang mereka kritik. Jika kerajaan buat macam lain, lain pula kritikannya.

Itulah minda pembangkang.

Bersediakah pengundi menapis semua itu dan membuat keputusan dengan bijak ketika mengundi?

Melihat pada siswa-siswi sekarang, Demang wajar merasa risau...

Wallahu'alam.

Saturday, February 14, 2009

Kuning Warna Diraja

Selepas solat maghrib tadi isteri Demang meminta dibelikan burger di gerai yang Demang ceritakan dulu. Sebenarnya isteri Demang baru kebah dari demam dan belum berselera makan nasi.

Ketika tiba di satu persimpangan, kenderaan masih berbaris panjang. Terdapat satu lorong dari sebelah kiri yang ingin masuk ke lorong utama. Demang berada di lorong utama. Sebuah lori kecil kelihatan cuba memasuki lorong tersebut dan Demang memberi laluan padanya. Dalam kesamaran neon kelihatan wajah pemandu lori berbangsa India itu tersenyum lebar sambil mengangkat tangan tanda terima kasih. (kalau Datuk David Arumugam barangkali dia akan melaung ‘terima kasiiih). Demang membalasnya dengan senang hati.

Sebenarnya Demang bukanlah baik sangat. Tindakan Demang memberi laluan pada lori tersebut ialah kerana di hadapan kereta Demang ialah ‘petak kuning’. Mahu tidak mahu Demang mesti mematuhi peraturan tersebut agar tidak disaman!

Nampaknya apabila kita mematuhi peraturan, banyak masalah menjadi mudah.

Selepas membeli 5 ketul burger maka Demang perlu pulang ke rumah. Oleh kerana gerai tersebut di sebelah kiri jalan, Demang sudah menjangkakan akan mengalami masalah untuk keluar daripada kawasan gerai tersebut bagi memasuki jalan utama. Namun dalam barisan kereta yang panjang itu, sebuah kereta telah berhenti dan memberi laluan pada kereta Demang. Sebagai tanda terima kasih, Demang membunyikan hon padanya sambil mengangkat tangan. Rupa-rupanya di situ juga ada ‘petak kuning’.

Apabila tiba di lorong untuk masuk ke kampung Demang, satu lagi masalah menunggu kerana lorong itu agak sempit. Malah di pintu masuk kampung tersebut kenderaan tidak boleh berselisih. Keadaan menjadi lebih sukar apabila terdapat kenderaan yang ingin keluar dan dalam masa yang sama terdapat kenderaan yang ingin memasuki lorong tersebut.

Sekali lagi ‘petak kuning’ menyelamatkan keadaan.

Penyediaan ‘petak kuning’ adalah sebahagian daripada perlaksanaa proses undang-undang bagi menjaga ketenteraman awam. Justeru jika ada pihak yang cuba ‘melanggarnya’ maka akan berlakulah kekecohan. Secara kebetulan, warna kuning yang digunakan pada petak tersebut sama dengan warna diraja. Hal ini mengingatkan Demang tentang masih terdapat rakyat dan warganegara Malaysia yang belum begitu faham tentang keperluan undang-undang dan juga tidak faham tentang undang-undang. Lebih menyedihkan apabila orang yang tidak faham turut ikut menyibuk berbekalkan keyakinan pada pendapat pemimpin mereka semata-mata. Mereka tidak berusaha membaca dan memahami sendiri undang-undang tersebut.

Isu ini timbul apabila Demang menziarahi blog http://taipingmali.blogspot.com/2009/02/dah-kalah-mengaku-kalah-lah.html/ dan menemui satu komen daripada seorang pengunjung bernama Kembara Putih. Nampaknya saudara Kemabara Putih tersebut tidak mempunyai ‘rumah’ atau blog sendiri. Jadi, bebaslah beliau menulis apa sahaja dan lari dari situ meninggalkan tanggungjawabnya. Dengan kata lain beliau bukanlah seorang yang berani bertanggungjawab atas tulisannya.

Demang tampal di sini komen beliau:

kembara putih berkata...
Kesian..Inilah masalahnya bila Sultan silap membuat keputusan, langgar perlembagaan tubuh negeri.
2009 Februari 14 19:51

Di sini Demang turunkan sebuah email yang Demang terima daripada seorang sahabat untuk kita memahami kedudukan sebenar krisis di Perak berdasarkan perspektif perlembagaan.

Selamat membaca.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Saya akan kemukakan
fakta berlandaskan undang-undang yang terdapat dalam Perlembagaan
negeri Perak dan Perlembagaan Persekutuan. Sesungguhnya tindakan
meyaman sultan merupakan tindakan biadap dan tergopoh gapah.
Menyedihkan apabila tajuk posting terbaru Anwar Ibrahim berbunyi :
Constitutional crisis caused by the Sultan, yang jelas merujuk kepada
DYMM Sultan Azlan Shah, Sultan Perak Darul Ridzuan.

Mengapa Nizar Harus Letak Jawatan

Perlembagaan Persekutuan dalam artikel 43(2)(a) jelas menyatakan
bahawa Yang Dipertuan Agong berhak melantik ketua eksekutif yang
telah mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat. Benar dakwaan Nizar
mengatakan bahawa Sultan bertindak atas nasihat beliau sebagai ketua
kerajaan. Ini termaktub di dalam artikel 40(1) dan 40(1A) yang
terdapat didalam perlembagaan. Namun Nizar harus membaca Artikel 40(2)
(a), (b), dan (c) bersama. Ini kerana ia jelas menyatakan hak
esklusif Sultan yang boleh bertindak sendirian tanpa mengikuti
nasihat beliau di dalam perkara membabitkan perlantikan ketua
kerajaan (selagi beliau mematuhi provisio dalam 43(2)(a)), kedua
baginda mempunyai kuasa untuk TIDAK MEMBUBARKAN DEWAN PERWAKILAN
(Parliament atau DUN Negeri), dan terakhir memanggil semua Raja-raja
untuk mesyuarat Majlis Raja-raja.

Berikut merupakan provisio yang terdapat dalam Perlembagaan
Persekutuan tetapi berdasarkan Akta Interpretasi, ia diaplikasi
kepada semua perlembagaan negeri kerana perlembagaan negeri mesti
sama dengan perlembagaan persekutuan. Berbalik kepada perlembagaan di
Perak, Artikel 16 Fasal 7 Perlembagaan Negeri Perak menyebut
seseorang anggota majlis selain MB (Menteri Besar) memegang jawatan
atas perkenan Sultan. Dengan lain perkataan, MB tidak boleh dipecat.
Klausa ini telah disalah tafsir oleh pemimpin dan penyokong Pakatan
pembangkang. Benar seorang Menteri Besar tidak boleh dipecat oleh
Sultan jika Menteri Besar itu masih mempunyai sokongan majoriti Dewan
perwakilan. Tetapi jika keadaan sebaliknya, Sultan mempunyai hak
untuk memecat MB.

Hung Parliament

"Hung parliament" bermaksud tiada majoriti jelas dalam sesebuah Dewan
Rakyat atau DUN. Sebagai contoh, parti A mempunyai 89 kerusi dan
parti B 88 kerusi, atau kedua-dua sama 89 kerusi, dalam situasi ini
lebih elok diadakan pilihanraya semula kerana beza kerusi cukup
tipis. Walaubagaimanapun tidak wujud situasi "hung parliament" di
Perak ketika ini kerana BN memiliki majoriti 3 kerusi. Dan seperkara
lagi yang harus diambil kira ialah jumlah kerusi yang terdapat di
Perak ialah 59 kerusi. Perbezaan jelas dan tiada masalah kerana
perbezaan ialah 3 kerusi daripada 59 kerusi merupakan suatu jumlah
yang jelas.

3 ADUN Sudah jumpa Sultan

Anwar Ibrahim dan bekas speaker DUN Perak Sivakumar mahu mengadakan
sidang khas DUN bagi menjalankan "vote of no confidence" terhadap
Nizar. Untuk pengetahuan kedua-dua manusia di atas, perlembagaan
tidak pernah menyebut bagaimanakah caranya untuk jelaskan "vote of no
confidence" itu. Dalam kes Stephen Kalong Ninkan v Tun Abg Hj Openg &
Tawi Sli (1966), sebuah surat ditandatangani oleh majoriti ADUN
negeri Sarawak tidak diterima oleh mahkamah kerana ia dikatakan
terdapat unsur penipuan dan tidak jelas. Tambahan pula tidak semua
ADUN hadir ke persidangan khas terbabit. Ini menunjukkan bahawa surat
ditandatangani boleh menjadi sah jika ia tidak terdapat unsur
penipuan. Oleh itu, tidak disebut bagaimana cara "vote of no
confidence" itu sewajarnya diadakan. Cukupkah dengan berjumpa dengan
DYMM Sultan? Atau mengangkat tangan sebagai undian seperti kita
lakukan untuk pilih ketua darjah dahulu? Atau dengan surat berserta
tandatangan yang sah?

Oleh kerana ia tidak disebut, maka apa jua cara pun boleh diguna
selagi ia boleh membawa perhatian DYMM ke atas isu terbabit. Saya
difahamkan ketiga-tiga ADUN Bebas tersebut telah pun berjumpa
mengadap ke-bawah Duli Tuanku untuk menyatakan pendirian mereka.
Jangan dipersoalkan 28 ADUN BN yang lain kerana sudah tentu mereka
menyatakan sokongan terhadap BN. Begitu juga 28 lagi ADUN Pakatan.
Tumpuan kita seharusnya kepada 3 ADUN ini sahaja.

Perjanjian Yang Tidak Sah.

Saya juga difahamkan bahawa terdapat perjanjian tidak bertarikh
ditandatangani oleh wakil-wakil Pakatan setelah menang dalam
pilihanraya lalu. Perjanjian tersebut menyatakan mereka akan letak
jawatan jika lompat parti. Persoalannya adalah ia tidak logik dan
tidak sah dari segi undang-undang.

Artikel 10(1) (c) menyatakan hak warganegara untuk menyertai mana-
mana persatuan, selagi ia berdaftar dan sah. Namun artikel 10(2)(c)
menyatakan "parliament may by law impose on the right conferred by
paragraph (c) of clause (1), such restriction as it deems necessary
or expedient in the interest of the security of the Federation or any
part thereof, public order or morality."

Persoalannya disini adakah BN merupakan pertubuhan yang tidak
bermoral dan mengancam keselamatan negara? Tidak bermoral kerana
lompat parti? Dulu Nizar kata ia tidak salah dari segi undang-undang
bukan?

Kesemua hujah diatas dibuat selepas saya merujuk kembali perlembagaan
persekutuan dan undang-undang tubuh kerajaan Negeri Perak. Tindakan
Karpal Singh yang mahu menyaman Sultan amatlah dialu-alukan demi
membuktikan hujah saya diatas. Karpal tahu undang-undang ini, cuma
oleh kerana beliau bertindak berkapasitikan posisi beliau sebagai
pemimpin pembangkang, sudah tentu beliau tidak mahu mengalah. Datuk
Ambiga Sreenevasan, President Bar Council dalam keterangannya kepada
NSTP juga mengatakan Sultan mempunyai kuasa untuk memecat Nizar.
Pakar perlembagaan dan pensyarah Fakulti Undang-undang UiTM, Prof
Dr.Shad Saleem Faruqi dalam kenyataannya kepada Bernama juga
bersetuju bahawa Sultan mempunyai kuasa esklusif terbabit.

Lebih menarik lagi, orang yang membuat keputusan ini ialah DYMM
Sultan Azlan Shah sendiri yang juga merupakan mantan Ketua Hakim
Negara. Sudah tentulah beliau telah mengkaji terlebih dahulu akan
kesahihannya. Siapa Karpal Singh?

Detik Terkena Batang Hidung Sendiri.

Suatu ketika dahulu Anwar kerap kali menyatakan bahawa beliau mahu
merampas kuasa dengan beberapa ahli parlimen BN yang akan melompat ke
Pakatan. Kini situasi telah berubah. Anwar telan ludah sendiri.
Kepada penyokong Pakatan yang tidak berpuas hati, terimalah hakikat
bahawa ini merupakan proses demokrasi yang kamu semua pernah
perjuangkan dahulu sebelum 16 September 2008.

Saya juga berharap kenyataan saya kali ini dapat menenangkan perasaan
penyokong Pakatan yang marah dan kecewa. Terima lah hakikat bahawa
kita masih bersultankan Melayu, bukan bertuankan Anwar Ibrahim. Kita
masih berbudayakan Melayu dan Malaysia, bukan kurang ajar dan
derhaka, dan ini semua berlaku diatas "kebenaran" undang-undang itu
sendiri, dan bukan dengan sesuka hati DYMM Sultan Azlan Shah. Daulat
Tuanku!

Siddiq Azani,
Fakulti Undang-undang UiTM Malaysia.


Terima kasih saudara Siddiq Azani.

Wednesday, October 29, 2008

Pengorbanan seorang ibu

Suatu pagi ketika sedang memandu ke sekolah, Demang terdengar imbasan berita di radio tentang seorang ibu yang berjaya menyelamatkan beberapa orang (kurang pasti jumlahnya) kanak-kanak di sebuah asrama dalam satu kebakaran. Belum sempat wanita itu meraikan dan mensyukuri kejayaan, beliau mendapat tahu bahawa anak kandungnya sendiri telah mati hangus di tingkat bawah bangunan itu. Mungkin beliau menyangka akan ada orang lain yang menyelamatkan anaknya memandangkan dia sedang bertungkus-lumus menyelamatkan kanak-kanak lain di tingkat atas.

Demang teringat satu kesah pembunuhan beramai-ramai di Amerika pada suatu ketika dulu. Maka terdapat segolongan manusia yang bertanya: “Ke manakah Tuhan pada malam tersebut?”

Semoga tidak ada orang muslim yang cuba bertanya: “Adakah Allah SWT bersikap adil terhadap wanita tersebut?”

Demang akui, jika perkara tersebut berlaku kepada diri sendiri, belum pasti Demang mampu menghadapinya dengan tenang dan sabar. Demang belum layak menduduki ujian setinggi itu.

Peristiwa tersebut sebenarnya boleh dilihat daripada pelbagai sudut. Di sini Demang ingin mengajak anda menginsafi erti pengorbanan dan keikhlasan kepada Allah. Sejauh manakah kita melakukan sesuatu dengan ikhlas tanpa sebarang keinginan bagi mendapat ganjaran, lebih-lebih lagi sekadar mengejar habuan?

Allah SWT tidak akan menguji hambanya melebihi kemampuan mereka. Demang yakin demikianlah yang berlaku pada wanita tersebut. Begitu hebat ujian yang terpaksa beliau hadapi. Jika beliau membantu kanak-kanak lain tanpa mengharapkan orang lain menyelamatkan anak kandungnya, maka beruntunglah beliau. Namun jika beliau mengungkit-ungkit betapa pengorbanannya tidak dibalas dengan sewajarnya oleh orang ramai maka ‘lagha’lah ibadatnya itu.

Apapun, jasa wanita tersebut amat besar dan Demang berdoa agar Allah Taala memberi kekuatan jiwa yang hebat kepada beliau dan turut memberi ganjaran pahala atas pengorbanannya.

Di mana pula kedudukan kita? Adakah kita tabah menghadapi ujian Allah Taala? Sebelum itu, adakah kita sudah menunaikan tanggungjawab kita dengan ikhlas?

Sekarang musim pemilihan UMNO. Barangkali ramai dalam kalangan kita yang terlibat secara langsung sebagai perwakilan. Adakah kita ikhlas dalam memikul amanah rakyat dlm memilih calon terbaik?

Demang percaya, semua orang ingin menjadi baik. Semua perwakilan akan mengundi berdasarkan kualiti iman dan taqwa, bukan kerana sogokan wang (rasuah).

Namun, akan ada nanti ‘perwakilan’ yang sedang kesempitan wang. Hutang keliling pinggang. Anak-anak memerlukan wang. Keluarga kekurangan wang. Maka amanah dan tanggungjawab terpaksa dikesampingkan. Syaitan dan nafsupun membisikkan hujah dan alasan bahawa tidak salah menerima rasuah demi anak-anak dan keluarga. Bukankah melindungi keluarga itu wajib? ...mencari alasan bagi mewajarkan tindakan.

Maka mereka lupa betapa ujian yang Allah Taala hadapkan kepada mereka itu amat kecil berbanding ujian yang dihadapi oleh wanita yang kehilangan anak tadi.

Subhanallah.

Friday, October 10, 2008

Adakah Haji Hadi Bodoh kerana menyokong Hindraf?

Adalah silap jika menyangka seseorang pemimpin itu bodoh, dan bodohlah jika menganggap seseorang pemimpin itu tidak akan buat silap.

Pemimpin yang bodoh memimpin ahli yang lebih bodoh. Jadi, berhentilah daripada menganggap pemimpin sendiri bodoh.

Pemimpin yang cerdik dipilih daripada kalangan ahli yang cerdik. Justeru ahli yang cerdik akan sering mempromosikan kecerdikan pemimpin mereka.

Tindakan Hj Hadi menyangkal pendapat umum bahawa tindakan Hindraf sebagai biadap
belumlah layak dipanggil strategi. Jika setakat itu maka namanya menjerat diri. Ingat, sebagai pemimpin yang bukan mewarisi 'takhta' daripada nenek moyangnya maka tidak mungkin Hj Hadi begitu bodoh.

Sebenarnya Hj Hadi sedang menghulurkan tali untuk Anwar naik ke atas. Dalam keadaan UMNO yang diserang daripada pelbagai penjuru, maka elok sangatlah Anwar diberi laluan yang lebih selesa. Maka Hj Hadi perlu pura-pura bodoh agar beliau tidak dilihat sebagai saingan Anwar.

Gerakan pertama dianggap selesai dengan berundurnya Paklah tidak lama lagi. Pada perkiraan awal PAS, sebutir peluru sudah cukup untuk Najib dan dengan sekali ledakan sahaja dipercayai PM keenam itu akan tersungkur.

Namun itu plan A. Hj Hadi mungkin telah tahu yang Najib sepatutnya tidak boleh dikaitkan dengan pembunuhan Attantuya. Najib sendiri khabarnya terpinga-pinga apabila namanya terseret sama dalam kes tersebut.

Justeru Hj Hadi mengharapkan Plan B yang sedang disiapkan oleh Anwar. Samada Anwar menjadi PM melalui kejatuhan Najib atau melalui pintu belakang Hj Hadi tidak peduli.

Tok Guru bukan bodoh untuk mempercayai Anwar setelah ramai sahabat Anwar sendiri tidak mempercayai mantan Timbalan Presiden UMNO itu. Tak 'kan lah PAS mahu keluar dari mulut harimau dan masuk ke dalam mulut buaya? Bodoh sangatkah para pemimpin PAS? Kalau mereka boleh serik dengan UMNO tak mungkin mereka boleh melupakan begitu sahaja 'perbuatan' Anwar pada mereka ketika berkuasa dulu?

Bulan Mac dinanti dengan debaran oleh Najib dan Hj Hadi. (Anwar memang sentiasa berdebar). Hj Hadi lebih mengharapkan Anwar boleh melakukan 'upset' sebelum tarikh itu.

Atas strategi inilah juga Nik Aziz enggan berdamai dengan UMNO. Bermuzakarah dengan UMNO samalah seperti memberi bantuan pernafasan kepada UMNO. PAS hanya bersedia untuk membantu membacakan talqin untuk UMNO bukan membantu menyelamatkan bekas parti induknya itu.

Menggunakan Plan A amat berisiko jika terbukti Najib tidak terlibat dalam isu pembunuhan tersebut. Yang merisaukan Najib mungkin isu kapal selam. Namun berdasarkan budi dan jasa Najib yang begitu pemurah selama ini rakyat mungkin boleh memaafkan beliau sekalipun khabar angin itu berasas. Sekiranya benar pun, duit tu tak kan kemana. Kembali kepada rakyat juga.

Sekurang-kurangnya ada alasan Najib untuk memujuk rakyat.

Namun jika berlaku rasuah, jawablah dengan Tuhan nanti.

Kesimpulan daripada itu maka jika menggunakan Plan A tadi maka PAS mungkin terpaksa kekal sebagai pembangkang sampai bila-bila.

Strategi paling ampuh ialah melalui perpecahan UMNO. Sebenarnya ia telah dimulakan sebaik isu salah laku Anwar dihebahkan pada 1999.

Satu lagi petunjuk yang menyakinkan kita bahawa PAS hanya mengeksploitasi Anwar ialah, Mat Sabu yang melagangkan isu Anwar semasa Anwar masih bergelar TPM, kini diminta berdiam diri. Padahal ayam sabung PAS itulah antara yang memulakan perihal salah laku Anwar.

Barangkali ramai generasi muda yang tidak tahu hubungan Mat Sabu dengan Anwar suatu masa dulu.

PAS AMAT BERHARAP ANWAR BERJAYA MENJATUHKAN BN AGAR PAS DAPAT MENGAMBILNYA DENGAN LEBIH MUDAH.

Justeru Anwar adalah kuda trojan PAS. Anwar akan mengambil alih kerajaan seketika sebelum terpaksa mengundur diri.

Kenapa PAS seolah-olah mempertahankan Anwar dan mempertikaikan proses mahkamah? Itu bukan sekadar sandiwara sebaliknya PAS memang berharap pihak pendakwa tidak bersikap sambil lewa dalam perbicaraan dan supaya keputusan mahkamah nanti tidak boleh dipertikaikan lagi.

Keputusan mahkamah yang telus dan jitu amat penting pada PAS.

Jika Anwar sudah berumur, apa bezanya Hj Hadi dan Nik Aziz? Bezanya ialah perjuangan Melayu PAS berdasarkan parti sedangkan Melayu PKR bertunjangkan individu Anwar.

Pada firasat Demang peralihan kuasa antara Anwar dengan PAS adalah agenda utama PAS.

Dalam siri pertama ini Demang kemukakan bahawa seorang pemimpin tidak mungkin bodoh. Insya Allah Demang akan menyambung perbincangan ini berkenaan persoalan kedua iaitu pemimpin juga mungkin tersilap.

Wallahu’alam.

Monday, October 6, 2008

Hindraf, simpang & Lampu isyarat

Demang lahir di Kedah tapi membesar di Pahang. Datuk dan nenek sebelah abah tinggal di Kedah dan sebelah emak ada di Selangor. Hampir setiap kali hari raya kami akan menziarahi mereka bergilir-gilir.

Suatu ketika seorang jiran bertanya: "Hang balik Kedah dari Pahang, ada berapa simpang?"

Ya tak ya jugak. Demang tak dapat jawab sebab Demang memang tak pernah kira. Tapi pakcik tersebut memberikan jawapan:

"Ada dua, simpang kiri dan simpang kanan."

He he... Demang terkena.

Beberapa tahun lalu, Demang ingin mengunjungi tokwan (datuk) Demang yang tinggal di Maahad Islamiah Derang, Kedah. Sebelum itu beliau menetap di Jitra. Oleh kerana agak keliru walaupun pernah ke situ beberapa kali maka Demang bertanya arah jalan pada seorang pakcik.

"Hang jalan terus aja, jangan 'kona-kona'. Tapi kalau jumpa 'kona', kena 'kona' la." kata pakcik itu sambil tangannya turut membantu menunjukkan arah tersebut.

Adakah anda faham gurauan tersebut?

'jangan kona-kona' bermaksud 'jika ada simpang, jangan belok'. Manakala 'kalau jumpa kona' bermaksud 'jika jumpa selekoh' janganlah redah terus seperti di jalan lurus.

Kedua-dua lelucon tadi adalah lamunan Demang tatkala bosan menunggu lampu isyarat bertukar hijau di satu persimpangan dekat Ayer Keroh.

Agak menarik kerana lampu itu menggunakan digital. Ketika Demang tiba, angka yang dipaparkan ialah 90, bermakna Demang perlu menanti selama 90 saat sebelum meneruskan perjalanan.

Namun, setelah agak lama menunggu angka 90 itu tetap tidak berganjak. Demang merasa dizalimi. Ini tidak adil. Demang geram.

Akhirnya lampu bertkar hijau. Sambil menekan pedal minyak Demang sempat melihat masa yang diperuntukkan untuk laluan Demang.

"Ha? Cuma 40 saat? Padahal kami terpaksa menunggu lebih 90 saat! Ini tidak adil. Malah kami berada di laluan utama Ayer Keror-Melaka. Laluan ke kiri ialah ke Bukit Katil dan bersambung ke perigi Hang Tuah yang terletak di kampung Duyong.

Manakala simpang ke kiri adalah laluan ke istana TYT Melaka. Itukah sebabnya? Nampaknya Demang teraniaya! Ada unsur pilih kasih. Laluan ke teratak Demang selaku rakyat biasa telah diberi peruntukan masa yang singkat berbanding laluan kedua-dua aristokrat tersebut.

Demang terus memandu dan lamunan Demang bersambut pula dengan berita kunjungan 'kurang ajar' sekumpulan ahli Hindraf ke majlis aidilfitri PM di Putrajaya.

“Agaknya begitulah yang difikirkan oleh ahli-ahli persatuan tak berdaftar tersebut. Mereka melihat orang lain telah mendapat layanan yang lebih istimewa sedangkan mereka tidak.

Demang mengimbas semula lampu isyarat tadi. Peruntukan masa untuk simpang empat tersebut ialah 120 saat. Oleh kerana lampu tersebut hanya mampu memaparkan dua digit sahaja maka itulah sebabnya Demang melihat angka 90 itu tidak bergerak. Sepatutnya 120 saat. Sebenarnya simpang lain mendapat kurang dari 40 saat. Maknanya laluan Demang mendapat peruntukan yang lebih banyak. Namun Demang tidak melihat itu semua sebab Demang hanya memperhatikan laluan Demang sahaja.

Barangkali, itu jugalah yang berlaku kepada ahli-ahli kumpulan tersebut. Mereka melihat dari satu sudut sahaja dan lebih cenderung menyalahkan orang lain. Mungkin ada yang perlu dibaiki tetapi begitukah caranya?

Demang amat setuju dengan saranan seorang pemimpin yang juga berketurunan India iaitu Siva Subramaniam yang menyarankan agar perbincangan secara beradab dilakukan bagi menyelesaikan sebarang masalah. Beliau tidak bercakap kosong sebaliknya gaya itulah yang diamalkan beliau ketika menjadi Setiausaha Agung CEUPAC dan juga Presiden KPPK/NUTP suatu masa dulu. Demang pernah meminta bantuan beliau apabila permohonan ‘elaun pindah’ Demang ditolak mentah-mentah oleh pihak PPD Jerantut dengan alasan tuntutan tersebut sudah dimansuhkan. Dalam tempoh seminggu beliau membalas surat aduan Demang dan tidak sampai sebulan perkara itu selesai. Genap 30 hari selepas permohonan diproses, Demang terima cek elaun tersebut.

Demang belum menemui komen pemimpin pembangkang mengenai peristiwa tersebut setakat ini kecuali daripada Haji Hadi. Nampaknya Presiden PAS tersebut sudah bersedia untuk melupuskan PAS daripada senarai parti orang Melayu di Malaysia dan menggantikannya dengan PKR. Malah Haji Hadi seolah merestui Anwar atau mana-mana pemimpin pembangkang yang berminat menjadi PM.

Siapa pun tak apa, asalkan bukan BN.

Kenapa Demang kata begitu? Sebab Demang fikir adalah tidak masuk akal seorang pemimpin hebat bertaraf ulama’ boleh merestui tindakan biadap seperti itu dilakukan. Bagi Demang Haji Hadi sendiri telah sedar bahawa beliau tidak layak menjadi PM berbanding Anwar. Namun kenapa beliau menentang Anwar suatu masa dulu? Jika beliau kata UMNO tidak Islam, bagaimana dengan PKR? Islam sangatkah PKR?

Oh ya. Demang baru melihat patung Anwar sudah didirikan di suatu tempat. Dah macam Ayah Pin pulak.

Demang nak tanya Haji Hadi secara terbuka: “Apa akan terjadi jika ketika majlis perayaan Hindu sedang berlangsung, 1000 orang Melayu berbuat seperti yang dilakukan Hindraf itu?”. Perlu diingat, bilangan 1000 orang Melayu tidak sama dengan 1000 orang India berdasarkan populasi di Malaysia.

Demang percaya, bukan hanya Siva yang tidak bersetuju dengan tindakan ‘kurang ajar’ itu malah majoriti orang India di Malaysia juga merasa malu dengan insiden tersebut.

Selamat hari raya aidilfitri (yang masih panjang lagi).

Thursday, September 11, 2008

harmoninya negaraku

Demang sedar kisah piramid dalam artikal lepas agak berat dan mungkin juga menimbulkan polemik. Malah Demang terbaca satu artikal baru-baru ini yang menolak sistem piramid yang didakwa tidak adil kepada manusia.

Terima kasih kepada yang sudi memberi pendapat. Bagi yang enggan memberi komen, Demang tidaklah sampai menghukum ‘diam tanda setuju’.

Perbezaan adalah satu hikmah.

Pagi tadi Demang pulang ke rumah sebentar kerana menghantar putera Demang yang kurang sihat. Maka Demang mengambil kesempatan menjengah ‘rumah baru’ Demang yang sedang disiapkan. Sebenarnya bukan rumah betul-betul. Kami sekadar menaiktaraf bilik kami sebab saiz lamanya agak sempit. Apabila siap kelak, bilik baru tersebut hampir sebesar rumah PPRT. Itu sebabnya Demang katakan ‘rumah’.

Itulah kebaikannya tinggal bersama mertua di dalam sebuah kampung. Boleh buat ‘rumah di dalam rumah’.

Ketika Demang tiba, seorang lelaki India sedang memasang bingkai jendela sambil dibantu isterinya. Seorang lelaki Cina sedang memotong dinding bilik bacaan bagi menambah keluasannya. Sementara itu lelaki Melayu yang mengetuai proses pembinaan tersebut menyiapkan bahagian siling kamar.

Selain itu Demang dapati tugas-tugas tertentu telah diagih-agihkan kepada beberapa pihak lain. Contohnya untuk pendawaian elektrik, menggali lubang tandas, pemasangaan jeriji tingkap, peralatan tandas, dan sebagainya. Masing-masing dengan tugas dan kepakaran masing-masing.

Ibu mertua Demang sempat memberi komen: “wah, muhibah betul tukang-tukang rumah kita…” Yang beliau maksudkan ialah kerana mereka terdiri daripada pelbagai kaum.

Memang betul pun. Demang tumpang seronok melihat suasana mereka bekerja. Sesekali terdapat juga usik mengusik dan senda gurau sesama mereka. Tambahan pula lelaki Melayu yang menjadi ‘kontraktor utama’ kami tu agak kelakar orangnya.

Semasa berbuka puasa petang tadi bapa mertua Demang beritahu: “Ah Kuang minta tambahan RM1500 sebab mereka tersilap kira kos yang dijanjikan dulu.”

“Kesian nengokkan diorang tu. Kita pun pernah susah dulu.” Ibu mertua Demang menyampuk.

“Tak apalah. Bagikan aje. Tapi bukan ke Abang Ali tu yang jadi ketua?” Tanya Demang.

“Dia tu nampak je seloroh dan tak kesah. Tapi dalam hal macam ni dia malu nak berterus terang. Lagipun si Kuang tu yang pegang duit. Kuang tu dah lama berkawan baik dengan Abah,” bapa mertua Demang menjelaskan.

******************

Barangkali secebis kesah manusia di sudut kecil negara kita ini boleh kita renungkan sebentar. Bagi Demang ia ada kaitan dengan artikal ‘Piramid’ yang baru Demang siarkan itu.

Sebagai pegawai kerajaan, alhamdulillah pendapatan Demang cukup untuk kami sekeluarga. Tambahan pula isteri Demang juga bekerja. Kami tinggal bersama ibu bapa (sebelah isteri). Bapa mertua Demang bukan orang kaya dan hanya pemandu ambulan yang telah bersara. Namun rezeki beliau agak murah di samping rajin berusaha sebagai agen hartanah.

Kata orang agen hartanah boleh jadi kaya raya, namun Demang tak percaya sangat sebab bapa mertua Demang masih menggunakan ‘motor cup’ buruknya sehingga kini. Duit simpanannya pun tak banyak walaupun dia selalu menguruskan jual beli tanah/bangunan bernilai jutaan ringgit. Melalui perbualan dengan beliau, Demang dapati komisyen yang diterima walaupun kelihatan besar namun setelah ditolak segala kos dan pengurusan serta dibahagikan antara pihak yang terlibat (ramai) sebenarnya tidak seberapa.

Yang Demang tahu, duitnya banyak dipinjam orang.

Selain itu sesekali Demang dan isteri dijemput ke program motivasi dan sebagainya. Selain berbakti, kami mendapat tambahan pendapatan melalui usaha tersebut.

Dalam pada itu ada satu lagi usaha Demang iaitu membuat promosi produk keluarga Demang melalui internet iaitu sejenis minyak untuk perubatan tradisional. Namun Demang tak masukkan dalam sumber pendapatan sebab hasilnya terus disalurkan kepada ibu Demang di kampung. Lagipun cuma perusahaan kecil-kecilan. (nanti Demang ceritakan).

Kenapa Demang ceritakan ini?

Jika kita imbas artikal ‘piramid’ Demang, didapati air mengalir terus dan dimanafaatkan di setiap peringkat. Wang yang ada pada Demang bertukar tangan ke pihak lain untuk dimanafaatkan pula oleh mereka. Seterusnya ia akan berpindah pula kepada pihak lain mengikut giliran dan keperluan.

Kata seorang teman lama Demang yang mengulang kata-kata seorang ustaz: “duit yang di dalam poket kita pun belum tentu menjadi rezeki kita. Mungkin kita cuma tolong simpan sahaja sebelum diserahkan kepada orang lain.”

Bagi Demang, jika kita berada di puncak, gunakan peluang tersebut untuk mengumpul pahala dengan berbuat sebanyak mungkin kebajikan. Perlu diingat bahawa kebajikan bukan sekadar memberi sedekah malah menyediakan pekerjaan juga merupakan fardhu kifayah.

Itulah jihad seorang Muslim.

Friday, July 11, 2008

Permata kecil, harta negara

Jumaat 11 Julai, 2008

Aiman maju ke depan, berdiri di hadapan kelas mengadap rakan-rakannya. Perlakuannya dituruti Yasmin yang turut berdiri di sebelahnya.

"Assalamualaikum." Aiman memberi salam. Kemudian dia beristighfar tiga kali dan melafazkan dua kalimah syahadah sambil diikuti seluruh kelas.

"Seterusnya saya menjemput Hilman untuk membacakan doa-doa," ucap Aiman menjemput Hilman mengetuai pembacaan doa penerang hati, doa iftitah dan doa pagi.

Sementara itu Yasmin mengawasi rakan-rakan yang kurang memberi perhatian atau terlupa mengangkat tangan ketika membaca doa.

Setelah selesai, Aiman mengucapkan terima kasih kepada Hilman dan menjemput Shuib untuk membaca ayat-ayat lazim. Tugas Shuib ialah memimpin seluruh kelas menghafal surah al-'As, al-Lahab, al-Ikhlas, al-Falaq, an-Nas, dan al-Fatihah.

"Terima kasih, Shuib," ucap Aiman. "Seterusnya saya menjemput Irdina untuk membaca sajak." Aiman meneruskan aturcara.

Irdina tampil ke depan dan berdiri di tengah-tengah. Dia memberi salam dan meminta semua rakan-rakannya berdiri.

Sajak yang dibaca beramai-ramai pada pagi itu bertajuk Penyair Dari Gunung. Asalnya sebuah lagu dan sememangnya mereka akan menyanyikannya selepas melafaz secara bersajak.

Setelah selesai menyanyi dan bersajak, Aiman mengucapkan terima kasih kepada Irdina dan meminta rakan-rakannya duduk.

"Seterusnya saya menjemput cikgu Azman untuk meneruskan pelajaran."



Enam bulan sebelumnya:

Aku duduk di atas kerusi kecil menghadap 25 orang kanak-kanak berusia enam tahun yang duduk bersila di atas lantai.

"Siapa nama awak?" aku menyoal seorang yang paling hampir denganku.

"Iman." Pendek sahaja jawapannya antara kedengaran dengan tidak.

"Iman? Aiman atau Hilman?" aku mula keliru. Aku mengambil buku daftar dan menyemak. Siapa nama Ahmad Hilman?" soalku sambil meneliti wajah kanak-kanak lelaki yang hanya seramai tujuh orang itu satu persatu.

Lambat-lambat, tiga batang tangan mula terangkat antara nyata dengan tidak.

"Angkat lurus-lurus," aku meminta dengan lembut.

Namun ketiga-tiga tangan masih seperti tadi, bengkok dan ragu-ragu. Aku mula resah. Mujur di tanganku ada borang pendaftaran beserta foto setiap kanak-kanak itu. Kuteliti ketiga-tiga gambar dan cuba mengecam.

"Ok. nama kamu Ahmad Hilman Nasarudin. Saya akan panggil kamu Hilman." kataku lembut kepada kanak-kanak lelaki yang duduk di depan sekali itu sambil tanganku menyelak sekeping lagi borang.

"Kamu pula Muhammad Hilman Hakim." kataku menunjuk pada seorang lagi budak lelaki yang duduk di baris keempat. "Kalau begitu saya akan panggil kamu Hakim, boleh?" ujarku. Segera aku teringat seorang sahabatku di Pahang yang juga bernama Hakim.

"Kamu pulak," kataku sambil menunjuk pada kanak-kanak lelaki yang agak gempal duduk di belakang sekali: "nama kamu Muhammad Nuraiman dan saya akan panggil kamu Aiman. Boleh?" pintaku sambil menerangkan. Aiman tersipu-sipu tanpa suara.

Tiba-tiba berlaku kegemparan. Dua orang kanak-kanak perempuan sudah menangis teresak-esak. Aku kaget.

"Kenapa?" soalku sambil menghampiri mereka. Rupa-rupanya sikembar. Aku cuba menyoal, namun semakin kuat tangisnya. Akhirnya aku membiarkan mereka begitu sahaja.

"Dia nak balik, cikgu." satu suara halus memberitahu. Aku menoleh. "Hmm, kamu kenal budak kembar ni?" aku menyoal pada yang menyampuk tadi. Namun hanya gelengan yang kuterima.

"Siapa nama kamu?" aku menyoalnya.

Dia menyebut suatu nama yang agak panjang dengan perlahan. Namun dapat juga kutangkap sedikit: Yasmin.

"Agak berani budak ni," kataku dalam hati. Mungkin boleh kujadikan penolong ketua nanti. Bagiku, ketua mesti seorang lelaki.

Aku mengambil gitar dan cuba menghibur mereka dengan beberapa buah lagu kanak-kanak. Kebetulan ada beberapa orang yang pernah ke tadika sebelum ini maka tidaklah aku keseorangan sangat menyanyi.

Tiba waktu makan, aku terpaksa membawa mereka ke kantin. Hal ini kerana kelas yang baru dibuka ini belum mempunyai pembantu. Dengan bersusah payah dan dibantu oleh beberapa orang ibu bapa yang masih menunggu aku berjaya membariskan kesemua kanak-kanak itu secara berpasangan.

Namun oleh kerana jumlah mereka yang ganjil maka seorang daripada mereka tidak berteman. Nampaknya kanak-kanak yang keseorangan itu kelihatan hendak menangis.

Aku menarik si Aiman daripada pasangannya dan menggantikannya dengan kanak-kanak yang dah 'nak hujan' itu.

"Ok, Aiman tak perlu pegang tangan kawan sebab Aiman cikgu lantik jadi ketua." aku membuat keputusan spontan. "Sekarang Aiman berdiri di belakang sekali dan awasi kawan-kawan."

Demikianlah sejarah Aiman menjadi ketua kelas. Namun jawatan tersebut disandangnya hampir tiga bulan tanpa apa-apa makna. Cuma bagusnya Aiman, dia seorang pendiam. Malah dia paling pendiam dalam kelas sehingga aku tidak dapat mengharapkan apa-apa daripadanya.

Namun aku tidak sampai hati melucutkan jawatannya untuk diberikan kepada orang lain yang lebih aktif.

Oleh kerana Aiman adalah ketua kelas yang aku sendiri lantik maka mahu tidak mahu aku terpaksa mengutamakannya. Aku mengajarnya menghantar buku kedatangan ke pejabat. Menarik tangannya ke depan untuk sekadar berdiri di sebelahku ketika mengendalikan rutin pagi. Memintanya berdiri untuk membaca doa walaupun sebenarnya mereka membaca bersama-sama tanpa ketua.

Kini setelah enam bulan, inilah hasilnya yang amat kubangga. Mereka adalah permata negara, bakal pemimpin di masa depan. Di tangan merekalah bertuah atau malangnya nasib negara. Kita lah yang membentuknya.

Wallahu'alam.

Rencana ini juga boleh dibaca di laman permata kecil di http://www.morhabshi.com : sebuah laman khas untuk pendidikan prasekolah.

Thursday, July 10, 2008

Paklah dan orang muda

Tajuk kecil: Menghormati pemimpin

Mahu tidak mahu Demang terpaksa juga menulis tajuk yang sangat membosankan ini. Bagi Demang bukan sahaja menulisnya bosan malah membacanya juga membosankan.

Bukan itu sahaja, menghormati pemimpin juga kadangkala membosankan.

Kenapa? Kerana hubungan dengan pemimpin selalunya membosankan.

Baru-baru ini seorang sahabat Demang memberitahu Demang betapa bosannya dia dengan Paklah.

Ceritanya begini:
"Masa kempen PRU12 lepas aku kena sambut Paklah mai tempat aku (Kepala Batas). Aku 'sound' (sindir) dia (Paklah), kelmarin Nuar Brahim mai. Dia naik kereta yang boleh bukak bumbung. Dia berdiri, lambai kat orang ramai sepanjang jalan."

"Tapi Paklah mai naik kereta bertutup rapat, cermin gelap. Rakyat 'tak dan' nampak, 'berdezup' lagu tu aja."

"Hang 'sound' macam tu?" tanya Demang takjub. "Dia kata apa?" tambah Demang lagi berminat.

"Tu yang aku bosan tu. Dia diam aja."

Demang geleng kepala. Apa punya manusia la Paklah ni. Seorang 'budak muda' boleh sindir begitu dan beliau cuma diam sahaja. Tak ada perasaan ke?

Lama juga Demang fikirkan kisah itu. Ada juga Demang mengumpat Paklah bersandarkan peristiwa itu. 'Kawan-kawan umpatan Demang pun turut buat kesimpulan betapa lemahnya Paklah hinggakan tak mampu menjawab persoalan yang seorang 'budak muda' kemukakan.

Hal ini menguatkan hujah segelintir blogger yang mengumpat bahawa Paklah memang tak layak langsung jadi PM.

Baru-baru ini Demang terserampak dengan satu jemaah tabligh di surau. Entah apalah nasib Demang, kali ini tak sempat Demang 'lari' dan terpaksalah Demang mendengar mereka membaca satu kisah lama.

"Setiap hari Rasulullah melalui sebatang lorong untuk ke masjid. Di lorong tersebut terdapat sebuah rumah yang dihuni seorang wanita tua. Setiap kali Rasulullah melintasi rumah tersebut wanita tua itu akan mencampakkan kotoran ke atas Rasulullah.

Namun Rasulullah tidak pernah serik apalagi memarahi wanita tua itu.

Pada suatu hari Rasulullah merasa hairan kerana wanita tersebut tidak 'menyambut' baginda seperti selalu. Setelah disiasat Rasulullah mendapati wanita itu sedang sakit. Baginda segera mengunjungi wanita itu. Baginda membantu wanita itu termasuk membawakan makanan untuknya.

Setelah sembuh, wanita itu bertanyakan siapakah yang telah bersusah payah menolongnya sepanjang dia terbaring itu. Alangkah terperanjatnya wanita itu apabila diberitahu bahawa lelaki itulah yang selama ini amat dibencinya.

Akhirnya wanita tua itu menemui Rasulullah dan menyatakan kekesalan atas perbuatannya selama ini.

Paklah tentulah tidak setaraf dengan Rasulullah. Namun tidak ramai pemimpin yang mampu mengawal emosi apatah lagi jika melibatkan egois.

Sebenarnya PM kita ni bukanlah teruk sangat. Dasar-dasar yang diperkenalkan pun menarik jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Masalahnya ramai yang rasa mereka lebih hebat daripada Paklah. Bagi Demang ada dua perkara yang boleh kita lihat daripada peristiwa tadi:

Pertama, Paklah boleh dikritik walaupun oleh rakyat biasa.

Kedua, tohmahan 'pak turut' ke atas orang UMNO masih boleh dipertikai. Malah orang Kepala Batas pun berani menegur Paklah.

Ketiga, Paklah sanggup berkorban melepaskan jawatan nombor 1 demi mengekalkan perpaduan. Anwar sanggup? "Lawan Tetap Lawan", kata Anwar.

Demang menyeru semua pemimpin rakyat yang hebat-hebat agar bantulah Paklah membina negara. Kalaupun bukan kerana Paklah, lakukan untuk rakyat. Atau lebih baik lagi lakukan kerana Allah.

Nota:
Demang sendiri selalu menegur 'Paklah' (polis pencen yang tinggal di sebelah rumah Demang).

Tambahan:
Demang amat kesal kerana Tun Dr Mahathir masih berusaha menjatuhkan kerajaan yang ada. Lihat komen terbaru Tun terhadap Paklah. Adakah Tun benar-benar bersih ketika menjadi PM dulu? Pandangan Tun terhadap 'kerajaan yang memerintah' dengan 'kerajaan Malaysia' amat mengelirukan dan berbahaya. Malah, kritikan Tun ke atas Paklah seolah-olah Tun dulu seorang yang serba sempurna. Demang percaya kalau Tun menjadi Paklah dan Paklah menjadi Tun, pasti 'Paklah yang bertopeng Tun' itu sudah berehat di Kemunting.

Demang melihat ada wajah Lebai Malang dalam diri Tun sejak akhir-akhir ini.

Wallahu'alam.

Thursday, July 3, 2008

Konspirasi siapa?

Sebenarnya Demang boleh berehat dari membuat 'posting' ke blog ini untuk seketika.

Meskipun beberapa rencana sudah berada dalam senarai menunggu namun Demang tidak yakin para pengunjung menyukainya.


Semuanya kerana isu terbaru Anwar. Sekarang orang ramai hanya akan mencari berita tentang Anwar.


Silap Demang jugak. Kalau lah Demang belajar ilmu firasat atau ilmu 'terus mata' dari arwah datuk Demang dulu, tentu blog waadat ni akan sesak dengan pengunjung.


Demang boleh terus buat pengumuman siapa salah siapa betul. Selesai MASALAH.


Kata seorang sahabat Demang, "masalah adalah cabaran." Seorang lagi sahabat Demang pula suka mengulang-ulang satu ungkapan berbunyi:


"setiap cabaran adalah peluang."


Namun beliau tidak pula menjelaskan maksud ungkapan tersebut. Mungkin beliau percaya yang Demang mestilah faham ungkapan-ungkapan begitu. Jadi untuk tidak mengecilkan hatinya, Demang pun mengangguk-angguk.



Maksud sebenar anggukan itu hanya Demang yang tahu.


Jika masalah adalah cabaran dan cabaran menerbitkan peluang maka seseorang yang bijak boleh sahaja mencipta masalah dan menzahirkan peluang.


Itupun kalau ungkapan tadi boleh dipegang.


Dalam keadaan sekarang, siapakah yang sedang mencari peluang? Siapakah yang untung dan siapakah yang rugi?


Adakah Paklah, Najib, Anwar, Saiful, atau ada orang lain?


Jika dua pihak (atau lebih) yang bertentangan mempunyai peluang yang hampir sama maka risiko untuk menukar masalah menjadi peluang adalah tinggi.


Siapakah yang paling terdesak sehingga sanggup mencipta masalah ini?


Adakah Paklah, Najib, Anwar, Saiful, atau ada orang lain?


Jika jawapannya sama seperti tadi yakni masing-masing memang ada kemungkinan sedang terdesak maka peluang mereka adalah sama.


Dengan kata lain jika salah seorang dari mereka sengaja mencipta masalah ini, kemungkinan senjata boleh makan tuan.


Siapakah yang untung daripada masalah ini?


Adakah Paklah, Najib, Anwar, Saiful, atau ada orang lain?


Jika anda jawab tiada yang benar-benar untung maka sekali lagi isu ini bukan cara yang selamat untuk menyelesaikan agenda peribadi.


Siapakah yang rugi daripada masalah ini?


Adakah Paklah, Najib, Anwar, Saiful, atau ada orang lain?


Jika anda fikir lebih daripada dua pihak yang akan rugi maka tindakan mengada-adakan masalah ini bukan strategi bijak.


Justeru Demang ragu siapakah sebenarnya yang merancang isu ini kerana belum pasti siapa yang akan mendapat faedahnya.


Ada sesiapa di sini yang nak tambah soalan di atas?



Contohnya, kalau bukan rancangan sesiapa, ini apa?


Bagi Demang, "jong pecah yu yang kenyang."



Demang juga sedang melihat bidak-bidak catur sedang ditolak.


Wallahu'alam.

(Oleh kerana Demang akan 'keluar kawasan' esok, maka kali ni Demang paparkan 2 artikal serentak. Kena baca kedua-dua artikal tu...)

Monday, June 23, 2008

Menyuburkan situasi menang-kalah

Artikal ini juga boleh dibaca di blog baru saya: cerminmuka.blogspot.com

Ayah: Dapat nombor berapa?
Anak: Nombor dua.
Ayah: Ai, dulu kan nombor satu? Apasal turun?
Anak: Ada budak baru masuk. Dia dapat nombor satu. Padahal markah saya semua meningkat.
Ayah: Masalahnya, kau dah nombor dua! Ayah nak kau LAWAN budak baru tu. Kalau dapat nombor satu, ayah belikan helikopter kawalan tu.


Demikian sebuah episod lazim yang berlaku pada hampir semua keluarga di negara kita dan mungkin juga di dunia.

Apa masalahnya?

Ramai menyangka kejayaan hanya boleh diraih sekiranya pesaing mereka dapat dikalahkan.
Ini yang dikatakan situasi "menang-kalah."

Padahal dunia ini bukan gelanggang perlumbaan. Malah bukan juga medan pertandingan.

Budaya 'ranking' yang disemai sejak di bangku sekolah akhirnya membiak subur dalam jiwa generasi demi generasi. Ia menenggelamkan semangat tolong menolong disamping menggalakkan hasad dengki.

Jika adapun kerjasama ia lebih tertumpu pada usaha bagi mengalahkan kelompok lain.
Apa yang berlaku sebenarnya?

Sistem 'rangking' tidak banyak membantu meningkatkan kualiti sebaliknya mungkin hanya membandingkan antara yang baik dengan yang kurang baik.malah kadangkala ia sekadar membandingkan antara yang lemah dengan yang lebih lemah.

Contohnya, jika Ali mendapat markah 40 sedangkan rakan-rakan sekelasnya mendapat markah lebih rendah dari itu maka Ali mendapat nombor satu.

Nombor satu boleh diperolehi melalui dua cara iaitu berusaha mendapatkan markah yang lebih tinggi daripada pesaing ataupun berusaha agar pesaing mendapat markah lebih rendah.

Implikasi

1) Perbincangan menjadi perdebatan.
2) Kawan menjadi lawan.
3) Timbul kelompok pencadang dan kelompok pembangkang.
4) dan sebagainya.

Adegan yang ingin kita lihat

Ayah: Dapat berapa A?
Anak: 19A.
Ayah: Ai, dulu kan 20A? Apasal turun?
Anak: Pelajaran makin susah la ayah. Tapi, ada budak baru masuk. Dia dapat semua A.
Ayah: Bagus. Ayah nak kau KAWAN dengan budak baru tu. Kalau kau berdua dapat semua A, ayah belikan helikopter kawalan tu sorang satu.


Wallahu'alam.

Sunday, June 22, 2008

cerminmuka: siaran 1

Artikal ini juga boleh dibaca di blog baru saya: cerminmuka.blogspot.com

Petang semalam aku hadir satu meeting yg agak m'bosankan. Apatah lagi aku cuma ahli biasa dalam persatuan tu. Tak banyak yang boleh kubantu.

Bagi mengisi masa lapang, kukeluarkan 'smartphone' (SP) ku. Aku menukar ketetapannya kepada 'senyap'. Jadi jika ada panggilan, ia tak mengganggu mesyuarat.

Kemudian aku buka 'note pad' SP tersebut. Jadi sepanjang mesyuarat selama hampir 2 jam tu, dapatlah aku siapkan satu artikal.

Dalam pada tu sesekali aku sempat juga melihat rakanku yang menjadi pengerusi berhempas pulas mengendalikan mesyuarat.

Pedulikanlah. Lagipun aku tengok dia pun tak pedulikan aku sangat. Sibuk menerangkan entah apa-apa.

Sebenarnya aku ada beberapa idea untuk dicadangkan. Namun entah kenapa rasa malas pulak. Tak kuasa aku nak bertengkar bila cadangan aku dipertikai nanti.
Lagipun kalau diterima, aku jugak yang kena laksanakan.

Akhirnya mesyuaratpun ditangguhkan. Aku segera bergegas keluar sebab belum solat zohor lagi. Tadi tak sempat. Mesyuarat mula jam 2 petang.

"Hai, tak kan tak minum dulu?" kawanku yang jadi pengerusi tadi menegur.
"Sori Ron. Aku belum solat." jawabku.

Malam itu kucapai "SP"ku untuk membuat panggilan. Rupa-rupanya ada 5 sms dan 3 panggilan tak dijawab yang tidak kusedari. Rupanya aku lupa menukar ketetapan kepada 'normal' selepas mesyuarat siang tadi.

Kubuka satu sms, dr Harun:
"Man, kau marah aku ke? Mesy tadi langsung tak ambik bahagian. Asyik dgn sms je.."

Aku terkedu. Harun dah salah sangka. Malah sms tadi pun belum kujawab.
Hari ni aku dah lukakan hati seorang teman.
Padahal aku yg cadangkan dia jadi pengerusi dulu.

Ok lah. Aku nak reply sms Harun dulu. Nak minta maaf. Lain kali aku akan tumpu perhatian pada mesyuarat. Aku akan simpan hp dan beri sokongan pada persatuan kami tu.

Wednesday, June 18, 2008

Surat terbuka untuk Tun

Warkah 1

Kehadapan ayahanda Tun Dr Mahathir semoga dikurniakan kesihatan yang baik dan ketenangan serta kebahagiaan yang berterusan oleh Allah.

Pertamanya Demang memohon ampun ke hadrat Ilahi sekiranya terdapat kesilapan Demang dalam menanggapi permasalahan dan dalam mengutarakan pandangan ini.

Seterusnya Demang minta maaf kepada Tun andai warkah ini menjadikan Tun kurang selesa.

Tujuan Demang menulis ini sekadar pandangan yang Demang yakini. Barangkali pandangan Demang ini kurang hemat namun Demang percaya setiap maklumat yang melintasi sensori motor manusia pasti tidak terlepas daripada jamahan minda mereka, kendatipun tidak dijana sepenuhnya.

Pastinya Tun juga tidak terkecuali.

"Kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan."

Bagi Demang itulah yang ingin Paklah ucapkan tatkala Tun menawarkan jawatan PM kepadanya dulu.

Di pihak Tun pula kenalah faham maksud tersirat peribahasa Melayu itu.
'Nyiru' adalah alat penting dalam masyarakat Melayu. Ia digunakan bagi menampi padi. Proses tersebut adalah untuk mengasingkan padi hampa dengan padi bernas.

Tun kena insaf bahawa pemerintahan Tun selama 22 tahun bukanlah terisi dengan jasa 100%. Banyak juga masalah yang Tun wariskan kepada Paklah.

Semua rekod itu pasti tidak 'kan dipadam begitu sahaja oleh musuh-musuh Tun. Seteru Tun sudah tentu dibaca sebagai seteru UMNO. Kini, Paklah ketuanya.

Justeru wajarlah Paklah menggunakan nyiru bagi menyisihkan 'padi-padi hampa' tersebut.
Setiap PM mempunyai caranya sendiri. Itulah sebabnya mereka diberi gelaran yang berbeza seperti 'Bapa Kemerdekaan', 'Bapa Pembangunan' atau 'Bapa Perpaduan'. Tun sendiri diberi gelaran yang lain pula: 'Bapa Pemodenan'.

Bukankah Tun membawa corak pentadbiran yang berbeza daripada Tun Husein?

Demang percaya Tun sendiri mengalami betapa perubahan tersebut tidak mudah diterima rakyat dan pemimpin di bawah Tun. Pelbagai tohmahan dihadapi oleh Tun.

Lupakah betapa Tun pernah digelar 'Mahazalim' dan 'Mahafiraun' dalam usaha Tun untuk mempertahankan pendirian?

Hanya setelah Tun melepaskan jawatan barulah rakyat sedar jasa-jasa Tun.

Demang percaya ramai kalangan yang merayu Tun agar kembali menjadi PM adalah orang yang pernah membenci Tun suatu masa dahulu.

Bersambung...

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)