Jumaat 11 Julai, 2008
Aiman maju ke depan, berdiri di hadapan kelas mengadap rakan-rakannya. Perlakuannya dituruti Yasmin yang turut berdiri di sebelahnya.
"Assalamualaikum." Aiman memberi salam. Kemudian dia beristighfar tiga kali dan melafazkan dua kalimah syahadah sambil diikuti seluruh kelas.
"Seterusnya saya menjemput Hilman untuk membacakan doa-doa," ucap Aiman menjemput Hilman mengetuai pembacaan doa penerang hati, doa iftitah dan doa pagi.
Sementara itu Yasmin mengawasi rakan-rakan yang kurang memberi perhatian atau terlupa mengangkat tangan ketika membaca doa.
Setelah selesai, Aiman mengucapkan terima kasih kepada Hilman dan menjemput Shuib untuk membaca ayat-ayat lazim. Tugas Shuib ialah memimpin seluruh kelas menghafal surah al-'As, al-Lahab, al-Ikhlas, al-Falaq, an-Nas, dan al-Fatihah.
"Terima kasih, Shuib," ucap Aiman. "Seterusnya saya menjemput Irdina untuk membaca sajak." Aiman meneruskan aturcara.
Irdina tampil ke depan dan berdiri di tengah-tengah. Dia memberi salam dan meminta semua rakan-rakannya berdiri.
Sajak yang dibaca beramai-ramai pada pagi itu bertajuk Penyair Dari Gunung. Asalnya sebuah lagu dan sememangnya mereka akan menyanyikannya selepas melafaz secara bersajak.
Setelah selesai menyanyi dan bersajak, Aiman mengucapkan terima kasih kepada Irdina dan meminta rakan-rakannya duduk.
"Seterusnya saya menjemput cikgu Azman untuk meneruskan pelajaran."
Enam bulan sebelumnya:
Aku duduk di atas kerusi kecil menghadap 25 orang kanak-kanak berusia enam tahun yang duduk bersila di atas lantai.
"Siapa nama awak?" aku menyoal seorang yang paling hampir denganku.
"Iman." Pendek sahaja jawapannya antara kedengaran dengan tidak.
"Iman? Aiman atau Hilman?" aku mula keliru. Aku mengambil buku daftar dan menyemak. Siapa nama Ahmad Hilman?" soalku sambil meneliti wajah kanak-kanak lelaki yang hanya seramai tujuh orang itu satu persatu.
Lambat-lambat, tiga batang tangan mula terangkat antara nyata dengan tidak.
"Angkat lurus-lurus," aku meminta dengan lembut.
Namun ketiga-tiga tangan masih seperti tadi, bengkok dan ragu-ragu. Aku mula resah. Mujur di tanganku ada borang pendaftaran beserta foto setiap kanak-kanak itu. Kuteliti ketiga-tiga gambar dan cuba mengecam.
"Ok. nama kamu Ahmad Hilman Nasarudin. Saya akan panggil kamu Hilman." kataku lembut kepada kanak-kanak lelaki yang duduk di depan sekali itu sambil tanganku menyelak sekeping lagi borang.
"Kamu pula Muhammad Hilman Hakim." kataku menunjuk pada seorang lagi budak lelaki yang duduk di baris keempat. "Kalau begitu saya akan panggil kamu Hakim, boleh?" ujarku. Segera aku teringat seorang sahabatku di Pahang yang juga bernama Hakim.
"Kamu pulak," kataku sambil menunjuk pada kanak-kanak lelaki yang agak gempal duduk di belakang sekali: "nama kamu Muhammad Nuraiman dan saya akan panggil kamu Aiman. Boleh?" pintaku sambil menerangkan. Aiman tersipu-sipu tanpa suara.
Tiba-tiba berlaku kegemparan. Dua orang kanak-kanak perempuan sudah menangis teresak-esak. Aku kaget.
"Kenapa?" soalku sambil menghampiri mereka. Rupa-rupanya sikembar. Aku cuba menyoal, namun semakin kuat tangisnya. Akhirnya aku membiarkan mereka begitu sahaja.
"Dia nak balik, cikgu." satu suara halus memberitahu. Aku menoleh. "Hmm, kamu kenal budak kembar ni?" aku menyoal pada yang menyampuk tadi. Namun hanya gelengan yang kuterima.
"Siapa nama kamu?" aku menyoalnya.
Dia menyebut suatu nama yang agak panjang dengan perlahan. Namun dapat juga kutangkap sedikit: Yasmin.
"Agak berani budak ni," kataku dalam hati. Mungkin boleh kujadikan penolong ketua nanti. Bagiku, ketua mesti seorang lelaki.
Aku mengambil gitar dan cuba menghibur mereka dengan beberapa buah lagu kanak-kanak. Kebetulan ada beberapa orang yang pernah ke tadika sebelum ini maka tidaklah aku keseorangan sangat menyanyi.
Tiba waktu makan, aku terpaksa membawa mereka ke kantin. Hal ini kerana kelas yang baru dibuka ini belum mempunyai pembantu. Dengan bersusah payah dan dibantu oleh beberapa orang ibu bapa yang masih menunggu aku berjaya membariskan kesemua kanak-kanak itu secara berpasangan.
Namun oleh kerana jumlah mereka yang ganjil maka seorang daripada mereka tidak berteman. Nampaknya kanak-kanak yang keseorangan itu kelihatan hendak menangis.
Aku menarik si Aiman daripada pasangannya dan menggantikannya dengan kanak-kanak yang dah 'nak hujan' itu.
"Ok, Aiman tak perlu pegang tangan kawan sebab Aiman cikgu lantik jadi ketua." aku membuat keputusan spontan. "Sekarang Aiman berdiri di belakang sekali dan awasi kawan-kawan."
Demikianlah sejarah Aiman menjadi ketua kelas. Namun jawatan tersebut disandangnya hampir tiga bulan tanpa apa-apa makna. Cuma bagusnya Aiman, dia seorang pendiam. Malah dia paling pendiam dalam kelas sehingga aku tidak dapat mengharapkan apa-apa daripadanya.
Namun aku tidak sampai hati melucutkan jawatannya untuk diberikan kepada orang lain yang lebih aktif.
Oleh kerana Aiman adalah ketua kelas yang aku sendiri lantik maka mahu tidak mahu aku terpaksa mengutamakannya. Aku mengajarnya menghantar buku kedatangan ke pejabat. Menarik tangannya ke depan untuk sekadar berdiri di sebelahku ketika mengendalikan rutin pagi. Memintanya berdiri untuk membaca doa walaupun sebenarnya mereka membaca bersama-sama tanpa ketua.
Kini setelah enam bulan, inilah hasilnya yang amat kubangga. Mereka adalah permata negara, bakal pemimpin di masa depan. Di tangan merekalah bertuah atau malangnya nasib negara. Kita lah yang membentuknya.
Wallahu'alam.
Rencana ini juga boleh dibaca di laman permata kecil di http://www.morhabshi.com : sebuah laman khas untuk pendidikan prasekolah.
Meja Kerja 3 morha
-
*Siri Panduan Buat Jualan Morha Marketing*
Lihat semula file² yang kita ada tadi:
*...ada TIGA file*
File 1: *Cadangan Target Lokasi*
File 2: *Hari Ke...
4 years ago
3 comments:
Satu artikal yang boleh direnungi oleh semua.
salam...
mcm ada sesuatu yg tersembunyi jek disebalik cerita cikgu nih, seperti biasa sy kene baca article cikgu nih dgn teliti bg memahami maksudnya...memang best...
Cikgu ni selalu buat cerita yang tersirat dan bukannya yang tersurat.
Post a Comment