Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Showing posts with label prasekolah. Show all posts
Showing posts with label prasekolah. Show all posts

Thursday, August 28, 2008

Belajar untuk menghargai

Letih betul dengan politik ni. Mari kita berehat seketika. Kita berbual tentang anak-anak, bakal pewaris negara ini. Jika ada yang ingin melihat dari sudut lain, silakan. Barangkali Demang ada sesuatu yang ingin disampaikan lewat penceritaan Cheguman ini.

==========================================

Si kecil aku yang berusia enam tahun mengendeng lagi.

"Haziq nak apa?" tanyaku sambil menariknya ke pangku.

"Bukan... Papa boleh bawa Ajiq ke mini market?" suaranya lembut mendayu. Suara lemak, kata sepupunya.

Dia sudah terbiasa memulakan jawapan dengan perkataan 'bukan'. Sebenarnya aku kurang gemar tabiatnya itu. Seolah enggan berterus terang. Namun mungkin juga sekadar berdiplomasi.

Mini market yang dimaksudkan hanyalah kedai runcit dalam kampung itu. Aku tidak pasti adakah selain daripada puteraku ini, orang lain juga turut menggunakan istilah mini market untuk kedai tersebut.

"Ok lah. Kita pergi sekarang." Aku mengambil keputusan.

Sebaik tiba di kedai, kulihat Haziq sudah tahu rak yang perlu dituju. Aku mengekori dari belakang.

Haziq membelek beberapa permainan yang bergantungan. Kemudian beralih ke tempat makanan ringan pula. Tangannya mencapai bungkusan besar sejenis makanan ringan dan mengunjukkan pada ku.

"Eh, besar sangat tu." tegurku.

Haziq meletakkannya semula. Dia beralih kembali ke rak mainan.

"Papa cuba tengok harga ni." Haziq mengumpanku.

"Hmm, enam ringgit lebih." jawabku bena tak bena. Kuserahkan 'jam power rangers' itu ke tangannya semula. Dia menyambut dan meletakkan semula ke rak.

"Ajiq ada lima ringgit...Takpe lah. Lain kali Ajiq beli." ujarnya membuat keputusan.

Aku tersenyum dan membawanya pulang.

Esoknya, Haziq menghampiriku lagi.

"Papa, semalam Ajiq kata nak ke mini market, kan?" dia menduga. Kejap lagi Papa bawa Ajiq, ye. Nanti la, lepas Papa siap kerja." sambungnya lagi, berdiplomasi.

Sebenarnya aku bukan lah sibuk sangat. Sekadar menjenguk blog-blog tertentu sementara menanti maghrib.

"Tak apa la. Kita pergi sekarang. Ajak abang sama." aku mempelawa.

Sebentar kemudian kedua-dua puteraku sudah mengapuk motorsikal bersamaku untuk ke kedai.

Sebaik tiba, Haziq tidak perlu berfikir panjang. Dia mengambil mainan idamannya dan mengeluarkan dompet dari poket. Terkial-kial tangan kecilnya menarik wang kertas sambil mainan dikepit bawah ketiak.

Aku pura-pura tidak melihat.

Dia mengeluarkan wang lima ringgit dan satu ringgit lantas diunjuk kepada pemilik kedai.

"Tak cukup tu." aku menegur. "Lagi seringgit".

Haziq membuka semula dompetnya dan menyerahkan sekeping lagi wang satu ringgit. Pemilik kedai memulangkan baki sepuluh sen kepadanya.

Dua orang anak daripada rahim yang sama namun membawa karektor berbeza.

Anak sulungku tidak banyak meminta. Apa sahaja yang diberi, diterima begitu sahaja. Jika kemahuannya tidak dipenuhi, dia akur. Namun biasanya kuberikan alasan yang munasabah.

Adiknya, kukira terlalu banyak meminta. Akhirnya, beberapa hari lepas isteriku membuat syarat. Jika ingin sesuatu mesti menggunakan wang sendiri.

Haziq sangat gembira dengan mainan barunya.

"Tak nak makan ke" tanyaku.

"Aziq nak makan roti bakar. Nanti ibu buatkan." jawabnya.

Aku makan nasi bersama isteriku. Ketika makan, isteriku memberitahu: "Tadi Haziq tanya: roti bakar tu Ajiq nak kena bayar juga ke?"

"Semalam dia tidur bersama duit tu. Bangun saja dari tidur dia cepat-cepat kira. Ada sekeping tercicir, rupa-rupanya ada di bawah bantal." tokok isteriku.

Alhamdulillah, puteraku sedang belajar menghargai wang. Insya Allah akan kufahamkan pula bahawa wang bukan segalanya.

Bergenang mataku menonton iklan terbaru Petronas lakonan Adhlin Sauqi. Iklan Maybank juga mengajak kita kembali menilai diri.

Tahniah kepada pihak yang berada di sebalik pembikinan kedua-dua iklan tersebut.

Tuesday, August 5, 2008

Dilema Sistem Peperiksaan

Seorang kanak-kanak yang memasuki prasekolah akan belajar selama enam tahun sebelum diuji dalam tahun ke 6 untuk disahkan samada berjaya atau gagal. Kemudian belajar lagi selama tiga tahun sblm diuji lagi. Selepas itu menanti dua tahun pula untuk menduduki SPM.

Dalam tempoh dua belas tahun mereka diuji tiga kali dan akhirnya sebahagian besar daripada mereka disahkan berprestasi sederhana dan rendah. Manakala sebahagian kecil sahaja dianggap cemerlang dan selebihnya adalah gagal.

Maka berderet-deretlah mereka berbaris menunggu giliran untuk ditemuduga kerja. Para penemuduga pun menilai kepingan kertas terkini yang ditaip oleh institusi masing-masing untuk diputuskan samada calon tersebut layak atau tidak untuk diambil sebagai pekerja.

Alangkah mudahnya memilih dan betapa gusarnya menanti dipilih.

Begitu ringkas kah diari seorang manusia? Dirakamkan di atas sekeping kertas dengan cop dan logo, diberi gred serta ditandatangani.

Memang tidak ada salahnya mencatatkan kebolehan manusia pada kertas. Namun adakah turut dicatat sama gelak tawa dan tangis hiba mereka? Adakah turut dicatatkan berapa kali mereka jatuh dan bangkit semula? Bagaimana hubungan perasaan mereka dengan orang lain? Apa pandangan orang lain terhadap individu itu? Apa kata rakan taulannya? Bagaimana pula pendapat musuh-musuhnya? Kreatif dan inovatif kah dia? Atau seorang yang suka membantah?

Sememangnya begitu banyak yang tidak dicatatkan pada kertas itu.

Apa ertinya semua ini?

Saya namakan fenomena ini sebagai 'pakej' dan 'pukal'.

Pakej tidak sama makna dengan pukal. Pakej merujuk pada tindakan untuk memilih hanya yang dikehendaki serta setiap satu daripadanya saling melengkapi. Pukal pula bermaksud mengumpulkan semua elemen samada yang dikehendaki atau tidak ke dalam satu bekas dan diberi satu label.

Bagaimana dengan anak-anak kita? Pakej atau pukal? Contohnya:

Pakej A
Akademik 'A1', bijak, warak, sederhana rajin, cekap, cergas, hormat, suka menolong.

Pakej B
Akademik 'A1', bijak, agak warak, rajin, cekap, cergas, hormat, bersukan.

Pakej C
Akademik 'A1', bijak, warak, rajin, sederhana cekap, cergas, hormat, berjiwa pemimpin.

Pukal A
Akademik 'A1', bijak menipu, curi tulang, cekap ambil kesempatan.

Pukal B
Akademik 'A1', licik, bermuslihat, pembodek, cakap besar.

Pukal C
Akademik 'A1', pandai berhujah, bijak memanipulasi keadaan, 'bertopeng'.

Para penyokong sistem peperiksaan akan berhujah bahawa kita wajar mengekalkan sistem tersebut kerana ia praktikal dan berwibawa. Dalam proses mempersiapkan diri bagi menduduki peperiksaan, para pelajar akan mematuhi disiplin tertentu di samping diselitkan nilai-nilai murni yang sepatutnya mereka miliki. Dengan kata lain, pelajar yang tidak ada disiplin, siasah, sosial, patriotisme, akhlak dan sebagainya tidak akan berjaya dalam peperiksaan. Justeru pelajar yang berjaya boleh dianggap telah memenuhi semua kriteria insan yang seimbang.

Namun hujah tersebut boleh disangsikan dengan beberapa andaian. Sistem peperiksaan sekarang semata-mata berdasarkan kebolehan calon memberi jawapan pada hari peperiksaan tersebut. Contohnya, dalam subjek sejarah mungkin dikemukakan sepuluh soalan dan calon hanya menjawab 4 atau 5 soalan sahaja. Bayangkan, bagaimana jika calon yang gemar ponteng sekolah, melanggar disiplin, dan tidak tahu menghormati orang telah secara kebetulan membaca beberapa topik yang disoal? Maka dalam masa dua-tiga jam calon tersebut mendapat pengiktirafan 'bijak sejarah'. Anugerah tersebut disandang beliau seumur hidup!

Bagaimana dengan penyandang 'bijak matematik', 'bijak sains', 'bijak bahasa' dan sebagainya? Adakah mereka juga bijak mengawal emosi, bijak memilih antara yang baik dan yang buruk, bijak membezakan waktu solat dengan waktu berkaraoke dan sebagainya?

Lihatlah realiti hari ini. Terdapat pelajar bijak yang akhirnya menjadi pelacur, penagih dadah, perompak, penipu, penggodam sistem dan sebagainya. Cuba dapatkan telefon tangan remaja yang anda kenal. Jika anda berjaya 'menyelongkar' memori telefon tersebut, macam-macam yang boleh anda tonton. Malah jangan terperanjat jika salah seorang pelakon utama dalam klip video tersebut adalah remaja itu sendiri.

Anda bimbang? Saya juga begitu. Namun apa tindakan kita? Mahu berdemontrasi di jalanan agar kerajaan mengubah sistem pendidikan? Atau kita tukar sahaja kerajaan? Nanti naik kerajaan baru dan timbul kelemahan, adakah kita akan berdemontrasi lagi? Mungkin tidak, sebab kita memang penyokong kerajaan baru itu. Namun bagaimana dengan penyokong kerajaan yang dikalahkan? Adakah mereka akan dibenarkan untuk berdemonstrasi pula?

Mari kita berfikir bagaimana untuk menukar keadaan ini tanpa menukar kerajaan yang ada. Jadikan ini sebagai cabaran untuk minda kita. Insya Allah.

Jika anda ingin berkongsi dengan saya kaedahnya, jangan lupa untuk singgah lagi di sini.

Wallahu'alam.

Sunday, July 27, 2008

Ujian Prasekolah

Demang dapati hampir semua media hari ini memberikan liputan pada permuafakatan UMNO-PAS. Demang amat bersyukur. Barangkali inilah hikmah sebenar PRU12 yang lalu. Kepada rakyat bukan Islam, janganlah bergundah gulana atau risau. Islam tidak pernah menghalalkan kezaliman sesama manusia. Malah di dalam al-Quran ditegaskan: "Tiada paksaan dalam Islam" Yakni orang bukan Islam tidak boleh dipaksa memeluk agama Islam.

Sambil kita mengikuti perkembangan terkini permuafakatan tersebut, apa kata kita berehat seketika untuk isu Demang kali ini. Bacalah mengikut fahaman masing-masing.

***********************

"Cikgu, kenapa kita tak ada ujian?" Yasmin bertanya.

Aku tersenyum. "Kamu nak ujian ke?"

Kanak-kanak perempuan itu mengangguk, bersungguh-sungguh.

"Mana kamu tau tentang ujian?" aku menduga.

Yasmin terdiam. Barangkali dia tidak begitu memahami soalanku. "Di tadika dulu ada ujian?" soalku terus terang.

"Ada." jawabnya pendek.

Aku tersenyum. Teringat amaran keras Prof Madya Dr Hashimah semasa kuliah dulu:

"Kamu tak payah nak rajin sangat adakan ujian di prasekolah. Jangan rampas zaman kanak-kanak mereka terlalu awal. Sebaliknya buat pemerhatian berterusan. Gunakan rekod anakdot dan sebagainya bagi mencatat perkembangan mereka."

Persoalan murid tadi tentang ujian membuatkan aku terfikir tentang apa sebenarnya ujian?

Sejak menamatkan kursus perguruan pada 1990, salah satu tugasku ialah menyediakan ujian. Malah tanggungjawab tersebut sebenarnya merupakan satu ujian bagi seorang guru.

Sebagai seorang yang sering terlibat dengan program motivasi dan pembinaan modal insan, kadang-kadang para peserta kami diuji juga.

Namun, apa itu ujian?

Ujian berasal dari kata dasar uji (test). Istilah lain yang hampir sama ialah periksa (exam).

Ujian dibuat bagi mengesahkan sesuatu perkara. Contohnya jika kita ingin tahu sama ada gulai yang kita masak itu masin atau tawar maka kita akan mengujinya dengan cara menitipkan sedikit pada lidah.

Ketika aku di Jengka dulu sering juga aku ke ladang membantu ibuku menoreh getah. Alat utama dalam pekerjaan ini selain pokok getah ialah pisau penoreh getah. Pisau ini mestilah sentiasa tajam memandangkan tugas beratnya ialah untuk menoreh kulit kayu. Jika kita ingin menguji sama ada pisau penoreh getah itu sudah tajam atau belum maka cuba letak mata pisau itu pada kuku dan tarik ke bawah. Jika terasa licin maka mata pisau tersebut dianggap belum cukup tajam dan perlu diasah lagi.

Batu pengasahnya ada dua. Satu berpermukaan kasar dan satu lagi licin. Setelah itu diuji lagi dengan cara tadi. Jika terasa kesat hingga mata pisau tidak boleh bergerak pada permukaan kuku maka luluslah ujian itu.

Bagaimana pula jika anda tersilap uji sehingga jari anda terluka?

Semasa menjadi pelajar dulu, ujian bukanlah sesuatu yang disukai.

Yang jelas, ujian bukan sekadar soalan. Jadi, anda tidak boleh bertanya kekasih anda: "adakah awak setia?"

Sebagai makhluk, kita juga diuji oleh pencipta kita. Namun sebagaimana di sekolah, ujian untuk murid darjah satu tentu lah tidak sama dengan ujian yang disediakan bagi pelajar universiti.

Justeru apabila diuji, bersabarlah. Yakin dan percayalah bahawa Tuhan tidak pernah tersilap mengedarkan kertas ujian, cuma kita yang tidak membaca 'buku rujukan' atau 'manual' kehidupan yang telah disediakan oleh Maha Pencipta.

Demang: Sering diuji Tuhan selepas membuat 'posting' di sini. Ujian bagi mengelakkan 'cakap tak serupa bikin'.

Wallahu'alam.

Wednesday, July 23, 2008

Suatu pertanyaan

Kenapa bila kita mati roh kita tak boleh datang semula ke sini?

Saya hampir tidak percaya bahawa anak saya yang berumur enam tahun boleh mengemukakan soalan sebegitu.

Dari mana dia memperolehi soalan itu? Ibunya merangkap guru kelasnya menafikan mengajar soalan tersebut. Begitu juga neneknya yg juga guru mengajinya tidak pernah menimbulkan soalan sebegitu.

Cuma isteri saya mengaku bahawa pengetahuan tentang kematian dan hari qiamat memang diajar berdasarkan kandungan sukatan pelajaran prasekolah. Hal ini memang saya maklum kerana memang bidang saya. (lihat http://www.morhabshi.com)

Persoalan yg dikemukakan membuatkan saya terfikir dua perkara yg saya rasa elok dikongsi bersama.

Pertama, adakah kita sedar potensi sebenar anak kita? Apa yg mereka rakam (melalui sensori motor/deria), mereka proses (termasuk berfikir dan bertanya), dan mereka keluarkan (output) dalam bentuk tingkah laku (behavior)?

Kedua, pernahkah kita bertanya diri sendiri kenapa kita perlu mati setelah dihantar ke dunia ini?

Jika anda di tempat saya, apakah jawapan yg patut diberikan kepada si kecil itu?

Amalan kami suami isteri ialah 'memberitahu walaupun mereka belum faham.'

Sebenarnya saya tidak gemar memberikan jawapan secara terus sebaliknya membuka jalan agar mereka terus berfikir dan membina konsep sendiri.

Bagi saya, cepat atau lambat sesuatu perkara itu difahami tidak penting. Sebaliknya jika mereka sudah menguasai sesuatu konsep maka apa pun masalah yg didatangkan kemudian insya Allah dapat mereka selesaikan dengan lebih mudah.

Dalam situasi tadi saya menjawab begini:

"sebelum Haziq lahir, di mana Haziq duduk?"

"Dalam perut ibu," jawab anak saya.

"Ok. Sekarang Haziq dah ada di dunia. Boleh tak Haziq 'duduk' semula dalam perut ibu?" saya mengumpan lagi.

"Tak boleh," jawabnya.

"Maknanya, dulu kita di alam rahim, sekarang di alam dunia dan selepas ini di alam kubur (barzakh). Selepas itu kita semua akan berkumpul di alam akhirat. Tidak kira siapa yang mati dulu, semuanya akan berjumpa semula di akhirat." Saya memberitahu kedua-dua putera saya. Abangnya (9 tahun) turut mendengar sama.

"Haziq tengok. Dulu, Toknyang dan Tokji dah mati. Sekarang diorang dah berada di alam kubur. Nanti kita pula. Apabila semua orang dah mati, itu namanya qiamat. Lepas tu, kita semua akan berjumpa semula di alam akhirat." Saya menamatkan penerangan.

"Di 'alam' ke, 'dalam'?" Dia agak keliru.

"ALAM, bukan DALAM." Saya mempertahankan istilah itu tapi belum bersedia menjelaskan lebih lanjut.

Nampaknya kedua-dua putera saya mulai faham. Namun sudah tentu pemahaman mereka tidak sama dengan pemahaman kita. Tidak mengapa. Sekurang-kurangnya mereka telah bermula.

(saya pernah terbaca sebuah buku: seorang kanak-kanak bertanya bagaimana kita boleh bezakan antara mimpi dengan realiti?).

Sampai sekarang saya belum dapat jawapannya.

Wallahu'alam.

Friday, July 18, 2008

Perangai "budak-budak"

Ada 25 kanak-kanak dalam kelas saya. Tujuh lelaki dan selebihnya perempuan.

Ramai yang ingin ke depan, tapi tak ramai yang benar-benar berani. Daripada yang berani tu, tak semua yang benar-benar berkebolehan.

Lebih ramai yang sekadar ingin menarik perhatian. “Budak-budak…”

Semalam Khairul bergaduh dengan Adam. Eh! bukan semalam, kelmarin dulu atau hari sebelumnya. Bila, ye? Hmm, dah lupa harinya. Sebenarnya mereka memang selalu bergaduh. Hampir setiap hari. Malah lebih dari sekali dalam satu hari.

“Khairul, kenapa tendang Adam?” tanya saya lembut.

“Adam ketuk kepala saya dulu, cikgu.” Khairul membela diri.

“Ha, betul ke Adam?” saya berpaling semula pada Adam.

“Betul, tapi semalam dia baling saya dengan buku.” Adam menyerang balik.

“Khairul?” saya berputar pada Khairul pula.

“Dia ejek saya dulu, cikgu.” Khairul juga ada alasannya.

Saya mula rasa dipermainkan walaupun saya tahu mereka bercakap benar, Sebenarnya saya geram sebab masing-masing tidak mahu menerima kesilapan masing-masing dan asyik menyalahkan orang lain.

“Kalau begitu kamu berdua sama-sama salah. Jadi, cikgu akan rotan kamu berdua.” Saya membuat keputusan sekali gus menjatuhkan hukuman.

Sebenarnya penggunaan rotan di kelas prasekolah tidak dibenarkan. Para pensyarah saya di USM dulu memang mengharamkannya. Saya memang tidak pernah merotan mereka walaupun sebatang rotan memang tersedia di dalam kelas. Sekadar ‘ancaman’.

Adam sudah mahu menangis manakala Khairul juga mula takut. Saya menunjukkan reaksi benar-benar ingin melaksanakan hukuman.

Akhirnya, kedua-duanya berbaik semula setelah saya terangkan bahawa jika mereka asyik bergaduh maka nanti kedua-dua mereka juga yang akan dihukum.

Tapi saya sedar, esok belum tentu mereka tidak akan bergaduh lagi. “Budak-budak…”

Saya terfikir, mereka bernasib baik kerana saya adalah guru mereka dan sedang bertekad untuk tidak menggunakan sebarang kekerasan terhadap kanak-kanak di bawah umur tujuh tahun. Hal ini saya ambil teladan daripada Rasulullah sendiri. Namun, bagaimana dengan negara kita? Adakah negara asing yang sedang memerhatikan kita itu bersikap seperti seorang guru? Mahukah mereka ‘mengajar’ kita selaku guru-murid? Lihat lah bagaimana mereka ‘mengajar’ Iraq, Kemboja, Myamar, Afghanistan dan Palastin erti demokrasi.

Lantas saya teringat kata-kata bekas presiden Filiphina (Ekstrada?) 2-3 hari lepas, “Anwar adalah tokoh pejuang demokrasi.”

Adakah kita masih terus mahu berkata: “Ini salah kerajaan. Ini salah polis. Kenapa tuduh dan tangkap Anwar? Kenapa DrM dulu pecat Anwar? Maka lawan tetap lawan!

…dan Amerika sedang memerhati.

Wallahu'alam.

Friday, July 11, 2008

Permata kecil, harta negara

Jumaat 11 Julai, 2008

Aiman maju ke depan, berdiri di hadapan kelas mengadap rakan-rakannya. Perlakuannya dituruti Yasmin yang turut berdiri di sebelahnya.

"Assalamualaikum." Aiman memberi salam. Kemudian dia beristighfar tiga kali dan melafazkan dua kalimah syahadah sambil diikuti seluruh kelas.

"Seterusnya saya menjemput Hilman untuk membacakan doa-doa," ucap Aiman menjemput Hilman mengetuai pembacaan doa penerang hati, doa iftitah dan doa pagi.

Sementara itu Yasmin mengawasi rakan-rakan yang kurang memberi perhatian atau terlupa mengangkat tangan ketika membaca doa.

Setelah selesai, Aiman mengucapkan terima kasih kepada Hilman dan menjemput Shuib untuk membaca ayat-ayat lazim. Tugas Shuib ialah memimpin seluruh kelas menghafal surah al-'As, al-Lahab, al-Ikhlas, al-Falaq, an-Nas, dan al-Fatihah.

"Terima kasih, Shuib," ucap Aiman. "Seterusnya saya menjemput Irdina untuk membaca sajak." Aiman meneruskan aturcara.

Irdina tampil ke depan dan berdiri di tengah-tengah. Dia memberi salam dan meminta semua rakan-rakannya berdiri.

Sajak yang dibaca beramai-ramai pada pagi itu bertajuk Penyair Dari Gunung. Asalnya sebuah lagu dan sememangnya mereka akan menyanyikannya selepas melafaz secara bersajak.

Setelah selesai menyanyi dan bersajak, Aiman mengucapkan terima kasih kepada Irdina dan meminta rakan-rakannya duduk.

"Seterusnya saya menjemput cikgu Azman untuk meneruskan pelajaran."



Enam bulan sebelumnya:

Aku duduk di atas kerusi kecil menghadap 25 orang kanak-kanak berusia enam tahun yang duduk bersila di atas lantai.

"Siapa nama awak?" aku menyoal seorang yang paling hampir denganku.

"Iman." Pendek sahaja jawapannya antara kedengaran dengan tidak.

"Iman? Aiman atau Hilman?" aku mula keliru. Aku mengambil buku daftar dan menyemak. Siapa nama Ahmad Hilman?" soalku sambil meneliti wajah kanak-kanak lelaki yang hanya seramai tujuh orang itu satu persatu.

Lambat-lambat, tiga batang tangan mula terangkat antara nyata dengan tidak.

"Angkat lurus-lurus," aku meminta dengan lembut.

Namun ketiga-tiga tangan masih seperti tadi, bengkok dan ragu-ragu. Aku mula resah. Mujur di tanganku ada borang pendaftaran beserta foto setiap kanak-kanak itu. Kuteliti ketiga-tiga gambar dan cuba mengecam.

"Ok. nama kamu Ahmad Hilman Nasarudin. Saya akan panggil kamu Hilman." kataku lembut kepada kanak-kanak lelaki yang duduk di depan sekali itu sambil tanganku menyelak sekeping lagi borang.

"Kamu pula Muhammad Hilman Hakim." kataku menunjuk pada seorang lagi budak lelaki yang duduk di baris keempat. "Kalau begitu saya akan panggil kamu Hakim, boleh?" ujarku. Segera aku teringat seorang sahabatku di Pahang yang juga bernama Hakim.

"Kamu pulak," kataku sambil menunjuk pada kanak-kanak lelaki yang agak gempal duduk di belakang sekali: "nama kamu Muhammad Nuraiman dan saya akan panggil kamu Aiman. Boleh?" pintaku sambil menerangkan. Aiman tersipu-sipu tanpa suara.

Tiba-tiba berlaku kegemparan. Dua orang kanak-kanak perempuan sudah menangis teresak-esak. Aku kaget.

"Kenapa?" soalku sambil menghampiri mereka. Rupa-rupanya sikembar. Aku cuba menyoal, namun semakin kuat tangisnya. Akhirnya aku membiarkan mereka begitu sahaja.

"Dia nak balik, cikgu." satu suara halus memberitahu. Aku menoleh. "Hmm, kamu kenal budak kembar ni?" aku menyoal pada yang menyampuk tadi. Namun hanya gelengan yang kuterima.

"Siapa nama kamu?" aku menyoalnya.

Dia menyebut suatu nama yang agak panjang dengan perlahan. Namun dapat juga kutangkap sedikit: Yasmin.

"Agak berani budak ni," kataku dalam hati. Mungkin boleh kujadikan penolong ketua nanti. Bagiku, ketua mesti seorang lelaki.

Aku mengambil gitar dan cuba menghibur mereka dengan beberapa buah lagu kanak-kanak. Kebetulan ada beberapa orang yang pernah ke tadika sebelum ini maka tidaklah aku keseorangan sangat menyanyi.

Tiba waktu makan, aku terpaksa membawa mereka ke kantin. Hal ini kerana kelas yang baru dibuka ini belum mempunyai pembantu. Dengan bersusah payah dan dibantu oleh beberapa orang ibu bapa yang masih menunggu aku berjaya membariskan kesemua kanak-kanak itu secara berpasangan.

Namun oleh kerana jumlah mereka yang ganjil maka seorang daripada mereka tidak berteman. Nampaknya kanak-kanak yang keseorangan itu kelihatan hendak menangis.

Aku menarik si Aiman daripada pasangannya dan menggantikannya dengan kanak-kanak yang dah 'nak hujan' itu.

"Ok, Aiman tak perlu pegang tangan kawan sebab Aiman cikgu lantik jadi ketua." aku membuat keputusan spontan. "Sekarang Aiman berdiri di belakang sekali dan awasi kawan-kawan."

Demikianlah sejarah Aiman menjadi ketua kelas. Namun jawatan tersebut disandangnya hampir tiga bulan tanpa apa-apa makna. Cuma bagusnya Aiman, dia seorang pendiam. Malah dia paling pendiam dalam kelas sehingga aku tidak dapat mengharapkan apa-apa daripadanya.

Namun aku tidak sampai hati melucutkan jawatannya untuk diberikan kepada orang lain yang lebih aktif.

Oleh kerana Aiman adalah ketua kelas yang aku sendiri lantik maka mahu tidak mahu aku terpaksa mengutamakannya. Aku mengajarnya menghantar buku kedatangan ke pejabat. Menarik tangannya ke depan untuk sekadar berdiri di sebelahku ketika mengendalikan rutin pagi. Memintanya berdiri untuk membaca doa walaupun sebenarnya mereka membaca bersama-sama tanpa ketua.

Kini setelah enam bulan, inilah hasilnya yang amat kubangga. Mereka adalah permata negara, bakal pemimpin di masa depan. Di tangan merekalah bertuah atau malangnya nasib negara. Kita lah yang membentuknya.

Wallahu'alam.

Rencana ini juga boleh dibaca di laman permata kecil di http://www.morhabshi.com : sebuah laman khas untuk pendidikan prasekolah.

Tuesday, July 8, 2008

Lebai Malang: antara realistik dan idealistik

Ramai yang bertanya Demang tentang kebenaran Sejarah Melayu (Salasatus Salatin, Tun Sri Lanang) dan Hikayat Hang Tuah. Demang malas nak berbalah semula tentang ini dengan sesiapapun. Bagi orang yang mengikuti tulisan Demang pasti dapat mengesan bahawa Demang kurang gemar menghakimi salah-benar sesuatu perkara. Lagipun pakar-pakar dalam bidang berkenaan sudah membahaskannya dengan saksama.

Yang lebih penting ialah bagaimana kita mengambil pengajaran daripada perkara tersebut.

Kali ini Demang akan membawa sebuah kisah lama yang lebih dongeng lagi.

Selamat ketawa.

Konon pada masa dahulu di sebuah desa tinggal seorang lelaki yang dipanggil Pak Lebai. Rumah Pak Lebai terletak di tepi sebatang sungai.

Pada suatu hari datanglah seorang lelaki ke rumah Pak Lebai. Tujuan lelaki itu ialah untuk menjemput Pak Lebai ke rumahnya untuk majlis kenduri. Rumah lelaki itu terletak di sebuah kampung di hulu sungai itu.

Maka berjanji lah Pak Lebai untuk hadir ke majlis tersebut.

Tidak berapa lama kemudian datang pula seorang lelaki lain ke rumah Pak Lebai. rupa-rupanya lelaki itu juga ingin menjemput Pak Lebai menghadiri kenduri di rumahnya. Rumah lelaki itu pula terletak di hilir sungai.

Selepas kedua-dua lelaki itu berlalu maka Pak Lebai pun memasang strategi bagi membolehkannya hadir di kedua-dua majlis tersebut.

Kedua-dua majlis akan diadakan serentak. Pak Lebai akan menggunakan perahu untuk pergi ke kedua-dua majlis.

Pak Lebai merancang untuk pergi ke kampung di hulu terlebih dahulu. Selepas makan di situ Pak Lebai akan segera berdayung ke kampung di hilir pula. Pergerakan menghilir akan mempercepatkan perjalanan Pak Lebai.

Keesokan harinya, Pak Lebai memberitahu isterinya hajat untuk ke rumah kenduri. Pak Lebai turut berpesan agar tidak menyimpan makanan untuknya kerana dia pasti kenyang setelah hadir di dua kenduri.

Sebenarnya Pak Lebai sudah terlewat. Namun Pak Lebai bertekad untuk hadir di kedua-dua majlis. Dia melihat arus sungai dan berfikir sejenak. Jika dia terus ke kampung hilir dia akan sampai tepat pada waktunya. Namun sudah pasti dia tidak akan sempat ke kampung hulu.

Sebaliknya jika dia ke kampung hulu, dia akan terlewat sedikit kerana terpaksa berdayung menongkah arus. Namun dia mendapat kelebihan berdayung ke kampung hilir kerana perjalanan menghilir akan lebih lancar.

Maka Pak Lebai mengambil keputusan untuk ke kampung hulu terlebih dulu. Ini memberi peluang kepadanya untuk hadir di kedua-dua majlis biarpun terlewat sedikit.

Ketika Pak Lebai tiba di kampung hulu, majlis telah hampir selesai. Meskipun begitu semua makanan telah habis. Pak Lebai rasa kecewa namun segera bergegas ke kampung hilir pula.

Namun sesampainya di sungai arah aliran telah berubah. Fenomena pasang surut laut menyebabkan perjalanannya kali ini juga terpaksa melawan arus. Dengan bersusah payah Pak Lebai berdayung ke kampung hilir. Sekali lagi Pak Lebai bernasib malang kerana majlis telah pun selesai. Tuan rumah meminta maaf kerana semua makanan telah habis.

Dengan perut yang lapar Pak Lebai berkayuh pulang ke rumah. Dia berharap dapat makan di rumah. Malang sungguh apabila isterinya telah membuang semua makanan kerana itulah pesan Pak Lebai sebelum keluar tadi.

Selama ini masyarakat lebih gemar melihat nasib malang tersebut berpunca dari ketamakan seorang ‘lebai’. Bagi Demang itu bukan tafsiran tetapi tuduhan melulu. Demang sudah sebutkan dalam tulisan sebelum ini bahawa tinggalan nenek moyang kita tidak boleh dilihat selapis sahaja.

Tuduhan bahawa Pak Lebai seorang yang tamak adalah tidak adil malah bersifat prejudis.

Demang rasa dalam versi asal Lebai Malang, beliau tidak begitu. Silapnya Pak Lebai ialah kerana cuba memenuhi harapan semua orang dan tidak mahu menghampakan harapan orang.

‘Lebai’ dalam masyarakat Melayu berbeza dengan ‘haji’. ‘Pak Lebai’ dilihat lebih warak, jujur dan suka menolong orang. Biarpun ilmu mereka tidak sehebat ulama’ atau ustaz, namun mereka terkenal sebagai ahli abid (ahli ibadat).

Lazimnya golongan lebai tidak kaya. Jika kaya mereka akan mampu menunaikan haji dan gelaran ‘lebai’ akan diganti dengan ‘haji’. Namun mereka amat dihormati masyarakat dan dianggap serba boleh. Seorang ‘lebai’ biasanya boleh menggantikan imam, siak, bilal, dan macam-macam lagi sebaliknya imam, siak, bilal dan lain-lain itu tidak semestinya seorang ‘lebai’.

Dalam kisah di atas, watak si malang dikaitkan dengan seorang lebai. Kenapa?

Pada taakulan Demang, watak ‘lebai’ digunakan bagi menunjukkan seorang yang warak, jujur dan sentiasa berniat baik akhirnya ‘kecundang’ kerana silap perkiraan.

Ada pendapat yang menganggap kisah ini bikinan penjajah atau musuh Islam bagi memburukkan imej Pak Lebai. Demang tidak fikir begitu.

Jika watak antagonis (watak jahat) digunakan untuk digandingkan dengan nasib malang maka ia adalah sesuatu yang biasa dan membawa kesan lain pula kepada audien. Dengan kata lain, mesej sebenar yang ingin dibawa oleh pengarangnya tidak akan kesampaian.

Sebagai contoh, pengarang tersebut membawa kisah Pencuri Malang, Penipu Malang, Pembunuh Malang dan sebagainya.

Bagi Demang, Si Lebai Malang adalah tipa (type) segelintir masyarakat sejak dulu hingga kini. Si Lebai Malang mencerminkan hasrat murni dan cita-cita kudus masyarakat yang mendambakan sebuah negarabangsa yang ideal dan sempurna.

Lihat semula Pak Lebai tadi. Dia menyangka yang dia dapat memenuhi harapan semua orang. Dia rasa tidak patut menghampakan harapan orang yang sanggup datang dari jauh untuk menjemputnya.

Lihat semula cerita di atas. Adakah kenduri tersebut sebuah majlis yang besar sehingga dijemput penduduk dari kampung lain?

Kalau kenduri besar seperti kenduri kahwin, Pak Lebai tidak akan terlewat sebab atur cara jamuannya lebih panjang. Demang berpendapat kenduri tersebut hanyalah kenduri kecil seperti kenduri arwah.

Itulah sebabnya Pak Lebai begitu beriya-iya untuk memenuhi kedua-dua jemputan. Jemputan ke atas Pak Lebai mungkin memintanya mengetuai bacaan doa dan tahlil. Tanpa kehadiran Pak Lebai barangkali majlis tersebut tidak sempurna.

Itulah kesilapan Pak Lebai yakni menyangka tanpa penyertaan beliau majlis tidak dapat dijalankan. Sepatutnya Pak Lebai akur bahawa dia tidak mampu berada di dua tempat dalam satu masa. Adalah bijak jika Pak Lebai hanya menerima satu jemputan dan menolak jemputan kedua.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Kembali ke alam nyata, adakah dunia ini ideal dan sempurna? Ya, itulah yang kita harapkan. Secara jujur mari kita bertanya pada diri sendiri: adakah aku sempurna? Adakah aku LAYAK dilayan dengan sempurna? Adakah aku BERHAK dilayan dengan sempurna? Adakah semua orang di sekelilingku perlu sempurna sedangkan aku sendiri tidak sempurna?

Inilah yang sering kita terlepas pandang. Dalam hubungan suami-isteri misalnya. Si suami mengharapkan isterinya sempurna begitu juga sebaliknya. Kita sering mengharap: 'sepatutnya begini, sepatutnya begitu.'

Adakah kita juga bertanya pada diri sendiri soalan yang sama?

Bagaimana pula hubungan rakyat dengan pemimpin?

Terdapat segelintir rakyat yang percaya bahawa pemimpin tidak boleh membuat kesilapan. Rakyat boleh buat silap sebab mereka hanya rakyat biasa yang tidak sunyi dari melakukan kesilapan.

Rakyat boleh menerima rasuah atau memberi rasuah, contohnya bagi mengelakkan kena saman. Mereka sedar perbuatan itu salah tetapi sering berharap mereka dimaafkan.

Dalam membina negara terutamanya seperti Malaysia yang berbilang kaum ini kita perlu realistik dan bukannya idealistik. Kita mesti berusaha mencapai yang terbaik namun harus sentiasa sedar bahawa tiada yang sempurna.

PRU12 baru berakhir. Hal ini bermakna penggal baru bagi kerajaan yang baru, baru bermula. Sepatutnya ini adalah masa untuk bekerja, baik kerajaan mahupun pembangkang.

Sementara kerajaan melaksanakan dasar-dasar yang telah diputuskan bersama, pihak pembangkang bertanggung jawab menegur dan memantau. Namun perlu dilakukan di dalam parlimen, bukan di tepi jalan. Kita ada peraturan.

Sukarkah mengubah kebiasaan? Kalau itu pun susah nak ubah, macam mana nak mengambil alih kerajaan nanti?

Satu lagi, jangan sekali-kali berkempen sekarang. PRU13 lambat lagi. Rakyat terutamanya penjawat awam perlu digalakkan untuk bekerja bersungguh-sungguh. Jangan hasut mereka membenci kerajaan. Itu bukan teladan yang baik. Malah bukan juga amalan yang baik. Apatah lagi jika anda seorang ustaz atau ulama.

Empat tahun lagi, yakni di penghujung penggal ini PRU13 akan diadakan. Pada masa itu bukalah rekod perkhidmatan kerajaan. Check satu-satu. Bentangkan dan kemukakan pada rakyat dengan jujur dan ikhlas serta penuh tanggung jawab. Sertai PRU13 sebagai calon dan berkempen lah dengan semangat setiakawan.

Demang yakin dan percaya bahawa rakyat semakin bijak menilai.

Wallahu’alam.

Thursday, July 3, 2008

Kisah rusa yang bersembunyi di bangsal lembu.

Malam tadi salah seorang putera Demang menghampiri ketika Demang sibuk mengadap internet.

"Papa..." si kecil menyapa.
"Ada apa?" tanya Demang sambil mata menggelinjang skrin.
"Papa dah beli buku cerita Haziq?" tanyanya sayu.

Alamak. Sibuknya Demang mengalahkan bendahara. Siang malam bincang hal negara. Seolah-olah kalau diri tiada, 'tidur'lah seluruh negara.

Padahal, anakanda dua orang pun tak larat nak jaga.

Sebenarnya sejak 2-3 hari lepas lagi putera Demang berusia enam tahun ini meminta dibelikan buku cerita bahasa Inggeris. Dia telah dipilih ke pertandingan bercerita peringkat daerah.

"Ya... Nanti Papa beli."

Maka dengan janji itu lah Demang singgah di kedai buku petang tadi. Dasar 'kaki buku', Demang beli 10 buah buku cerita kanak-kanak.

(sebenarnya Demang pun nak baca buku-buku tu. SEPULUH buah buku untuk anak lebih murah daripada TIGA kotak rokok!).

Salah satu daripada buku tersebut mempunyai tajuk yang sama dengan rencana kali ini.

Ceritanya begini:
Pada suatu hari seekor rusa telah dikejar anjing pemburu. Rusa itu kemudiannya bersembunyi di sebuah bangsal lembu. Merasakan tempat itu selamat, maka sang rusa pun meminta izin lembu-lembu di situ agar membenarkan dia terus berlindung di kandang itu.

Namun lembu-lembu di situ menasihatkan rusa segera meninggalkan tempat itu kerana tidak lama lagi para pekerja bangsal akan tiba. Jika mereka menemui rusa di situ sudah tentu mereka akan menangkap dan menyembelih rusa itu.

Namun nasihat itu tidak diendahkan. Tidak lama kemudian beberapa orang pekerja kandang lembu tersebut tiba di situ. Mereka menemui seekor rusa...

Demang rasa anda sendiri boleh meneka kesudahan cerita tersebut.

Untuk kanak-kanak tadika (5-6 tahun) Demang akan beritahu mereka bahawa mesej daripada cerita tersebut ialah "dengarlah nasihat."

Untuk anda pula jika Demang kata mesej cerita tersebut ialah "jangan bersembunyi di rumh musuh," barangkali ramai yang akan berkata bahawa itu adalah petua lama yang semua orang sudah tahu. Hanya orang bodoh saja yang berlindung di rumah musuh.

Bagaimana jika Demang kata jangan bersembunyi di rumah kawan kita yang pernah menjadi tali barut musuh?

Demang rasa amaran tersebut sama lah macam petua di atas juga. Hanya orang bodoh yang akan buat begitu.

Bagaimana jika orang cerdik yang buat begitu? Tak 'kan kita nak kata dia bodoh?

Demang rasa anda sudah mendengar 'seseorang' yang berlindung di sebuah kedutaan asing.
Terbaru, Demang dengar berita radio bahawa 'beliau' juga telah mengadu hal pada US.

Elok lah tu. Penentang Saddam Hussein dulu pun tak minta US serang Iraq. Diorang pun tak sangka dan tak jangka US begitu bersungguh-sungguh nak 'tolong' diorang.

Diorang cuma mengadu untuk dapatkan keadilan.

Bagi Demang, soal tuduhan salah laku itu betul atau tidak bukan masalah kita.

Persoalannya, adakah wajar meminta simpati musuh?

Wallahu'alam.

(rencana Demang sebelum ini adalah berkaitan. Sila baca jika belum).

Tuesday, July 1, 2008

Anwar: betul atau fitnah? kisah sibuta menilik gajah

Masa Demang bersekolah rendah dulu seorang guru pernah bercerita kisah beberapa orang buta dengan seekor gajah.

Demang rasa ramai yang pernah mendengar atau membaca kisah tersebut.

Cerita tersebut mengisahkan beberapa orang buta yang mengerumuni seekor gajah yang besar.

Maka orang buta yang memegang belalai berkata bahawa gajah berbentuk panjang seperti ular.

Rakannya menyanggah dan mendakwa bentuk gajah adalah seperti dulang. Sebenarnya dia sedang menyentuh telinga gajah.

Orang buta ketiga pula mengatakan bentuk gajah seperti tali kerana dia berada di bahagian ekor gajah.

Demikianlah seterusnya, setiap orang buta tersebut membuat gambaran sendiri terhadap gajah tersebut.

Masa cikgu kami bercerita dulu Demang dan kawan-kawan mentertawakan orang buta dalam cerita itu.

Betapa bodohnya orang buta.

Dipertengahan remaja, seseorang memberitahu Demang bahawa kita semua adalah buta.

"Habis, ini bukan mata?" Demang bertanya kebodohan.

"Betul. Tapi bila awak berjalan di sebuah bandar, adakah semua yang di hadapan dan dikiri-kanan awak lihat? Atau awak hanya melihat apa yang awak suka atau yang ingin awak lihat?" Tanya orang itu.

Demang mengangguk-angguk pura-pura faham.

Apabila menginjak dewasa Demang cuba mengambil tahu hal-hal masyarakat.

Demang ikut mendengar penerangan-penerangan politik daripada para pemimpin kerajaan. Demang akui pendapat mereka memang benar.

Demang juga menghadiri ceramah-ceramah politik para pemimpin pembangkang. Demang juga akui pendapat mereka benar.

Kini Demang sedang memasuki 20 tahun ketiga dalam usia Demang.

Melihat kepada isu-isu yang ditimbulkan, Demang teringat lagi pada kisah sekumpulan orang buta dengan gajah tadi.

Mungkin ada yang mengatakan cerita tersebut agak keterlaluan. Takkanlah orang buta sebodoh itu.

Namun kalau kita lihat realiti hari ini, hal tersebut bukan pelik.

Cuba lihat bagaimana para 'blogger' menilai seorang Perdana Menteri.

Ramai 'blogger' mengatakan Paklah seorang yang bodoh. Malah ada yang mengatakan Paklah sangat bodoh.

Dalam pada itu ramai juga yang mengatakan Paklah berfikiran bijak.

Kajian terbaru menunjukkan lebih 80% daripada dua ribu responden di seluruh negara berpendapat kepimpinan sekarang perlu diteruskan.

Adakah 80% responden itupun buta? Bagi Demang merekapun manusia juga. Macam kita dan macam yang baki 20% lagi itu juga.

~~~~

Sebenarnya kita sering membuat keputusan sebelum melihat sesuatu.

Dalam isu terbaru, para penyokong setia DSAI awal-awal lagi mengambil pendirian untuk tidak mempercayai tuduhan tersebut.

"tak kan la..."

Selepas itu mereka akan memikirkan alasan bagi menyokong pendirian mereka.

Sudah tentu penyokong kuat kerajaan pun begitu juga. Mereka segera menyokong sambil memikirkan alasan bagi disesuaikan dengan keputusan mereka.

"patut la..."

Bagi yang atas pagar tak perlulah seronok sangat kerana tidak termasuk dalam mana-mana golongan di atas.

Lazimnya golongan yang paling ramai ini akhirnya akan mengikut begitu sahaja mana-mana golongan yang lebih bijak mempengaruhi mereka.

Itulah persepsi namanya. Dulu digelar pandangan. Sebelum itu dipanggil pendapat.

Tika Demang bermenung dengan perkara ini tiba-tiba Demang tersedar betapa 'simple'nya Allah mencatur kehidupan manusia. Cuma manusia sahaja yang merasa diri mereka hebat. Padahal untuk menggunakan mata dengan betul pun manusia tidak mampu.

Kenapa Demang terfikir begitu?

Sebab, makin lama Demang rasa Demang makin bodoh memikirkan perkara ini. (dulu rasa macam hebat). Apabila diri yang disangka hebat ini tidak mampu memikirkan perkara mudah begini, maka 'Pencipta' lah yang sebenarnya hebat.

Wallahu'alam.

Insya Allah jumpa lagi.

(org yg membuka jalan utk berfikir ttg 'mata kita buta' tersebut ialah Hj Nazli TS Aziz (adik Datok Nazri yg saya temui dlm kursus di C Higland awal 90an).

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)