Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Showing posts with label cerita rakyat. Show all posts
Showing posts with label cerita rakyat. Show all posts

Monday, May 2, 2011

Review: Pak Kaduk versi Malaysia




Rata-rata orang Melayu apabila melihat ayam sabung akan segera teringat pada kisah Pak Kaduk. Dalam masyarakat Melayu watak Kaduk sinonim dengan ungkapan 'menang sorak kampung tergadai.'

Versi asal Pak Kaduk menceritakan seorang lelaki yang dinamakan Pak Kaduk, merupakan seorang yang gemar menyabung ayam. Beliau mempunyai seekor ayam sabung yang handal bernama 'Biring'.

Diceritakan pada suatu masa Pak Kaduk telah membawa si Biring ke istana untuk mencabar raja bersabung ayam. Raja menyahut cabaran tersebut walaupun menyedari ayamnya pasti akan kalah. Sebagai raja yang berakal panjang, baginda mengatur strategi dan berjaya memujuk Pak Kaduk menukarkan ayamnya dengan ayam milik Pak Kaduk.

Apabila persabungan dilangsungkan, Si Biring telah menang sebagaimana yang dijangka. Pak Kaduk yang terlupa bahawa ayam mereka telah bertukar-milik, bersorak kegembiraan.

Namun raja menyedarkan Pak Kaduk bahawa Si Biring sudah menjadi milik baginda dan Pak Kaduk telah kalah.

Akibat kekalahan tersebut Pak Kaduk kehilangan taruhannya berupa sebuah kampung (jajahan?).

Ada pendapat yang mengatakan Pak Kaduk bukan rakyat biasa sebaliknya seorang pembesar atau 'orang kaya'. Itulah sebabnya taruhan mereka bukan sekadar wang ringgit sebaliknya sebuah kawasan atau jajahan.

Selain versi asal terdapat beberapa versi lain termasuklah yang diolah semula oleh beberapa penulis moden. Antaranya, mereka menggambarkan Pak Kaduk adalah rakyat yang teraniaya lantaran diperdaya raja. Hujah mereka ialah Pak Kaduk sebagai rakyat tentu tidak mampu membantah perintah raja untuk menukarkan ayam sabung masing-masing.

Bagi Demang anggapan tersebut juga tidak begitu adil. Pihak berkenaan menggunakan neraca pihak luar dalam menilai perhubunagan raja-rakyat. Jika kita jujur menelaah semula kesah tersebut, kita dapati Pak Kaduk tidak diperintahkan datang bersabung sebaliknya beliau datang ke majlis yang dianjurkan raja secara sukarela.

Dalam kesah tersebut juga dinyatakan bahawa Pak Kaduk yang mencabar raja untuk bertanding.

Dalam sistem pemerintahan beraja, kita meletakkan raja di atas sekali. Sebagaimana dinyatakan dalam Sejarah Melayu, Demang Lebar Daun yang dberi mandat memimpin Palembang telah mengangkat Sang Sapurba menjadi ketua negara. Perlantikan dan penyerahan kuasa itu disertai istiadat beserta perjanjian yang dikenali sebagai waadat. Dinyatakan juga batas-batas yang perlu dipatuhi bersama bagi menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara.

Demang fikir tak perlulah dihuraikan satu persatu batas hubungan raja-rakyat dalam artikal ini. Cuma Demang nak lontarkan soalan iaitu adakah wajar Pak Kaduk mencabar raja bersabung? Bagaimana jika raja kalah? Apa tujuan Pak Kaduk? Nak hadiah atau nak malukan raja? Kalau kita baca mana-mana kesah raja di seluruh dunia, kita akan berjumpa banyak peristiwa yang menunjukkan raja memberi anugerah kepada rakyat yang memberi sumbangan atau hadiah peribadi kepada raja. Pak Kaduk yang hidup pada zaman itu tidak tahukah amalan tersebut? Sudah hilangkah adab Pak Kaduk dengan raja? Kenapa nak malukan raja?

Jika Pak Kaduk menghadiahkan ayam sabung tersebut kepada raja, pastilah raja akan membalasnya dengan pelbagai hadiah, anugerah, dan juga penghormatan.

Bagi Demang, mesej dalam kesah Pak Kaduk ialah seseorang raja itu akalnya panjang dan pandai menggunakan kuasanya. Raja tersebut menggunakan kuasanya untuk menukarkan ayam sabung tersebut. Raja menggunakan kuasanya untuk melindungi maruah raja. Maruah raja adalah maruah negara dan negara adalah tempat kita bernaung.

Pak Kaduk bernasib baik kerana hanya ditukarkan ayam sabung. Kalau Demang jadi raja, Demang tangkap Pak Kaduk (ISA) atau halau Pak Kaduk dari negeri tersebut. Malah hukuman lazim bagi penderhaka di mana-mana negara ialah... bunuh.

Ada satu lagi peribahasa melayu yang menggunakan istilah 'kaduk' iaitu 'kaduk naik junjung'. Demang harap orang Melayu masih ingat maksudnya dan jangan biarkan itu berlaku.

Thursday, April 21, 2011

review: "Maafkan hamba, Jebat."

Sebaik selesai solat Isya' yang agak lewat, satu suara kedengaran memberi salam. Demang menjawab salam tersebut, melipat sejadah dan menuju ke jendela tanpa sempat berdoa. Kata guru Demang, utamakan tetamu sebab dengan Tuhan kita boleh 'bertemu bila-bila masa'.

Sebaik daun tingkap dibuka Demang melihat sesusuk tubuh lelaki tercegat di depan tangga teratak Demang. Cahaya bulan membantu Demang mengecam empunya tubuh tersebut.

"Ha, Dalik. Naiklah. Nanti hamba bukakan pintu." ujar Demang.

Sebentar kemudian Dalik sudahpun bersila mengadap Demang.

"Begini, Demang." Dalik mengengsot ke depan menghampiri Demang, hampir berlaga lutut. "Datuk Bendahara berkirim salam dan berharap Demang ke istana sekarang juga." Dalik menyampaikan pesanan.

Demang mengerutkan dahi. Kenapa ke istana? Bukankah Baginda Sultan sedang meminggir ke hulu lantaran amukan Jebat?

Ah, Jebat. Patutlah berdiam diri tatkala baginda menitahkan hukuman bunuh ke atas Tuah. Patutlah tunduk menekur lantai tatkala diserahkan taming sari dengan gelaran Laksamana. Rupanya menunggu kesempatan untuk merajalela. Habis dayang-dayang diperkosa, puluhan rakyat tak berdosa dibunuhnya.

Apa lagi yang dibuat Jebat? Sudah dibunuhnyakah baginda? Entahkan sudah dibakarnya istana? Berapa ramai lagikah rakyat yang diamuknya?

"Maafkan hamba Demang. Dato' Bendahara minta kita bersegera." Dalik memecahkan lamunan Demang.

"Seperkara lagi, Demang. Pesan Bendahara agar perkara ini dirahsiakan sangat-sangat. Hamba beredar dulu agar tidak ketahuan dek orang ramai. Nanti Demang ke sana seorang diri dan masuk melalui pintu rahsia." sambumg Dalik dengan berbisik.

"Baiklah. Hamba faham." balas Demang.

Tidak sukar untuk Demang memasuki istana melalui terowong rahsia. Belumpun tiba di balairong sudah terdengar bunyi orang berpencak. Demang mempercepatkan langkah sambil menghunus keris, sekadar bersedia.

Siapa gerangan yang berani mencabar Jebat? Kasturi? Lekir? Lekiu? Setahu Demang tak ada seorang pun mampu membendung amukan Jebat.

Tiba di balairong Demang terpegun. Apa benarkah penglihatan Demang?

Di tengah-tengah balairong kelihatan dua pendekar sedang bertarung. Jebat sedang menghadapi lawannya. Sekilas pandang sahaja susuk tubuh pencabarnya telah Demang kenal.

"Tuah?" Demang menelan liur. Kalimat itu sekadar tersangkut di kerongkong. Mata Demang terpaku pada pertarungan yang sedang berlangsung.

Sedetik Jebat menyerbu. Tubuhnya melayah ke udara sambil menggenggam kemas ulu keris dan menjunamkan mata runcing itu ke dada Tuah.

Namun Tuah tangkas mengelak ke kanan, menjatuhkan badannya dan dengan satu gerakan sepantas kilat beliau membentes keting Jebat.

Jebat terhumban ke depan namun sebelum dadanya sempat terhenyak pada lantai, tanpa diduga tapak tangannya menepuk lantai dan melentingkan tubuhnya, kemudian berdiri tegak di belakang Tuah.

Tuah terpaksa menjatuhkan tubuhnya sekali lagi serta berguling ke kanan mencari tapak selamat.

Namun Jebat tidak membiarkan Tuah berehat lama. Kali ini dia melompat tinggi untuk menyerang. Melihatkan itu, Tuah ikut melompat. Kedua-duanya beraksi di udara agak lama. Sepak, terajang dan tepis-menepis antara keduanya berlaku tanpa berpijak di lantai.

Dalam satu gerakan yang amat pantas, Tuah menendang lengan Jebat sehingga keris tamingsari yang digenggam Jebat melayang dan jatuh di depan Demang. Tidak cukup dengan itu satu tendangan padu hinggap di dada Jebat sehingga sahabatnya itu tertiarap hampir dengan tempat Demang berdiri.

Spontan, Demang menggulingkan tubuh ke depan, menyambar tamingsari yang tertancap di lantai dan merengkuh Jebat dari belakang. Demang mengunci jebat yang sedang tertiarap. Tanpa perlu membuang masa Demang mengangkat tamingsari dan menjunamkan mata keris itu ke arah dada Jebat.

Sebelum sempat mata keris itu menjamah tubuh Jebat tiba-tiba lengan Demang seolah dihayun oleh sebuah bandul yang amat berat. Keris tamingsari yang Demang sangka telah digenggam kemas terpelanting entah ke mana.

Demang memanggung kepala. Dua tubuh sasa tersenyum memandang Demang yang terpinga-pinga. Dato' Bendahara menghulurkan tangan kepada Demang dan menarik Demang berdiri. Tuah yang berdiri di sebelahnya membantu Jebat bangun sambil keduanya tertawa kecil.

"Sudahlah. Kita berhenti dulu. Demang pun dah tiba." Dato' Bendahara bersuara lembut.

Demang masih kebingungan. Apa ertinya semua ini?

"Sebagaimana yang Demang tahu, Tuah tidak hamba bunuh." Dato' Bendahara memulakan bicara. "Cuma Demang tidak tahu bahawa Jebatpun tidak ditikam oleh Tuah. Mana mungkin Tuah membunuh saudaranya sendiri. Memang Adi Putera telah meramalkan yang mereka berdua akan berlawan sesama sendiri. Justeru kami telah mengambil langkah awal agar perlawanan ini tidak sampai berakhir dengan kematian. Pun begitu, nyaris-nyaris tadi Jebat ditikam Demang. Syukurlah, perkara ini sudah hampir selesai." Bendahara menyambung.

"Astaghfirullahal’azim... Subhanallah…" ucap Demang penuh penyesalan. Ternyata Demang terburu nafsu sehingga hampir-hampir membunuh Jebat. "Jadi, Jebat tidak bersalah?" soal Demang.

"Hamba tidak mengatakan demikian. Sebagaimana Demang tadi, Jebat juga terdorong oleh nafsu. Tuah juga begitu. Malah hamba juga mungkin telah melakukan kesilapan. Masing-masing ada kesilapan. Namun itu bukan alasan untuk kita melakukan kesilapan yang lebih besar." Bendahara merenung wajah-wajah yang sedang mengadapnya itu silih berganti.

"Peristiwa ini menjadi pengalaman amat berguna dalam kita membina negara. Baginda Sultan adalah payung negara sedangkan kitalah bahan binaannya."

"Hamba mempertahankan Sultan bukan bererti hamba tidak mengendahkan nasib rakyat malah kerana memikirkan nasib rakyatlah hamba pertahankan sistem beraja.

Tuah, hamba asuh dan didik sejak kecil untuk setia mempertahankan negara. Tuah tidak kembali kerana perintah Sultan Mahmud sebaliknya kerana hamba yang bersungguh-sungguh meminta. Bukan Sultan Mahmud yang kami bela sebaliknya Kesultanan Melayu (khalifah Islam) itu yang kami pertahankan.

Jebat adalah pelindung pada sahabatnya tidak kira apapun situasi. Namun untuk menentang Sultan, Tuah perlu dilepasi kerana selagi Tuah masih hidup tidak ada sesiapa boleh menyentuh Sultan dan juga Bendahara.

Itulah sebabnya Jebat tidak membantah ketika Sultan menjatuhkan hukuman ke atas Tuah. Baginda tidak akan menerima bantahan Jebat. Jika Jebat berkeras maka Tuah pasti akan membunuh Jebat kerana itu adalah tugasnya." Bendahara menerangkan dengan agak tegas.

Kemudian beliau menyambung sambil tersenyum: "Malah jika hamba sendiri cuba menderhaka maka Tuah tidak akan ragu-ragu menamatkan riwayat hamba."

"Ah, selama ini hamba mencurigai Jebat dan menuduhnya tanpa mampu membela diri. Maafkan hamba, Jebat.” Demang tunduk menekur lantai. Terasa malu kerana pernah bersikap lancang menghina Jebat. Padahal Jebat sekadar melaksanakan tanggungjawabnya.

“Tuan hamba tidak sepenuhnya bersalah, Demang. Sewajarnya tuan hamba berpihak kepada Tuah cuma pandangan terhadap Jebat perlu diubah. Jebat tidak menderhaka atas kepentingan peribadi sebaliknya sekadar untuk menyedarkan sultan yang lalai dengan tanggungjawab baginda. Jika Jebat benar-benar ingin merampas kuasa, sudah lama beliau melakukannya kerana dengan tamingsari di tangan, siapakah yang layak menahannya?” Bendahara menjelaskan.

Seterusnya beliau menambah: "Demang, sampaikan kisah ini pada anak cucu kita. Katakan pada mereka bahawa Jebat sudah menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang sahabat. Tuah sudah menunaikan tanggungjawabnya sbg seorang Laksamana dan pelindung Sultan. Hamba pula telah melakukan yang terbaik bagi menjaga semua kepentingan itu di samping memastikan negara ini selamat untuk didiami oleh rakyat.”

“Moyang kita iaitu Demang Lebar Daun telah mengasaskan sistem kesultanan ini. Sistem hanyalah sebuah kaedah. Tidak ada sistem yang betul atau salah sebaliknya manusialah yang tidak amanah kepada sistem. Jika Iskandar Zulkarnain mendapat penasihat seorang nabi (Khaidir), mustahilkah Sang Sapurba tidak diberikan seorang wali (Demang Lebar Daun)?”

“Bagaimanakah generasi tuan hamba Demang begitu yakin yang raja Melaka hanya memeluk Islam pada 1414 sedangkan ditemui batu bersurat di Terengganu bahawa Islam telah tiba di bumi bertuah ini jauh lebih awal dari itu? Bukankah itu satu bukti yang Islam sudah bertapak jauh lebih awal di Kepulauan Melayu?”

“Tidakkah itu suatu isyarat bahawa Demang Lebar Daun sudah menerima Islam lebih awal?”

“Hamba nasihatkan, dalam keadaan dunia tuan hamba yang begitu bercelaru ini, kembalilah kepada jati diri kalian. Apa salahnya Melayu kekal menjadi Melayu, Cina kekal sebagai Cina dan India kekal sebagai India. Begitu juga dengan kaum-kaum lain. Jadikan perbezaan dan kepelbagaian tersebut sebagai kelebihan dan keistimewaan yang jika disatukan akan menjadi harta yang tak ternilai. Hamba sudah melakukannya di Melaka pada zaman kami dahulu. Lihatlah kepelbagaian penduduk di Melaka ketika itu dan bagaimana hamba garap semuanya bagi membina negara. Tidakkah tuan hamba pelik bagaimana Melaka yang dimulakan pada 1400 berjaya menjadi empayar terbilang tidak sampai 20 tahun. Walaupun kami cuma mampu bertahan selama 110 tahun namun kami berjaya mencapai kegemilangan yang belum mampu dikecapi oleh generasi tuan hamba.”

“Semaklah sejarah dan pelajari sesuatu yang positif. Jangan terlalu mempersoalkan sebab kejatuhan dan keruntuhan Melaka. Fikirkan cara untuk melakukannya dan jangan sesekali mengambil hak orang lain.” Bendahara menamatkan bicara.

Bendahara menghampiri Demang dan menghulurkan tangannya. Terasa satu gerakan lembut pada bahu Demang: “Bang, bangun. Apasal tidur kat sini?”

Demang membuka mata. Rupa-rupanya isteri Demang mengejutkan Demang daripada lena. Hmm, Demang bermimpi rupanya.

Friday, June 12, 2009

Luncai 1



Menurut cerita orang tua-tua, Luncai adalah seorang pemuda hodoh (bukan bodoh). Mukanya menggerutu, kepalanya besar, tubuhnya pendek, dan berperut buncit.

Ibu bapa Luncai sudah meninggal dunia dan Luncai juga kurang bergaul dengan orang ramai. Gemulah ibu bapanya juga tidak meninggalkan harta untuknya.

Pada suatu hari Luncai terfikir untuk mengadukan nasibnya kepada raja. Maka dia pun berjalan ke istana.

Setelah mendapat keizinan, maka Luncai pun dibawa mengadap raja. Ketika ia tiba, raja baru selesai bercukur,

Sebaik terpandangkan raja, Luncai menangis teresak-esak sehingga menimbulkan kehairanan raja dan juga pembesar yang ada di situ.

"Kenapa engkau menangis wahai Luncai?" tanya raja.

"Bagaimana hamba tidak menangis sedangkan sebaik terpandang tuanku, hamba segera teringat pada bapa hamba yang telah meninggal dunia. 'Ulu' tuanku sama seperti 'ulu' bapa hamba." ucap Luncai.

Mendengar kata-kata Luncai itu raja merasa terhina dan menjadi murka. Merah padam muka baginda kerana disamakan kepalanya dengan kepala bapa Luncai.

Maka tanpa berfikir panjang raja segera memerintahkan pengawalnya membawa Luncai keluar untuk dibunuh kerana mengaibkan baginda.

Demang tangguhkan cerita Luncai pada bahagian ini bagi mengaitkannya dengan kedudukan raja hari ini.

Apabila parlimen Malaysia membuat keputusan bagi mengurangkan kuasa raja, maka ramai yang menganggap bahawa kerajaan sudah membuang kuasa raja. Padahal itu tidak benar sama sekali.

Pindaan perlembagaan hanya meliputi salah laku raja-raja dalam bentuk jenayah peribadi, bukannya berkaitan kedudukan baginda selaku seorang raja yang berdaulat.

Sekiranya kes Luncai terjadi pada zaman ini, nasib Luncai akan terbela. Raja yang 'membunuhnya' boleh dibawa ke muka pengadilan. Namun bukan lah di mahkamah biasa. Sebuah mahkamah khas akan ditubuhkan dan semua raja-raja Melayu akan terlibat sama. Di situ, raja dan Luncai akan dibicarakan dan masing-masing berhak mempertahankan diri.

Jika kita imbas kembali salah satu isu yang meniti dari mulut ke mulut rakyat ketika itu ialah perihal seorang raja yang memukul hingga mati seorang 'kedi' yang mentertawakan baginda kerana gagal memasukkan bola golf pada jarak yang munasabah.

Itulah salah satu sebab perlembagaan itu dipinda, yakni untuk kebaikan raja dan rakyat.

Pindaan yang dibuat pada Perlembagaan langsung tidak menyentuh kuasa Yang Dipertuan Agong dalam perkara-perkara seperti Perkara 153 iaitu bersabit hak istimewa orang Melayu.

Lantas Demang hairan dengan dua isu yang cuba dibawa oleh pihak pembangkang iaitu:

1) Dakwaan pembangkang bahawa UMNO telah mengurangkan kuasa raja.

2) Isu Manohara yang sengaja diperbesarkan yang boleh merosakkan kepercayaan rakyat terhadap raja.

Malah Demang lebih hairan lagi kerana kedua-dua isu yang diperjuangkan pembangkang tersebut saling bertentangan.

Apa sebenarnya yang pembangkang mahu?

(...bersambung)

(foto: luncaifc.googlepages.com) TQ.

Tuesday, July 8, 2008

Lebai Malang: antara realistik dan idealistik

Ramai yang bertanya Demang tentang kebenaran Sejarah Melayu (Salasatus Salatin, Tun Sri Lanang) dan Hikayat Hang Tuah. Demang malas nak berbalah semula tentang ini dengan sesiapapun. Bagi orang yang mengikuti tulisan Demang pasti dapat mengesan bahawa Demang kurang gemar menghakimi salah-benar sesuatu perkara. Lagipun pakar-pakar dalam bidang berkenaan sudah membahaskannya dengan saksama.

Yang lebih penting ialah bagaimana kita mengambil pengajaran daripada perkara tersebut.

Kali ini Demang akan membawa sebuah kisah lama yang lebih dongeng lagi.

Selamat ketawa.

Konon pada masa dahulu di sebuah desa tinggal seorang lelaki yang dipanggil Pak Lebai. Rumah Pak Lebai terletak di tepi sebatang sungai.

Pada suatu hari datanglah seorang lelaki ke rumah Pak Lebai. Tujuan lelaki itu ialah untuk menjemput Pak Lebai ke rumahnya untuk majlis kenduri. Rumah lelaki itu terletak di sebuah kampung di hulu sungai itu.

Maka berjanji lah Pak Lebai untuk hadir ke majlis tersebut.

Tidak berapa lama kemudian datang pula seorang lelaki lain ke rumah Pak Lebai. rupa-rupanya lelaki itu juga ingin menjemput Pak Lebai menghadiri kenduri di rumahnya. Rumah lelaki itu pula terletak di hilir sungai.

Selepas kedua-dua lelaki itu berlalu maka Pak Lebai pun memasang strategi bagi membolehkannya hadir di kedua-dua majlis tersebut.

Kedua-dua majlis akan diadakan serentak. Pak Lebai akan menggunakan perahu untuk pergi ke kedua-dua majlis.

Pak Lebai merancang untuk pergi ke kampung di hulu terlebih dahulu. Selepas makan di situ Pak Lebai akan segera berdayung ke kampung di hilir pula. Pergerakan menghilir akan mempercepatkan perjalanan Pak Lebai.

Keesokan harinya, Pak Lebai memberitahu isterinya hajat untuk ke rumah kenduri. Pak Lebai turut berpesan agar tidak menyimpan makanan untuknya kerana dia pasti kenyang setelah hadir di dua kenduri.

Sebenarnya Pak Lebai sudah terlewat. Namun Pak Lebai bertekad untuk hadir di kedua-dua majlis. Dia melihat arus sungai dan berfikir sejenak. Jika dia terus ke kampung hilir dia akan sampai tepat pada waktunya. Namun sudah pasti dia tidak akan sempat ke kampung hulu.

Sebaliknya jika dia ke kampung hulu, dia akan terlewat sedikit kerana terpaksa berdayung menongkah arus. Namun dia mendapat kelebihan berdayung ke kampung hilir kerana perjalanan menghilir akan lebih lancar.

Maka Pak Lebai mengambil keputusan untuk ke kampung hulu terlebih dulu. Ini memberi peluang kepadanya untuk hadir di kedua-dua majlis biarpun terlewat sedikit.

Ketika Pak Lebai tiba di kampung hulu, majlis telah hampir selesai. Meskipun begitu semua makanan telah habis. Pak Lebai rasa kecewa namun segera bergegas ke kampung hilir pula.

Namun sesampainya di sungai arah aliran telah berubah. Fenomena pasang surut laut menyebabkan perjalanannya kali ini juga terpaksa melawan arus. Dengan bersusah payah Pak Lebai berdayung ke kampung hilir. Sekali lagi Pak Lebai bernasib malang kerana majlis telah pun selesai. Tuan rumah meminta maaf kerana semua makanan telah habis.

Dengan perut yang lapar Pak Lebai berkayuh pulang ke rumah. Dia berharap dapat makan di rumah. Malang sungguh apabila isterinya telah membuang semua makanan kerana itulah pesan Pak Lebai sebelum keluar tadi.

Selama ini masyarakat lebih gemar melihat nasib malang tersebut berpunca dari ketamakan seorang ‘lebai’. Bagi Demang itu bukan tafsiran tetapi tuduhan melulu. Demang sudah sebutkan dalam tulisan sebelum ini bahawa tinggalan nenek moyang kita tidak boleh dilihat selapis sahaja.

Tuduhan bahawa Pak Lebai seorang yang tamak adalah tidak adil malah bersifat prejudis.

Demang rasa dalam versi asal Lebai Malang, beliau tidak begitu. Silapnya Pak Lebai ialah kerana cuba memenuhi harapan semua orang dan tidak mahu menghampakan harapan orang.

‘Lebai’ dalam masyarakat Melayu berbeza dengan ‘haji’. ‘Pak Lebai’ dilihat lebih warak, jujur dan suka menolong orang. Biarpun ilmu mereka tidak sehebat ulama’ atau ustaz, namun mereka terkenal sebagai ahli abid (ahli ibadat).

Lazimnya golongan lebai tidak kaya. Jika kaya mereka akan mampu menunaikan haji dan gelaran ‘lebai’ akan diganti dengan ‘haji’. Namun mereka amat dihormati masyarakat dan dianggap serba boleh. Seorang ‘lebai’ biasanya boleh menggantikan imam, siak, bilal, dan macam-macam lagi sebaliknya imam, siak, bilal dan lain-lain itu tidak semestinya seorang ‘lebai’.

Dalam kisah di atas, watak si malang dikaitkan dengan seorang lebai. Kenapa?

Pada taakulan Demang, watak ‘lebai’ digunakan bagi menunjukkan seorang yang warak, jujur dan sentiasa berniat baik akhirnya ‘kecundang’ kerana silap perkiraan.

Ada pendapat yang menganggap kisah ini bikinan penjajah atau musuh Islam bagi memburukkan imej Pak Lebai. Demang tidak fikir begitu.

Jika watak antagonis (watak jahat) digunakan untuk digandingkan dengan nasib malang maka ia adalah sesuatu yang biasa dan membawa kesan lain pula kepada audien. Dengan kata lain, mesej sebenar yang ingin dibawa oleh pengarangnya tidak akan kesampaian.

Sebagai contoh, pengarang tersebut membawa kisah Pencuri Malang, Penipu Malang, Pembunuh Malang dan sebagainya.

Bagi Demang, Si Lebai Malang adalah tipa (type) segelintir masyarakat sejak dulu hingga kini. Si Lebai Malang mencerminkan hasrat murni dan cita-cita kudus masyarakat yang mendambakan sebuah negarabangsa yang ideal dan sempurna.

Lihat semula Pak Lebai tadi. Dia menyangka yang dia dapat memenuhi harapan semua orang. Dia rasa tidak patut menghampakan harapan orang yang sanggup datang dari jauh untuk menjemputnya.

Lihat semula cerita di atas. Adakah kenduri tersebut sebuah majlis yang besar sehingga dijemput penduduk dari kampung lain?

Kalau kenduri besar seperti kenduri kahwin, Pak Lebai tidak akan terlewat sebab atur cara jamuannya lebih panjang. Demang berpendapat kenduri tersebut hanyalah kenduri kecil seperti kenduri arwah.

Itulah sebabnya Pak Lebai begitu beriya-iya untuk memenuhi kedua-dua jemputan. Jemputan ke atas Pak Lebai mungkin memintanya mengetuai bacaan doa dan tahlil. Tanpa kehadiran Pak Lebai barangkali majlis tersebut tidak sempurna.

Itulah kesilapan Pak Lebai yakni menyangka tanpa penyertaan beliau majlis tidak dapat dijalankan. Sepatutnya Pak Lebai akur bahawa dia tidak mampu berada di dua tempat dalam satu masa. Adalah bijak jika Pak Lebai hanya menerima satu jemputan dan menolak jemputan kedua.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Kembali ke alam nyata, adakah dunia ini ideal dan sempurna? Ya, itulah yang kita harapkan. Secara jujur mari kita bertanya pada diri sendiri: adakah aku sempurna? Adakah aku LAYAK dilayan dengan sempurna? Adakah aku BERHAK dilayan dengan sempurna? Adakah semua orang di sekelilingku perlu sempurna sedangkan aku sendiri tidak sempurna?

Inilah yang sering kita terlepas pandang. Dalam hubungan suami-isteri misalnya. Si suami mengharapkan isterinya sempurna begitu juga sebaliknya. Kita sering mengharap: 'sepatutnya begini, sepatutnya begitu.'

Adakah kita juga bertanya pada diri sendiri soalan yang sama?

Bagaimana pula hubungan rakyat dengan pemimpin?

Terdapat segelintir rakyat yang percaya bahawa pemimpin tidak boleh membuat kesilapan. Rakyat boleh buat silap sebab mereka hanya rakyat biasa yang tidak sunyi dari melakukan kesilapan.

Rakyat boleh menerima rasuah atau memberi rasuah, contohnya bagi mengelakkan kena saman. Mereka sedar perbuatan itu salah tetapi sering berharap mereka dimaafkan.

Dalam membina negara terutamanya seperti Malaysia yang berbilang kaum ini kita perlu realistik dan bukannya idealistik. Kita mesti berusaha mencapai yang terbaik namun harus sentiasa sedar bahawa tiada yang sempurna.

PRU12 baru berakhir. Hal ini bermakna penggal baru bagi kerajaan yang baru, baru bermula. Sepatutnya ini adalah masa untuk bekerja, baik kerajaan mahupun pembangkang.

Sementara kerajaan melaksanakan dasar-dasar yang telah diputuskan bersama, pihak pembangkang bertanggung jawab menegur dan memantau. Namun perlu dilakukan di dalam parlimen, bukan di tepi jalan. Kita ada peraturan.

Sukarkah mengubah kebiasaan? Kalau itu pun susah nak ubah, macam mana nak mengambil alih kerajaan nanti?

Satu lagi, jangan sekali-kali berkempen sekarang. PRU13 lambat lagi. Rakyat terutamanya penjawat awam perlu digalakkan untuk bekerja bersungguh-sungguh. Jangan hasut mereka membenci kerajaan. Itu bukan teladan yang baik. Malah bukan juga amalan yang baik. Apatah lagi jika anda seorang ustaz atau ulama.

Empat tahun lagi, yakni di penghujung penggal ini PRU13 akan diadakan. Pada masa itu bukalah rekod perkhidmatan kerajaan. Check satu-satu. Bentangkan dan kemukakan pada rakyat dengan jujur dan ikhlas serta penuh tanggung jawab. Sertai PRU13 sebagai calon dan berkempen lah dengan semangat setiakawan.

Demang yakin dan percaya bahawa rakyat semakin bijak menilai.

Wallahu’alam.

Tuesday, April 29, 2008

Siapa wira? Tuah atau Jebat?

"Yang kubunuh bukan seorang sahabat sebaliknya orang yang cuba meruntuhkan sebuah sistem pentadbiran negara." Tun Tuah.

Situasi 1
Tarikh: tidak diketahui
Tempat: Bukit Saguntang
Peristiwa: Pertabalan Sang Sapurba sebagai raja Melayu pertama.

Catatan sejarah:
Demang Lebar Daun mempunyai kuasa mutlak untuk mempertabalkan dirinya sendiri sebagai raja yang sah. Malah beliau sememangnya penguasa sebenar di Bukit Saguntang. Namun beliau memilih untuk menabalkan Sang Sapurba sebagai raja.

Situasi 2
Tarikh: awal abad ke 15
Tempat: Melaka
Peristiwa: Bendahara Sri Wak Raja ditemui mati akibat 'keracunan'.

Catatan Sejarah:
Tun Perak tetap setia kepada kerajaan Melaka meski ayahandanya disingkir oleh sultan, ditemui mati dan beliau sendiri terpaksa membawa diri ke Ulu Kelang. Mengikut adat Melayu Tun Perak berhak dilantik menggantikan ayahandanya.

Situasi 3
Tarikh: sekitar 149x
Tempat: Istana Melaka
Peristiwa: Jebat merampas istana/menderhaka.

Catatan sejarah:
Tun Tuah mempunyai peluang yang besar untuk berpakat dengan Hang Jebat bagi mengambil alih pentadbiran Melaka ekoran 'kejayaan' Hang Jebat menggulingkan sultan ketika itu.

Situasi 4
Tarikh: beberapa tahun sebelum 1511
Tempat: Kota Melaka
Peristiwa: Bendahara Seri Maharaja sekeluarga dihukum bunuh atas dakwaan merancang rampasan kuasa.

Catatan sejarah:
Bendahara Seri Maharaja berpeluang untuk membantah hukuman bunuh yang dijatuhkan ke atas beliau sekeluarga. Beliau ketika itu dalam posisi sangat kukuh dari segi politik dan ekonomi sebaliknya beliau melarang para pengikutnya daripada memberontak.

Situasi 5
Tarikh: 1946
Tempat: Tanah Melayu
Peristiwa: Malayan Union

Catatan sejarah:
Raja-raja Melayu telah menyerahkan Tanah Melayu kepada Inggeris. Dato' Onn Jaafar berjaya merampasnya semula dan menyerahkan kembali kuasa kepada institusi beraja dengan beberapa penambahbaikan.

Situasi-situasi di atas secara mudah ditafsirkan oleh penganut sosialisme dan komunisme sebagai keputusan bodoh hamba-hamba feudal.

Dalam peristiwa-peristiwa di atas, pengambilalihan kuasa bukan sahaja tidak berlaku malah sejarah mencatatkan betapa institusi beraja kekal hingga ke hari ini dengan beberapa penambahbaikan.

Mengapa tokoh-tokoh Melayu terbilang tersebut tidak membantah keputusan raja yang mereka yakini sebagai tidak adil?

Mari kita fikirkan bersama.

Demang Lebar Daun sebenarnya sedang membina negara.

Jika beliau menjadi raja, siapakah yang beliau yakin boleh memimpin rakyat untuk setia kepada raja? Adakah raja itu sendiri? Mampukah seorang manusia raja membina negara seorang diri?

Maka Demang Lebar Daun yang bijaksana memilih untuk berperanan sebagai penyokong dan pembantu setia kepada ketua. Beliau mengenepikan kepentingan peribadi padahal ketika itu tiada siapa akan membantah jika beliau sendiri yang menjadi raja. Berbanggalah kita selaku cucu cicit beliau yang tidak mementingkan diri sendiri sebaliknya meletakkan kepentingan negara sebagai perjuangan utama.

Meletakkan seseorang di singgahsana sebagai satu simbol dan rujukan merupakan satu percaturan politik yang bijak dan berhikmah.

Pada prinsipnya sebuah kumpulan yang hebat mestilah mempunyai ketua yang hebat. Individu yang hebat sebenarnya ramai, terpulanglah kepada kita untuk memilih, mengiktiraf dan mempertahankannya. Membuka peluang kepada semua orang untuk jawatan tertinggi dalam negara hanya akan menggalakkan perpecahan yang lebih besar. Konsep raja sangat berbeza dengan pemimpin diktator. Seorang diktator boleh muncul dari kalangan rakyat biasa yang kemudian memaksa rakyat menerima perintahnya. Sebaliknya seorang raja diterima dengan redha oleh rakyat sebagai satu ketentuan Ilahi yang tidak boleh dipertikaikan. Penderhakaan kepada raja adalah penderhakaan terhadap rakyat itu sendiri. Menentang konsep redha samalah seperti menentang Qadha dan Qadar Allah. Penulis bukan membincangkan soal dosa dan pahala atau halal dan haram. Sebaliknya hanya melihat pada fikrah manusia yang hidupnya sudah ditentukan takdir, samada mahu atau tidak mahu; redha atau tidak redha. Malah orang yang tidak percayakan takdir juga di suatu masa terpaksa bersemuka dengan takdir yang ditentukan ke atasnya. MAUT.



April, 2008

Politik negara kini sedang bercelaru. Rakyat sedang keliru dan tertanya-tanya tentang apa yang berlaku. Individu-individu yang menganggap diri mereka sebagai pemimpin rakyat bergerak ke sana ke sini cuba menawarkan penyelesaian. Padahal mereka sebenarnya tidak ubah seperti tikus membaiki labu.

Sebenarnya mereka cuma berminat memperbaiki kedudukan masing-masing.

Setakat ini belum nampak lagi bayangan Demang Lebar Daun atau Tun Tuah atau Tun Perak atau Tun Mutahir maupun 'Tun' Onn Jaafar dalam kalangan individu yang mendakwa ingin 'membetulkan' keadaan itu. Setakat ini yang ada hanyalah Jebat yang tiba-tiba dinobatkan sebagai wira baru orang Melayu. Padahal si Jebat sebelum itu tidak pernah membantah hukuman bunuh yang dijatuhi ke atas Tun Tuah. Jebat hanya mendapat 'ilham' untuk menuntut bela atas kematian Tun Tuah hanyalah selepas terkejut menerima kunjungan sahabatnya itu yang disangka telah mati.

Bukankah itu sekadar alasan orang yang terdesak?

Selepas PRU ke 12 selesai, berlaku beberapa peristiwa yang mempunyai mesej yang sama iaitu "raja masih berkuasa". Isu perlantikan Menteri Besar (bendahara) di Perlis, Perak, Selangor dan Terengganu menyedarkan rakyat bahawa mereka masih mempunyai raja. Di tengah-tengah keghairahan sesetengah pemimpin berebut kuasa mereka lupa bahawa negeri-negeri Melayu ini adalah milik raja.

Dunia bukan sahaja belum kiamat (meminjam kata-kata Pak Habib), malah negara kita baru bermula. Masih belum terlambat untuk kita memperbetulkan keadaan. Pemerintahan negara perlu diletakkan pada landasannya semula. Asas yang dirintis oleh moyang kita iaitu Demang Lebar Daun perlu dirujuk dan dihayati.

Daulatkan semula raja-raja Melayu! Bukan sekadar satu simbol malah sebagai ikon yang 'hidup'. Negara Britain bukan sahaja hebat dan gagah di bawah naungan raja mereka malah mereka lebih dihormati di mata dunia. Lihat pula US yang dianggap hebat dan gagah. Adakah mereka lebih dihormati dan kelihatan lebih bertamadun? Dari segi material mungkin benar. Tetapi dewasa ini US lebih dilihat sebagai negara paksi kejahatan dan ikon kurang ajar. Lihat juga Soviet Union yang telah runtuh; negara China, India dan jiran kita Indonesia yang membuang raja-raja mereka. Lebih hebatkah mereka berbanding Jepun dan Belanda yang masih mengekalkan raja meski sekadar simbol?

Malah jika tidak kerana serangan ekonomi sekitar 1998, Thailand juga mampu menjadi contoh negara maju di bawah naungan raja.

Bagaimana pula dengan Brunei? Lemahkah mereka? Kucar kacirkah Arab Saudi dan Kuwait? Amankah Iran dan Iraq yang pernah berada di kemuncak kegemilangan semasa raja masih berkuasa? Kemudian, kita ambil iktibar jiran kita Kemboja yang membuang raja mereka setelah terpedaya dengan janji manis komunis. Apa yang terjadi kepada Turkey setelah runtuhnya dinasti Islam yang berkerajaan di situ? Baca sejarah Mustafa Kamel Atta Turk Al Yahudi.

Selama ribuan tahun hampir semua negara bangsa diterajui raja masing-masing. Rupa-rupanya keadaan begini bukan disenangi oleh semua pihak. Ternyata kesetiaan rakyat terhadap raja menyukarkan zionist merealisasikan protokol mereka. Lantas para pemuka Yahudi diam-diam menaja ideologi baru yang begitu indah. Konflik antara raja dengan rakyat!

Bumi mana mana tak ditimpa hujan, laut mana yang tak bergelora. Itulah adat dunia. Lautan, meski sering mengambil korban namun tidak pernah lupa menyalurkan rezeki. Begitu juga institusi raja. Meski ada kelemahannya namun system itu jauh lebih baik daripada komunis dan sosialis. Buktinya? Lihatlah sejarah dunia dan bandingkan pencapaian kerajaan beraja dengan kerajaan tanpa raja. Bandingkan kejayaan sesebuah Negara semasa mempunyai raja dengan keadaan Negara tersebut selepas tiada raja.

Bagaimana dengan Malaysia? Tulisan kali ini hanyalah satu permulaan. Teruslah mengikuti tulisan dalam blog ini dari semasa ke semasa.

Wallahu'alam.

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)