Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Showing posts with label cerita. Show all posts
Showing posts with label cerita. Show all posts

Monday, November 23, 2009

Pakatan dalam Demokrasi


Situasi 1
Seorang lelaki masuk ke dalam sebuah pejabat pos dan terus ke kaunter tanpa mengambil giliran. Tindakannya segera ditegur oleh pengawal keselamatan.

Pengawal: Maafkan saya, encik kena ikut giliran
Lelaki: Bukankah PM kata 'rakyat didahulukan'?
Pengawal: Cuba Pakcik lihat di belakang, orang lainpun rakyat juga.

Mesej: itulah sistem

Lelaki itu pergi kepada orang ramai dan berkata sesuatu. Sebahagian daripada mereka mengangkat tangan manakala selebihnya tidak. Kemudian lelaki itu keluar.

Mesej: itulah demokrasi

Keesokan harinya lelaki itu masuk ke pejabat pos tersebut dan terus ke kaunter. Pengawal keselamatan sekali lagi menjalankan tugasnya:

Pengawal: Maafkan saya, encik kena ikut giliran
Lelaki: Bukankah PM kata 'rakyat didahulukan'?
Pengawal: Cuba Pakcik lihat di belakang, orang lainpun rakyat juga.
Lelaki: oh, begitu. Cuba awak pula lihat di belakang.

Pengawal tersebut melihat ke belakangnya dan nampak sekumpulan manusia siap dengan sepanduk bertulis, 'Kami mahu Pak Murad didahulukan'.

Mesej: itulah pakatan

Demang tidak katakan pakatan tersebut adalah pakatan pembangkang sebaliknya ia adalah tindakan sesiapa sahaja yang faham tentang kuasa dan tahu bagaimana mendapatkan kuasa serta menggunakan kuasa itu bagi tujuan tertentu.

Sepatutnya Demang huraikan lebih panjang namun dalam masa yang terbatas Demang ingin mengajak anda merenung kata-kata bahawa 'minoriti boleh mengalahkan majoriti dalam demokrasi. Bagaimana?

Foto tindakan membakar bendera:
bakar2 jpg shahnon.com

Sunday, November 22, 2009

PAS dan hantu raya


Jika melihat pada keadaan Pok Soh, siapapun tidak menyangka yang orang tua itu boleh secergas itu sekarang. Manakan tidak, dua bulan beliau terbaring dengan mata terbeliak mengadah siling di terataknya. Hanya Bedah, anak sulungnya yang setia menunggu dan merawatnya. Kebetulan rumahnya tidak jauh dari situ.

Tanpa disangka-sangka pada suatu senja Pok Soh bangun tercacak seolah-olah dia tidak pernah sakit sebelum ini. Setelah menghabiskan seperiuk nasi tanpa lauk yang ditinggalkan Bedah, Pok Soh keluar dan hanya kembali menjelang pagi.

Hari-hari berikutnya berjalan seperti biasa. Pok Soh semakin kuat dan kebunnya pun bertambah makmur dan subur. Selain itu dia juga ke sungai mencari ikan dan ke hutan menarik rotan.

Hanya Tok Jamun yang agak resah sendirian. Tok Jamun adalah sahabat seperguruan Pok Soh. Sejak Pok Soh sihat, tidak sekalipun Tok Jamun menziarahimya. Hal ini kerana Tok Jamun yang sudah berusia 98 tahun itu tahu bahawa yang ke hulu ke hilir menunggang batang tubuh Pok Soh itu bukan lah Pok Soh yang sebenar, sebaliknya hantu raya belaan Pok Soh.

Sebenarnya Pok Soh sudah meninggal dunia.

Begitulah yang Demang perhatikan pada PAS. Jika tidak kerana penyingkiran Anwar pada 1999, PAS sudah lama ditalkinkan. Kekuatan yang seolah-olah ada pada PAS hari ini adalah kerana meminjam roh Anwar yang sepatutnya meninggalkan jasad politiknya pada 1999.

Sayangnya Anwar sendiri menghadapi masalah besar dari sehari ke sehari. Mari kita lihat jadual keruntuhan regim Anwar dengan keluarnya tokoh-tokoh berikut daripada PKR:

1) Timbalan Presiden, Chandra Muzaffar
2) Ketua Angkatan Muda, Ezam Mohd Nor
3) Ketua Penerangan, Ruslan Kassim
4) Ahli Majlis Tertinggi, Datuk S. Nallakarupan
5) Ketua Wanita, Neil Onn,
6) Naib Presiden, Marina Yusuf
7) Setiausaha Agung, Mohd Anuar Tahir
8) Bendahari Agung, Abd Rahman Osman
9) Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari
10) Setiausaha Angkatan Muda, Lokman Noor Adam
11) Naib Ketua Pemuda, Muhd Zahid Md Arip
12) Timbalan Pengarah Pilihanraya, Hamdan Taha

Seterusnya beberapa ADUN PKR telah bertindak menjadi ADUN bebas:

1) ADUN Beharang, Jamaludin Mohd Radzi
2) ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd Osman Jailu
3) ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah

Sementara itu beberapa orang lagi pemimpin PKR bertindak meletakkan jawatan atas beberapa isu:

1) V. Arumugam, ADUN Bukit Selambau
2) Mohd Fairus Khairudin, ADUN Penanti
3) Naib Presiden, Datuk Jeffrey Kitingan
4) Ahli Majlis Tertinggi, Christina Liew

Maka jika anda masih bersama PKR sehingga kini, bermakna anda sudah jauh ketinggalan zaman. Kalau Setiausaha Sulitpun sudah tidak percayakan beliau, siapakah anda yang masih mahu mempercayainya?

Berbalik pada PAS, kerosakan PAS juga berlaku dari dalam. Sebelum berita Husam keluar di akhbar pagi ini, Demang sudah menulisnya dua hari yang lepas. Sebenarnya Demang mendapat tahu lebih awal dari itu.

Nik Aziz pula cuba menjadi juara dengan mempengaruhi banyak keputusan dan sering pula bercanggah dengan pendirian Presiden sebenar PAS, Hj Hadi. Biarpun Hj Hadi cuba mencelah, namun populariti Nik Aziz semakin bertambah sementelah dicadangkan menjadi ketua pakatan rakyat sekaligus mengenepikan Anwar Ibrahim.

Berita pagi ini mencatatkan betapa Nik Aziz cuba memujuk Husam agar tidak meletakkan jawatan.

Kenapa ya? Adakah pemergian Husam akan memadamkan semua impian Nik Aziz?

Para menyokong Hj Hadi mengikuti episod ini dengan penuh debaran.

sumber:
Foto hiasan adalah hantu pocong, bukan hantu raya daripada 'hantu pocong' fazli.com.my
Info PKR, Mingguan Malaysia 15/11/09

Saturday, June 27, 2009

Hikayat Sang Pendendam


Kisah Sang Pendendam ini sudah diceritakan oleh nenek moyang Demang sejak ratusan tahun dahulu lagi. Sudah kerap benar Demang mendengarnya. Sudah hafal benar oleh Demang akan jalan ceritanya. Namun kisah tersebut terus diulang-ulang ke telinga Demang biarpun sudah puas Demang meminta agar kisah itu dihentikan sahaja. Demang tidak mahu mendengarnya lagi. Demang sudah bosan.

Namun hari ini kisah itu berulang lagi. Maksud Demang, diulang lagi. Sebagaimana juga sebelum ini, ulangan kali ini juga ’terdapat sedikit tambahan’, kata si empunya ceritera.

Demang hanya tersenyum sinis. Tambahan? Tidak; Sebenarnya ia hanya satu ulang tayang. Seperti juga semalam. Seperti juga kelmarin. Seperti juga kelmarin dulu.

Selama-lamanya pun begitu.

Hari ini, Sang Pendendam mengajak lawannya berkelahi pula. Bertengkar. Berdebat, katanya. Jika tidak mahu, maka bolehlah dituduhnya sebagai pengecut pula.

Begitulah lazimnya Sang Pendendam.
(foto: red devil m4r00n3d flickr.com) TQ.

Friday, June 5, 2009

Konsep sebab & akibat




Perjalanan petang di lebuhraya dalam cuaca yang begitu panas memaksa kami singgah di R&R Jejantas Ayer Kroh. Sekadar untuk membeli air bagi menghilangkan dahaga.

Namun tidak semena-mena perut memulas. Demang segera bergegas ke tandas yang disediakan PLUS.

Apabila kembali ke kereta, isteri Demang memberitahu bahawa beliau telah memberikan sebotol minyak Morhabshi pada sebuah keluarga yang turut berhenti di situ.

Demangpun menghampiri keluarga tersebut untuk bertanya khabar.

Kata isteri Demang bayi keluarga tersebut tiba-tiba menangis dan matanya membeliak sambil memandang ke atas. Pasangan tersebut kelihatan panik.

"Lepas guna minyak Morhabshi, 'baby' tu terus diam," putera Demang yang berusia 10 tahun menyampuk.

Demang terdiam sejenak. Bukan apa, bimbang anak-anak Demang menyimpan konsep yang salah tentang minyak rumusan moyang mereka itu.

"Allah menjadikan sesuatu secara bersebab. Kita namakan konsep 'sebab & akibat'. Walhal Allah sebenarnya tidak memerlukan sebarang 'penyebab' untuk melakukan apa-apapun." Demang cuba menjelaskan.

"Jika Allah tidak mencipta konsep 'sebab & akibat' kehidupan manusia boleh menjadi kucar kacir."

"Cuba bayangkan bagaimana jika kita dahaga dan kita tidak pasti bagaimana untuk menghilangkan dahaga?"

" kenapa tidak pasti? Sebab, ada masanya jika kita melompat-lompat maka dahaga pun hilang. Kadang-kadang rasa dahaga boleh hilang begitu sahaja tanpa melakukan apa-apa. Malah adakalanya dahaga tidak hilang walaupun kita minum berjag-jag air!" Demang memberikan andaian.

Maksud andaian Demang ialah bagaimana jika sejarah tidak pernah bermaksud apa-apa dalam kehidupan manusia. Jika hari ini makanan boleh mengenyangkan maka besok belum tentu lagi. Jika demikian tidakkah manusia akan sukar membuat keputusan?

Justeru Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang memberikan konsep 'sebab & akibat' bagi membantu manusia membuat keputusan dan mengambil tindakan sewajarnya.

Satu lagi contoh:

"Apabila kita lapar, kita akan mencari makanan dan makan. Makanan menyebabkan tubuh kita kembali bertenaga. Begitu juga apabila kita sakit maka kita akan menggunakan ubat supaya kembali sihat.Demang menerangkan lagi."

"Minyak Morhabshi tu adalah penyebab kepada penyembuhan beberapa jenis penyakit, termasuk jika diganggu makhluk halus. Walaupun kita tidak tahu bagaimana minyak tu boleh menyebabkan bayi tadi berhenti menangis, namun kita dapati ia memang berkesan selama ini."

"Kenapa dan bagaimana ia berkesan? Sudah tentu kerana Allah menjadikan ia berkesan. Hal ini kerana konsep 'sebab & akibat' itu sendiri dicipta oleh Allah. Kalau nak tahu lagi, kenalah belajar dan buat kajian. Nanti kita akan tahu kaitan-kaitan lain yang semuanya mematuhi konsep 'sebab dan akibat' tadi dalam bentuk yang lebih komplek." Demang menambah lagi.

Bagi Demang kanak-kanak perlu diberitahu konsep sebenar sesuatu perkara walaupun mereka tidak begitu faham. Nanti mereka akan cuba berfikir dan mencari jawapannya.

Dalam pada itu galakkan kanak-kanak untuk merujuk semula pada kita. Secara tidak langsung ia menggalakkan kita meningkatkan ilmu pengetahuan kita sendiri.

Apabila Demang mencadangkan anak-anak merujuk pada kita bukan bermaksud menyuruh mereka terlalu bergantung pada kita sebaliknya agar kita dapat memantau pemikiran mereka. Galakkan mereka meneroka tetapi sentiasalah membimbing mereka.

Kami sekeluarga kemudiannya meneruskan perjalanan untuk pulang ke kampung.

Sudahkah anda membawa keluarga menjengah ibu bapa sempena cuti sekolah kali ini?

Sunday, May 31, 2009

Blog Sampah




Cuti sekolah bermula, maka kenduripun bermula.

Apa beza kenduri dahulu dengan kenduri sekarang?

Dahulu orang kampung bertungkus lumus memasak dan melayan tetamu, kini semua siap terhidang dilayan pihak 'cattering' lengkap dengan pelayan. Dahulu makan berhidang, sekarang sudah guna 'buffet'. Dahulu tetamu dibekalkan telur rebus, kini sudah diganti dengan gula-gula. Dahulu ada pancaragam, kini cuma guna karaoke.

Apabila dah ada karaoke, macam-macam suara boleh kita dengar. Jika penyanyinya bersuara merdu, maka sedaplah telinga tetamu mendengarnya.

Namun ada juga yang tidak sepatutnya menyanyi, pun teringin 'menyumbangkan' suara. Tokcik, Pakngah, Abang Usop, Adik Lan pun sibuk nak menyanyi sama. Temponya lari, pic pun tak sampai. Apabila tiba pada chorus, sampai tegang-tegang urat leher; akhirnya yang keluar ialah bunyi seperti badak mengawan.

Begitu juga politik. Sekarang ini semua orang nak tumpang sekaki berceloteh pasal politik. Blog politik tumbuh macam cendawan. Ada yang memang berkualiti dan berteraskan fakta. Memang ada yang mampu membuka minda positif.

Namun yang banyaknya sekadar inginkan populariti. Ada blog sampah yang hanya menyiarkan 3-4 ayat provokasi, berjaya menarik ribuan pengunjung sehari.

Ada blog yang penuh dengan iklan. Artikel tak seberapa. Tidak salah berniaga dan tidak juga salah meletakkan iklan komersial dalam blog sendiri. Demang sendiri berniaga dalam internet. Namun bab bisnes Demang gunakan blog lain, Demang asingkan daripada blog politik.

Sekurang-kurangnya kita mengelakkan rasa curiga orang ramai. Maklumlah, macamana nak perbetulkan pemimpin kalau diri sendiripun mengeksploitasi blog politik sebagai strategi perniagaan?

Adakah kita sedang bergerak ke hadapan atau mundur ke belakang dalam menyajikan buah fikiran?

foto kenduri: khair75 flickr.com

Monday, May 18, 2009

Halal atau Haram?



Omar menutup pintu kereta dengan kemas. Matanya mengerling cermin pandang belakang sekilas bagi memastikan tiada halangan untuk mengundur.

"Semua dah pasang tali pinggang keselamatan?" tanya Omar sambil dia sendiri melekatkan talipinggang keselamatannya.

"Sudah, ayah." Jawab kelima-lima anaknya hampir serentak.

Omar tersenyum sambil memasukkan gear undur.

Tidak lama kemudian kenderaan MPV nasional tersebut sudah berada di jalanraya menuju ke Utara.

Omar lebih gemar melakukan perjalanan di waktu malam. Di samping mengelakkan kesesakan dan cuaca panas, dia mahu semua anaknya tidur sepanjang perjalanan. Jika tidak, mereka akan bergaduh sesama sendiri atau membuat bising. Maklumlah, kesemuanya lelaki dan hampir sebaya.

Proton Exora Omar memasuki pekan Jitra kira-kira jam empat pagi. Kelima-lima anaknya sudah bangun kerana begitu teruja untuk pulang ke kampung. Mulanya hanya seorang yang terjaga, kemudian dikejutkan semua yang lain.

"Eh, kenapa ayah tak berhenti di simpang tadi? Bukankah lampu merah sedang menyala?" tanya Daniel yang belajar di prasekolah.

"Tak apa. Pukul empat pagi mana ada kenderaan lain." Jawab Omar selamba.

"Tambah-tambah pula di pekan kecil ini." Tokok isterinya sambil tersenyum.

Daniel diam sambil menyimpan ajaran baru tersebut di mindanya kejap-kejap. Walaupun sedikit keliru namun pada fikirannya, ayahnya tentulah lebih faham tentang undang-undang. Takkanlah orang yang faham undang-undang mahu melanggar undang-undang.

Itu kisah Omar. Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda bersetuju dengan cara Omar. Adakah anda juga berfikir seperti Daniel yang berusia enam tahun itu?

Seringkali kita menganggap orang alim adalah orang yang betul. Sebenarnya belum tentu. Orang jahil memang sering melakukan kesalahan kerana ia tidak tahu. Namun orang alim juga boleh melakukan kesalahan dalam keadaan sedar.

Malangnya mereka mempunyai banyak alasan bagi menutupinya.

Foto: equitygreen.typepad.com

Permainan Semakin Menarik




Demang tidak tahu apa istilahnya dan di mana letak peraturan atau peruntukan berkaitan perkara itu. Namun sejak dahulu lagi dalam perlawanan bola sepak apabila tiba-tiba pemain lawan tercedera dan pengadil tidak memberhentikan permainan maka pemain yang sedang menguasai bola akan menyepak bola itu keluar.

Hal ini adalah bagi membolehkan pihak lawan menyelesaikan masalah tersebut terlebih dulu.

Kemudian apabila perlawanan disambung semula melalui lontaran ke dalam, pihak yang melakukan lontaran itu akan melontarkan bola itu ke pihak lawannya.

Jika anda berada di situ sebagai penonton mahupun sebagai pemain, anda akan dapati para penyokong kedua-dua pasukan akan memberikan tepukan gemuruh sebagai menghargai semangat yang ditunjukkan.

Isu di Penanti mungkin tidak seratus peratus menepati situasi perlawanan bola sepak tadi. Namun lebih kurang begitulah semangatnya.

Perletakan jawatan Fairus adalah dilakukan secara sengaja oleh partinya secara teknikal. Tujuan utamanya barangkali untuk menggantikan ADUN tersebut dengan orang lain. Siapapun orangnya, ia tetap orang PKR.

Dalam pada itu Anwar ingin bermuslihat dengan BN. Calang-calang lawan pasti akan terseret ke dalam permainan politik Anwar itu.

Nampaknya ia tidak menjadi.

Sebenarnya tindakan Najib dan pasukannya itu bukan tidak dijangka oleh Anwar. Cuma Anwar tidak menyangka Najib akan seberani itu mencarik adat.

Demang melihat bahawa kali ini buku telah bertemu dengan ruasnya. Najib dengan cekap memintas sebarang tindakan Anwar dan sentiasa berada di hadapan.

Demang mula berasa seronok melihat permainan ini.

Foto: sport-fitness-advisor.com

Friday, May 15, 2009

Najib vs Attantuya

Baru-baru ini Demang berkesempatan berada dalam satu majlis dengan Dato Hj Sahlan Ismail, Setausaha Politik DS Najib. Maka beliaupun membawa sebuah cerita yang amat menarik untuk dikongsi bersama.

Berikut Demang sampaikan semula cerita tersebut mengikut cara Demang.

Kononnya di sebuah kampung tinggal dua orang lelaki. Jangan salah faham, Demang tidak bermaksud mereka tinggal berdua ataupun hanya mereka berdua sahaja di kampung itu. Kalau dah kampung, tentulah ramai penduduknya.

Nama lelaki-lelaki itu ialah Mid dan Mud. Hanya itu yang diberitahu kepada Demang. Nama penuh mereka Demang tidak tahu. Walaupun tinggal sekampung, antara mereka juga tidak terlepas daripada berkrisis.

Entah apa sebabnya, si Mud suka menabur fitnah terhadap Mid. Pelbagai cerita buruk mengenai Mid dijaja oleh Mud ke seluruh kampung. Malah cerita yang entah betul entahkan tidak itu turut tersebar ke kampung-kampung berdekatan. Entah siapa yang membawanya.

Hendak dijadikan cerita maka pada suatu hari Mid telah sakit tenat. Hari demi hari sakit Mud semakin teruk dan kelihatan tiada harapan lagi untuk sembuh. Sebagai blogger sensasi di kampung itu sudah tentulah Mud juga mengetahui berita tersebut.

Pada suatu hari, terbukalah hati Mud untuk menziarahi Mid. Melihat keadaan Mid yang begitu menyedihkan maka timbullah penyesalan di hati Mud atas kesalahannya memfitnah Mid selama ini.

Maka Mud pun cuba meminta maaf kepada Mid. Maklumlah, dosa sesama manusia perlu dimaafkan oleh orang itu sendiri.

Mid merenung Mud dengan wajah sayu sambil berkata. "Aku boleh maafkan hang tapi ada syaratnya. Hang carikan aku seguni kekabu. Bawa kemari."

Maka bergegaslah Mud mendapatkan seguni kekabu dan dibawa ke rumah Mid. "Rupa-rupanya tidaklah susah sangat nak minta maaf dari Mid ini." fikir Mud sambil tersenyum.

Setelah melihat guni kekabu itu maka berkatalah Mid. "Mud, adakah hang benar-benar nak minta maaf dari aku?"

"Ya." kata Mud sambil mengangguk-angguk kepalanya. Yelah, kalau tak angguk kepala, nak angguk apa pulak, ye tak?

"Jika hang nak jugak, hang bawa guni ini ke tempat paling tinggi di kampung kita ini, buka mulut guni dan taburkan semua kekabu ini dari puncak itu."

Walaupun agak hairan dengan permintaan tersebut Mud bersetuju untuk melakukannya kerana dia amat berharap Mid memaafkannya.

Kebetulan waktu itu memang musim angin bertiup kuat. 'Angin timur', kata orang utara. Orang Kedah fahamlah istilah itu. Pada waktu itu angin bertiup agak kuat dan membawa udara panas. Masa yang amat sesuai bermain wau. Saudara Nobisha pasti akan terkenang kampungnya apabila membaca cerita ini.

Dalam masa yang singkat sahaja semua kekabu tersebut diterbangkan angin ke seluruh kampung. Mud tersenyum gembira kerana berjaya melaksanakan tugas tersebut dengan baik.

Maka segeralah Mud kembali ke rumah Mid untuk melaporkan kejayaanya itu dan menuntut janji, yakni sebuah kemaafan.

Dengan nafas yang tersekat-sekat kerana bertarung dengan maut, berkatalah Mid:

"Mud, ada satu lagi permintaan aku, iaitu permintaan terakhir. Jika permintaan ini dapat hang penuhi maka aku maafkan semua kesalahan hang memfitnah aku. Pergilah hang kutip semula semua kekabu yang berterbangan itu, masukkan semula ke dalam guni. Apabila telah selesai maka aku maafkan semua kesalahan hang pada aku."

Maka terkedulah si Mud mendengar syarat yang terakhir itu.

Mendengar kisah tersebut teringatlah Demang perihal fitnah terhadap Najib yang mengaitkan beliau dengan pembunuhan Attantuya. Padahal mahkamah sudah memutuskan orang yang bersalah. Malah sejak awal perbicaraan lagi tidak adapun sebarang pertuduhan terhadap Najib. Cuma tidak semena-mena si RPK yang menjadi orang suruhan Anwar menimbulkan fitnah itu. Kemudian disokong oleh Tian Chua yang akhirnya mengaku bahawa dia sengaja mengubahsuai gambar Najib di internet. Siapa Tian Chua dan siapa RPK?

Adakah peguambela ketiga-tiga tertuduh dan peguam pemerhati keluarga Attantuya (Karpal Sigh) bersubahat dengan Najib bagi melindungi Najib? Bukankah Karpal amat berani sehingga Sultan pun dia tidak takut?

Lihat pula laporan polis yang dibuat oleh Attantuya sebelum dia dibunuh. Attantuya menyatakan bahawa tujuan dia datang ke Malaysia ialah untuk menemui Razak Baginda kerana mempunyai hubungan dengannya. Attantuya juga menyatakan bahawa jika berlaku sesuatu pada dirinya maka polis bolehlah mencari Razak tersebut. Laporan tersebut dibuat bersaksi rakan dan sepupunya yang masih hidup.

Di mana kaitannya Najib? Adakah hanya kerana Razak ada hubungan dengan Najib maka semua yang Razak lakukan perlu dikaitkan dengan Najib?

Sebenarnya Najib juga tidak terlepas daripada disiasat oleh polis namun oleh kerana tidak ada apa-apa yang boleh dikaitkan maka beliau dilepaskan. Jika anda rasa Najib benar-benar terlibat, buatlah laporan polis. Jangan hanya berani menabur fitnah. Ajaklah Anwar, Tian Chua, Karpal, Haji Hadi, Nik Aziz buat laporan polis. Oh ya, ajak Nizar sama.

Nampaknya negara kita dipenuhi dengan orang yang amat berani berdepan dengan Allah SWT di akhirat nanti. Mereka berani melemparkan dan membantu menyebarkan fitnah walaupun mereka tidak begitu pasti.

Apakata nanti Najib menyuruh orang yang memfitnahnya melakukan sebagaimana Mud menyuruh Mid mengutip kekabu tadi?

Wednesday, March 11, 2009

Isu Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris



Gerakan Munir tampak semakin lemah. Raihan masih berusaha memutuskan tali yang berbelit ditubuh sahabatnya itu. Buih-buih halus yang keluar dari rongga Munir semakin berkurangan. Sedari tadi lagi Munir sudah beberapa kali memberi isyarat pada Raihan agar meninggalkannya sendirian. Namun Raihan tidak tergamak. Selagi mampu, tubuh Munir akan dilepaskan dan dijuakkan ke permukaan.

Berada pada kedalaman 60 kaki di dasar tasik bukanlah perkara yang asing bagi mereka. Namun keadaan kali ini memang berbeza. Besi padu dari runtuhan jeti di tebing tasik telah menghempap kaki Munir. Tali-tali kecil yang melurut bersama tiang itu membelit tubuh Munir menyebabkan ia tidak boleh melepaskan diri. Kini tangki oksigen Munir juga sudah kontang. Tangki kepunyaan Raihan juga sudah semakin susut dan akan kehabisan bila-bila masa sahaja. Tali sial yang membelit tubuh Munir belum dapat dirungkai, malah semakin utuh apabila batang besi itu berinsut.

Raihan memandang wajah sahabatnya dengan sayu. Dia sedar, tidak ada apa lagi yang boleh dilakukannya. Dia harus naik ke permukaan sekarang. Jika tidak, mayat mereka berdualah yang akan dinaikkan oleh orang lain nanti. Tegarkah Raihan meninggalkan Munir yang masih bernyawa itu? Mahu tidak mahu itulah keputusan yang sedang diambil Raihan kini.


.....................

Demikianlah sukarnya membuat keputusan. Barangkali itulah yang dirasakan para pejuang bahasa Melayu yang mengusung keranda 152 dalam demonstrasi di Istana Negara kelmarin. Itu jugalah perasaan yang turut dikongsi oleh saya dalam isu PPSMI ini. Seperti mengulum buah Simalakarma, ditelan mati emak diluah mati bapa.

Dalam keadaan begini kita perlu kembali pada realiti. Kerajaan bukan suka-suka hendak mengusik sensitiviti orang Melayu. Kerajaan bukan sekali-kali hendak membunuh bahasa Melayu. Malah Bahasa Melayu tidak akan mati dek penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains.

Kerajaan boleh sahaja membuat keputusan yang popular dengan membatalkan penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains & Matematik sebagaimana kerajaaan membatalkan permit kerja 70 ribu pekerja Bangladesh setelah banyak pihak mendesak. Kerajaan boleh sahaja mengubah keputusan membenarkan kenaikan tol tidak sampai 12 jam setelah kenaikan diumumkan.

Kerajaan tidak berdegil semata-mata kerana egois atau angkuh.

Kenyataannya, apapun bahasa yang digunakan dalam pengajaran kedua-dua subjek tersebut hanya sebahagian kecil sahaja pelajar yang akan lulus dengan cemerlang. Sebahagian besar pelajar hanya akan memperolehi keputusan sederhana sahaja. Jika tidak percaya, tanyakan pada orang sekeliling anda yang belajar Sains dan Matematik menggunakan bahasa Melayu.

Kitapun tidak mengimpikan semua rakyat cemerlang dalam Sains dan Matematik. Itu hanya fantasi.

Sebahagian besar pelajar akan menyertai bidang teknikal, agama, sastera, pertanian, dan sebagainya. Dalam pada itu penguasaan mereka dalam bahasa Inggeris akan lebih baik berbanding generasi sebelum ini. Sebagai contoh, kita berharap akan memperolehi ilmuan Islam yang mahir dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab.

Soalan kedua, adakah bahasa Melayu akan pupus dengan perlaksanaan PPSMI? Tidak. Sebagaimana yang dinyatakan tadi hanya sebahagian kecil sahaja akan meneruskan pelajaran di universiti dalam bidang Sains dan Matematik sebagaimana juga yang berlaku sebelum ini.

Soalan ketiga, adakah pelajar Melayu terutama di luar bandar akan menjadi korban? Jangan lupa, jika pelajar Melayu terpaksa belajar dua bahasa, pelajar cina perlu belajar tiga bahasa termasuk bahasa ibunda mereka. Jika diikutkan kaum Cina lah yang akan membantah PPSMI ini.

Bagi pelajar Melayu di luar bandar, melalui PPSMI lah mereka mempunyai masa tambahan untuk berbahasa Inggeris. Selain dari waktu itu, mereka akan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. Mereka tidak seperti rakan-rakan yang lahir dalam keluarga yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris di rumah. Mereka juga kurang didedahkan dengan interaksi dan komunikasi luar menggunakan bahasa Inggeris. Hanya di sekolah sahaja tempat mereka memberikan perhatian pada bahasa tersebut. Kita tidak mahu mereka semakin ketinggalan.

Soalan keempat, kenapa tidak kita asingkan pelajar yang ingin berbahasa Inggeris dengan yang 'tidak mampu'? Jawabnya, kerajaan (Tun DrM) tidak mahu bersikap tidak adil. Mereka mahu membuka peluang kepada semua rakyat tanpa mengira darjat. Malah jika kerajaan mengasingkan pelajar berbahasa Inggeris dengan yang berbahasa Melayu, pihak pembangkang tentu akan mendakwa bahawa kerajaan memang zalim.

Pembangkang memang begitu.

Apapun, Demang ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Sasterawan Negara A. Samad Said kerana memainkan peranan dengan baik. Adalah menjadi tanggungjawab beliau dan orang seperti beliau untuk mengingatkan kerajaan supaya tidak tersilap membuat keputusan.

Saturday, February 28, 2009

Lebah dan ahli sihir




Pagi semalam, seorang kanak-kanak mengunjukkan sebuah buku besar untuk saya bacakan. Tajuknya: The Magician's Gift'.

Kisahnya mengenai para lebah yang mengunjungi seorang ahli sihir dan menghadiahkan beliau sejumlah madu. Memahami hasrat yang tersirat di sebalik hadiah tersebut maka ahli sihir pun menanyakan kehendak lebah-lebah itu. Wakil lebah-lebah itu meminta diberikan sengat. Mereka marah pada manusia yang menceroboh dan mencuri madu mereka. Mereka mahukan sengat yang boleh membunuh manusia.

Akhirnya mereka mendapat sengat yang dikehendaki tetapi dengan satu amaran iaitu apabila mereka menyengat manusia, bukan manusia itu yang mati sebaliknya merekalah yang akan mati.

Walaupun kisah tersebut hanya sebuah dongeng namun pada hakikatnya lebah adalah makhluk Allah yang unik. kisah lebah dinyatakan Allah di dalam Al-Quran dan turut dinyatakan khasiat madu yang begitu hebat.

Tafsirnya: "Kemudian makanlah daripada setiap macam buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan. Daripada perut lebah itu keluar minuman madu yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkan."
(Surah An-NAhl: 69).

Kisah lebah tersebut menginsafkan saya betapa tingginya pengorbanan lebah dalam menjaga haknya. Lantas teringat saya penduduk Palastin dan Iraq yang sanggup mengikat tubuh mereka dengan bahan letupan dan meletupkannya di kubu lawan.

Kita belum lagi sampai ke tahap itu. Masih jauh lagi sebenarnya. Malah kita doakan agar kita tidak perlu masuk syurga dengan cara itu. Kita boleh beribadat dengan aman dan tidak perlu mati syahid dalam pertempuran.

Namun orang Palastin pun tidak meminta untuk jadi begitu. Mereka juga barangkali tidak pernah bermimpi jadi begitu. Namun saya percaya ia tidak berlaku dengan tiba-tiba. Ada peristiwa-peristiwa yang menjadi rentetan ke arah itu.

Isu-isu kecil dalam negara yang tidak diuruskan dengan baik akan menjadi besar dan rumit. Ibarat api, semasa kecil memang berguna tetapi apabila sudah besar dan marak, ia amat bahaya. Emosi manusia tidak boleh dijangka. Ia boleh meledak secara tiba-tiba dan ketika itu sesalan sudah tidak berguna.

Bagi saya, kerajaan perlu bersikap tegas dalam hal ini. Saya fikir orang seperti Karpal itu lebih selamat disembunyikan di Kamunting sehingga keadaan kembali reda. Bukan nak menzalimi dia sebaliknya untuk menjaga keselamatan negara.

Kita tidak mahu ada yang menggunakan modus operandi lebah dalam menangani isu ini.

Thursday, November 20, 2008

Terbalik kod (terup 400)

Sebenarnya kisah ‘Tegur-Menegur’ semalam ada sambungannya. Namun sekali lagi ‘gadget’ Demang buat hal. Dia dah tak mahu berkomunikasi dengan laptop Demang. Entah apa yang dirajukkan, Demang pun tak tau. Maka kali ini Demang bawa tajuk baru, tapi mungkin berguna apabila kita menyambung topik ‘Tegur-Menegur’ itu nanti.

Tajuk ini agak penting. Sila buat nota sikit sebab ia akan berkait dengan keluarga, masyarakat, dan negara. (Ewah, macam kuliah pulak).

Masa di kampung dulu, salah satu aktiviti masa lapang kami ialah berkumpul ramai-ramai dan bermain terup. Salah satu permainan terup yang paling popular ialah ‘terup 400’. Demang tak tahu nama lain bagi permainan ini. Kami bermain pada waktu malam kerana waktu pagi kebanyakan daripada kami menoreh getah dan waktu petang kami bersukan.

Jangan tak tahu; kampung Demang pernah jadi johan bola tampar negeri Pahang padahal permainan ini biasanya didominasi oleh bukan Melayu.

Untuk menyertai permainan ‘Terup 400’ kita tidak memerlukan wang walau sesenpun. Modal utama ialah kecekapan strategi, ketahanan mental dan sanggup mengawal emosi. Manakan tidak, pihak yang kalah akan diaibkan melalui ‘kutukan berbisa’ dan sindiran yang memerahkan telinga.

Sebagaimana permainan lain, faktor nasib baik pun penting jugak.

Permainan ini berlangsung secara berpasangan, iaitu biasanya dua lawan dua. Tidak semua 52 daun terup itu digunakan. Sebelum permainan, daun-daun terup dipilih dan yang tak digunakan akan diketepikan.

Daun terup yang paling bernilai ialah daun TIGA dan daripada empat keping daun 3 itu, 3 Spade lah yang paling hebat. Kalau daun 3 Spade ini ‘diturunkan’ maka muka pemain lawan akan berkerut sambil melepaskan keluhan berat.

Namun permainan tetap permainan. Kata orang, ‘the best win’. Maka strategipun bermula.

Permainan ini adalah secara berpasangan dan yang uniknya, walaupun berpasangan tetapi mereka tidak boleh berbincang secara lisan bagi mengatur strategi. Namun sebagai manusia yang berakal, para pemain akan berinteraksi melalui isyarat pula.

Sebagaimana permainan terup yang lain, setiap pemain akan mendapat bilangan kad yang sama banyak dan akan ‘menurunkan’ kad satu persatu, mengikut giliran. Peserta yang menurunkan kad ‘paling kuat’ akan berpeluang menjadi orang pertama menurunkan kad pada pusingan seterusnya sehinggalah kesemua kad di tangannya habis.

Namun, jika ada pemain yang yakin bahawa mereka mempunyai daun terup yang hebat-hebat dan pasti memenangi permainan itu maka mereka boleh mengumumkan kemenangan mereka lebih awal sambil menyebut perkataan ‘KOD’, dan permainan dihentikan serta merta dengan penuh debaran.

Maka semua pemain akan menurunkan kesemua daun dan diperiksa adakah ‘keyakinan’ pemain yang menyebut KOD tadi berasas. Jika betul, maka tersenyum lebarlah sipemain itu. Namun seringkali juga berlaku kesilapan teknik. Dalam kes begini biasanya pemain yang terlebih ‘confident’ tersebut akan menganalisis apakah kesilapan yang berlaku.

Malah jika kurang hemat, perbalahan dan salah menyalah pun berlaku.

Kesilapan KOD ini dipanggil ‘TERBALIK KOD’ yang sama maksud dengan ‘backfire’ atau istilah ‘boomerang’. Kesan ‘Terbalik Kod’ ini kadangkala membawa implikasi hingga ke pagi. Pihak yang kalah akan menjadi ‘hamba’ kepada pemenang.

Dalam percakapan harian orang Melayu, istilah ‘terbalik kod’ memang lumrah digunakan namun tak ramai yang tahu asal-usul istilah tersebut. Ada yang menafsirkannya sebagai ‘baju coat’ yang dipakai terbalik. Dalam masyarakat Melayu, itu tandanya nak kena loteri!

Sebenarnya, permainan ‘terup 400’ melibatkan latihan komunikasi yang penting. Dalam teori, komunikasi terbahagi kepada dua iaitu komunikasi verbal (lisan) dan komunikasi non verbal. Komunikasi non verbal melibatkan isyarat, gerak badan, mimik muka dan sebagainya.

Samada verbal atau non verbal, ia pasti akan melibatkan dua pihak iaitu ‘penghantar’ (sender) dan ‘penerima’ (receiver). Setiap idea yang berada dalam minda seseorang yang akan dihantar kepada orang lain akan ditukar kepada kod tertentu. Proses ini dipanggil ‘encode’ Si penerima akan menukar semula kod-kod ini agar difahami. Proses ini dipanggil ‘decode’. Antara keduanya itu sudah tentulah terdapat ‘medium’ atau perantaranya. Iaitu suara atau sebarang isyarat. (dalam bab ini, Demang dapat A- masa buat degree dulu. Kira ok lah tu).

Malangnya, dalam proses yang murni ini ada satu lagi aspek yang sering mengganggu komunikasi antara kita. Itulah yang kita panggil ‘PERSEPSI’. Persepsi inilah yang dipertengkarkan sampai tegang urat leher. Dijadikan alasan untuk bergaduh sampai lebam biji mata. Dan kadang-kadang boleh berakhir dengan pembunuhan dan peperangan.

Persepsi adalah dibentuk melalui pengalaman, latarbelakang, situasi setempat, jantina dan sebagainya. Bagi orang Melaka, ‘hawau’ dan ‘celake’ diterima sebagai sesuatu yang mesra, namun bergantung kepada siapa yang mengucapkannya dan kepada siapa diucapkan. Malah ‘kod-kod’ seperti binawe, menate, haram jadah, barua dan sebagainya ada masanya melambangkan kemesraan dalam masyarakat Melayu.

Jika dua sahabat lama bertemu, maka itulah ‘kod-kod’ yang mereka keluarkan. “Barua, hang. Haram jadah. Langsung tak dengaq habaq. Aku ingat dah mampuih.” Anehnya sipenerima akan tersenyum lebar. Itulah uniknya persahabatan yang mampu menafikan teori adab berkomunikasi.

Barangkali ‘terup 400’ dah hampir pupus di kampung kami. Sekarang sudah ada gadget komunikasi dan permainan yang serba canggih. Jika bermain ‘terup 400’ pun, mungkin ramai yang boleh menipu. Boleh guna SMS untuk berhubung dengan pasangan yang duduk berhadapan, atau boleh terus guna ‘video call’ untuk tunjukkan daun terup masing-masing melalui skrin sambil merancang strategi.

Barangkali kita jangan terlalu beremosi dengan memori silam. Kita boleh teruskan permainan terup 400 dengan strategi baru. Pasangan pemain boleh berbincang dan mengatur strategi secara verbal dan juga melalui ICT. Yang kalah tidak lagi dijadikan ‘hamba abdi’ atau digantung telinganya. Sebaliknya kita bantu mereka utk mencapai kejayaan bersama.

Tidak perlulah berkongsi sama rata. Tidak perlu dibahagi sama banyak harta yang ada. Yang penting masing-masing diberi peluang mengikut keperluan dan kemampuan. Jika tidak cukup, kita perbesarkan kek ekonomi agar pembahagian nanti jadi lebih besar. Jangan kita lupa, dalam setiap proses ada pahala dan dosa. Bukan semua perlu dinilai dengan wang semata-mata.

Apabila mempertahankan fahaman dan keyakinan, perlu kita sedar itu adalah persepsi kita sahaja. Manusia selalu tertipu dengan fatamorgana. Bebayang panas kita sangkakan lopak air. Jangan terlalu yakin, walaupun kita memang yakin; takut nanti TERBALIK KOD!!!

Wallahu'alam.

Monday, October 6, 2008

Hindraf, simpang & Lampu isyarat

Demang lahir di Kedah tapi membesar di Pahang. Datuk dan nenek sebelah abah tinggal di Kedah dan sebelah emak ada di Selangor. Hampir setiap kali hari raya kami akan menziarahi mereka bergilir-gilir.

Suatu ketika seorang jiran bertanya: "Hang balik Kedah dari Pahang, ada berapa simpang?"

Ya tak ya jugak. Demang tak dapat jawab sebab Demang memang tak pernah kira. Tapi pakcik tersebut memberikan jawapan:

"Ada dua, simpang kiri dan simpang kanan."

He he... Demang terkena.

Beberapa tahun lalu, Demang ingin mengunjungi tokwan (datuk) Demang yang tinggal di Maahad Islamiah Derang, Kedah. Sebelum itu beliau menetap di Jitra. Oleh kerana agak keliru walaupun pernah ke situ beberapa kali maka Demang bertanya arah jalan pada seorang pakcik.

"Hang jalan terus aja, jangan 'kona-kona'. Tapi kalau jumpa 'kona', kena 'kona' la." kata pakcik itu sambil tangannya turut membantu menunjukkan arah tersebut.

Adakah anda faham gurauan tersebut?

'jangan kona-kona' bermaksud 'jika ada simpang, jangan belok'. Manakala 'kalau jumpa kona' bermaksud 'jika jumpa selekoh' janganlah redah terus seperti di jalan lurus.

Kedua-dua lelucon tadi adalah lamunan Demang tatkala bosan menunggu lampu isyarat bertukar hijau di satu persimpangan dekat Ayer Keroh.

Agak menarik kerana lampu itu menggunakan digital. Ketika Demang tiba, angka yang dipaparkan ialah 90, bermakna Demang perlu menanti selama 90 saat sebelum meneruskan perjalanan.

Namun, setelah agak lama menunggu angka 90 itu tetap tidak berganjak. Demang merasa dizalimi. Ini tidak adil. Demang geram.

Akhirnya lampu bertkar hijau. Sambil menekan pedal minyak Demang sempat melihat masa yang diperuntukkan untuk laluan Demang.

"Ha? Cuma 40 saat? Padahal kami terpaksa menunggu lebih 90 saat! Ini tidak adil. Malah kami berada di laluan utama Ayer Keror-Melaka. Laluan ke kiri ialah ke Bukit Katil dan bersambung ke perigi Hang Tuah yang terletak di kampung Duyong.

Manakala simpang ke kiri adalah laluan ke istana TYT Melaka. Itukah sebabnya? Nampaknya Demang teraniaya! Ada unsur pilih kasih. Laluan ke teratak Demang selaku rakyat biasa telah diberi peruntukan masa yang singkat berbanding laluan kedua-dua aristokrat tersebut.

Demang terus memandu dan lamunan Demang bersambut pula dengan berita kunjungan 'kurang ajar' sekumpulan ahli Hindraf ke majlis aidilfitri PM di Putrajaya.

“Agaknya begitulah yang difikirkan oleh ahli-ahli persatuan tak berdaftar tersebut. Mereka melihat orang lain telah mendapat layanan yang lebih istimewa sedangkan mereka tidak.

Demang mengimbas semula lampu isyarat tadi. Peruntukan masa untuk simpang empat tersebut ialah 120 saat. Oleh kerana lampu tersebut hanya mampu memaparkan dua digit sahaja maka itulah sebabnya Demang melihat angka 90 itu tidak bergerak. Sepatutnya 120 saat. Sebenarnya simpang lain mendapat kurang dari 40 saat. Maknanya laluan Demang mendapat peruntukan yang lebih banyak. Namun Demang tidak melihat itu semua sebab Demang hanya memperhatikan laluan Demang sahaja.

Barangkali, itu jugalah yang berlaku kepada ahli-ahli kumpulan tersebut. Mereka melihat dari satu sudut sahaja dan lebih cenderung menyalahkan orang lain. Mungkin ada yang perlu dibaiki tetapi begitukah caranya?

Demang amat setuju dengan saranan seorang pemimpin yang juga berketurunan India iaitu Siva Subramaniam yang menyarankan agar perbincangan secara beradab dilakukan bagi menyelesaikan sebarang masalah. Beliau tidak bercakap kosong sebaliknya gaya itulah yang diamalkan beliau ketika menjadi Setiausaha Agung CEUPAC dan juga Presiden KPPK/NUTP suatu masa dulu. Demang pernah meminta bantuan beliau apabila permohonan ‘elaun pindah’ Demang ditolak mentah-mentah oleh pihak PPD Jerantut dengan alasan tuntutan tersebut sudah dimansuhkan. Dalam tempoh seminggu beliau membalas surat aduan Demang dan tidak sampai sebulan perkara itu selesai. Genap 30 hari selepas permohonan diproses, Demang terima cek elaun tersebut.

Demang belum menemui komen pemimpin pembangkang mengenai peristiwa tersebut setakat ini kecuali daripada Haji Hadi. Nampaknya Presiden PAS tersebut sudah bersedia untuk melupuskan PAS daripada senarai parti orang Melayu di Malaysia dan menggantikannya dengan PKR. Malah Haji Hadi seolah merestui Anwar atau mana-mana pemimpin pembangkang yang berminat menjadi PM.

Siapa pun tak apa, asalkan bukan BN.

Kenapa Demang kata begitu? Sebab Demang fikir adalah tidak masuk akal seorang pemimpin hebat bertaraf ulama’ boleh merestui tindakan biadap seperti itu dilakukan. Bagi Demang Haji Hadi sendiri telah sedar bahawa beliau tidak layak menjadi PM berbanding Anwar. Namun kenapa beliau menentang Anwar suatu masa dulu? Jika beliau kata UMNO tidak Islam, bagaimana dengan PKR? Islam sangatkah PKR?

Oh ya. Demang baru melihat patung Anwar sudah didirikan di suatu tempat. Dah macam Ayah Pin pulak.

Demang nak tanya Haji Hadi secara terbuka: “Apa akan terjadi jika ketika majlis perayaan Hindu sedang berlangsung, 1000 orang Melayu berbuat seperti yang dilakukan Hindraf itu?”. Perlu diingat, bilangan 1000 orang Melayu tidak sama dengan 1000 orang India berdasarkan populasi di Malaysia.

Demang percaya, bukan hanya Siva yang tidak bersetuju dengan tindakan ‘kurang ajar’ itu malah majoriti orang India di Malaysia juga merasa malu dengan insiden tersebut.

Selamat hari raya aidilfitri (yang masih panjang lagi).

Thursday, September 18, 2008

Kalau Anwar enggan sumpah, biar Demang buat surat sumpah

Mungkin kita tidak perlu salahkan Anwar atas kekecohan dan ketidakstabilan politik negara kini. Demang pernah berpendapat Anwar berhak mempertahankan diri sendiri. Dia sahaja yang tahu samada tuduhan ke atasnya benar atau tidak. Orang yang tak tahu atau tak pasti, lebih baiklah menghindari daripada terlibat.

Biarlah proses perundangan dan hukum alam menjalankan tanggungjawabnya. Hal ini kerana kita juga masih mempunyai tanggungjawab yang pasti dan hakiki. Bacalah pengalaman benar Demang yang belum selesai hingga kini.

Kes 1: Kisah surat sumpah.

Cuti sekolah yang lepas Demang berpeluang membawa anak-anak ke Teluk Kemang. Sempatlah menginap semalaman sambil menemani anak-anak bermain air dan mengikuti beberapa aktiviti yang disediakan.

Namun, pagi-pagi esoknya Demang terima panggilan daripada pejabat meminta balik segera. Rupa-rupanya ada masalah berkenaan perjawatan Demang.

Maka bergegaslah Demang pulang bagi menyelesaikan masalah tersebut. Nampaknya Demang terpaksa mengisi semula borang-borang yang telah dihantar tiga bulan lepas.

Apa yang berlaku? Rupa-rupanya kerani Demang tersalah hantar dokumen-dokomen tersebut. Salinan asal yang sepatutnya dihantar ke SPP telah dihantar ke KPM. Yang peling penting, SURAT SUMPAH.

Demang cuba menghubungi pihak KPM untuk meminta semula semua dokumen tersebut. Namun pegawai yang berkenaan memberi alasan mereka tak dpt mengesan dokumen-dokumen tersebut jikapun memang berada 'dalam tangan' mereka.

Mahu tidak mahu terpaksalah Demang menyediakan semula semua dokumen. Nak kena mengadap Pesuruhjaya Sumpah lagi.

Agak menghairankan sebuah kementerian tidak mampu mengesan dokumen penting yang dihantar kepada mereka. Alasan pegawai berkenaan ialah dokumen yang diterima daripada seluruh negara terlalu byk. Memanglah KPM cuma menyimpan salinan namun jika berlaku sesuatu kes bukankah salinan itu perlu didapatkan semula? Bukankah itu tujuannya satu salinan dokumen dihantar kepada mereka? Jika tidak, apa perlunya mereka dipertanggungjawabkan menyimpan satu salinan?

Mahu tidak mahu terpaksalah Demang mengadap semua pihak yang berkenaan bagi menyempurnakannya dlm masa tidak sampai satu hari.

Bagi memastikan semuanya tiba ke tempat yang sepatutnya dengan cepat dan selamat maka Demang dinasihatkan untuk pergi sendiri ke Putrajaya pada petang itu juga.

Maka bergegaslah Demang ke sana untuk menyerahkan sendiri semua dokumen ke tangan pegawai yang bertanggungjawab. Demang difahamkan oleh kerani Demang bahawa pegawai tersebut mahu dokumen diserahkan terus kepadanya.

Setelah tersesat sehingga terpaksa dibantu oleh telefonis SPP melalui telefon untuk sampai ke bangunan tersebut, alhamdulillah Demang berjaya tiba sebelum pukul 4.30 petang. Nasib Demang agak baik kerana terserempak dengan dua orang pegawai SPP yang kebetulan hendak pulang ke pejabat. Jadi mereka mempelawa Demang untuk mengikut mereka. Sambil berjalan dapatlah Demang menjelaskan tujuan kedatangan Demang itu kepada mereka.

Tiba di depan lif untuk naik ke atas Demang mengerling jam yang semakin menghampiri 4.30 petang. Harap-harap pegawai tersebut masih ada. Sebaik terbuka sahaja pintu lif, terjojol lah seorang wanita dari situ. “Ha, ini dia Puan Rxxxxh.” Kata pegawai tadi. “Puan, cikgu ni nak…” Pegawai itu cuba memberitahu tetapi setakat itu sahaja suaranya kerana Puan Rxxxxxh cepat-cepat menggawang tangannya memberi isyarat tidak mahu melayan kedatangan Demang.

Terfikir hati Demang, bisukah perempuan ini? Sepatah perkataan pun tidak keluar daripada mulutnya. Hanya gerakan tangannya sahaja memberi isyarat menyuruh kami pergi meninggalkannya.

“Kenapa dengan dia tu?” Demang bertanya.

“Oh, sekarang sudah masa untuk dia pulang. Dia memang macam tu… ikut time.” Jawab pegawai tadi.

“Bagus betul dia tu. Sangat menepati masa. Tak boleh kah dia tunggu 10 saat untuk mengesahkan dokumen yang saya bawa ini? Lagipun saya dtg dari Melaka atas cadangan beliau.” Kata Demang.

Pada perkiraan Demang jika beliau berjaya tiba di lobi bawah sebelum 4.30, pukul berapa beliau keluar daripada pintu pejabatnya? Ertinya beliau bukanlah terlalu menepati masa sebagaimana dakwaan pegawai tadi.

Akhirnya pegawai yang cuba membantu Demang tadi membawa Demang naik ke pejabatnya dan berjanji untuk menyelesaikan masalah ini.

Malangnya setelah meneliti dokumen yang Demang bawa, beliau mengatakan hanya Puan Rxxxxh tadi sahaja boleh mengesahkan samada dokumen tersebut betul atau tidak.

Bolehkah anda bayangkan perasaan Demang tika itu?

Apa nak dikata lagi, maka terpaksalah Demang pulang dan menanti jawapan samada Demang perlu menyiapkan semula sekeping lagi dokumen yang tersilap itu atau tidak. Dlm pada itu Demang menghubungi kerani Demang untuk mendptkan maklumat bagi mengetahui pihak mana yang melakukan kesilapan. Maklumat yang Demang terima ialah semua borang yang dikehendaki itu difaks daripada SPP. Hal ini bermakna semua dokumen yang Demang bawa tadi sepatutnya sudah tepat dan lengkap kerana ‘kerangkanya’ bersumber daripada SPP sendiri, lebih tepat lagi Puan Rxxxxh sendiri yang faks borang-borang kosong itu.

Pada hari Isnin minggu berikutnya, setelah jenuh menelefon (tak diangkat) Demang disambungkan kepada pegawai lain. Rupa-rupanya beliau adalah pegawai yang bertangunggjawab dlm hal ini. Kebetulan beliau baru pulang dari berkursus dan baru dimaklumkan tentang kes ini. Beliau berjanji untuk meneliti semua dokumen yang telah dihantar dan meminta Demang menelefon semula lusa (Rabu). Maka mulai pagi Rabu Demang menelefon, hari Jumaat barulah panggilan Demang diterima. Alasan telefonis tersebut ialah beliau bercuti. Sebenarnya Demang mempunyai tiga talian ke bahagian berkenaan (satu telefonis dan dua lagi talian terus) dan kesemuanya tidak dijawab selama tiga hari!!!

“Alahai, tak de ke ganti?” kata hati Demang. Macamana agaknya kalau telefonis itu kembali ke rahmatullah (mati)? Agaknya kelam kabut lah SPP nak keluarkan iklan bagi mendapatkan kakitangan baru.

Apa jawapan yang Demang terima pada hari Jumaat?

“Cikgu,jika cikgu membuat semula surat sumpah yang baru, itu akan mengesahkan yang cikgu telah lewat daripada tempoh yang ditetapkan. Oleh itu cikgu mesti dapatkan surat asal yang berada di KPM sebab tarikh pada surat tersebut akan mengesahkan yang cikgu tidak melanggar syarat tempoh yang ditetapkan.”

Wah! Macam itu kah? Tiba-tiba Demang teringat seorang ibu saudara Demang bekerja di KPM. Maka Demang cuba menghubungi beliau dan meminta jasa baiknya untuk membantu. Beliau berjanji untuk membantu namun hingga kini masih belum berjaya.

Setelah puas berhubung semula sana-sini, akhirnya pihak SPP memaklumkan yang mereka sedia menerima surat sumpah yang baru dan akan mengeluarkan surat khas mengenainya. Maka Demang pun mengirimkannya menggunakan Poslaju setelah diyakinkan oleh seorang pegawai SPP bahawa Demang tak perlu pergi ke Putrajaya untuk menghantar sendiri.

Episod ‘percubaan menelefon’ pun berulang dan dua-tiga hari selepas itu barulah panggilan dijawab dan Demang dimaklumkan yang surat tersebut masih belum tiba ke meja pegawai berkenaan.

Dalam pada itu, dua hari lepas Demang terima satu surat yang meminta Demang menghantar satu surat sumpah yang baru dalam tempoh 14 hari. Demang lihat tarikh pada surat yang Demang terima itu sudah hampir 10 hari berlalu.

Sebentar tadi Demang berjaya menelefon lagi (setelah dua hari tidak dijawab) SPP. Tujuan Demang ialah untuk memastikan tindakan mana yang perlu Demang ambil? Nak abaikan atau nak patuhi? Pegawai yang menjawab (Puan Rxxxxh le tu…) menyatakan yang semua urusan telah selesai dan surat mengenainya sudah dihantar (dalam perjalanan). Beliau turut mengesahkan bahawa surat yang baru Demang terima tadi boleh diabaikan.

Demikianlah satu kisah benar. Tujuan Demang memaparkan kisah ini bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak. Demang tahu lebih ramai pegawai di SPP yang rajin, ikhlas dan bertanggungjawab. Begitu juga di KPM. Namun Demang rasa masih banyak ruang untuk dilakukan penambahbaikan. Takkan lah itupun nak tunggu PM datang siasat?

Barangkali Tuhan sengaja mengkehendaki Demang merasakan sendiri pengalaman ini. Selama ini apabila Demang mengendalikan kursus kepada kakitangan awam, semua gambaran yang Demang terima molek-molek dan indah-indah belaka. Rupa-rupanya…

Beberapa bulan lalu Demang pernah menulis: “Apabila semua rakyat melaksanakan tanggungjawab masing-masing maka selesailah masalah negara.”

Bukankah negara ini kita bina bersama? Takkanlah jadi PM baru boleh berkhidmat? Bak kata seorang professor (akhbar hari ini), hinakah menjadi Ketua Pembangkang? Bukankah jawatan itu juga hebat dan sesuai dengann konsep demokrasi negara kita? Menjadi Ketua kepada 82 orang YB di Dewan Rakyat sudah cukup hebat.

Coda:
Agaknya disebabkan pengalaman pahit Demang dengan kes surat sumpah inilah maka Anwar jadi takut nak angkat sumpah walaupun diminta oleh rakyat.

Nampaknya masih banyak yang perlu kita ubah sebelum mengubah PM dan kerajaan sedia ada. Takkan nak tunggu kerajaan baru untuk mengubah sikap sendiri? Takkan lah kita begitu lemah?

Friday, September 5, 2008

Bahtera Merdeka: dilema nakhoda

Bahtera kecil masih terolang-oleng di samudera luas. Sang nakhoda sayu memandang lautan yang belum kelihatan garis tepinya. Namun dalam kotak fikirnya terpacak kukuh pelabuhan akhir yang sedang dituju. Tanpa ragu, di situ semua akan terlerai. Di situ segalanya akan terjawab. Matlamat yang pasti.

Timbalan nakhoda melangkah masuk. Hatinya resah melihat wajah nakhoda yang murung. Di hatinya, keinginan dan harapan bergaul dengan simpati. Sepatutnya di situlah tempatnya. Itulah impian yang hampir menjadi kenyataan beberapa tahun dahulu. Namun telah diserah kepada nakhoda yang sedang berdiri di hadapannya sekarang.

Harapan? Ia bukan miliknya seorang. Harapan tersebut dikongsi bersama mantan nakhoda yang kini sedang bimbang dan gelisah. Kemunculan semula panglima perang yang pernah ditajanya suatu masa dulu benar-benar membuatnya terancam. Panglima perang yang cuba dijinakkannya ternyata anak harimau yang tidak selayaknya dibiar berkeliaran di dalam taman. Harimau yang pernah dirantainya itu telah bebas kini dan sedang berusaha untuk membalas dendam.

“Sepatutnya tuan hamba yang berada di sini sekarang” Nakhoda menyapa.
“Mungkin, tetapi apakan daya keadaan tidak mengizinkan.” balasnya. “Malah mereka sudah menyediakan peluru yang cukup untuk meledakkan kepala hamba sekiranya hamba berada di situ.” Tokok timbalan nakhoda dengan suara sayu.

Bahtera kecil terus membelah samudera penuh gelora. Para penumpang pasrah terhadap nasib dan memajakkan seluruh hidup mereka pada pemimpin masing-masing. Para pemimpin pula sibuk melekatkan penanda pada kolar baju para penumpang. Label hijau untuk penumpang asal yang digelar peribumi manakala label biru dan merah untuk penumpang yang datang kemudian. Terdapat juga penumpang yang tidak berlabel. Golongan ini adalah buruh dermaga yang naik turun bahtera sesuka hati.

“Bagaimana dengan semua penumpang?” Nakhoda meminta laporan.
“Mereka resah dan kebingungan. Mereka hanya mendengar arahan kapitan masing-masing.” Lapor sang timbalan.
“Baguslah. Sudah sepatutnya mereka patuh pada pemimpin mereka.” Ulas Nakhoda.
“Malangnya terdapat kapitan yang tidak menyokong nakhoda.” Tambah sang timbalan.
“Itu kan lumrah. Kudengar ada juga kapitan yang sebelum ini menyokong kita sudah berubah hati?” Tanya nakhoda.
“Belum dapat dipastikan. Mantan timbalan yang pernah tersingkir mendakwa kekuatannya hampir cukup untuk mengambil alih bahtera ini.” Lapor sang timbalan lagi.

Nakhoda mengelus pipi sendiri dan membuang pandang ke muka samudera. Beliau amat sedar kedudukan dalam bahternya kini. Para penumpang tidak mengerti sepenuhnya. Semua maklumat yang tiba pada telinga mereka sudah diadun, ditapis dan dibentuk oleh para pemimpin masing-masing. Para jurucakap bertebaran tanpa dapat dikawal menjaja apa sahaja berita bagi menimbulkan kekeliruan.

Ketidakstabilan pentadbiran dalam bahtera menjadi alasan besar bagi menumbangkan kepimpinan nakhoda sekarang. Justeru pelbagai situasi dicipta dan dilagangkan pada semua penumpang bagi membuktikan bahawa sang nakhoda seorang yang sangat lemah.

Nakhoda amat sedar tentang itu. Beliau juga tahu bidak-bidak sudah dicatur dan sedang ditolak oleh tangan-tangan ghaib. Sang timbalannya sendiri bukan lagi milik dirinya sendiri. Malah timbalannya ini diperkirakan sebagai umpan pertama yang akan disua bagi menenggelamkan bahtera lebih cepat lagi. Mujur kedua-dua mereka tidak cepat melatah.

Sebarang kesilapan hanya akan membuatkan bahtera ini karam lebih awal lagi. Para penumpang tidk tahu ini semua. Para pemimpin mereka mungkin sedar tetapi mereka menyangka mereka dapat menyelamatkan keadaan di saat akhir.

Mereka seakan lupa jerung-jerung lapar di luar sana hanya menunggu bahtera ini pecah dan karam.

Monday, September 1, 2008

Tolak ansur: asas membina negara

Setelah enam minggu terpaksa mematuhi program yang disediakan orang lain, maka minggu ini adalah giliran aku pula merancang program bersama keluarga.

Destinasi kami sudah tentulah melunaskan hutang yang telah tertangguh hampir dua bulan iaitu menziarahi bonda di kampung. Mujurnya beliau ada mengunjungi kediaman kami dua minggu yang lalu.

Kali ini kami tekad menolak semua program lain.

Keluar daripada tol Ayer Keroh, kuhalakan kereta terus ke selatan. Seketika baru kusedar yang kami sepatutnya ke utara. Isteri di sebelah sudah masam. Mahu tidak mahu terpaksalah kami ‘makan angin’ hingga ke Jasin sebelum dapat berpatah balik.

Tiba di Senawang, telefon isteriku berbunyi. Panggilan dari Melaka memaklumkan Pak Itam sakit semula dan dibawa ke hospital. Aku serba salah. Antara penumpang kami ialah dua orang adikku. Aku menghubungi ayahku dan dia bersetuju untuk mengambil mereka di Seremban atau KL bagi membolehkan aku berpatah balik ke Melaka.

Namun isteriku menyarankan agar kami meneruskan perjalanan kerana bapa saudaranya itu tidaklah teruk sangat. Kami menziarahinya hampir setiap hari dan ternyata dia semakin pulih.

Kami tiba di kampong hampir jam 12 malam. Rupa-rupanya semua adik beradikku telah berkumpul. Walaupun telah larut malam namun kami ‘lepak’ di luar sebentar untuk berbual. Beberapa ketika kemudian guruh berdentum dan hujan turun dengan lebatnya. Mahu tidak mahu kami terpaksa bergegas masuk ke dalam rumah.

Sebaik aku meletakkan kepala ke bantal, telefon isteriku berdering. Panggilan dari Melaka. Isteriku menyambut panggilan tetapi tidak bersuara. Hanya tangisan yang kudengar. Tanpa menyoalnya aku sudah boleh meneka apa yang telah berlaku. Setelah mengesahkan berita itu aku memberitahunya bahawa aku perlu tidur sebentar kerana terlalu letih.

Kira-kira sejam kemudian kami sudah pun berada di jalan raya semula untuk kembali ke Melaka bagi menziarahi jenazah Pak Itam Maaruf Hj Minhat (AL Fatihah…).

Peristiwa ini mengingatkanku betapa manusia tiada kuasa langsung untuk menyusun jadual hidupnya. Segalanya ditentukan Allah SWT.

Guruku sering berpesan dan sering pula kupesankan pada anak-anak muridku yang kecil-kecil itu:

“matlamat hidup di dunia ialah kehidupan di akhirat. Kematian hanyalah satu perpindahan dari alam fana’ ke alam baqa’. Justeru berbuat kebajikan lah semasa masih hidup dan jangan sekali-kali melakukan kerosakan di bumi ini.”

‘Membuat kebajikan’ dan ‘tidak melakukan kerosakan’ bukan sekadar niat, kata-kata, dan harapan. Ia perlu dilaksanakan bersungguh-sungguh dan berstrategi. Sebagai contoh, ada yang berkata jika beliau memegang kuasa bermakna rakyat lah yang menjadi raja. Kuasa dikembalikan kepada rakyat. Kekayaan negara akan diagihkan samarata.

Samarata? Begitukah konsep keadilan? Jika demikian kenapa para pemimpin negara kita membuat agihan 30-40-30 dalam pegangan ekuiti negara ketika merancang DEB? Kenapa tidak diperuntukkan 65% ekuiti mesti dimiliki oleh orang Melayu & bumiputera berdasarkan populasi rakyat Malaysia tika itu (dan kini)?

Tidak adil lagikah apabila para pemimpin kaum India diletakkan sebagai calun BN di kawasan yang majoriti pengundi orang Melayu? Tahukah anda bahawa kita langsung tidak mempunyai kawasan yang mempunyai majoriti orang India? Bukankah peratusan kaum India di Malaysia lebih rendah berbanding pendatang asing?

Jika ‘hak, adil dan samarata’ nak diambil kira, maka semua kerusi yang pertandingkan pada PRU 1955 hendaklah diwakili oleh orang Melayu sahaja. Kaum cina tidak ada hak sama sekali dilantik menjadi calon. Sebaliknya mereka bukan sahaja menjadi calon malah diberi kemenangan pula oleh para pengundi yang sebahagian besar adalah orang Melayu.

Jika ‘hak, adil dan samarata’ nak diambil kira maka orang Melayu-bumiputera tidak boleh menggunakan banyak kemudahan yang kerajaan sediakan kerana mereka kurang memberi sumbangan dalam bentuk cukai.

Di sinilah perlunya tolak ansur. Inilah asas kita membina negara.

Negara kita adalah tanggungjawab kita.

Thursday, August 28, 2008

Belajar untuk menghargai

Letih betul dengan politik ni. Mari kita berehat seketika. Kita berbual tentang anak-anak, bakal pewaris negara ini. Jika ada yang ingin melihat dari sudut lain, silakan. Barangkali Demang ada sesuatu yang ingin disampaikan lewat penceritaan Cheguman ini.

==========================================

Si kecil aku yang berusia enam tahun mengendeng lagi.

"Haziq nak apa?" tanyaku sambil menariknya ke pangku.

"Bukan... Papa boleh bawa Ajiq ke mini market?" suaranya lembut mendayu. Suara lemak, kata sepupunya.

Dia sudah terbiasa memulakan jawapan dengan perkataan 'bukan'. Sebenarnya aku kurang gemar tabiatnya itu. Seolah enggan berterus terang. Namun mungkin juga sekadar berdiplomasi.

Mini market yang dimaksudkan hanyalah kedai runcit dalam kampung itu. Aku tidak pasti adakah selain daripada puteraku ini, orang lain juga turut menggunakan istilah mini market untuk kedai tersebut.

"Ok lah. Kita pergi sekarang." Aku mengambil keputusan.

Sebaik tiba di kedai, kulihat Haziq sudah tahu rak yang perlu dituju. Aku mengekori dari belakang.

Haziq membelek beberapa permainan yang bergantungan. Kemudian beralih ke tempat makanan ringan pula. Tangannya mencapai bungkusan besar sejenis makanan ringan dan mengunjukkan pada ku.

"Eh, besar sangat tu." tegurku.

Haziq meletakkannya semula. Dia beralih kembali ke rak mainan.

"Papa cuba tengok harga ni." Haziq mengumpanku.

"Hmm, enam ringgit lebih." jawabku bena tak bena. Kuserahkan 'jam power rangers' itu ke tangannya semula. Dia menyambut dan meletakkan semula ke rak.

"Ajiq ada lima ringgit...Takpe lah. Lain kali Ajiq beli." ujarnya membuat keputusan.

Aku tersenyum dan membawanya pulang.

Esoknya, Haziq menghampiriku lagi.

"Papa, semalam Ajiq kata nak ke mini market, kan?" dia menduga. Kejap lagi Papa bawa Ajiq, ye. Nanti la, lepas Papa siap kerja." sambungnya lagi, berdiplomasi.

Sebenarnya aku bukan lah sibuk sangat. Sekadar menjenguk blog-blog tertentu sementara menanti maghrib.

"Tak apa la. Kita pergi sekarang. Ajak abang sama." aku mempelawa.

Sebentar kemudian kedua-dua puteraku sudah mengapuk motorsikal bersamaku untuk ke kedai.

Sebaik tiba, Haziq tidak perlu berfikir panjang. Dia mengambil mainan idamannya dan mengeluarkan dompet dari poket. Terkial-kial tangan kecilnya menarik wang kertas sambil mainan dikepit bawah ketiak.

Aku pura-pura tidak melihat.

Dia mengeluarkan wang lima ringgit dan satu ringgit lantas diunjuk kepada pemilik kedai.

"Tak cukup tu." aku menegur. "Lagi seringgit".

Haziq membuka semula dompetnya dan menyerahkan sekeping lagi wang satu ringgit. Pemilik kedai memulangkan baki sepuluh sen kepadanya.

Dua orang anak daripada rahim yang sama namun membawa karektor berbeza.

Anak sulungku tidak banyak meminta. Apa sahaja yang diberi, diterima begitu sahaja. Jika kemahuannya tidak dipenuhi, dia akur. Namun biasanya kuberikan alasan yang munasabah.

Adiknya, kukira terlalu banyak meminta. Akhirnya, beberapa hari lepas isteriku membuat syarat. Jika ingin sesuatu mesti menggunakan wang sendiri.

Haziq sangat gembira dengan mainan barunya.

"Tak nak makan ke" tanyaku.

"Aziq nak makan roti bakar. Nanti ibu buatkan." jawabnya.

Aku makan nasi bersama isteriku. Ketika makan, isteriku memberitahu: "Tadi Haziq tanya: roti bakar tu Ajiq nak kena bayar juga ke?"

"Semalam dia tidur bersama duit tu. Bangun saja dari tidur dia cepat-cepat kira. Ada sekeping tercicir, rupa-rupanya ada di bawah bantal." tokok isteriku.

Alhamdulillah, puteraku sedang belajar menghargai wang. Insya Allah akan kufahamkan pula bahawa wang bukan segalanya.

Bergenang mataku menonton iklan terbaru Petronas lakonan Adhlin Sauqi. Iklan Maybank juga mengajak kita kembali menilai diri.

Tahniah kepada pihak yang berada di sebalik pembikinan kedua-dua iklan tersebut.

Tuesday, August 19, 2008

Puncak Kinabalu

Baru-baru ini Demang dan isteri berpeluang ke Kundasang, Sabah bagi memenuhi undangan menjayakan satu program motivasi.

Biasanya apabila berpergian, Demang akan menggunakan satu kemudahan yang dihadiahkan oleh Allah SWT iaitu solat jama'.

Namun sebaik tiba, Demang begitu terpesona melihat kehebatan gunung Kinabalu yang tersergam gagah disimbah sinar mentari senja. Lantas Demang segera mengangkat wudu' dan menyertai para peserta menunaikan solat maghrib berjemaah.

Hilang segala letih lesu dan niat awal untuk jama' ta'khir lenyap begitu sahaja.

Bagi Demang segala pujian dan kesyukuran mesti dikembalikan kepada Maha Pencipta. Malah sebutir pasir pun tidak mungkin terjadi dengan sendiri tanpa ada kuasa yang berada di sebalik kejadian itu.

Kekaguman terhadap puncak Kinabalu sempat mengusik minda Demang menerawang kepada pelbagai perkara yang berkaitan. Salah satu daripadanya ialah pendakian ke puncak.

Berapa ramaikah yang telah cuba mendaki ke puncak Kinabalu. Memang ramai namun Demang bukanlah salah seorang daripada mereka.

Berapa ramai pula yang gagal untuk menawan puncaknya? Demang tidak ada maklumat tentang itu.

Namun kali ini Demang bukan membawa persoalan pendaki yang berjaya atau gagal sampai ke puncak Kinabalu.

Demang sebenarnya terfikir, bagaimana jika setelah berpenat lelah dan bersabung nyawa mendaki, akhirnya kita dapati bahawa kita berada di puncak yang salah?

Demang cuma bimbang melihat keghairahan sesetengah pihak yang bermati-matian ingin ke puncak sedangkan setelah tiba di puncak tersebut mereka dapati puncak yang diimpikan rupa-rupanya berada di sebelah mereka. Lebih pedih lagi apabila didapati musuh yang kita sangka kawan sedang ketawa mengejek di puncak sebenar.


Wallahu'alam.

Saturday, August 16, 2008

SMS: antara Permatang Pauh dan Kuala Lumpur

Malam tadi Demang terima SMS dari sahabat di Permatang Pauh:

“ANTARA DALIL MENGAPA DSAI TAK BOLEH JADI PM

KEPUTUSAN PRU 12 BARU INI. KERUSI PARLIMEN:
79 UMNO, 31 PKR, 28 PAS, 23 DAP.

SEKIRANYA 30 ORG BN LOMPAT PARTI BLM TENTU SEMUA ORG ISLAM. JIKA MEREKA YG LOMPAT SEMUA ORG CINA & INDIA MEREKA AKAN PILIH MSK PARTI DAP @ PKR. JUMLAH KERUSI PKR & DAP LBH BYK DR PAS.
YAB PM = MELAYU ,TIMB PM = LIM KIT SIANG. TAPI KALAU SEMUA YG LOMPAT MSK DAP MAKA YAB PM = LIM KIT SIANG & SEMUA MENTERI YG HEBAT = CINA & INDIA. PAS AKAN DITINGGALKAN. MELAYU DITIPU???
SEBARKAN KPD SEMUA MELAYU.. “

Demang ‘forward’ kepada seorang sahabat di KL, dan ini jawapan yg beliau beri:

“Bngsa melayu perlu refmsi..x boleh tkut byg2..dok takut bgsa asg ambk ini dn itu,kita kena b'saing..ubh sedikit atau ubh terus..jgn dok takut ini dan itu t'hapus..byk sdh yg t'hapus..strategi umno dah x boleh pakai..aku dah tegskn dulu..kita diajar jd penakut..itulah mentaliti yg dijajah oleh bgsa sendiri ..jgn byk tgk salh bgsa lain,jelas umno x releven lg..dah nak umpan pas pulak..”

Demang cuba jadi moderator malam tadi. Jadi Demang ‘forward’ pula kepada sahabat di Permatang Pauh tadi. Di bawah ini adalah jawapan yang Demang terima. Namun Demang rasa rugi bil telefon untuk ‘forward’ kepada sahabat Demang yang di KL tu. Demang yakin beliau takkan boleh terima dan ‘perang’ akan berlanjutan lagi. Demang dah pernah beritahu dia yang persahabatan terlalu mahal untuk diputuskan dek kerana tak sependapat dalam politik.

“Kalau dah nak bersaing sgt dan nak berubah sepenuhnya..., eloklah kerajaan menarik balik kesemua subsidi (minyak, makanan, perumahan, pendidikan dsb.) Subsidi yg ditanggung kerajaan adalah diatas kesedaran bahawa org Melayu khususnya akan terbeban dan tidak dapat menanggung kesemuanya. Dari itu kita akan dpt lihat kehancuran bangsa Melayu serta sia-sialah perjuangan tokoh pejuang bangsa yg lampau. Berkata-kata memanglah mudah, tapi kenyataannya adalah semua umat Melayu sudah bersedia menghadapinya. Harga minyak dan makanan naik sikit pun ramai dah terasa bebanannya...! Bersaing biarlah dengan cara yg bijak, bukannya dgn cara membunuh bangsa & agama sendiri.”

Demang percaya para pengunjung blog waadat mempunyai pelbagai fahaman dan pandangan tersendiri. Jadi, apa komen anda?

Friday, August 15, 2008

Entrepreneurship

Sham; anda boleh temui pemuda ini di sebuah bengkel di Bkt Baru Melaka. Berperawakan sederhana, sudah beristeri dan mempunyai dua anak yang masih kecil.

Sepatutnya dia sudah boleh bersenang hati dengan gaji yang agak lumayan: sebagai jurutera atau sekurang-kurangnya penyelia kepada sekumpulan mekanik di sebuah kilang milik syarikat asing atau tempatan yang telah kukuh.

Selaku orang muda yang mempunyai kepakaran tersendiri dan berkerjaya, beliau pasti mampu memiliki kereta sport dan berkongsi hobi tertentu dengan rakan-rakan.

Bagi kebanyakan orang, kedudukan seperti itu adalah keadaan yang cukup selesa. Alangkah indahnya dunia. Inilah masanya untuk memberi tumpuan pada anak-anak yang bakal meneruskan perjuangan.

Namun Demang dapati pemuda ini agak berbeza. Dia memilih untuk menyisihkan sebahagian besar daripada simpanannya bagi menyewa dua lot kedai, melengkapkannya dengan peralatan membaiki kereta dan mengambil beberapa orang pekerja.

Ramai yang mengakui bahawa berniaga lebih baik daripada makan gaji namun tidak ramai yang benar-benar sanggup mempraktikkannya. Siapa yang sanggup melaburkan 100k untuk mendapatkan gaji sendiri yang lebih kurang sama dengan pendapatan sebelum ini?

Semalam Demang berselisih dengan anak muda tersebut yang memandu kereta Kancil bersama keluarganya.

Ah! Anehnya manusia. Sudah mampu hidup selesa dengan jawatan yang baik, namun memilih untuk bersusah payah mengusahakan perniagaan yang penuh cabaran.

Itulah usahawan (entrepreneur). Kumpulan tersebut semakin ramai kini. Menoleh lah sejenak kepada mereka. Mereka boleh sahaja bekerja dengan orang lain dan menikmati gaji lumayan. Namun mereka mengambil keputusan untuk membuka perniagaan. Mereka bukan sahaja memberikan jawatan lama mereka kepada orang lain malah menyediakan pekerjaan baru kepada orang lain pula.

Bukankah ini juga suatu jihad?

Nampaknya kelas Demang baru sahaja bermula.

Friday, July 11, 2008

Permata kecil, harta negara

Jumaat 11 Julai, 2008

Aiman maju ke depan, berdiri di hadapan kelas mengadap rakan-rakannya. Perlakuannya dituruti Yasmin yang turut berdiri di sebelahnya.

"Assalamualaikum." Aiman memberi salam. Kemudian dia beristighfar tiga kali dan melafazkan dua kalimah syahadah sambil diikuti seluruh kelas.

"Seterusnya saya menjemput Hilman untuk membacakan doa-doa," ucap Aiman menjemput Hilman mengetuai pembacaan doa penerang hati, doa iftitah dan doa pagi.

Sementara itu Yasmin mengawasi rakan-rakan yang kurang memberi perhatian atau terlupa mengangkat tangan ketika membaca doa.

Setelah selesai, Aiman mengucapkan terima kasih kepada Hilman dan menjemput Shuib untuk membaca ayat-ayat lazim. Tugas Shuib ialah memimpin seluruh kelas menghafal surah al-'As, al-Lahab, al-Ikhlas, al-Falaq, an-Nas, dan al-Fatihah.

"Terima kasih, Shuib," ucap Aiman. "Seterusnya saya menjemput Irdina untuk membaca sajak." Aiman meneruskan aturcara.

Irdina tampil ke depan dan berdiri di tengah-tengah. Dia memberi salam dan meminta semua rakan-rakannya berdiri.

Sajak yang dibaca beramai-ramai pada pagi itu bertajuk Penyair Dari Gunung. Asalnya sebuah lagu dan sememangnya mereka akan menyanyikannya selepas melafaz secara bersajak.

Setelah selesai menyanyi dan bersajak, Aiman mengucapkan terima kasih kepada Irdina dan meminta rakan-rakannya duduk.

"Seterusnya saya menjemput cikgu Azman untuk meneruskan pelajaran."



Enam bulan sebelumnya:

Aku duduk di atas kerusi kecil menghadap 25 orang kanak-kanak berusia enam tahun yang duduk bersila di atas lantai.

"Siapa nama awak?" aku menyoal seorang yang paling hampir denganku.

"Iman." Pendek sahaja jawapannya antara kedengaran dengan tidak.

"Iman? Aiman atau Hilman?" aku mula keliru. Aku mengambil buku daftar dan menyemak. Siapa nama Ahmad Hilman?" soalku sambil meneliti wajah kanak-kanak lelaki yang hanya seramai tujuh orang itu satu persatu.

Lambat-lambat, tiga batang tangan mula terangkat antara nyata dengan tidak.

"Angkat lurus-lurus," aku meminta dengan lembut.

Namun ketiga-tiga tangan masih seperti tadi, bengkok dan ragu-ragu. Aku mula resah. Mujur di tanganku ada borang pendaftaran beserta foto setiap kanak-kanak itu. Kuteliti ketiga-tiga gambar dan cuba mengecam.

"Ok. nama kamu Ahmad Hilman Nasarudin. Saya akan panggil kamu Hilman." kataku lembut kepada kanak-kanak lelaki yang duduk di depan sekali itu sambil tanganku menyelak sekeping lagi borang.

"Kamu pula Muhammad Hilman Hakim." kataku menunjuk pada seorang lagi budak lelaki yang duduk di baris keempat. "Kalau begitu saya akan panggil kamu Hakim, boleh?" ujarku. Segera aku teringat seorang sahabatku di Pahang yang juga bernama Hakim.

"Kamu pulak," kataku sambil menunjuk pada kanak-kanak lelaki yang agak gempal duduk di belakang sekali: "nama kamu Muhammad Nuraiman dan saya akan panggil kamu Aiman. Boleh?" pintaku sambil menerangkan. Aiman tersipu-sipu tanpa suara.

Tiba-tiba berlaku kegemparan. Dua orang kanak-kanak perempuan sudah menangis teresak-esak. Aku kaget.

"Kenapa?" soalku sambil menghampiri mereka. Rupa-rupanya sikembar. Aku cuba menyoal, namun semakin kuat tangisnya. Akhirnya aku membiarkan mereka begitu sahaja.

"Dia nak balik, cikgu." satu suara halus memberitahu. Aku menoleh. "Hmm, kamu kenal budak kembar ni?" aku menyoal pada yang menyampuk tadi. Namun hanya gelengan yang kuterima.

"Siapa nama kamu?" aku menyoalnya.

Dia menyebut suatu nama yang agak panjang dengan perlahan. Namun dapat juga kutangkap sedikit: Yasmin.

"Agak berani budak ni," kataku dalam hati. Mungkin boleh kujadikan penolong ketua nanti. Bagiku, ketua mesti seorang lelaki.

Aku mengambil gitar dan cuba menghibur mereka dengan beberapa buah lagu kanak-kanak. Kebetulan ada beberapa orang yang pernah ke tadika sebelum ini maka tidaklah aku keseorangan sangat menyanyi.

Tiba waktu makan, aku terpaksa membawa mereka ke kantin. Hal ini kerana kelas yang baru dibuka ini belum mempunyai pembantu. Dengan bersusah payah dan dibantu oleh beberapa orang ibu bapa yang masih menunggu aku berjaya membariskan kesemua kanak-kanak itu secara berpasangan.

Namun oleh kerana jumlah mereka yang ganjil maka seorang daripada mereka tidak berteman. Nampaknya kanak-kanak yang keseorangan itu kelihatan hendak menangis.

Aku menarik si Aiman daripada pasangannya dan menggantikannya dengan kanak-kanak yang dah 'nak hujan' itu.

"Ok, Aiman tak perlu pegang tangan kawan sebab Aiman cikgu lantik jadi ketua." aku membuat keputusan spontan. "Sekarang Aiman berdiri di belakang sekali dan awasi kawan-kawan."

Demikianlah sejarah Aiman menjadi ketua kelas. Namun jawatan tersebut disandangnya hampir tiga bulan tanpa apa-apa makna. Cuma bagusnya Aiman, dia seorang pendiam. Malah dia paling pendiam dalam kelas sehingga aku tidak dapat mengharapkan apa-apa daripadanya.

Namun aku tidak sampai hati melucutkan jawatannya untuk diberikan kepada orang lain yang lebih aktif.

Oleh kerana Aiman adalah ketua kelas yang aku sendiri lantik maka mahu tidak mahu aku terpaksa mengutamakannya. Aku mengajarnya menghantar buku kedatangan ke pejabat. Menarik tangannya ke depan untuk sekadar berdiri di sebelahku ketika mengendalikan rutin pagi. Memintanya berdiri untuk membaca doa walaupun sebenarnya mereka membaca bersama-sama tanpa ketua.

Kini setelah enam bulan, inilah hasilnya yang amat kubangga. Mereka adalah permata negara, bakal pemimpin di masa depan. Di tangan merekalah bertuah atau malangnya nasib negara. Kita lah yang membentuknya.

Wallahu'alam.

Rencana ini juga boleh dibaca di laman permata kecil di http://www.morhabshi.com : sebuah laman khas untuk pendidikan prasekolah.

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)