Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Showing posts with label Syukur. Show all posts
Showing posts with label Syukur. Show all posts

Thursday, November 26, 2009

Raya haji untuk siapa?


Esok kita beraya lagi. Ada orang kata raya tumpang sebab yang benar-benar beraya ialah jemaah haji. Namun bagi Demang kita ada dua hari raya. Jadi tidak timbul soal ’raya tumpang’ atau ’raya betul-betul’. Kita wajib merayakannya.

Demang lihat dalam blog pagi ini blogger Pena Minang merungut pasal fitnah memfitnah antara satu puak dengan puak yang lain. Padahal Rasululullah dihadirkan untuk menyatupadukan manusia melalui Islam. Namun setelah baginda bersusah payah bersama para sahabat memujuk nenek moyang kita memeluk Islam, hari ini ada pula manusia yang menyeru ke arah perpecahan.

Sempena Aidil Adha ini apa kata kita kurangkan sedikit kebencian sesama Islam dan berfikir sejenak bagaimana untuk memajukan ummah dari segi ekonomi. Memanglah ekonomi tidak boleh membeli akidah namun untuk beribadat dengan sempurna kita perlukan wang. Contohnya, untuk mengerjakan haji.

Maklumlah, jika tidak dengan duit sendiri, siapa yang nak sponsor kita, ye tak? Lain lah orang tu...

Selamat hari raya aidil adha. Selamat menjalani ibadah qorban (pun nak pakai duit jugak!)


foto hiasan:
korban
bdkleovirgo flickr.com

Tuesday, June 9, 2009

Bersenyum



Entahkan sengaja entahkan tidak salah seorang peserta menggunakan istilah 'bersenyum' dan bukannya 'tersenyum' apabila menggambarkan perasaannya selepas satu aktiviti yang Demang kendali.

Kata beliau: "Walaupun penat namun kami masih mampu bersenyum".

Biasanya orang akan 'tersenyum' apabila ada sesuatu perkara yang menyentuh emosi seperti bahagia, gembira, atau senang hati.

Namun bila pula kita 'bersenyum'? Bagi Demang, 'tersenyum' masih memanafaatkan imbuhan 'ter' iaitu perlakuan tanpa disengajakan. Manakala 'bersenyum' ialah tindakan secara sengaja.

Justeru, walaupun kita sudah lama tidak tersenyum lantaran tiada sesiapa atau tiada apa yang mampu membuat kita tersenyum maka cubalah untuk 'bersenyum' pula.

Barangkali kita boleh lakukannya kepada pihak yang sebelum ini kita anggap sebagai musuh kita.

Sementara itu Muktamar PAS sudahpun selesai.

Bersenyumlah, walaupun kita tidak dipilih oleh perwakilan. Barangkali itu keputusan terbaik untuk rakyat Malaysia.

Takkanlah untuk bermuzakarah dan berbaik-baik sesama Islampun tidak boleh, ye tak?

Kepada Ustaz Nasharudin, Demang ucapkan TAHNIAH. Demang percaya kemenangan tersebut bukan sahaja kerana beliau lebih baik daripada Husam dan Mat Sabu tetapi juga kerana beliau mewakili ahli PAS (tulen) yang sentiasa menginginkan perdamaian.

Justeru Demang juga ucapkan tahniah kepada semua ahli PAS (tulen) yang telah menang dalam mempertahankan perjuangan sebenar PAS. Kalian sudah boleh tersenyum.

Manakala golongan Erdogan, cubalah untuk bersenyum... dan bermuhassabah.

Friday, May 29, 2009

Berterima kasih dan bersyukur



Pulang dari sekolah tadi, Demang singgah di Jaya Jusco sekejap. Lama tidak ke pasaraya tersebut, rupa-rupanya setiap kereta yang masuk perlu mengambil 'tiket parking'.

Kebetulan Demang terserempak dengan seorang rakan sekampung yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di situ.

Maka tanpa berlengah Demang terus mengadu padanya.

"Wah, dah kena bayar pulak ‘parking'. Dulu ‘free' je."

"Alaa, bang. Cuma seringgit sejam. Itupun dikira mulai jam kedua. Kalau cuma sejam, masih percuma. Kalau abang ada 'J-card' dua jam pertama masih percuma." rakan itu menjelaskan.

Demang terdiam. Sambil diam, Demang terfikir betapa rakan Demang yang bekerja sebagai pengawal tahu ‘menjaga’ majikannya. Bukanlah Majikan itu yang menghidup dan mematikannya dan bukan sekali-kali memberi rezeki padanya. Cuma pengawal keselamatan itu faham erti bersyukur dan berterima kasih.

Maka Demang tersedar satu perkara.

Cheguman seorang guru. Tugas guru ialah mendidik kanak-kanak. Ketua jabatan bagi guru ialah Guru Besar. Guru Besar di bawah kuasa Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri. Jabatan pula di bawah Kementerian Pelajaran yang mempunyai seorang menteri, iaitu Menteri Pelajaran. Menteri Pelajaran tersebut dilantik oleh Perdana Menteri.

Maka Cheguman mesti menyokong Guru Besar, Pengarah Pelajaran Negeri, Ketua Pengarah Pelajaran, Menteri Pelajaran, dan Perdana Menteri.

Itu jika dilihat daripada bawah. Mari kita lihat pula dari atas.

Dalam PRU12 baru-baru ini, BN telah memenangi 140 kerusi parlimen. Maka Yang Dipertuan Agong selaku Ketua Negara pun berkenan melantik Pengerusi BN sebagai Perdana Menteri.

Perdana Menteri pun membentuk kabinet dan salah satu kementerian yang dibentuk ialah Kementerian Pelajaran. Menteri Pelajaran dilantik oleh PM bagi mengetuai kementerian tersebut.

Di bawah Kementerian Pelajaran ialah Ketua Pengarah Pelajaran. Di setiap negeri pula ada Pengarah Pelajaran Negeri. Semua sekolah berada di bawah Jabatan Pelajaran Negeri. Setiap sekolah diketuai Guru Besar atau Pengetua. Sekali lagi, Cheguman adalah seorang guru.

Maka Demang hairan bagaimana terdapat ramai guru yang menentang kerajaan dan dalam masa yang sama tidak pernah lupa mengambil gaji dan elaun setiap bulan. Malah tidak malu menuntut bonus tahunan. Walaupun mereka mendakwa mereka tidak cuai mengajar, tetapi bagaimana mereka boleh melaksanakan dasar kerajaan yang mereka tentang?

Demang bimbang, mereka inilah yang mensabotaj dasar-dasar kerajaan kemudian menuding jari pada kerajaan dan mengatakan: kerajaanlah yang salah.

Foto: humyra85.blogdrive.com/ TQ.

Tuesday, February 24, 2009

Kutipan tol dimansuhkan



BH 24/02: Kutipan tol di Plaza Tol Salak Jaya, Lebuhraya Sungai Besi, dimansuhkan mulai jam 12.30 tengah hari tadi. (Berita SMS melalui Celcom).

Alhamdulillah. Demang sejak dulu tidak setuju dengan tol di kawasan bandar. Tahniah kepada YB Ir Md Zain yang menggantikan Samy Vellu. Kata orang 'sirih pulang ke gagang'. Kita perlu menyahut cabaran Allah taala dalam surah Al-Imran, ayat 110: "Kamu adalah ummat terbaik yang dilahirkan untuk manusia."

Masa Demang kecil dulu (1970an) jika kami ingin 'balik kampung' (dari Jengka di Pahang ke Jitra Kedah) akan mengambil masa tidak kurang 14-18 jam. Seingat Demang, jika bertolak petang Jumaat maka menjelang tengahari Sabtu barulah tiba di destinasi. Sekarang? Menurut teman-teman, mereka mengambil masa antara 6-9 jam sahaja.

Sementara itu kita jangan lupa bahawa tol bukan sahaja menyelesaikan masalah perhubungan (infrastruktur) malah membantu mengaktifkan ekonomi ummah. Melaluinya puluhan ribu rakyat mendapat pekerjaan. Masing-masing dengan jawatan dan kedudukannya. Malah pekerja asing juga dapat menumpang nikmat kesuburan ekonomi Malaysia. Alhamdulillah. Itu sumbangan kita sesama ummat Islam.

Melalui tol juga kita melahirkan tokoh korporat dari kalangan anak bangsa. Sekurang-kurangnya ada juga wakil orang Islam dalam senarai tokoh korporat negara. Jangan kita nafikan sumbangan mereka dalam menjana ekonomi ummah.

Jangan juga kita pedulikan sangat berapa wang dalam kantung mereka. Jika kita minta RM27 juta daripada merekapun, kita cuma dapat seorang seringgit sahaja. Apalah nak kita dengkikan sangat. Biarlah mereka bermewah kerana hak mereka berdasarkan taraf dan kualiti hidup mereka. Kalau orang lain yang 'naik' belum tentu kita dapat 'apa-apa'.

Cuma ada pihak yang terlalu risaukan amal kebajikan dan dosa orang lain. Orang tak bersedekah, dia yang susah hati. Orang lain kurang buat kebajikan, dia yang resah tak tentu arah. Dari satu segi, baguslah tu; "Agama itu nasihat menasihati". Malah surah Al Imran yang Demang catatkan tadipun ada sambungannya lagi iaitu 'amal ma'ruf nahi mungkar'. Cuma janganlah melampau. Mengumpat, mengutuk, dan mengejek pun satu dosa. Apatah lagi memaki hamun orang lain.

Jika nak menegur dan berdakwah, gunakan cara berhikmah. Kita 'kan nak membina negara, bukannya nak meruntuhkan negara. Bukankah kita ummat terbaik?

Wednesday, February 11, 2009

Konsep syukur

"Erk.... alhamdulillah."

Apabila kita sendawa kita diajar untuk mengucapkan 'alhamdulillah'. Kenapa? Adakah kerana kita gembira dapat bersendawa? Mungkin juga. Namun yang tersirat ialah kita bersyukur kerana kita terlepas daripada kelaparan. Sendawa adalah satu isyarat bahawa kita sudah kenyang.

Selain itu sendawa juga boleh terjadi ketika perut lapar. Maka kita juga mengucapkan syukur. Kenapa? Hal ini kerana apabila perut kosong maka angin yang tidak dikehendaki akan mengambil tempat dalam perut kita. Sendawa adalah proses mengeluarkan angin tersebut. Dengan itu kita dapat menangguhkan sakit perut. Maka wajarlah kita mengucapkan syukur. Selepas itu kalau boleh cepat-cepatlah isi perut dengan makanan sebelum sang angin tadi merampas kuasa. Jika masih sakit, gunakan minyak Morhabshi yang keluarga Demang keluarkan.

Salah satu konsep syukur ialah kita menyedari bahawa jika tidak begini entah apa pula yang akan terjadi. Dengan kata lain 'syukur' ialah rasa insaf betapa kita dapat menghindari sesuatu yang tidak kita kehendaki.

Dalam konsep bermasyarakat, konsep syukur bukan sahaja perlu difahami malah perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Hal ini kerana kita perlu berkongsi sumber yang sememangnya terhad berbanding nafsu manusia yang bersifat infiniti. Demikianlah realiti ekonomi yang sukar dinafikan. Malah itulah juga sebabnya Allah menyediakan hukum dan peraturan hidup untuk manusia. Tanpa hukum dan peraturan manusia akan musnah akibat cuba memenuhi keinginan mereka yang tidak terbatas itu. Bak kata orang tua-tua, "mati semut kerana gula."

Keterbalikan daripada sifat syukur sudah tentulah 'sikap tidak mahu bersyukur'. Salah satu cirinya ialah sering tidak berpuas hati. Jikapun kita memberinya makanan setiap hari, nanti di suatu masa dia akan mencemik dan mendakwa makanan itu menjemukan.

Sebagaimana yang dinyatakan tadi betapa sumber adalah terbatas dan perlu dikongsi. Malangnya manusia lebih cenderung untuk bersaing berbanding cuba berkongsi. Hal ini kerana rasa bimbang terhadap sumber yang dilihat begitu terhad. Manusia khuatir perkongsian akan menghakis bahagian yang diperuntukkan untuk dirinya.

Konsep syukur tidak muncul sendiri sebaliknya perlu disemai dan dibaja sejak kecil.

Oh ya, sebelum terlupa Demang nak ingatkan bahawa lawan bagi 'syukur' ialah 'tak mengenang budi', manakala contoh bagi istilah itu ialah Karpal Sigh.

(Demang rasa lucu bila dengar Pekida pun buat laporan polis. Heh... sejak bila Pekida main report-report ni?)

Thursday, November 13, 2008

Extra service

Antara keistimewaan guru prasekolah berbanding guru biasa ialah kami disediakan seorang pembantu khas. Tugas mereka ialah membantu guru prasekolah menguruskan kelas dan keperluan kanak-kanak. Antaranya menyediakan makan minum, bahan bantu mengajar, keceriaan kelas dan sebagainya.

Beberapa hari lalu Demang berbual dengan Guru Penolong Kanan 1 yang Demang panggil Kak Jun. Beliau meminta pandangan Demang untuk meminta pembantu Demang 'naik' ke pejabat pentadbiran sekolah bagi membantu serba sedikit tugas kerani.

Jika dikirakan jawatan dan kelayakan, Pembantu Prasekolah (PPS) adalah setaraf dengan kerani, iaitu pada N17. Tetap dan berpencen. Namun dari segi agihan tugas rasmi, masing-masing mempunyai beban tugas berbeza.

Maka timbullah sedikit pertikaian berikutan permintaan tersebut. Kedua-dua PPS tersebut keberatan melakukan tugas tambahan itu memandangkan mereka sendiri sudah mempunyai tugas rasmi.

Demang faham, setiap orang memang mempunyai tugas masing-masing yang telah ditentukan. Gaji dan elaun yang diterima adalah berdasarkan perlaksanaan tanggungjawab tersebut. Mereka berhak menolak tugas tambahan yang di luar bidang mereka.

Namun dalam perkhidmatan, masih ada ruang untuk mendptkan peluang yang lebih istimewa. Antaranya ialah hadiah kenaikan pangkat dan anugerah prestasi cemerlang.
Jika tidak kerana itu pun, sesekali kita akan melakukan kesilapan atau terpaksa mengharapkan budi bicara majikan dalam situasi tertentu. Contohnya ketika ingin bercuti bagi menghantar saudara mara yang hendak ke mekah.

Atas alasan tersebutlah Demang berpendapat kita perlu memberikan perkhidmatan tambahan. Kalau dalam beribadat perkara begitu dinamakan amalan sunat.
Amalan sunat akan menampung kekurangan dan kelemahan kita dalam melaksanakan amalan wajib.

Dalam dunia korporat, ia merupakan nilai tambah yang dihargai pelanggan. Ini termasuklah perkhidmatan selepas jualan.

Suatu masa dulu, sykt-sykt automobil bersaing dalam menyediakan reka bentuk produk masing-masing bagi menembusi pasaran. Hari ini, perkara tersebut tidak lagi menjadi modal utama untuk bersaing. Malah mereka bekerjasama dalam R & D bagi menjimatkan kos. Bagi menambat hati pelanggan pula, tumpuan diberikan pada keselesaan dan perkhidmatan selepas jualan termasuk aksesori.

Dalam persaingan global, kualiti tidak lagi dinilai pada harga yang telah dibayar sebaliknya pengguna mencari apakah perkhidmatan percuma yang ditawarkan.
Para pemain global datang dengan modal yang besar. Ketika bank-bank tempatan mengenakan interest melebihi 7%, bank global spt City Bank menawarkan tidak lebih 3% sahaja.

Dalam masa bank tempatan memasukkan pelbagai caj tersembunyi pada kad kredit, bank global mengecualikan yuran tahunan dan pengecualian interest bagi penggunaan kurang 30 hari.

Mujur Tun Dr Mahathir bertindak pantas menggembeling modal melalui tindakan penggabungan bank tempatan. Kesannya, perbankan tempatan kembali bernafas dan mampu bersaing.

Dalam persaingan bagi mengisi jawatan politik, aspek nilai budi masih menjadi kriteria penting meski cuba dihakis oleh budaya rasuah. Buktinya, sehingga kini Mahyudin tetap mengungguli pencalonan meski tiada imbuhan untuk perwakilan yang mencalonkan beliau.
Demang percaya, mana-mana calon yang cuba bermain api akan mendapati diri sendirilah yang akan terbakar nanti. Samada mereka akan tersingkir melalui undi sebenar nanti ataupun dicekup BPR.

Jika terlepas juga, mereka akan mengadap dua saringan di pintu syurga. Pertama, dosa dengan Tuhan tetapi mereka boleh meminta ampun. Kedua, dosa kpd rakyat. Yang ini Demang rasa susah nak lepas.

Sepatutnya kita tidak perlu lagi bercakap tentang rasuah apatah lagi mempersoalkannya. Ia hanya memperlihatkan betapa rendahnya kualiti rakyat Malaysia. Padahal pemain global sudah pergi jauh dengan penekanan pada aspek nilai tambah.

Adakah kita masih bertanya diri kita: "adakah aku sudah melaksanakan amalan wajib?"

Sepatutnya kita sudah mula bertanya: "apakah amalan sunat yang boleh kulakukan lagi?"

Jika sudah, tahniah.

Jika belum, mari kita mulakan.

Wednesday, October 29, 2008

Pengorbanan seorang ibu

Suatu pagi ketika sedang memandu ke sekolah, Demang terdengar imbasan berita di radio tentang seorang ibu yang berjaya menyelamatkan beberapa orang (kurang pasti jumlahnya) kanak-kanak di sebuah asrama dalam satu kebakaran. Belum sempat wanita itu meraikan dan mensyukuri kejayaan, beliau mendapat tahu bahawa anak kandungnya sendiri telah mati hangus di tingkat bawah bangunan itu. Mungkin beliau menyangka akan ada orang lain yang menyelamatkan anaknya memandangkan dia sedang bertungkus-lumus menyelamatkan kanak-kanak lain di tingkat atas.

Demang teringat satu kesah pembunuhan beramai-ramai di Amerika pada suatu ketika dulu. Maka terdapat segolongan manusia yang bertanya: “Ke manakah Tuhan pada malam tersebut?”

Semoga tidak ada orang muslim yang cuba bertanya: “Adakah Allah SWT bersikap adil terhadap wanita tersebut?”

Demang akui, jika perkara tersebut berlaku kepada diri sendiri, belum pasti Demang mampu menghadapinya dengan tenang dan sabar. Demang belum layak menduduki ujian setinggi itu.

Peristiwa tersebut sebenarnya boleh dilihat daripada pelbagai sudut. Di sini Demang ingin mengajak anda menginsafi erti pengorbanan dan keikhlasan kepada Allah. Sejauh manakah kita melakukan sesuatu dengan ikhlas tanpa sebarang keinginan bagi mendapat ganjaran, lebih-lebih lagi sekadar mengejar habuan?

Allah SWT tidak akan menguji hambanya melebihi kemampuan mereka. Demang yakin demikianlah yang berlaku pada wanita tersebut. Begitu hebat ujian yang terpaksa beliau hadapi. Jika beliau membantu kanak-kanak lain tanpa mengharapkan orang lain menyelamatkan anak kandungnya, maka beruntunglah beliau. Namun jika beliau mengungkit-ungkit betapa pengorbanannya tidak dibalas dengan sewajarnya oleh orang ramai maka ‘lagha’lah ibadatnya itu.

Apapun, jasa wanita tersebut amat besar dan Demang berdoa agar Allah Taala memberi kekuatan jiwa yang hebat kepada beliau dan turut memberi ganjaran pahala atas pengorbanannya.

Di mana pula kedudukan kita? Adakah kita tabah menghadapi ujian Allah Taala? Sebelum itu, adakah kita sudah menunaikan tanggungjawab kita dengan ikhlas?

Sekarang musim pemilihan UMNO. Barangkali ramai dalam kalangan kita yang terlibat secara langsung sebagai perwakilan. Adakah kita ikhlas dalam memikul amanah rakyat dlm memilih calon terbaik?

Demang percaya, semua orang ingin menjadi baik. Semua perwakilan akan mengundi berdasarkan kualiti iman dan taqwa, bukan kerana sogokan wang (rasuah).

Namun, akan ada nanti ‘perwakilan’ yang sedang kesempitan wang. Hutang keliling pinggang. Anak-anak memerlukan wang. Keluarga kekurangan wang. Maka amanah dan tanggungjawab terpaksa dikesampingkan. Syaitan dan nafsupun membisikkan hujah dan alasan bahawa tidak salah menerima rasuah demi anak-anak dan keluarga. Bukankah melindungi keluarga itu wajib? ...mencari alasan bagi mewajarkan tindakan.

Maka mereka lupa betapa ujian yang Allah Taala hadapkan kepada mereka itu amat kecil berbanding ujian yang dihadapi oleh wanita yang kehilangan anak tadi.

Subhanallah.

Friday, October 10, 2008

Adakah Haji Hadi Bodoh kerana menyokong Hindraf?

Adalah silap jika menyangka seseorang pemimpin itu bodoh, dan bodohlah jika menganggap seseorang pemimpin itu tidak akan buat silap.

Pemimpin yang bodoh memimpin ahli yang lebih bodoh. Jadi, berhentilah daripada menganggap pemimpin sendiri bodoh.

Pemimpin yang cerdik dipilih daripada kalangan ahli yang cerdik. Justeru ahli yang cerdik akan sering mempromosikan kecerdikan pemimpin mereka.

Tindakan Hj Hadi menyangkal pendapat umum bahawa tindakan Hindraf sebagai biadap
belumlah layak dipanggil strategi. Jika setakat itu maka namanya menjerat diri. Ingat, sebagai pemimpin yang bukan mewarisi 'takhta' daripada nenek moyangnya maka tidak mungkin Hj Hadi begitu bodoh.

Sebenarnya Hj Hadi sedang menghulurkan tali untuk Anwar naik ke atas. Dalam keadaan UMNO yang diserang daripada pelbagai penjuru, maka elok sangatlah Anwar diberi laluan yang lebih selesa. Maka Hj Hadi perlu pura-pura bodoh agar beliau tidak dilihat sebagai saingan Anwar.

Gerakan pertama dianggap selesai dengan berundurnya Paklah tidak lama lagi. Pada perkiraan awal PAS, sebutir peluru sudah cukup untuk Najib dan dengan sekali ledakan sahaja dipercayai PM keenam itu akan tersungkur.

Namun itu plan A. Hj Hadi mungkin telah tahu yang Najib sepatutnya tidak boleh dikaitkan dengan pembunuhan Attantuya. Najib sendiri khabarnya terpinga-pinga apabila namanya terseret sama dalam kes tersebut.

Justeru Hj Hadi mengharapkan Plan B yang sedang disiapkan oleh Anwar. Samada Anwar menjadi PM melalui kejatuhan Najib atau melalui pintu belakang Hj Hadi tidak peduli.

Tok Guru bukan bodoh untuk mempercayai Anwar setelah ramai sahabat Anwar sendiri tidak mempercayai mantan Timbalan Presiden UMNO itu. Tak 'kan lah PAS mahu keluar dari mulut harimau dan masuk ke dalam mulut buaya? Bodoh sangatkah para pemimpin PAS? Kalau mereka boleh serik dengan UMNO tak mungkin mereka boleh melupakan begitu sahaja 'perbuatan' Anwar pada mereka ketika berkuasa dulu?

Bulan Mac dinanti dengan debaran oleh Najib dan Hj Hadi. (Anwar memang sentiasa berdebar). Hj Hadi lebih mengharapkan Anwar boleh melakukan 'upset' sebelum tarikh itu.

Atas strategi inilah juga Nik Aziz enggan berdamai dengan UMNO. Bermuzakarah dengan UMNO samalah seperti memberi bantuan pernafasan kepada UMNO. PAS hanya bersedia untuk membantu membacakan talqin untuk UMNO bukan membantu menyelamatkan bekas parti induknya itu.

Menggunakan Plan A amat berisiko jika terbukti Najib tidak terlibat dalam isu pembunuhan tersebut. Yang merisaukan Najib mungkin isu kapal selam. Namun berdasarkan budi dan jasa Najib yang begitu pemurah selama ini rakyat mungkin boleh memaafkan beliau sekalipun khabar angin itu berasas. Sekiranya benar pun, duit tu tak kan kemana. Kembali kepada rakyat juga.

Sekurang-kurangnya ada alasan Najib untuk memujuk rakyat.

Namun jika berlaku rasuah, jawablah dengan Tuhan nanti.

Kesimpulan daripada itu maka jika menggunakan Plan A tadi maka PAS mungkin terpaksa kekal sebagai pembangkang sampai bila-bila.

Strategi paling ampuh ialah melalui perpecahan UMNO. Sebenarnya ia telah dimulakan sebaik isu salah laku Anwar dihebahkan pada 1999.

Satu lagi petunjuk yang menyakinkan kita bahawa PAS hanya mengeksploitasi Anwar ialah, Mat Sabu yang melagangkan isu Anwar semasa Anwar masih bergelar TPM, kini diminta berdiam diri. Padahal ayam sabung PAS itulah antara yang memulakan perihal salah laku Anwar.

Barangkali ramai generasi muda yang tidak tahu hubungan Mat Sabu dengan Anwar suatu masa dulu.

PAS AMAT BERHARAP ANWAR BERJAYA MENJATUHKAN BN AGAR PAS DAPAT MENGAMBILNYA DENGAN LEBIH MUDAH.

Justeru Anwar adalah kuda trojan PAS. Anwar akan mengambil alih kerajaan seketika sebelum terpaksa mengundur diri.

Kenapa PAS seolah-olah mempertahankan Anwar dan mempertikaikan proses mahkamah? Itu bukan sekadar sandiwara sebaliknya PAS memang berharap pihak pendakwa tidak bersikap sambil lewa dalam perbicaraan dan supaya keputusan mahkamah nanti tidak boleh dipertikaikan lagi.

Keputusan mahkamah yang telus dan jitu amat penting pada PAS.

Jika Anwar sudah berumur, apa bezanya Hj Hadi dan Nik Aziz? Bezanya ialah perjuangan Melayu PAS berdasarkan parti sedangkan Melayu PKR bertunjangkan individu Anwar.

Pada firasat Demang peralihan kuasa antara Anwar dengan PAS adalah agenda utama PAS.

Dalam siri pertama ini Demang kemukakan bahawa seorang pemimpin tidak mungkin bodoh. Insya Allah Demang akan menyambung perbincangan ini berkenaan persoalan kedua iaitu pemimpin juga mungkin tersilap.

Wallahu’alam.

Monday, October 6, 2008

Hindraf, simpang & Lampu isyarat

Demang lahir di Kedah tapi membesar di Pahang. Datuk dan nenek sebelah abah tinggal di Kedah dan sebelah emak ada di Selangor. Hampir setiap kali hari raya kami akan menziarahi mereka bergilir-gilir.

Suatu ketika seorang jiran bertanya: "Hang balik Kedah dari Pahang, ada berapa simpang?"

Ya tak ya jugak. Demang tak dapat jawab sebab Demang memang tak pernah kira. Tapi pakcik tersebut memberikan jawapan:

"Ada dua, simpang kiri dan simpang kanan."

He he... Demang terkena.

Beberapa tahun lalu, Demang ingin mengunjungi tokwan (datuk) Demang yang tinggal di Maahad Islamiah Derang, Kedah. Sebelum itu beliau menetap di Jitra. Oleh kerana agak keliru walaupun pernah ke situ beberapa kali maka Demang bertanya arah jalan pada seorang pakcik.

"Hang jalan terus aja, jangan 'kona-kona'. Tapi kalau jumpa 'kona', kena 'kona' la." kata pakcik itu sambil tangannya turut membantu menunjukkan arah tersebut.

Adakah anda faham gurauan tersebut?

'jangan kona-kona' bermaksud 'jika ada simpang, jangan belok'. Manakala 'kalau jumpa kona' bermaksud 'jika jumpa selekoh' janganlah redah terus seperti di jalan lurus.

Kedua-dua lelucon tadi adalah lamunan Demang tatkala bosan menunggu lampu isyarat bertukar hijau di satu persimpangan dekat Ayer Keroh.

Agak menarik kerana lampu itu menggunakan digital. Ketika Demang tiba, angka yang dipaparkan ialah 90, bermakna Demang perlu menanti selama 90 saat sebelum meneruskan perjalanan.

Namun, setelah agak lama menunggu angka 90 itu tetap tidak berganjak. Demang merasa dizalimi. Ini tidak adil. Demang geram.

Akhirnya lampu bertkar hijau. Sambil menekan pedal minyak Demang sempat melihat masa yang diperuntukkan untuk laluan Demang.

"Ha? Cuma 40 saat? Padahal kami terpaksa menunggu lebih 90 saat! Ini tidak adil. Malah kami berada di laluan utama Ayer Keror-Melaka. Laluan ke kiri ialah ke Bukit Katil dan bersambung ke perigi Hang Tuah yang terletak di kampung Duyong.

Manakala simpang ke kiri adalah laluan ke istana TYT Melaka. Itukah sebabnya? Nampaknya Demang teraniaya! Ada unsur pilih kasih. Laluan ke teratak Demang selaku rakyat biasa telah diberi peruntukan masa yang singkat berbanding laluan kedua-dua aristokrat tersebut.

Demang terus memandu dan lamunan Demang bersambut pula dengan berita kunjungan 'kurang ajar' sekumpulan ahli Hindraf ke majlis aidilfitri PM di Putrajaya.

“Agaknya begitulah yang difikirkan oleh ahli-ahli persatuan tak berdaftar tersebut. Mereka melihat orang lain telah mendapat layanan yang lebih istimewa sedangkan mereka tidak.

Demang mengimbas semula lampu isyarat tadi. Peruntukan masa untuk simpang empat tersebut ialah 120 saat. Oleh kerana lampu tersebut hanya mampu memaparkan dua digit sahaja maka itulah sebabnya Demang melihat angka 90 itu tidak bergerak. Sepatutnya 120 saat. Sebenarnya simpang lain mendapat kurang dari 40 saat. Maknanya laluan Demang mendapat peruntukan yang lebih banyak. Namun Demang tidak melihat itu semua sebab Demang hanya memperhatikan laluan Demang sahaja.

Barangkali, itu jugalah yang berlaku kepada ahli-ahli kumpulan tersebut. Mereka melihat dari satu sudut sahaja dan lebih cenderung menyalahkan orang lain. Mungkin ada yang perlu dibaiki tetapi begitukah caranya?

Demang amat setuju dengan saranan seorang pemimpin yang juga berketurunan India iaitu Siva Subramaniam yang menyarankan agar perbincangan secara beradab dilakukan bagi menyelesaikan sebarang masalah. Beliau tidak bercakap kosong sebaliknya gaya itulah yang diamalkan beliau ketika menjadi Setiausaha Agung CEUPAC dan juga Presiden KPPK/NUTP suatu masa dulu. Demang pernah meminta bantuan beliau apabila permohonan ‘elaun pindah’ Demang ditolak mentah-mentah oleh pihak PPD Jerantut dengan alasan tuntutan tersebut sudah dimansuhkan. Dalam tempoh seminggu beliau membalas surat aduan Demang dan tidak sampai sebulan perkara itu selesai. Genap 30 hari selepas permohonan diproses, Demang terima cek elaun tersebut.

Demang belum menemui komen pemimpin pembangkang mengenai peristiwa tersebut setakat ini kecuali daripada Haji Hadi. Nampaknya Presiden PAS tersebut sudah bersedia untuk melupuskan PAS daripada senarai parti orang Melayu di Malaysia dan menggantikannya dengan PKR. Malah Haji Hadi seolah merestui Anwar atau mana-mana pemimpin pembangkang yang berminat menjadi PM.

Siapa pun tak apa, asalkan bukan BN.

Kenapa Demang kata begitu? Sebab Demang fikir adalah tidak masuk akal seorang pemimpin hebat bertaraf ulama’ boleh merestui tindakan biadap seperti itu dilakukan. Bagi Demang Haji Hadi sendiri telah sedar bahawa beliau tidak layak menjadi PM berbanding Anwar. Namun kenapa beliau menentang Anwar suatu masa dulu? Jika beliau kata UMNO tidak Islam, bagaimana dengan PKR? Islam sangatkah PKR?

Oh ya. Demang baru melihat patung Anwar sudah didirikan di suatu tempat. Dah macam Ayah Pin pulak.

Demang nak tanya Haji Hadi secara terbuka: “Apa akan terjadi jika ketika majlis perayaan Hindu sedang berlangsung, 1000 orang Melayu berbuat seperti yang dilakukan Hindraf itu?”. Perlu diingat, bilangan 1000 orang Melayu tidak sama dengan 1000 orang India berdasarkan populasi di Malaysia.

Demang percaya, bukan hanya Siva yang tidak bersetuju dengan tindakan ‘kurang ajar’ itu malah majoriti orang India di Malaysia juga merasa malu dengan insiden tersebut.

Selamat hari raya aidilfitri (yang masih panjang lagi).

Monday, September 22, 2008

Kerajaan Rakyat: 'antara Kerajaan dan Rakyat'

Sambil menjengah ibu di desa semalam, sempat Demang bertemu dengan seorang sahabat lama yang kebetulan pulang dari KL. Perbualan kosong tanpa tajuk khusus. Oleh kerana kami sedia memahami aliran politik antara satu sama lain maka seboleh mungkin masing-masing cuba mengelak daripada menyentuh perkara tersebut.

Namun sesekali terselit juga satu dua isu rakyat yang bersifat sejagat.

Antaranya ialah tentang kegagalan kerajaan menjaga kebajikan rakyat.

Contohnya dalam belanjawan baru-baru ini, teman tersebut mendakwa pihak yang mendapat faedah langsung hanyalah kakitangan kerajaan. Itupun kumpulan menengah dan atasan.

Kakitangan bawahan? Operator kilang? Penduduk kampung? Peniaga kecil?

"Apakah yang kerajaan buat untuk mereka?" tanya teman tersebut. Sebenarnya beliau seorang penjawat awam – nampaknya begitu prihatin dengan nasib rakyat marhaen.

Beliau memberi contoh betapa masih ada pekerja yang dibayar kurang daripada 500 sebulan.

Daripada sembang-sembang tersebut Demang dapati ada beberapa perkara yang dibangkitkan itu memang benar dan tak perlu Demang ulas. Cuma ada beberapa perkara yang dipersoalkan hanya sekadar rasa tidak puas hati yang hampir mustahil ditangani walau siapapun yang memerintah.

Sekarang Demang ingin menyeret anda bagi mengimbas kembali sebahagian daripada peranan kita. Mungkin anda ‘tidak berkenaan’ tetapi Demang adalah seorang daripadanya.

Apabila menyebut soal amanah dan tanggungjawab, ramai yang cenderung menuding pada kerajaan semata-mata. Kita lupa bahawa antara kerajaan dengan rakyat, kita berada di tengah-tengahnya. Kitalah perantaranya. Kitalah pemangkinnya.

Maksud Demang ialah golongan menengah Melayu.

Kakitangan kerajaan gred 29 ke atas berpendapatan 2000 ke atas. Kebanyakan mereka mempunyai pasangan yang juga berpendapatan hampir sama. Ertinya pendapatan mereka suami isteri tidak kurang 4000 sebulan.

(Sahabat Demang tadi adalah guru biasa yang berpendapatan lebih 6k sebulan, mempunyai 2 buah kereta dan 2 buah rumah. 6k itu adalah gaji sebagai kakitangan kerajaan, tidak termasuk pendapatan sampingan kelas tuisyen dan rumah sewa. Beliau juga mendapat elaun warden asrama).

Kemanakah RM4000 itu dihalakan setiap bulan? Maksud Demang bukan sahabat tadi tetapi kepada sesiapa sahaja yang berkenaan, termasuklah Demang.

Jika merujuk pada artikal Demang tentang sistem piramid ekonomi, di manakah kedudukan golongan ini? Mereka adalah pengguna primer, penerima curahan hujan daripada kerajaan. Yakni di dua tingkat teratas dalam sistem piramid.

Amanah pertama golongan ini ialah melaksanakan tugas membantu rakyat. Jika seorang guru, beliau membantu ibu bapa mendidik anak-anak. Bagi seorang pegawai polis, beliau menjaga keselamatan rakyat. Begitu juga pegawai perubatan yang ditugaskan menjaga kesihatan rakyat. (Para pegawai di SPP dan KPM pun ramai dalam kelompok ini).

Itu tugas pertama kita yang wajib dilunaskan.

Atas tugas-tugas tersebut maka kita diberi saraan atau upah (istilah apapun tak apa kerana yang penting kita mendapat wang).

Wang tersebut dgunakan bagi memenuhi keperluan diri dan keluarga. Maka apabila pegawai itu membeli makanan, pakaian, kenderaan, dan sebagainya maka dapatlah rakyat tertentu berniaga.

Para usahawan tersebut menggaji para pekerja dan dalam masa yang sama mendapat bekalan produk daripada kilang yang menyediakan pendapatan kepada lebih ramai pekerja.

Apabila ramai yang bekerja maka permintaan terhadap jualan makanan turut bertambah. Sebahagian daripada rakyat boleh mengambil peluang ini bagi menjana pendapatan keluarga.

Sumber utama makanan ialah pertanian dan penternakan. Justeru jangan ketawakan Paklah yang menyuruh rakyat bertani. Jika anda tidak mampu, beri galakan kepada abang-kakak kita di kampung. Banyak cara untuk menjayakannya dan bukannya mencemuh atau mencipta ribuan alasan.

Sesungguhnya ruang untuk kita bergerak masih luas. Medan untuk kita berjuang dalam jihad ekonomi masih jauh sempadannya. TDM pernah mensasarkan penduduk Malaysia seramai 70 juta. Sekarang jumlah kita baru setakat 27 juta. Kenapa perlu berdengki?

Ada yang berpendapat unjuran TDM itu mustahil dicapai memandangkan kadar kelahiran dan kematian manusia. Namun kita masih ada alternatif lain untuk mendapatkan tenaga kerja. Bukankah Tuhan berikan kita akal untuk mencipta teknologi?

Dalam ekonomi Islam, wang tidak boleh disimpan-beku. Itulah sebabnya riba diharamkan. Lebihan perbelanjaan bukan ditabung di bawah bantal atau ke dalam simpanan tetap di bank. Sebaliknya carilah pelaburan dengan sesuai. Bertindaklah secara proaktif dengan cara sama-sama menanggung risiko, bukan sekadar 'meminjamkan' wang kepada pihak bank untuk mendapatkan faedah tetap. Itu riba namanya.

Ada satu lagi amanah yang perlu kita bereskan: "sudahkah anda melunaskan zakat fitrah?"

Mungkin kita perlu fikirkan untuk menjadi penyumbang zakat-zakat lain pula seperti zakat harta, perniagaan, ternakan dan sebagainya.

Apakata anda mulakan dengan perusahaan lembu pawah dengan adik-kakak di kampung? 5 tahun lagi jika lembu itu berkembang biak menjadi 10 ekor, bermakna anda akan mempunyai RM20k. Dah boleh naik haji.

Ada seorang sepupu Demang sedang giat mengusahakan ternakan lintah. Menurut beliau, pasaran lintah sangat luas tetapi modalnya agak besar. Maka beliau mengajak saudara mara kami melabur dalam perusahaannya itu. Bukankah itu satu cara yang baik menambah pendapatan?

Demang cadangkan, daripada ahli politik kita sibuk berkempen sepanjang tahun dan berangan untuk menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang, lebih baik setiap YB pembangkang mulakan satu usaha khusus bagi membangunkan ekonomi negara. Insya Allah rakyat akan lebih menghargainya dan tidak mustahil dalam PRU13 nanti mereka akan dipilih menerajui kerajaan yang ‘sah’ .

Maklum lah, mereka ni sebenarnya ada banyak masa lapang berbanding pak menteri.

Tuesday, September 16, 2008

Penubuhan Malaysia 1963 dilihat dari sudut lain

Sekitar 1960an, kaum cina sudah menguasai 70% daripada penduduk Singapura. Jika penduduk pulau tersebut digabungkan dengan penduduk Tanah Melayu maka kaum cina akan tetap menjadi penduduk majoriti.

Justeru kemasukan Singapura ke dalam Persekutuan Tanah Melayu akan memberikan peluang kepada LKY untuk menguasai seluruh Tanah Melayu dan Singapura. Selaku negara yang mengamalkan demokrasi sudah pasti pilihanraya umum yang bakal diadakan akan melonjakkan beliau ke persada tertinggi dalam politik negara baru tersebut.

Pengaruh komunis di Singapura menjadi alasan utama kepada LKY bagi merealisasikan cita-citanya. Ternyata TAR diletakkan dalam situasi ’tersepit’ antara permintaan Singapura dan tekanan Britain. Alasan bekas penjajah tersebut ialah gabungan Tanah Melayu-Singapura adalah kaedah paling berkesan bagi mengekang pengaruh komunis.

Ternyata isu komunis dieksploitasi secara maksimum oleh Britain dan LKY bagi mencapai hasrat mereka menguasai semula Tanah Melayu.

Namun manusia hanya merancang sedangkan perancangan mereka hanyalah sebahagian kecil daripada perancangan Tuhan. TAR berjaya melepasi kemelut ini dengan cara mengundang tiga buah negeri di kepulauan Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Brunei menyertai sama persekutuan. Kehadiran 70% penduduk peribumi yang berada dalam negeri-negeri tersebut diharap dapat mengimbangkan semula populasi kaum. LKY dan Inggeris mahu tidak mahu terpaksa menyetujui keputusan ini.

Oleh kerana plan penguasaan tersebut gagal maka LKY membuat helah dan berjaya disingkirkan 2 tahun kemudian. Britain yang tiada pilihan lain terpaksa berputih mata dengan kemerdekaan Singapura.

Jika persepsi ini diterima, ia adalah jawapan kepada persoalan kenapa Singapura sering ’menyusahkan’ Malaysia sehingga kini. Dengan kata lain usaha mengusai Tanah Melayu oleh Singapura adalah satu usaha berterusan yang dilakukan sejak dulu hingga kini.

Mengapa Demang membawa persolan di atas?

Demang melihat kemelut politik dalam negara kini adalah refleksi kepada usaha berterusan yang dibuat untuk menghentikan dominasi orang Melayu dalam politik negara. Jika dilihat pada rentetan peristiwa menjelang PRU12, terdapat usaha terancang beberapa pemimpin bukan Melayu untuk menafikan kuasa politik orang Melayu. Kempen-kempen secara senyap telah berjalan lama dengan perancangan yang agak teliti. Kenyataan ini disokong dengan keputusan PRU12 yang memperlihatkan penolakan sebenar ke atas kerajaan BN datangnya daripada pengundi bukan Melayu.

Anwar hanyalah bidak caturnya.

Kenapa Demang membawa isu ini kepada perbincangan terbuka?

Demang yakin dan percaya bahawa keamanan dan kestabilan negara hanya mampu diperolehi jika ada persefahaman, tolak ansur dan sikap saling menghormati, bukannya melalui monopoli dan penguasaan oleh sesuatu kaum sahaja dalam semua bidang.

Persefahaman tidak sekadar ucapan retorik semata-mata malah perlu diterjemahkan dengan tindakan dan perlakuan yang menyokong usaha tersebut.

Buat masa ini kaum cina masih menguasai ekonomi meskipun terdapat usaha yang agak agresif bagi mengubah keadaan ini.

Ingat, mengubah bukan sentiasa bermaksud menukar. Perubahan boleh berlaku daripada kecil kepada lebih besar. Sedangkan menukar sering dimaksudkan dengan menggantikan dengan sesuatu yang lain.

Hal ini bermakna, usaha yang dilakukan terutamanya melalui DEB adalah bagi mengubah nasib orang Melayu daripada amat mundur kepada maju sebagaimana kaum cina. Tidak sama sekali untuk menukar posisi iaitu orang Melayu nak dijadikan kaya dan orang cina nak dijadikan miskin.

Perlukah Demang ulang semula aliran ekonomi dalam negara yang telah acap dibincang sebelum ini? Rugikah kaum cina apabila banyak tender diberi kepada orang Melayu melalui DEB? Tidakkah ahli perniagaan cina turut menikmati faedah ini? Demang lihat, orang cina yang marah dengan DEB ialah orang cina yang gagal dengan dirinya. Begitu juga orang Melayu yang menyalahkan DEB apabila gagal mencapai kejayaan yang diimpikannya. Kegagalan peribadi dialihkan kepada pihak lain agar dirinya tidak dipersalahkan.

Demang percaya apabila barisan kepimpinan baru terlantik, korupsi dan kronisme cuma akan bertukar pemilik, bukan terhapus. Kalau dulu dilakukan oleh grup A, sekarang diamalkan oleh grup B pula. Rakyat yang lurus dan mudah diperdaya akan sentiasa ketinggalan. Nanti akan tiba pula pemimpin baru yang akan membawa mereka melakukan perubahan untuk kesekian kalinya.

Sebagai rakyat Malaysia, Demang menyeru agar rakyat terbanyak menghormati asas pembinaan negara.

Jong pecah yu yang kenyang... (kalau ’you’ yang kenyang tak pa lah jugak. Untung-untung you boleh kasi I sikit. Kalau ikan yu kat luar tu...?).

Selamat Menyambut Hari Malaysia.



Rujukan:

http://www.geocities.com/cominglucky/s4tema3.htm

Thursday, September 11, 2008

harmoninya negaraku

Demang sedar kisah piramid dalam artikal lepas agak berat dan mungkin juga menimbulkan polemik. Malah Demang terbaca satu artikal baru-baru ini yang menolak sistem piramid yang didakwa tidak adil kepada manusia.

Terima kasih kepada yang sudi memberi pendapat. Bagi yang enggan memberi komen, Demang tidaklah sampai menghukum ‘diam tanda setuju’.

Perbezaan adalah satu hikmah.

Pagi tadi Demang pulang ke rumah sebentar kerana menghantar putera Demang yang kurang sihat. Maka Demang mengambil kesempatan menjengah ‘rumah baru’ Demang yang sedang disiapkan. Sebenarnya bukan rumah betul-betul. Kami sekadar menaiktaraf bilik kami sebab saiz lamanya agak sempit. Apabila siap kelak, bilik baru tersebut hampir sebesar rumah PPRT. Itu sebabnya Demang katakan ‘rumah’.

Itulah kebaikannya tinggal bersama mertua di dalam sebuah kampung. Boleh buat ‘rumah di dalam rumah’.

Ketika Demang tiba, seorang lelaki India sedang memasang bingkai jendela sambil dibantu isterinya. Seorang lelaki Cina sedang memotong dinding bilik bacaan bagi menambah keluasannya. Sementara itu lelaki Melayu yang mengetuai proses pembinaan tersebut menyiapkan bahagian siling kamar.

Selain itu Demang dapati tugas-tugas tertentu telah diagih-agihkan kepada beberapa pihak lain. Contohnya untuk pendawaian elektrik, menggali lubang tandas, pemasangaan jeriji tingkap, peralatan tandas, dan sebagainya. Masing-masing dengan tugas dan kepakaran masing-masing.

Ibu mertua Demang sempat memberi komen: “wah, muhibah betul tukang-tukang rumah kita…” Yang beliau maksudkan ialah kerana mereka terdiri daripada pelbagai kaum.

Memang betul pun. Demang tumpang seronok melihat suasana mereka bekerja. Sesekali terdapat juga usik mengusik dan senda gurau sesama mereka. Tambahan pula lelaki Melayu yang menjadi ‘kontraktor utama’ kami tu agak kelakar orangnya.

Semasa berbuka puasa petang tadi bapa mertua Demang beritahu: “Ah Kuang minta tambahan RM1500 sebab mereka tersilap kira kos yang dijanjikan dulu.”

“Kesian nengokkan diorang tu. Kita pun pernah susah dulu.” Ibu mertua Demang menyampuk.

“Tak apalah. Bagikan aje. Tapi bukan ke Abang Ali tu yang jadi ketua?” Tanya Demang.

“Dia tu nampak je seloroh dan tak kesah. Tapi dalam hal macam ni dia malu nak berterus terang. Lagipun si Kuang tu yang pegang duit. Kuang tu dah lama berkawan baik dengan Abah,” bapa mertua Demang menjelaskan.

******************

Barangkali secebis kesah manusia di sudut kecil negara kita ini boleh kita renungkan sebentar. Bagi Demang ia ada kaitan dengan artikal ‘Piramid’ yang baru Demang siarkan itu.

Sebagai pegawai kerajaan, alhamdulillah pendapatan Demang cukup untuk kami sekeluarga. Tambahan pula isteri Demang juga bekerja. Kami tinggal bersama ibu bapa (sebelah isteri). Bapa mertua Demang bukan orang kaya dan hanya pemandu ambulan yang telah bersara. Namun rezeki beliau agak murah di samping rajin berusaha sebagai agen hartanah.

Kata orang agen hartanah boleh jadi kaya raya, namun Demang tak percaya sangat sebab bapa mertua Demang masih menggunakan ‘motor cup’ buruknya sehingga kini. Duit simpanannya pun tak banyak walaupun dia selalu menguruskan jual beli tanah/bangunan bernilai jutaan ringgit. Melalui perbualan dengan beliau, Demang dapati komisyen yang diterima walaupun kelihatan besar namun setelah ditolak segala kos dan pengurusan serta dibahagikan antara pihak yang terlibat (ramai) sebenarnya tidak seberapa.

Yang Demang tahu, duitnya banyak dipinjam orang.

Selain itu sesekali Demang dan isteri dijemput ke program motivasi dan sebagainya. Selain berbakti, kami mendapat tambahan pendapatan melalui usaha tersebut.

Dalam pada itu ada satu lagi usaha Demang iaitu membuat promosi produk keluarga Demang melalui internet iaitu sejenis minyak untuk perubatan tradisional. Namun Demang tak masukkan dalam sumber pendapatan sebab hasilnya terus disalurkan kepada ibu Demang di kampung. Lagipun cuma perusahaan kecil-kecilan. (nanti Demang ceritakan).

Kenapa Demang ceritakan ini?

Jika kita imbas artikal ‘piramid’ Demang, didapati air mengalir terus dan dimanafaatkan di setiap peringkat. Wang yang ada pada Demang bertukar tangan ke pihak lain untuk dimanafaatkan pula oleh mereka. Seterusnya ia akan berpindah pula kepada pihak lain mengikut giliran dan keperluan.

Kata seorang teman lama Demang yang mengulang kata-kata seorang ustaz: “duit yang di dalam poket kita pun belum tentu menjadi rezeki kita. Mungkin kita cuma tolong simpan sahaja sebelum diserahkan kepada orang lain.”

Bagi Demang, jika kita berada di puncak, gunakan peluang tersebut untuk mengumpul pahala dengan berbuat sebanyak mungkin kebajikan. Perlu diingat bahawa kebajikan bukan sekadar memberi sedekah malah menyediakan pekerjaan juga merupakan fardhu kifayah.

Itulah jihad seorang Muslim.

Monday, September 8, 2008

Sistem piramid

Pernahkah anda melihat gunung yang kuncup ke bawah? Atau payung dan bumbung yang terkangkang ke atas? Bagaimana jika menara Petronas dibina dengan puncaknya besar dan tapaknya kecil?

Lihatlah pepohon yang tirus ke atas dan kembang di bawah. Gali lagi ke dasar dan lihatlah akarnya yang merebak pada medan yang lebih luas.

Itulah bentuk piramid.

Dari mana air mengalir?

Bumi adalah permukaan yang luas, menadah hujan yang cucur dari langit. Lautan pula menjadi kolam takungan bagi semua air yang mengalir dari segenap ceruk. Sinar suria menghangatkan cecair dan menyejatnya menjadi wap lalu mengapung ke langit. Awan-awan yang terbentuk berada di segenap pelusuk bumi termasuk perbukitan dan pergunungan. Sejurus ia memberat dan berderai menjirus puncak gunung. Airnya mengalir menempuh keluk-keluk sungai, menuruni lurah, lembah dan denai sebelum kembali bergenang di laut.

Di manakah anda? Di puncak, di lereng, di kaki gunung atau di laut?

Air menunaikan fitrahnya dengan mengalir dan terus mengalir memenuhi aras. Sebahagiannya meresap ke bumi dan meruap ke langit. Tak kurang juga yang dihirup haiwan dan diserap akar tumbuhan. Semuanya menikmati hak dan ketentuan masing-masing.

Sekali lagi, di manakah posisi anda?

Bagi yang berada di puncak, anda adalah pengguna primer. Anda adalah raja. Tiap titis hujan akan menimpa atas jemala anda terlebih dahulu. Minum lah sepuasnya. Serap lah sebanyak yang boleh dan gunakan selagi terdaya. Jika mahu, kepung dan takunglah ia.

Meskipun demikian, samada rela atau terpaksa air akan mengalir terus meninggalkan anda. Samada ia telah anda manafaatkan atau merupakan lebihan yang tak larat anda guna, ia tetap akan tiba pada pihak lain yang berada di aras lebih bawah. Kelompok ini lebih ramai dan mereka menanti giliran selepas anda.

Semakin rendah aras semakin ramai penghuninya. Masing-masing melangut menanti habuan. Itulah hak menurut keperluan.

Cuba periksa, pada aras manakah anda sekarang?

Adakah anda bersendirian di kemuncak sana atau bergaul dalam kelompok tengah yang sederhana ramai? Atau anda berada dalam kelompok teramai di bahagian dasar?

Di mana sekali pun anda berada air akan tetap mengalir dan hanya sedikit yang mampu anda takung. Selebihnya akan terus mengalir untuk dijamah makhluk lain.

Di bahu anda ada amanah dan tanggungjawab. Anda adalah khalifah di bumi ini.

Jangan cuba-cuba menterbalikkan piramid ini.

Tuesday, August 19, 2008

Puncak Kinabalu

Baru-baru ini Demang dan isteri berpeluang ke Kundasang, Sabah bagi memenuhi undangan menjayakan satu program motivasi.

Biasanya apabila berpergian, Demang akan menggunakan satu kemudahan yang dihadiahkan oleh Allah SWT iaitu solat jama'.

Namun sebaik tiba, Demang begitu terpesona melihat kehebatan gunung Kinabalu yang tersergam gagah disimbah sinar mentari senja. Lantas Demang segera mengangkat wudu' dan menyertai para peserta menunaikan solat maghrib berjemaah.

Hilang segala letih lesu dan niat awal untuk jama' ta'khir lenyap begitu sahaja.

Bagi Demang segala pujian dan kesyukuran mesti dikembalikan kepada Maha Pencipta. Malah sebutir pasir pun tidak mungkin terjadi dengan sendiri tanpa ada kuasa yang berada di sebalik kejadian itu.

Kekaguman terhadap puncak Kinabalu sempat mengusik minda Demang menerawang kepada pelbagai perkara yang berkaitan. Salah satu daripadanya ialah pendakian ke puncak.

Berapa ramaikah yang telah cuba mendaki ke puncak Kinabalu. Memang ramai namun Demang bukanlah salah seorang daripada mereka.

Berapa ramai pula yang gagal untuk menawan puncaknya? Demang tidak ada maklumat tentang itu.

Namun kali ini Demang bukan membawa persoalan pendaki yang berjaya atau gagal sampai ke puncak Kinabalu.

Demang sebenarnya terfikir, bagaimana jika setelah berpenat lelah dan bersabung nyawa mendaki, akhirnya kita dapati bahawa kita berada di puncak yang salah?

Demang cuma bimbang melihat keghairahan sesetengah pihak yang bermati-matian ingin ke puncak sedangkan setelah tiba di puncak tersebut mereka dapati puncak yang diimpikan rupa-rupanya berada di sebelah mereka. Lebih pedih lagi apabila didapati musuh yang kita sangka kawan sedang ketawa mengejek di puncak sebenar.


Wallahu'alam.

Saturday, August 16, 2008

SMS: antara Permatang Pauh dan Kuala Lumpur

Malam tadi Demang terima SMS dari sahabat di Permatang Pauh:

“ANTARA DALIL MENGAPA DSAI TAK BOLEH JADI PM

KEPUTUSAN PRU 12 BARU INI. KERUSI PARLIMEN:
79 UMNO, 31 PKR, 28 PAS, 23 DAP.

SEKIRANYA 30 ORG BN LOMPAT PARTI BLM TENTU SEMUA ORG ISLAM. JIKA MEREKA YG LOMPAT SEMUA ORG CINA & INDIA MEREKA AKAN PILIH MSK PARTI DAP @ PKR. JUMLAH KERUSI PKR & DAP LBH BYK DR PAS.
YAB PM = MELAYU ,TIMB PM = LIM KIT SIANG. TAPI KALAU SEMUA YG LOMPAT MSK DAP MAKA YAB PM = LIM KIT SIANG & SEMUA MENTERI YG HEBAT = CINA & INDIA. PAS AKAN DITINGGALKAN. MELAYU DITIPU???
SEBARKAN KPD SEMUA MELAYU.. “

Demang ‘forward’ kepada seorang sahabat di KL, dan ini jawapan yg beliau beri:

“Bngsa melayu perlu refmsi..x boleh tkut byg2..dok takut bgsa asg ambk ini dn itu,kita kena b'saing..ubh sedikit atau ubh terus..jgn dok takut ini dan itu t'hapus..byk sdh yg t'hapus..strategi umno dah x boleh pakai..aku dah tegskn dulu..kita diajar jd penakut..itulah mentaliti yg dijajah oleh bgsa sendiri ..jgn byk tgk salh bgsa lain,jelas umno x releven lg..dah nak umpan pas pulak..”

Demang cuba jadi moderator malam tadi. Jadi Demang ‘forward’ pula kepada sahabat di Permatang Pauh tadi. Di bawah ini adalah jawapan yang Demang terima. Namun Demang rasa rugi bil telefon untuk ‘forward’ kepada sahabat Demang yang di KL tu. Demang yakin beliau takkan boleh terima dan ‘perang’ akan berlanjutan lagi. Demang dah pernah beritahu dia yang persahabatan terlalu mahal untuk diputuskan dek kerana tak sependapat dalam politik.

“Kalau dah nak bersaing sgt dan nak berubah sepenuhnya..., eloklah kerajaan menarik balik kesemua subsidi (minyak, makanan, perumahan, pendidikan dsb.) Subsidi yg ditanggung kerajaan adalah diatas kesedaran bahawa org Melayu khususnya akan terbeban dan tidak dapat menanggung kesemuanya. Dari itu kita akan dpt lihat kehancuran bangsa Melayu serta sia-sialah perjuangan tokoh pejuang bangsa yg lampau. Berkata-kata memanglah mudah, tapi kenyataannya adalah semua umat Melayu sudah bersedia menghadapinya. Harga minyak dan makanan naik sikit pun ramai dah terasa bebanannya...! Bersaing biarlah dengan cara yg bijak, bukannya dgn cara membunuh bangsa & agama sendiri.”

Demang percaya para pengunjung blog waadat mempunyai pelbagai fahaman dan pandangan tersendiri. Jadi, apa komen anda?

Sunday, July 27, 2008

Ujian Prasekolah

Demang dapati hampir semua media hari ini memberikan liputan pada permuafakatan UMNO-PAS. Demang amat bersyukur. Barangkali inilah hikmah sebenar PRU12 yang lalu. Kepada rakyat bukan Islam, janganlah bergundah gulana atau risau. Islam tidak pernah menghalalkan kezaliman sesama manusia. Malah di dalam al-Quran ditegaskan: "Tiada paksaan dalam Islam" Yakni orang bukan Islam tidak boleh dipaksa memeluk agama Islam.

Sambil kita mengikuti perkembangan terkini permuafakatan tersebut, apa kata kita berehat seketika untuk isu Demang kali ini. Bacalah mengikut fahaman masing-masing.

***********************

"Cikgu, kenapa kita tak ada ujian?" Yasmin bertanya.

Aku tersenyum. "Kamu nak ujian ke?"

Kanak-kanak perempuan itu mengangguk, bersungguh-sungguh.

"Mana kamu tau tentang ujian?" aku menduga.

Yasmin terdiam. Barangkali dia tidak begitu memahami soalanku. "Di tadika dulu ada ujian?" soalku terus terang.

"Ada." jawabnya pendek.

Aku tersenyum. Teringat amaran keras Prof Madya Dr Hashimah semasa kuliah dulu:

"Kamu tak payah nak rajin sangat adakan ujian di prasekolah. Jangan rampas zaman kanak-kanak mereka terlalu awal. Sebaliknya buat pemerhatian berterusan. Gunakan rekod anakdot dan sebagainya bagi mencatat perkembangan mereka."

Persoalan murid tadi tentang ujian membuatkan aku terfikir tentang apa sebenarnya ujian?

Sejak menamatkan kursus perguruan pada 1990, salah satu tugasku ialah menyediakan ujian. Malah tanggungjawab tersebut sebenarnya merupakan satu ujian bagi seorang guru.

Sebagai seorang yang sering terlibat dengan program motivasi dan pembinaan modal insan, kadang-kadang para peserta kami diuji juga.

Namun, apa itu ujian?

Ujian berasal dari kata dasar uji (test). Istilah lain yang hampir sama ialah periksa (exam).

Ujian dibuat bagi mengesahkan sesuatu perkara. Contohnya jika kita ingin tahu sama ada gulai yang kita masak itu masin atau tawar maka kita akan mengujinya dengan cara menitipkan sedikit pada lidah.

Ketika aku di Jengka dulu sering juga aku ke ladang membantu ibuku menoreh getah. Alat utama dalam pekerjaan ini selain pokok getah ialah pisau penoreh getah. Pisau ini mestilah sentiasa tajam memandangkan tugas beratnya ialah untuk menoreh kulit kayu. Jika kita ingin menguji sama ada pisau penoreh getah itu sudah tajam atau belum maka cuba letak mata pisau itu pada kuku dan tarik ke bawah. Jika terasa licin maka mata pisau tersebut dianggap belum cukup tajam dan perlu diasah lagi.

Batu pengasahnya ada dua. Satu berpermukaan kasar dan satu lagi licin. Setelah itu diuji lagi dengan cara tadi. Jika terasa kesat hingga mata pisau tidak boleh bergerak pada permukaan kuku maka luluslah ujian itu.

Bagaimana pula jika anda tersilap uji sehingga jari anda terluka?

Semasa menjadi pelajar dulu, ujian bukanlah sesuatu yang disukai.

Yang jelas, ujian bukan sekadar soalan. Jadi, anda tidak boleh bertanya kekasih anda: "adakah awak setia?"

Sebagai makhluk, kita juga diuji oleh pencipta kita. Namun sebagaimana di sekolah, ujian untuk murid darjah satu tentu lah tidak sama dengan ujian yang disediakan bagi pelajar universiti.

Justeru apabila diuji, bersabarlah. Yakin dan percayalah bahawa Tuhan tidak pernah tersilap mengedarkan kertas ujian, cuma kita yang tidak membaca 'buku rujukan' atau 'manual' kehidupan yang telah disediakan oleh Maha Pencipta.

Demang: Sering diuji Tuhan selepas membuat 'posting' di sini. Ujian bagi mengelakkan 'cakap tak serupa bikin'.

Wallahu'alam.

Wednesday, July 23, 2008

Suatu pertanyaan

Kenapa bila kita mati roh kita tak boleh datang semula ke sini?

Saya hampir tidak percaya bahawa anak saya yang berumur enam tahun boleh mengemukakan soalan sebegitu.

Dari mana dia memperolehi soalan itu? Ibunya merangkap guru kelasnya menafikan mengajar soalan tersebut. Begitu juga neneknya yg juga guru mengajinya tidak pernah menimbulkan soalan sebegitu.

Cuma isteri saya mengaku bahawa pengetahuan tentang kematian dan hari qiamat memang diajar berdasarkan kandungan sukatan pelajaran prasekolah. Hal ini memang saya maklum kerana memang bidang saya. (lihat http://www.morhabshi.com)

Persoalan yg dikemukakan membuatkan saya terfikir dua perkara yg saya rasa elok dikongsi bersama.

Pertama, adakah kita sedar potensi sebenar anak kita? Apa yg mereka rakam (melalui sensori motor/deria), mereka proses (termasuk berfikir dan bertanya), dan mereka keluarkan (output) dalam bentuk tingkah laku (behavior)?

Kedua, pernahkah kita bertanya diri sendiri kenapa kita perlu mati setelah dihantar ke dunia ini?

Jika anda di tempat saya, apakah jawapan yg patut diberikan kepada si kecil itu?

Amalan kami suami isteri ialah 'memberitahu walaupun mereka belum faham.'

Sebenarnya saya tidak gemar memberikan jawapan secara terus sebaliknya membuka jalan agar mereka terus berfikir dan membina konsep sendiri.

Bagi saya, cepat atau lambat sesuatu perkara itu difahami tidak penting. Sebaliknya jika mereka sudah menguasai sesuatu konsep maka apa pun masalah yg didatangkan kemudian insya Allah dapat mereka selesaikan dengan lebih mudah.

Dalam situasi tadi saya menjawab begini:

"sebelum Haziq lahir, di mana Haziq duduk?"

"Dalam perut ibu," jawab anak saya.

"Ok. Sekarang Haziq dah ada di dunia. Boleh tak Haziq 'duduk' semula dalam perut ibu?" saya mengumpan lagi.

"Tak boleh," jawabnya.

"Maknanya, dulu kita di alam rahim, sekarang di alam dunia dan selepas ini di alam kubur (barzakh). Selepas itu kita semua akan berkumpul di alam akhirat. Tidak kira siapa yang mati dulu, semuanya akan berjumpa semula di akhirat." Saya memberitahu kedua-dua putera saya. Abangnya (9 tahun) turut mendengar sama.

"Haziq tengok. Dulu, Toknyang dan Tokji dah mati. Sekarang diorang dah berada di alam kubur. Nanti kita pula. Apabila semua orang dah mati, itu namanya qiamat. Lepas tu, kita semua akan berjumpa semula di alam akhirat." Saya menamatkan penerangan.

"Di 'alam' ke, 'dalam'?" Dia agak keliru.

"ALAM, bukan DALAM." Saya mempertahankan istilah itu tapi belum bersedia menjelaskan lebih lanjut.

Nampaknya kedua-dua putera saya mulai faham. Namun sudah tentu pemahaman mereka tidak sama dengan pemahaman kita. Tidak mengapa. Sekurang-kurangnya mereka telah bermula.

(saya pernah terbaca sebuah buku: seorang kanak-kanak bertanya bagaimana kita boleh bezakan antara mimpi dengan realiti?).

Sampai sekarang saya belum dapat jawapannya.

Wallahu'alam.

Thursday, July 17, 2008

Menjelang Permuafakatan UMNO-PAS

Kenyataan Dr Mohd Asri Zainul Abidin Berhubung Dengan Pertemuan Pas Dan Umno
Disiarkan pada Jul 15, 2008
http://drmaza.com/

Saya menyeru umat Islam berdoa kepada Allah agar berlakunya pertemuan antara UMNO dan PAS dalam keadaan yang harmoni dan mendatangkan kebaikan untuk rakyat umumnya dan umat Islam khususnya. Pertemuan itu diharapkan bukan atas kepentingan mana-mana parti, sebaliknya di atas kemaslahatan umat. Anggaplah itu tanggungjawab menjaga ukhuwwah, dakwah dan menjaga maslahah ummah.

Jika mereka sebelum ini boleh bertemu dengan pihak-pihak yang jauh segi akidah dan prinsip dari parti mereka, mengapa pula tidak boleh untuk mereka duduk semeja dengan saudara muslim mereka. Walaupun masing-masing mempunyai pandangan yang berbeza dalam beberapa perkara, namun mereka menganut agama yang sama. Semoga Allah memberikan pahala yang besar kepada Presiden PAS DS TN Abdul Hadi Awang atas hasratnya itu. Juga semoga Allah memberikan balasan kebaikan kepada PM DS Abdullah Ahmad Badawi yang memberikan respons yang baik.

Firman Allah: (maksudnya) “Tiada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau menyuruh berbuat kebaikan, atau menyuruh perdamaian antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar” (Surah al-Nisa’: ayat 114). Tiada siapa yang membenci hasrat ini, melainkan mereka yang membenci kebaikan untuk umat dan negara.

Saya yakin, pertemuan itu bukan untuk meleburkan identiti politik mereka, sebaliknya mungkin hasrat atau idealisme politik masing-masing dapat dilaksanakan secara selaras dan matang. Memang sukar untuk mana-mana pihak pun dalam dunia ini mencapai keseluruhan idealisme perjuangannya. Tetapi bak kata kaedah: “Apa yang kita tidak capai kesemuanya, jangan pulak ditinggalkan keseluruhannya”. Ertinya, jika tidak dapat mencapai tahap seratus peratus pun, janganlah pula sedikit sebanyak yang mampu diperolehi ditinggalkan.

Sikap ingin bertemu antara satu sama lain dalam suasana yang lebih harmoni itu adalah lambang kematangan politik kedua parti tersebut.

Nabi s.a.w bersabda: “Mahukah kamu aku khabarkan amalan yang lebih tinggi darjatnya daripada puasa dan solat ? Jawab para sahabah: Bahkan. Sabda baginda: “Mendamaikan hubungan, kerana rosaknya hubungan itu adalah pencukur (mencukur agama)” (.Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).

Pertemuan itu saya percaya, bukan untuk mengungkit kisah silam, tetapi untuk membuka lembaran baru yang lebih menjamin kebaikan untuk umat dan negara. Kita ingin melihat mereka duduk dengan penuh kasih sayang dan ukhuwwah. Marilah kita semua berdoa agar hasrat tersebut dapat direalisasikan.

Saya percaya, pada hari impian itu terlaksana, mereka yang ikhlas akan mengalirkan airmata kesyukuran yang tidak terhingga.

Demang: terasa seperti ada pepasir di sudut mata, ada genangan air menunggu rebak... Semoga doa ini diperkenankan Allah subhanahu wata'ala.

Buat masa ini Demang telah berjaya menghubungi sahabat-sahabat yang sedang berjuang dalam UMNO dan mereka telah berjanji untuk membuat usul permuafakatan ini dalam mesyuarat cawangan masing-masing. Demang minta kerjasama sahabat bloggers untuk turut bergerak di lapangan bagi merealisasikan cita-cita ini.

Insya Allah.

Tuesday, July 15, 2008

S.A.P: Saya Anak Peneroka

Demang lihat Buletin Utama kelmarin tentang ketidakpuasan hati 'bapa-bapa' di sebuah tanah rancangan Felda di Johor.

Sebagai anak peneroka Demang faham jugak perasaan mereka yang adakalanya berpendapatan melebihi gaji Cheguman laki bini yang ada degree tetapi adakalanya lebih rendah daripada gaji Muniandy atau Pak Leman yang jadi jaga di sekolah Demang.

Demikian lah nasib peneroka.

Bagi yang kurang memahami realiti di tanah rancangan Felda, Demang ingin berkongsi pengalaman Demang yang membesar di Felda Jengka 8, Pahang.

Sebelum berhijrah, kami sekeluarga tinggal di Kedah. Ayah Demang bekerja sebagai konduktor bas (kolet bas, kata orang kampung). Sebelum itu dia pernah menjadi penarik beca, kelindan lori, awak-awak bot nelayan dan sebagainya.

Kami menyewa rumah di Gurun. (ketika Demang singgah di situ dan melihat rumah itu 3-4 tahun lalu baru Demang sedar bahawa 'rumah' itu sebenarnya cuma sebuah pondok).

Perjalanan dari Kedah ke Pahang ketika itu amat jauh. Demang masih ingat jika bertolak pada waktu petang maka petang esoknya baru tiba ke destinasi.

Perjalanan pada waktu malam sebenarnya ada rasionalnya. Para penumpang boleh tidur dan dapat mengelakkan mereka mabuk akibat jalan yang terlalu berbengkang-bengkok.

Lagi pun tak ada apa yang menarik hendak dilihat sepanjang perjalanan melainkan hutan belantara serta bukit-bukau dan gaung.

Di Felda, setiap peserta yang dipanggil peneroka disediakan rumah satu bilik di atas tanah suku ekar dan hampir sepuluh ekar tanah yang telah ditanam getah atau sawit.

Bukan orang sekarang sahaja yang teruja mendengar 'tuah' yang disediakan tersebut. Malah orang dulu pun begitu seronok dan bersemangat untuk meninggalkan kampung halaman dan menerima tawaran Felda untuk menjadi peneroka.

Namun kejayaan tidak semudah angan-angan. Jika anda ke Jengka 8 sekarang anda akan hairan kenapa majoriti penduduk di situ berasal dari luar Pahang. Malah loghat utama mereka (kami) ialah loghat utara.

Tidak adakah penduduk tempatan?

Ada, tetapi dikira penduduk minoriti sehingga mereka sendiri akhirnya tenggelam dalam budaya dan adat orang utara.

Kenapa begitu?

Pada asalnya memang ramai orang Pahang yang menjadi peserta di situ. Namun cabaran dan keperitan hidup sebagai peneroka memang hebat. Maka ramai yang menyerah kalah dan kembali ke kampung asal mereka.

Sebaliknya peneroka yang berasal dari negeri lain sudah berpatah arang untuk berpatah balik. Kebanyakan daripada mereka telah tidak mempunyai tempat tinggal lagi di negeri asal. Ada yang telah menjualnya untuk dijadikan modal berhijrah manakala selebihnya (seperti ayah Demang) memang tidak ada harta di kampung asal.

Maka mahu tidak mahu terpaksa lah bertahan jika pun tidak mampu berjuang.

Ada juga pertanyaan kenapa tanah Felda dikhususkan untuk orang Melayu sahaja?

Sebenarnya soalan tersebut kurang tepat kerana di beberapa tanah rancangan Felda terdapat juga peneroka dari kalangan kaum Cina dan India. Contohnya di Felda Hutan Perca, Melaka dan di Jengka 13, Pahang.

Namun bilangan mereka adalah minoriti kerana tidak memenuhi syarat kelayakan. Pemohon mestilah dari kalangan rakyat yang di bawah paras kemiskinan atau sekarang disebut 'miskin tegar'.

Ciri-ciri mereka yang layak ialah tidak mempunyai pekerjaan, pendapatan dan tempat tinggal yang tetap.

Kaum India agak kurang kerana populasi mereka memang sedikit. (sekarang pun bilangan orang India memang sedikit sekalipun berbanding pekerja asing). Manakala kaum Cina tidak ramai yang benar-benar layak. Malah kebanyakan peneroka kaum Cina hanya mempunyai nama dan hak di Felda yang mereka sertai padahal mereka tidak pun benar-benar mengusahakan ladang yang disediakan.

Oh ya, Demang terlupa satu fakta penting. Sebenarnya semua yang disediakan di tanah rancangan Felda bukan lah diberi percuma. Malah semua kos termasuk rumah, tanah, ladang, jalan, gaji kakitangan Felda (dipanggil pegawai dengan gelaran 'encik'), baja, racun serangga termasuk tanah perkuburan pun ditanggung oleh setiap peneroka. 'Ditanggung' bermaksud semua perkara itu dikira sebagai hutang yang wajib dibayar semula secara ansuran.

Oleh yang demikian Demang tidak hairan kenapa terdapat peneroka yang menyokong parti pembangkang. Fakta-fakta yang Demang nyatakan adalah modal yang cukup baik untuk memancing peneroka dan anak cucu peneroka membenci kerajaan.

Habis, kenapa Demang tetap menyokong kerajaan? Adakah Demang lupa daratan lantaran sudah ‘senang lenang’? Sudah ada jawatan sebagai guru tadika dan sudah ada kereta Proton Iswara 1.3 manual aeroback?

Atau Demang dibayar untuk menulis hal yang baik-baik bagi menyokong kerajaan? Atau memang Demang seorang pengampu dan pembodek?

Demang mungkin pengampu tapi bukan pembodek. Sila rujuk tulisan Demang tentang perbezaan antara pengampu dengan pembodek.

Malah kerana 'ingatkan daratan’ lah Demang mengekalkan kesetiaan pada kerajaan yang memerintah.

Kenapa?

2-3 hari lepas Demang terbaca satu komen dalam satu blog. Salah seorang pengunjung blog tersebut menitipkan satu analogi yang cukup menarik bagi menggambarkan perkara ini.

"Pada suatu hari seorang lelaki telah memanjat sebatang pokok kelapa. Malangnya setelah tiba di atas lelaki tersebut merasa takut untuk turun. Akhirnya lelaki itu pun bernazar jika dia berjaya turun dengan selamat maka akan dikorbankan seekor kerbau.

Lelaki tersebut mula turun. Sampai di pertengahan batang dia dapati tidak ada apa-apa pun yang berlaku. Maka lelaki itu pun menukarkan nazarnya iaitu jika dia selamat sampai ke bawah dia akan menyembelih seekor kambing.

Lelaki itu melurut lagi ke bawah dan mendapati keadaan semakin selamat. Kini dia menukar nazarnya daripada kambing kepada ayam.

Apabila sampai 2-3 kaki lagi dari tanah lelaki itu memutuskan untuk memecahkan sebiji telur ayam sebagai nazarnya.

Akhirnya lelaki tersebut selamat mendarat dan membuat kesimpulan bahawa jika kita sabar, yakin dan terus berusaha maka sewajarnya lah Tuhan menganugerahkan kita kejayaan.

Demang rasa itulah maksud Tun DrM bahawa "Melayu mudah lupa".

Namun apabila Demang lihat keliling, Demang dapati bukan orang Melayu sahaja yang mudah lupa.

Wallahu'alam.

Monday, June 23, 2008

Menyuburkan situasi menang-kalah

Artikal ini juga boleh dibaca di blog baru saya: cerminmuka.blogspot.com

Ayah: Dapat nombor berapa?
Anak: Nombor dua.
Ayah: Ai, dulu kan nombor satu? Apasal turun?
Anak: Ada budak baru masuk. Dia dapat nombor satu. Padahal markah saya semua meningkat.
Ayah: Masalahnya, kau dah nombor dua! Ayah nak kau LAWAN budak baru tu. Kalau dapat nombor satu, ayah belikan helikopter kawalan tu.


Demikian sebuah episod lazim yang berlaku pada hampir semua keluarga di negara kita dan mungkin juga di dunia.

Apa masalahnya?

Ramai menyangka kejayaan hanya boleh diraih sekiranya pesaing mereka dapat dikalahkan.
Ini yang dikatakan situasi "menang-kalah."

Padahal dunia ini bukan gelanggang perlumbaan. Malah bukan juga medan pertandingan.

Budaya 'ranking' yang disemai sejak di bangku sekolah akhirnya membiak subur dalam jiwa generasi demi generasi. Ia menenggelamkan semangat tolong menolong disamping menggalakkan hasad dengki.

Jika adapun kerjasama ia lebih tertumpu pada usaha bagi mengalahkan kelompok lain.
Apa yang berlaku sebenarnya?

Sistem 'rangking' tidak banyak membantu meningkatkan kualiti sebaliknya mungkin hanya membandingkan antara yang baik dengan yang kurang baik.malah kadangkala ia sekadar membandingkan antara yang lemah dengan yang lebih lemah.

Contohnya, jika Ali mendapat markah 40 sedangkan rakan-rakan sekelasnya mendapat markah lebih rendah dari itu maka Ali mendapat nombor satu.

Nombor satu boleh diperolehi melalui dua cara iaitu berusaha mendapatkan markah yang lebih tinggi daripada pesaing ataupun berusaha agar pesaing mendapat markah lebih rendah.

Implikasi

1) Perbincangan menjadi perdebatan.
2) Kawan menjadi lawan.
3) Timbul kelompok pencadang dan kelompok pembangkang.
4) dan sebagainya.

Adegan yang ingin kita lihat

Ayah: Dapat berapa A?
Anak: 19A.
Ayah: Ai, dulu kan 20A? Apasal turun?
Anak: Pelajaran makin susah la ayah. Tapi, ada budak baru masuk. Dia dapat semua A.
Ayah: Bagus. Ayah nak kau KAWAN dengan budak baru tu. Kalau kau berdua dapat semua A, ayah belikan helikopter kawalan tu sorang satu.


Wallahu'alam.

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)