Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Showing posts with label sejarah. Show all posts
Showing posts with label sejarah. Show all posts

Monday, May 2, 2011

Review: Pak Kaduk versi Malaysia




Rata-rata orang Melayu apabila melihat ayam sabung akan segera teringat pada kisah Pak Kaduk. Dalam masyarakat Melayu watak Kaduk sinonim dengan ungkapan 'menang sorak kampung tergadai.'

Versi asal Pak Kaduk menceritakan seorang lelaki yang dinamakan Pak Kaduk, merupakan seorang yang gemar menyabung ayam. Beliau mempunyai seekor ayam sabung yang handal bernama 'Biring'.

Diceritakan pada suatu masa Pak Kaduk telah membawa si Biring ke istana untuk mencabar raja bersabung ayam. Raja menyahut cabaran tersebut walaupun menyedari ayamnya pasti akan kalah. Sebagai raja yang berakal panjang, baginda mengatur strategi dan berjaya memujuk Pak Kaduk menukarkan ayamnya dengan ayam milik Pak Kaduk.

Apabila persabungan dilangsungkan, Si Biring telah menang sebagaimana yang dijangka. Pak Kaduk yang terlupa bahawa ayam mereka telah bertukar-milik, bersorak kegembiraan.

Namun raja menyedarkan Pak Kaduk bahawa Si Biring sudah menjadi milik baginda dan Pak Kaduk telah kalah.

Akibat kekalahan tersebut Pak Kaduk kehilangan taruhannya berupa sebuah kampung (jajahan?).

Ada pendapat yang mengatakan Pak Kaduk bukan rakyat biasa sebaliknya seorang pembesar atau 'orang kaya'. Itulah sebabnya taruhan mereka bukan sekadar wang ringgit sebaliknya sebuah kawasan atau jajahan.

Selain versi asal terdapat beberapa versi lain termasuklah yang diolah semula oleh beberapa penulis moden. Antaranya, mereka menggambarkan Pak Kaduk adalah rakyat yang teraniaya lantaran diperdaya raja. Hujah mereka ialah Pak Kaduk sebagai rakyat tentu tidak mampu membantah perintah raja untuk menukarkan ayam sabung masing-masing.

Bagi Demang anggapan tersebut juga tidak begitu adil. Pihak berkenaan menggunakan neraca pihak luar dalam menilai perhubunagan raja-rakyat. Jika kita jujur menelaah semula kesah tersebut, kita dapati Pak Kaduk tidak diperintahkan datang bersabung sebaliknya beliau datang ke majlis yang dianjurkan raja secara sukarela.

Dalam kesah tersebut juga dinyatakan bahawa Pak Kaduk yang mencabar raja untuk bertanding.

Dalam sistem pemerintahan beraja, kita meletakkan raja di atas sekali. Sebagaimana dinyatakan dalam Sejarah Melayu, Demang Lebar Daun yang dberi mandat memimpin Palembang telah mengangkat Sang Sapurba menjadi ketua negara. Perlantikan dan penyerahan kuasa itu disertai istiadat beserta perjanjian yang dikenali sebagai waadat. Dinyatakan juga batas-batas yang perlu dipatuhi bersama bagi menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara.

Demang fikir tak perlulah dihuraikan satu persatu batas hubungan raja-rakyat dalam artikal ini. Cuma Demang nak lontarkan soalan iaitu adakah wajar Pak Kaduk mencabar raja bersabung? Bagaimana jika raja kalah? Apa tujuan Pak Kaduk? Nak hadiah atau nak malukan raja? Kalau kita baca mana-mana kesah raja di seluruh dunia, kita akan berjumpa banyak peristiwa yang menunjukkan raja memberi anugerah kepada rakyat yang memberi sumbangan atau hadiah peribadi kepada raja. Pak Kaduk yang hidup pada zaman itu tidak tahukah amalan tersebut? Sudah hilangkah adab Pak Kaduk dengan raja? Kenapa nak malukan raja?

Jika Pak Kaduk menghadiahkan ayam sabung tersebut kepada raja, pastilah raja akan membalasnya dengan pelbagai hadiah, anugerah, dan juga penghormatan.

Bagi Demang, mesej dalam kesah Pak Kaduk ialah seseorang raja itu akalnya panjang dan pandai menggunakan kuasanya. Raja tersebut menggunakan kuasanya untuk menukarkan ayam sabung tersebut. Raja menggunakan kuasanya untuk melindungi maruah raja. Maruah raja adalah maruah negara dan negara adalah tempat kita bernaung.

Pak Kaduk bernasib baik kerana hanya ditukarkan ayam sabung. Kalau Demang jadi raja, Demang tangkap Pak Kaduk (ISA) atau halau Pak Kaduk dari negeri tersebut. Malah hukuman lazim bagi penderhaka di mana-mana negara ialah... bunuh.

Ada satu lagi peribahasa melayu yang menggunakan istilah 'kaduk' iaitu 'kaduk naik junjung'. Demang harap orang Melayu masih ingat maksudnya dan jangan biarkan itu berlaku.

Thursday, April 21, 2011

review: "Maafkan hamba, Jebat."

Sebaik selesai solat Isya' yang agak lewat, satu suara kedengaran memberi salam. Demang menjawab salam tersebut, melipat sejadah dan menuju ke jendela tanpa sempat berdoa. Kata guru Demang, utamakan tetamu sebab dengan Tuhan kita boleh 'bertemu bila-bila masa'.

Sebaik daun tingkap dibuka Demang melihat sesusuk tubuh lelaki tercegat di depan tangga teratak Demang. Cahaya bulan membantu Demang mengecam empunya tubuh tersebut.

"Ha, Dalik. Naiklah. Nanti hamba bukakan pintu." ujar Demang.

Sebentar kemudian Dalik sudahpun bersila mengadap Demang.

"Begini, Demang." Dalik mengengsot ke depan menghampiri Demang, hampir berlaga lutut. "Datuk Bendahara berkirim salam dan berharap Demang ke istana sekarang juga." Dalik menyampaikan pesanan.

Demang mengerutkan dahi. Kenapa ke istana? Bukankah Baginda Sultan sedang meminggir ke hulu lantaran amukan Jebat?

Ah, Jebat. Patutlah berdiam diri tatkala baginda menitahkan hukuman bunuh ke atas Tuah. Patutlah tunduk menekur lantai tatkala diserahkan taming sari dengan gelaran Laksamana. Rupanya menunggu kesempatan untuk merajalela. Habis dayang-dayang diperkosa, puluhan rakyat tak berdosa dibunuhnya.

Apa lagi yang dibuat Jebat? Sudah dibunuhnyakah baginda? Entahkan sudah dibakarnya istana? Berapa ramai lagikah rakyat yang diamuknya?

"Maafkan hamba Demang. Dato' Bendahara minta kita bersegera." Dalik memecahkan lamunan Demang.

"Seperkara lagi, Demang. Pesan Bendahara agar perkara ini dirahsiakan sangat-sangat. Hamba beredar dulu agar tidak ketahuan dek orang ramai. Nanti Demang ke sana seorang diri dan masuk melalui pintu rahsia." sambumg Dalik dengan berbisik.

"Baiklah. Hamba faham." balas Demang.

Tidak sukar untuk Demang memasuki istana melalui terowong rahsia. Belumpun tiba di balairong sudah terdengar bunyi orang berpencak. Demang mempercepatkan langkah sambil menghunus keris, sekadar bersedia.

Siapa gerangan yang berani mencabar Jebat? Kasturi? Lekir? Lekiu? Setahu Demang tak ada seorang pun mampu membendung amukan Jebat.

Tiba di balairong Demang terpegun. Apa benarkah penglihatan Demang?

Di tengah-tengah balairong kelihatan dua pendekar sedang bertarung. Jebat sedang menghadapi lawannya. Sekilas pandang sahaja susuk tubuh pencabarnya telah Demang kenal.

"Tuah?" Demang menelan liur. Kalimat itu sekadar tersangkut di kerongkong. Mata Demang terpaku pada pertarungan yang sedang berlangsung.

Sedetik Jebat menyerbu. Tubuhnya melayah ke udara sambil menggenggam kemas ulu keris dan menjunamkan mata runcing itu ke dada Tuah.

Namun Tuah tangkas mengelak ke kanan, menjatuhkan badannya dan dengan satu gerakan sepantas kilat beliau membentes keting Jebat.

Jebat terhumban ke depan namun sebelum dadanya sempat terhenyak pada lantai, tanpa diduga tapak tangannya menepuk lantai dan melentingkan tubuhnya, kemudian berdiri tegak di belakang Tuah.

Tuah terpaksa menjatuhkan tubuhnya sekali lagi serta berguling ke kanan mencari tapak selamat.

Namun Jebat tidak membiarkan Tuah berehat lama. Kali ini dia melompat tinggi untuk menyerang. Melihatkan itu, Tuah ikut melompat. Kedua-duanya beraksi di udara agak lama. Sepak, terajang dan tepis-menepis antara keduanya berlaku tanpa berpijak di lantai.

Dalam satu gerakan yang amat pantas, Tuah menendang lengan Jebat sehingga keris tamingsari yang digenggam Jebat melayang dan jatuh di depan Demang. Tidak cukup dengan itu satu tendangan padu hinggap di dada Jebat sehingga sahabatnya itu tertiarap hampir dengan tempat Demang berdiri.

Spontan, Demang menggulingkan tubuh ke depan, menyambar tamingsari yang tertancap di lantai dan merengkuh Jebat dari belakang. Demang mengunci jebat yang sedang tertiarap. Tanpa perlu membuang masa Demang mengangkat tamingsari dan menjunamkan mata keris itu ke arah dada Jebat.

Sebelum sempat mata keris itu menjamah tubuh Jebat tiba-tiba lengan Demang seolah dihayun oleh sebuah bandul yang amat berat. Keris tamingsari yang Demang sangka telah digenggam kemas terpelanting entah ke mana.

Demang memanggung kepala. Dua tubuh sasa tersenyum memandang Demang yang terpinga-pinga. Dato' Bendahara menghulurkan tangan kepada Demang dan menarik Demang berdiri. Tuah yang berdiri di sebelahnya membantu Jebat bangun sambil keduanya tertawa kecil.

"Sudahlah. Kita berhenti dulu. Demang pun dah tiba." Dato' Bendahara bersuara lembut.

Demang masih kebingungan. Apa ertinya semua ini?

"Sebagaimana yang Demang tahu, Tuah tidak hamba bunuh." Dato' Bendahara memulakan bicara. "Cuma Demang tidak tahu bahawa Jebatpun tidak ditikam oleh Tuah. Mana mungkin Tuah membunuh saudaranya sendiri. Memang Adi Putera telah meramalkan yang mereka berdua akan berlawan sesama sendiri. Justeru kami telah mengambil langkah awal agar perlawanan ini tidak sampai berakhir dengan kematian. Pun begitu, nyaris-nyaris tadi Jebat ditikam Demang. Syukurlah, perkara ini sudah hampir selesai." Bendahara menyambung.

"Astaghfirullahal’azim... Subhanallah…" ucap Demang penuh penyesalan. Ternyata Demang terburu nafsu sehingga hampir-hampir membunuh Jebat. "Jadi, Jebat tidak bersalah?" soal Demang.

"Hamba tidak mengatakan demikian. Sebagaimana Demang tadi, Jebat juga terdorong oleh nafsu. Tuah juga begitu. Malah hamba juga mungkin telah melakukan kesilapan. Masing-masing ada kesilapan. Namun itu bukan alasan untuk kita melakukan kesilapan yang lebih besar." Bendahara merenung wajah-wajah yang sedang mengadapnya itu silih berganti.

"Peristiwa ini menjadi pengalaman amat berguna dalam kita membina negara. Baginda Sultan adalah payung negara sedangkan kitalah bahan binaannya."

"Hamba mempertahankan Sultan bukan bererti hamba tidak mengendahkan nasib rakyat malah kerana memikirkan nasib rakyatlah hamba pertahankan sistem beraja.

Tuah, hamba asuh dan didik sejak kecil untuk setia mempertahankan negara. Tuah tidak kembali kerana perintah Sultan Mahmud sebaliknya kerana hamba yang bersungguh-sungguh meminta. Bukan Sultan Mahmud yang kami bela sebaliknya Kesultanan Melayu (khalifah Islam) itu yang kami pertahankan.

Jebat adalah pelindung pada sahabatnya tidak kira apapun situasi. Namun untuk menentang Sultan, Tuah perlu dilepasi kerana selagi Tuah masih hidup tidak ada sesiapa boleh menyentuh Sultan dan juga Bendahara.

Itulah sebabnya Jebat tidak membantah ketika Sultan menjatuhkan hukuman ke atas Tuah. Baginda tidak akan menerima bantahan Jebat. Jika Jebat berkeras maka Tuah pasti akan membunuh Jebat kerana itu adalah tugasnya." Bendahara menerangkan dengan agak tegas.

Kemudian beliau menyambung sambil tersenyum: "Malah jika hamba sendiri cuba menderhaka maka Tuah tidak akan ragu-ragu menamatkan riwayat hamba."

"Ah, selama ini hamba mencurigai Jebat dan menuduhnya tanpa mampu membela diri. Maafkan hamba, Jebat.” Demang tunduk menekur lantai. Terasa malu kerana pernah bersikap lancang menghina Jebat. Padahal Jebat sekadar melaksanakan tanggungjawabnya.

“Tuan hamba tidak sepenuhnya bersalah, Demang. Sewajarnya tuan hamba berpihak kepada Tuah cuma pandangan terhadap Jebat perlu diubah. Jebat tidak menderhaka atas kepentingan peribadi sebaliknya sekadar untuk menyedarkan sultan yang lalai dengan tanggungjawab baginda. Jika Jebat benar-benar ingin merampas kuasa, sudah lama beliau melakukannya kerana dengan tamingsari di tangan, siapakah yang layak menahannya?” Bendahara menjelaskan.

Seterusnya beliau menambah: "Demang, sampaikan kisah ini pada anak cucu kita. Katakan pada mereka bahawa Jebat sudah menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang sahabat. Tuah sudah menunaikan tanggungjawabnya sbg seorang Laksamana dan pelindung Sultan. Hamba pula telah melakukan yang terbaik bagi menjaga semua kepentingan itu di samping memastikan negara ini selamat untuk didiami oleh rakyat.”

“Moyang kita iaitu Demang Lebar Daun telah mengasaskan sistem kesultanan ini. Sistem hanyalah sebuah kaedah. Tidak ada sistem yang betul atau salah sebaliknya manusialah yang tidak amanah kepada sistem. Jika Iskandar Zulkarnain mendapat penasihat seorang nabi (Khaidir), mustahilkah Sang Sapurba tidak diberikan seorang wali (Demang Lebar Daun)?”

“Bagaimanakah generasi tuan hamba Demang begitu yakin yang raja Melaka hanya memeluk Islam pada 1414 sedangkan ditemui batu bersurat di Terengganu bahawa Islam telah tiba di bumi bertuah ini jauh lebih awal dari itu? Bukankah itu satu bukti yang Islam sudah bertapak jauh lebih awal di Kepulauan Melayu?”

“Tidakkah itu suatu isyarat bahawa Demang Lebar Daun sudah menerima Islam lebih awal?”

“Hamba nasihatkan, dalam keadaan dunia tuan hamba yang begitu bercelaru ini, kembalilah kepada jati diri kalian. Apa salahnya Melayu kekal menjadi Melayu, Cina kekal sebagai Cina dan India kekal sebagai India. Begitu juga dengan kaum-kaum lain. Jadikan perbezaan dan kepelbagaian tersebut sebagai kelebihan dan keistimewaan yang jika disatukan akan menjadi harta yang tak ternilai. Hamba sudah melakukannya di Melaka pada zaman kami dahulu. Lihatlah kepelbagaian penduduk di Melaka ketika itu dan bagaimana hamba garap semuanya bagi membina negara. Tidakkah tuan hamba pelik bagaimana Melaka yang dimulakan pada 1400 berjaya menjadi empayar terbilang tidak sampai 20 tahun. Walaupun kami cuma mampu bertahan selama 110 tahun namun kami berjaya mencapai kegemilangan yang belum mampu dikecapi oleh generasi tuan hamba.”

“Semaklah sejarah dan pelajari sesuatu yang positif. Jangan terlalu mempersoalkan sebab kejatuhan dan keruntuhan Melaka. Fikirkan cara untuk melakukannya dan jangan sesekali mengambil hak orang lain.” Bendahara menamatkan bicara.

Bendahara menghampiri Demang dan menghulurkan tangannya. Terasa satu gerakan lembut pada bahu Demang: “Bang, bangun. Apasal tidur kat sini?”

Demang membuka mata. Rupa-rupanya isteri Demang mengejutkan Demang daripada lena. Hmm, Demang bermimpi rupanya.

Friday, March 6, 2009

manusia vs mahkamah




Sumber SMS Berita Harian 06/03/09, 10:02:31 AM: Mahkamah Tinggi KL memutuskan semakan kehakiman Mohamad Nizar berhubung status beliau sebagai MB Perak perlu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Catatan Demang:
Masih ingat kes Batu Putih? Masihkah Pulau batuan itu milik kita? Tidak! Pulau Batu Putih sudah menjadi kepunyaan Singapura. Mahkamah telah memutuskannya. Walaupun kita yakin bahawa pulau itu milik kita, namun dengan kepintaran mereka ia sudah bertukar milik.

Adakah sultan Perak masih didengar suaranya di dalam negerinya? Mahkamah Persekutuan akan memutuskannya. Melalaklah kepada seluruh dunia. Tidak ada gunanya. Nasib negeri Perak akan diputuskan oleh seorang hakim yang entah dari mana asal usulnya.

Nanti, tunggu dan lihatlah satu persatu hak kita dirampas melalui undang-undang. Jangan terperanjat kalau suatu hari nanti isteri dan anak-anak kita pula dirampas apabila mahkamah memutuskan yang kita tidak layak menjaga mereka menurut tafsiran mahkamah.

Manusia membina mahkamah dan terlupa memberinya emosi.

Monday, February 16, 2009

Penyatuan PAS-UMNO: Mesej Perjanjian Hudaibiyah

Tatkala pihak kuffar Makkah menghalang rombongan haji Rasululullah dan mengemukakan perjanjian sebagai helah, tidak sedikit sahabat yang mendesak baginda menolak perjanjian tersebut. Antara alasan kukuh pihak yang menolak perjanjian itu ialah kerana ummat Islam tika itu dalam keadaan amat kuat dan mampu mengalahkan puak kuffar di Makkah bila-bila masa.

Namun Rasululullah bukan manusia yang angkuh dengan kuasa dan kelebihan. Malah baginda mengambil kesempatan yang ada bagi menampilkan strategi berhikmah.

“Apabila muncul yang hak maka yang batil akan gugur dengan sendirinya.” Demang percaya para pemimpin PAS cukup arif tentang ini. Kenapa perlu gusar? Bukankah penyatuan sesama Islam itu dituntut oleh Islam? Apabila sudah menjadi perintah Allah, apa dirisau dengan muslihat manusia?

Antara hikmah keputusan Rasulullah menerima perjanjian Hudaibiyah ialah dapat menghindari perasaan ria' sebahagian tentera Islam yang mungkin akan menewaskan musuh dengan mudah.

Selain itu Rasulullah menghantar mesej kepada semua manusia samada Islam atau kuffar bahawa pemimpin Islam sentiasa bersedia dalam semua keadaan: berperang boleh, berdamai pun boleh.

Dalam isu politik tanahair sekarang, PAS merasa berada di pihak yang 'ada kuasa' lantaran keputusan pilihanraya lalu yang menguntungkan mereka. Meskipun analisis pilihanraya tidak menunjukkan peningkatan yang besar sokongan orang Islam terhadap PAS namun peralihan sokongan kaum bukan Melayu kepada parti pembangkang memberi keuntungan pada parti itu.

Demang berpendapat PAS bukan sahaja tidak perlu gentar dengan ajakan pemimpin UMNO (terbaru, Dato' Mukhriz) malah menerimanya dengan lapang dada. Malah PAS boleh bertingkah seperti 'pucuk dicita ulam yang tiba' atau 'orang mengantuk disorongkan bantal'.

Keengganan PAS untuk bersatu dengan UMNO menampakkan kelemahan para pemimpin parti itu yang tidak bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Pemimpin PAS seolah membenarkan tanggapan orang ramai bahawa PAS hanya mampu 'tumpang tui' atas kelemahan lawan dan kelebihan rakan kongsi mereka. Sebenarnya inilah faktor penolakan terhadap kepimpinan ir Nizar di Perak.

Sampai bila PAS akan terus begini?

Sunday, January 18, 2009

Kewajaran Nizar meletak jawatan

Pertama sekali Demang mengucapkan tahniah pada Ahli Parlimen P036 yang baru yang mewakili PAS sebagai calon. Harap-harap beliau tidaklah nanti melompat ke UMNO atau PKR pula setelah rakyat mengundi beliau atas tiket PAS.

Demang juga ucapkan tahniah kepada para petugas PAS dan pengundi yang berani membuat perubahan setelah melihat UMNO-BN tidak begitu memuaskan hati. Demang tidak begitu tahu tentang masalah di Kuala Terengganu. Rakyat di sanalah yang lebih faham. Anwar Ibrahim dan konco-konconya pun bukannya faham. Adalah malang jika undi yang diberikan lantaran terpengaruh dengan dakyah orang luar itu.

Demang ingin mengingatkan bahawa setelah pengundi menunaikan tanggung jawab melantik wakil baru daripada parti lain, ada satu lagi tanggung jawab yang lebih berat. Iaitu memastikan pilihan mereka itu bukan sahaja memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat tempatan malah selaku ahli parlimen beliau hendaklah mampu menambah kebaikan kepada negara.

Bukannya apa. Demang khuatir hal yang berlaku di Perak akan berjangkit ke negeri lain. Selepas berjaya mensabotaj dan mengkhianati syarikat kereta nasional iaitu PROTON dengan membantu meningkatkan imej TOYOTA di mata rakyat, MB Perak yang merupakan pemimpin PAS itu telah melupuskan terus tanah orang Melayu yang dipinjamkan kepada orang lain suatu masa dulu.

Demang bukan mempertikaikan orang lain yang juga perlukan tempat tinggal. Namun wajarkah diberi hak milik tetap sedangkan para peneroka FELDA yang memberi sumbangan pada eksport komoditi utama negara cuma dibenarkan menumpang selaama 99 tahun sahaja di tanah FELDA? Pergilah sendiri ke Felda-Felda dan lihat sendiri dengan mata hati kesusahan mereka. Walaupun UMNO itu dikatakan TERUK tetapi sekurang-kurangnya banyak jasa yang dibuat.

Orang Perak, kalaupun sudah menyesal namun apa boleh buat lagi? Mereka marah kepada UMNO dan mereka bakar habis kelambu. Kini nyamuk bermaharajalela, apa nak dikata lagi?PAS walaupun dikatakan parti yang BAIK namun apabila diberi kuasa, apa yang dibuatnya?

Hari ini, sebuah lagi badan bertindak masyarakat yang dikenali sebagai Prowaris telah menggesa Nizar meletakkan jawatan selaku MB Perak. Alasan yang dikemukakan ialah beliau tidak berwibawa lantaran terpaksa akur pada kepentingan segolongan pihak hingga membelakangkan semangat perlembagaan negara dan pandangan Sultan Perak.

Benarkah Nizar tidak berwibawa?

Hal ini dijawab secara tidak langsung melalui kenyataan Pemuda PAS dalam akhbar hari ini. Ketua Pemuda PAS tersebut menyatakan bahawa keputusan memberikan tanah tersebut tidak dibuat oleh Nizar sendirian sebaliknya keputusan mesyuarat exco kerajaan negeri (rujuk kenyataan Norazli Musa, Ketua Pemuda Pas Perak kepada Mingguan Malaysia Ahad 18 Januari 2009).

Sebagaimana diketahui umum, kerajaan Perak adalah hasil pakatan DAP, PKR, dan PAS. Sebenarnya Nizar tidak layak memegang jawatan MB Perak memandangkan PAS cuma memperolehi bilangan kerusi minimum berbanding DAP atau PKR. Malah jika dilihat pada kedudukan kerusi (baca KUASA) DAP lah yang lebih layak menjadi MB Perak. Secara mudahnya, Nizar menjadi MB atas lantikan pemimpin DAP kerana tiada pilihan lain. Sehebat-hebat Obama pun terpaksa akur dengan kehendak para pelobi Yahudi yang membantu beliau menang dalam pemilihan presiden.

Catatan sejarah menunjukkan Mesyuarat Raja-raja Melayu pada 24 Mei 1950 telah menentang Rancangan Briggs yang mengambil tanah orang melayu untuk dijadikan kampung baru. Sebagai tambahan, kampung baru adalah satu usaha British mengekang pengaruh komunis. Ia adalah idea mudah British tanpa mengira sensitiviti dan hak orang Melayu demi percaturan politik mereka.

Itulah sebabnya Raja Nazrin Shah begitu terkilan dengan tindakan Nizar itu. Baginda mendedahkan catatan sejarah yang selama ini disimpan demi menjaga sensitiviti perkauman. Beliau menceritakan sejarah pemberian tanah bagi membuka kampung baru di seluruh negara demi kepentingan ekonomi British, ketika menutup Kongres Ekonomi Islam Ketiga di Kuala Lumpur pada 15 Januari 2009.

Kalau Demang kata buta sejarah, marah pulak. habis tu..?

“Niat baik belum tentu menghasilkan kebaikan. Yang penting, berbuat baik.”

Sunday, December 14, 2008

Wakaf dan Korban

Solat Aidil Adha Demang tahun ini ialah di Kg Sg tengar Selangor. Melihat khatib yang membaca khutbah, terkenang pada allahyarham datuk Demang yang dulu berada di mimbar yang sama. Terasa seolah beliau masih bersama bertakbir, mengimami solat, dan berkhutbah.

Ada sebab lain untuk Demang terkenangkan beliau. Selain jasa beliau menaiktaraf bangunan ini bersama orang kampung, beliau juga mewakafkan sebahagian tanahnya untuk pengurusan surau ini.

Itulah sebabnya Demang terasa seolah beliau masih bersama.

Sebenarnya ramai lagi orang kampung ini yang berbuat seperti beliau. Jika mereka memiliki 10 ekar tanah maka hanya 8 ekar diwariskan pada anak-anak manakala 2 ekar lagi diwakafkan untuk surau.

Setelah mereka meninggal dunia, jawatan kuasa surau akan menguruskan tanah tersebut dan hasilnya digunakan untuk kegunaan surau seperti membayar bil dan sebagainya.

Demikianlah pengorbanan orang kampung yang cuma memiliki basikal atau motorsikal cabuk, dan rumah buruk. Datuk Demang biasa mengayuh basikal menjaja ayam kampung hingga ke Teluk Intan atau ke Tg Karang yang masing-masing jaraknya melebihi 50km.

Apa pula pengorbanan kita dengan harta kita?

Selesai solat, Demang ikut menyaksikan upacara korban. Nampaknya lembu pun lebih baik daripada manusia dari segi pengorbanan.

Apakah kita sanggup berkorban nyawa?

Berkorban RM300 untuk satu bahagian lembu pun ramai kalangan kita 'belum mampu'.

Benarkah kita tidak mampu? Demang jawab sendiri: YA! Kita memang belum mampu. Kita TIDAK MAMPU membuat pilihan samada hendak membeli aksesori kereta dan/atau rumah, atau membayar duit untuk korban lembu?

Contoh lain kita belum mampu mengubah tanggapan kita ialah berkenaan tanggapan terhadap kereta nasional.

Lihat telatah kerajaan Perak yang memilih Toyota Camry dan menolak Proton Perdana.
Sebelum ini Terengganu juga berbuat begitu. Konon kerana kos penyelenggaraan terlalu tinggi. Maksud mereka, adalah merugikan jika menggunakan Perdana. Nampaknya mereka tak baca artikal saya sebelum ini iaitu “ tak berapa sen pun...”

Padahal mereka lah yang kononnya memperjuangkan hak rakyat. Namun mereka lupa bahawa 25 ribu pekerja Proton itupun rakyat juga. Pengusaha dan pekerja bengkel proton pun rakyat juga. Siapakah yang ramai di kilang dan bengkel Proton itu?

Sebenarnya, apabila Tun Mahathir mengilhamkan penubuhan Proton, terdapat pihak yang menasihatkan beliau agar tidak meneruskan projek itu kerana tidak menguntungkan. Namun TDM menjawab bahawa beliau memang sedar perkara itu dan keuntungan bukanlah tujuan utama projek tersebut.

Kereta nasional adalah projek rakyat. Ia berkonsep kereta sederhana bagi memberi peluang lebih ramai rakyat memiliki kereta.Dengan kereta itu para perantau lebih kerap pulang ke kampung sambil 'menayang' kereta baru. Tak kesahlah. Sekurang-kurangnya ibu bapa turut tumpang gembira.

Perjalanan mereka melalui lebuhraya meningkatkatkan pendapatan PLUS. Siapa yang ramai di situ? Mereka bukan sahaja membayar tol malah turut singgah di R&R untuk solat, berehat dan mengisi perut. Terdapat juga stesen Petronas di situ.

Kalau nak dicatat ekonomi hiliran yang muncul bersama industri kereta nasional ini sampai esok pun belum siap.

Ya. Nanti ada yang kata, kalau untuk menggerakkan ekonomi, import sahaja kereta daripada negara luar. Kalau nak bagi pekerjaan kepada rakyat, jemput sahaja mereka membina kilang di negara kita seperti Honda dan sebagainya.

Betul jugak. Barangkali Demang silap dan orang yang menanya itu lebih bijak. Tapi, Tun DrM berfikir begini: Pencerobohan dan serangan ke atas negara dan orang Islam bukanlah sesuatu yang perlu dibuktikan lagi. Dari semasa ke semasa kita boleh membacanya di akhbar atau menonton siaran berita di TV. Maka bagaimanakah negara Islam mampu melawan tentera musuh sedangkan tidak ada negara Islam yang mampu mengeluarkan kereta kebal sendiri? Siapa yang sudi mengajar kita membina teknologi kereta kebal? Bagaimana nak buat kereta kebal jika kereta penumpangpun kita tidak memiliki teknologinya? Ingat, negara kita pun belum tentu selamat. Kes pengebuman di Mumbai baru-baru ini pun dicari kaitannya dengan Malaysia.

Maka projek kereta nasionalpun dimulakan. Alhamdulillah, meski terdapat pelbagai rintangan termasuk ejekan dan tohmahan akhirnya Proton Saga berjajar di jalanraya dengan harga lebih kurang RM17 ribu. Kemudian muncul siri-siri lain seperti Wira dan Iswara. Dengan ciri yang ditawarkan ternyata kereta-kereta itu jauh lebih murah berbanding kereta import. Tak ketinggalan juga Perdana bagi memberi alternatif kepada rakyat yang berkemampuan.

Namun masih ramai yang mencemik kerana proton masih menggunakan engin Mitshubishi. Malah terdapat budak muda yang menanggalkan lambang proton pada kereta mereka dan menggantikannya dengan Mitshubishi. Demikianlah perilaku segelintir budak muda yang kurang mahir menggunakan mindanya. Jadi tak hairanlah kenapa peti undi orang muda penuh dengan undian kepada pembangkang dalam PRU12. Nak lihat lagi tempat tumpuan orang muda? Pergilah ke pusat-pusat hiburan.

Orang bukan Melayu memang tidak begitu suka dengan lambang Proton itu. Yang peliknya, budak Melayu pun ikut sama!

Peluang baru tiba apabila Lotus mengalami masalah. TDM mengarahkan Allahyarham Tan Sri Yahya Ahmad membeli syarikat tersebut. Pembelian yang merugikan, kata sesetengah pihak yang buta perjuangan.

Memang rugi dari segi perkiraan semasa tetapi dengan pemilikan ke atas Lotus itu kita sebenarnya telah memiliki teknologi sendiri! Allah membuka peluang apabila kita tidak jemu berusaha. Yang penting, kita perlu memulakannya walau dalam keadaan sukar.

Bukanlah berdosa membeli kereta import. Namun perlu dilihat keperluannya. Jika anda memiliki dua buah kereta, apa salahnya sebuah daripadanya adalah kereta nasional? Paling mudah, kereta pertama yang kita beli biarlah kereta nasional. Kemudian jika ingin membeli sebuah lagi, bolehlah membeli kereta import. Bagi kereta exco, tunjukkan kepada rakyat bahawa kita mengutamakan kereta nasional. Macamana rakyat nak guna kereta nasional jika pemimpin sendiri memandang hina kereta tersebut?

Ingat! Rakyat melihat. Jika kerajaan keluarkan 10 juta untuk membeli kereta asing, apa salahnya jika wang tersebut diberi kepada Proton yang dikuasai rakyat tempatan? Semakin kukuh Proton, semakin mampulah syarikat itu bersaing di pasaran. Sebaliknya apabila proton gagal bersaing, pelbagai tohmahan dilemparkan. Seolah-olah para jurutera dan kakitangan Proton itu bangang-bangang semuanya.

Eloklah Demang berhenti di sini dulu sebelum terkeluar bahasa-bahasa yang kurang sedap pulak nanti.

Bagi yang bukan Melayu, meskipun tulisan kali ini kelihatan berkaitan bangsa Melayu namun perlu difahami bahawa sebarang masalah yang timbul dalam kalangan orang Melayu pasti akan turut menjejaskan kepentingan kaum lain dalam Malaysia. Selama hari ini para pemimpin UMNO, MCA, dan MIC saling membantu setiap kali ada mana-mana parti komponen BN yang bermasaalah, maka demikian jugalah yang patut dilakukan kali ini. Jika berlaku sebarang musibah dalam negara, maka semua rakyat akan menerimanya.

Orang Melayu tidak ada tanah lain untuk diduduki selain Tanah Melayu ini.

Selamat hari raya aidil adha dan selamat berkorban.

Sunday, November 16, 2008

Menyemak kembali landasan perjuangan kepimpinan negara

Atas permintaan beberapa orang sahabat blogger termasuk sdra Azli Shukri dan Panglima Perang Cyber, maka saya cuba memberikan pandangan saya terhadap perjuangan sebenar orang Melayu. Namun saya tidak berseorangan kerana landasan yg sama turut dikongsi bersama sahabat-sahabat seperjuangan saya. Cuma di sini saya memberanikan diri menukilkan kembali dgn cara dan interpretasi saya sendiri di sebalik perjuangan tersebut. Sebahagiannya adalah pendapat peribadi saya.

Untuk makluman, rencana ini juga telah saya emailkan kepada GGMM (http://gabungangraduanmuda.blogspot.com) yg telah mengemukakan surat jemputan utk berdebat kepada DATO’ ZAID BIN IBRAHIM seperti berikut:

Tarikh: 26 NOVEMBER 2008
HARI : RABU
MASA : 8.00 – 10.00 MALAM
TEMPAT : SPORTS PLANET FUTSAL,
LOT 37/38 JALAN P4/6
TAMAN TEKNOLOGI KAJANG,
43500 SEMENYIH,
SELANGOR

Selamat membaca dan silakan untuk memberikan pendapat. Maaf kerana mengambil masa anda lebih drpd biasa.

---------------------------------

Jika dilihat pada semangat dan suara perjuangan Melayu hari ini, saya percaya kita tidak kekurangan pejuang. Cuma kita ketiadaan pemimpin yang mampu menyatukan semua pergerakan tersebut. UMNO ataupun PAS tidak boleh mengambil tanggungjawab itu lantaran kedua-dua pergerakan tersebut berada pada garisan yang berbeza, meski ada keselariannya (selari). Malah bagi saya, biarkan lah mereka memainkan watak dan peranan masing-masing asalkan membina impian yang sama.


Menoleh sejenak pada sejarah kegemilangan bangsa

Kita sering melihat sejarah Kesultanan Melayu Melaka pada titik kejatuhannya dan tidak cuba mengambil teladan dan inspirasi yang meletakkan Melaka sebagai sebuah empayar terhebat di zamannya. Apa perlu diratap akan keruntuhan selepas 110 tahun bertakhta? Andalusia juga tumpas setelah 700 tahun berkuasa. Rom juga begitu. Malah berlaku juga pada Majapahit, Rusia dan mungkin juga Amerika nanti. Kerajaan Moghul yang begitu hebat kini hampir tidak bersisa. Sehebat-hebat Firaun pun tewas juga akhirnya. Jika hendak disebut tentang kerajaan yang telah lenyap, habis satu muka suratpun masih belum cukup untuk menyenaraikannya.

Kira-kira tahun 1398 masihi Parameswara bermula di sebuah kampung nelayan di Melaka. Kurang dari 10 tahun kemudian Melaka sudah mengorak langkah ke persada antarabangsa. Tidak sampai 20 tahun Melaka sudah menjadi pusat pentadbiran, pusat perdagangan, pusat perkembangan ilmu, dan pusat penyebaran Islam, terkenal di seluruh dunia. Ingat, kita sudah lebih 50 tahun merdeka! Di manakah kita?


Apakah rahsia di sebaliknya?

SISTEM. Itulah petuanya. Semua orang tahu tentang itu. Namun ramai yang sudah lupa tentang sistem yang kerajaan Melaka gunakan. Sistem tersebut bukan direka Parameswara ketika bertapak di Melaka. Malah telah dimulakan oleh Demang Lebar Daun dengan termeterainya persetiaan dengan Sang Sapurba di Bukit Saguntang. Perhatikan: ‘persetiaan’ bukan setakat ‘perjanjian’.

Parameswara sekadar mengaplikasikan sistem tersebut di Melaka, dan ia berhasil. Malah amat berjaya. Kita sudah melihat buktinya. Jangan risaukan tentang fakta kejatuhan Melaka. Tiada yang kekal. Malahan, apalah sangat yang nak kita persoalkan sedangkan sudah 51 tahun kita berusaha dengan sistem 'cacamarba' ini, negara kita belum lagi layak disamatarafkan dengan kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

Tun Dr Mahathir telah membuktikan betapa tindakannya mengurangkan kuasa raja mengakibatkan impiannya musnah. Padahal jalan yang dirintisnya dilihat sudah hampir membawa negara ke tahap cukup tinggi di persada antarabangsa. Beliau berjaya membentuk dan mengetuai kelompok-kelompok negara tertentu. Beliau jauh lebih hebat berbanding mana-mana presiden Amerika.

Namun akhirnya beliau gagal sampai ke kemuncak.

Sebab? Sebagaimana hujah awal saya tadi, baik UMNO mahupun PAS (hatta mana-mana parti politik) takkan mampu membawa misi perjuangan Melayu ini.

Jika saudara-saudara ingin melakukan sesuatu, lakukannya mulai sekarang. Ambillah semula sistem yang telah terbukti berkesan. Hampir semua peralatan sudah tersedia. Cuma ambil dan mulakan kerja.


Asas Membina Negara yang perlu dipertahankan

Pertama, Perlembagaan Malaysia sudah cukup lengkap sebagai ganti 'waadat' yang agak longgar itu. Waadat adalah asas kejayaan empayar Melaka. Sultan Mahmud yang mangkat dijulang dan Laksamana Bentan telah menamatkannya. Tak perlu diungkit lagi. Kini ia telah dganti dengan perlembagaan bertulis dan dipersaksikan oleh seluruh dunia.

Kedua, Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Bukankah itu ketuanan Melayu sebenar? Taat dan setialah kepada baginda tanpa sebarang keraguan. Jika baginda bersalah, baginda akan dipertanggungjawabkan semuanya di hadapan Allah taala kelak. Adakah kita ragu tentang itu, atau kita bercita-cita untuk menongkat langit? Ingat, untuk mengawal bersin pun kita tidak ada upaya. Maka tawakkal lah kepada Allah.

Ketiga, Perdana Menteri sebagai ganti bendahara. Beliau mesti menjalin hubungan yang amat rapat dengan YDA. Dalam sejarah, sultan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan bendahara seperti anak saudara atau menantu. Apa sahaja bicara bendahara, itulah titah sultan. Kalau bendahara kata sultan patut pecat Ketua Pengadilan Negara, dan bagindapun setuju, maka sah lah pemecatan tersebut. Tidak ada dakwa-dakwi di belakang hari lagi.

Keempat, pemimpin atau pembesar. Semua pemimpin perlu menumpahkan taat setia hanya kepada sultan. Kita mempunyai barisan pemimpin yang bertanggung jawab menyusun dasar bersama-sama PM. Manakala sebahagian pemimpin lagi bertindak menegur dan membaiki kekurangan dan kesilapan. Mereka mesti berkhidmat kepada raja, bukan kepada parti masing-masing. Jauh sekali untuk menjadi ‘pesuruh’ kepada rakyat ataupun membentuk ‘pakatan rakyat’. Pembesar adalah pemimpin yang memimpin kelompok rakyat di bawahnya. Semua rakyat negara ini wajib menghormati setiap pembesar tanpa mengira parti politik. Pemimpin yang membimbing rakyat bukannya rakyat yang mengajar pemimpin.

Ulama adalah pembimbing dan penasihat kepada kerajaan. Kita bukan sahaja mempunyai mufti di setiap negeri malah PAS yang diketuai ulama’ mampu membantu kerajaan melakukaan perkara yang betul dan menegur sebarang kesilapan. Saya melihat hal ini berjalan dengan baik sehinggalah krisis politik 1999. Buktinya, PAS sehingga kini tidak pernah bertanding melebihi kuota sepatutnya sehingga memungkinkan mereka mengambil alih kerajaan. PKR memecah tradisi itu.

Sumber pendapatan raja dan pembesar sejak dahulu kala ialah melalui pungutan cukai daripada rakyat, khususnya para pedagang dan peniaga. Justeru para pembesar mesti membawa masalah rakyat untuk diketahui oleh sultan dan dicari jalan penyelesaian. Amalan tersebut berlaku sehingga hari ini. Bezanya sekarang mereka tidak lagi bermensyuarat di balairong seri sebaliknya mereka disediakan parlimen tempat mereka bersidang.

Satu lagi perbezaan ketara ialah perbincangan dahulu berlangsung dalam keadaan hormat menghormati, teratur, dan beradab. Kini, istilah biadab dan kurang ajar sudah tidak difahami lagi.

Sepatutnya, meski berbeza sekalipun pendapat antara mereka namun akhirnya semua mesti akur dengan keputusan ketua negara. Termaktub dalam perlembagaan bahawa YDA adalah ketua negara. PM tetap penasihat baginda. Bagaimana cara beliau melakukannya, terpulanglah. Namun jika beliau cuba menurunkan sultan daripada takhta maka semua pemimpin akan menentangnya. Dalam keadaan begini, sebarang keputusan sultan akan dipatuhi serta merta. Apabila itu berlaku barulah bendahara yang baru akan dilantik.

Kekuatan Ketua Negara (YDA) adalah bergantung pada para hulubalang dan panglimanya iaitu polis dan angkatan tentera. Maka ISA memang patut diletakkan di bawah kuasa baginda. Jika ada sesiapa yang cuba mengkhianati sultan maka orang tersebut akan ditahan tanpa bicara. Dalam hal ini sudah tentulah bendahara yang menjadi penasihatnya. Namun jika sultan mendapati bendahara cuba menderhaka maka baginda sendiri akan bertindak dengan seluruh jentera di bawahnya. Walaupun Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera dilantik atas nasihat bendahara, namun setelah menjawat jawatan tersebut mereka wajib meletakkan kesetiaan hanya kepada raja. Demikianlah contoh yang ditunjukkan Laksamana Tun Tuah. Beliau diambil dan dididik oleh bendahara tetapi kesetiaan tetap pada baginda sultan.


Pejuang lawan penderhaka

Penderhakaan bermaksud menentang sistem. Sultan, bendahara, pembesar, dan seterusnya adalah sebahagian daripada sistem. Pejuang adalah pendokong sistem. Demikianlah yang dilakukan oleh Tun Tuah apabila beliau terpaksa membunuh sahabatnya.


Di mana letaknya Islam?

Islam adalah intipati pada semua di atas. Pengislaman Melaka 1414 adalah titik-mula kejayaan Melaka. Islam membawa ‘roh’ ke dalam kerajaan sedangkan yang lain-lainya hanyalah kulit fizikal yang boleh terlucut bila-bila masa. Contohnya wang: Ia boleh digunakan di mana sahaja melainkan ketika berurusan dengan malaikat maut. Maka wang tidak layak menjadi pengawal sejati kepada manusia. Malah wang tidak pernah setia kepada pemiliknya. Konsep asas yang wajib dipegang ialah IMAN.

Kesetiaan kepada raja tidak akan berlaku jika tiada pemahaman dan penghayatan terhadap ajaran Islam. Taat kepada pemimpin dan negara adalah perintah Islam. Sebagai balasannya, di akhirat nanti sultan dan para pembesarnyalah yang pertama-tama diminta pertanggungjawaban atas semua yang berlaku semasa di dunia. Rakyat cuma menjawab atas dosa peribadinya tetapi raja dan pemimpin akan ditanya perlakuan rakyatnya.

Pendirian Malaysia terhadap orang Melayu dan Islam amat jelas. Perlembagaan kita mencatatkan bahawa orang Melayu adalah beragama Islam. Hal ini perlu difahami benar-benar oleh semua pihak. Kebelakangan ini makin ramai orang Melayu yang tidak memahaminya dan mempertikaikan perjuangan Melayu. Mereka dengan semangat berkobar-kobar menggesa agar perjuangan Melayu ditukar kepada perjuangan Islam. Mereka amat ketinggalan zaman kerana perlembagaan kita lebih awal lagi mendefinisikan istilah MELAYU yang amat berbeza dengan MELAYU di Indonesia.

Sebagai penegasan kpd yang belum faham, perjuangan Melayu di Malaysia adalah perjuangan Islam. Tidak boleh lain daripada itu.


Strategi perjuangan

Perjuangan sebenar adalah bagi meletakkan hak yang sepatutnya, ke tempatnya semula.

Pertama, rakyat perlu diberi kefahaman tentang perlunya sistem ini dipertahankan dan diperkasakan semula.

Kedua, pemimpin yang enggan memahami sistem ini dengan sendirinya tidak layak menjadi sebahagian daripada sistem dan perlu diganti.


Modus Operandi

Pertama, mengenalpasti pemimpin atau calon pemimpin yang sanggup mempertahankan dan melaksanakan sistem ini.

Kedua, mengenalpasti, melatih dan memantau anak-anak muda yang berpotensi bagi mengambil tempat pemimpin yang sudah sampai masa kembali mengadap Ilahi.

Mahu tidak mahu, logik atau tidak logik, kehidupan di dunia pasti mempunyai kesinambungan dengan akhirat. Justeru tidak ada alasan untuk memisahkan keduanya dan menganggap ‘roh’ Islam dalam pentadbiran negara itu tidak perlu.

Kesultanan adalah sistem pemerintahan yang berkesinambungan daripada sistem kekhalifahan. Sistem khalifah adalah pengganti kepada khulafa’urrasyidin yang menjadi penerus perjuangan Rasulullah S.A.W.

Inilah perbezaan besar antara demokrasi yang dinukilkan oleh barat dengan sistem khalifah yang dilaksanakan oleh umat Islam. Abraham Lincoln tambah menyesatkan fahaman manusia dengan definisi demokrasi yang kabur iaitu dari rakyat, untuk rakyat, dan oleh rakyat.. Padahal sistem sebenar mesti melihat dari atas ke bawah, bukannya menyongsang iaitu dari bawah ke atas. Kerosakan teruk umat manusia ialah apabila ajaran sesat ini dianuti.

Allah taala mengutuskan Rasulullah sbg pemimpin teratas. Kemudian diikuti para sahabat. Apabila Rasulullah wafat baginda digantikan dengan khulafa’urrasyidin. Setelah itu diambil alih oleh bani Umaiyah, Abbasiyah, dan seterusnya sehingga Uthmaniyah. Ranapnya Andalusia, muncul pula Kesultanan Melayu Melaka.

Jangan ditanya bagaimana Umaiyah mengambil kuasa daripada Ali r.a. Allah taala melaksanakan takdirnya bagi merasionalkan penyebaran Islam ke kawasan yang lebih luas. Bukan Allah taala tidak berkuasa melakukannya dengan cara lain tetapi Alah taala menghantar isyarat kpd kita bahawa jika inginkan kejayaan, maka inilah caranya: sistem khalifah.

Kerajaan Islam tidak pernah mengamalkan demokrasi sebagaimana yang dianjurkan oleh pihak barat.

Adakah munasabah rakyat diberi hak memilih dan membuat keputusan melalui undi? Sudah tentu orang ramai akan memilih keseronokan dan mengelak daripada melakukan pengorbanan. Jika ada pemimpin yang menjanjikan pelbagai kesenangan maka dengan mudah pemimpin tersebut menjadi popular walaupun kesan jangka panjangnya merosakkan negara.

Bagi saya, jika saudara-saudara ingin mengembalikan perjuangan Dato’ Onn, maka inilah yang beliau perjuangkan. Pada tahun 1946, perjuangan beliau adalah bagi mengembalikan kuasa sultan-sultan. Kita masih berada pada landasan yang betul apabila memilih Tunku Abdul Rahman sbg PM yang pertama. Walaupun Dato’ Onn yang merancang, namun akhirnya Allah taala yang membuat keputusan. Sebenarnya perancangan manusia hanyalah sebahagian kecil daripada perancangan Allah taala.



Jalan yang lurus di hadapan

Kita sentiasa diberi Allah peluang untuk memilih dan menentukan masa depan. Meskipun segala-galanya dalam qada’ dan qadar Allah, namun tiada siapa yang tahu nasib kita di masa depan. Maka di situlah usaha kita. Jika pun matlamat perjuangan tidak mampu dicapai namun setiap tindakan kita akan direkod dan diberi balasan atau ganjaran setimpal. Semua catatan tersebut akan dikira satu persatu dan ditimbang bagi melayakkan kita ke syurga atau ke neraka.

Tulisan ini bukan suatu idea baru sebaliknya sekadar imbasan terhadap perkara yang saudara-saudara telah tahu. Malah inilah perjuangan sebenar sejak dahulu tetapi telah dikaburkan oleh pihak-pihak yang gagal memahami perjuangan sebenar. Mereka tiba ketika orang lain sudah berada pada separuh pendakian. Mereka dibawa terus ke pertengahan pendakian lantas mereka berkata, alangkah lemahnya orang-orang ini. Mereka melihat para pendaki terdahulu membawa tali. Mereka berkata apa perlunya tali padahal tiada tebing yang terlalu tinggi di sini. Mereka tidak tahu perjalanan awal sebelum ini memang memerlukan tali. Dan mereka juga tidak tahu apabila sampai di kawasan tertentu nanti, mereka terpaksa juga menggunakan tali.

Mereka melihat para pendaki di pergunungan bersebelahan mendaki dengan cara berbeza. Lantas mereka berkata betapa cara itu lebih berkesan dan mudah. Mereka lupa bahawa mereka di gunung yang berbeza.


Wassalam.

Monday, October 27, 2008

DEKLARASI JANDA BAIK

Agak lama tak 'upload' artikal ke sini. Sebenarnya saya menulis setiap hari menggunakan 'notepad' pada 'hanphone'. Begitulah selalunya selama ini. Namun, atas kesilapan sendiri, 'handphone' dengan laptop saya dah 'tak bertegur sapa' antara satu sama lain. Jadi, saya tak dapatlah nak 'upload' ke internet. Nak gunakan 'handphone' dan upload dari situ? Mintak maaf... Saya belum bersedia untuk bayar bil 'handphone' lebih RM200 sebulan.

Jadi, sementara itu eloklah saya siarkan Deklarasi Janda Baik Ini yang saya dapat di blog MSO (http://msomelayu.blogspot.com/). Walaupun saya tidak berada di lokasi tersebut dan tidak terlibat langsung dalam penulisan deklarasi itu, namun saya amat bersetuju dan menyokongnya.

Selamat membaca, menghayati, dan memperjuangkannya. Sebagaimana pesanan MSO dan semua yang terlibat; Semua blogger yang bersetuju dengan deklarasi tersebut hendaklah menyalin dan menampal deklarasi ini di blog masing-masing.

Mari kita lakukannya sekarang.

Wassalam.

&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&

Memandangkan keadaan politik negara yang gawat, cabaran dan gugatan terhadap kepimpinan Melayu yang lemah oleh pihak-pihak tertentu, dari dalam dan luar negara serta keadaan ekonomi dunia yang kucar kacir dewasa ini, maka KAMI, para penulis, wartawan dan blogger yang prihatin terhadap nasib Bangsa, Agama dan Tanah Air, yang bersidang di Janda Baik, Pahang mengambil sikap dan pendirian seperti berikut:-

1. KAMI mendesak dan menuntut agar para pemimpin Melayu dari berbagai fahaman politik mengembelengkan tenaga, kerjasama dan buah fikiran demi mempertahankan keluhuran dan kekeramatan PERLEMBAGAAN MALAYSIA TANPA KOMPROMI
.
2. KAMI memberi amaran kepada para pemimpin politik Melayu dari semua fahaman ideologi agar jangan menjadi pemimpin Pak Pandir yang hanya menang sorak tetapi kampung halaman dan negara terjual kepada pihak asing.

3. KAMI juga memberi amaran keras kepada pihak-pihak tertentu yang memainkan sentimen perkauman dan mempertikaikan HAK ISTIMEWA MELAYU sepertimana yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN NEGARA agar jangan mencetuskan permusuhan antara kaum, antara agama dan antara budaya oleh kerana mereka menganggap kepimpinan Melayu lemah dan boleh diperdagangkan untuk memenuhi agenda perkauman mereka.

4. KAMI juga memberi amaran keras kepada para pemimpin Melayu, khasnya UMNO, agar mereka jangan menjadi pengkhianat BANGSA, AGAMA DAN TANAH AIR hanya kerana didorong oleh nafsu kekayaan kebendaan, kuasa yang dipinjamkan Allah, hingga melupai tanggungjawab mereka terhadap generasi Melayu akan datang.

5. KAMI menggesa seluruh umat Melayu yang menjadi para pejuang BANGSA, AGAMA DAN TANAHAIR tanpa mengira aliran politik agar memilih barisan pemimpin mereka yang terbaik dan bersih dari korupsi, berbagai skandal yang memalukan, yang berwibawa, berilmu dan berjiwa dinamik untuk menerajui kerajaan dan badan-badan amanah lainnya.

6. KAMI memberi peringatan dan teguran ikhlas bahawa UMNO mesti melakukan revolusi mental dan perombakan pemikiran yang dekaden, konservatif, materialistik yang melampau, anti ilmu, berpuak-puak, mementingkan diri, kaum keluarga dan para kroni hingga sanggup memperjudikan nasib BANGSA, AGAMA DAN TANAHAIR
.
7. KAMI memberi amaran keras dan peringatan yang tulus ikhlas bahawa kepimpinan UMNO yang lemah, korup, rakus dan gila kuasa boleh menggerhanakan masa depan generasi muda Melayu dan rakyat yang telah memberikan sokongan mereka sejak 51 tahun UMNO memimpin kerajaan Malaysia.

8. KAMI juga ingin mengingatkan para pemimpin Melayu yang berkuasa agar jangan terlalu banyak berkompromi dengan golongan-golongan tertentu yang mempunyai agenda tertentu untuk melemahkan kepimpinan Melayu.

9. KAMI juga ingin mengingatkan para pemimpin Melayu yang berkuasa bahawa kelemahan kekuasaan politik Melayu akan membawa kehancuran dan penghapusan kuasa orang Melayu di bumi Malaysia yang bertuah ini.

10. KAMI menyeru dan menggesa rakyat Melayu bertindak proaktif dalam berbagai bidang kehidupan untuk menjamin kekuasaan politik Melayu tidak terhakis dan ketuanan Melayu dan Islam kekal subur selagi ada matahari dan bulan

11. KAMI merafak sembah memohon agar Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu mempertahankan kedaulatan baginda seperti mana yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN MALAYSIA dengan memberi sokongan moral kepada perjuangan umat Melayu dan Islam dalam berbagai lapangan hidup. Perlulah dihayati kedaulatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu akan berterusan sekiranya rakyat Melayu dan umat Islam memperjuang dan mempertahankan institusi Raja tersebut.

12. KAMI dengan penuh takzimnya memohon Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan kaum kerabat baginda agar jangan mengkhianati dan melakukan sesuatu tindakan yang boleh menjejaskan institusi Raja dan melukai perasaan umat Melayu yang mempertahankan institusi Raja selama ini.

13. KAMI juga menyeru kepada kerajaan agar melaksanakan KEADILAN dan TANGGUNGJAWAB sebagai pemerintah kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum memandangkan Malaysia negara majmuk.

14. KAMI ingin memberi peringatan kepada bukan Melayu agar berpegang teguh pada kontrak sosial dan PERLEMBAGAAN NEGARA demi menjaga keharmonian hubungan antara kaum serta kesejahteraan dan keamanan yang kita sama-sama mempertahankannya.

15. KAMI yakin dan percaya bahawa Kebebasan suara Rakyat dan amalan Demokrasi mestilah dipertahankan oleh kerana rakyat yang memberi mandat dan amanah kepada parti-parti politik tertentu untuk berkuasa. Oleh hal demikian KAMI akan bekerjasama dengan siapa saja, dan dari golongan mana sekali pun, demi memperjuangkan hak dan kebebasan Rakyat serta amalan Demokrasi di bumi Malaysia yang bertuah ini.

Inilah deklarasi yang tulus ikhlas yang KAMI abadikan sebagai cetusan rasa dari buah fikiran KAMI demi memperjuangkan hak dan kepentingan Rakyat, Keamanan dan Kesejahteraan Negara Malaysia.

KAMI rakamkan cetusan hati nurani Rakyat yang bernama DEKLARASI JANDA BAIK, bertempat di kediaman Sdr Syed Hussein Al-Attas, bertarikh 26 Oktober 2008.


&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&

Bagi Demang, jika ada pemimpin yang cuba menentang deklarasi ini, tahulah kita mengajarnya nanti.

Tuesday, September 16, 2008

Penubuhan Malaysia 1963 dilihat dari sudut lain

Sekitar 1960an, kaum cina sudah menguasai 70% daripada penduduk Singapura. Jika penduduk pulau tersebut digabungkan dengan penduduk Tanah Melayu maka kaum cina akan tetap menjadi penduduk majoriti.

Justeru kemasukan Singapura ke dalam Persekutuan Tanah Melayu akan memberikan peluang kepada LKY untuk menguasai seluruh Tanah Melayu dan Singapura. Selaku negara yang mengamalkan demokrasi sudah pasti pilihanraya umum yang bakal diadakan akan melonjakkan beliau ke persada tertinggi dalam politik negara baru tersebut.

Pengaruh komunis di Singapura menjadi alasan utama kepada LKY bagi merealisasikan cita-citanya. Ternyata TAR diletakkan dalam situasi ’tersepit’ antara permintaan Singapura dan tekanan Britain. Alasan bekas penjajah tersebut ialah gabungan Tanah Melayu-Singapura adalah kaedah paling berkesan bagi mengekang pengaruh komunis.

Ternyata isu komunis dieksploitasi secara maksimum oleh Britain dan LKY bagi mencapai hasrat mereka menguasai semula Tanah Melayu.

Namun manusia hanya merancang sedangkan perancangan mereka hanyalah sebahagian kecil daripada perancangan Tuhan. TAR berjaya melepasi kemelut ini dengan cara mengundang tiga buah negeri di kepulauan Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Brunei menyertai sama persekutuan. Kehadiran 70% penduduk peribumi yang berada dalam negeri-negeri tersebut diharap dapat mengimbangkan semula populasi kaum. LKY dan Inggeris mahu tidak mahu terpaksa menyetujui keputusan ini.

Oleh kerana plan penguasaan tersebut gagal maka LKY membuat helah dan berjaya disingkirkan 2 tahun kemudian. Britain yang tiada pilihan lain terpaksa berputih mata dengan kemerdekaan Singapura.

Jika persepsi ini diterima, ia adalah jawapan kepada persoalan kenapa Singapura sering ’menyusahkan’ Malaysia sehingga kini. Dengan kata lain usaha mengusai Tanah Melayu oleh Singapura adalah satu usaha berterusan yang dilakukan sejak dulu hingga kini.

Mengapa Demang membawa persolan di atas?

Demang melihat kemelut politik dalam negara kini adalah refleksi kepada usaha berterusan yang dibuat untuk menghentikan dominasi orang Melayu dalam politik negara. Jika dilihat pada rentetan peristiwa menjelang PRU12, terdapat usaha terancang beberapa pemimpin bukan Melayu untuk menafikan kuasa politik orang Melayu. Kempen-kempen secara senyap telah berjalan lama dengan perancangan yang agak teliti. Kenyataan ini disokong dengan keputusan PRU12 yang memperlihatkan penolakan sebenar ke atas kerajaan BN datangnya daripada pengundi bukan Melayu.

Anwar hanyalah bidak caturnya.

Kenapa Demang membawa isu ini kepada perbincangan terbuka?

Demang yakin dan percaya bahawa keamanan dan kestabilan negara hanya mampu diperolehi jika ada persefahaman, tolak ansur dan sikap saling menghormati, bukannya melalui monopoli dan penguasaan oleh sesuatu kaum sahaja dalam semua bidang.

Persefahaman tidak sekadar ucapan retorik semata-mata malah perlu diterjemahkan dengan tindakan dan perlakuan yang menyokong usaha tersebut.

Buat masa ini kaum cina masih menguasai ekonomi meskipun terdapat usaha yang agak agresif bagi mengubah keadaan ini.

Ingat, mengubah bukan sentiasa bermaksud menukar. Perubahan boleh berlaku daripada kecil kepada lebih besar. Sedangkan menukar sering dimaksudkan dengan menggantikan dengan sesuatu yang lain.

Hal ini bermakna, usaha yang dilakukan terutamanya melalui DEB adalah bagi mengubah nasib orang Melayu daripada amat mundur kepada maju sebagaimana kaum cina. Tidak sama sekali untuk menukar posisi iaitu orang Melayu nak dijadikan kaya dan orang cina nak dijadikan miskin.

Perlukah Demang ulang semula aliran ekonomi dalam negara yang telah acap dibincang sebelum ini? Rugikah kaum cina apabila banyak tender diberi kepada orang Melayu melalui DEB? Tidakkah ahli perniagaan cina turut menikmati faedah ini? Demang lihat, orang cina yang marah dengan DEB ialah orang cina yang gagal dengan dirinya. Begitu juga orang Melayu yang menyalahkan DEB apabila gagal mencapai kejayaan yang diimpikannya. Kegagalan peribadi dialihkan kepada pihak lain agar dirinya tidak dipersalahkan.

Demang percaya apabila barisan kepimpinan baru terlantik, korupsi dan kronisme cuma akan bertukar pemilik, bukan terhapus. Kalau dulu dilakukan oleh grup A, sekarang diamalkan oleh grup B pula. Rakyat yang lurus dan mudah diperdaya akan sentiasa ketinggalan. Nanti akan tiba pula pemimpin baru yang akan membawa mereka melakukan perubahan untuk kesekian kalinya.

Sebagai rakyat Malaysia, Demang menyeru agar rakyat terbanyak menghormati asas pembinaan negara.

Jong pecah yu yang kenyang... (kalau ’you’ yang kenyang tak pa lah jugak. Untung-untung you boleh kasi I sikit. Kalau ikan yu kat luar tu...?).

Selamat Menyambut Hari Malaysia.



Rujukan:

http://www.geocities.com/cominglucky/s4tema3.htm

Sunday, September 7, 2008

BTN memecahbelahkan perpaduan kaum?

Demang lahir dalam keluarga melayu dan membesar dalam masyarakat melayu. Demang bermain, bergaul, bersekolah hatta bertengkar dan bergaduh pun dalam kalangan orang melayu sahaja.

Demang bertembung dengan kaum bukan melayu cuma sekali sekala tatkala Demang ke bandar atau jika mereka datang ke kampung Demang. Selebihnya Demang lihat kaum lain di kaca TV sahaja.

Suatu perkara yang pasti ialah Demang sering berurus niaga dengan kaum cina.

Apa pandangan Demang pada kaum lain?

Secara peribadi Demang tidak ada masalah langsung dengan kaum lain. Agaknya sebab secara logik kita tak akan berkonflik dengan orang yang tak kita kenal.

Namun dalam perbualan dengan teman-teman Demang dapati ada yang tidak beres. Ada cerita pergaduhan, dendam dan iri hati.

Lama kelamaan Demang ikut terpengaruh untuk menyimpan prejudis terhadap kaum lain, sehinggalah...

Semasa di tingkatan 6, 1986, pihak sekolah yang risau dengan prestasi pelajaran kami telah mendapatkan khidmat BTN bagi menyuntik semangat baru sebelum kami menduduki STPM.

Dalam kursus selama dua hari itu kami didedahkan dengan fakta-fakta yang menginsafkan kami bahawa ada sesuatu yang wajib diperjuangkan.

Kami ditunjukkan fakta betapa orang melayu amat jauh ketinggalan dalam hampir semua bidang terutama ekonomi, pendidikan dan jawatan profesional. Orang melayu hanya memegang kuasa politik dan itu bukanlah jaminan yang kekal.

Kami disedarkan bahawa situasi yang tidak seimbang antara kaum akhirnya membawa padah, pergaduhan kaum 1969 (13 mei).

Demang pahatkan dalam hati pesanan fasilitator BTN yang mengendalikan kumpulan Demang: setiap kaum perlu bekerjasama bagi memastikan kek ekonomi dapat diagihkan dengan lebih saksama. Tidak boleh ada kaum yang jauh ketinggalan sebab ia akan hanya menimbulkan rasa tidak puas hati. Untuk itu kerjasama perlu dilakukan dengan penuh ikhlas. Perkongsian 'ali-baba' haruslah dibenteras dan perkongsian pintar mesti dirintis dan digalakkan.

Perkongsian perniagaan antara melayu-cina-india hanya akan boleh berlaku jika masing-masing mempunyai kualiti yang mampu memberi keuntungan pada perkongsian tersebut. Jika hanya 'rakan kongsi daripada kaum cina' sahaja yang berkualiti sedangkan 'rakan kongsi daripada kaum melayu' tidak berkualiti, bagaimana usahasama tersebut dapat membuahkan kejayaan? Oleh itu kualiti orang melayu perlu meningkat dan ditingkatkan agar dapat berdiri sama tinggi dengan kaum lain. (melalui penerangan tersebut juga Demang segera insaf betapa kaum India juga perlu dibela sebagaimana kaum Melayu).

Setiap kaum mempunyai kelebihan masing-masing yang sepatutnya dijadikan asas perkongsian.

BTN juga menjelaskan asas pembinaan negara berdasarkan persefahaman antara pemimpin kaum yang akhirnya melahirkan kontrak sosial. Malangnya semangat dalam kontrak sosial sering dimanipulasi oleh ahli politik demi kepentingan politik sempit mereka.

Bagi kakitangan awam tidak kira melayu-bumiputera, cina dan india yang mengikuti kursus BTN pasti sedar bahawa fokus utama BTN adalah bagi membina negara yang aman untuk didiami oleh semua kaum. Itulah sebabnya fokus utama BTN ialah NEGARA: bukan perjuangan kaum atau agama. Tanpa sebuah negara yang aman bagaimana kita nak beribadat kepada Tuhan dengan sempurna?


Demang bawa kisah lama ini selepas terbaca serangan hebat Lim Kit Siang dalam blognya yang menuduh BTN menjadi punca perpecahan kaum di negara kita. Bagi yang telah melayari blog tersebut dan membaca komen-komen di dalamnya, barangkali terjumpa komen Demang dalam blog tersebut: "...sebaiknya saudara Lim kit Siang serta semua ahli parlimen menghadiri kursus BTN dan lihat sendiri adakah maklumat yang saudara Lim Kit Siang terima berkenaan BTN itu betul atau fitnah? Adalah mustahil parlimen meluluskan budget untuk BTN selama berpuluh tahun tanpa menyedari bahawa BTN digunakan untuk menghancurkan negara.”

Demang cabar sesiapa dapat membuktikan modul BTN selama ini adalah untuk memecah belahkan kaum di Malaysia. Malah Demang percaya usaha-usaha BTN lah yang selama ini berjaya meredakan kemarahan orang melayu yang tidak puas hati kepada kerajaan yang dianggap memberi kelebihan pada kaum India dan Cina.


(Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak boleh dipertanggungjawabkan pada BTN. Sebarang persoalan mengenainya hendaklah dikemukakan terus kepada penulis melalui ruangan komen atau email cheguman@yahoo.com )

Tuesday, August 26, 2008

Pengundi Hantu di Permatang Pauh?

4.54 pm, 26 Ogos
Demang terima SMS daripada Permatang Pauh:

"3 bas pengundi hantu dpt dkesan 1 dpt tahan, org indon dr phg siap bwa ic msia dah antar p balai"


Demang termenung sebentar, kemudian mendail ke beberapa sumber lain di Permatang Pauh. Malangnya tiada satu pun jawapan positif. Maksud Demang, mereka pun baru dapat berita tersebut melalui Demang. Mahu tidak mahu Demang terpaksa memerah otak memikirkan ap[a yang sebenarnya sedang berlaku.

Untuk menolak berita tersebut amat sukar memandangkan pengirim SMS berada di tempat kejadian.

Berikut adalah SMS balas daripada Demang:

"Kena siasat betul2. Nak ngundi curi2 bkn mudah. Kena lalu pondok kedua2 parti. Semak nama 2 kali, beratur 2 kali. Org ramai tengok. Tempat ngundi dlm kampung. Org boleh kenal. Sblm masuk bilik, laung nama dulu. IC yg di pegang tu sapa punya? Klu org Pahang, tak boleh pakai. Klu org Pmtg Pauh, lebih baik bagi duit suruh dia ngundi sdri. Jum pengundi >50k. Maj azizah 13k. Anwar pernah capai 30k. Survey kami Anwar 60, Arif 40. Ertinya, maj Anwar boleh lebih 10k. Berapa ratus bas nak angkut pengundi hantu? Aku bimbang ada pihak menangguk di air keruh.. Kena hati2."


Beberapa minit kemudian informer tersebut mengirimkan SMS balas:


"Btl ckp hang, dpt info dr pdrm anwar lead dkt 10k la ni."


Terbaru, Demang dapat maklumat PKR sedang mendahului BN di beberapa tempat.

Demang bertanya dalam hati: “Permainan apakah ini?”

Sedarkah PKR bahawa bukan UMNO sahaja musuh mereka? UMNO hanya musuh politik sebaliknya manusia bukan sahaja bermusuh dari segi politik. Begitu juga, bukan PKR dan PAS sahaja musuh UMNO.

Jangan kita lupa, motif utama Portugis menyerang Melaka bukanlah faktor politik. Apa motif penaklukan ke atas Andalusia sehingga rakyatnya dibakar dan disembelih hidup-hidup? Apa motif serangan ke atas Iraq? Apa motif penguasaan ke atas bumi Palastin?

Cuba fikirkan, adakah negara kita mempunyai sesuatu yang berupaya menarik minat asing? Atau kita berpotensi untuk mengancam kuasa asing?

“kuntum khairun ummatin ukhrijat linnas”

Inilah yang dibimbangi negara asing yang angkuh dan sombong. Padahal kaum-kaum lain di negara kita tidak pernah menganggap demikian.

Sempena menjelangnya Hari Kebangsaan negara kita, marilah kita fikirkan dengan lebih serius maksud sebenar PERPADUAN.

Monday, August 25, 2008

Dilema PAS

Tiga 'bukti depan mata' kalaupun tidak membuatkan sebahagian besar penyokong PAS 'buka mata', sudah cukup untuk membuatkan mereka berfikir banyak kali untuk memberi undi kepada PKR.

Itulah kesimpulan Demang selepas berada selama tiga hari di Permatang Pauh, menjelang pilihanraya kecil 26 Ogos ini.

Ramai kalangan penduduk yang Demang temui mula merungut terhadap kepimpinan DAP di PP selepas PRU12. Malah beberapa orang penduduk di Penanti dan Permatang Rawa mengaku kepada Demang yang mereka tersalah jangka apabila memberi undi kepada PR ketika itu.

Demang bukan ahli mana-mana parti sekarang. Demang pernah menjadi ahli UMNO tetapi tidak mendaftar semula selepas parti itu diharamkan. Demang juga pernah menyertai PAS sebelum PKR ditubuhkan. Malah Demang pernah mengagumi Anwar serta bersimpati dengan isu penyingkiran beliau dari kerajaan.

Bagi yang masih ingat peristiwa 1999, setelah Anwar disingkir para penyokong beliau terbahagi kepada tiga kelompok.

Atas 'percaturan politik aras tinggi' (istilah popular tika itu) kumpulan pertama diarah menyertai PAS.

Penyusupan kumpulan tersebut adalah bagi memastikan sokongan PAS kepada Anwar akan berkekalan. Malah sekiranya penubuhan parti baru ditolak maka PAS akan menjadi wadah utama perjuangan Anwar.

Justeru agen-agen Anwar mesti mengisi jawatan-jawatan penting dalam PAS. Anwar akan tiba kemudian dan terus menjadi presiden atau mursyidul Am.

Inilah dilema pertama penyokong tulen PAS.

Meskipun kedudukan dan jawatan bukanlah fokus utama pejuang tulen PAS, namun penguasaan orang-orang Anwar telah mengkucar-kacirkan keharmonian mereka.

Keghairahan ahli baru ini mendominasi saf kepimpinan PAS membawa budaya baru yang dipandang jengkel oleh ahli senior.

Bagi kebanyakan ahli PAS tulen, bukan jawatan jadi buruan tetapi asas perjuangan adalah bagi menegakkan daulah Islam berteras undang-undang Islam.

Malangnya setelah lebih kurang setengah abad berjuang, matlamat tersebut tidak lagi berada di penghujung landasan.

Dilema kedua PAS muncul pada PRU12. Para pemuda PAS bertungkus lumus memasang poster dan bendera. Para muslimah pula berkempen dari rmh ke rmh. Sementara itu ustaz-ustaz PAS diusung ke sana ke sini bagi membantu kemenangan PR.

Namun setelah pakatan tersebut berjaya menguasai beberapa negeri, segala pengorbanan ahli akar umbi PAS dilupakan, kecuali bagi negeri yang memang didominasi oleh PAS seperti Kelantan dan Kedah.

Di Pulau Pinang, PAS diketepikan sama sekali. Di Perak PAS menjadi tukang tandatangan keputusan yang dibuat DAP. Manakala di Selangor, PKR dan DAP berbahagi kuasa sedangkan Hasan Ali adalah agen setia Anwar.PAS (original) melopong lagi.

Kumpulan kedua bersembunyi di dalam UMNO. Namun sebahagian besar kembali insaf dan menerima Paklah sebagai agen pemulihan perjuangan Melayu. Manakala selebihnya terus berusaha memusnahkan UMNO dari dalam.

Kumpulan ketiga akhirnya berjaya menubuhkan parti Keadilan yang kini dikenali sebagai PKR. Tak perlu lah Demang perkenalkan lagi kerana umum sudah mengetahui perjuangan kumpulan ini: memastikan Anwar menjadi PM.

Demang timbulkan kenyataan ini memandangkan ramai yang telah lupa atau tidak tahu mengenainya, terutama generasi baru. Maklum lah, peristiwa tersebut telah berlalu hampir satu dekad. Bagi anak muda berusia 27 tahun ke bawah (terutama pelajar U), ketika itu mereka masih di bangku sekolah dan majoriti penyokong Anwar ketika itu adalah guru-guru serta pegawai pendidikan. Bukan perkara rahsia tika itu betapa ramai kalangan guru yang membawa fahaman politik ke dalam kelas.

Mungkin ada yang tertanya, apa kaitan sejarah ini dengan pilihanraya kecil Permatang Pauh?

Sebenarnya Demang sedang menjawab soalan seorang sahabat Demang ketika sama-sama berada di Permatang Pauh semalam: kenapa PAS tidak begitu berusaha membantu Anwar kali ini?

Hal ini dpt dilihat betapa tidak byk pondok-pondok PAS di situ sebagaimana sepatutnya. Malah para petugas PAS juga tidak seghairah dulu melaksanakan tugas-tugas kempen.

Hal ini sudah dijangka memandangkan suasana Muktamar PAS baru-baru ini juga memperlihatkan pelbagai isu dan ketidakpuasan hati ahli akar umbi terhadap Pakatan Rakyat.

Bagi Demang, apabila mengalami kebuntuan begini kembali lah kepada Allah. Lakukan solat hajat atau sebagainya bagi mendapatkan petunjuk-Nya. Insya Allah segalanya akan berjalan lancar dan sebarang keputusan nanti hendaklah diterima dengan redha.

Sebarang keputusan pasti ada hikmahnya. Dalam PAS ada ustaz dan dalam UMNO juga ada ustaz. Dalam PAS ada ulama’ dan dalam UMNO juga ada ulama’. Jangan kita melampaui batas.

Wallahu’alam.

Thursday, August 21, 2008

Masjid Kampung Hulu



Sudah acap juga Demang melewati sebuah masjid lama di tengah bandar Melaka ini. Cuma baru2 ini Demang teringat untuk mengabadikannya untuk tatapan pengunjung blog Waadat.

Simpan lah foto ini untuk tatapan anak cucu kita nanti.

Kali ini Demang ingin berkesah tentang masjid bertuah ini.

Masjid Kampung Hulu. Inilah masjid pertama yang dibina selepas 209 tahun kesultanan Melaka runtuh.

Dibina pada tahun 1720 oleh seorang hartawan berbangsa Cina yang memeluk Islam.

Monumen ini menjadi bukti betapa dahsyatnya sebuah negarabangsa yang kehilangan kuasa.

Bayangkan, 209 tahun rakyat Melaka tidak mempunyai masjid.

Demang menolak pendapat yang mengatakan ada masjid-masjid lain semasa pemerintahan Portugis dan semasa separuh pertama pemerintahan Belanda, tetapi telah reput lantaran diperbuat daripada kayu.

Mana mungkin binaan yang dikunjungi lima kali sehari dan diselia sepanjang tahun boleh lenyap begitu sahaja dimakan anai-anai!

Jika ada pun bahagian-bahagian yang rosak atau usang dalam tempoh tersebut pastinya akan segera diganti dan dibaiki. Malah bahan-bahannya akan diubah mengikut zaman dan semakin utuh disokong kemajuan teknologi semasa.

Persoalannya, kemana semua tempat ibadat orang Islam itu menghilang?

Sebelum malapetaka 1511 tersebut berlaku, Melayu-Islam menguasai sepenuhnya Tanah Melayu ini. Dominasi tsbt musnah sebaik shj Kerajaan Melaka tewas kepada penjajah Portugis pada 1511.

Tersingkirnya sultan dan pembesar Melaka bukan setakat bertukarnya tampuk pentadbiran malah seluruh kehidupan rakyat turut berubah.

Melaka diperintah Portugis selama 130 tahun sebelum bertukar tangan kepada Belanda mulai 1641.

Terlalu sedikit maklumat yang kita ketahui tentang kehidupan orang Melayu setelah mereka kehilangan kuasa.

Dimakan anai-anai juga kah catatan sejarah orang Melayu?

Masjid Kampung Hulu menjadi bukti bahawa terdapat usaha terancang bagi menghapuskan Islam oleh pihak tertentu.

Maka tanggungjawab mempertahankan Islam terletak atas bahu umat Islam sendiri.

Sejarah membuktikan bahawa kuasa lah yang akan melindunginya.Sudah tentu Demang tidak menafikan takdir Tuhan.

Kepada pengunjung bukan Islam, fahamilah kekhuatiran orang Melayu dalam hal ini. Orang Melayu perlukan kuasa bukan untuk menindas kaum dan agama lain. Tidak pernah tercatat dalam sejarah dunia, umat Islam menghapuskan agama lain.

Orang Melayu mahu terus memegang kuasa politik bagi menjaga kesucian agama Islam: bagi memastikan kami dapat beribadat dengan sempurna, dapat makan makanan yang halal dan dapat mencari rezeki yang halal.

Konsep halal melingkungi seluruh kehidupan seorang muslim dan menjadi aset penting untuk berdepan dengan Allah di akhirat nanti.

Al Quran dengan tegas menyatakan "tiada paksaan dalam Islam". Yakni, orang bukan Islam tidak boleh dipaksa memeluk agama Islam.

Dalam Islam tidak ada konsep 'holly war'. Yang ada hanyalah jihad mempertahankan negara apabila diserang. Itupun dengan disertakan satu set undang-undang peperangan yang wajib dipatuhi.

Sejarah juga membuktikan kepimpinan Melayu amat bertolak ansur dengan kaum dan agama lain. Amalan ini diteruskan sehingga kini.

Justeru Demang ingin berkongsi satu maklumat yang agak sulit. Baru-baru ini sepasukan ahli akademik telah ditugaskan untuk menyemak dan membetulkan beberapa fakta dalam buku teks sejarah. Salah satu maklumat yang baru ditemui ialah: "Malayan Union asalnya dicadangkan oleh seorang pemimpin kaum Cina bagi menjaga kepentingan perniagaan mereka." Tak perlu lah Demang sebut namanya. (kumpulan tersebut adalah pakar sejarah dan terdiri daripada pelbagai kaum).

Namun, apabila naskah tersebut ditunjukkan kepada Paklah, beliau meminta agar perkara itu dibuang semula kerana tidak mahu menimbulkan kemarahan orang Melayu dan untuk menjaga hati kaum Cina.

Demikianlah budi Paklah. Kerendahan hati dan tolak ansurnya sering disalah tafsir. Malah dijadikan peluru untuk menembaknya semula.



Sekarang, Demang ingin bertanya: Perlu sangat kah perubahan kerajaan? Pasti kah segala-galanya akan bertambah baik selepas ini atau kita sekadar tidak peduli apapun yang akan menimpa asalkan hati puas?

Jika 30 ahli parlimen BN menyertai PR, kedudukan akan menjadi seperti berikut:
PR = 112 kerusi
BN = 110 kerusi

Kerajaan beginikah yang baik untuk negara kita? Bagaimana jika Ibrahim Ali (Bebas) menarik diri? Adakah semua YB PAS bersetuju dengan Anwar?

Satu lagi pertanyaan: teruk sangat kah rakyat selama di bawah BN? Negara Islam bagaimana yang PAS mahu? Keadilan bagaimana yang PKR kehendaki? 'Malaysian Malaysia' yang bagaimana DAP impikan?

Adakah agihan 30-40-30 dalam DEB itu berlebihan kepada orang Melayu? Atau kita mahu agihan seperti 1957 iaitu orang Melayu cuma ada 2% (DUA PERATUS) dalam ekuiti negara?

Ingat, Melayu-Bumputera memwakili 65% populasi Malaysia.

Jangan lah terlalu meminta.

Tuesday, July 8, 2008

Lebai Malang: antara realistik dan idealistik

Ramai yang bertanya Demang tentang kebenaran Sejarah Melayu (Salasatus Salatin, Tun Sri Lanang) dan Hikayat Hang Tuah. Demang malas nak berbalah semula tentang ini dengan sesiapapun. Bagi orang yang mengikuti tulisan Demang pasti dapat mengesan bahawa Demang kurang gemar menghakimi salah-benar sesuatu perkara. Lagipun pakar-pakar dalam bidang berkenaan sudah membahaskannya dengan saksama.

Yang lebih penting ialah bagaimana kita mengambil pengajaran daripada perkara tersebut.

Kali ini Demang akan membawa sebuah kisah lama yang lebih dongeng lagi.

Selamat ketawa.

Konon pada masa dahulu di sebuah desa tinggal seorang lelaki yang dipanggil Pak Lebai. Rumah Pak Lebai terletak di tepi sebatang sungai.

Pada suatu hari datanglah seorang lelaki ke rumah Pak Lebai. Tujuan lelaki itu ialah untuk menjemput Pak Lebai ke rumahnya untuk majlis kenduri. Rumah lelaki itu terletak di sebuah kampung di hulu sungai itu.

Maka berjanji lah Pak Lebai untuk hadir ke majlis tersebut.

Tidak berapa lama kemudian datang pula seorang lelaki lain ke rumah Pak Lebai. rupa-rupanya lelaki itu juga ingin menjemput Pak Lebai menghadiri kenduri di rumahnya. Rumah lelaki itu pula terletak di hilir sungai.

Selepas kedua-dua lelaki itu berlalu maka Pak Lebai pun memasang strategi bagi membolehkannya hadir di kedua-dua majlis tersebut.

Kedua-dua majlis akan diadakan serentak. Pak Lebai akan menggunakan perahu untuk pergi ke kedua-dua majlis.

Pak Lebai merancang untuk pergi ke kampung di hulu terlebih dahulu. Selepas makan di situ Pak Lebai akan segera berdayung ke kampung di hilir pula. Pergerakan menghilir akan mempercepatkan perjalanan Pak Lebai.

Keesokan harinya, Pak Lebai memberitahu isterinya hajat untuk ke rumah kenduri. Pak Lebai turut berpesan agar tidak menyimpan makanan untuknya kerana dia pasti kenyang setelah hadir di dua kenduri.

Sebenarnya Pak Lebai sudah terlewat. Namun Pak Lebai bertekad untuk hadir di kedua-dua majlis. Dia melihat arus sungai dan berfikir sejenak. Jika dia terus ke kampung hilir dia akan sampai tepat pada waktunya. Namun sudah pasti dia tidak akan sempat ke kampung hulu.

Sebaliknya jika dia ke kampung hulu, dia akan terlewat sedikit kerana terpaksa berdayung menongkah arus. Namun dia mendapat kelebihan berdayung ke kampung hilir kerana perjalanan menghilir akan lebih lancar.

Maka Pak Lebai mengambil keputusan untuk ke kampung hulu terlebih dulu. Ini memberi peluang kepadanya untuk hadir di kedua-dua majlis biarpun terlewat sedikit.

Ketika Pak Lebai tiba di kampung hulu, majlis telah hampir selesai. Meskipun begitu semua makanan telah habis. Pak Lebai rasa kecewa namun segera bergegas ke kampung hilir pula.

Namun sesampainya di sungai arah aliran telah berubah. Fenomena pasang surut laut menyebabkan perjalanannya kali ini juga terpaksa melawan arus. Dengan bersusah payah Pak Lebai berdayung ke kampung hilir. Sekali lagi Pak Lebai bernasib malang kerana majlis telah pun selesai. Tuan rumah meminta maaf kerana semua makanan telah habis.

Dengan perut yang lapar Pak Lebai berkayuh pulang ke rumah. Dia berharap dapat makan di rumah. Malang sungguh apabila isterinya telah membuang semua makanan kerana itulah pesan Pak Lebai sebelum keluar tadi.

Selama ini masyarakat lebih gemar melihat nasib malang tersebut berpunca dari ketamakan seorang ‘lebai’. Bagi Demang itu bukan tafsiran tetapi tuduhan melulu. Demang sudah sebutkan dalam tulisan sebelum ini bahawa tinggalan nenek moyang kita tidak boleh dilihat selapis sahaja.

Tuduhan bahawa Pak Lebai seorang yang tamak adalah tidak adil malah bersifat prejudis.

Demang rasa dalam versi asal Lebai Malang, beliau tidak begitu. Silapnya Pak Lebai ialah kerana cuba memenuhi harapan semua orang dan tidak mahu menghampakan harapan orang.

‘Lebai’ dalam masyarakat Melayu berbeza dengan ‘haji’. ‘Pak Lebai’ dilihat lebih warak, jujur dan suka menolong orang. Biarpun ilmu mereka tidak sehebat ulama’ atau ustaz, namun mereka terkenal sebagai ahli abid (ahli ibadat).

Lazimnya golongan lebai tidak kaya. Jika kaya mereka akan mampu menunaikan haji dan gelaran ‘lebai’ akan diganti dengan ‘haji’. Namun mereka amat dihormati masyarakat dan dianggap serba boleh. Seorang ‘lebai’ biasanya boleh menggantikan imam, siak, bilal, dan macam-macam lagi sebaliknya imam, siak, bilal dan lain-lain itu tidak semestinya seorang ‘lebai’.

Dalam kisah di atas, watak si malang dikaitkan dengan seorang lebai. Kenapa?

Pada taakulan Demang, watak ‘lebai’ digunakan bagi menunjukkan seorang yang warak, jujur dan sentiasa berniat baik akhirnya ‘kecundang’ kerana silap perkiraan.

Ada pendapat yang menganggap kisah ini bikinan penjajah atau musuh Islam bagi memburukkan imej Pak Lebai. Demang tidak fikir begitu.

Jika watak antagonis (watak jahat) digunakan untuk digandingkan dengan nasib malang maka ia adalah sesuatu yang biasa dan membawa kesan lain pula kepada audien. Dengan kata lain, mesej sebenar yang ingin dibawa oleh pengarangnya tidak akan kesampaian.

Sebagai contoh, pengarang tersebut membawa kisah Pencuri Malang, Penipu Malang, Pembunuh Malang dan sebagainya.

Bagi Demang, Si Lebai Malang adalah tipa (type) segelintir masyarakat sejak dulu hingga kini. Si Lebai Malang mencerminkan hasrat murni dan cita-cita kudus masyarakat yang mendambakan sebuah negarabangsa yang ideal dan sempurna.

Lihat semula Pak Lebai tadi. Dia menyangka yang dia dapat memenuhi harapan semua orang. Dia rasa tidak patut menghampakan harapan orang yang sanggup datang dari jauh untuk menjemputnya.

Lihat semula cerita di atas. Adakah kenduri tersebut sebuah majlis yang besar sehingga dijemput penduduk dari kampung lain?

Kalau kenduri besar seperti kenduri kahwin, Pak Lebai tidak akan terlewat sebab atur cara jamuannya lebih panjang. Demang berpendapat kenduri tersebut hanyalah kenduri kecil seperti kenduri arwah.

Itulah sebabnya Pak Lebai begitu beriya-iya untuk memenuhi kedua-dua jemputan. Jemputan ke atas Pak Lebai mungkin memintanya mengetuai bacaan doa dan tahlil. Tanpa kehadiran Pak Lebai barangkali majlis tersebut tidak sempurna.

Itulah kesilapan Pak Lebai yakni menyangka tanpa penyertaan beliau majlis tidak dapat dijalankan. Sepatutnya Pak Lebai akur bahawa dia tidak mampu berada di dua tempat dalam satu masa. Adalah bijak jika Pak Lebai hanya menerima satu jemputan dan menolak jemputan kedua.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Kembali ke alam nyata, adakah dunia ini ideal dan sempurna? Ya, itulah yang kita harapkan. Secara jujur mari kita bertanya pada diri sendiri: adakah aku sempurna? Adakah aku LAYAK dilayan dengan sempurna? Adakah aku BERHAK dilayan dengan sempurna? Adakah semua orang di sekelilingku perlu sempurna sedangkan aku sendiri tidak sempurna?

Inilah yang sering kita terlepas pandang. Dalam hubungan suami-isteri misalnya. Si suami mengharapkan isterinya sempurna begitu juga sebaliknya. Kita sering mengharap: 'sepatutnya begini, sepatutnya begitu.'

Adakah kita juga bertanya pada diri sendiri soalan yang sama?

Bagaimana pula hubungan rakyat dengan pemimpin?

Terdapat segelintir rakyat yang percaya bahawa pemimpin tidak boleh membuat kesilapan. Rakyat boleh buat silap sebab mereka hanya rakyat biasa yang tidak sunyi dari melakukan kesilapan.

Rakyat boleh menerima rasuah atau memberi rasuah, contohnya bagi mengelakkan kena saman. Mereka sedar perbuatan itu salah tetapi sering berharap mereka dimaafkan.

Dalam membina negara terutamanya seperti Malaysia yang berbilang kaum ini kita perlu realistik dan bukannya idealistik. Kita mesti berusaha mencapai yang terbaik namun harus sentiasa sedar bahawa tiada yang sempurna.

PRU12 baru berakhir. Hal ini bermakna penggal baru bagi kerajaan yang baru, baru bermula. Sepatutnya ini adalah masa untuk bekerja, baik kerajaan mahupun pembangkang.

Sementara kerajaan melaksanakan dasar-dasar yang telah diputuskan bersama, pihak pembangkang bertanggung jawab menegur dan memantau. Namun perlu dilakukan di dalam parlimen, bukan di tepi jalan. Kita ada peraturan.

Sukarkah mengubah kebiasaan? Kalau itu pun susah nak ubah, macam mana nak mengambil alih kerajaan nanti?

Satu lagi, jangan sekali-kali berkempen sekarang. PRU13 lambat lagi. Rakyat terutamanya penjawat awam perlu digalakkan untuk bekerja bersungguh-sungguh. Jangan hasut mereka membenci kerajaan. Itu bukan teladan yang baik. Malah bukan juga amalan yang baik. Apatah lagi jika anda seorang ustaz atau ulama.

Empat tahun lagi, yakni di penghujung penggal ini PRU13 akan diadakan. Pada masa itu bukalah rekod perkhidmatan kerajaan. Check satu-satu. Bentangkan dan kemukakan pada rakyat dengan jujur dan ikhlas serta penuh tanggung jawab. Sertai PRU13 sebagai calon dan berkempen lah dengan semangat setiakawan.

Demang yakin dan percaya bahawa rakyat semakin bijak menilai.

Wallahu’alam.

Monday, June 30, 2008

DS Anwar: Pejuang tulin atau pejuang peribadi?

Dalam kes Tun Tuah, laksamana tersebut dituduh menjalin hubungan dengan dayang istana. (bukan gundik dan bukan dayang rasmi - hanya 'orang yang keluar masuk istana').

Perlu diingat, Sejarah Melayu (A. Samad Ahmad, 1979) tidak menyatakan kes itu suatu fitnah. Walau bagaimanapun dalam Hik Hang Tuah, (Kassim Ahmad, 1975) diceritakan bahawa ianya fitnah yang dibuat oleh Patih Karma Wijaya.

Dalam hal ini Demang tidak mahu mengambil sebarang ketetapan kerana ia tidak begitu berkaitan dengan tulisan ini.

Bagi Demang perkara penting yang perlu kita perhatikan ialah perbezaan tindak balas pejuang tulin dengan pejuang peribadi apabila berhadapan dengan situasi genting seperti itu.

Demang katakan 'genting' kerana ia memaksa si pejuang tersebut membuat pilihan samada memilih kepentingan peribadi atau kepentingan negara.

Dalam hal ini Tun Tuah bertegas dengan prinsip bahawa kepentingan rakyat dan negara adalah paling penting.

Adakah Tun Tuah pengecut? Sifat pengecut adalah sifat orang yang tidak kuat.

Adakah Tun Tuah tidak kuat?

Kalau anda tidak percaya bahawa Hang Tuah benar-benar ada, tak mengapa. Anggap sahaja perbincangan ini satu interpretasi karya sastera.

Perlu juga diingat, samada kisah benar atau sekadar fiksyen, sesebuah karya tetap merupakan perlukisan sebenar masyarakat tika mana ia ditulis.

Semua fakta yang Demang kemukakan dalam 'waadat' adalah berasaskan teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.

Demang bukannya tanya orang, tonton drama atau dengar di kedai kopi.

Dalam kedua-dua teks tersebut Tun Tuah bukan sahaja kuat malah gagah dan hebat.

Tidak mampukah Tuah melawan sultan? Apatah lagi bendahara juga bersimpati dengan beliau.

Sebaliknya semasa Tuah dijatuhkan hukuman mati beliau langsung tidak membantah. Malah ketika bendahara membuat keputusan untuk tidak melaksanakan hukuman, Tun Tuah sendiri meminta dirinya dipasung.

Jika itu yang dikatakan takut, Demang setuju. Tun Tuah takut tidak dapat mengawal diri dan mengamuk menentang sultan.

Demikianlah pejuang tulin.

Bagaimana dengan DSAI?

Sepatutnya Anwar bersabar dan berkorban. Bukan untuk orang lain, bahkan untuk rakyat dan negara. Bukankah beliau mendakwa sebagai pejuang rakyat?

Anwar cuma perlu beralah.

Musa Hitam sudah melaluinya. Ghafar Baba merasainya. Ku Li, Rahim Tambi Chik, Muhamad M. Taib, dan beberapa nama lagi pernah mengikuti jejak Tuah itu.

Itulah pengorbanan sebenar pejuang. Rela mengorbankan kepentingan peribadi. Mereka tidak sekali-kali menagih simpati asing.

Pengorbanan mereka tidak sia-sia. Rakyat dan negara tidak huru-hara. Akhirnya jasa mereka dikenang jua.

Mereka manusia biasa yang sesekali melakukan kesilapan seperti kita juga. Ada emosi, ada nafsu, ada kelemahan dan ada kelebihan.

"Satu kesilapan besar apabila kawan dibuat lawan dan musuh disangka kawan."

DS Anwar perlu bermuhasabbah. Begitu juga kita, tak kira penyokong atau penentang.

Wallahu'alam.

Thursday, June 26, 2008

Tuah: Pengampu atau Pembodek?

Perkataan 'ampu' dicatat dalam kamus DBP (edisi 4, 2005) seperti berikut:

1. sl: Menahan di bawah (dgn telapak tangan), menyokong dr bawah (supaya tidak jatuh, runtuh, dsb),

2. sl: = 'mengampukan' iaitu memerintah (negeri, kerajaan):

cth: yg pertama mengampukan negeri Pasai ialah Sultan Malikul Saleh.

Perkataan 'pengampu' pula dicatat seperti berikut:

1. Penahan, penyangga, penyokong; ~ susu baju dalam perempuan, coli, kutang;

2. Orang yang memerintah negeri;

3. Orang yang menjaga keselamatan seseorang, wali, orang tua;

*4. Orang yg suka mengangkat-angkat (suka menyanjung) seseorang.

Sementara itu 'ampu' atau 'empu' dalam bahasa Minangkabau apabila diganding dengan kaki (~ kaki) bermaksud ibu jari kaki.

Manakala kata 'bodek' dicatat dalam kamus yang sama sebagai:

1. bk: kemaluan laki-laki;

2. = sakit ~ burut: burut atau ~ ialah penyakit pasang-pasang (angin pasang?);

Apabila diberi imbuhan menjadi:
Membodek = menyanjung, memuji dsb terhadap seseorang

3. bp: mengangkat, mengampu, mencari muka:
Contoh, dia kuat ~, sebab itu dapat naik pangkat;

*3. ki: mengangkat, menyanjung (utk menyukakan seseorang supaya mendapat sesuatu faedah daripadanya):

Contoh: siapa yg pandai ~nya akan mendapat segala sesuatu daripadanya; ~ bodek
(bk. mengangkat (supaya mendapat sesuatu).

Perhatikan pada maksud no 3 perkataan di atas terdapat label 'ki' (kiasan).
Ertinya perkataan tersebut hanya kiasan.

Label lain yang digunakan termasuklah 'sl' (sastera lama), 'bp' (bahasa percakapan), 'bk' (bahasa kasar), dan 'ki' (kiasan).

Demang merasakan kata 'ampu' pada asalnya bersifat positif tetapi disalahguna untuk tujuan menyindir dan mengejek. Demang rasa motifnya ada dua: MALAS tapi DENGKI dan DENGKI tapi MALAS.

Apabila Demang semak kamus DBP Edisi Baru (1989) Demang dapati maksud yang menyindir tersebut tidak begitu ketara. Cuma perkataan 'bodek' dicatatkan di hujung keterangan bagi menunjukkan ada kaitan antara kedua-dua perkataan itu dalam pengucapan harian.

(samada sengaja atau tidak, nampaknya telah berlaku penambahan maksud dalam kamus 2005).

Dengan kata lain istilah 'ampu' digunakan untuk menyindir hanya sejak belakangan ini.

Demang berpendapat penyalahgunaan istilah tersebut amat merugikan orang Melayu. Malah mangsa pertama yang dijadikan korban istilah tersebut ialah Laksamana Tun Tuah sendiri.

Jika demikian suratannya, maka Tun Tuah memang seorang PENGAMPU tetapi BUKAN pembodek.

Jika Tun Tuah tidak sanggup mengampu, Kesultanan Melaka bukan roboh pada 1511 malah lebih awal dari itu.

Hal ini boleh kita lihat melalui tindakan-tindakan beliau yang dinukilkan dalam Hikayat Hang Tuah (HHT).

Awas! Jangan sekali-kali gunakan filem atau drama kontemporari sebagai rujukan.

(bagi yang belum membaca artikal Demang sebelum ini silalah berbuat demikian kerana artikal ini adalah kesinambungannya).

Peristiwa menyelamatkan kuda sultan yang terjatuh ke dalam lubang najis adalah contoh terbaik untuk kita melihat peribadi hebat Tun Tuah.

Malangnya kisah ini sering dilihat dari sudut negatif iaitu kesetiaan membabi buta Tun Tuah terhadap sultan.

Itu sebabnya Demang katakan, rujuklah kitab HHT tersebut bukannya sekadar menonton filem dan drama yang berselindung disebalik nama Tuah atau Jebat.

Dalam HHT diceritakan pada suatu hari kuda kesayangan sultan telah terjatuh ke dalam lubang najis. Malangnya tiada seorangpun pembesar, hulubalang mahupun perajurit yang sanggup menyelamatkan kuda tersebut.


Dalam hal ini Demang nak kemukakan beberapa soalan untuk anda:

1) siapakah yang sepatutnya bertindak menyelamatkan kuda tersebut?
Jawapan: siapa sahaja yang berada di situ.

2) apa perasaan sultan jika tiada yang sanggup memenuhi permintaan baginda?
Jawapan: sultan dukacita atau murka.

3) apa kesannya kalau sultan murka?
Jawapan: "lu pikir la sendiri..."

Justeru tindakan Tun Tuah tersebut bukan semata-mata untuk kepentingan diri sendiri sebaliknya menyelamatkan orang lain daripada kemurkaan sultan.

Ingat, Tun Tuah mengampu kesultanan BUKAN membodek sultan.

Selepas peristiwa menyelamatkan kuda tersebut Tun Tuah semakin disayangi sultan. Rujuk HHT ms 242-251 (naskah DBP, susunan Kassim Ahmad 1975).

Menyedari bahawa sultan sangat sayang padanya, maka Tun Tuahpun mengambil kesempatan sebagaimana kutipan berikut:

Hatta berapa lamanya, selang daripada lepas kuda itu, maka raja pun terlalu kasih akan Tun Teja itu. Maka Laksamana pun berkata pada Bendahara dan Temenggung, “Adapun penglihatan diperhamba, Duli Yang Dipertuan ini jaranglah pergi ke istana tuan putri. Pada bicara sahaya, datuk kedua berdatang sembah, kerana Betara Majapahit itu raja besar; akhirnya tiada baik datangnya.” Setelah Bendahara dan Temenggung mendengar kata Laksamana itu, katanya “Pada bicara sahaya pun demikianlah. Siapatah yang dapat persembahkan? Pada bicara sahaya pada masa ini hanyalah Laksamana yang dapat menegur baginda sedikit.” Maka sembah Laksamana, “Jika dengan sabda datuk kedua, beranilah sahaya datuk berdatang sembah.”

Nota:
1. Tun Teja adalah anak penguasa Pahang yang dilarikan oleh Tun Tuah untuk diserahkan pada Sultan Melaka.
2. 'Tuan Putri' dalam petikan di atas adalah anak Raja Majapahit. Puteri ini adalah isteri pertama sultan. Tun Teja adalah isteri muda sultan.
3. Tun Tuah tidak mahu rakyat menyalahkannya kerana beliaulah yang membawakan Tun Teja kepada sultan sehingga sultan tidak lagi memperdulikan puteri Majapahit itu.
4. Tingkah laku sultan yang mengabaikan anak raja Majapahit tersebut boleh mendatangkan kemarahan raja Majapahit.
5. Bendahara dan Temenggung adalah pembesar yang lebih kanan.
6. Laksamana dalam petikan di atas ialah Tun Tuah. Beliau sangat disayangi oleh sultan kerana terlalu banyak berjasa.
7. Sultan tersebut ialah Sultan Mansur Shah.

Selepas mendapat kebenaran dua orang pembesar yang lebih kanan, Tun Tuah pun mengadap sultan. Beliau mengingatkan sultan bahawa beliau bertanggung jawab ke atas keselamatan negara selaku Laksamana. Oleh itu adalah wajar beliau menegur sultan.

Meskipun sultan amat sayang kepada Tun Tuah, namun baginda berusaha untuk tidak mencampurkan urusan peribadi dengan urusan negara. Lihat respon sultan:

“Apa Laksamana hendak sembahkan kepada kita itu? Katakanlah kepada kita. Kita dengar. Jikalau benar, kita ikut. Jikalau tiada benar, tiada kita ikut.”

Berdasarkan kutipan di atas, kita dapat lihat Tun Tuah begitu bijaksana dan amat prihatin:
1) menjaga maruah sultan sambil melindungi orang lain daripada kemurkaan sultan
2) menghormati pembesar lain walaupun beliau boleh terus menemui sultan
3) mengambil kesempatan (atas kepercayaan sultan kepadanya) untuk menasihati sultan demi kepentingan negara
4) sentiasa meletakkan kepentingan negara sebagai perkara paling utama
5) sedar bahawa apabila diri sudah dipercayai barulah mudah untuk berbakti



Cuma agak sukar Demang untuk memberikan jawapan apabila timbul soalan:

"Jika begitu, kenapa Tun Tuah difitnah dan dihukum bunuh oleh sultan tanpa usul periksa?"

Tapi jika anda ingin jawapannya, nantikan sambungan kisah ini...

Wallahu'alam.

Tuesday, June 24, 2008

Tuah-Jebat : versi lama vs versi baru

Sambil melayari internet, telinga masih sempat menangkap kisah Tuah dan Jebat yang disiarkan TV2 malam tadi.

Demang percaya majoriti orang Melayu mengetahui kisah tersebut daripada filem semata-mata.

Barangkali sebahagian kecil sahaja yang pernah membaca kisah tersebut daripada teks Hikayat Hang Tuah.

Demang teringat sindiran Prof Dr Haron (Pusat Pengajian Ilmu Kemanusian, USM):

"Sayapun tidak tau dari mana sumber mereka ambil untuk 'bikin filem' tersebut. Yang jelas, cuma nama-nama watak sahaja yang serupa dengan epik Melayu, yakni seorang dipanggil Tuah dan seorang lagi digelar jebat.

Padahal kandungan ceritanya menyimpang jauh sehingga membawa konotasi berbeza dari teks asal.

Menurut Prof Dr Haron, perubahan interpretasi terhadap kewiraan Tuah-Jebat bermula sekitar 60-70an. Antara pencetus idea tersebut ialah Kassim Ahmad yang diketahui sebagai salah seorang pejuang sosialis.

Prof Madya Dr Suhaimi (PPIP USM) meletakkan karya sastera yang muncul ketika itu sebagai beraliran moden.

Bagi yang mengikuti perkembangan sastera tentu tidak sukar memahami aliran tersebut yang menekankan 'seni untuk seni'.

Malah sesiapa yang hidup pada zaman itu juga akan sedar 'kelainan' karya-karya yang muncul tika itu.

Karya-karya tidak lagi membawa mesej atau moral cerita. Sebaliknya berlegar pada keindahan seni semata-mata.

Bagi anak-anak muda zaman itu yang tidak berminat dengan sastera, mereka terdedah pula dengan budaya hippies.

Bagi yang masih mengingati, anak muda gemar berambut panjang dan kusut masai, berseluar jean lusuh dan yang paling penting: jarang mandi.

Di celah-celah pengaruh aliran moden dan kecelaruan budaya hippies itulah penggerak sosialis menyelitkan idea sosialis mereka.

Permainan halus puak sosialis adalah bertujuan melemahkan pengaruh raja. Caranya ialah dengan menghalalkan penderhakaan terhadap raja.

Filem yang disiarkan semula oleh TV2 malam tadi jelas bertujuan mengumpan simpati rakyat terhadap Jebat sekali gus mengecam Tuah yang tidak menghargai pengorbanan seorang sahabat.

Ekoran dari itu watak Tuah bukan sahaja tidak dihargai malah menjadi bahan ejekan serta cemuhan orang ramai.

Tuah dilempar dengan pelbagai gelaran yang menghina seperti pembodek, pengampu malah penjilat...

Implikasi kerosakan yang timbul dari dakyah ini amat dahsyat. Orang Melayu menjadi amat fobia dengan gelaran pengampu dan pembodek.

Itu bukanlah masalah sebenar kita (pengampu dan pembodek tulin memang tidak dialu-alukan).

Dilema sebenar bermula apabila definisi ampu dan bodek dibuat wewenang sehingga sebarang kebaikan dan kebajikan yang dilakukan terhadap orang atasan dikatakan ampu dan bodek.

Bersambung

Wednesday, April 23, 2008

Perlukah orang Melayu pada DEB?

Salinan daripada binanegara.blogspot.com Saturday, March 22, 2008


Penulis: Cheguman

Agak hairan kami kerana isu DEB (yang sebenarnya telahpun tamat pada 1990 selepas dilancarkan pada 1970) timbul semula. Sebagaimana keyakinan kami bahawa keputusan rakyat untuk memilih atau tidak memilih calon yang mereka kehendaki hendaklah dihormati, maka rungutan rakyat terhadap DEB yang telah ditamatkan juga haruslah diambil perhatian.

Barangkali terdapat pihak yang mendakwa bahawa ungkitan terhadap penamatan DEB adalah polemik yang sengaja ditimbulkan pemimpin UMNO bagi mencari isu untuk menarik perhatian dan sokongan rakyat. Namun perlu diingat bahawa kebanyakan isu besar memang dimulakan oleh pemimpin tertentu, baik kerajaan mahupun pembangkang. Seterusnya mereka melagangkannya kepada rakyat bagi meraih sokongan.

Saya tertarik dengan komen seorang pembaca di sebuah blog. Pembaca tersebut mengatakan bahawa beliau pernah belajar tentang DEB semasa di Tingkatan 3. Pembaca tersebut dengan nada sinis mengatakan bahawa beliau belajar tentang DEB hanya bagi menduduki PMR semata-mata. Kasihan. Kami bersimpati dengan beliau yang 'terpaksa' belajar kerana nak periksa. Alangkah rendah pandangan beliau terhadap ILMU.

Seorang lagi tetamu di situ mendakwa DEB tidak pernah melakukan apa-apa kepadanya. Semuanya atas kebolehan dan usahanya sendiri. Tiada siapa yang membantu beliau untuk berjaya.

Jangan begitu 'dek. Kita lahir ke duniapun dengan bantuan orang lain. Penjanaan DEB selama 20 tahun takkanlah tidak menempias sedikitpun pada anda? Atau anda sebenarnya yang tidak kenal apa itu DEB? Masih ingatkah sebuah kisah khalifah Islam yang menyamar untuk membantu seorang wanita pada suatu malam? Baginda dengan susah payah membawakan makanan untuk anak-anak wanita tersebut. Kata wanita itu "alangkah baiknya kalau khalifah sendiri yang menolongku seperti yang tuan lakukan ini.

"Memang ramai yang tidak sedar faedah yang mereka nikmati daripada kerajaan samada kerana tidak diberitahu atau sengaja tidak mahu peduli.

Sebelum kita melihat apakah manafaat DEB kepada kita khususnya dan kepada negara umumnya, adalah lebih baik kita menyorot kembali sejarah negara kita yang membawa kepada rancangan DEB dan apa sahaja yang seumpamanya.

DEB (atau apa sahaja yang semaksud dengannya): kenapa diperlukan?

Pembukaan lombong-lombong bijih timah secara besar-besaran di awal abad ke 19 membawa implikasi kemasukan ribuan pekerja Cina ke Tanah Melayu. Sebagai pekerja lombong, mereka memperolehi pendapatan yang jauh lebih baik berbanding kaum Melayu, lebih-lebih lagi bumiputra. Mereka juga terlibat dalam pelbagai aktiviti ekonomi hiliran ekoran meletusnya industri bijih timah di seluruh dunia. Pada masa itu permintaan terhadap bijih timah melonjak berikutan berkembangnya beberapa industri berasaskan timah seperti pengetinan dan pembungkusan makanan. Kegiatan ekonomi yang rancak di kawasan perlombongan mendorong sebahagian daripada mereka untuk membuka kedai runcit, pakaian dan sebagainya. Ini adalah bagi menampung permintaan para pekerja disitu. Perniagaan orang Cina semakin maju kerana masyarakat mereka mempunyai kuasa membeli. Aktiviti runcit yang aktif seterusnya melahirkan pemborong, pengimpot dan pengeluar (kilang) dalam kalangan mereka. Hal ini berlaku lama sebelum kita merdeka. Tatkala kaum pendatang bergerak aktif dalam bidang perniagaan, kaum Melayu dan bumiputra lain masih tersisih dari arus kemajuan tersebut.

Kenapa Inggeris mengenepikan penduduk pribumi?

Rata-rata orang akan menjawab bahawa itu adalah dasar pecah dan perintah (devide and rule). Benar. Alasan tersebut adalah bersandar pada kelaziman yang dilakukan oleh penjajah di kebanyakan tanah jajahan bagi mengelakkan perpaduan rakyat yang memungkinkan penentangan terhadap mereka.

Namun penjajah Inggeris mempunyai alasan lain yang lebih rasional. Permintaan terhadap bijih timah yang amat tinggi memerlukan tenaga kerja yang ramai. Jika Inggeris mengambil penduduk tempatan sebagai pekerja di lombong-lombong, aktiviti pertanian yang menjadi sumber makanan akan terjejas teruk. Ini adalah asas pertama pengambilan tenaga asing dalam industri perlombongan. Kemudian barulah Inggeris melihat bahawa keadaan tersebut boleh dieksploitasi sebagai 'senjata sulit' bagi menghalang perpaduan penduduk tempatan.

Walau apapun alasannya, ternyata penempatan kaum Cina di kawasan perlombongan memberikan kelebihan tersendiri kepada mereka. Inggeris menyediakan infrastruktur dan pelbagai kemudahan awam untuk kepentingan pentadbiran dan perniagaan mereka. Keadaan ini memberi kelebihan kepada kaum Cina yang ditempatkan di kawasan tersebut. Akhirnya lombong menjadi bandar. Salah satu daripadanya ialah Kuala Lumpur.

Orang Melayu kekal tinggal di kampung-kampung. Mereka tiada pendapatan tetap. Aktiviti perniagaan lembab kerana orang Melayu tiada duit, tiada pekerjaan tetap lantas tidak mampu membeli. Dalam pada itu pertumbuhan bandar-bandar baru, menarik minat orang Melayu ke situ untuk membeli keperluan tambahan seperti pakaian dan sebagainya. Oleh itu kedai-kedai di bandar semakin besar dan maju. Peniaga Cina beransur maju sejajar dengan pertambahan penduduk, penemuan teknologi baru dan kuasa beli pengguna daripada kalangan kaum sendiri. Jika ada pengusaha baru dari kalangan orang Melayu, peniaga Cina dengan mudah menandingi kerana:
*Pengalaman
*Modal
*Sudah lama bertapak kukuh
*sokongan pembeli kaum sendiri
*Jaringan kerja
*Persatuan-persatuan berasaskan kelompok kaum

Terdapat juga orang Cina yang berpindah ke kampung-kampung Melayu membuka perniagaan runcit dan menjadi peraih. Mereka menjadi orang tengah kepada tawkey-tawkey di bandar. Oleh itu mereka tidak perlu risaukan modal. Mereka boleh berniaga secara hutang dan orang Melayu terpaksa bergantung kepada mereka. Ini menyebabkan peniaga baru dari kalangan orang Melayu tidak mampu memasuki pasaran.

Kenapa begitu? Lihat faktor berikut pula:
Orang Melayu yang ketika itu ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' sudah pasti tidak mampu untukmenabung. Tetapi mereka sesekali perlu mengadakan kenduri dan berkeinginan untuk menunaikan haji. Ikhtiar paling mudah bagi mereka mendapatkan wang dalam jumlah yang banyak ialah dengan menjual, mencagar ataupun menggadai tanah mereka.

Selain itu, jika sakit atau 'sesak', peraih Cina 'dikejut' di tengah malam kerana hanya mereka yang mempunyai kereta. Hal ini makin mengikat mereka dan menghalang peniaga baru Melayu amsuk ke pasaran. Keadaan ini berlarut hingga sekarang kerana tanah menjadi cagarannya (pergilah ke kampong-kampung di Sabak Bernam dan berbuallah dengan orang kampong di situ).

Apabila merdeka, orang Melayu masih daif, cuma memegang kuasa. Hal ini kerana semua kawasan pilihan raya dikuasai oleh pengundi Melayu. Meskipun demikian, orang Melayu amat bertolak ansur dengan kaum pendatang. Meskipun tiada kawasan yang mempunyai majoriti pengundi bukan Melayu, MCA dan MIC tetap mendapat peruntukan kerusi dan orang Melayu dengan hati terbuka telah mengundi mereka.

Pilihan raya 1969 meyaksikan PAP mendahului UMNO, orang Cina berpesta. Mereka merendah-rendahkan dan mengejek orang Melayu. Orang Melayu bertindak balas dan berlakulah rusuhan kaum. Maka DEB dilancarkan sebagai serampang dua mata iaitu:

Merapatkan jurang ekonomi antara kaum bagi menyusun semula masyarakat
Membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum

Hakikatnya:
Apabila merdeka pada 1957, orang Melayu baru nak bermula. Sedangkan kaum Cina sudah melangkah jauh. Mereka telah bermula lebih 50 tahun sebelum itu. Ketika orang Melayu masih terkial-kial ke garisan permulaan, orang Cina sedang memecut laju melepasi orang Melayu yang masih terkial-kial meletakkan jari pada garisan permulaan. Masih membetul-betulkan letak kaki. Masih terbongkok-bongkok mencuba kasut baru. Masih terketar-ketar mendengar sorakan penonton. Masih tercengang-cengang melihat lorong larian yang tidak dikenali. Masih tertanya-tanya bilakah perlumbaan ini akan bermula. Masih keliru tentang peraturan perlumbaan. Masih…

Cuba anda periksa. Bilakah sekolah Cina bermula di Tanah Melayu dan bila pula sekolah Melayu pertama dibuka?

Jika anda seorang pemimpin negara, apakah tindakan yang akan anda ambil?

DEB adalah enjin orang Melayu. Jika tidak, selama-lamanya orang Melayu akan ketinggalan. Memanglah rezeki ditetapkan oleh Allah melalui takdirNya. Seingat saya, di sekolah dulu terdapat sebaris ayat Al-Quran yang saya belajar (saya masih hafal ayat tersebut dalam bahasa Arab). Ayat tersebut menyatakan "Apabila telah tetap usaha maka bertawakkallah kepada Allah dan Allah amat menyukai orang-orang yang bertawakkal." Selain itu, mungkin anda pernah mendengar ayat yang bermaksud " Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka sendiri mengubah nasib sendiri."

Kami harap anda tidak belajar agama hanya untuk lulus periksa semata-mata.

Selepas 21 tahun berjalan, DEB tamat pada 1990. Apabila dilakukan penilaian terhadap perlaksanaan DEB ternyata ia gagal mencapai sasaran (tetapi bukan tidak ada pencapaian langsung).

Benar, ada penyelewengan. Tetapi bukan itu sahaja faktornya.

Bila DEB dilancarkan, kaum Cina telah bersedia. Mereka sedar betapa DEB menjadi ancaman pada mereka. Oleh itu mereka turut melancarkan agenda sendiri untuk menyaingi dan mengatasi kaum Melayu. Apa? Anda lihat, kaji dan fikir sendiri.

Adakah satu kebetulan orang Cina menguasai Singapura? Terbelakah nasib orang Melayu di bawah pentadbiran Singapura sekarang? Siapakah orang Melayu yang anda pernah dengar namanya dalam pentadbiran Singapura? Adakah orang Melayu memegang jawatan tinggi dalam tentera Singapura? Malah, anak muda Melayu Singapura pun seringkali dikecualikan dari kerahan tenaga.

Untungnya jadi pemuda Melayu Singapura! Tak payah susah-susah berkawad…

Semoga Allah melindungi Pulau Pinang daripada menjadi seperti Singapura.

Wallahu'alam

Posted by Cheguman at 4:07 AM 2 comments

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)