Perkataan 'ampu' dicatat dalam kamus DBP (edisi 4, 2005) seperti berikut:
1. sl: Menahan di bawah (dgn telapak tangan), menyokong dr bawah (supaya tidak jatuh, runtuh, dsb),
2. sl: = 'mengampukan' iaitu memerintah (negeri, kerajaan):
cth: yg pertama mengampukan negeri Pasai ialah Sultan Malikul Saleh.
Perkataan 'pengampu' pula dicatat seperti berikut:
1. Penahan, penyangga, penyokong; ~ susu baju dalam perempuan, coli, kutang;
2. Orang yang memerintah negeri;
3. Orang yang menjaga keselamatan seseorang, wali, orang tua;
*4. Orang yg suka mengangkat-angkat (suka menyanjung) seseorang.
Sementara itu 'ampu' atau 'empu' dalam bahasa Minangkabau apabila diganding dengan kaki (~ kaki) bermaksud ibu jari kaki.
Manakala kata 'bodek' dicatat dalam kamus yang sama sebagai:
1. bk: kemaluan laki-laki;
2. = sakit ~ burut: burut atau ~ ialah penyakit pasang-pasang (angin pasang?);
Apabila diberi imbuhan menjadi:
Membodek = menyanjung, memuji dsb terhadap seseorang
3. bp: mengangkat, mengampu, mencari muka:
Contoh, dia kuat ~, sebab itu dapat naik pangkat;
*3. ki: mengangkat, menyanjung (utk menyukakan seseorang supaya mendapat sesuatu faedah daripadanya):
Contoh: siapa yg pandai ~nya akan mendapat segala sesuatu daripadanya; ~ bodek
(bk. mengangkat (supaya mendapat sesuatu).
Perhatikan pada maksud no 3 perkataan di atas terdapat label 'ki' (kiasan).
Ertinya perkataan tersebut hanya kiasan.
Label lain yang digunakan termasuklah 'sl' (sastera lama), 'bp' (bahasa percakapan), 'bk' (bahasa kasar), dan 'ki' (kiasan).
Demang merasakan kata 'ampu' pada asalnya bersifat positif tetapi disalahguna untuk tujuan menyindir dan mengejek. Demang rasa motifnya ada dua: MALAS tapi DENGKI dan DENGKI tapi MALAS.
Apabila Demang semak kamus DBP Edisi Baru (1989) Demang dapati maksud yang menyindir tersebut tidak begitu ketara. Cuma perkataan 'bodek' dicatatkan di hujung keterangan bagi menunjukkan ada kaitan antara kedua-dua perkataan itu dalam pengucapan harian.
(samada sengaja atau tidak, nampaknya telah berlaku penambahan maksud dalam kamus 2005).
Dengan kata lain istilah 'ampu' digunakan untuk menyindir hanya sejak belakangan ini.
Demang berpendapat penyalahgunaan istilah tersebut amat merugikan orang Melayu. Malah mangsa pertama yang dijadikan korban istilah tersebut ialah Laksamana Tun Tuah sendiri.
Jika demikian suratannya, maka Tun Tuah memang seorang PENGAMPU tetapi BUKAN pembodek.
Jika Tun Tuah tidak sanggup mengampu, Kesultanan Melaka bukan roboh pada 1511 malah lebih awal dari itu.
Hal ini boleh kita lihat melalui tindakan-tindakan beliau yang dinukilkan dalam Hikayat Hang Tuah (HHT).
Awas! Jangan sekali-kali gunakan filem atau drama kontemporari sebagai rujukan.
(bagi yang belum membaca artikal Demang sebelum ini silalah berbuat demikian kerana artikal ini adalah kesinambungannya).
Peristiwa menyelamatkan kuda sultan yang terjatuh ke dalam lubang najis adalah contoh terbaik untuk kita melihat peribadi hebat Tun Tuah.
Malangnya kisah ini sering dilihat dari sudut negatif iaitu kesetiaan membabi buta Tun Tuah terhadap sultan.
Itu sebabnya Demang katakan, rujuklah kitab HHT tersebut bukannya sekadar menonton filem dan drama yang berselindung disebalik nama Tuah atau Jebat.
Dalam HHT diceritakan pada suatu hari kuda kesayangan sultan telah terjatuh ke dalam lubang najis. Malangnya tiada seorangpun pembesar, hulubalang mahupun perajurit yang sanggup menyelamatkan kuda tersebut.
Dalam hal ini Demang nak kemukakan beberapa soalan untuk anda:
1) siapakah yang sepatutnya bertindak menyelamatkan kuda tersebut?
Jawapan: siapa sahaja yang berada di situ.
2) apa perasaan sultan jika tiada yang sanggup memenuhi permintaan baginda?
Jawapan: sultan dukacita atau murka.
3) apa kesannya kalau sultan murka?
Jawapan: "lu pikir la sendiri..."
Justeru tindakan Tun Tuah tersebut bukan semata-mata untuk kepentingan diri sendiri sebaliknya menyelamatkan orang lain daripada kemurkaan sultan.
Ingat, Tun Tuah mengampu kesultanan BUKAN membodek sultan.
Selepas peristiwa menyelamatkan kuda tersebut Tun Tuah semakin disayangi sultan. Rujuk HHT ms 242-251 (naskah DBP, susunan Kassim Ahmad 1975).
Menyedari bahawa sultan sangat sayang padanya, maka Tun Tuahpun mengambil kesempatan sebagaimana kutipan berikut:
Hatta berapa lamanya, selang daripada lepas kuda itu, maka raja pun terlalu kasih akan Tun Teja itu. Maka Laksamana pun berkata pada Bendahara dan Temenggung, “Adapun penglihatan diperhamba, Duli Yang Dipertuan ini jaranglah pergi ke istana tuan putri. Pada bicara sahaya, datuk kedua berdatang sembah, kerana Betara Majapahit itu raja besar; akhirnya tiada baik datangnya.” Setelah Bendahara dan Temenggung mendengar kata Laksamana itu, katanya “Pada bicara sahaya pun demikianlah. Siapatah yang dapat persembahkan? Pada bicara sahaya pada masa ini hanyalah Laksamana yang dapat menegur baginda sedikit.” Maka sembah Laksamana, “Jika dengan sabda datuk kedua, beranilah sahaya datuk berdatang sembah.”
Nota:
1. Tun Teja adalah anak penguasa Pahang yang dilarikan oleh Tun Tuah untuk diserahkan pada Sultan Melaka.
2. 'Tuan Putri' dalam petikan di atas adalah anak Raja Majapahit. Puteri ini adalah isteri pertama sultan. Tun Teja adalah isteri muda sultan.
3. Tun Tuah tidak mahu rakyat menyalahkannya kerana beliaulah yang membawakan Tun Teja kepada sultan sehingga sultan tidak lagi memperdulikan puteri Majapahit itu.
4. Tingkah laku sultan yang mengabaikan anak raja Majapahit tersebut boleh mendatangkan kemarahan raja Majapahit.
5. Bendahara dan Temenggung adalah pembesar yang lebih kanan.
6. Laksamana dalam petikan di atas ialah Tun Tuah. Beliau sangat disayangi oleh sultan kerana terlalu banyak berjasa.
7. Sultan tersebut ialah Sultan Mansur Shah.
Selepas mendapat kebenaran dua orang pembesar yang lebih kanan, Tun Tuah pun mengadap sultan. Beliau mengingatkan sultan bahawa beliau bertanggung jawab ke atas keselamatan negara selaku Laksamana. Oleh itu adalah wajar beliau menegur sultan.
Meskipun sultan amat sayang kepada Tun Tuah, namun baginda berusaha untuk tidak mencampurkan urusan peribadi dengan urusan negara. Lihat respon sultan:
“Apa Laksamana hendak sembahkan kepada kita itu? Katakanlah kepada kita. Kita dengar. Jikalau benar, kita ikut. Jikalau tiada benar, tiada kita ikut.”
Berdasarkan kutipan di atas, kita dapat lihat Tun Tuah begitu bijaksana dan amat prihatin:
1) menjaga maruah sultan sambil melindungi orang lain daripada kemurkaan sultan
2) menghormati pembesar lain walaupun beliau boleh terus menemui sultan
3) mengambil kesempatan (atas kepercayaan sultan kepadanya) untuk menasihati sultan demi kepentingan negara
4) sentiasa meletakkan kepentingan negara sebagai perkara paling utama
5) sedar bahawa apabila diri sudah dipercayai barulah mudah untuk berbakti
Cuma agak sukar Demang untuk memberikan jawapan apabila timbul soalan:
"Jika begitu, kenapa Tun Tuah difitnah dan dihukum bunuh oleh sultan tanpa usul periksa?"
Tapi jika anda ingin jawapannya, nantikan sambungan kisah ini...
Wallahu'alam.
Meja Kerja 3 morha
-
*Siri Panduan Buat Jualan Morha Marketing*
Lihat semula file² yang kita ada tadi:
*...ada TIGA file*
File 1: *Cadangan Target Lokasi*
File 2: *Hari Ke...
4 years ago
No comments:
Post a Comment