Demang lihat Buletin Utama kelmarin tentang ketidakpuasan hati 'bapa-bapa' di sebuah tanah rancangan Felda di Johor.
Sebagai anak peneroka Demang faham jugak perasaan mereka yang adakalanya berpendapatan melebihi gaji Cheguman laki bini yang ada degree tetapi adakalanya lebih rendah daripada gaji Muniandy atau Pak Leman yang jadi jaga di sekolah Demang.
Demikian lah nasib peneroka.
Bagi yang kurang memahami realiti di tanah rancangan Felda, Demang ingin berkongsi pengalaman Demang yang membesar di Felda Jengka 8, Pahang.
Sebelum berhijrah, kami sekeluarga tinggal di Kedah. Ayah Demang bekerja sebagai konduktor bas (kolet bas, kata orang kampung). Sebelum itu dia pernah menjadi penarik beca, kelindan lori, awak-awak bot nelayan dan sebagainya.
Kami menyewa rumah di Gurun. (ketika Demang singgah di situ dan melihat rumah itu 3-4 tahun lalu baru Demang sedar bahawa 'rumah' itu sebenarnya cuma sebuah pondok).
Perjalanan dari Kedah ke Pahang ketika itu amat jauh. Demang masih ingat jika bertolak pada waktu petang maka petang esoknya baru tiba ke destinasi.
Perjalanan pada waktu malam sebenarnya ada rasionalnya. Para penumpang boleh tidur dan dapat mengelakkan mereka mabuk akibat jalan yang terlalu berbengkang-bengkok.
Lagi pun tak ada apa yang menarik hendak dilihat sepanjang perjalanan melainkan hutan belantara serta bukit-bukau dan gaung.
Di Felda, setiap peserta yang dipanggil peneroka disediakan rumah satu bilik di atas tanah suku ekar dan hampir sepuluh ekar tanah yang telah ditanam getah atau sawit.
Bukan orang sekarang sahaja yang teruja mendengar 'tuah' yang disediakan tersebut. Malah orang dulu pun begitu seronok dan bersemangat untuk meninggalkan kampung halaman dan menerima tawaran Felda untuk menjadi peneroka.
Namun kejayaan tidak semudah angan-angan. Jika anda ke Jengka 8 sekarang anda akan hairan kenapa majoriti penduduk di situ berasal dari luar Pahang. Malah loghat utama mereka (kami) ialah loghat utara.
Tidak adakah penduduk tempatan?
Ada, tetapi dikira penduduk minoriti sehingga mereka sendiri akhirnya tenggelam dalam budaya dan adat orang utara.
Kenapa begitu?
Pada asalnya memang ramai orang Pahang yang menjadi peserta di situ. Namun cabaran dan keperitan hidup sebagai peneroka memang hebat. Maka ramai yang menyerah kalah dan kembali ke kampung asal mereka.
Sebaliknya peneroka yang berasal dari negeri lain sudah berpatah arang untuk berpatah balik. Kebanyakan daripada mereka telah tidak mempunyai tempat tinggal lagi di negeri asal. Ada yang telah menjualnya untuk dijadikan modal berhijrah manakala selebihnya (seperti ayah Demang) memang tidak ada harta di kampung asal.
Maka mahu tidak mahu terpaksa lah bertahan jika pun tidak mampu berjuang.
Ada juga pertanyaan kenapa tanah Felda dikhususkan untuk orang Melayu sahaja?
Sebenarnya soalan tersebut kurang tepat kerana di beberapa tanah rancangan Felda terdapat juga peneroka dari kalangan kaum Cina dan India. Contohnya di Felda Hutan Perca, Melaka dan di Jengka 13, Pahang.
Namun bilangan mereka adalah minoriti kerana tidak memenuhi syarat kelayakan. Pemohon mestilah dari kalangan rakyat yang di bawah paras kemiskinan atau sekarang disebut 'miskin tegar'.
Ciri-ciri mereka yang layak ialah tidak mempunyai pekerjaan, pendapatan dan tempat tinggal yang tetap.
Kaum India agak kurang kerana populasi mereka memang sedikit. (sekarang pun bilangan orang India memang sedikit sekalipun berbanding pekerja asing). Manakala kaum Cina tidak ramai yang benar-benar layak. Malah kebanyakan peneroka kaum Cina hanya mempunyai nama dan hak di Felda yang mereka sertai padahal mereka tidak pun benar-benar mengusahakan ladang yang disediakan.
Oh ya, Demang terlupa satu fakta penting. Sebenarnya semua yang disediakan di tanah rancangan Felda bukan lah diberi percuma. Malah semua kos termasuk rumah, tanah, ladang, jalan, gaji kakitangan Felda (dipanggil pegawai dengan gelaran 'encik'), baja, racun serangga termasuk tanah perkuburan pun ditanggung oleh setiap peneroka. 'Ditanggung' bermaksud semua perkara itu dikira sebagai hutang yang wajib dibayar semula secara ansuran.
Oleh yang demikian Demang tidak hairan kenapa terdapat peneroka yang menyokong parti pembangkang. Fakta-fakta yang Demang nyatakan adalah modal yang cukup baik untuk memancing peneroka dan anak cucu peneroka membenci kerajaan.
Habis, kenapa Demang tetap menyokong kerajaan? Adakah Demang lupa daratan lantaran sudah ‘senang lenang’? Sudah ada jawatan sebagai guru tadika dan sudah ada kereta Proton Iswara 1.3 manual aeroback?
Atau Demang dibayar untuk menulis hal yang baik-baik bagi menyokong kerajaan? Atau memang Demang seorang pengampu dan pembodek?
Demang mungkin pengampu tapi bukan pembodek. Sila rujuk tulisan Demang tentang perbezaan antara pengampu dengan pembodek.
Malah kerana 'ingatkan daratan’ lah Demang mengekalkan kesetiaan pada kerajaan yang memerintah.
Kenapa?
2-3 hari lepas Demang terbaca satu komen dalam satu blog. Salah seorang pengunjung blog tersebut menitipkan satu analogi yang cukup menarik bagi menggambarkan perkara ini.
"Pada suatu hari seorang lelaki telah memanjat sebatang pokok kelapa. Malangnya setelah tiba di atas lelaki tersebut merasa takut untuk turun. Akhirnya lelaki itu pun bernazar jika dia berjaya turun dengan selamat maka akan dikorbankan seekor kerbau.
Lelaki tersebut mula turun. Sampai di pertengahan batang dia dapati tidak ada apa-apa pun yang berlaku. Maka lelaki itu pun menukarkan nazarnya iaitu jika dia selamat sampai ke bawah dia akan menyembelih seekor kambing.
Lelaki itu melurut lagi ke bawah dan mendapati keadaan semakin selamat. Kini dia menukar nazarnya daripada kambing kepada ayam.
Apabila sampai 2-3 kaki lagi dari tanah lelaki itu memutuskan untuk memecahkan sebiji telur ayam sebagai nazarnya.
Akhirnya lelaki tersebut selamat mendarat dan membuat kesimpulan bahawa jika kita sabar, yakin dan terus berusaha maka sewajarnya lah Tuhan menganugerahkan kita kejayaan.
Demang rasa itulah maksud Tun DrM bahawa "Melayu mudah lupa".
Namun apabila Demang lihat keliling, Demang dapati bukan orang Melayu sahaja yang mudah lupa.
Wallahu'alam.
Meja Kerja 3 morha
-
*Siri Panduan Buat Jualan Morha Marketing*
Lihat semula file² yang kita ada tadi:
*...ada TIGA file*
File 1: *Cadangan Target Lokasi*
File 2: *Hari Ke...
4 years ago
1 comment:
Sekarang, bukan saja melayu mudah lupa, tapi, semuanya mudah lupa.
Post a Comment