Innalillah...
Demang rasa kebanyakan kita sudah tahu berita kematian tersebut namun para pengikut golongan itu awal-awal lagi sudah memberi isyarat agar tidak memberi sedeqah Fatihah dan sebagainya.
(Demang letak kandungan mesej yang tersebar melalui media sosial sejak semalam di hujung entri ini untuk rujukan, bukan untuk sebaran).
Maka meninggal lah ketua negara Arab Saudi, kelmarin. Kematian yang amat sederhana namun kesederhanaannya sempat merentasi beberapa lautan dan benua, merayap ke telefon pintar dan diketahui seluruh dunia.
Setelah berita tiba di negara kita maka dikaranglah satu propaganda bagi memenangi hati dan perasaan rakyat Malaysia yang majoriti berfahaman ahlussunnah waljamaah betapa sederhananya keluarga Assaud dalam mengurus jenazah pemimpin mereka.
Justeru ramailah yang terpesona dan terharu dengan kemuliaan keluarga Saud mencontohi cara Rasulullah SAW dalam pengurusan jenazah sehingga lupalah mereka cara hidup keluarga diRaja tersebut selama ini yang penuh kemewahan dan pembaziran.
Di sebalik serba serbi sederhana itu diselitkan penolakan beberaoa amalan golongan Ahlussunnah waljamaah ssperti bacaan Yaasin, sedeqah Al-Fatihah, tahlil dan sebagainya.
Maka ramailah yang terpengaruh dan lupalah pada ajaran ulama kita selama ini serta hikmahnya serta kagumlah dengan amalan yang baru diketahui itu.
Demang nak tanya satu soalan, kenapa semasa masih hidup ketua negara Arab Saudi tidak mengamalkan kesederhanaan sebagaimana Rasulullah SAW? Kenapa apabila mati baru nak tunjuk baik?
Demang bukan nak mempertikai salah-benar pegangan golongan tersebut atau mengatakan golongan ini betul golongan itu salah. Demang cuma nak beritahu bahawa kita sudah menerima bahawa pegangan ummat Islam di negara kita ialah Ahluhsunnah waljamaah.
Jika ingin berpegang pada ulama lain, pintu imegresen sentiasa terbuka. Berhijrahlah ke Arab Saudi atau negara berkenaan. Faham?
Kenapa kita hanya meraikan golongan Ahlussunnah waljamaah? Jawapannya, kerana kita tidak mahu menjadi seperti di Iraq, Syria, dan lain-lain yang ummat Islam berbunuhan sesama sendiri hanya kerana berbeda pandangan.
Padahal belum ada mana-mana manusia yang telah mati, kembali kepada kita dan memberitahu pengalamannya di dalam kubur.
Berkenaan binaan kubur, Demang akan ulas kemudian.
Wallahu'alam.
Di bawah ini adalah mesej yang tersebar bagi mempromosi fahaman kumpulan berkenaan:
Raja Abdullah Bin Abdul Aziz Al-Saud telah selamat dikebumikan dengan panduan Sunnah Rasulullah SAW yang cukup ringkas dan sederhana.
Maka seisi dunia menyaksikan bagaimana jenazah baginda disolatkan di Masjid Jami’ Imam Turki Bin Abdullah lalu disempurnakan di Perkuburan Al-Ud Riyadh dengan:
• Tidak ada tembakan meriam
• Tidak ada bacaan surah Yaasin
• Tidak ada payung untuk jenazah
• Tidak ada taburan bunga di kubur
• Tidak ada kenduri arwah dan majlis tahlil
• Tidak ada kemenyan atau setanggi dibakar
• Tidak ada iringan muzik ketenteraan dan kebesaran
• Tidak ada doa beramai-ramai dipimpin di atas kubur
• Tidak disyaratkan berpakaian berkabung yang khusus
• Tidak ada siraman air mawar atau air Yaasin di kubur
• Tidak ada ucapan Al-Fatihah disedekahkan merata-rata
• Tidak ada tafakkur dan pengibaran bendera separuh tiang
• Tidak ada bacaan talkin dan duduk beramai-ramai di kubur
• Tidak ada binaan tembok, kubah dan makam di atas kubur
• Tidak disyaratkan pemakaian ikat kepala atau ikatan lengan yang khusus
• Tidak ada sedekah atau upah diberikan kepada rakyat yang bersolat jenazah
• Tidak ada perarakan jenazah, panji-panji dan pingat kebesaran berkilometer jauhnya
• Tidak ada batu nisan marmar berukir indah yang mahal, melainkan batu nisan simen tidak bertanda
• Tidak ada amalan menunggu kubur dengan mengkhatamkan bacaan al-Qur’an di atas kubur
• Tidak ada pentas atau tempat khas disediakan untuk kerabat DiRaja menyaksikan upacara pengebumian
• Tidak ada cuti berkabung rasmi sehari atau berhari-hari, sekolah dan pejabat kerajaan dibuka seperti biasa
• Tidak ada menunda-nunda penguburan jenazah sehingga ramai pemimpin atau ketua negara luar tidak sempat sampai
• Tidak ada tandu usungan jenazah berpedati untuk diusung puluhan orang, melainkan pengusung biasa
• Tidak ada kain baldu hijau bersulam ayat al-Qur’an menutup jenazah, melainkan menutup jenazah adalah jubah luar atau “Mishlah” yang dipakai oleh si mati ketika hidupnya
• Tiada penghormatan dengan tradisi ketenteraan seperti pemberian hormat, tiupan bugle, lagu Last Post dan tembakan segerup senapang 3 kali berturut-turut dilaksanakan
Kesemua amalan di atas tidak keluarga baginda laksana, bukan kerana tidak kuat beragama. Tidak pula mereka tinggalkan kerana mereka miskin dari segi kewangan. Bahkan baginda dan kerabat baginda merupakan antara kelompok manusia terkaya di dunia.
Sebaliknya raja yang baru, Raja Salman Bin Abdul Aziz Al-Saud dan kaum kerabat baginda bersyukur dan merasa cukup senang hati untuk melaksanakan petunjuk Nabi Muhammad SAW dalam pengurusan jenazah baginda.
“Ya Allah Rahmatilah Hamba-Mu Abdullah Bin Abdul Aziz Al-Saud. Masukkanlah Dia Ke Dalam Syurga-Mu Yang Luas”
2 comments:
Fitnah wahabi, partial true, hingga ilmuan agama pun terpengaruh, apatah lagi orang biasa.
Di pihak kita pula, kerana sikap berhati hati tidak bermudah mudah menuduh sesat, amalan amalan yg menyeleweng sesetgh golongan yg mengaku ngaku ASWJ, mk amalan amalan berkenaan dituduhkan sbg amalan kita ASWJ.
Penulisan yang baik. Tuan yang budiman, mohon pautkan blog baru saya ke dalam blog tuan.
http://kungkalikung2015.blogspot.com/
Post a Comment