1997, jika tiada aral Tun Dr Mahathir bila-bila masa sahaja akan ditabalkan sebagai wali kesepuluh rangkaian wali songo.
Itu perumpamaan Demang. Meski kelihatan melampau namun persepsi rakyat terhadap beliau tika itu tidak lah begitu jauh daripada itu.
Dalam UMNO, Anwar Ibrahim selaku timbalan berkali-kali mengumumkan pendirian untuk setia 100% dan tidak ada niat langsung untuk mengambil tempat sebelum masanya.
Anwar amat sedar, beberapa pemimpin kanan sebelum itu yang cuba menewaskan beliau bukan sahaja gagal malah tambah memantapkan lagi kedudukan Dr Mahathir sebagai presiden. Anwar faham bahawa dia tidak perlu tergopoh-gapah.
Dalam BN, Dr Mahathir mampu mengawal semua parti komponen melalui nasihat dan juga 'arahan'. Sesekali 'amaran'. Parti komponen juga tidak melihat bahawa menukar kepimpinan sebagai satu keperluan. Bahkan Pairin Kitingan (PBS) juga dapat dijinakkan.
Dalam negara, parti-parti pembangkang ibarat rumput di tepi jalan... Hidup segan mati tak mahu. PAS? Cuma nisan sahaja yang belum ditempah manakala tapak kubur sudah dipersiapkan. DAP sekadar kumpulan pendesak. Karpal Singh lebih banyak aktif dalam bisnes guamannya.
Di Asia Tenggara dan Asia sudah pasti beliaulah pemimpin terunggul sehingga dijadikan mentor oleh Thaksin yang menjadi PM Thailand waktu itu. Ingat, jika tidak kerana serangan matawang, Thailand telahpun menjadi negara maju.
Dalam dunia Islam, tanpa beliau sudah lama maruah ummat Islam berada di dasar paling bawah. Beliau hampir-hampir berjaya menganjurkan penggunaan dinar emas bagi menggantikan sistem wang cetakan kapitalis yang bobrok. Amerika bermujur kerana masih mampu mengekang Arab Saudi di sebalik nama Bani Saud.
Di peringkat dunia, Dr Mahathir antara pemimpin senior yang disegani dan 'dibimbangi'. Pemimpin negara kecil itu sudah berjaya mengumpulkan kelompok-kelompok negara miskin untuk bersatu. Beliau lah wiranya. Seorang sahabat Demang menceritakan ketika beliau (sahabat itu) di Mekah, beliau didatangi seorang warga Maghribi yang begitu teruja apabila mengetahui beliau datang dari Malaysia. Malah lelaki tersebut memanggil rakan-rakannya untuk bersalam.
Justeru US tidak lagi melihat Malaysia sebuah negara kecil sebaliknya negara yang mengetuai puluhan negara berpotensi besar, yakni mampu menggugat kedudukan mereka.
Bagi yang berusia di bawah 30 mungkin belum begitu 'merasakan' kehebatan Mahathir selain daripada yang diberitahukan. Manakala para penuntut universiti sekarang, sebelum 1998 mereka masih di sekolah rendah.
Namun 1998 timbul isu yang tidak sepatutnya boleh merobohkan pemerintahan beliau. Bermula dengan surat layang diikuti sindiran daripada ceramah pembangkang, akhirnya beberapa individu tampil membuat laporan rasmi salahlaku timbalan beliau ketika itu.
Biarpun Dr Mahathir berusaha menghindari daripada terkait dalam masalah peribadi tersebut namun desakan pelbagai pihak akhirnya memaksa beliau campur tangan. Anwar sendiri pada peringkat awal mengaku Dr Mahathir langsung tidak terlibat.
Para pembangkang termasuk Mat Sabu yang pernah menjadi rakan karib Anwar beberapa kali mencabar kerajaan menyiasat dakwaan salah laku TPM.
Akhirnya Dr Mahathir terpaksa bertindak. Pun, beliau tidak membuat keputusan seorang diri sebaliknya memanggil sidang khas dan membuka peluang seluas-luasnya kepada Anwar mempertahankan diri di hadapan AMT.
Malangnya hujah dan penjelasan Anwar pada malam bersejarah tersebut gagal meyakinkan rakan-rakan beliau sendiri dalam UMNO.
Maka Anwar dipecat setelah enggan beundur!
Rupa-rupanya Anwar bukanlah Tuah yang sanggup berkorban demi negaranya. Anwar tidak sanggup berundur dan membiarkan negara terus aman dan damai agar PM dapat meneruskan agenda utama negara.
Bahkan Anwar juga tidak seperti Jebat yang terkorban setelah berkorban untuk sahabatnya. Padahal Jebat tahu selagi Taming Sari di tangannya, dia tidak akan tewas. Namun Tuah juga bukan mudah ditundukkan. Perseteruan dan perkelahian mereka hanya akan memusnahkan negara. Maka Jebat beralah sedangkan belum tentu akan tewas jika terus berlawan.
Justeru, pada kedudukan manakah Anwar? Bagi Demang Anwar sekadar berjuang demi dirinya sendiri! Lebih malang lagi Anwar tidak peduli implikasi daripada pemberontakan itu.
Anwar lebih teruk berbanding Patih Karma Wijaya yang memfitnah Tuah. Anwar mengheret semua orang agar terlibat dalam kancah masalah peribadinya. Anwar menjemput orang asing untuk turut campur tangan (lihat edaran terkini PKR Selangor yang berbangga dengan sokongan asing).
Anwar memujuk lebih 30 MP agar berpaling tadah daripada rakyat yang memilih BN. Satu pengkhianatan yang nyata terhadap mandat rakyat.
Di sebalik kemelut tersebut, nampaknya benarlah kata rangtua: jong pecah yu kenyang. Maka parti-parti pembangkang cepat menghidu darah. Mereka bukan sahaja menunggu di bawah bahkan melompat naik ke bahtera. Menanti kapal karam dianggap terlalu lambat maka para pembangkang berlumba-lumba menebuk,menakek, dan merobek bahtera UMNO agar lebih cepat tenggelam. Bahkan juga mereka menyalakan api bagi membakarnya.
Dalam keghairahan tersebut mereka terlupa bahawa mereka masih berada di dalam. Setidak-tidaknya mereka berada berdekatan dan akan turut terbakar sama.
Dalam keghairahan untuk merampas kuasa mereka lupa bahawa anak-anak mereka juga akan terheret sama sebagaimana berlaku di Palestin, Bosnia, Afghanistan, Iraq dan sebagainya.
Mereka terlupa sejarah Melaka dan Andalusia.
2 comments:
Salam 1Malaysia Cheguman,
artikel yang sangat menarik untuk dibaca terutama sekali diperenggan kedua terakhir dan terakhir sekal, syabas! bro...
Artikel yang baik, cuma bagi mereka yang hatinya telah tertutup. Maka memamg X dapat nak diselamatkan lagi....
Artikel ni mungkin akan kawan c & p pada masa hadapan....
Post a Comment