Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Thursday, September 2, 2010

analisis epik Siru dan Sari


Dua hari lalu Demang siarkan sebuah artikal yang Demang namakan 'epik Siru dan Sari' dalam blog Chegumanonline. Namun ia disiarkan begitu sahaja tanpa sebarang komen daripada Demang.

Kali ini Demang siarkan sekali lagi namun di bawahnya Demang selitkan pandangan peribadi Demang. Barangkali anda juga mempunyai pendapat sendiri. Silakan, kita berkongsi. Sebelum itu, baca dulu ceritera ini:

;;;;;;;;;;;;;

Siru dan Sari sudah lama berjiran. Maksud Demang, ibu bapa mereka. Malah jika diselusuri salasilah keluarga, mereka sebenarnya masih dikira bersaudara.

Pada suatu hari berkata Siru kepada Sari: "Tidak lama lagi aku akan memiliki rumah sendiri. Ya, sebuah rumah yang comel di suatu tempat yang indah."

Sari memandang kehairanan. "Bukankah engkau sudah mempunyai rumah sekarang?"

Siru tersenyum merenung arah perbukitan yang jauh berbalam dan berkata: "Ya, tetapi ia kepunyaan ibu bapaku. Nanti aku akan dewasa dan perlukan kehidupan sendiri."

Kegelisahan Sari malam itu mengundang simpati sang ibu. "Ia adalah proses yang normal, sayang. Sampai masanya setiap remaja akan meninggalkan keluarga bagi menempuh kehidupan yang lebih bermakna. Mereka akan berkahwin, berzuriat, dan membina generasi baru."

Pada suatu pagi Siru mendatangi Sari dengan riang. "Aku telah menemui sebuah kawasan yang selama ini hanya muncul dalam mimpiku. Aku pasti, di situlah nanti akan kubina sebuah teratak yang indah untuk kudiami bersama isteri dan anak-anak."

Sari mendiamkan diri namun dia sedar betapa resahnya hati di dalam. Dalam diam sempat dia menyimpan tekad dan hasrat.

Petang itu Sari menyusuri denai arah ke gunung sehingga tiba di pinggir sebatang kali. Deru air jeram, selirat belukar, bongkah-bongkah batu, suara unggas rimba, serta laungan mergastua membawanya ke sebuah dataran permai.

Terpegun Sari menyaksikan hamparan hijau di hadapannya. Terasa sayang untuk mencemar permaidani semulajadi itu dengan kakinya yang runcing.

"Ah! Inilah syurga impianku. Tiba-tiba dia teringatkan Siru. "Aku juga bakal mempunyai rumah sendiri".

Sari kembali ke rumah dengan ceria selepas membersihkan kawasan itu untuk dijadikan tapak rumah.

Keesokan harinya Siru sejak awal lagi sudah memudiki anak sungai. Perancangan asal ialah untuk membersihkan kawasan yang telah ditemuinya minggu lalu bagi menyediakan tapak rumah impiannya.

Namun Siru merasa hairan kerana tempat itu sudah dibersihkan. "Agaknya orang bunian telah mengetahui hasratku dan mereka pun membantu.

Siru segera mencari batang-batang kayu untuk dibuat tiang. Menjelang tengahari kerja memacak tiang selesai dan Siru segera kembali ke rumahnya.

Petang itu Sari tiba di tapak rumahnya dengan bersemangat. Dia terkejut melihat tiang-tiang sudah terpacak. "Nampaknya orang bunian telah menyedari hasratku dan mereka telah membantu.

Sari segera mengumpulkan ranting-ranting untuk dijadikan lantai. Sebelum senja tiba, kerja-kerja itupun selesai.

Pagi esoknya Siru kembali menyambung tugasan. Dia amat gembira kerana orang bunian sentiasa membantu. Dia berpuas hati dengan keadaan lantai yang kemas dan selesa.

Siru masuk ke hutan mencari buluh dan rumbia. Menjelang tengahari dia melonggokkan bahan-bahan tersebut bagi melengkapkan rumahnya.

Seperti biasa, Sari tiba pada waktu pagi. Dia terpegun melihat peralatan yang bertimbun. "nampaknya bahan untuk membuat dinding dan bumbung sudah ada. Terima kasih orang bunian." Ujar Sari dengan riang.

Ketika matahari tegak di puncak rimba kerja-kerja anyaman dan sisipan atap pun selesai. Sari pulang ke rumah dengan gembira.

Petangnya seperti biasa Siru tiba sambil meneka-neka apakah lagi yang telah disiapkan orang bunian.

"Wah! Cantiknya anyaman ini. Nampaknya tugas aku cuma memasang bumbung dan dinding." bisiknya sendirian.

Sebelum malam berlabuh. Siru selesai memasang bumbung rumahnya. Dia tidak perlu risaukan bahagian dinding kerana yakin orang bunian akan menyudahkan semuanya.

Memang benar. Ketika Siru tiba petang esoknya, dia mendapati semua dinding sudah siap dipasang. Tanpa berlengah Siru terus masuk ke dalam rumahnya.

Alangkah terperanjatnya Siru apabila mendapati seekor rusa sedang nyenyak tidur di situ. lebih terkejut lagi apabila dicamnya bahawa rusa betina itu adalah Sari!

"Hei, berani kau mencerobuh rumahku." Tempik Siru.

Sari yang sedang lena bingkas bangun dan turut menjerit: "Siru? Apa kau buat di sini? Kenapa menjerit di dalam rumahku?"

"Rumah kau? Aku yang membinanya setiap petang dengan bantuan orang bunian, kau kata rumah kau?" Siru membentak.

"Memang ini rumahku. Setiap pagi aku membinanya sendirian. Err.. Maksudku, dengan bantuan orang bunian." Siru mempertahankan dirinya.

"Orang bunian?" Tiba-tiba mereka menjerit serentak kemudian terdiam.

"Cuba kau ceritakan bagaimana kau membina rumah ini." Siru bersuara.

Sari menelan liur. "Pada suatu pagi aku menemui tempat ini dan kubersihkan. Pada pagi esoknya aku datang lagi dan kudapati tiang-tiang sudah terpacak. Lalu aku teringat kau pernah memberitahu bahawa apabila kita ikhlas melakukan sesuatu maka orang bunian akan menyelesaikan yang sebahagian lagi? Setiap kali aku membina satu bahagian, keesokan harinya satu bahagian lagi siap sendirinya."

Siru merenung Sari sambil tersenyum. "Setiap petang aku membina sebahagian rumah ini dan mendapati sebahagian lagi disiapkan orang bunian. Ah, rupa-rupanya engkaulah yang kusangka orang bunian itu."

Sari memandang Siru dengan mata bersinar. "Kalau begitu kita akan berkongsi rumah ini."

Tiba-tiba Sari tunduk sayu. "Bukankah kau membina rumah ini untuk isteri dan anak-anakmu? Ia agak kecil untuk aku tinggal bersama." Suara Sari hampir tidak kedengaran.

"Benar. Inilah rumah yang kuimpikan untuk isteri dan anak-anakku tetapi pernahkah aku memberitahumu bahawa aku tidak mempunyai calon selain dirimu?

Sari terkedu dan serta merta terasa darah segar mengalir ke segenap urat tubuhnya, menjalar ke muka dan menukar rona wajah menjadi kemerahan.

Tiba-tiba dirasanya seluruh rimba ikut menyetujui lamaran itu.


;;;;;;;;;;;

Kisah di atas sebenarnya adaptasi daripada sebuah buku cerita kanak-kanak yang pernah Demang baca lebih 10 tahun lalu. Pernah Demang ceritakan pada anak-anak sambil melayani mereka tidur. Demang paparkan semula di sini menggunakan gaya bahasa sendiri untuk kita berkongsi mesejnya.

Namun apa mesejnya? Banyak. Demang percaya para pengunjung budiman dapat mengesan pelbagai pengajaran daripada kisah tersebut.

Daripada sekian banyak amanat yang terdapat dalam cerita tadi Demang ingin menarik perhatian pada baris berikut:

"Lalu aku teringat kau pernah memberitahu bahawa apabila kita ikhlas melakukan sesuatu maka orang bunian akan menyelesaikan yang sebahagian lagi? Setiap kali aku membina satu bahagian, keesokan harinya satu bahagian lagi siap dengan sendirinya."

Demang bawakan mesej ini kerana belakangan ini ramai yang menyangka kejayaan yang mereka perolehi adalah kerana kehebatan diri sendiri dan bukan bantuan pihak lain.

Justeru kita dapati masih ramai yang menikmati pelbagai kemudahan dan bantuan daripada kerajaan tetapi masih tetap menyokong pembangkang.

Sebagai contoh,apabila sudah menjawat jawatan tinggi, mereka rasa mereka hebat. Mereka tidak sedar pendidikan mereka dulu dibiayai kerajaan. Malah makan minum mereka disara (sebahagiannya melalui RMT/asrama penuh), biasiswa atau pinjaman diberi, serta pelbagai program diatur bagi membantu kejayaan mereka. Setidak-tidaknya buku teks dan bahan pembelajaran diberi percuma.

Apabila ditanya, mereka memberi pelbagai jawapan. Antaranya, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan membantu rakyat.

Benar. Memang benar. Cuma Demang nak tambah, jika demikian, itu membuktikan kerajaan yang memerintah sudah menunaikan tanggungjawab mereka. Justeru apa perlu lagi diganti dengan sesuatu yang belum pasti?

Ada pula yang memberi alasan walaupun kerajaan sudah menunaikan tanggungjawab namun wajib ditentang kerana enggan menjalankan hukum hudud.

Demang setuju bahawa kerajaan tidak melaksanakan hukum Islam sepenuhnya. Namun itu tidak bermakna kerajaan enggan melaksanakan. PAS sendiri tidak mampu melakukannya di negeri-negeri yang mereka kuasai. Padahal kerajaan negeri berkuasa dalam soal agama Islam di negeri masing-masing.

Demang katakan PAS tidak mampu lakukan. Demang tidak menuduh PAS enggan melakukan kerana Demang faham bahawa 'keinginan' dan 'kemampuan' adalah dua perkara yang berbeza.

Ada pula yang berkata, apa salahnya menukar kerajaan yang ada. Jika kerajaan yang baru itu gagal, kita boleh tukar semula. Lihatlah di Taiwan, Jepun dan lain-lain yang tidak timbul sebarang masalah walaupun bertukar kerajaan.

Sebenarnya orang yang memberii alasan begitu gagal memahami perbezaan Malaysia dengan negara lain. Di Jepun, apa parti sekalipun yang berkuasa, mereka tetap bangsa Jepun. Begitu juga di Taiwan.

Namun di Malaysia, jika parti yang memerintah bertukar, kaum cina akan menguasai semua sekali iaitu ekonomi, pendidikan, dan politik. apa yang tinggal pada kaum lain? Di manalah keseimbangannya jika ini berlaku?

Demang sebut tentang keseimbangan kerana tanpa keseimbangan akan berlakulah kekacauan. 13 Mei 1969 adalah buktinya, melainkan jika anda memang jahil sejarah.

Jika tidak percaya, cubalah!



foto:
Attentive Deer on Flickr ...
flickr.com

No comments:

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)