FGVH disenarai tanpa koperasi
2012/04/26 Berita Harian
KUALA LUMPUR: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia sama ada pada akhir Mei atau awal Jun tanpa Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Bhd (KPF) sebagai pemegang saham terbesarnya.
Keputusan itu dibuat kerana kesuntukan masa, khususnya bagi memenuhi tarikh akhir penyenaraian serta jangkaan harga komoditi, terutama minyak sawit mentah yang diramal berada pada puncaknya dalam tempoh berkenaan.
Bagi tujuan itu, FELDA yang mengendali ladang sawit ketiga terbesar dunia akan membentuk sebuah badan khas yang bakal mengambilalih peranan KPF untuk menjaga kepentingan peneroka dalam FGVH.
Pengerusinya, Tan Sri Isa Abdul Samad, berkata nama rasmi badan khas itu akan diumumkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) menerusi terbitan prospektus FGVH dalam tempoh terdekat.
Berikutan itu, semua 112,635 peneroka tanah rancangan FELDA tidak perlu bimbang kerana badan khas berkenaan akan diberi mandat sepenuhnya untuk menguruskan kepentingan mereka. Ia akan berfungsi mengagihkan dividen yang diperoleh daripada keuntungan aktiviti perniagaan FGVH kepada peneroka setiap tahun.
“Proses menjadikan FGVH sebagai syarikat senaraian awam kini berjalan lancar dengan semua keperluan bagi penyenaraian sudah dihantar kepada SC untuk kelulusan.
“Berikutan kekangan masa yang terbuang begitu saja berikutan injunksi oleh lapan peneroka untuk menghalang mesyuarat agung luar biasa (EGM) KPF bagi membuat keputusan memindahkan 51 peratus sahamnya dalam Felda Holdings Bhd (FHB) dan 10 anak syarikat kepada FGVH, menyebabkan KPF sendiri tidak dapat terbabit dalam cadangan tawaran awam permulaan FGVH.
“Namun, peneroka tidak perlu bimbang kerana mereka akan menerima manfaat dua kali ganda daripada penyenaraian FVGH menerusi dividen tahunan yang diperoleh daripada badan khas itu dan dividen tahunan sebagai ahli KPF,” katanya pada sidang media khas mengenai kemajuan terkini penyenaraian FGVH, di sini semalam.
Isa menjelaskan keputusan tidak membabitkan KPF dalam penyenaraian FGVH sudah dimaklumkan kepada pihak pengurusan koperasi. Selepas EGM pertama KPF dibatalkan, EGM kedua pada 20 April menyaksikan 88 peratus daripada 1,250 ahli yang hadir bersetuju membenarkan koperasi itu terbabit dalam penyenaraian FGVH.
Bagaimanapun, Isa berkata, ada beberapa masalah lain yang melambatkan proses penyenaraian susulan tawaran balas KPF seperti struktur dan terma, tetapi perbincangan untuk mencapai persetujuan mengenainya tidak dapat dilakukan dalam waktu singkat ini.
“Justeru, kita memutuskan KPF tidak akan menyertai penyenaraian FGVH kerana jika kita tunggu hasil perbincangan, ia akan mengambil masa, sekali gus melewatkan proses penyenaraian,” katanya.
No comments:
Post a Comment