Sesekali kita berehat sebentar dari berkesah mengenai politik.
Sebentar tadi Demang menyampaikan ceramah umum yang tidak menyentuh langsung soal politik.
Sebagai pembukaan dalam ceramah tersebut, Demang mencuba kelainan dalam format ceramah sekaligus keluar daripada belengu blog iaitu dengan cara membacakan kepada audien Demang satu artikal yang Demang tulis untuk disiarkan dalam blog.
Berikut adalah artikal tersebut:
Sekali air bah, sekali pantai berubah. Apabila tsunami melanda maka peta dunia pun berubah.
Sememangnya dunia telah pun berubah.
Hari ini; sebaik sahaja anda mengetahui jiran anda mendapat cahaya mata, dan anda pun bergegas untuk meraikan, namun sebelum sempat anda tiba di hospital, rakan-rakannya di seluruh negara sudahpun melihat bayi tersebut melalui video di facebook atau Youtube.
Bahkan anda dapati banyak bungkusan hadiah di meja sebelah katil bayi pemberian saudara mara dan rakan taulan dari Perlis hingga Sabah.
Hampir semua hadiah tersebut dihantar melalui syarikat penghantaran tempatan dan sebahagian besarnya di pesan melalui online.
Hari ini juga; jika anda di Melaka sedang menatap blog atau Facebook dan melihat video rakan anda di Alor Star sedang menumbuk sambal belacan, dan andapun menegurnya sambil bergurau:
"saya nak sikit".
Jangan terperanjat jika beliau menjawab dan sejam kemudian sepiring sambal belacan tiba di depan pintu rumah anda!
Bagaimana ia boleh berlaku? Ada banyak kaedahnya.
Jika kita gagal memahami apa yang sedang berlaku dan bagaimana ia berlaku maka kita akan keliru.
Sebaliknya jika sudah faham dan tahu menggunakannya dengan bijak maka anda bukan sahaja akan memperolehi banyak keuntungan malah berupaya mengaut keuntungan yang banyak.
Sebenarnya individu yang menumbuk sambal belacan di Facebook tadi sedang mempromosi sambal belacan keluarannya.
Katakan sahaja namanya, 'Sambal Belacan Opah' keluaran Syarikat Opah Enterprise yang beroperasi dari sebuah rumah di Kedah.
Syarikat tersebut mempunyai agen jualan di setiap kawasan di seluruh Malaysia yang menyimpan stok Sambal Belacan Opah yang sedia dihidangkan terus dengan sedikit perahan limau nipis.
Apabila anda membuka Facebook (sebagai contoh) dan terpandang iklan syarikat tersebut, anda boleh memesannya terus ketika itu juga.
Staf yang bertugas secara sambilan menggunakan telefon atau laptop dengan sambungan internet menggunakan wifi percuma dalam sebuah bilik di sebuah kolej segera menerima pesanan tersebut dan menghubungi agen berhampiran tempat tinggal anda.
Ia boleh berlaku dalam masa kurang daripada 10 minit bermula sejak anda melihat video tadi.
Agen berkenaan menghubungi syarikat penghantaran tempatan yang segera ke premis agen tersebut untuk mengambil bungkusan.
Ia mengambil masa 20 minit, dan 30 minit kemudian sambal belacan yang dipesan sudah tiba di meja makan anda!
Keseluruhannya, 60 minit atau satu jam.
Sementara itu dalam masa yang sama pembayaran pun dibuat melalui perbankan dalam talian.
Berapakah harga sepiring sambal belacan tersebut?
Rasanya berbaloi berbanding jika anda perlu ke pasar membeli cili api dan belacan terbaik, menyelongkar stor bagi mencari lesung, menumbuknya sambil memakai cermin mata, mencuci semula lesung dan akhirnya suami anda mencemik kerana rasanya tidak seperti yang dibuat opahnya dulu.
Hari ini, harga bukan soalan yang penting kerana rakyat Malaysia biasa membayar RM5-RM20 untuk secawan teh di tempat tertentu.
Namun ia boleh diperhalusi pada setiap langkah dan kosnya boleh dikecilkan melalui beberapa kaedah yang sistematik.
Sebagai contoh, agen-agen yang dilantik merupakan agen bebas yang menyimpan pelbagai produk daripada pelbagai syarikat di rumah mereka.
Dengan itu kos sewa premis perniagaan berjaya dihapuskan.
Kos penghantaran melalui pekerja sambilan menggunakan motorsikal mereka sendiri yang terdiri daripada anak muda dan remaja.
Konsep yang kita gunakan adalah begini:
"Mat, engkau tolong ke rumah Makngah di Kampung Daun, ambil sambal belacan yang opah buat, hantar ke rumah Makcik Bedah. Mak bagi kau RM2 sebagai upah."
Kos petrol rm2 dan upah rm2 manakala harga sambal belacan rm1, komisyen rm1.
Jumlah semua ialah RM6.
Ertinya sepiring sambal belacan berharga RM6.
Mahal? Terpulanglah untuk anda menilainya. Namun jika anda berfikiran positif maka anda akan menemui kaedah lain yang lebih murah dan praktikal.
Apa ertinya upah RM2 pada anak muda? Memang tidak seberapa tetapi jika remaja tersebut menghantar 10 produk sehari bermakna pendapatan sampingannya ialah RM20 darab 30 atau RM600 sebulan!
Kita tidak perlukan bilangan yang ramai tetapi kita tawarkan kepada remaja yang berkeinginan dan berkesanggupan.
Sesungguhnya individu yang berjaya seperti Syed Mohtar Al Bukhari dan Lim Goh Thong tidak pernah disuruh menjadi orang yang berjaya sebaliknya mereka sendiri yang berusaha ke arah itu.
No comments:
Post a Comment