Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Wednesday, June 11, 2008

P. Ramlee vs P. Batu Putih

Demang percaya jika kita sorok filem-filem P. Ramlee selama 50 tahun dan kita siarkan semula kepada umum selepas itu, generasi baru tika itu tetap akan meminatinya.

Demang rasa ramai yang bersetuju dengan pendapat tersebut.

Bagi Demang, filem-filem P. Ramlee bukan sekadar hiburan, bukan setakat satira, malah boleh menjadi pencetus idea kreatif bagi menyelesaikan masalah.

Sebagai contoh, mari kita imbas kembali kisah dalam Tiga Abdul. Filem tersebut mengisahkan 3 beradik yang cuba diperdaya melalui satu perjanjian yang berat sebelah. Akibatnya, Abdul Wahab dan Abdul Wahid terpaksa menjadi hamba lantaran gagal mengawal emosi dan mengambil mudah terhadap isi perjanjian. Mereka berdua juga bersikap defensif serta yakin mereka mampu mematuhi perjanjian tersebut.

Sebaliknya adik mereka iaitu Abdul Wahub berjaya merampas kembali hak mereka meskipun menandatangani perjanjian yang sama.

Abdul Wahub bertindak bijak dengan menyediakan perjanjian yang serupa dan berjaya mengumpan musuhnya menandangani perjanjian itu.

Hasilnya Abdul Wahub bukan sahaja mampu mengelakkan diri daripada dijadikan hamba malah berjaya menguasai semua musuh-musuhnya.

Sebenarnya kita menyimpan sejarah yang lebih hebat dari itu. Rasululullah pernah menandatangani sebuah perjanjian yang dianggap merugikan orang Islam. Namun dengan kebijaksanaan baginda perjanjian tersebut menjadi hikmah untuk mencapai kejayaan lebih cemerlang. (rujuk Perjanjian Hudaibiah).


Kembali ke masa sekarang. Kita kini terlibat dengan pelbagai perjanjian dan situasi yang mengikat kita terutama dengan musuh Islam. Kenapa kita perlu gentar? Bukankah kita ummat terbaik? Rujuk Ayat 110 dalam Surah Al-Imran.

Isu 1. Pulau Batu Putih.
Keputusan mahkamah dunia terhadap kes pulau Batu Putih sudah diperolehi dan tidak mampu dipertikaikan. Barangkali itulah keputusan terbaik untuk kita memandangkan kitapun tidak begitu peduli dengan pulau itu (?). Mungkin jika pulau Batu Putih itu sendiri dipanggil memberikan keterangan di depan juri, ia juga akan memilih Singapura sebagai tuan (pulau merajuk).

Bagaimana untuk menangani masalah ini?

Jangan tanya Demang. Memang Demang tidak mampu memikirkannya seorang diri. Namun kita boleh bermula dengan beberapa maklumat dan mari kita fikirkan bersama:

i) Pulau Batuan Tengah sah milik kita. Jarak antaranya sangat hampir malah dari segi geologi kedua-dua pulau tersebut bercantum.

ii) Sebuah lagi pulau di situ tidak bertuan. Bagaimana untuk memilikinya? Adakah pulau itu boleh memberi tuah kepada kita atau menjadi bala kepada yang memilikinya?

(Dalam filem Seniman Bujang Lapuk, melalui satu babak disampaikan mesej bahawa batu tidak mampu memberi tuah atau sial kepada pemiliknya. Namun jika kita kreatif batu itu banyak gunanya).

iii) Kenapa Singapura beriya mahukan pulau Batu Putih? Jawapannya boleh kita perolehi berdasarkan maklumat yang boleh dicari dan dikumpul. Kemudian kita fikirkan cara bagi merosakkan angan-angan mereka itu. Kerja-kerja merosakkan bukannya susah sangat. Ingat, peperangan adalah tipu muslihat.

Isu lain? Kita akan bincangkannya nanti, insyaAllah.

Wallahu'alam.

Tuesday, June 10, 2008

Debat Shahril - Salahudin

Demang baru sahaja menonton 'perdebatan' antara Datuk Shahril dengan YB Salahudin Ayub (Ketua Pemuda PAS). Bagi Demang sesi tersebut bukanlah sesi debat sebaliknya lebih kepada sesi bertukar-tukar pendapat di samping cuba memberitahu audien bahawa istilah orang kerajaan dan istilah pembangkang hanyalah sekadar istilah semata-mata. Tujuan utamanya adalah untuk membina sebuah negarakota dan negarabangsa.

Demang ucapkan tahniah kepada saudara Salahuddin (YB) atas pandangan dan teguran yang disampaikan secara matang bagi mendapatkan kepastian terhadap isu yang dibangkitkan. Bagi Demang saudara Salahudin bukan menggunakan 'melayu' untuk kepentingan politik sebaliknya menggunakan politik bagi mempertahankan 'melayu'.

Demang juga ucapkan tahniah kepada Datuk Shahril yang kelihatan amat faham dengan isu yang dibincangkan serta mampu memberikan jawapan yang sesuai. Meskipun sesekali beliau mengambil kesempatan menyindir pembangkang namun Demang faham betapa letihnya beliau kerana setelah bertungkus lumus mencari jalan untuk menyelesaikan masalah rakyat, terpaksa pula berdepan dengan prasangka dan tuduhan seolah-olah barisan kerajaan sengaja hendak menyusahkan rakyat.

Demang sempat termenung sebentar dan membayangkan jika beginilah caranya para pemimpin kita berbincang, insyaAllah negara kita akan lebih hebat dan kehidupan rakyat juga akan lebih terbela.

Tahniah juga kepada pihak penganjur iaitu TV 1. Demang berpendapat program seperti itu perlu diteruskan.

Komen Demang: Audien sepatutnya tidak dibenarkan menghantar SMS sehingga forum berakhir. Hal ini kerana topik yang dibincangkan agak berat dan memerlukan tumpuan yang tinggi. Apabila audien sibuk membaca dan menulis SMS, mereka pasti akan tertinggal beberapa hujah penting daripada ahli panel. Akibatnya mereka memberikan respon tanpa benar-benar faham pendapat ahli panel. Dengan kata lain mereka hanya memberikan respon berdasarkan persepsi awal masing-masing.

Wallahu'alam.

Monday, June 9, 2008

Gunalah NGV

Assalamualaikum,
Demang amat bersimpati dengan keluhan dan rintihan rakyat akibat kenaikan mendadak harga petrol. Sebagai makluman kenaikan ini berpunca dari kenaikan harga petrol dunia dan penstrukturan semula subsidi bahan api tersebut (termasuk diesel).

Demang terbaca keluhan seorang pengguna yang berulang alik dari Melaka ke Putra Jaya (dalam blog Tun DrM) yang kini terpaksa membuat keputusan:
1) Berpindah semula ke KL.
2) Memberhentikan pengajian isterinya (belajar di Melaka, agaknya).

Demang ingin ringkaskan nasihat kepada saudara tersebut begini: Gunalah NGV. Itulah yang Demang lakukan 6 bulan lalu. Dengan modal RM3100 untuk belanja pemasangan, Demang dapat berjimat hampir TIGA KALI GANDA. Jika mengikut harga baru, barangkali dapat berjimat sehingga 5 kali ganda, rasa-rasanya.

Tiada modal? Pinjamlah. Demangpun buat begitu. Jika sebelum Nov 2008 Demang belanja tak kurang RM300 sebulan untuk petrol, mulai Dec 2008 Demang jimat RM200 sebulan. RM200 itulah untuk bayar hutang. Dalam tempoh 18 bulan hutang tersebut selesailah (termasuk faedah). Itu jika mengikut harga lama. Dengan mengambilkira harga baru ini, Demang rasa tak sampai setahun pelaburan untuk pemasangan tangki NGV tersebut akan berbaloi.

Demang tidak dapat menghubungi saudara yang mengeluh dalam blog Che Det tersebut dan membantu beliau. Kepada sahabat-sahabat, tolong sebar-sebarkan perkara ini: Jangan kita berfikir terlalu singkat. Mengeluh dan merintih bukan pekerti orang Islam. Jangan cepat mengalah. Demang faham saudara kita itu tadi merasa susah kerana isterinya sedang belajar dan hanya dia seorang yang bekerja.

Demang ingin berkongsi pengalaman bahawa Demang melanjutkan pelajaran (sepenuh masa) di Pulau Pinang bersama isteri. Jadi, kami sama-sama tidak bekerja dan hanya menerima pendapatan separuh daripada gaji. Kami juga membawa sama anak-anak berpindah dari Melaka ke Pulau Pinang. Alhamdulillah, kami berjaya menyelesaikan pengajian tersebut dengan sempurna meski terpaksa menempuh pelbagai rintangan dan ujian.

Ingatlah:
"Engkau umat terbaik dikeluarkan untuk manusia."
Al Imran: 110

Thursday, June 5, 2008

Harga Baru Petrol

Melihat kepada perkembangan terbaru dalam negara yang menyaksikan kenaikan mendadak bahan api di negara kita maka Demang terpaksa menangguhkan beberapa rencana yang sebenarnya telahpun siap tetapi belum disiarkan di sini. Berikut adalah pandangan Demang:

Demang fikir dalam kegusaran hampir semua pihak menghadapi struktur baru peruncitan petroleum ini, pihak-pihak yang ingin berfikir dan ingin turut serta memberikan sumbangan idea harus memberi tumpuan pada perkara-perkara berikut:

1. Apakah kelemahan kaedah subsidi sebelum ini?
2. Apakah kebaikan kaedah baru?
3. Apakah kesan ke atas sikap rakyat?
4. Bagaimana dengan pengangkutan alternatif?
5. Kemana peruntukan untuk subsidi lama dihalakan? Adakah terdapat keperluan & kepentingan rakyat di situ?
6. Adakah NGV mampu dan sedia menjadi pengganti kepada petrol?

Demang percaya sekiranya kerajaan jujur dan ikhlas dalam mengutamakan perkara-perkara di atas, insyaAllah rakyat akan memahaminya dan ikut membantu. Demang percaya ramai yang berasa ingin meminta maaf kepada kerajaan kerana keterlanjuran membuang undi tempohari.

Namun kerajaan perlu sedar bahawa rakyat bukannya bodoh jika mereka tidak begitu membantah; sebaliknya apabila rakyat memberikan kerjasama dan sanggup berkorban maka kerajaan sedang berhutang dengan rakyat.

Wallahu'alam.

Saturday, May 31, 2008

Ketuanan Melayu?

Demang dimaklumkan bahawa istilah sinonim bagi Ketuanan Melayu ialah supremacy (dominance), equality, nationalism, atau fairness. Manakala Ketuanan dirujuk pada Raja Melayu selaku ketua negara.

Demang buka pula buku perlembagaan, Perkara 160 ditulis bahawa orang Melayu adalah beragama Islam, mengamalkan adat resam Melayu, dan berbahasa Melayu.
Dalam perlembagaan juga dinyatakan betapa raja adalah 'guardian' kepada Islam.
Tegasnya Ketuanan Melayu adalah 'penjagaan' (kelangsungan) syiar Islam.

Yang peliknya, kini timbul pula istilah Ketuanan Rakyat. Barangkali nanti akan ada ketuanan hamba, ketuanan kuli, ketuanan buruh dan lain-lain tanpa asas yang jelas. Jangan sampai nanti ada cadangan untuk menobatkan ketuanan berasaskan kaum pula.

Dalam pada itu Demang dapati demografi penduduk menunjukkan 67% adalah bumiputera dengan Melayu mendominasi penduduk asal Tanah Melayu disamping menjadi kaum majoriti. (Melayu 55% dan bumiputra lain 12%).

Meskipun Orang asli juga merupakan penduduk asal Tanah Melayu namun kalangan mereka tidak boleh menjadi raja kerana fakta sejarah menunjukkan kelompok ini tidak pernah ada kerajaan kecuali dalam kumpulan kecil.

Sebaliknya sejarah membuktikan terdapat beberapa kerajaan Melayu seperti Langkasuka, Patani, Johor Riau, Champa dan lain-lain.

Jika demikian realitinya, pemerintah wajar mengikut demografi. Ironinya sosioekonomi dan pendidikan Bumiputera hingga kini masih di bawah 35%. Justeru Kelompok ini wajar dibela kerana ada polarisasi kaum sekurang-kurangnya setara dengan kaum lain atau seadilnya 66% (ikut demografi). Justeru perlaksanaan DEB bukan soal menafikan hak kaum lain sebaliknya satu usaha mempertahankan dan mengembalikan hak kaum Melayu dan bumiputera yang telah diabaikan.

Malang sungguh apabila JPA mengumumkan biasisawa bagi melanjutkan pengajian ke luar negara untuk non-bumiputra dinaikkan daripada 10% kepada 45%. Lebih malang lagi apabila presiden MBM menyetujuinya dengan alasan kaum bukan bumiputra juga ada yang miskin. Berapa peratus? 45% daripada non-bumi miskin?

Malang sungguh apabila sejarah dilupakan dan fakta diketepikan.

Thursday, May 22, 2008

Ketuanan sebenar Melayu

Kekuatan Melayu terletak pada kombinasi sultan, bendahara dan hulubalang. Malangnya interpretasi terhadap Sejarah Melayu telah lama dipesongkan puak sosialis. Sultan Mahmud (1488-1511) digambarkan sebagai lemah, jahat dan zalim. Tun Tuah pula dituduh pengampu yang bodoh. Beliau sanggup berbuat apa sahaja termasuk turun ke dalam lubang najis bagi menyelamatkan kuda sultan.

Fahaman inilah yang di'anuti' (maaf) majoriti rakyat kini. Demang fikir tafsiran begitu perlu dibersihkan terlebih dahulu. Memang ramai kalangan rakyat yang masih menganggap Jebat adalah wira manakala Sultan Mahmud jahat dan zalim.

Dalam situasi sekarang kita masih ada sultan meski agak samar. Kedudukan bendahara pun agak kabur. Hal ini tidak sukar jika kita kembali pada asas sistem kesultanan Melayu. Raja adalah paksi ketuanan Melayu. Bendahara selaku ketua eksekutif wajib setia pada raja. Sebagai balasan, raja akan menaungi dan merestui keputusan bendahara dalam pentadbiran.

Demang berpendapat kunci pada perkara ini ialah bendahara perlu dilihat oleh rakyat sebagai melaksanakan perintah raja disamping menjadi penasihat raja. Hulubalang seperti Tun Tuah akan kita bina berterusan.

Perkara pertama perlu dilakukan ialah rakyat perlu sedar bahawa tindakan Sultan Mahmud dan Tun Tuah adalah betul. Dalam hal ini intisari Sejarah Melayu perlu difahamkan kepada semua rakyat.

Justeru waadat akan mula membongkar pembohongan demi pembohongan puak sosialis-komunis serta agenda jahat Yahudi yang memanipulasi peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam Sejarah Melayu.

Teruskan mengikuti waadat.

Wallahu'alam.

Tuesday, May 13, 2008

Kesultanan Melayu Melaka: pewaris sistem khalifah, peneraju dakwah Islamiah

Allahu ahad: Allah itu satu. Allah SWT tidak beranak atau diperanakkan.
Allah SWT mencipta Adam. Adam adalah makhluk.

Malah bukan Adam sahaja makhluk yang dicipta oleh Allah SWT.

Allah SWT turut mencipta Malaikat yang berperanan menguruskan hal berkaitan manusia. Dalam hal ini sudah tentu Allah SWT mampu menguruskan sendiri semua ciptaan-Nya namun pengagihan tugas dalam kalangan para malaikat mempunyai hikmah tersendiri.

Melalui perkongsian hidup Adam dan Hawa maka lahirlah anak-anak manusia. Padahal Allah SWT maha berkuasa untuk mencipta ummat manusia tanpa melalui proses persenyawaan, kehamilan dan kelahiran.

Adam bukan sekadar bapa malah juga nabi dan rasul yang bertanggung jawab memimpin anak cucunya agar mengesakan Allah, menunaikan perintah-Nya serta meninggalkan larangan-Nya.

Adam juga bertindak sebagai pemimpin kepada keturunannya yang semakin bertambah ramai.

Sejarah perkembangan manusia terus berlangsung. Allah SWT tidak membiarkan manusia begitu sahaja tanpa pimpinan dan petunjuk. Selepas Adam tiada, dari semasa ke semasa rasul-rasul diutus untuk memimpin manusia.

Selepas rasul terakhir iaitu nabi Muhammad saw wafat, manusia tidak lagi mempunyai pemimpin dari kalangan rasul mahupun nabi. Namun makhluk jenis manusia ini tidak betah hidup tanpa pemimpin yang khusus boleh membimbing dan mengingatkan mereka tentang hakikat ketuhanan.

Justeru tugas ini diganti oleh khalifah-khalifah Islam bermula dengan khulafa rasyidin. Usaha ini disambung pula oleh dinasti atau bani tertentu silih berganti. Antaranya ialah bani Umaiyah dan bani Abbasiyah.

Meskipun dikatakan ada beberapa kelemahan dalam masa pemerintahan kerajaan beraja ini namun mereka tidak pernah cuai dalam memberi tumpuan pada:

1. Usaha dakwah Islamiah
2. Menaungi tradisi keilmuan
3. Menguasai perdagangan
4. Memperkasa sistem pertahanan

Hasilnya Islam tersebar luas melepasi tanah Arab, menjelajah benua Eropah dan merentasi benua Asia sehingga menarik minat beberapa kerajaan besar ketika itu. Salah satu daripadanya ialah Kesultanan Melaka yang kemudiannya memayungi lebih separuh Nusantara. Selain itu kesultanan Pasai, Aceh dan Brunei juga pernah menjadi pusat dakwah Islamiah.

Sistem pemerintahan beraja memang diamalkan dengan baik di kepulauan Melayu. Kedatangan Islam memantapkan lagi kedudukannya dengan konsep tauhid. Apabila sultan menerima akidah Islam maka sekalian rakyat mengikutinya. Lantas bermulalah satu lagi peranan institusi raja iaitu memegang amanah sebagai pemimpin Islam.

Kesultanan Melaka meneruskan tradisi kekhalifahan dengan muncul sebagai pusat pentadbiran, pusat perdagangan, pusat pendidikan dan pusat penyebaran Islam.

Kesultanan Melayu Melaka mengaplikasikan piramid pemerintahan dengan meletakkan sultan sebagai ketua negara dan ketua agama.


Demikianlah keadaan sebenar negara kita. Amat malang apabila anak-anak Melayu sendiri tidak mahu mengerti akar sejarah dan asal usul keturunannya. Lebih malang lagi apabila enggan membaca dan memahami teks Sejarah Melayu tetapi ikut serta berbicara tentang Ketuanan Melayu. Akhirnya turut terpengaruh dengan pembohongan kaum sosialis dan komunis, antaranya:

1. mengangkat Jebat sebagai wira.
2. menuduh Tun Tuah sebagai pembodek.
3. memfitnah Sultan Mahmud sebagai raja yang buruk laku dan zalim.
4. mendakwa sistem feudal kejam terhadap rakyat.
5. Menyatakan bahawa 'Tuhan' hanya ciptaan kapitalis bagi memperbodohkan rakyat dan kaum buruh.

Kini fahaman komunis mungkin telah tiada namun corak pemikiran seperti perkara 1, 2, 3 dan 4 di atas sudah semakin ketara. Malang bagi kita apabila rakyat menerimanya tanpa periksa.


Wallahu'alam.

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)