Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Monday, September 1, 2008

3+1: puasa, merdeka & bonus

Selamat menyambut ketibaan Ramadhan al mubarrak dan selamat berpuasa. Puasa... jangan tak puasa, tau...

===========================================================

SMS Demang sempena 31 Ogos 2008

Andai bahtera ini terpaksa karam, kita bukan lah yang terakhir meninggalkannya malah kitalah yang akan tenggelam bersamanya.

Selamat Hari Kebangsaan.


============================================================


Masih bernilaikah sebuah keikhlasan?

Selalunya Demang dapat bersabar dengan beberapa tindakan aneh Paklah. Namun kali ini Demang benar-benar kecewa dan 'rasa teraniaya'.

Tak bolehkah Paklah tangguhkan pilihanraya kecil Permatang Pauh selepas belanjawan? Jika Paklah tiada kuasa menentukan tarikh pilihanraya, tak kan lah beliau tak boleh mempercepatkan tarikh pembentangan belanjawan?

Namun semua itu tidak dilakukan. Padahal beliau boleh menggunakan belanjawan sebagai umpan. Kalaupun BN tidak menang sekurang-kurangnya dapat menurunkan majoriti lawan.

Namun isteri Demang mempunyai rasional lain. Katanya, "itu lah bukti keikhlasan Paklah. Jika beliau bentang belanjawan sebelum pemilihan Permatang Pauh orang akan kata Paklah beri rasuah. Jadi, lebih baik diberi selepas rakyat mengundi. Terpulang lah kepada rakyat untuk menilainya.

Demang terima satu SMS daripada seorang sahabat: "Paklah ni memang 'betui bendoi?'

Sementara itu Demang juga pernah dengar Paklah selalu buat solat istikharah sebelum buat keputusan besar.

Saturday, August 30, 2008

Pelayaran Negara @ Bahtera Merdeka

Demang akan bercuti 2-3 hari. Sementara itu, Demang harap anda tolong perhatikan watak-watak berikut dalam drama bersiri yang disiarkan secara langsung dalam semua media setiap hari. Kalau boleh tolong catatkan perlakuan mereka sementara Demang bercuti ni. Perhatikan, adakah mereka masih mengekalkan peranan masing-masing...

Paklah: nakhoda sebenar
TDM: mantan nakhoda yang takut pada mantan timbalannya.
Anwar: bercita-cita jadi nakhoda dan pernah diaibkan oleh mantan nakhoda.
Ku Li: bercita-cita jadi nakhoda
Najib: bercita-cita jadi nakhoda
Ka Ting: rakan kongsi
Samy Velu: rakan kongsi
Mukhriz: anak mantan nakhoda
Nik Aziz: penasihat ulama
Hj Hadi: ketua ulama
Husam: agen Anwar dlm PAS
Karpal: penumpang kapal
Kit Siang: penumpang kapal
Guan Eng: penumpang kapal

Friday, August 29, 2008

Awas: Hantu TDM dan DSAI berkeliaran

Ramai yang bertanya namun Demang enggan menjawab. Kini, Demang sudah semakin hampir kepada jawapannya. Demang bentangkan kenyataan di bawah dan anda semaklah dengan maklumat lain yang anda sudah ada, yakni benar atau tidak kenyataan Demang ini:

Perseteruan TDM-DSAI adalah punca sebenar kemelut panjang politik negara. Ia bukan lagi masalah kaum Melayu semata. DSAI ibarat harimau luka yang terlepas. TDM melihat Paklah gagal mengekang mantan timbalannya itu. Malah Paklah seolah-olah memudahkan lagi laluan Anwar ke Putrajaya. Ketakutan TDM memaksa beliau membuat kenyataan untuk meninggalkan negara jika Anwar berkuasa. Tetapi itu adalah langkah terakhir. Sebelum itu terjadi, usaha keras perlu dibuat untuk menghalang Anwar. Paklah dilihat hampir gagal. Maka perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menggantikan orang lain yang mampu melakukannya.

Rakyat Malaysia perlu sedar, kebanyakan isu yang ditimbulkan adalah bertitik tolak pada kenyataan di atas. Sebagai PM, Paklah sebenarnya tidak ada masa untuk melayan karenah dan kehendak individu TDM mahupun Anwar. Beliau hanya melakukan apa yang wajar untuk negara.

Kembalilah kepada perjuangan sebenar: membina negarabangsa dan negarakota Malaysia yang merdeka. Jangan kita keliru dengan permainan politik mereka. Pilihanraya hanyalah satu cara memilih pemimpin. Setelah selesai proses memilih, selama 4-5 tahun adalah masa untuk bekerja. Untuk berkempen, kita tunggu 4-5 tahun lagi.

Jikapun masih ada ‘hantu’ yang berkeliaran, Demang sudah dapat mengenal pasti: tak lain tak bukan mereka adalah gemulah TDM dan DSAI yang telah maut dalam kemalangan politik 1999.

Salam kemerdekaan.

Thursday, August 28, 2008

Belajar untuk menghargai

Letih betul dengan politik ni. Mari kita berehat seketika. Kita berbual tentang anak-anak, bakal pewaris negara ini. Jika ada yang ingin melihat dari sudut lain, silakan. Barangkali Demang ada sesuatu yang ingin disampaikan lewat penceritaan Cheguman ini.

==========================================

Si kecil aku yang berusia enam tahun mengendeng lagi.

"Haziq nak apa?" tanyaku sambil menariknya ke pangku.

"Bukan... Papa boleh bawa Ajiq ke mini market?" suaranya lembut mendayu. Suara lemak, kata sepupunya.

Dia sudah terbiasa memulakan jawapan dengan perkataan 'bukan'. Sebenarnya aku kurang gemar tabiatnya itu. Seolah enggan berterus terang. Namun mungkin juga sekadar berdiplomasi.

Mini market yang dimaksudkan hanyalah kedai runcit dalam kampung itu. Aku tidak pasti adakah selain daripada puteraku ini, orang lain juga turut menggunakan istilah mini market untuk kedai tersebut.

"Ok lah. Kita pergi sekarang." Aku mengambil keputusan.

Sebaik tiba di kedai, kulihat Haziq sudah tahu rak yang perlu dituju. Aku mengekori dari belakang.

Haziq membelek beberapa permainan yang bergantungan. Kemudian beralih ke tempat makanan ringan pula. Tangannya mencapai bungkusan besar sejenis makanan ringan dan mengunjukkan pada ku.

"Eh, besar sangat tu." tegurku.

Haziq meletakkannya semula. Dia beralih kembali ke rak mainan.

"Papa cuba tengok harga ni." Haziq mengumpanku.

"Hmm, enam ringgit lebih." jawabku bena tak bena. Kuserahkan 'jam power rangers' itu ke tangannya semula. Dia menyambut dan meletakkan semula ke rak.

"Ajiq ada lima ringgit...Takpe lah. Lain kali Ajiq beli." ujarnya membuat keputusan.

Aku tersenyum dan membawanya pulang.

Esoknya, Haziq menghampiriku lagi.

"Papa, semalam Ajiq kata nak ke mini market, kan?" dia menduga. Kejap lagi Papa bawa Ajiq, ye. Nanti la, lepas Papa siap kerja." sambungnya lagi, berdiplomasi.

Sebenarnya aku bukan lah sibuk sangat. Sekadar menjenguk blog-blog tertentu sementara menanti maghrib.

"Tak apa la. Kita pergi sekarang. Ajak abang sama." aku mempelawa.

Sebentar kemudian kedua-dua puteraku sudah mengapuk motorsikal bersamaku untuk ke kedai.

Sebaik tiba, Haziq tidak perlu berfikir panjang. Dia mengambil mainan idamannya dan mengeluarkan dompet dari poket. Terkial-kial tangan kecilnya menarik wang kertas sambil mainan dikepit bawah ketiak.

Aku pura-pura tidak melihat.

Dia mengeluarkan wang lima ringgit dan satu ringgit lantas diunjuk kepada pemilik kedai.

"Tak cukup tu." aku menegur. "Lagi seringgit".

Haziq membuka semula dompetnya dan menyerahkan sekeping lagi wang satu ringgit. Pemilik kedai memulangkan baki sepuluh sen kepadanya.

Dua orang anak daripada rahim yang sama namun membawa karektor berbeza.

Anak sulungku tidak banyak meminta. Apa sahaja yang diberi, diterima begitu sahaja. Jika kemahuannya tidak dipenuhi, dia akur. Namun biasanya kuberikan alasan yang munasabah.

Adiknya, kukira terlalu banyak meminta. Akhirnya, beberapa hari lepas isteriku membuat syarat. Jika ingin sesuatu mesti menggunakan wang sendiri.

Haziq sangat gembira dengan mainan barunya.

"Tak nak makan ke" tanyaku.

"Aziq nak makan roti bakar. Nanti ibu buatkan." jawabnya.

Aku makan nasi bersama isteriku. Ketika makan, isteriku memberitahu: "Tadi Haziq tanya: roti bakar tu Ajiq nak kena bayar juga ke?"

"Semalam dia tidur bersama duit tu. Bangun saja dari tidur dia cepat-cepat kira. Ada sekeping tercicir, rupa-rupanya ada di bawah bantal." tokok isteriku.

Alhamdulillah, puteraku sedang belajar menghargai wang. Insya Allah akan kufahamkan pula bahawa wang bukan segalanya.

Bergenang mataku menonton iklan terbaru Petronas lakonan Adhlin Sauqi. Iklan Maybank juga mengajak kita kembali menilai diri.

Tahniah kepada pihak yang berada di sebalik pembikinan kedua-dua iklan tersebut.

Tuesday, August 26, 2008

Pengundi Hantu di Permatang Pauh?

4.54 pm, 26 Ogos
Demang terima SMS daripada Permatang Pauh:

"3 bas pengundi hantu dpt dkesan 1 dpt tahan, org indon dr phg siap bwa ic msia dah antar p balai"


Demang termenung sebentar, kemudian mendail ke beberapa sumber lain di Permatang Pauh. Malangnya tiada satu pun jawapan positif. Maksud Demang, mereka pun baru dapat berita tersebut melalui Demang. Mahu tidak mahu Demang terpaksa memerah otak memikirkan ap[a yang sebenarnya sedang berlaku.

Untuk menolak berita tersebut amat sukar memandangkan pengirim SMS berada di tempat kejadian.

Berikut adalah SMS balas daripada Demang:

"Kena siasat betul2. Nak ngundi curi2 bkn mudah. Kena lalu pondok kedua2 parti. Semak nama 2 kali, beratur 2 kali. Org ramai tengok. Tempat ngundi dlm kampung. Org boleh kenal. Sblm masuk bilik, laung nama dulu. IC yg di pegang tu sapa punya? Klu org Pahang, tak boleh pakai. Klu org Pmtg Pauh, lebih baik bagi duit suruh dia ngundi sdri. Jum pengundi >50k. Maj azizah 13k. Anwar pernah capai 30k. Survey kami Anwar 60, Arif 40. Ertinya, maj Anwar boleh lebih 10k. Berapa ratus bas nak angkut pengundi hantu? Aku bimbang ada pihak menangguk di air keruh.. Kena hati2."


Beberapa minit kemudian informer tersebut mengirimkan SMS balas:


"Btl ckp hang, dpt info dr pdrm anwar lead dkt 10k la ni."


Terbaru, Demang dapat maklumat PKR sedang mendahului BN di beberapa tempat.

Demang bertanya dalam hati: “Permainan apakah ini?”

Sedarkah PKR bahawa bukan UMNO sahaja musuh mereka? UMNO hanya musuh politik sebaliknya manusia bukan sahaja bermusuh dari segi politik. Begitu juga, bukan PKR dan PAS sahaja musuh UMNO.

Jangan kita lupa, motif utama Portugis menyerang Melaka bukanlah faktor politik. Apa motif penaklukan ke atas Andalusia sehingga rakyatnya dibakar dan disembelih hidup-hidup? Apa motif serangan ke atas Iraq? Apa motif penguasaan ke atas bumi Palastin?

Cuba fikirkan, adakah negara kita mempunyai sesuatu yang berupaya menarik minat asing? Atau kita berpotensi untuk mengancam kuasa asing?

“kuntum khairun ummatin ukhrijat linnas”

Inilah yang dibimbangi negara asing yang angkuh dan sombong. Padahal kaum-kaum lain di negara kita tidak pernah menganggap demikian.

Sempena menjelangnya Hari Kebangsaan negara kita, marilah kita fikirkan dengan lebih serius maksud sebenar PERPADUAN.

Monday, August 25, 2008

Dilema PAS

Tiga 'bukti depan mata' kalaupun tidak membuatkan sebahagian besar penyokong PAS 'buka mata', sudah cukup untuk membuatkan mereka berfikir banyak kali untuk memberi undi kepada PKR.

Itulah kesimpulan Demang selepas berada selama tiga hari di Permatang Pauh, menjelang pilihanraya kecil 26 Ogos ini.

Ramai kalangan penduduk yang Demang temui mula merungut terhadap kepimpinan DAP di PP selepas PRU12. Malah beberapa orang penduduk di Penanti dan Permatang Rawa mengaku kepada Demang yang mereka tersalah jangka apabila memberi undi kepada PR ketika itu.

Demang bukan ahli mana-mana parti sekarang. Demang pernah menjadi ahli UMNO tetapi tidak mendaftar semula selepas parti itu diharamkan. Demang juga pernah menyertai PAS sebelum PKR ditubuhkan. Malah Demang pernah mengagumi Anwar serta bersimpati dengan isu penyingkiran beliau dari kerajaan.

Bagi yang masih ingat peristiwa 1999, setelah Anwar disingkir para penyokong beliau terbahagi kepada tiga kelompok.

Atas 'percaturan politik aras tinggi' (istilah popular tika itu) kumpulan pertama diarah menyertai PAS.

Penyusupan kumpulan tersebut adalah bagi memastikan sokongan PAS kepada Anwar akan berkekalan. Malah sekiranya penubuhan parti baru ditolak maka PAS akan menjadi wadah utama perjuangan Anwar.

Justeru agen-agen Anwar mesti mengisi jawatan-jawatan penting dalam PAS. Anwar akan tiba kemudian dan terus menjadi presiden atau mursyidul Am.

Inilah dilema pertama penyokong tulen PAS.

Meskipun kedudukan dan jawatan bukanlah fokus utama pejuang tulen PAS, namun penguasaan orang-orang Anwar telah mengkucar-kacirkan keharmonian mereka.

Keghairahan ahli baru ini mendominasi saf kepimpinan PAS membawa budaya baru yang dipandang jengkel oleh ahli senior.

Bagi kebanyakan ahli PAS tulen, bukan jawatan jadi buruan tetapi asas perjuangan adalah bagi menegakkan daulah Islam berteras undang-undang Islam.

Malangnya setelah lebih kurang setengah abad berjuang, matlamat tersebut tidak lagi berada di penghujung landasan.

Dilema kedua PAS muncul pada PRU12. Para pemuda PAS bertungkus lumus memasang poster dan bendera. Para muslimah pula berkempen dari rmh ke rmh. Sementara itu ustaz-ustaz PAS diusung ke sana ke sini bagi membantu kemenangan PR.

Namun setelah pakatan tersebut berjaya menguasai beberapa negeri, segala pengorbanan ahli akar umbi PAS dilupakan, kecuali bagi negeri yang memang didominasi oleh PAS seperti Kelantan dan Kedah.

Di Pulau Pinang, PAS diketepikan sama sekali. Di Perak PAS menjadi tukang tandatangan keputusan yang dibuat DAP. Manakala di Selangor, PKR dan DAP berbahagi kuasa sedangkan Hasan Ali adalah agen setia Anwar.PAS (original) melopong lagi.

Kumpulan kedua bersembunyi di dalam UMNO. Namun sebahagian besar kembali insaf dan menerima Paklah sebagai agen pemulihan perjuangan Melayu. Manakala selebihnya terus berusaha memusnahkan UMNO dari dalam.

Kumpulan ketiga akhirnya berjaya menubuhkan parti Keadilan yang kini dikenali sebagai PKR. Tak perlu lah Demang perkenalkan lagi kerana umum sudah mengetahui perjuangan kumpulan ini: memastikan Anwar menjadi PM.

Demang timbulkan kenyataan ini memandangkan ramai yang telah lupa atau tidak tahu mengenainya, terutama generasi baru. Maklum lah, peristiwa tersebut telah berlalu hampir satu dekad. Bagi anak muda berusia 27 tahun ke bawah (terutama pelajar U), ketika itu mereka masih di bangku sekolah dan majoriti penyokong Anwar ketika itu adalah guru-guru serta pegawai pendidikan. Bukan perkara rahsia tika itu betapa ramai kalangan guru yang membawa fahaman politik ke dalam kelas.

Mungkin ada yang tertanya, apa kaitan sejarah ini dengan pilihanraya kecil Permatang Pauh?

Sebenarnya Demang sedang menjawab soalan seorang sahabat Demang ketika sama-sama berada di Permatang Pauh semalam: kenapa PAS tidak begitu berusaha membantu Anwar kali ini?

Hal ini dpt dilihat betapa tidak byk pondok-pondok PAS di situ sebagaimana sepatutnya. Malah para petugas PAS juga tidak seghairah dulu melaksanakan tugas-tugas kempen.

Hal ini sudah dijangka memandangkan suasana Muktamar PAS baru-baru ini juga memperlihatkan pelbagai isu dan ketidakpuasan hati ahli akar umbi terhadap Pakatan Rakyat.

Bagi Demang, apabila mengalami kebuntuan begini kembali lah kepada Allah. Lakukan solat hajat atau sebagainya bagi mendapatkan petunjuk-Nya. Insya Allah segalanya akan berjalan lancar dan sebarang keputusan nanti hendaklah diterima dengan redha.

Sebarang keputusan pasti ada hikmahnya. Dalam PAS ada ustaz dan dalam UMNO juga ada ustaz. Dalam PAS ada ulama’ dan dalam UMNO juga ada ulama’. Jangan kita melampaui batas.

Wallahu’alam.

Thursday, August 21, 2008

Masjid Kampung Hulu



Sudah acap juga Demang melewati sebuah masjid lama di tengah bandar Melaka ini. Cuma baru2 ini Demang teringat untuk mengabadikannya untuk tatapan pengunjung blog Waadat.

Simpan lah foto ini untuk tatapan anak cucu kita nanti.

Kali ini Demang ingin berkesah tentang masjid bertuah ini.

Masjid Kampung Hulu. Inilah masjid pertama yang dibina selepas 209 tahun kesultanan Melaka runtuh.

Dibina pada tahun 1720 oleh seorang hartawan berbangsa Cina yang memeluk Islam.

Monumen ini menjadi bukti betapa dahsyatnya sebuah negarabangsa yang kehilangan kuasa.

Bayangkan, 209 tahun rakyat Melaka tidak mempunyai masjid.

Demang menolak pendapat yang mengatakan ada masjid-masjid lain semasa pemerintahan Portugis dan semasa separuh pertama pemerintahan Belanda, tetapi telah reput lantaran diperbuat daripada kayu.

Mana mungkin binaan yang dikunjungi lima kali sehari dan diselia sepanjang tahun boleh lenyap begitu sahaja dimakan anai-anai!

Jika ada pun bahagian-bahagian yang rosak atau usang dalam tempoh tersebut pastinya akan segera diganti dan dibaiki. Malah bahan-bahannya akan diubah mengikut zaman dan semakin utuh disokong kemajuan teknologi semasa.

Persoalannya, kemana semua tempat ibadat orang Islam itu menghilang?

Sebelum malapetaka 1511 tersebut berlaku, Melayu-Islam menguasai sepenuhnya Tanah Melayu ini. Dominasi tsbt musnah sebaik shj Kerajaan Melaka tewas kepada penjajah Portugis pada 1511.

Tersingkirnya sultan dan pembesar Melaka bukan setakat bertukarnya tampuk pentadbiran malah seluruh kehidupan rakyat turut berubah.

Melaka diperintah Portugis selama 130 tahun sebelum bertukar tangan kepada Belanda mulai 1641.

Terlalu sedikit maklumat yang kita ketahui tentang kehidupan orang Melayu setelah mereka kehilangan kuasa.

Dimakan anai-anai juga kah catatan sejarah orang Melayu?

Masjid Kampung Hulu menjadi bukti bahawa terdapat usaha terancang bagi menghapuskan Islam oleh pihak tertentu.

Maka tanggungjawab mempertahankan Islam terletak atas bahu umat Islam sendiri.

Sejarah membuktikan bahawa kuasa lah yang akan melindunginya.Sudah tentu Demang tidak menafikan takdir Tuhan.

Kepada pengunjung bukan Islam, fahamilah kekhuatiran orang Melayu dalam hal ini. Orang Melayu perlukan kuasa bukan untuk menindas kaum dan agama lain. Tidak pernah tercatat dalam sejarah dunia, umat Islam menghapuskan agama lain.

Orang Melayu mahu terus memegang kuasa politik bagi menjaga kesucian agama Islam: bagi memastikan kami dapat beribadat dengan sempurna, dapat makan makanan yang halal dan dapat mencari rezeki yang halal.

Konsep halal melingkungi seluruh kehidupan seorang muslim dan menjadi aset penting untuk berdepan dengan Allah di akhirat nanti.

Al Quran dengan tegas menyatakan "tiada paksaan dalam Islam". Yakni, orang bukan Islam tidak boleh dipaksa memeluk agama Islam.

Dalam Islam tidak ada konsep 'holly war'. Yang ada hanyalah jihad mempertahankan negara apabila diserang. Itupun dengan disertakan satu set undang-undang peperangan yang wajib dipatuhi.

Sejarah juga membuktikan kepimpinan Melayu amat bertolak ansur dengan kaum dan agama lain. Amalan ini diteruskan sehingga kini.

Justeru Demang ingin berkongsi satu maklumat yang agak sulit. Baru-baru ini sepasukan ahli akademik telah ditugaskan untuk menyemak dan membetulkan beberapa fakta dalam buku teks sejarah. Salah satu maklumat yang baru ditemui ialah: "Malayan Union asalnya dicadangkan oleh seorang pemimpin kaum Cina bagi menjaga kepentingan perniagaan mereka." Tak perlu lah Demang sebut namanya. (kumpulan tersebut adalah pakar sejarah dan terdiri daripada pelbagai kaum).

Namun, apabila naskah tersebut ditunjukkan kepada Paklah, beliau meminta agar perkara itu dibuang semula kerana tidak mahu menimbulkan kemarahan orang Melayu dan untuk menjaga hati kaum Cina.

Demikianlah budi Paklah. Kerendahan hati dan tolak ansurnya sering disalah tafsir. Malah dijadikan peluru untuk menembaknya semula.



Sekarang, Demang ingin bertanya: Perlu sangat kah perubahan kerajaan? Pasti kah segala-galanya akan bertambah baik selepas ini atau kita sekadar tidak peduli apapun yang akan menimpa asalkan hati puas?

Jika 30 ahli parlimen BN menyertai PR, kedudukan akan menjadi seperti berikut:
PR = 112 kerusi
BN = 110 kerusi

Kerajaan beginikah yang baik untuk negara kita? Bagaimana jika Ibrahim Ali (Bebas) menarik diri? Adakah semua YB PAS bersetuju dengan Anwar?

Satu lagi pertanyaan: teruk sangat kah rakyat selama di bawah BN? Negara Islam bagaimana yang PAS mahu? Keadilan bagaimana yang PKR kehendaki? 'Malaysian Malaysia' yang bagaimana DAP impikan?

Adakah agihan 30-40-30 dalam DEB itu berlebihan kepada orang Melayu? Atau kita mahu agihan seperti 1957 iaitu orang Melayu cuma ada 2% (DUA PERATUS) dalam ekuiti negara?

Ingat, Melayu-Bumputera memwakili 65% populasi Malaysia.

Jangan lah terlalu meminta.

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)