Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Kitab Ramuan & Petua Perubatan Herba

Tuesday, April 29, 2008

Siapa wira? Tuah atau Jebat?

"Yang kubunuh bukan seorang sahabat sebaliknya orang yang cuba meruntuhkan sebuah sistem pentadbiran negara." Tun Tuah.

Situasi 1
Tarikh: tidak diketahui
Tempat: Bukit Saguntang
Peristiwa: Pertabalan Sang Sapurba sebagai raja Melayu pertama.

Catatan sejarah:
Demang Lebar Daun mempunyai kuasa mutlak untuk mempertabalkan dirinya sendiri sebagai raja yang sah. Malah beliau sememangnya penguasa sebenar di Bukit Saguntang. Namun beliau memilih untuk menabalkan Sang Sapurba sebagai raja.

Situasi 2
Tarikh: awal abad ke 15
Tempat: Melaka
Peristiwa: Bendahara Sri Wak Raja ditemui mati akibat 'keracunan'.

Catatan Sejarah:
Tun Perak tetap setia kepada kerajaan Melaka meski ayahandanya disingkir oleh sultan, ditemui mati dan beliau sendiri terpaksa membawa diri ke Ulu Kelang. Mengikut adat Melayu Tun Perak berhak dilantik menggantikan ayahandanya.

Situasi 3
Tarikh: sekitar 149x
Tempat: Istana Melaka
Peristiwa: Jebat merampas istana/menderhaka.

Catatan sejarah:
Tun Tuah mempunyai peluang yang besar untuk berpakat dengan Hang Jebat bagi mengambil alih pentadbiran Melaka ekoran 'kejayaan' Hang Jebat menggulingkan sultan ketika itu.

Situasi 4
Tarikh: beberapa tahun sebelum 1511
Tempat: Kota Melaka
Peristiwa: Bendahara Seri Maharaja sekeluarga dihukum bunuh atas dakwaan merancang rampasan kuasa.

Catatan sejarah:
Bendahara Seri Maharaja berpeluang untuk membantah hukuman bunuh yang dijatuhkan ke atas beliau sekeluarga. Beliau ketika itu dalam posisi sangat kukuh dari segi politik dan ekonomi sebaliknya beliau melarang para pengikutnya daripada memberontak.

Situasi 5
Tarikh: 1946
Tempat: Tanah Melayu
Peristiwa: Malayan Union

Catatan sejarah:
Raja-raja Melayu telah menyerahkan Tanah Melayu kepada Inggeris. Dato' Onn Jaafar berjaya merampasnya semula dan menyerahkan kembali kuasa kepada institusi beraja dengan beberapa penambahbaikan.

Situasi-situasi di atas secara mudah ditafsirkan oleh penganut sosialisme dan komunisme sebagai keputusan bodoh hamba-hamba feudal.

Dalam peristiwa-peristiwa di atas, pengambilalihan kuasa bukan sahaja tidak berlaku malah sejarah mencatatkan betapa institusi beraja kekal hingga ke hari ini dengan beberapa penambahbaikan.

Mengapa tokoh-tokoh Melayu terbilang tersebut tidak membantah keputusan raja yang mereka yakini sebagai tidak adil?

Mari kita fikirkan bersama.

Demang Lebar Daun sebenarnya sedang membina negara.

Jika beliau menjadi raja, siapakah yang beliau yakin boleh memimpin rakyat untuk setia kepada raja? Adakah raja itu sendiri? Mampukah seorang manusia raja membina negara seorang diri?

Maka Demang Lebar Daun yang bijaksana memilih untuk berperanan sebagai penyokong dan pembantu setia kepada ketua. Beliau mengenepikan kepentingan peribadi padahal ketika itu tiada siapa akan membantah jika beliau sendiri yang menjadi raja. Berbanggalah kita selaku cucu cicit beliau yang tidak mementingkan diri sendiri sebaliknya meletakkan kepentingan negara sebagai perjuangan utama.

Meletakkan seseorang di singgahsana sebagai satu simbol dan rujukan merupakan satu percaturan politik yang bijak dan berhikmah.

Pada prinsipnya sebuah kumpulan yang hebat mestilah mempunyai ketua yang hebat. Individu yang hebat sebenarnya ramai, terpulanglah kepada kita untuk memilih, mengiktiraf dan mempertahankannya. Membuka peluang kepada semua orang untuk jawatan tertinggi dalam negara hanya akan menggalakkan perpecahan yang lebih besar. Konsep raja sangat berbeza dengan pemimpin diktator. Seorang diktator boleh muncul dari kalangan rakyat biasa yang kemudian memaksa rakyat menerima perintahnya. Sebaliknya seorang raja diterima dengan redha oleh rakyat sebagai satu ketentuan Ilahi yang tidak boleh dipertikaikan. Penderhakaan kepada raja adalah penderhakaan terhadap rakyat itu sendiri. Menentang konsep redha samalah seperti menentang Qadha dan Qadar Allah. Penulis bukan membincangkan soal dosa dan pahala atau halal dan haram. Sebaliknya hanya melihat pada fikrah manusia yang hidupnya sudah ditentukan takdir, samada mahu atau tidak mahu; redha atau tidak redha. Malah orang yang tidak percayakan takdir juga di suatu masa terpaksa bersemuka dengan takdir yang ditentukan ke atasnya. MAUT.



April, 2008

Politik negara kini sedang bercelaru. Rakyat sedang keliru dan tertanya-tanya tentang apa yang berlaku. Individu-individu yang menganggap diri mereka sebagai pemimpin rakyat bergerak ke sana ke sini cuba menawarkan penyelesaian. Padahal mereka sebenarnya tidak ubah seperti tikus membaiki labu.

Sebenarnya mereka cuma berminat memperbaiki kedudukan masing-masing.

Setakat ini belum nampak lagi bayangan Demang Lebar Daun atau Tun Tuah atau Tun Perak atau Tun Mutahir maupun 'Tun' Onn Jaafar dalam kalangan individu yang mendakwa ingin 'membetulkan' keadaan itu. Setakat ini yang ada hanyalah Jebat yang tiba-tiba dinobatkan sebagai wira baru orang Melayu. Padahal si Jebat sebelum itu tidak pernah membantah hukuman bunuh yang dijatuhi ke atas Tun Tuah. Jebat hanya mendapat 'ilham' untuk menuntut bela atas kematian Tun Tuah hanyalah selepas terkejut menerima kunjungan sahabatnya itu yang disangka telah mati.

Bukankah itu sekadar alasan orang yang terdesak?

Selepas PRU ke 12 selesai, berlaku beberapa peristiwa yang mempunyai mesej yang sama iaitu "raja masih berkuasa". Isu perlantikan Menteri Besar (bendahara) di Perlis, Perak, Selangor dan Terengganu menyedarkan rakyat bahawa mereka masih mempunyai raja. Di tengah-tengah keghairahan sesetengah pemimpin berebut kuasa mereka lupa bahawa negeri-negeri Melayu ini adalah milik raja.

Dunia bukan sahaja belum kiamat (meminjam kata-kata Pak Habib), malah negara kita baru bermula. Masih belum terlambat untuk kita memperbetulkan keadaan. Pemerintahan negara perlu diletakkan pada landasannya semula. Asas yang dirintis oleh moyang kita iaitu Demang Lebar Daun perlu dirujuk dan dihayati.

Daulatkan semula raja-raja Melayu! Bukan sekadar satu simbol malah sebagai ikon yang 'hidup'. Negara Britain bukan sahaja hebat dan gagah di bawah naungan raja mereka malah mereka lebih dihormati di mata dunia. Lihat pula US yang dianggap hebat dan gagah. Adakah mereka lebih dihormati dan kelihatan lebih bertamadun? Dari segi material mungkin benar. Tetapi dewasa ini US lebih dilihat sebagai negara paksi kejahatan dan ikon kurang ajar. Lihat juga Soviet Union yang telah runtuh; negara China, India dan jiran kita Indonesia yang membuang raja-raja mereka. Lebih hebatkah mereka berbanding Jepun dan Belanda yang masih mengekalkan raja meski sekadar simbol?

Malah jika tidak kerana serangan ekonomi sekitar 1998, Thailand juga mampu menjadi contoh negara maju di bawah naungan raja.

Bagaimana pula dengan Brunei? Lemahkah mereka? Kucar kacirkah Arab Saudi dan Kuwait? Amankah Iran dan Iraq yang pernah berada di kemuncak kegemilangan semasa raja masih berkuasa? Kemudian, kita ambil iktibar jiran kita Kemboja yang membuang raja mereka setelah terpedaya dengan janji manis komunis. Apa yang terjadi kepada Turkey setelah runtuhnya dinasti Islam yang berkerajaan di situ? Baca sejarah Mustafa Kamel Atta Turk Al Yahudi.

Selama ribuan tahun hampir semua negara bangsa diterajui raja masing-masing. Rupa-rupanya keadaan begini bukan disenangi oleh semua pihak. Ternyata kesetiaan rakyat terhadap raja menyukarkan zionist merealisasikan protokol mereka. Lantas para pemuka Yahudi diam-diam menaja ideologi baru yang begitu indah. Konflik antara raja dengan rakyat!

Bumi mana mana tak ditimpa hujan, laut mana yang tak bergelora. Itulah adat dunia. Lautan, meski sering mengambil korban namun tidak pernah lupa menyalurkan rezeki. Begitu juga institusi raja. Meski ada kelemahannya namun system itu jauh lebih baik daripada komunis dan sosialis. Buktinya? Lihatlah sejarah dunia dan bandingkan pencapaian kerajaan beraja dengan kerajaan tanpa raja. Bandingkan kejayaan sesebuah Negara semasa mempunyai raja dengan keadaan Negara tersebut selepas tiada raja.

Bagaimana dengan Malaysia? Tulisan kali ini hanyalah satu permulaan. Teruslah mengikuti tulisan dalam blog ini dari semasa ke semasa.

Wallahu'alam.

2 comments:

Cheguman said...

Berikut adalah kenyataan penuh yang dikeluarkan oleh Pejabat Sultan Perak berhubung dengan arahan penarikan balik pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) :

Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Nazrin Shah, atas nama Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP), telah menitahkan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar bin Jamaluddin untuk menghadap Baginda pada jam 11.00 pagi ini, di Istana Raja Muda Perak Darul Ridzuan untuk menyembah maklumkan kepada Baginda berhubung arahan Menteri Besar Perak supaya Yang Berbahagia Dato’ Haji Jamry Sury ditukarkan serta-merta daripada jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.

2. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar telah dimaklumkan bahawa Yang Berbahagia Dato’ Haji Jamry Sury selaku Pengarah Jabatan Agama Islam adalah juga berperanan sebagai Setiausaha kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP).

Bahawa lantikan Yang Berbahagia Dato’ Haji Jamry Sury dilakukan hanya selepas mendapat perkenan daripada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzwan. Bahawa urusan Agama Islam serta badan dan agensi yang bertanggung jawab dengan agama Islam adalah di bawah kuasa langsung Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak. Oleh itu pada tafsiran Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Yang Amat Berhormat Menteri Besar mempunyai tanggungjawab untuk menghadap dan berdatang sembah, memaklumkan kepada Baginda Sultan dan juga kepada Baginda Raja Muda, memohon mendapat perkenan sebelum mengambil sebarang tindakan berkaitan hal ehwal agama Islam, badan dan agensi yang bertanggung jawab dengan agama Islam, merangkumi urusan lantikan, penempatan dan pemindahan pegawai dan kakitangan yang menguruskan hal ehwal agama Islam, apatah lagi bagi penjawat jawatan penting dan jawatan utama.

3. Hubungan kerja yang menghormati Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan merupakan satu konvensyen dan budaya kerja yang senantiasa diamalkan dan dihormati oleh setiap Mamanda Menteri Besar dengan pihak istana selama hari ini. Baginda Raja Muda memperingatkan bahawa hubungan yang dapat menjalinkan persefahaman ini wajiblah dihormati pada setiap masa. Sebarang perbuatan dan tindakan yang dilakukan tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Baginda Sultan dan Baginda Raja Muda adalah dianggap telah membelakangkan kedudukan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan sebagai Ketua Agama Islam dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

4. Pada masa yang sama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak telah menyampaikan nasihat dan pandangan Paduka Seri Sultan Perak bahawa seseorang Ketua Kerajaan dalam melaksanakan sesuatu tindakan hendaklah memperlihatkan berlakunya keadilan dengan mematuhi prosedur dan tata cara pentadbiran berlandaskan peraturan dan undang-undang yang ada. Baginda berpendirian bahawa kestabilan sesuatu pentadbiran dan kerajaan adalah berlandaskan kepada prinsip yang berpegang kepada peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan. Baginda Sultan amat mementingkan hubungan kerja harmoni dan baik berlaku di kalangan para pentadbir dengan pemimpin politik di negeri Perak demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

5. Adalah menjadi pegangan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak supaya Kerajaan Baginda mengamalkan dan memperlihatkan amalan yang adil dan proses keadilan itu hendaklah dipatuhi, supaya tidak ada di kalangan rakyat Baginda yang merasakan diri mereka menjadi mangsa kepada mana-mana perbuatan fitnah atau penindasan daripada mana-mana pihak yang lebih berkuasa. Sebelum sesuatu keputusan atau hukuman dijatuhkan, proses dan prosedur yang memperlihatkan berlakunya keadilan hendaklah dipatuhi sepenuhnya terlebih dahulu. Prinsip keadilan sejagat (natural justice) perlu dihormati, oleh itu mana-mana pihak yang dikenakan sebarang tuduhan hendaklah diberikan hak untuk membela diri dan memberikan penerangan, supaya satu pertimbangan yang saksama lagi adil dapat dilakukan.

6. Dalam semangat yang demikian, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak telah menyampaikan pandangan dan pendirian Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri SultanPerak supaya arahan pertukaran serta-merta yang dikenakan kepada Yang Berbahagia Dato’ Jamry Sury ditarik balik. Sekiranya terdapat sebarang perlanggaran peraturan dan kesalahan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri yang ada dilakukan oleh Yang Berbahagia Dato’ Jamry Sury, maka Kerajaan diminta mempersembahkan perkara tersebut secara rasmi kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan untuk Baginda menitahkan proses undang-undang selanjutnya disusuli sebelum dijatuhkan apa-apa keputusan secara muktamad.

Y.D.H. Toh Raja Diraja
Kol. Dato’ Abd. Rahim Mohamad Nor
Setiausaha Sulit kepada
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.
Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak
2 Mei 2008

anwar dot com said...

Video 1
http://www.youtube.com/watch?v=JEYnh9Yvtew

Video 2
http://www.youtube.com/watch?v=mrNv44WoJck&feature=related

sumber :
http://www.anwaribrahimdotcom.blogspot.com/

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

Apa kata anda?

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)