Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Kitab Ramuan & Petua Perubatan Herba

Monday, May 11, 2009

Strategi Selamatkan Anwar




Demang membesar di sebuah Felda di Pahang. Negeri Pahang sama juga seperti negeri-negeri lain yang berada di garisan khatulistiwa. Ia tidak mempunyai 4 musim sebagaimana di negara-negara Eropah. Itu Demang pelajari di sekolah rendah dalam subjek Ilmu Alam.

Namun Demang tika itu tidaklah begitu yakin dengan fakta tersebut. Berdasarkan pengalaman Demang, kampung kami juga mempunyai banyak musim. Ada musim panas dan ada musim hujan. Malah ada juga musim buah-buahan. Demang fikir, kalau ada musim buah, sudah tentulah ada musim bunga. kami juga ada musim luruh iaitu waktu semua daun getah gugur ke bumi. Cuma kami tiada musim salji melainkan ketika kemarau, debu-debu berterbangan menutupi muka ketika setiap kali lori hantu atau lori balak menerpa di jalan tidak berturap. Sama macam salji di Eropah, agaknya.

Dalam banyak-banyak musim, musim hujanlah yang paling seronok. Ketika ibu bapa kami mengeluh kerana tidak dapat menoreh getah, kami berpesta meraikan kedatangan musim banjir.

Setiap pagi Demang akan merayau di seluruh kampung untuk memeriksa tahap peningkatan air. Jika aras lebih tinggi dari hari sebelumnya maka itu satu keseronokan. Sebaliknya jika paras air menurun maka kecewalah Demang. Dalam diam-diam berdoa agar hujan turun lagi.

Aktiviti paling seronok ialah bermain rakit. Yang menjadi mangsa kami ialah pokok-pokok pisang yang diikat atau dilekatkan dengan kayu runcing. Maka berakitlah kami di belakang rumah dan di jalan-jalan yang ditenggelami air, meredah kebun, parit dan jamban.

Itulah antara keseronokan zaman kanak-kanak yang tiada taranya. Zaman itu tiada 'games' atau ICT. Malah tak terfikirpun tentang itu. SMS, PS3, MP4… blog; jauh sekali.

Namun musibah tetap musibah biarpun didahului dengan keseronokan. Maka setiap tahun kami kehilangan rakan-rakan yang mati lemas akibat banjir. Namun itu semua tak pernah mengundang serik.

Menyedari bahawa agak sukar menegah kanak-kanak agar tidak bermain sungai atau banjir maka guru-guru dan ibu bapa mencari kaedah alternatif bagi mengurangkan bahaya air. Kami diajar bagaimana mengelakkan kejadian lebih buruk. Hal ini kerana hampir semua kes melibatkan lebih dari seorang mangsa. Malah ada mangsa lemas yang ditemui mati dalam keadaan berpelukan.

Guru-guru Demang memberi petua yang agak kejam. Jika melihat rakan lemas, kami tidak dibenarkan menolong ataupun menghampirinya jika belum betul-betul mahir berenang. Jika sudah betul-betul mahir, ada pula petua yang perlu dipatuhi. Petua yang kelihatan ganas dan kejam.

Namun perlu diingat bahawa kejam bukan bermakna zalim!

Petua pertama ialah buatkan mangsa supaya PENGSAN. Ini boleh dilakukan dengan cara menumbuk muka mangsa sekuat hati. Kedua, tarik mangsa ke tepi dengan cara memegang rambutnya.

Pantang besar: Jangan sekali-kali biarkan mangsa memegang apatah lagi menguasai kamu.

Petua di atas kelihatan kejam namun bukanlah zalim.

Demang yakin bahawa semua pengunjung Waadat adalah budiman dan sentiasa memikirkan kebaikan orang lain, terutama negara kita. Justeru apabila Anwar Ibrahim disingkir daripada kerajaan kira-kira 10 tahun lalu, ramai yang bersimpati. Maka ramailah yang cuba menolong beliau.

Namun kita perlu berfikir secara rasional dan bertindak dengan wajar. Semua orang keliru dengan apa yang berlaku. Benarkah? Fitnahkah? Konspirasikah?

Bagi Demang, samada konspirasi atau bukan, realitinya Anwar sedang kelemasan. Tarikh perbicaraan kes terbaru beliau makin hampir. Banyak pihak percaya bahawa beliau akan tewas kali ini. Kemujuran beliau melepaskan diri kerana masalah teknikal 10 tahun lalu takkan dibiarkan berulang oleh pihak pendakwa. Kalau dulu Azizan dilihat malu dan takut untuk ke depan, Saiful kelihatan lebih berani dan tegas. Malah beliau sanggup menyahut cabaran untuk bersemuka dan melakukan sumpah laknat.

Demang tidak sekali-kali mahu menghukum Anwar sebelum mahkamah membicarakan beliau. Demang juga tidak mahu mempengaruhi pengunjung untuk menuduh Anwar. Biarkan mahkamah menjalankan tanggungjawab mereka. Jika Anwar tidak bersalah, biarkan Anwar membuktikannya di mahkamah.

Cuma Demang nak ingatkan para pengunjung Waadat yang budiman untuk memahami situasi bahawa Anwar adalah seorang manusia yang sedang kelemasan. Orang yang sedang lemas akan melakukan apa sahaja demi menyelamatkan dirinya.

Pesan guru Demang apabila berhadapan dengan orang yang sedang lemas, jangan hampiri dia jika anda tidak cukup mahir. Jangan biarkan dia menguasai kamu sebab dalam keadaan demikian mangsa tidak lagi dapat memikirkan keselamatan orang lain.

Ingat, mangsa lemas berhadapan dengan soal hidup dan mati. Dia boleh melakukan apa sahaja termasuk mendedahkan kita pada bahaya.

Ingat, banyak kes lemas melibatkan lebih dari seorang. Jika orang itu sudah tidak dapat diselamatkan lagi, redhalah dengan ketentuan Ilahi. Jangan biarkan diri kita terlibat sama.

(Gambar di atas adalah hiasan semata-mata diambil dari flickr.com)

4 comments:

KHAIRUL NAZRI said...

Salam Saudara Demang,

1. Secara peribadi saya melihat kes DSAI ini sebagai kes terpencil melibatkan aktiviti peribadi DSAI itu sendiri.

2. Namun disebabkan beliau dikenali maka ia telah menjadi salah satu agenda besar yang kita semua terlibat samada langsung atau sebaliknya.

3. Pada hemah saya, kes DSAI yang menghantui kita semua, harus dilihat dan diterima dengan hati dan pemikiran terbuka. Ini adalah kerana walau apapun yang berlaku, kesan dan akibat sebenarnya tidak menjejaskan kita semua.

4. Mungkin kepada pihak-pihak yang berkaitan ianya harus diberi perhatian namun sebenarnya ia tidak lebih daripada sekadar tajuk akhbar esok...

Salam

Cheguman@Demang Lebar Daun said...

Khairul Nazrin,
Saudara melihat kes Anwar secara hakikat. Alangkah baiknya jika semua orang begitu. Namun persepsi masyarakat umum ialah berdasarkan populariti dan tanggapan orang ramai.

Satu lagi bentuk pandangan ialah yang datang dari sekumpulan manusia yang melihat peluang baru telah wujud dari kes Anwar. Secara mudahnya, kejatuhan Anwar memberi peluang kepada ramai orang (yang pro & yang kontra dengan Anwar) naik ke atas (mencapai cita-cita peribadi).

kifli said...

Apakah Akan Jadi selepas Ini...


Salam Sejahtera!!


Syukur Alhamdullillah...


Pada jam 3.40 ptg tadi.. Allah telah memberi sedikit kekuatan kepada kita semua setelah kita diperlakukan dengan sikap kebintangan UMNO selama ini...


Cuma aku nak tengok APA KATA ZAMBRI mb haram... kalau ada maruah hari ini juga hang letak jawatan... Jangan nak berdalih apa-apa lagi......
Jangan kata Mahkamah Tak Adil pulak....Sila letak Jawatan...


Buat Tuanku Sultan... Janganlah nak difikirkan apa-apa lagi buat parti UMNO... Bubarkan DUN untuk memberi peluang kepada rakyat Perak membuat keputusan.....

Cheguman@Demang Lebar Daun said...

Salam Kifli,

Saudara menulis:
"Pada jam 3.40 ptg tadi.. Allah telah memberi sedikit kekuatan kepada kita semua setelah kita diperlakukan dengan sikap kebintangan UMNO selama ini..."

'kebintangan' atau 'kebinatangan'?

Tak apalah, walaupun istilah itu amat penting.

Adakah komen Kifli juga menggambarkan hasrat majoriti penyokong PR? Jika demikian saya amat sedih. Rupa-rupanya perjuangan kalian berlandaskan dendam dan sakit hati. Kenapa tidak mulakan perjuangan dengan ikhlas untuk membentuk masa depan yang lebih baik untuk anak cucu kita?

Bukankah kerajaan baru DS Najib beriltizam membuat perubahan besar?

Saya menyeru saudara-saudara untuk memikirkan tentang masa depan negara, bukannya mengenang masa lampau dan menyimpan sakit hati. Jangan sekali-kali berjuang demi memuaskan hati, apatah lagi untuk membalas dendam.

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

Apa kata anda?

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)