Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Kitab Ramuan & Petua Perubatan Herba

Sunday, December 14, 2008

Wakaf dan Korban

Solat Aidil Adha Demang tahun ini ialah di Kg Sg tengar Selangor. Melihat khatib yang membaca khutbah, terkenang pada allahyarham datuk Demang yang dulu berada di mimbar yang sama. Terasa seolah beliau masih bersama bertakbir, mengimami solat, dan berkhutbah.

Ada sebab lain untuk Demang terkenangkan beliau. Selain jasa beliau menaiktaraf bangunan ini bersama orang kampung, beliau juga mewakafkan sebahagian tanahnya untuk pengurusan surau ini.

Itulah sebabnya Demang terasa seolah beliau masih bersama.

Sebenarnya ramai lagi orang kampung ini yang berbuat seperti beliau. Jika mereka memiliki 10 ekar tanah maka hanya 8 ekar diwariskan pada anak-anak manakala 2 ekar lagi diwakafkan untuk surau.

Setelah mereka meninggal dunia, jawatan kuasa surau akan menguruskan tanah tersebut dan hasilnya digunakan untuk kegunaan surau seperti membayar bil dan sebagainya.

Demikianlah pengorbanan orang kampung yang cuma memiliki basikal atau motorsikal cabuk, dan rumah buruk. Datuk Demang biasa mengayuh basikal menjaja ayam kampung hingga ke Teluk Intan atau ke Tg Karang yang masing-masing jaraknya melebihi 50km.

Apa pula pengorbanan kita dengan harta kita?

Selesai solat, Demang ikut menyaksikan upacara korban. Nampaknya lembu pun lebih baik daripada manusia dari segi pengorbanan.

Apakah kita sanggup berkorban nyawa?

Berkorban RM300 untuk satu bahagian lembu pun ramai kalangan kita 'belum mampu'.

Benarkah kita tidak mampu? Demang jawab sendiri: YA! Kita memang belum mampu. Kita TIDAK MAMPU membuat pilihan samada hendak membeli aksesori kereta dan/atau rumah, atau membayar duit untuk korban lembu?

Contoh lain kita belum mampu mengubah tanggapan kita ialah berkenaan tanggapan terhadap kereta nasional.

Lihat telatah kerajaan Perak yang memilih Toyota Camry dan menolak Proton Perdana.
Sebelum ini Terengganu juga berbuat begitu. Konon kerana kos penyelenggaraan terlalu tinggi. Maksud mereka, adalah merugikan jika menggunakan Perdana. Nampaknya mereka tak baca artikal saya sebelum ini iaitu “ tak berapa sen pun...”

Padahal mereka lah yang kononnya memperjuangkan hak rakyat. Namun mereka lupa bahawa 25 ribu pekerja Proton itupun rakyat juga. Pengusaha dan pekerja bengkel proton pun rakyat juga. Siapakah yang ramai di kilang dan bengkel Proton itu?

Sebenarnya, apabila Tun Mahathir mengilhamkan penubuhan Proton, terdapat pihak yang menasihatkan beliau agar tidak meneruskan projek itu kerana tidak menguntungkan. Namun TDM menjawab bahawa beliau memang sedar perkara itu dan keuntungan bukanlah tujuan utama projek tersebut.

Kereta nasional adalah projek rakyat. Ia berkonsep kereta sederhana bagi memberi peluang lebih ramai rakyat memiliki kereta.Dengan kereta itu para perantau lebih kerap pulang ke kampung sambil 'menayang' kereta baru. Tak kesahlah. Sekurang-kurangnya ibu bapa turut tumpang gembira.

Perjalanan mereka melalui lebuhraya meningkatkatkan pendapatan PLUS. Siapa yang ramai di situ? Mereka bukan sahaja membayar tol malah turut singgah di R&R untuk solat, berehat dan mengisi perut. Terdapat juga stesen Petronas di situ.

Kalau nak dicatat ekonomi hiliran yang muncul bersama industri kereta nasional ini sampai esok pun belum siap.

Ya. Nanti ada yang kata, kalau untuk menggerakkan ekonomi, import sahaja kereta daripada negara luar. Kalau nak bagi pekerjaan kepada rakyat, jemput sahaja mereka membina kilang di negara kita seperti Honda dan sebagainya.

Betul jugak. Barangkali Demang silap dan orang yang menanya itu lebih bijak. Tapi, Tun DrM berfikir begini: Pencerobohan dan serangan ke atas negara dan orang Islam bukanlah sesuatu yang perlu dibuktikan lagi. Dari semasa ke semasa kita boleh membacanya di akhbar atau menonton siaran berita di TV. Maka bagaimanakah negara Islam mampu melawan tentera musuh sedangkan tidak ada negara Islam yang mampu mengeluarkan kereta kebal sendiri? Siapa yang sudi mengajar kita membina teknologi kereta kebal? Bagaimana nak buat kereta kebal jika kereta penumpangpun kita tidak memiliki teknologinya? Ingat, negara kita pun belum tentu selamat. Kes pengebuman di Mumbai baru-baru ini pun dicari kaitannya dengan Malaysia.

Maka projek kereta nasionalpun dimulakan. Alhamdulillah, meski terdapat pelbagai rintangan termasuk ejekan dan tohmahan akhirnya Proton Saga berjajar di jalanraya dengan harga lebih kurang RM17 ribu. Kemudian muncul siri-siri lain seperti Wira dan Iswara. Dengan ciri yang ditawarkan ternyata kereta-kereta itu jauh lebih murah berbanding kereta import. Tak ketinggalan juga Perdana bagi memberi alternatif kepada rakyat yang berkemampuan.

Namun masih ramai yang mencemik kerana proton masih menggunakan engin Mitshubishi. Malah terdapat budak muda yang menanggalkan lambang proton pada kereta mereka dan menggantikannya dengan Mitshubishi. Demikianlah perilaku segelintir budak muda yang kurang mahir menggunakan mindanya. Jadi tak hairanlah kenapa peti undi orang muda penuh dengan undian kepada pembangkang dalam PRU12. Nak lihat lagi tempat tumpuan orang muda? Pergilah ke pusat-pusat hiburan.

Orang bukan Melayu memang tidak begitu suka dengan lambang Proton itu. Yang peliknya, budak Melayu pun ikut sama!

Peluang baru tiba apabila Lotus mengalami masalah. TDM mengarahkan Allahyarham Tan Sri Yahya Ahmad membeli syarikat tersebut. Pembelian yang merugikan, kata sesetengah pihak yang buta perjuangan.

Memang rugi dari segi perkiraan semasa tetapi dengan pemilikan ke atas Lotus itu kita sebenarnya telah memiliki teknologi sendiri! Allah membuka peluang apabila kita tidak jemu berusaha. Yang penting, kita perlu memulakannya walau dalam keadaan sukar.

Bukanlah berdosa membeli kereta import. Namun perlu dilihat keperluannya. Jika anda memiliki dua buah kereta, apa salahnya sebuah daripadanya adalah kereta nasional? Paling mudah, kereta pertama yang kita beli biarlah kereta nasional. Kemudian jika ingin membeli sebuah lagi, bolehlah membeli kereta import. Bagi kereta exco, tunjukkan kepada rakyat bahawa kita mengutamakan kereta nasional. Macamana rakyat nak guna kereta nasional jika pemimpin sendiri memandang hina kereta tersebut?

Ingat! Rakyat melihat. Jika kerajaan keluarkan 10 juta untuk membeli kereta asing, apa salahnya jika wang tersebut diberi kepada Proton yang dikuasai rakyat tempatan? Semakin kukuh Proton, semakin mampulah syarikat itu bersaing di pasaran. Sebaliknya apabila proton gagal bersaing, pelbagai tohmahan dilemparkan. Seolah-olah para jurutera dan kakitangan Proton itu bangang-bangang semuanya.

Eloklah Demang berhenti di sini dulu sebelum terkeluar bahasa-bahasa yang kurang sedap pulak nanti.

Bagi yang bukan Melayu, meskipun tulisan kali ini kelihatan berkaitan bangsa Melayu namun perlu difahami bahawa sebarang masalah yang timbul dalam kalangan orang Melayu pasti akan turut menjejaskan kepentingan kaum lain dalam Malaysia. Selama hari ini para pemimpin UMNO, MCA, dan MIC saling membantu setiap kali ada mana-mana parti komponen BN yang bermasaalah, maka demikian jugalah yang patut dilakukan kali ini. Jika berlaku sebarang musibah dalam negara, maka semua rakyat akan menerimanya.

Orang Melayu tidak ada tanah lain untuk diduduki selain Tanah Melayu ini.

Selamat hari raya aidil adha dan selamat berkorban.

19 comments:

Sedingin Salju said...

Ya betoi tu Demang. Disokong 500%. Tapi sayang, orang melayu sendiri yang sanggup menggadai maruah bangsa.

Demang Lebar Daun said...

Sedingin salju,
kata orang German: "hanya sahabat yang boleh menjadi musuh"

Entah lah. Saya pun baru dengar peribahasa tu dalam radio.

Tadi saya lihat di TV, Nizar beriya-riya mempertahankan keputusannya membuang Proton Perdana dan menggantikannya dengan Toyota Camry. Betul tak yang saya tulis, diorang pasti akan bagi alasan 'duit rakyat' padahal 25000 pekerja Proton tu pun rakyat jugak.

Sedingin Salju said...

Masalahnya sekarang, depa akan kata, "Terengganu yang ditakbir oleh BN pun tukar jugak malah lebih mahal." Tadi dah keluar di tv9.

Demang Lebar Daun said...

Sedingin salju,
Samada Perak atau Terengganu, bagi saya kedua-duanya telah melakukan tindakan yang salah. Dalam perkara kepentingan nasional, saya tidak menyebelahi atau menentang sesiapa. Ketika kes Terengganu dulu saya juga menegur tindakan mereka.

Sedingin Salju said...

ya betul. Mereka ini seolah-olah nak membubuh pasir kepada pekerja proton.

Demang Lebar Daun said...

Sedingin salju,
Adakah orang bukan melayu rugi dengan DEB? Lihat fakta yang saya kutip dari blog Azlishukri:

"Walau bagaimana pun, sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada tahun 1970, kedudukan ekonomi orang Melayu semakin baik. Hal ini sama sekali tidak dinafikan oleh Tuan Syed, menurut beliau, “Perkara ini dapat dilihat melalui hak milik bumiputera yang hanya 2.4 peratus pada tahun 1970, telah meningkat kepada 18.7 peratus pada tahun 2002. Hak milik individu dan institusi meningkat daripada 1.6 peratus pada tahun 1970 kepada 17.6 peratus pada tahun 2002. di samping itu juga, kita tidak dapat nafikan juga bahawa hak milik bukan bumiputera turut meningkat daripada 32.2 peratus pada tahun 1970 kepada 43.3 peratus pada tahun 2002. Sementara itu, hak milik warganegara asing menurun daripada 63.3 peratus pada tahun 1970 kepada 28.9 peratus pada tahun 2002.”

Alangkah baiknya jika semua kaum bekerjasama dan saling bantu membantu tanpa ada rasa dengki. Hasilnya, tentu rakyat marhaen akan lebih terbela.

Taminsari said...

Salam perjuangan...rakan blogger muslim diserang oleh kafirun....sila lihat comment para kafirun ini di..

http://redssays.blogspot.com/2008/11/why-has-muslim-world-failed-to-develop.html

Taminsari said...

Salam perjuangan..rakan blogger muslim diserang oleh kafirun....sila lihat comment para kafirun ini di.

http://redssays.blogspot.com/2008/11/why-has-muslim-world-failed-to-develop.html

aku said...

salam demang..
lama aku tak singgah kat blog ni..
kt sg tengar tu majoritinya jawa.kalau i'dul adha,rasanya tak meriah mana.silap2 tak raya pun.yang dasyatnya masyarakat jawa ni,masa meraikan i'dul fitri.masa mereka bermaaf-maafan.tak pernah aku jumpa masyarakat lain yang sebegitu.berlaga lutut,pipi hampir bertemu,air mata berlinang.
ingat demang kena ceritakan sikit pada umum macamana masyarakat jawa beraya dan bermaaf-maafan.
mereka pun melayu dan guna proton gak.. hehehe

mountdweller said...

Salam sdrku Demang,

Saya amat setuju dengan pandangan Demang. Cuma saya rasa dari segi belanja penyelenggaraannya kereta nasional melebihi kereta import. Kami pakai 3 kereta yang berlainan. 1 nissan sentra, 1 kancil dan 1 hyundai getz. dalam ketiga-tiga kereta saya ini, kancillah yang lebih kerap ke bengkel.

Tapi walau apa pun saya masih beli kereta nasional. Sebelum kancil saya ada proton iswara. Itu kerap juga ke bengkel walau saya pakai tidak sampai pun 3 tahun. Namun untuk membantu saya masih beli juga kancil menggantikan proton iswara. Berbanding kancil dan iswara pula, kancil tidaklah sekerap iswara melawat bengkel.

zamspotte said...

Utusan duka dari hati yang lara... kutujukan kepada semua yang bisa berfikir dan memahami...

Sesungguhnya pelbagai perkara diambil enteng oleh sesetengah kita... Tanpa kita sadari perkara itu sedang memamah kedaulatan kita...

Percaya atau tidak, pelbagai perisik sudah bertapak lama di bumi terchenta ini dan menunggu saat rapuhnya pemerintahan di bumi ini... untuk meneruskan penindasan kepada rakyat yang majoriti muslimin... dan sudah hampir tiba harinya...

Alam pun sudah mula bersuara... tetapi, kita masih lagi engkar pada kehendakNYA dan kehendak hukum Mursail-Al-Mursala... Kenapa runtuh di situ? Kenapa bah besar di sana?? Kenapa tidak di bumi berdaulat yang lain???

Bukan menidakkan perjuangan mereka, tapi firasatku terasa bebanannya berfikir... Karena firasatku menyatakan hampirnya kepada kerusakan kedaulatan... separtimana yang tercatat pada 25 Julai 1511 tarikh keramat...

Ayuh, Demang... Gerakkan lasykar2 kita menahan serangan demi serangan dari dalam dan luar... Karena Tanah ini takkan jatuh jika tiada api dalam sekam, gunting dalam lipatan, duri dalam daging...... separtimana yang tercatat pada 25 Julai 1511....

Demang Lebar Daun said...

Aku,
Memang betul adat bersalam tu. Kalau orang tak biasa mesti hairan. Kami yang dah biasa pun kadang-kadang geli hati melihat 'upacara berbisik' tu.

mountdweller,
Apo nak dikato... bak kata orang tua-tua: "...hujan batu di negeri sendiri". Saya pun ada kereta import di samping kereta nasional. Sekurang-kurangnya kita memberi sokongan.

Saya cadangkan Perdana diberi sentuhan lebih baik dan jika perlu boleh dijual pada harga lebih tinggi. Sebenarnya selain enjen, aksesori tambahan juga dapat menambat hati pelanggan. Rakyat Malaysia dah mampu membeli keselesaan. Saya sendiri masih menyimpan hasrat untuk memiliki sebuah Perdana yang canggih nanti.

zamspotte,
Saya pun tak menyangka rupa-rupanya terdapat rakyat Maaysia yang ditahan di bawah ISA merupakan perisik luar. Bagi saya pengkhianat tersebut tidak memerlukan ISA sebaliknya mereka perlukan tali gantung.

Kelopak Salak said...

Salam perkenalan buat Demang,

Selama ini saya hanya membaca sahaja blog Demang, dan boleh dikatakan apa yang Demang luahkan itu ada kebenarannya.

Sebagai bangsa Melayu, saya lebih suka jika kita menggunakan kiasan, kerana ianya nampak lebih halus, sesuai dengan kita masyarakat timur. Jadi kalau boleh, apa yang Demang ingin sampaikan biar berkias, tapi dalam maksudnya.

Seperti kupasan Demang dalam isu kereta hinggalah ke peringkat betapa malunya golongan muda bangga dengan jenama kita, saya sokong sepenuhnya. Kalau nak dikira, memanglah kereta jenama kita bermasalah. Saya sendiri menggunakan Proton Wira. Dia punya gegaran, mak aii....... biasalah kan, hinggakan ada yang berkata " Tak bergetar, bukan Proton la".

Tapi saya masih berbangga dengan jenama kita. Cuma dikesempatan ini juga saya memohon pihak pengeluar umumnya dan Proton khususnya pertingkatkan lagi kualiti kenderaan kita. Kalau untuk dieksport kita boleh buat elok, kenapa untuk kegunaan kita biasa sahaja?

Dan betul juga pendapat yang mengatakan 'mereka tidak patriotik'. Seperti hujahan Demang tadi, semua dapat makan sama. Kan elok kalau duit kita tidak mengalir ke luar negara?

Sekurang-kurangnya nasib anak bini pekerja kita terbela, tak gitu?

Medan Info Kita said...

kembalikan pemimpin yg benar2 MELAYU yg tak tunduk kpd BUKAN MELAYU...

hanya angkatan BPN akan mencipta sejarah ini...

teruskn usaha gigih sdra, bersama2 kita terus menulis

joharihamzah said...

Salam Cikgu..

Diharap berada dalam keadaan sehat dan bahagia hendaknya..

Aidiladha adalah perayaan umat Islam yang paling besar bersempena kepada kisah Nabi Ibrahim yang diminta Allah untuk menyembelih anaknya sendiri-Nabi Ismail.

Namun diakhir cerita/kisah,Allah Ta'ala menggantikan Nabi Ismail dengan seekor Kibash yg sangat besar. Maka berbahagialah mereka anak beranak kerana rahmat Allah itu..

Moral story: Allah menuntut Nabi Ibrahim korbankan anaknya, bagi melihat kesungguhan seorang Nabi patuh dan taat kepada perintah Nya..dan nyata- Nabi Ibrahim dan anaknya memang patuh..

Kita tidak mengambil iktibar dari peristiwa Nabi Ibrahim dan anaknya. kita tidak sanggup korbankan dan mengekang nafsu yg pelbagai di hati. Sehingga seruan, dan perintah Allah boleh sahaja kita abaikan. Bahkan lebih dahsyat, kita sanggup 'korbankan' Allah, demi mencapai cita2 kita yg berlandaskan nafsu.

Kesenangan dunia adalah anugerah Allah. Ia tidak datang percuma tetapi dengan tanggungjawab terhadap Allah. Bagi sesetengah orang, mereka menganggap bahawa mereka berhak kerana mampu, namun siapakah yang memberi hak itu jika bukan Allah?jika bukan Allah kurniakan tangan dan kaki untuk tekan pedal dan pegang stereng?

Sebelum berkuasa, mereka mengatakan bahawa pemerintah zalim dan tamak kerana ikutkan nafsu dgn berbelanja mewah. Namun setelah diberi Allah kuasa/amanah, ternyata mereka tidaklah lebih baik dari orang yg mereka kata/keji.

Mereka(saya juga tidak terkecuali), gagal mengekang nafsu yang bergelora - kerana sudah memang adat - "nafsu mana yang tidak bergelora", sehingga kadangkala kita terlupa bahawa Allah lah memberi kuasa dan hak pada kita, seterusnya dapat kita menikmati segala kesenangan.

Kereta besar yang melambangkan prestij bagi pemerintah, akan mendatangkan bahana jika tidak diguna sebaiknya. Jangan pula nanti, terlupa membaca doa naik kenderaan seperti yg Rasulullah ajar, dan ada lagi kawasan yang tidak dijenguk / dilawat.

Lagi mewah pemimpin, lagi besarlah beban yang perlu ditanggung, dan lebih banyak pula soalan yang Allah akan tanya diakhirat nanti..

Sama2lah kita ingat mengingati.
(Cikgu Man,maaflah kut nampak macam ceramah plak..heh,tetiba terlintas dihati..harap jgn marah)

TQ..

Demang Lebar Daun said...
This comment has been removed by the author.
Demang Lebar Daun said...

Kelopak salak,
Selamat berkenalan. Jengah-jengahlah selalu. Terima kasih.

Medan Info & Taminsari,
Selamat berjuang.

Johari,
Ceramah atau apapun tak kesah lah. Saya terkesan dengan catatan saudara, terutama mengenai soalan yang akan ditanya Allah nanti. Terima kasih.

Kelopak Salak said...

Salam perkenalan jua.

Saya bukan apa, kadang-kadang naik meluat pada mereka yang buta sejarah. Lebih-lebih lagi pada mereka yang mengaku diri mereka Melayu. Ada kebenarannya apa yang dikatakan TDM.

Masalahnya mereka lebih cepat mentafsir tetapi melalui fahaman atau anutan mereka. Ada lebih baiknya kita rombak semula sukatan mata pelajaran yang ada hari ini. Seingat-ingat saya ketika saya masih belajar dahulu ada mata pelajaran Tatarakyat, yang mana banyak membincangkan masyarakat majmuk di negara kita yang tercinta ini. Dulu masa zaman saya, ada Ahmad, Ah Seng, Raju, Fatimah, Siew Lan, Letchumi dan lain-lain lagi dalam buku teks. Ada lagi nama begitu dalam buku teks?

Apa yang saya perhatikan hari ini, golongan muda kebanyakkannya BERPELAJARAN TETAPI TIDAK BERPENDIDIKAN. Walaupun dikatakan hebat dengan pengetahuan tetapi masih gagal menggunakan gerak hati. Sayang jika mereka berterusan begini. Sedangkan mereka inilah yang bakal menjadi pemimpin suatu hari nanti.

Demang Lebar Daun said...

Kelopak salak,
setuju dgn anda terutama tentang pendidikan dan pelajaran.

Tulisan Anuar Ahmad, pensyarah UKM dalam UM 20 Dec 08 amat menarik dan perlu diberi perhatian.

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

Apa kata anda?

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)