Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Kitab Ramuan & Petua Perubatan Herba

Friday, July 9, 2010

jangan hanya sikitol yang dihukum




Dalam merungkai kemelut politik semasa tanahair, Demang cuba menyelak kembali lipatan sejarah. Manatau, barangkali terselit sedikit petunjuk yang mungkin membantu kita memahami di sebalik yang tersurat.

Diganggu seriknya peristiwa kehancuran terbesar bangsa Melayu tanggal 1511 maka Demang mulakan siasatan dari situ. Demang telusuri lipatan sejarah dan menemui beberapa nama yang dikenalpasti bertanggung jawab ke atas kemusnahan empayar Islam Melaka.

Sultan Mahmud
Kelemahan: Wanita

Kesalahan:
Menghukum-bunuh bendahara Tun Mutahir sekeluarga hanya berdasarkan dengar-cakap.

Hukuman:
Baginda akhirnya mengambil pertanggungjawaban dengan meletak jawatan serta meninggalkan istana untuk beribadat.

Tun Mutahir
Kelemahan: harta

Kesalahan:
Menerima sebahara emas daripada seorang saudagar padahal beliau akan mengadili kes yang melibatkan saudagar tersebut. (Satu bahara emas bersamaan empat tan!)

Hukuman:
Beliau sekeluarga (yang lelaki) dijatuhi hukuman mati. Beliau melarang para pengikutnya membantah hukuman tersebut walaupun mampu.

Si Kitol
Kelemahan: harta

Kesalahan:
Beliau mengetahui hal rasuah bendahara dan mengambil kesempatan melaporkan pada pihak yang lagi satu. Sebagai balasan, hutangnya sebanyak setahil emas dilupuskan.

Hukuman:
Si Kitol sekeluarga dihukum bunuh dan mayat serta tapak rumahnya dibuang ke laut.

Laksamana Khoja Hassan dan Tun Ali Hati
Kelemahan: kuasa

Kesalahan:
Kedua-dua pembesar ini menyampaikan aduan yang dibawa 'saudagar kedua' dan bersumber daripada Si Kitol tanpa usul periksa.

Hukuman:
Mereka berdua dipecat. (Laksamana Khoja Hassan adalah menantu Laksamana Tun Tuah. Apabila Portugis menyerang, beliau berjuang bermati-matian melawan penjajah itu).

Selain itu, siapa lagi yang terlibat? Demang menyelak-nyelak lagi lipatan sejarah. Nampaknya kebanyakan catatan hanya mengemukakan nama-nama itu.

Ternyata semua yang terlibat telah menerima hukuman masing-masing. Sepatutnya keadaan kembali pulih dan Melaka pastilah akan semakin maju di bawah pemerintah yang baru.

Namun sebaliknya yang berlaku. Tidak lama selepas itu Portugis datang menyerang dengan angkatan perang yang kecil. Melaka ditewaskan pada serangan kedua meskipun memiliki angkatan perang terhebat di zamannya.

Mengikut teori ketenteraan, tidak mungkin Melaka boleh tewas. Namun sejarah mencatatkan tanpa kesangsian betapa Empayar Islam Melaka runtuh pada tahun 1511.

Berbalik kepada soalan pertama tadi; siapa lagi selain sultan, pembesar, dan si Kitol yang terlibat?

Ramai orang lupa tentang dua orang saudagar yang menjadi punca pada semua ini. Demang tidak pasti apakah hukuman yang dikenakan kepada mereka namun mereka lah bertanggung jawab mencetuskan bibit kemusnahan melalui sogokan rasuah.

Merekalah yang memberi rasuah. Perlu diingat sangat-sangat oleh sekalian orang Melayu bahawa golongan saudagarlah yang membantu Portugis menyerang Melaka. Sejarah tidak akan memadamkan dosa mereka meminjamkan tongkang dan menyalurkan maklumat pertahanan Melaka!

Sekarang kita kembali pada realiti hari ini;

Ramai yang tidak sedar bahawa pertelingkahan politik hari ini sebenarnya melibatkan ahli perniagaan yang di zaman Melaka digelar saudagar. Mereka inilah yang banyak memodalkan ahli politik untuk bersaing dan bertanding.

Isu tender dalam DEB, yang dipromosi sebagai kroni dan nepotisme membuktikan kaitan rapat antara golongan saudagar dengan ahli politik. Bahkan golongan korporat lah yang menggunakan ahli politik untuk kepentingan perniagaan mereka.

Rakyat biasa tentu tidak peduli siapa yang dapat tender.

Dalam hal ini, sebahagian ahli perniagaan menyokong kerajaan manakala sebahagian lagi menyebelahi dan membiayai pembangkang.

Golongan saudagar lah yang banyak membuat onar tetapi sering berlepas tangan. Kata orang, 'buat lembu kenyang'. Memang pun kebanyakannya perangai macam lembu. Makan apa sahaja termasuk sabun mandi!

Apabila kerajaan bertukar tangan maka posisi ahli perniagaan juga pasti berubah.

Rakyat tetap di bawah.

Maka Demang katakan sekali lagi; jangan hanya sultan, pembesar, dan si Kitol sahaja yang dihukum. Golongan saudagar juga perlu dihukum.

Itupun jika kita ingin menghukum. Sedangkan sejarah telah membuktikan masalah tidak pun selesai dengan menghukum mereka. Kita perlukan formula lain yang menguntungkan semua pihak. Bukan sekadar membuang dan melantik baru.

..Kerana yang dibuang pasti akan bangkit menentang kembali.

1 comment:

melayurayadaily said...

Fushhh chegu man,

Terbaik dalam banyak artikel, penuh analisa, mendalam dan boleh dirumuskan. Tiga 'TA' pasti wujud dalam kejatuhan sesebuah dinasti. Wanita, harta dan tahta. Pendekatan, nilai mungkin berbeda antara zaman ke zaman namun gelagatnya tetap sama.

2. Kita tersepit dengah, wanita, harta dan kuasa. Dalam masyarakat membangun, kuasa menjana harta manakala masyarakat maju harta menjana kuasa. Kita berada dipihak yang mana?.

Teruskan menabur ilmu. Yang datang dari otak diterima oleh otak juga,akan kekal dalam benak. Yang datang dari hati masuk kehati. Ia kan hanyut dengan pasang surut perasaan. TQ

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

Apa kata anda?

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)