Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Monday, June 30, 2008

DS Anwar: Pejuang tulin atau pejuang peribadi?

Dalam kes Tun Tuah, laksamana tersebut dituduh menjalin hubungan dengan dayang istana. (bukan gundik dan bukan dayang rasmi - hanya 'orang yang keluar masuk istana').

Perlu diingat, Sejarah Melayu (A. Samad Ahmad, 1979) tidak menyatakan kes itu suatu fitnah. Walau bagaimanapun dalam Hik Hang Tuah, (Kassim Ahmad, 1975) diceritakan bahawa ianya fitnah yang dibuat oleh Patih Karma Wijaya.

Dalam hal ini Demang tidak mahu mengambil sebarang ketetapan kerana ia tidak begitu berkaitan dengan tulisan ini.

Bagi Demang perkara penting yang perlu kita perhatikan ialah perbezaan tindak balas pejuang tulin dengan pejuang peribadi apabila berhadapan dengan situasi genting seperti itu.

Demang katakan 'genting' kerana ia memaksa si pejuang tersebut membuat pilihan samada memilih kepentingan peribadi atau kepentingan negara.

Dalam hal ini Tun Tuah bertegas dengan prinsip bahawa kepentingan rakyat dan negara adalah paling penting.

Adakah Tun Tuah pengecut? Sifat pengecut adalah sifat orang yang tidak kuat.

Adakah Tun Tuah tidak kuat?

Kalau anda tidak percaya bahawa Hang Tuah benar-benar ada, tak mengapa. Anggap sahaja perbincangan ini satu interpretasi karya sastera.

Perlu juga diingat, samada kisah benar atau sekadar fiksyen, sesebuah karya tetap merupakan perlukisan sebenar masyarakat tika mana ia ditulis.

Semua fakta yang Demang kemukakan dalam 'waadat' adalah berasaskan teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.

Demang bukannya tanya orang, tonton drama atau dengar di kedai kopi.

Dalam kedua-dua teks tersebut Tun Tuah bukan sahaja kuat malah gagah dan hebat.

Tidak mampukah Tuah melawan sultan? Apatah lagi bendahara juga bersimpati dengan beliau.

Sebaliknya semasa Tuah dijatuhkan hukuman mati beliau langsung tidak membantah. Malah ketika bendahara membuat keputusan untuk tidak melaksanakan hukuman, Tun Tuah sendiri meminta dirinya dipasung.

Jika itu yang dikatakan takut, Demang setuju. Tun Tuah takut tidak dapat mengawal diri dan mengamuk menentang sultan.

Demikianlah pejuang tulin.

Bagaimana dengan DSAI?

Sepatutnya Anwar bersabar dan berkorban. Bukan untuk orang lain, bahkan untuk rakyat dan negara. Bukankah beliau mendakwa sebagai pejuang rakyat?

Anwar cuma perlu beralah.

Musa Hitam sudah melaluinya. Ghafar Baba merasainya. Ku Li, Rahim Tambi Chik, Muhamad M. Taib, dan beberapa nama lagi pernah mengikuti jejak Tuah itu.

Itulah pengorbanan sebenar pejuang. Rela mengorbankan kepentingan peribadi. Mereka tidak sekali-kali menagih simpati asing.

Pengorbanan mereka tidak sia-sia. Rakyat dan negara tidak huru-hara. Akhirnya jasa mereka dikenang jua.

Mereka manusia biasa yang sesekali melakukan kesilapan seperti kita juga. Ada emosi, ada nafsu, ada kelemahan dan ada kelebihan.

"Satu kesilapan besar apabila kawan dibuat lawan dan musuh disangka kawan."

DS Anwar perlu bermuhasabbah. Begitu juga kita, tak kira penyokong atau penentang.

Wallahu'alam.

Friday, June 27, 2008

Penyatuan PAS-UMNO?

Sahabat Demang dalam blog 'anginperubahan' menulis tentang kemasukan beberapa pemimpin PAS ke dalam UMNO. Benar atau spekulasi?

Sementara itu Demang sedang membuat sedikit kajian mengenai implikasi penyatuan PAS dengan UMNO namun belum siap sepenuhnya.

Pada pandangan Demang, para pemimpin kita lebih sayangkan perjuangan parti daripada perjuangan agama. Apabila timbul cadangan penyatuan UMNO-PAS maka soalan yang timbul ialah PAS masuk UMNO atau UMNO masuk PAS?

Bagi sesetengah peyokong parti tindakan menyertai sesebuah parti seolah-olah menganut agama baru manakala meninggalkan parti sama seperti meninggalkan agama.

Iktikad ini bersarang di hati yang merasakan golongan mereka sahaja yang memperjuangkan agama manakala golongan lain hanya mementingkan diri sendiri.

Seperkara lagi terdapat juga golongan yang sedar dengan kelemahan diri dan sering mengharap orang lain memahami kelemahan mereka sebagai insan biasa. Namun dalam masa yang sama mereka mengharapkan orang lain bersifat sempurna.

Demang teringat sebuah lagu M. Nasir. "Jangan kau mengaku hebat, jangan kau mengaku pintar jika egomu tak kau kalahkan."

*Bagi peminat M. Nasir pasti akan senyum-senyum sendiri membaca senikata di atas sebab tak sama macam yang M. Nasir nyanyi..! Maaf la, Demangpun ingat-ingat lupa. Dah tua...! Kalau dulu, berapa kali bunyi tamborin dalam lagu M. Nasir pun Demang boleh hafal.

Jumpa lagi. (Out station 2-3 hari).

Thursday, June 26, 2008

Tuah: Pengampu atau Pembodek?

Perkataan 'ampu' dicatat dalam kamus DBP (edisi 4, 2005) seperti berikut:

1. sl: Menahan di bawah (dgn telapak tangan), menyokong dr bawah (supaya tidak jatuh, runtuh, dsb),

2. sl: = 'mengampukan' iaitu memerintah (negeri, kerajaan):

cth: yg pertama mengampukan negeri Pasai ialah Sultan Malikul Saleh.

Perkataan 'pengampu' pula dicatat seperti berikut:

1. Penahan, penyangga, penyokong; ~ susu baju dalam perempuan, coli, kutang;

2. Orang yang memerintah negeri;

3. Orang yang menjaga keselamatan seseorang, wali, orang tua;

*4. Orang yg suka mengangkat-angkat (suka menyanjung) seseorang.

Sementara itu 'ampu' atau 'empu' dalam bahasa Minangkabau apabila diganding dengan kaki (~ kaki) bermaksud ibu jari kaki.

Manakala kata 'bodek' dicatat dalam kamus yang sama sebagai:

1. bk: kemaluan laki-laki;

2. = sakit ~ burut: burut atau ~ ialah penyakit pasang-pasang (angin pasang?);

Apabila diberi imbuhan menjadi:
Membodek = menyanjung, memuji dsb terhadap seseorang

3. bp: mengangkat, mengampu, mencari muka:
Contoh, dia kuat ~, sebab itu dapat naik pangkat;

*3. ki: mengangkat, menyanjung (utk menyukakan seseorang supaya mendapat sesuatu faedah daripadanya):

Contoh: siapa yg pandai ~nya akan mendapat segala sesuatu daripadanya; ~ bodek
(bk. mengangkat (supaya mendapat sesuatu).

Perhatikan pada maksud no 3 perkataan di atas terdapat label 'ki' (kiasan).
Ertinya perkataan tersebut hanya kiasan.

Label lain yang digunakan termasuklah 'sl' (sastera lama), 'bp' (bahasa percakapan), 'bk' (bahasa kasar), dan 'ki' (kiasan).

Demang merasakan kata 'ampu' pada asalnya bersifat positif tetapi disalahguna untuk tujuan menyindir dan mengejek. Demang rasa motifnya ada dua: MALAS tapi DENGKI dan DENGKI tapi MALAS.

Apabila Demang semak kamus DBP Edisi Baru (1989) Demang dapati maksud yang menyindir tersebut tidak begitu ketara. Cuma perkataan 'bodek' dicatatkan di hujung keterangan bagi menunjukkan ada kaitan antara kedua-dua perkataan itu dalam pengucapan harian.

(samada sengaja atau tidak, nampaknya telah berlaku penambahan maksud dalam kamus 2005).

Dengan kata lain istilah 'ampu' digunakan untuk menyindir hanya sejak belakangan ini.

Demang berpendapat penyalahgunaan istilah tersebut amat merugikan orang Melayu. Malah mangsa pertama yang dijadikan korban istilah tersebut ialah Laksamana Tun Tuah sendiri.

Jika demikian suratannya, maka Tun Tuah memang seorang PENGAMPU tetapi BUKAN pembodek.

Jika Tun Tuah tidak sanggup mengampu, Kesultanan Melaka bukan roboh pada 1511 malah lebih awal dari itu.

Hal ini boleh kita lihat melalui tindakan-tindakan beliau yang dinukilkan dalam Hikayat Hang Tuah (HHT).

Awas! Jangan sekali-kali gunakan filem atau drama kontemporari sebagai rujukan.

(bagi yang belum membaca artikal Demang sebelum ini silalah berbuat demikian kerana artikal ini adalah kesinambungannya).

Peristiwa menyelamatkan kuda sultan yang terjatuh ke dalam lubang najis adalah contoh terbaik untuk kita melihat peribadi hebat Tun Tuah.

Malangnya kisah ini sering dilihat dari sudut negatif iaitu kesetiaan membabi buta Tun Tuah terhadap sultan.

Itu sebabnya Demang katakan, rujuklah kitab HHT tersebut bukannya sekadar menonton filem dan drama yang berselindung disebalik nama Tuah atau Jebat.

Dalam HHT diceritakan pada suatu hari kuda kesayangan sultan telah terjatuh ke dalam lubang najis. Malangnya tiada seorangpun pembesar, hulubalang mahupun perajurit yang sanggup menyelamatkan kuda tersebut.


Dalam hal ini Demang nak kemukakan beberapa soalan untuk anda:

1) siapakah yang sepatutnya bertindak menyelamatkan kuda tersebut?
Jawapan: siapa sahaja yang berada di situ.

2) apa perasaan sultan jika tiada yang sanggup memenuhi permintaan baginda?
Jawapan: sultan dukacita atau murka.

3) apa kesannya kalau sultan murka?
Jawapan: "lu pikir la sendiri..."

Justeru tindakan Tun Tuah tersebut bukan semata-mata untuk kepentingan diri sendiri sebaliknya menyelamatkan orang lain daripada kemurkaan sultan.

Ingat, Tun Tuah mengampu kesultanan BUKAN membodek sultan.

Selepas peristiwa menyelamatkan kuda tersebut Tun Tuah semakin disayangi sultan. Rujuk HHT ms 242-251 (naskah DBP, susunan Kassim Ahmad 1975).

Menyedari bahawa sultan sangat sayang padanya, maka Tun Tuahpun mengambil kesempatan sebagaimana kutipan berikut:

Hatta berapa lamanya, selang daripada lepas kuda itu, maka raja pun terlalu kasih akan Tun Teja itu. Maka Laksamana pun berkata pada Bendahara dan Temenggung, “Adapun penglihatan diperhamba, Duli Yang Dipertuan ini jaranglah pergi ke istana tuan putri. Pada bicara sahaya, datuk kedua berdatang sembah, kerana Betara Majapahit itu raja besar; akhirnya tiada baik datangnya.” Setelah Bendahara dan Temenggung mendengar kata Laksamana itu, katanya “Pada bicara sahaya pun demikianlah. Siapatah yang dapat persembahkan? Pada bicara sahaya pada masa ini hanyalah Laksamana yang dapat menegur baginda sedikit.” Maka sembah Laksamana, “Jika dengan sabda datuk kedua, beranilah sahaya datuk berdatang sembah.”

Nota:
1. Tun Teja adalah anak penguasa Pahang yang dilarikan oleh Tun Tuah untuk diserahkan pada Sultan Melaka.
2. 'Tuan Putri' dalam petikan di atas adalah anak Raja Majapahit. Puteri ini adalah isteri pertama sultan. Tun Teja adalah isteri muda sultan.
3. Tun Tuah tidak mahu rakyat menyalahkannya kerana beliaulah yang membawakan Tun Teja kepada sultan sehingga sultan tidak lagi memperdulikan puteri Majapahit itu.
4. Tingkah laku sultan yang mengabaikan anak raja Majapahit tersebut boleh mendatangkan kemarahan raja Majapahit.
5. Bendahara dan Temenggung adalah pembesar yang lebih kanan.
6. Laksamana dalam petikan di atas ialah Tun Tuah. Beliau sangat disayangi oleh sultan kerana terlalu banyak berjasa.
7. Sultan tersebut ialah Sultan Mansur Shah.

Selepas mendapat kebenaran dua orang pembesar yang lebih kanan, Tun Tuah pun mengadap sultan. Beliau mengingatkan sultan bahawa beliau bertanggung jawab ke atas keselamatan negara selaku Laksamana. Oleh itu adalah wajar beliau menegur sultan.

Meskipun sultan amat sayang kepada Tun Tuah, namun baginda berusaha untuk tidak mencampurkan urusan peribadi dengan urusan negara. Lihat respon sultan:

“Apa Laksamana hendak sembahkan kepada kita itu? Katakanlah kepada kita. Kita dengar. Jikalau benar, kita ikut. Jikalau tiada benar, tiada kita ikut.”

Berdasarkan kutipan di atas, kita dapat lihat Tun Tuah begitu bijaksana dan amat prihatin:
1) menjaga maruah sultan sambil melindungi orang lain daripada kemurkaan sultan
2) menghormati pembesar lain walaupun beliau boleh terus menemui sultan
3) mengambil kesempatan (atas kepercayaan sultan kepadanya) untuk menasihati sultan demi kepentingan negara
4) sentiasa meletakkan kepentingan negara sebagai perkara paling utama
5) sedar bahawa apabila diri sudah dipercayai barulah mudah untuk berbakti



Cuma agak sukar Demang untuk memberikan jawapan apabila timbul soalan:

"Jika begitu, kenapa Tun Tuah difitnah dan dihukum bunuh oleh sultan tanpa usul periksa?"

Tapi jika anda ingin jawapannya, nantikan sambungan kisah ini...

Wallahu'alam.

Tuesday, June 24, 2008

Tuah-Jebat : versi lama vs versi baru

Sambil melayari internet, telinga masih sempat menangkap kisah Tuah dan Jebat yang disiarkan TV2 malam tadi.

Demang percaya majoriti orang Melayu mengetahui kisah tersebut daripada filem semata-mata.

Barangkali sebahagian kecil sahaja yang pernah membaca kisah tersebut daripada teks Hikayat Hang Tuah.

Demang teringat sindiran Prof Dr Haron (Pusat Pengajian Ilmu Kemanusian, USM):

"Sayapun tidak tau dari mana sumber mereka ambil untuk 'bikin filem' tersebut. Yang jelas, cuma nama-nama watak sahaja yang serupa dengan epik Melayu, yakni seorang dipanggil Tuah dan seorang lagi digelar jebat.

Padahal kandungan ceritanya menyimpang jauh sehingga membawa konotasi berbeza dari teks asal.

Menurut Prof Dr Haron, perubahan interpretasi terhadap kewiraan Tuah-Jebat bermula sekitar 60-70an. Antara pencetus idea tersebut ialah Kassim Ahmad yang diketahui sebagai salah seorang pejuang sosialis.

Prof Madya Dr Suhaimi (PPIP USM) meletakkan karya sastera yang muncul ketika itu sebagai beraliran moden.

Bagi yang mengikuti perkembangan sastera tentu tidak sukar memahami aliran tersebut yang menekankan 'seni untuk seni'.

Malah sesiapa yang hidup pada zaman itu juga akan sedar 'kelainan' karya-karya yang muncul tika itu.

Karya-karya tidak lagi membawa mesej atau moral cerita. Sebaliknya berlegar pada keindahan seni semata-mata.

Bagi anak-anak muda zaman itu yang tidak berminat dengan sastera, mereka terdedah pula dengan budaya hippies.

Bagi yang masih mengingati, anak muda gemar berambut panjang dan kusut masai, berseluar jean lusuh dan yang paling penting: jarang mandi.

Di celah-celah pengaruh aliran moden dan kecelaruan budaya hippies itulah penggerak sosialis menyelitkan idea sosialis mereka.

Permainan halus puak sosialis adalah bertujuan melemahkan pengaruh raja. Caranya ialah dengan menghalalkan penderhakaan terhadap raja.

Filem yang disiarkan semula oleh TV2 malam tadi jelas bertujuan mengumpan simpati rakyat terhadap Jebat sekali gus mengecam Tuah yang tidak menghargai pengorbanan seorang sahabat.

Ekoran dari itu watak Tuah bukan sahaja tidak dihargai malah menjadi bahan ejekan serta cemuhan orang ramai.

Tuah dilempar dengan pelbagai gelaran yang menghina seperti pembodek, pengampu malah penjilat...

Implikasi kerosakan yang timbul dari dakyah ini amat dahsyat. Orang Melayu menjadi amat fobia dengan gelaran pengampu dan pembodek.

Itu bukanlah masalah sebenar kita (pengampu dan pembodek tulin memang tidak dialu-alukan).

Dilema sebenar bermula apabila definisi ampu dan bodek dibuat wewenang sehingga sebarang kebaikan dan kebajikan yang dilakukan terhadap orang atasan dikatakan ampu dan bodek.

Bersambung

Monday, June 23, 2008

Kisah arwah abang mail

Artikal ini juga boleh dibaca di blog baru saya: cerminmuka.blogspot.com

Aku kenal abang Mail kerana isterinya kak Baidah berniaga di kantin sekolah tempat aku bertugas.

Itulah sekolah pertama aku. Ia terletak berhampiran sungai Pahang. Jumlah murid setiap tahun tidak pernah melebihi 50 orang dengan guru seramai 6 orang (termasuk guru besar). Tiada kerani dan tiada pekerja am tetap.

Abang Mail bekerja sebagai pemandu Felcra. Cuma sesekali aku dapat berjumpa atau berbual dengannya. Dia berasal dari kedah: persamaan yang mempercepatkan silaturrahim antara kami.

Isterinya orang kampung itu. Mereka mempunyai 8 orang anak. 3 di sekolah menengah, 3 di sekolah rendah dan 3 lagi belum bersekolah.

Aku sering teringat pada Abang Mail kerana perkara ini:
Suatu hari dia memberitahuku dengan gembira bahawa dia dapat kembali bertugas di Kedah. Dia amat bersyukur meskipun perkhidmatannya cuma tinggal kurang dari 10 tahun sahaja lagi.

Abang Mail juga memberitahuku bahawa dia telah menandatangani surat pilihan untuk meneruskan potongan KWSP. Ini bermakna dia atau warisnya tak berhak mendapat pencen bulanan selepas bersara.

Aku merasa hairan dengan pilihannya. Aku beritahu Abang Mail kelebihan skim pencen. Malah kerajaan amat menggalakkan pilihan itu.

Kerajaan membuka pilihan KWSP kerana ada segelintir kakitangan awam yang memintanya. Atas semangat demokrasi maka rakyat diberi peluang menentukan pilihan sendiri.

Memanglah, setiap pilihan tersebut ada kebaikan dan kelemahannya.

Abang Mail mengaku kebenaran itu. Malah dia memang awalnya bercadang memilih skim pencen. Namun di saat akhir beberapa orang teman telah 'menasihati'nya agar memilih KWSP.

Menyedari kesilapan itu Abang Mail cuba menukar semula pilihannya selepas beberapa bulan. Namun permohonan tersebut tidak dibenarkan lagi.

Tidak lama selepas itu Abang Mail bersama isteri dan 8 orang anaknya pun pindah ke Kedah.

Beberapa bulan kemudian aku terserempak dengan kak Baidah di pejabat sekolah. Dia sedang menguruskan pertukaran semula anak-anaknya ke sekolah itu.

"Abang Mail dah meninggal dunia. Kemalangan di Kodiang." Kak Baidah melupuskan kehairananku dengan sayu.

Aku tergamam. Bukan tak percaya takdir. Banyak yang menerawang dalam kotak fikirku.Yang utama, siapakah kawan-kawan abang Mail yang berjaya mempengaruhinya menukar keputusan?

Mempengaruhi orang lain tidak sukar tetapi sanggupkah bertanggung jawab apabila pendapat kita diterima orang?

Siapa nak tolong jawab apabila balu dan anak-anak yatim itu bertanya, kenapa ayah kami tiada wang pencen?

Itu kisah 15 tahun lalu.

Sekarang, oleh kerana terdapat ribuan blog di internet maka para blogger berkongsi dilema yang sama: iaitu untuk menyatakan kebenaran, mempertahankan sudut pandangan, dan mengekalkan populariti.

Bagi yang ingin blognya popular, maka tulislah cerita sensasi.

Perlu diingat dalam keghairahan kita menyuarakan pandangan peribadi atau kelompok kita, dibimbangi ada pendirian tersebut yang salah. Kasihan kepada yang mempercayainya dan akhirnya merosakkan atau merugikan mereka.

Di manakah anda? Tepuk dada tanyalah...iman.

Wallahu'alam.

Menyuburkan situasi menang-kalah

Artikal ini juga boleh dibaca di blog baru saya: cerminmuka.blogspot.com

Ayah: Dapat nombor berapa?
Anak: Nombor dua.
Ayah: Ai, dulu kan nombor satu? Apasal turun?
Anak: Ada budak baru masuk. Dia dapat nombor satu. Padahal markah saya semua meningkat.
Ayah: Masalahnya, kau dah nombor dua! Ayah nak kau LAWAN budak baru tu. Kalau dapat nombor satu, ayah belikan helikopter kawalan tu.


Demikian sebuah episod lazim yang berlaku pada hampir semua keluarga di negara kita dan mungkin juga di dunia.

Apa masalahnya?

Ramai menyangka kejayaan hanya boleh diraih sekiranya pesaing mereka dapat dikalahkan.
Ini yang dikatakan situasi "menang-kalah."

Padahal dunia ini bukan gelanggang perlumbaan. Malah bukan juga medan pertandingan.

Budaya 'ranking' yang disemai sejak di bangku sekolah akhirnya membiak subur dalam jiwa generasi demi generasi. Ia menenggelamkan semangat tolong menolong disamping menggalakkan hasad dengki.

Jika adapun kerjasama ia lebih tertumpu pada usaha bagi mengalahkan kelompok lain.
Apa yang berlaku sebenarnya?

Sistem 'rangking' tidak banyak membantu meningkatkan kualiti sebaliknya mungkin hanya membandingkan antara yang baik dengan yang kurang baik.malah kadangkala ia sekadar membandingkan antara yang lemah dengan yang lebih lemah.

Contohnya, jika Ali mendapat markah 40 sedangkan rakan-rakan sekelasnya mendapat markah lebih rendah dari itu maka Ali mendapat nombor satu.

Nombor satu boleh diperolehi melalui dua cara iaitu berusaha mendapatkan markah yang lebih tinggi daripada pesaing ataupun berusaha agar pesaing mendapat markah lebih rendah.

Implikasi

1) Perbincangan menjadi perdebatan.
2) Kawan menjadi lawan.
3) Timbul kelompok pencadang dan kelompok pembangkang.
4) dan sebagainya.

Adegan yang ingin kita lihat

Ayah: Dapat berapa A?
Anak: 19A.
Ayah: Ai, dulu kan 20A? Apasal turun?
Anak: Pelajaran makin susah la ayah. Tapi, ada budak baru masuk. Dia dapat semua A.
Ayah: Bagus. Ayah nak kau KAWAN dengan budak baru tu. Kalau kau berdua dapat semua A, ayah belikan helikopter kawalan tu sorang satu.


Wallahu'alam.

Sunday, June 22, 2008

cerminmuka: siaran 1

Artikal ini juga boleh dibaca di blog baru saya: cerminmuka.blogspot.com

Petang semalam aku hadir satu meeting yg agak m'bosankan. Apatah lagi aku cuma ahli biasa dalam persatuan tu. Tak banyak yang boleh kubantu.

Bagi mengisi masa lapang, kukeluarkan 'smartphone' (SP) ku. Aku menukar ketetapannya kepada 'senyap'. Jadi jika ada panggilan, ia tak mengganggu mesyuarat.

Kemudian aku buka 'note pad' SP tersebut. Jadi sepanjang mesyuarat selama hampir 2 jam tu, dapatlah aku siapkan satu artikal.

Dalam pada tu sesekali aku sempat juga melihat rakanku yang menjadi pengerusi berhempas pulas mengendalikan mesyuarat.

Pedulikanlah. Lagipun aku tengok dia pun tak pedulikan aku sangat. Sibuk menerangkan entah apa-apa.

Sebenarnya aku ada beberapa idea untuk dicadangkan. Namun entah kenapa rasa malas pulak. Tak kuasa aku nak bertengkar bila cadangan aku dipertikai nanti.
Lagipun kalau diterima, aku jugak yang kena laksanakan.

Akhirnya mesyuaratpun ditangguhkan. Aku segera bergegas keluar sebab belum solat zohor lagi. Tadi tak sempat. Mesyuarat mula jam 2 petang.

"Hai, tak kan tak minum dulu?" kawanku yang jadi pengerusi tadi menegur.
"Sori Ron. Aku belum solat." jawabku.

Malam itu kucapai "SP"ku untuk membuat panggilan. Rupa-rupanya ada 5 sms dan 3 panggilan tak dijawab yang tidak kusedari. Rupanya aku lupa menukar ketetapan kepada 'normal' selepas mesyuarat siang tadi.

Kubuka satu sms, dr Harun:
"Man, kau marah aku ke? Mesy tadi langsung tak ambik bahagian. Asyik dgn sms je.."

Aku terkedu. Harun dah salah sangka. Malah sms tadi pun belum kujawab.
Hari ni aku dah lukakan hati seorang teman.
Padahal aku yg cadangkan dia jadi pengerusi dulu.

Ok lah. Aku nak reply sms Harun dulu. Nak minta maaf. Lain kali aku akan tumpu perhatian pada mesyuarat. Aku akan simpan hp dan beri sokongan pada persatuan kami tu.

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)