Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Kitab Ramuan & Petua Perubatan Herba

  • Belajar bekam - Saya pernah ceritakan kesah sepasang auami isteri yang anak2 mereka dihantar belajar ke luar negara dengan perbelanjaan sendiri hasil pendapatan sebagai ...
    1 day ago

Thursday, April 21, 2011

review: "Maafkan hamba, Jebat."

Sebaik selesai solat Isya' yang agak lewat, satu suara kedengaran memberi salam. Demang menjawab salam tersebut, melipat sejadah dan menuju ke jendela tanpa sempat berdoa. Kata guru Demang, utamakan tetamu sebab dengan Tuhan kita boleh 'bertemu bila-bila masa'.

Sebaik daun tingkap dibuka Demang melihat sesusuk tubuh lelaki tercegat di depan tangga teratak Demang. Cahaya bulan membantu Demang mengecam empunya tubuh tersebut.

"Ha, Dalik. Naiklah. Nanti hamba bukakan pintu." ujar Demang.

Sebentar kemudian Dalik sudahpun bersila mengadap Demang.

"Begini, Demang." Dalik mengengsot ke depan menghampiri Demang, hampir berlaga lutut. "Datuk Bendahara berkirim salam dan berharap Demang ke istana sekarang juga." Dalik menyampaikan pesanan.

Demang mengerutkan dahi. Kenapa ke istana? Bukankah Baginda Sultan sedang meminggir ke hulu lantaran amukan Jebat?

Ah, Jebat. Patutlah berdiam diri tatkala baginda menitahkan hukuman bunuh ke atas Tuah. Patutlah tunduk menekur lantai tatkala diserahkan taming sari dengan gelaran Laksamana. Rupanya menunggu kesempatan untuk merajalela. Habis dayang-dayang diperkosa, puluhan rakyat tak berdosa dibunuhnya.

Apa lagi yang dibuat Jebat? Sudah dibunuhnyakah baginda? Entahkan sudah dibakarnya istana? Berapa ramai lagikah rakyat yang diamuknya?

"Maafkan hamba Demang. Dato' Bendahara minta kita bersegera." Dalik memecahkan lamunan Demang.

"Seperkara lagi, Demang. Pesan Bendahara agar perkara ini dirahsiakan sangat-sangat. Hamba beredar dulu agar tidak ketahuan dek orang ramai. Nanti Demang ke sana seorang diri dan masuk melalui pintu rahsia." sambumg Dalik dengan berbisik.

"Baiklah. Hamba faham." balas Demang.

Tidak sukar untuk Demang memasuki istana melalui terowong rahsia. Belumpun tiba di balairong sudah terdengar bunyi orang berpencak. Demang mempercepatkan langkah sambil menghunus keris, sekadar bersedia.

Siapa gerangan yang berani mencabar Jebat? Kasturi? Lekir? Lekiu? Setahu Demang tak ada seorang pun mampu membendung amukan Jebat.

Tiba di balairong Demang terpegun. Apa benarkah penglihatan Demang?

Di tengah-tengah balairong kelihatan dua pendekar sedang bertarung. Jebat sedang menghadapi lawannya. Sekilas pandang sahaja susuk tubuh pencabarnya telah Demang kenal.

"Tuah?" Demang menelan liur. Kalimat itu sekadar tersangkut di kerongkong. Mata Demang terpaku pada pertarungan yang sedang berlangsung.

Sedetik Jebat menyerbu. Tubuhnya melayah ke udara sambil menggenggam kemas ulu keris dan menjunamkan mata runcing itu ke dada Tuah.

Namun Tuah tangkas mengelak ke kanan, menjatuhkan badannya dan dengan satu gerakan sepantas kilat beliau membentes keting Jebat.

Jebat terhumban ke depan namun sebelum dadanya sempat terhenyak pada lantai, tanpa diduga tapak tangannya menepuk lantai dan melentingkan tubuhnya, kemudian berdiri tegak di belakang Tuah.

Tuah terpaksa menjatuhkan tubuhnya sekali lagi serta berguling ke kanan mencari tapak selamat.

Namun Jebat tidak membiarkan Tuah berehat lama. Kali ini dia melompat tinggi untuk menyerang. Melihatkan itu, Tuah ikut melompat. Kedua-duanya beraksi di udara agak lama. Sepak, terajang dan tepis-menepis antara keduanya berlaku tanpa berpijak di lantai.

Dalam satu gerakan yang amat pantas, Tuah menendang lengan Jebat sehingga keris tamingsari yang digenggam Jebat melayang dan jatuh di depan Demang. Tidak cukup dengan itu satu tendangan padu hinggap di dada Jebat sehingga sahabatnya itu tertiarap hampir dengan tempat Demang berdiri.

Spontan, Demang menggulingkan tubuh ke depan, menyambar tamingsari yang tertancap di lantai dan merengkuh Jebat dari belakang. Demang mengunci jebat yang sedang tertiarap. Tanpa perlu membuang masa Demang mengangkat tamingsari dan menjunamkan mata keris itu ke arah dada Jebat.

Sebelum sempat mata keris itu menjamah tubuh Jebat tiba-tiba lengan Demang seolah dihayun oleh sebuah bandul yang amat berat. Keris tamingsari yang Demang sangka telah digenggam kemas terpelanting entah ke mana.

Demang memanggung kepala. Dua tubuh sasa tersenyum memandang Demang yang terpinga-pinga. Dato' Bendahara menghulurkan tangan kepada Demang dan menarik Demang berdiri. Tuah yang berdiri di sebelahnya membantu Jebat bangun sambil keduanya tertawa kecil.

"Sudahlah. Kita berhenti dulu. Demang pun dah tiba." Dato' Bendahara bersuara lembut.

Demang masih kebingungan. Apa ertinya semua ini?

"Sebagaimana yang Demang tahu, Tuah tidak hamba bunuh." Dato' Bendahara memulakan bicara. "Cuma Demang tidak tahu bahawa Jebatpun tidak ditikam oleh Tuah. Mana mungkin Tuah membunuh saudaranya sendiri. Memang Adi Putera telah meramalkan yang mereka berdua akan berlawan sesama sendiri. Justeru kami telah mengambil langkah awal agar perlawanan ini tidak sampai berakhir dengan kematian. Pun begitu, nyaris-nyaris tadi Jebat ditikam Demang. Syukurlah, perkara ini sudah hampir selesai." Bendahara menyambung.

"Astaghfirullahal’azim... Subhanallah…" ucap Demang penuh penyesalan. Ternyata Demang terburu nafsu sehingga hampir-hampir membunuh Jebat. "Jadi, Jebat tidak bersalah?" soal Demang.

"Hamba tidak mengatakan demikian. Sebagaimana Demang tadi, Jebat juga terdorong oleh nafsu. Tuah juga begitu. Malah hamba juga mungkin telah melakukan kesilapan. Masing-masing ada kesilapan. Namun itu bukan alasan untuk kita melakukan kesilapan yang lebih besar." Bendahara merenung wajah-wajah yang sedang mengadapnya itu silih berganti.

"Peristiwa ini menjadi pengalaman amat berguna dalam kita membina negara. Baginda Sultan adalah payung negara sedangkan kitalah bahan binaannya."

"Hamba mempertahankan Sultan bukan bererti hamba tidak mengendahkan nasib rakyat malah kerana memikirkan nasib rakyatlah hamba pertahankan sistem beraja.

Tuah, hamba asuh dan didik sejak kecil untuk setia mempertahankan negara. Tuah tidak kembali kerana perintah Sultan Mahmud sebaliknya kerana hamba yang bersungguh-sungguh meminta. Bukan Sultan Mahmud yang kami bela sebaliknya Kesultanan Melayu (khalifah Islam) itu yang kami pertahankan.

Jebat adalah pelindung pada sahabatnya tidak kira apapun situasi. Namun untuk menentang Sultan, Tuah perlu dilepasi kerana selagi Tuah masih hidup tidak ada sesiapa boleh menyentuh Sultan dan juga Bendahara.

Itulah sebabnya Jebat tidak membantah ketika Sultan menjatuhkan hukuman ke atas Tuah. Baginda tidak akan menerima bantahan Jebat. Jika Jebat berkeras maka Tuah pasti akan membunuh Jebat kerana itu adalah tugasnya." Bendahara menerangkan dengan agak tegas.

Kemudian beliau menyambung sambil tersenyum: "Malah jika hamba sendiri cuba menderhaka maka Tuah tidak akan ragu-ragu menamatkan riwayat hamba."

"Ah, selama ini hamba mencurigai Jebat dan menuduhnya tanpa mampu membela diri. Maafkan hamba, Jebat.” Demang tunduk menekur lantai. Terasa malu kerana pernah bersikap lancang menghina Jebat. Padahal Jebat sekadar melaksanakan tanggungjawabnya.

“Tuan hamba tidak sepenuhnya bersalah, Demang. Sewajarnya tuan hamba berpihak kepada Tuah cuma pandangan terhadap Jebat perlu diubah. Jebat tidak menderhaka atas kepentingan peribadi sebaliknya sekadar untuk menyedarkan sultan yang lalai dengan tanggungjawab baginda. Jika Jebat benar-benar ingin merampas kuasa, sudah lama beliau melakukannya kerana dengan tamingsari di tangan, siapakah yang layak menahannya?” Bendahara menjelaskan.

Seterusnya beliau menambah: "Demang, sampaikan kisah ini pada anak cucu kita. Katakan pada mereka bahawa Jebat sudah menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang sahabat. Tuah sudah menunaikan tanggungjawabnya sbg seorang Laksamana dan pelindung Sultan. Hamba pula telah melakukan yang terbaik bagi menjaga semua kepentingan itu di samping memastikan negara ini selamat untuk didiami oleh rakyat.”

“Moyang kita iaitu Demang Lebar Daun telah mengasaskan sistem kesultanan ini. Sistem hanyalah sebuah kaedah. Tidak ada sistem yang betul atau salah sebaliknya manusialah yang tidak amanah kepada sistem. Jika Iskandar Zulkarnain mendapat penasihat seorang nabi (Khaidir), mustahilkah Sang Sapurba tidak diberikan seorang wali (Demang Lebar Daun)?”

“Bagaimanakah generasi tuan hamba Demang begitu yakin yang raja Melaka hanya memeluk Islam pada 1414 sedangkan ditemui batu bersurat di Terengganu bahawa Islam telah tiba di bumi bertuah ini jauh lebih awal dari itu? Bukankah itu satu bukti yang Islam sudah bertapak jauh lebih awal di Kepulauan Melayu?”

“Tidakkah itu suatu isyarat bahawa Demang Lebar Daun sudah menerima Islam lebih awal?”

“Hamba nasihatkan, dalam keadaan dunia tuan hamba yang begitu bercelaru ini, kembalilah kepada jati diri kalian. Apa salahnya Melayu kekal menjadi Melayu, Cina kekal sebagai Cina dan India kekal sebagai India. Begitu juga dengan kaum-kaum lain. Jadikan perbezaan dan kepelbagaian tersebut sebagai kelebihan dan keistimewaan yang jika disatukan akan menjadi harta yang tak ternilai. Hamba sudah melakukannya di Melaka pada zaman kami dahulu. Lihatlah kepelbagaian penduduk di Melaka ketika itu dan bagaimana hamba garap semuanya bagi membina negara. Tidakkah tuan hamba pelik bagaimana Melaka yang dimulakan pada 1400 berjaya menjadi empayar terbilang tidak sampai 20 tahun. Walaupun kami cuma mampu bertahan selama 110 tahun namun kami berjaya mencapai kegemilangan yang belum mampu dikecapi oleh generasi tuan hamba.”

“Semaklah sejarah dan pelajari sesuatu yang positif. Jangan terlalu mempersoalkan sebab kejatuhan dan keruntuhan Melaka. Fikirkan cara untuk melakukannya dan jangan sesekali mengambil hak orang lain.” Bendahara menamatkan bicara.

Bendahara menghampiri Demang dan menghulurkan tangannya. Terasa satu gerakan lembut pada bahu Demang: “Bang, bangun. Apasal tidur kat sini?”

Demang membuka mata. Rupa-rupanya isteri Demang mengejutkan Demang daripada lena. Hmm, Demang bermimpi rupanya.

19 comments:

Panglima Perang Cyber said...

Masya Allah !!! Ilmu Cheguman banyak mempengaruhi hamba...

Izinkan hamba jadi Tuah Moden untuk pertahankan Kesultanan Malaahu ( malayu ) yang perlu dijadikan warisan kepada anak cucu kita ...

Dan kita sama sama taatkkan Ulil Amri dan doakan agar mereka selalu tepat dalam membuat keputusan dan selalu diberi hidayat oleh Tuhan.

Tahniah dan harapnya kisah macam ni dijadikan artikel bersiri untuk kami blogger alif ba ta menatapnya saban hari..

syabas Chegu Mang (dialek ganu )

http://penembak-tepat.blogspot.com

donmny said...

TUAN

......mungkin kedatangan islam lebih awal dari pengislaman melaka dan batu bersurat trengganu.

......terdapatnya satu makam di pekan langgar kedah yang dipercayai pemerentah nagara kedah yang ketiga.

.......makamnya bertarikh 3 rabiulawal 291 hijrah bersamaan hari rabu 25 januari 904 masehi.

......jangan cari dalam buku sejarah sekolah anak-anak kita.

donmny said...
This comment has been removed by the author.
Redzwan Abdullah said...

Subhanallah...

Sekali hamba baca,
hamba tak faham maksud tersirat tuan hamba...
Kali kedua hamba baca, barulah hamba faham unsur satira Demang...
Cantik Demang menyusun bahasa...
Indah lenggoknya...

paneh said...

Salam cheguman.

Saya sering mengikuti artikel saudara. Mungkin saya jenis yang straight forward dan kurang menggemari artikel panjang atau bahasa berbunga dan bidalan yg sering saudara gunakan. Namun saya tetap merasakan kaedah penyampaian fakta saudara agak menarik dan mempunyai kelainan. Keep it up bro.

Muhammad Azli Shukri said...

Demang, memang ini kehebatan saudara...seni sepi tapi pedas..diam tapi berbisa..teruskan perjuangan...

kerispusakamelayu said...

Menarik...dan demang rupanya adalah watak dalam sejarah melayu rupanya.

Harap demang dapat siarkan lagi fakta menarik sejarah kita dalam bentuk artikel tersebut.

cadangan saya demang buat koleksi tersusun hasil karya dan diterbitkan.

satu lagi menarik hati saya, hindraf dan lampu simpang.

Desperado said...

Demang...kita RAKYAT MALAYSIA, bukan BANGSA MALAYSIA, Rakyat Malaysia lebih unik dari Bangsa Malaysia... kerana berbilang kaumlah kita dijadikan contoh!

Penulisan anda saya salute!

GAP KEMBALI said...

salam demang
harap dapat emulis email kepada gap kerana ada pelawaan.

melayuangkat said...

Assalamualaikum Cheguman,

Terima Kasih atas penulisan ini, yang mengingatkan kita kembali apa yang 'berlaku' dan apa yang boleh kita baca tersirat dalam yang tersurat.

Saya sokong penuh agar SEMUA pelajar sekolah di wajibkan mengambil mata pelajaran Sejarah Tanah air kita.

PENDEKAR said...

"Apa salahnya Melayu kekal menjadi Melayu, Cina kekal sebagai Cina dan India kekal sebagai India. Begitu juga dengan kaum-kaum lain. Jadikan perbezaan dan kepelbagaian tersebut sebagai kelebihan dan keistimewaan yang jika disatukan akan menjadi harta yang tak ternilai.

ya kita cari persamaan......

;-)

Demang Lebar Daun said...

Kepada semua pengunjung yg Demang hormati,

Sebagai manusia biasa Demang gembira apabila dipuji. Alangkah beruntungnya orang yang sentiasa insaf betapa segala pujian hanya milik Allah SWT. Semoga hati Demang cukup kuat menghadapinya dan sentiasa insaf bahawa pujian yang kalian berikan adalah satu tanda syukur kalian ke hadrat Ilahi kerana dapat berkongsi idea sesama kita.

Apa pun, terima kasih kepada anda semua atas sokongan yang diberi.

Segala yang tercatat di sini sebenarnya masih banyak ruang kosong untuk diperbahaskan. Demang sediakan tepungnya sahaja. Anda lah yang masukkan gula, garam, mentega dan sebagainya. Hasinya nanti, Demang pun tidak dapat menjangkanya.

Mudah-mudahan Allah SWT meredhai usaha kita.

Terima kasih.

Tun Jeram said...

Salam,

Saya tidak ingat bila istilah "kaum" mula digunakan di negara ini, dan setiap "bangsa" di negara ini (Melayu), Cina dan India) diturunkan tarafnya dari bangsa menjadi kaum.

Mungkin pada awal kemerdekaan kita hendak membentuk satu bangsa (bangsa Malayan/Malaysian) dengan menyatukan ketiga-tiga bangsa itu melalui proses "asimilasi "( bersatu padu dengan menghilangkan identiti masing-masing).

Akan tetapi, setelah lebih 50 tahun kita merdeka, penyatuan yang boleh diterima oleh semua kaum adalah melalui jalan "integrasi" (yang tidak menghilangkan identiti setiap bangsa), bukan melalui jalan "asimilasi".

Dengan itu, mulai sekarang mungkin wajar kita menggunakan kembali istilah "bangsa Melayu", "bangsa Cina" dan "bangsa India: -- bukan "kaum Melayu", "kaum Cina" dan "kaum India".

Jadi kita adalah "negara Malaysia", tetapi "berbilang bangsa" -- kita bukan "bangsa Malaysia", dan mungkin tidak pernah akan menjadi "bangsa Malaysia" sampai bila-bila.

Sedingin Salju said...

Encik, apa pasai ada ini barang? comment deleted

This post has been removed by the author.

Ok, tahniah encik. Suatu artikal yang hebat. Tahniah.

Wah, apa ada pada penembak tepat tu? nanti nak pi tengok sat.

Demang Lebar Daun said...

Sedingin salju,
Saya rasa, notis tersebut iaitu:

"comment deleted

This post has been removed by the author."

....ialah satu kemudahan jika kita tersilap komen. So kita boleh padam semula.

Mungkin ada typing error.
(saya pernah mengalaminya beberapa kali).

zul rahman said...

assalamualaikum warahmatullah, wahai demang lebar daun yang saya kagumi dan sangat saya kasehi...

alhamdulillah...

sesebuah sejarah silam sebuah bangsa itu tidak dapat dibaca atau dilihat kalau cuma dibaca hanya dengan mata biasa mahupun dibaca dengan mata disebalik mata

sesebuah sejarah silam sebuah bangsa mesti dibaca dengan mata hati yang berdiri teguh diatas keimanan yang jitu tanpa berpaling-paling

dan jikalau dibaca dan dibacakan, diulang baca dan terus dibacakan, maka timbullah apa yang dinanti-nantikan selagi dibaca dengan mata hati yang berdiri teguh diatas keimanan yang jitu tanpa berpaling-paling (iani tanpa ganguan syaithon)

sesebuah sejarah silam sebuah bangsa mesti dan wajib dibaca dengan mata hati yang berdiri teguh diatas keimanan yang jitu tanpa berpaling-paling berserta mengagungkan Asmmaa`ul Husnaa, Pemilik Alam iani Yang Maha Merencana.

baca...
bacalah dengan nama TuhanMu
(QS:Al-Alaq)

dan jikalau dibaca dan dibacakan, diulang baca dan terus dibacakan,

* apa benar kisahnya hang jebat "memperkosa" iani membuka celananya dengan tanpa segan-silu sopan-santun melayu lantas memasukkan alat kelaminnya dengan sesuka hati serta merobek-robek mahkota dayang-dayang istana tanpa rasa sedikit belas dan kasehan?

* apa benar kisahnya hang jebat "membunuh" sesuka hati iani mengambil keris dan tombak dengan tanpa rasa keimanan dan kaseh sayang sesama saudara seperti yang diajar kepadanya oleh yang terdahulu lantas terus menghunus menikam perut sesiapa sahaja yang menghalangnya dengan cara membunuh beramai-ramai tanpa memikirkan tentang "talkin" yang bakal dibacakannya?

* apa benar itu sebenar-benarnya sifat hang jebat yang diceritakan naik ke gunung ledang demi mencari ilmu?

* apa benar tiada langsung keimanan walau cuma sedikit walau sebesar zarah untuk beritigfar mengenagkan dosa yang bakal dilakukan?

* atau apa benar ini semua adalah cerita karut hasil nukilan si pencelaka pemutar sejarah??!!!

* apa benar suatu waktu dulu candi(yang dikatakan candi) di bukit batu pahat merbok itu adalah tempat solat atau masjid dimana dijumpai dengan batu-batu tulisan jawi yang disiakan?

baca...
bacalah dengan nama TuhanMu
(QS:Al-Alaq)

* apa benar seawal tahu 300H ke 800H telah wujud islam di nagara siam kedah dengan bukti-bukti soheh makam-makam sultan yang mangkat bertuliskan jawi seawal tahun 1129AD, 1136AD?

* maka, jika benar, celaka!lah bagi mereka-mereka yang mendustakan sejarah agung yang sebenarnya sekaligus mendustakan keagungan "Asmmaa`ul Husnaa," yang sebenarnya sudah berdiri teguh lama dahulu di segenap pelusuk utara tengah mahupun selatan!
[utara (acheh - kedah-siam) tengah (melaka) mahupun selatan(johor-riau)]


marilah kita rujuk kembali cerita Al-Quran tetang kemenangan orang-orang yang beriman terhadap bangsa rumawi (romawi)


[8]Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) diri mereka?, Allah tidak menjadikan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya melainkan dengan (tujuan) yang benar dan waktu yang ditentukan.
Dan sesungguhnya kebanyakan di antara manusia benar-benar ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya.

[9] Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi dan memperhatikan bagaimana akibat (yang diderita) oleh orang-orang yang sebelum mereka?
Orang-orang itu adalah lebih kuat dari mereka (sendiri) dan telah mengolah bumi (tanah) serta memakmurkannya lebih banyak dari apa yang telah mereka makmurkan. Dan telah datang kepada mereka rasul-rasul mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata.
Maka Allah sekali-kali tidak berlaku lalim kepada mereka, akan tetapi merekalah yang berlaku lalim kepada diri sendiri.
(QS:Ar-rum:30)
[ref]: http://quran.al-islam.com/Targama/DispTargam.asp?nType=3&nSora=30&nAya=6&nSeg=9&l=eng&t=ind

cukup sampai disini dulu sementara,
salam hormat buat demang dan sahabat,
zr

zamspotte said...

Indah bicara, ayunan kalam mengikut irama...
Irama asyik alam maya...
Menjadi ruang membawa perjuangan
Perjuangan Agung Ke Jalan ALLAH.

Suatu Bangsa indah bahasanya
Menjadi warisan zaman berzaman
bahasa diukir dengan kalimah
kalimah agung tertulis dalam Quran

Bangsa merdeka penuh budaya
Budaya indah sulaman pekerti mulia
Atas ajaran ulama' dan wali
Warisan berzaman dari nabiNYA...

Zaman berzaman berlabuh sepi
Budaya dan bangsa dilacur
Sesuka hati
Angkara musuh durjana dan penjajah
Warisan kini semakin kabur
Anak bangsa semakin hanyut
hanyut dibuai arus liberalisasi

Semakin hari semakin sunyi
pelbagai musuh luar dan dalam
Mengatur pelbagai strategi
Memastikan diri bangsa yang satu
lupakan asal usul mereka...
lupakan perjuangan dan budaya asal mereka
lupakan keindahan agama dan budaya bangsa mereka
lupakan akhlak dan adab mulia yang menyulami nenek moyang mereka...

Lupakan segala-galanya...

Wahai sahabat-sahabat semua
Tetapkan hati terus berjuang
Agar jatidiri dan budi pekerti
menjadi pakaian bangsa kita ini...
Agar diri disucikan dari budaya yang rusak,
Agar diri dibentengi dengan Al-quran dan Hadis...

zamspotte
21 Oktober 2008
12.55 pm
SMJK YOK BIN Melaka

man_helang said...

wah lain mcm mimpi demang kali ni??? ke selalu bermimpi begini???

aku said...

salam Demang..
kalau orang lain menilai dari segi bahasa,lengok,jln cerita.dari mata aku,aku lihat dari sudut lain.memang demang best.gaya tulisan best walau aku tak pandai nak menilai.
yang aku nampak adalah dari soal ketaatan kepada sultan,perpaduan kaum,keikhlasan rakan.semuanya sudah rapuh dizaman sekarang.

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

Apa kata anda?

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)