Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Tuesday, August 19, 2008

Puncak Kinabalu

Baru-baru ini Demang dan isteri berpeluang ke Kundasang, Sabah bagi memenuhi undangan menjayakan satu program motivasi.

Biasanya apabila berpergian, Demang akan menggunakan satu kemudahan yang dihadiahkan oleh Allah SWT iaitu solat jama'.

Namun sebaik tiba, Demang begitu terpesona melihat kehebatan gunung Kinabalu yang tersergam gagah disimbah sinar mentari senja. Lantas Demang segera mengangkat wudu' dan menyertai para peserta menunaikan solat maghrib berjemaah.

Hilang segala letih lesu dan niat awal untuk jama' ta'khir lenyap begitu sahaja.

Bagi Demang segala pujian dan kesyukuran mesti dikembalikan kepada Maha Pencipta. Malah sebutir pasir pun tidak mungkin terjadi dengan sendiri tanpa ada kuasa yang berada di sebalik kejadian itu.

Kekaguman terhadap puncak Kinabalu sempat mengusik minda Demang menerawang kepada pelbagai perkara yang berkaitan. Salah satu daripadanya ialah pendakian ke puncak.

Berapa ramaikah yang telah cuba mendaki ke puncak Kinabalu. Memang ramai namun Demang bukanlah salah seorang daripada mereka.

Berapa ramai pula yang gagal untuk menawan puncaknya? Demang tidak ada maklumat tentang itu.

Namun kali ini Demang bukan membawa persoalan pendaki yang berjaya atau gagal sampai ke puncak Kinabalu.

Demang sebenarnya terfikir, bagaimana jika setelah berpenat lelah dan bersabung nyawa mendaki, akhirnya kita dapati bahawa kita berada di puncak yang salah?

Demang cuma bimbang melihat keghairahan sesetengah pihak yang bermati-matian ingin ke puncak sedangkan setelah tiba di puncak tersebut mereka dapati puncak yang diimpikan rupa-rupanya berada di sebelah mereka. Lebih pedih lagi apabila didapati musuh yang kita sangka kawan sedang ketawa mengejek di puncak sebenar.


Wallahu'alam.

Saturday, August 16, 2008

SMS: antara Permatang Pauh dan Kuala Lumpur

Malam tadi Demang terima SMS dari sahabat di Permatang Pauh:

“ANTARA DALIL MENGAPA DSAI TAK BOLEH JADI PM

KEPUTUSAN PRU 12 BARU INI. KERUSI PARLIMEN:
79 UMNO, 31 PKR, 28 PAS, 23 DAP.

SEKIRANYA 30 ORG BN LOMPAT PARTI BLM TENTU SEMUA ORG ISLAM. JIKA MEREKA YG LOMPAT SEMUA ORG CINA & INDIA MEREKA AKAN PILIH MSK PARTI DAP @ PKR. JUMLAH KERUSI PKR & DAP LBH BYK DR PAS.
YAB PM = MELAYU ,TIMB PM = LIM KIT SIANG. TAPI KALAU SEMUA YG LOMPAT MSK DAP MAKA YAB PM = LIM KIT SIANG & SEMUA MENTERI YG HEBAT = CINA & INDIA. PAS AKAN DITINGGALKAN. MELAYU DITIPU???
SEBARKAN KPD SEMUA MELAYU.. “

Demang ‘forward’ kepada seorang sahabat di KL, dan ini jawapan yg beliau beri:

“Bngsa melayu perlu refmsi..x boleh tkut byg2..dok takut bgsa asg ambk ini dn itu,kita kena b'saing..ubh sedikit atau ubh terus..jgn dok takut ini dan itu t'hapus..byk sdh yg t'hapus..strategi umno dah x boleh pakai..aku dah tegskn dulu..kita diajar jd penakut..itulah mentaliti yg dijajah oleh bgsa sendiri ..jgn byk tgk salh bgsa lain,jelas umno x releven lg..dah nak umpan pas pulak..”

Demang cuba jadi moderator malam tadi. Jadi Demang ‘forward’ pula kepada sahabat di Permatang Pauh tadi. Di bawah ini adalah jawapan yang Demang terima. Namun Demang rasa rugi bil telefon untuk ‘forward’ kepada sahabat Demang yang di KL tu. Demang yakin beliau takkan boleh terima dan ‘perang’ akan berlanjutan lagi. Demang dah pernah beritahu dia yang persahabatan terlalu mahal untuk diputuskan dek kerana tak sependapat dalam politik.

“Kalau dah nak bersaing sgt dan nak berubah sepenuhnya..., eloklah kerajaan menarik balik kesemua subsidi (minyak, makanan, perumahan, pendidikan dsb.) Subsidi yg ditanggung kerajaan adalah diatas kesedaran bahawa org Melayu khususnya akan terbeban dan tidak dapat menanggung kesemuanya. Dari itu kita akan dpt lihat kehancuran bangsa Melayu serta sia-sialah perjuangan tokoh pejuang bangsa yg lampau. Berkata-kata memanglah mudah, tapi kenyataannya adalah semua umat Melayu sudah bersedia menghadapinya. Harga minyak dan makanan naik sikit pun ramai dah terasa bebanannya...! Bersaing biarlah dengan cara yg bijak, bukannya dgn cara membunuh bangsa & agama sendiri.”

Demang percaya para pengunjung blog waadat mempunyai pelbagai fahaman dan pandangan tersendiri. Jadi, apa komen anda?

Friday, August 15, 2008

Entrepreneurship

Sham; anda boleh temui pemuda ini di sebuah bengkel di Bkt Baru Melaka. Berperawakan sederhana, sudah beristeri dan mempunyai dua anak yang masih kecil.

Sepatutnya dia sudah boleh bersenang hati dengan gaji yang agak lumayan: sebagai jurutera atau sekurang-kurangnya penyelia kepada sekumpulan mekanik di sebuah kilang milik syarikat asing atau tempatan yang telah kukuh.

Selaku orang muda yang mempunyai kepakaran tersendiri dan berkerjaya, beliau pasti mampu memiliki kereta sport dan berkongsi hobi tertentu dengan rakan-rakan.

Bagi kebanyakan orang, kedudukan seperti itu adalah keadaan yang cukup selesa. Alangkah indahnya dunia. Inilah masanya untuk memberi tumpuan pada anak-anak yang bakal meneruskan perjuangan.

Namun Demang dapati pemuda ini agak berbeza. Dia memilih untuk menyisihkan sebahagian besar daripada simpanannya bagi menyewa dua lot kedai, melengkapkannya dengan peralatan membaiki kereta dan mengambil beberapa orang pekerja.

Ramai yang mengakui bahawa berniaga lebih baik daripada makan gaji namun tidak ramai yang benar-benar sanggup mempraktikkannya. Siapa yang sanggup melaburkan 100k untuk mendapatkan gaji sendiri yang lebih kurang sama dengan pendapatan sebelum ini?

Semalam Demang berselisih dengan anak muda tersebut yang memandu kereta Kancil bersama keluarganya.

Ah! Anehnya manusia. Sudah mampu hidup selesa dengan jawatan yang baik, namun memilih untuk bersusah payah mengusahakan perniagaan yang penuh cabaran.

Itulah usahawan (entrepreneur). Kumpulan tersebut semakin ramai kini. Menoleh lah sejenak kepada mereka. Mereka boleh sahaja bekerja dengan orang lain dan menikmati gaji lumayan. Namun mereka mengambil keputusan untuk membuka perniagaan. Mereka bukan sahaja memberikan jawatan lama mereka kepada orang lain malah menyediakan pekerjaan baru kepada orang lain pula.

Bukankah ini juga suatu jihad?

Nampaknya kelas Demang baru sahaja bermula.

Friday, August 8, 2008

Takdir dan ujian

Apakah takdir kita?

"Ramli yang begitu terdesak kerana tiada wang akhirnya bertekad untuk merompak menggunakan senjata api. Dia tertangkap, dibicarakan dan dijatuhkan hukuman mati."

Dimana letaknya takdir? Pada sebahagian atau keseluruhan kisah itu? Dimana pula ujian? Adakah ujian sebahagian dari takdir?

Dimana pula usaha dan tawakkal?

"... Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal."

Ayat sebelum itu yang bersambung dengan ayat di atas ialah "apabila kamu telah cukup azam maka bertawakkal lah..."

Bilakah redha perlu mengambil tempat?

Demang fikir tidak sukar untuk memahami ayat tadi. Namun untuk mempraktikkan, tak ramai yang benar-benar mampu.

Demang kagum dengan usaha yang dibuat DSAI dalam perjalanannya menjadi pemimpin tertinggi. Bermula dengan kepimpinan pelajar, pergerakan Islam, membawa ke pertubuhan politik. Langkah yang dihayun begitu berstrategi dan mantap. Kewibawaan beliau terserlah dalam negara sehingga ke persada antarabangsa.

Seketika, ujian pun datang. Amat hebat dan mengaibkan. Beliau tersungkur di depan singgahsana sebelum sempat mendudukinya. Merudum ke lantai paling bawah.

Benarlah, manusia cuma mengimpikan sedangkan perancangan Tuhan mengatasi segalanya.

Anwar tidak cepat mengalah. "Lawan tetap lawan."

Namun itu kah satu-satunya pilihan yang ada?

Kita kembali pada kisah si Ramli tadi. Adakah selesai masalah kehidupannya dengan menjadi perompak? Tidak adakah ikhtiar lain?

Perompak, akalnya pendek tetapi manusia Anwar berakal hebat. Kenapa meletakkan diri setaraf dengan akal perompak? Kenapa tidak gunakan akal secara positif?

Bagi yang baru berkenalan dengan Demang mungkin tidak bersetuju Anwar dikiaskan dengan perompak. Sebenarnya bukan aktiviti mereka yang disamakan tetapi kesan daripada tindakan mereka memang hampir sama.

Perompak mengakibatkan gangguan terhadap ketenteraman awam. Begitu juga kaedah yang digunakan Anwar untuk mendapatkan kuasa.

Ingat, yang Demang pertikaikan ialah kaedah.

Negara kita mempunyai musuh dan mereka sentiasa mengintai peluang dan mencari kesempatan.

Jika Anwar pejuang tulen, contohilah Tun Tuah. Beliau redha dengan takdir. Beliau tabah menghadapi ujian. Beliau tidak melatah sebaliknya percaya "apabila datang yang haq maka yang bathil akan gugur dengan sendirinya."

Apa akan jadi jika Tun Tuah memberontak?

Ternyata pejuang tulen tersebut menghadapi ujian dengan tabah. Bagi menjamin beliau tidak tewas kepada nafsu amarah, Tun Tuah sendiri meminta dirinya dipasung. (rujuk Sejarah Melayu).

Akhirnya kebenaran pun datang. Penderhaka sebenar muncul. Maka pejuang tulen pun tampil menyelamatkan keadaan.

Nampaknya sejarah Tun Tuah tidak berulang pada Anwar. Bahkan Anwar juga tidak memilih Laksamana Bentan sebagai idola. Laksamana Bentan terbukti lebih berani. Beliau tidak menghasut rakyat untuk menentang. Permasalahannya dengan raja diselesaikan sendiri secara jantan.

Namun implikasi tetap ada. Kemangkatan Sultan Mahmud merubah terus dinasti kesultanan Melaka-Johor. Sultan Mahmud adalah waris terakhir Parameswara, keturunan Sang Sapurba dari Bukit Saguntang, anak Raja Suran yang bersusur galur daripada Iskandar Zulkarnain.

Kerajaan Johor 'dipulangkan' pada keluarga Bendahara. Kemudian diserahkan kepada keluarga Temenggung hingga kini.

Baris-baris akhir ini Demang tulis dengan rasa sendu. Fikiran melayang mengimbau ke zaman silam. Terbayang-bayang nenek moyang meredah laut dan rimba belantara mencari tanah untuk dijadikan negara.

Kita lah pewarisnya.

Kalah jadi abu menang jadi arang

Apakah kegunaan abu? Hampir tak berguna langsung. Kalau ada pun cuma untuk orang yang rajin mengambil tahu tentang petua-petua lama. Spesis yang begitu dah tak ramai.

Sekiranya abu itu kita perolehi dari benda yang dah tak berguna barangkali kita tidak rugi apa-apa. Sebaliknya jika abu itu kita perolehi dengan cara membakar set sofa kulit di rumah kita, apa faedahnya? Apatah lagi jika perabot itu dibeli oleh orang rumah kita.

Nasib arang agak berbeza. Untung atau rugi, anda nilai lah sendiri nanti. Jika perabot antik anda terbakar dan menjadi arang, maka arang itu masih ada gunanya. Sate yang dibakar menggunakan arang masih tidak dapat ditandingi oleh sate yang dibakar menggunakan ketuhar gelombang mikro.

Nampaknya arang masih berguna.

Demang lihat nasib Anwar ada dua kemungkinan. Jika menang, beliau akan menurut jejak langkah Saddam Hussein. Sebaliknya jika kalah, nasibnya kemungkinan akan seperti Benazir Butho.

Bagi Demang, Benazir senasib dengan abu manakala Saddam sinonim dengan arang. Watak yang dipegang oleh Benazir terpaksa ditamatkan lebih awal kerana pengarah percaya bahawa ia tidak menguntungkan. Sebagaimana abu, nama Benazir akan terbang bersama angin lalu dan hilang begitu sahaja.

Saddam pula, dijadikan arang untuk memanggang dan meratah perut bumi dan daging rakyat Iraq.

Akhirnya, arang juga akan mengikut jejak langkah abu.

Kali ini Permatang Pauh dipilih untuk mengundi bagi pihak rakyat Malaysia. Alangkah dangkalnya pemikiran demokrasi. Sekali lagi nasib negara akan ditentukan oleh sekelompok manusia.

Dalam sejarah perkelahian, yang kalah akan jadi abu dan yang menang akan jadi arang.

Pertembungan di Permatang Pauh tidak boleh dielakkan lagi. Gendang perang sudah dipalu. Semuanya gara-gara kemaruk kepada kuasa dan tidak tahu menghadapi ujian Tuhan.

Wallahu'alam

(bersambung…“Takdir & Ujian”)

Tuesday, August 5, 2008

Dilema Sistem Peperiksaan

Seorang kanak-kanak yang memasuki prasekolah akan belajar selama enam tahun sebelum diuji dalam tahun ke 6 untuk disahkan samada berjaya atau gagal. Kemudian belajar lagi selama tiga tahun sblm diuji lagi. Selepas itu menanti dua tahun pula untuk menduduki SPM.

Dalam tempoh dua belas tahun mereka diuji tiga kali dan akhirnya sebahagian besar daripada mereka disahkan berprestasi sederhana dan rendah. Manakala sebahagian kecil sahaja dianggap cemerlang dan selebihnya adalah gagal.

Maka berderet-deretlah mereka berbaris menunggu giliran untuk ditemuduga kerja. Para penemuduga pun menilai kepingan kertas terkini yang ditaip oleh institusi masing-masing untuk diputuskan samada calon tersebut layak atau tidak untuk diambil sebagai pekerja.

Alangkah mudahnya memilih dan betapa gusarnya menanti dipilih.

Begitu ringkas kah diari seorang manusia? Dirakamkan di atas sekeping kertas dengan cop dan logo, diberi gred serta ditandatangani.

Memang tidak ada salahnya mencatatkan kebolehan manusia pada kertas. Namun adakah turut dicatat sama gelak tawa dan tangis hiba mereka? Adakah turut dicatatkan berapa kali mereka jatuh dan bangkit semula? Bagaimana hubungan perasaan mereka dengan orang lain? Apa pandangan orang lain terhadap individu itu? Apa kata rakan taulannya? Bagaimana pula pendapat musuh-musuhnya? Kreatif dan inovatif kah dia? Atau seorang yang suka membantah?

Sememangnya begitu banyak yang tidak dicatatkan pada kertas itu.

Apa ertinya semua ini?

Saya namakan fenomena ini sebagai 'pakej' dan 'pukal'.

Pakej tidak sama makna dengan pukal. Pakej merujuk pada tindakan untuk memilih hanya yang dikehendaki serta setiap satu daripadanya saling melengkapi. Pukal pula bermaksud mengumpulkan semua elemen samada yang dikehendaki atau tidak ke dalam satu bekas dan diberi satu label.

Bagaimana dengan anak-anak kita? Pakej atau pukal? Contohnya:

Pakej A
Akademik 'A1', bijak, warak, sederhana rajin, cekap, cergas, hormat, suka menolong.

Pakej B
Akademik 'A1', bijak, agak warak, rajin, cekap, cergas, hormat, bersukan.

Pakej C
Akademik 'A1', bijak, warak, rajin, sederhana cekap, cergas, hormat, berjiwa pemimpin.

Pukal A
Akademik 'A1', bijak menipu, curi tulang, cekap ambil kesempatan.

Pukal B
Akademik 'A1', licik, bermuslihat, pembodek, cakap besar.

Pukal C
Akademik 'A1', pandai berhujah, bijak memanipulasi keadaan, 'bertopeng'.

Para penyokong sistem peperiksaan akan berhujah bahawa kita wajar mengekalkan sistem tersebut kerana ia praktikal dan berwibawa. Dalam proses mempersiapkan diri bagi menduduki peperiksaan, para pelajar akan mematuhi disiplin tertentu di samping diselitkan nilai-nilai murni yang sepatutnya mereka miliki. Dengan kata lain, pelajar yang tidak ada disiplin, siasah, sosial, patriotisme, akhlak dan sebagainya tidak akan berjaya dalam peperiksaan. Justeru pelajar yang berjaya boleh dianggap telah memenuhi semua kriteria insan yang seimbang.

Namun hujah tersebut boleh disangsikan dengan beberapa andaian. Sistem peperiksaan sekarang semata-mata berdasarkan kebolehan calon memberi jawapan pada hari peperiksaan tersebut. Contohnya, dalam subjek sejarah mungkin dikemukakan sepuluh soalan dan calon hanya menjawab 4 atau 5 soalan sahaja. Bayangkan, bagaimana jika calon yang gemar ponteng sekolah, melanggar disiplin, dan tidak tahu menghormati orang telah secara kebetulan membaca beberapa topik yang disoal? Maka dalam masa dua-tiga jam calon tersebut mendapat pengiktirafan 'bijak sejarah'. Anugerah tersebut disandang beliau seumur hidup!

Bagaimana dengan penyandang 'bijak matematik', 'bijak sains', 'bijak bahasa' dan sebagainya? Adakah mereka juga bijak mengawal emosi, bijak memilih antara yang baik dan yang buruk, bijak membezakan waktu solat dengan waktu berkaraoke dan sebagainya?

Lihatlah realiti hari ini. Terdapat pelajar bijak yang akhirnya menjadi pelacur, penagih dadah, perompak, penipu, penggodam sistem dan sebagainya. Cuba dapatkan telefon tangan remaja yang anda kenal. Jika anda berjaya 'menyelongkar' memori telefon tersebut, macam-macam yang boleh anda tonton. Malah jangan terperanjat jika salah seorang pelakon utama dalam klip video tersebut adalah remaja itu sendiri.

Anda bimbang? Saya juga begitu. Namun apa tindakan kita? Mahu berdemontrasi di jalanan agar kerajaan mengubah sistem pendidikan? Atau kita tukar sahaja kerajaan? Nanti naik kerajaan baru dan timbul kelemahan, adakah kita akan berdemontrasi lagi? Mungkin tidak, sebab kita memang penyokong kerajaan baru itu. Namun bagaimana dengan penyokong kerajaan yang dikalahkan? Adakah mereka akan dibenarkan untuk berdemonstrasi pula?

Mari kita berfikir bagaimana untuk menukar keadaan ini tanpa menukar kerajaan yang ada. Jadikan ini sebagai cabaran untuk minda kita. Insya Allah.

Jika anda ingin berkongsi dengan saya kaedahnya, jangan lupa untuk singgah lagi di sini.

Wallahu'alam.

Saturday, August 2, 2008

Universiti Gunung Ledang

Demang tidak pernah kenal Paklah secara peribadi. Malah bertemu pun tidak lebih tiga kali. Barangkali, sebab itu lah agaknya Demang masih tegar mempertahankan beliau hingga saat ini.

Sebenarnya Demang tidak ada alasan peribadi untuk menyokong mahupun menentang beliau. Malah andai kata esok orang lain menjadi PM maka Demang dengan redha menyokong pemimpin itu.

Hari ini Demang mendapat maklumat baru. Sebuah petunjuk barangkali. Plotnya bermula dua mgu lepas apabila seorang sahabat mencadangkan Demang membuat MA dalam bidang pengurusan perniagaan (MBA). Maka tanpa berfikir panjang Demang menerima cadangan itu. Malah Demang terus masuk ke kelas tanpa mengikuti prosedur biasa.

"Engkau ikut dulu. Kalau tak sesuai, keluar lah." kata sahabat Demang yang bergelar Prof Madya di IPTA tersebut.

Meskipun Demang tertarik dengan setiap tutorial yang berlangsung namun hati Demang masih berbelah bahagi. "Betul kah tindakan aku ni?" hati Demang terus tertanya-tanya.

Demang menghubungi (sms) beberapa orang sahabat meminta pandangan. Maka berjujut lah pendapat yang tiba dalam 'peti masuk' Demang.

Demang tak habis memikirkan bagaimana seorang yang cenderung pada sastera, seni dan sejarah boleh menyertai pengajian perniagaan (MBA) ini. Hinggakan Demang berseloroh dengan seorang sahabat Demang yang sedang menyiapkan sarjana; kata Demang: "aku nak gabungjalinkan Sejarah Melayu dengan Pengurusan Perniagaan ini. Kalau relevan, aku akan teruskan."

Dalam pada itu Demang segan juga dengan rakan-rakan sekelas kerana belum berdaftar secara rasmi. Maka antara rela dengan tidak Demang pun membayar yuran pengajian setelah dua minggu menjadi 'pendatang tanpa izin'.

Malam tadi, Demang mengikuti tutorial subjek 'Enterpreneurship'. Dr Ghazali memulakan perbincangan dengan mengemukakan usul yang memeranjatkan Demang: "Universiti pertama di Tanah Melayu ialah Universiti Gunung Ledang dan pemegang sarjana pertamanya ialah Tun Tuah. Manakala naib canselornya ialah Adiputra." Malah beliau juga mendakwa Tun Tuah juga seorang enterpreneur unggul sejajar dengan kepesatan ekonomi empayar Melaka ketika itu.

Bagi menyokong hujahan, beliau mengemukakan sebuah buku tulisan Ong Hean Tatt (2004) yang khusus membandingkan kehebatan Tun Tuah dengan wirapati legenda Cina iaitu... (maaf, Demang lupa. Tapi Demang sudah melihat buku tersebut dan sedang berusaha memilikinya).

Perbincangan akademik tersebut membawa kepada kesimpulan peribadi Demang bahawa Tun Tuah adalah insan terbilang. Kesultanan Melaka sebenarnya berjaya melahirkan ramai modal insan berkualiti. Jika tidak, masakan Melaka mampu menjadi kota pelabuhan terhebat di zamannya? Tome Pires menyatakan sesiapa yang menguasai Selat Melaka bermakna menguasai perdagangan rempah dunia. Adakah makhluk asing (alien) yang membangunkannya?

Perdagangan Melaka berasaskan rempah ratus yang merupakan sebahagian hasil pertanian meletakkan Melaka terunggul di persada dunia. Siapa dapat nafikan bahawa sampai bila-bila pun manusia akan terus makan? Malah apabila kita mati pun orang akan buat kenduri tahlil. Makan tetap makan. Dan bahan asas untuk dimakan perlu ditanam.

Tiba-tiba Demang terasa sayu mengenangkan seorang pemimpin yang menaruh impian untuk membawa negara kembali kepada zaman penuh gemilang itu hendak disingkirkan dua tahun lagi. Beliau mengimpikan pusat perkembangan Islam yang bakal membawa keharmonian sejagat dengan gagasan Islam Hadhari. Beliau melihat keperluan menyediakan makanan halal mesti dilaksanakan. Malaysia sebagai hab halal dunia.

Seterusnya beliau melihat bahawa negara yang maju mestilah dihuni oleh rakyat yang maju pemikiran dan tinggi kualitinya. Maka beliau bertegas untuk menyisihkan sebahagian pendapatan negara bagi membangun modal insan.

Demang tak kisah siapa yang akan menjadi PM selepas ini. Malah Demang pernah dengar, Paklah sendiri pun berhasrat meletak jawatan sebaik gagal mempertahankan majoriti dua pertiga dalam PRU12 yang lalu tetapi dinasihatkan agar bertangguh dulu.

Walaupun Demang tak kesah siapa bakal PM, namun akal Demang bermonolog sendiri: "kemana kita nak dibawa selepas ini?".

"Negara ini kita pinjam daripada anak cucu kita." (Demang dah lupa siapa yang mengucapkannya).

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)